Thursday, October 26, 2017

SKMM SIASAT 67 KES BERITA PALSU

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat 67 kes penyebaran berita palsu dalam media sosial dari Januari 2016 hingga September tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata daripada jumlah itu, lima kes telah dibawa ke mahkamah.

"Dalam tempoh sama, sejumlah 1,861 laman sesawang, portal dan blog telah disekat kerana menyebarkan kandungan, maklumat serta berita berunsur palsu termasuk yang boleh mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang mahu mengetahui langkah proaktif kementerian dalam memastikan kandungan berita dilaporkan portal berita tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata kementerian telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjalankan program advokasi bagi menyedarkan masyarakat umum mengenai pentingnya memastikan fakta sahih sebelum menyebarkan sesuatu berita atau maklumat.

No comments:

Post a Comment