Sunday, February 17, 2019

PAS TETAP SOKONG BN DI SEMENYIH

MARANG, 17 Feb (Bernama) -- PAS hari ini menegaskan tidak timbul soal parti itu tidak menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, berikutan pertemuan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lepas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan perakuan bertulis yang berbentuk contoh yang diberikan kepada Dr Mahathir dalam pertemuan itu hanyalah komitmen sokongan PAS atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Di sebalik sokongan itu, Takiyuddin menegaskan tiada sebarang isu berkenaan perakuan bertulis daripada pihak PAS untuk tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih.

Saturday, February 16, 2019

BUKAN MUDAH BAGI BN RAMPAS SEMENYIH

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak akan menjadi semudah PRK Cameron Highlands buat jentera Barisan Nasional (BN) memandangkan keadaan semasa dijangka memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata yang PRK kali ini berbeza kerana Semenyih terletak di kawasan pinggir bandar.

Selain itu, PH adalah kerajaan di peringkat negeri dan pusat, sekaligus memberikan kekuatan untuk mereka memahami isu setempat manakala di Cameron Highlands PH hanya berkuasa di peringkat pusat manakala Kerajaan Negeri masih dikuasai oleh BN.

Friday, February 15, 2019

AMANAH ARAH JENTERANYA BANTU KEMPEN CALON PH

KLANG, 15 Feb (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) mengarahkan jentera parti itu membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, arahan itu meliputi jentera dari semua negeri dan mereka akan bekerja bersama-sama jentera parti komponen PH yang lain.

"Jentera sudah bersiap sedia untuk PRK DUN Semenyih dan semua parti komponen akan bekerja atas nama PH,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Sungai Kandis dan Parlimen Kota Raja, di sini, hari ini.

Tuesday, February 12, 2019

ADAKAH PENAFIAN AKAN JADI KENYATAAN?

SEPANG, 12 Feb (Bernama) -- Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau telah dipecat parti itu dan menganggapnya sebagai berita palsu.

“Banyak khabar angin sekarang ini yang disebar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, kita jangan kita percaya dengan khabar-khabar angin terutamanya melalui teknologi baru seperti sosial media,”katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi terdahulu merasmikan perkhidmatan sewa khas untuk Haji dan Umrah, Amal oleh Malaysia Airlines di sini.

Tular di media sosial termasuk di Facebook dan Twitter sejak malam semalam yang mendakwa Mohamed Azmin telah dipecat daripada PKR.

-- BERNAMA

Monday, February 11, 2019

PENGUNDI SEMENYIH SAMAN SPR HALANG PRK SEMENYIH



SHAH ALAM, 11 Feb (Bernama) – Seorang pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu daripada mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih akan datang.

Selain SPR, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58, selaku plaintif turut menamakan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan-defendan dan saman itu difailkan secara dalam talian (e-filing) menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co pada Jumaat lalu.

Bercakap dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini, Sabariah berkata beliau memutuskan untuk mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu di media sosial berkaitan SPR sama ada ia satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Melihat perkembangan politik hari ini, saya merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengundi di kawasan DUN Semenyih dan sebagai warganegara Malaysia untuk melakukan sesuatu selaras dengan prinsip Kedaulatan Undang-undang seperti terkandung dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Saya tidak mewakili mana-mana fahaman atau parti politik, saya tiada apa-apa kepentingan politik dengan apa jua keputusan undian yang bakal dibuat oleh majoriti pengundi di DUN Semenyih nanti. Saya hanya mahu memastikan proses demokrasi di negara kita ini dijalankan oleh pihak yang sah di sisi undang-undang dan saya percaya mahkamah satu-satunya medan yang layak membuat keputusan sama ada SPR ini sah atau tidak mengikut Perlembagaan,” katanya.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili plaintif pula berkata pihaknya berharap mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran dalam masa terdekat dan membuat keputusan sebelum hari penamaan calon PRK DUN Semenyih pada Sabtu ini (16 Feb).

“Pihak kami difahamkan saman difailkan anak guam kami adalah tindakan yang pertama di negara ini. Kita serahkan kepada mahkamah sama ada SPR masih satu entiti yang sah apabila hanya terdapat seorang Pengerusi SPR yang menguruskan hal-hal rasmi SPR selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Mengikut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR mestilah terdiri daripada gabungan seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang kesemuanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Dalam tuntutan saman pemulanya, Sabariah memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Jan lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Jan lepas yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar Azizan.

Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan kedua (Azhar Azizan) daripada bermesyuarat dan atau meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan PRK DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Dalam afidavit yang turut difailkan bersama saman pemula itu, plaintif mendakwa setakat 18 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong tidak ada membuat lantikan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang baharu.

Menurutnya, beliau percaya disebabkan SPR tidak lagi wujud secara sah selepas 1 Jan 2019, maka pengerusi SPR seorang diri tidak boleh mengendalikan, mengagihkan atau melaksanakan sebarang mesyuarat atau membuat sebarang keputusan untuk mengendalikan PRK DUN Semenyih.

Enam bekas anggota SPR itu ialah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Lima daripada mereka meletak jawatan pada 18 Okt 2018 manakala seorang lagi pada 27 Nov 2018 dan kesemua peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Jan 2019.

Pada 18 Jan lalu, Azhar Azizan mengumumkan bahawa PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, hari penamaan calon pada Sabtu ini dan hari mengundi awal pada 26 Feb.

-- BERNAMA

Sunday, February 10, 2019

HASANUDDIN LAWAT BEKAS EDITOR BM FREE MALAYSIA TODAY

SEMENYIH: Ahli parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus yang minum pagi bersama penduduk Fasa 9 Bandar Tasik Kesuma di kedai roti canai Pak Uda sempat meluangkan masa melawat bekas Editor Bahasa Malaysia, Free Malaysia Today (FMT), Mohd Zabidi Saidi yang diserang jantung pada 25 Disember lalu.

Zabidi yang sudah memasang stent di Hospital Serdang pada 23 Januari lalu semakin sihat dan beliau terharu dengan kunjungan Naib Presiden Parti Amanah tersebut ke rumahnya selama setengah jam.

Beliau ditemani isterinya berasal dari Batu Pahat, Johor dan pernah bertanding sebagai calon PAS di DUN Rengit pada PRU 1999, 2004 dan 2008. Pada PRU 2013 beliau tidak bertanding dan pada PRU 2018, beliau yang juga bekas Pengarah Agama FELDA bertanding di parlimen Hulu Langat sebagai calon PH telah menang dengan majoriti 25,424 undi. Hasanuddin mengalahkan bekas ahli parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat dan calon BN, Azman Ahmad.

Beliau pernah belajar di Jordan dengan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat. Walaupun mereka berlainan parti tetapi beliau rapat dengan Idris. Pernah ketika beliau bekerja sebagai pegawai agama FELDA, Idris menelefonnya minta Hasanuddin bawa Khazan ke Kuala Lumpur untuk cari peluang menyambung karier atau peluang perniagaan.

Beliau juga adalah waris bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh  (bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu) di mana mereka rapat walaupun berlainan parti. Malah ahli parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid pernah belajar sekali di Kolej Islam Kelang.

Dalan pertemuan singkat ini Hasanuddin berkata PRK Semenyih merupakan pertembungan sengit antara PH dengan BN kerana BN sudah lama bertapak di Semenyih sedangkan PH baru merampas kerusi tersebut pada PRU Mei 2018.

"PH kena kerja kuat untuk kekalkan kemenangan," katanya lagi.

Zabidi menemui Hasanuddin buat kali pertama di parlimen pada tahun lepas. Pertemuan hari ini adalah kali kedua di antara mereka berdua.

Saturday, February 9, 2019

PRK SEMENYIH BUKAN PILIHANRAYA YANG MUDAH

SEMENYIH, 9 Feb (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih sebagai satu cabaran getir yang memerlukan kerja keras untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Bersatu.

Beliau menegaskan apa yang penting ialah jentera pilihan raya parti mesti bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan yang mantap.

"Kerana ini bukan satu pilihan raya yang mudah. Kita akan bersikap 'it's a big task, an uphill battle'," kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat dan Bersatu di sini hari ini menjelang PRK itu yang dijadualkan berlangsung 2 Mac ini.

Berdasarkan pengalamannya menerajui pelbagai pilihan raya sebelum ini, Muhyiddin berkata tidak ada satupun yang dianggapnya mudah untuk dimenangi.

"Kita perlu mengambil sikap kita perlu kerja keras. Kalau kita rasa boleh menang, tak cukup dengan harapan boleh menang sahaja kerana kita perlu kerja keras (untuk memastikan kemenangan)," kata beliau.

PH sebelum ini dilapor akan meletakkan calon daripada Bersatu untuk bertanding PRK Semenyih yang diadakan susulan kematian wakil rakyat daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Muhyiddin berkata nama calon berkenaan akan diumumkan pada 14 Feb ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau berkata gesaan supaya PH meletakkan anak tempatan pada PRK itu akan diambil kira dalam menentukan calon selain aspek lain seperti berkelayakan, berkemampuan dan berbudi bahasa.

Beliau seterusnya berkata PH akan mengambil peluang pada kempen PRK itu untuk menjelaskan pelbagai isu termasuk dakwaan kononnya gabungan itu tidak mempertahankan kepentingan Melayu.

Muhyiddin berkata Bersatu dan PH juga tidak akan mengambil mudah kerjasama UMNO-PAS seperti yang dilihat pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

“Saya merasakan tidak semua anggota PAS bersetuju dengan kerjasama mereka. Apapun, kita akan lihat nanti sejauh mana (kekuatan),” katanya.

Mengenai pertemuan dengan pemimpin masyarakat setempat hari ini, Muhyiddin berkata antara isu yang dibangkitkan ialah projek tebatan banjir Sungai Beranang dan kesesakan yang berlaku di klinik kesihatan dan Hospital Kajang yang memerlukan perhatian kerajaan pusat dan negeri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan wakil rakyat dua penggal daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan daripada PSM. Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14. Sebelum ini, Selangor menyaksikan penentuan di tiga PRK iaitu bagi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

-- BERNAMA