Thursday, October 19, 2017

TRADE DAY KUD 2017 SASAR NILAI JUALAN RM10 JUTA



KUALA LUMPUR 19 Okt. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan nilai kontrak jualan sebanyak RM10 juta dapat dimeterai di antara pasar raya besar dan usahawan tempatan sepanjang Trade Day berlangsung di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang bermula hari ini.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Trade Day merupakan satu platform jaringan perniagaan yang diper­kenalkan buat kali pertama di KUD 2017 yang mana wakil pasar raya besar dapat berinteraksi secara langsung dengan usahawan yang menyertai karnival itu.


“Lebih 40 wakil pasar raya besar seperti Tesco, Mydin, Lu’lu Hypermarket dan sebagainya telah dijemput untuk menyertai Trade Day KUD 2017 untuk membolehkan mereka menilai sendiri kualiti produk yang dijual usahawan tempatan.

“Untuk Trade Day KUD 2017 hari ini, kita sasar nilai kontrak jualan yang dapat dimeterai ialah sebanyak RM10 juta,” katanya selepas melawat gerai pameran KUD 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

KUD 2017 berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad ini di PWTC disertai kira-kira 700 usahawan luar bandar dari seluruh negara.

Usahawan itu terdiri daripada enam kluster perniagaan iaitu makanan dan minuman, pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan dan pelancongan.

Menurutnya, produk yang dipamer dan dijual di KUD 2017 itu memenuhi syarat dari segi pembungkusan dan kualiti yang ditetapkan pasar raya besar.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa ciri lain antaranya logo halal, bar kod dan kan­dungan nutrien pada produk masih lagi belum ditekankan usahawan tempatan.

“Masih ada lagi usahawan yang tidak memahami pentingnya untuk mereka memenuhi syarat yang ditetapkan pasar raya besar ini.

“Selepas ini kita akan beri taklimat kepada usahawan agar mereka lebih faham tentang keperluan yang diingini oleh pasar raya besar sebelum boleh memasarkan produk mereka di situ,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, usahawan tempatan juga perlu bersedia untuk memenuhi tiga ciri iaitu pembungkusan, kualiti dan jaminan bekalan secara berterusan untuk memastikan produk mereka dipilih untuk dipasarkan di pasar raya besar.


No comments:

Post a Comment