Monday, October 30, 2017

PASARAN EKSPORT DURIAN DI CHINA AMAT LUAS

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Usaha Malaysia untuk mengeksport durian ke China tidak menjejaskan dominasi eksport raja buah oleh Thailand memandangkan pasaran yang sangat luas di negara Tembok Besar itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata produk durian dari Malaysia dan Thailand adalah berbeza serta mempunyai
peminatnya yang tersendiri di China.

"Saya percaya bahawa dalam dunia sekarang ini kita tak perlu gusar kerana durian Thailand ada penggemar sendiri, dan (festival) ini peluang untuk Malaysia ketengahkan hasil produk seperti 'Musang King' dan 'Blackthorn'.

"Di China potensi pasarannya sangat besar, tak semua orang China suka makan durian, tapi kalau kita mendidik atau biasakan lebih ramai orang di sana makan durian, adakan aktiviti seperti pesta durian dan sebagainya, ia akan jadikan durian sebahagian budaya dan cara hidup, dan menjadi satu pasaran besar," katanya pemberita di sini, hari ini selepas memberi taklimat kepada usahawan yang akan menyertai Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, China bermula Rabu ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan kesediaan China mengetepikan larangan ke atas Malaysia untuk mengeksport durian segar,yang dilihat mampu menamatkan dominasi Thailand yang menjadi pengeksport terbesar ?Raja Buah' ke negara itu.

Bagaimanapun, permintaan ke atas durian Musang King dari Malaysia meningkat mendadak, dan kementerian berjaya mendapat kelulusan khas untuk membawa lima tan durian segar pelbagai jenis, termasuk produk-produk premium berkaitan durian ke festival selama tiga hari di Nanning, Wilayah Guanxi itu.

Sebelum ini, Malaysia hanya diberi kebenaran untuk mengeksport durian yang disejuk beku dan produk pes ke China, dengan pasaran bernilai RM23.52 juta dan RM18.02 juta masing-masing pada tahun 2015 dan 2016.

Pada masa sama, Singapura turut menzahirkan kebimbangan pasaran mereka hanya akan menerima durian gred kedua sekiranya Malaysia lebih memberi tumpuan kepada pasaran China.

Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke MDF 2017 berkata, tidak menjadi masalah untuk Malaysia terus menghantar durian gred tinggi ke negara jiran itu, dengan syarat, mereka bersedia dengan harga yang dapat memberi pulangan tinggi kepada pengusaha durian di Malaysia.

"Ini sebahagian daripada adat pasaran, tapi saya percaya kalau Singapura mampu bayar lebih, yang saya percaya orang sana lebih berkemampuan, tak perlu gusar, kita akan terus hantar (durian) yang terbaik," katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan kementerian, selain lima tan metrik durian Musang King, produk buah-buahan seperti nangka madu dan nanas, serta produk berasaskan industri asas tani akan turut dihantar ke festival itu.

Selain itu, ia dirangka untuk menyediakan platform kepada usahawan yang terlibat untuk menyertai sesi pemadanan perniagaan yang telah diatur dengan 400 pengusaha China.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment