Tuesday, October 31, 2017

MUHAMMAD ALI KEHILANGAN BESAR KEPADA NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, hari ini.

Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi JCorp Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemergian Allahyarham Muhammad Ali merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri tetapi juga tanah air kerana Allahyarham merupakan tokoh korporat dan usahawan Melayu kelahiran Johor yang berwibawa serta banyak berjasa.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) atas pemergian Allahyarham.

"Keupayaan dan sumbangan Allahyarham tidak boleh dinafikan. Beliau telah menerajui JCorp selama lebih 28 tahun dan di bawah kepimpinannya, JCorp berjaya dibina hingga menjadi antara konglomerat utama negara," katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Mohamed Khaled berkata Allahyarham Muhammad Ali juga banyak menyumbang bakti dalam pembangunan prinsip perniagaan Islam dan ia memberi impak positif yang cukup signifikan bagi memajukan prinsip tersebut, antaranya melalui instrumen Waqaf Korporat.

No comments:

Post a Comment