Monday, December 24, 2018

YADIM TOLAK CADANGAN WANITA ISLAM SERTAI PERTANDINGAN UNDUK NGADAU PESTA KAAMATAN

KOTA KINABALU, 24 Dis (Bernama) -- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah menolak cadangan Jawatankuasa Penganjur Pertandingan Unduk Ngadau Pesta Kaamatan peringkat negeri supaya wanita Muslim di negeri ini dibenarkan menyertai pertandingan ratu cantik pesta berkenaan.

Pengarah YADIM Sabah Samin Ongki berkata Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Sabah serta fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Sabah dengan jelas menyebut larangan wanita Muslim di negeri ini menyertai pertandingan ratu cantik itu, dan ia perlu terus dihormati oleh semua pihak.

Justeru, Samin memohon jawatankuasa penganjur Unduk Ngadau menghormati sensitiviti umat Islam dengan tidak meneruskan cadangan tersebut.

Sunday, December 23, 2018

11 KETUA CABANG SOKONG SUPARADI SEBAGAI PENGERUSI MPN KELANTAN

KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kelantan yang baharu menerima sokongan hampir kesemua ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu.

Mohamad Suparadi berkata dalam pertemuan yang diadakan hari ini 11 ketua cabang telah menyatakan sokongan terhadap pelantikan beliau iaitu cabang Pasir Mas, Pasir Puteh, Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Bachok, Pengkalan Chepa, Machang, Tanah Merah, Kota Bharu dan Tumpat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan itu beliau berkata tiga lagi cabang iaitu Ketereh, Kubang Kerian dan Rantau Panjang masih belum menyatakan pendirian mereka.

Saturday, December 22, 2018

TIGA PASANGAN PENGANTIN KAHWIN SERENTAK UNTUK JIMAT KOS



ALOR SETAR, 22 Dis (Bernama) -- Tiga pasangan pengantin dari Kampung Seberang Alor, Hutan Kampung, di sini, cukup bertuah apabila diraikan serentak dalam program Majlis Walimatulurus Perdana, yang sangat meriah hari ini.

Walaupun program anjuran Kelab Kebajikan dan Rekreasi Kampung Seberang Alor itu dibuat secara sederhana, namun kira-kira 500 tetamu hadir untuk meraikan hari bahagia pasangan Nur Atirah Saiful Anuar, 21, dan Zulkifli Mustafa, 21; Muhd Amirul Faiz Mohd Zamri, 24 dan Amiza Jamil, 22; serta Amirul Othman, 31, dan Fatin Sofie Aina Narzeman, 20.

Pengerusi kelab tersebut Mohmad Nasir Ismail berkata, program itu julung kali diadakan dengan kerjasama Surau An-Nahdlatul Al-Islamiyyah, di sini, bertujuan membantu golongan muda yang ingin mengadakan majlis perkahwinan secara sederhana.

"Selalunya, apabila hendak buat majlis perkahwinan memerlukan kos tinggi yang boleh mencecah sehingga RM15,000 ke RM20,000. Jadi kita (kelab) bersama kariah surau telah mengadakan mesyuarat fikir bagaimana boleh bantu tiga pasangan pengantin ini untuk buat kenduri tanpa membebankan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis itu.

Menurut Mohmad Nasir, setiap pasangan pengantin yang menyertai majlis itu hanya dikenakan bayaran sebanyak RM500 sahaja, sementara perbelanjaan untuk majlis perkahwinan ditanggung sepenuhnya menerusi sumbangan pelbagai pihak.

“Kos keseluruhan majlis ini berjumlah RM16,000 di mana kita berjaya mengumpulkan wang tersebut dalam tempoh dua bulan menerusi sumbangan pelbagai pihak termasuk daripada Anggota Parlimen dan agensi kerajaan," katanya.

Katanya, majlis itu sepatutnya disertai lima pasangan, namun pihaknya terpaksa memilih tiga pasangan sahaja memandangkan lokasi majlis perkahwinan itu tidak mampu menampung kehadiran tetamu daripada pihak lima pasangan pengantin.

Terdahulu, majlis yang diadakan di perkarangan Surau An-Nahdlatul Al-Islamiyyah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena berkata usaha yang dilakukan oleh kelab dan surau di tersebut sangat baik bagi merealisasikan impian tiga pasangan mempelai tersebut untuk mengadakan majlis dengan kos yang sedikit.

"Sekarang nak buat majlis makan kos yang besar jadi saya harap usaha ini akan diteruskan dan tidak perlu buat majlis besar-besaran dengan keadaan ekonomi negara dan diri yang tidak menentu. Jadi semua benda itu perlu diambil kira," katanya.

Sementara itu, Amirul dan Fatin Sofie Aina melahirkan rasa syukur serta berterima kasih kepada semua pihak yang membantu meringankan beban kewangan untuk mereka melangsungkan majlis perkahwinan.

“Saya berharap usaha ini juga boleh memberi inspirasi kepada pasangan lain untuk mengadakan majlis secara berkumpulan dan menjimatkan,” kata Amirul.

-- BERNAMA

Friday, December 21, 2018

UMNO AKAN BERI LEBIH KUASA KEPADA PENGERUSI PERHUBUNGAN NEGERI

KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- UMNO akan menyusun dan menstruktur semula operasi parti itu dalam usaha memperkasakannya kembali selepas menghadapi pelbagai tekanan termasuk sebilangan pemimpinnya meninggalkan parti.

Dalam hala tuju baharu parti itu, pemangku jawatan presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata antara perubahan yang bakal dilakukan adalah memberikan lebih kuasa kepada pentadbiran UMNO negeri untuk merangka strategi di negeri masing-masing.

"Tidak ada rasa kekitaan dan juga rasa pemilikan daripada UMNO negeri, semuanya diserahkan kepada ibu pejabat. Oleh itu kita buat supaya ketua perhubungan negeri dan bahagian akan bersama-sama mengatur strategi bagi memenangi pilihan raya umum ke-15 akan datang.

"Ini akan dilakukan oleh satu jawatankuasa untuk melihat bagaimana kita boleh memberi kuasa yang lebih banyak kepada negeri-negeri - tidak berpusat di ibu pejabat," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Beliau berkata pada masa yg sama UMNO bersetuju memberikan autonomi penuh kepada UMNO Sabah bagi mengatur strategi untuk bangkit semula setelah beberapa pemimpin parti di negeri itu bertindak meninggalkan UMNO.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata parti itu akan menjadi jurucakap kepada rakyat dalam memperjuangkan nasib mereka selain bertekad menjadi pembangkang yang berkaliber dan efektif di Parlimen.

Mengenai pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands yang akan diadakan pada 26 Jan depan, Mohamad yang juga pemangku Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata satu mesyuarat BN akan diadakan pada masa terdekat bagi menetapkan calon yang bakal bertanding pada PRK itu.

Mesyuarat turut bersetuju memilih Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang menjadi pengarah PRK bagi parti itu manakala Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri akan mengatur strategi dan program bagi jentera pilihan raya berkenaan.

-- BERNAMA

Thursday, December 20, 2018

MOHAMAD HASSAN KENA TANDING DI PRK CAMERON HIGHLANDS UNTUK DILANTIK KETUA PEMBANGKANG



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengeluar kenyataan hari ini menetapkan pengundian pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highland pada 26 Januari 2019 (Sabtu) dan undian awal pada 22 Jan.

PRK ini diisytiharkan, ekoran pengisytiharan Mahkamah Pilihan Raya bahawa keputusan kerusi P 078 pada PRU 14 yang lalu adalah terbatal.

Pada PRU yang lalu 9 Mei 2018, jumlah pengundi adalah 32,048 undi.

Kini jumlah pengundi adalah 32,009 undi yang diisytiharkan SPR.

Wujud pengurangan yang berkemungkinan disebabkan pelbagai faktor seperti kematian, perpindahan alamat dan lain-lain.

Wujud beberapa perkara dan situasi menarik untuk dilihat pada PRK kali ini.

Pertama, PRK kali ini memperlihatkan pertembungan antara dua kerajaan iaitu kerajaan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan dan Barisan Nasional di peringkat Negeri Pahang.

Bagaimana corak kempen yang bakal berlaku? Menarik juga untuk melihat isu-isu yang digemburkan oleh pelbagai pihak terutama di kalangan NGO seperti BERSIH berkaitan isu penggunaan jentera kerajaan.

Bagaimana kedua pihak menanganinya?

Pada PRU 14 yang lepas Mei 2018 apabila P 078 mengalami pertembungan pertandingan 5 penjuru menyaksikan keputusan:

• BN mendapat 10,307 undi
• PH diwakili DAP mendapat 9,710 undi
• PAS mendapat 3,587 undi
• Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 680 undi dan
• Berjasa mendapat 81 undi

PAS telah mengumumkan tidak bertanding dan bakal membantu calon pembangkang.

Justeru, menarik untuk melihat ke arah manakah kecenderungan ahli PAS yang dahulunya dengan kekuatan 3,587 undi untuk mengundi bukan Melayu dalam

kerencaman polemik-polemik yang berkaitan isu Melayu-Islam yang dibangkitkan kini.

Berdasarkan komposisi kaum data demografi PRU 14 pada Mei 2018, pecahan komposisi kaum adalah seperti berikut yang dijangka tidak berbeza jauh dalam PRK kali ini:



• Melayu – 33.44%
• Cina – 28.42%
• India – 14.42%
• Lain-lain (Orang Asal kebanyakannya) 23.67%

Berdasarkan komposisi tersebut antara penentu kemenangan calon-calon pilihan raya lalu khususnya bagi Barisan Nasional adalah undi orang Asal yang agak tinggi jumlahnya iaitu 23.6%.

Tidak hairanlah, Parlimen Cameron Highland ini pernah digolongkan sebagai kubu kuat BN. Jika dahulu orang Asal menyokong BN, namun bagaimanakah ‘trend’ tersebut kini setelah kerajaan Persekutuan di bawah kerajaan Pakatan Harapan.

Adakah suasana negeri Pahang yang dalam penguasaan kerajaan BN akan mempertahankan landskap PRU yang lepas?

Suasana pastinya tidak mudah buat gabungan BN khususnya MIC yang meletakkan calon dalam PRU lepas.

Kemelut dalaman Umno pastinya memberi kesan kepada penggerak jentera BN.

Pakatan Harapan berdasarkan konvensyen atau kesepakatan empat PRK pasca PRU 14, ke semua PRK yang dilangsungkan telah dipertanggungjawabkan kepada parti gabungan Pakatan Harapan yang menjadi calon di kerusi tersebut pada PRU 14.

Pastinya kali ini menjadi tanggungjawab DAP untuk kekal menghantar calon bertanding mewakili Pakatan Harapan.

Cabaran DAP pastinya untuk meraih sokongan undi Melayu dan orang Asal yang jumlahnya hampir 56% undi.

Institut Darul Ehsan (IDE) menyambut baik langkah penambahbaikan SPR yang diumumkan oleh Datuk Azhar Azizan Harun pada PRK kali ini.

SPR telah mengumumkan langkah memberi ruang kepada calon-calon yang bertanding untuk menghantar borang ke Pejabat Pengurus Pilihan Raya untuk semakan awal sebelum hari penamaan calon.

Kaedah ini membolehkan proses perjalanan penamaan calon berkaitan isu-isu teknikal dapat disemak lebih awal berkaitan dengan isu-isu seperti status bankrupsi , isu penyata kewangan dan status calon, penyokong dan pencadang.

SPR juga mengumumkan dua langkah pro aktif iaitu yang pertama, untuk menyiarkan proses pengiraan undi secara langsung melalui media sosial dan media elektronik adalah satu langkah yang baik dalam proses pendidikan demokrasi untuk rakyat.

Kedua, SPR juga mengumumkan langkah proaktif untuk menyiarkan keputusan awal pengundian adalah satu tindakan positif bagi memberikan maklumat yang pantas dan terkini kepada rakyat.

Pengalaman IDE dalam PRU 14 yang lepas dan tiga PRK yang lalu telah berjaya membantu parti-parti politik melalui Sistem SPERA untuk memaparkan keputusan awal berdasarkan maklumat Borang 14.

Pengalaman IDE, dengan sistem SPERA yang dibangunkan keputusan awal boleh diperolehi seawal jam 6.00 petang dan jumlah keseluruhannya selewat-lewatnya jam 7.00 ptg.

Namun demikian, dalam kenyataan SPR, masih lagi meletakkan sasaran 70 peratus turun mengundi walaupun berdasarkan trend empat PRK pasca PRU 14, peratusan turun mengundi paling tinggi adalah di PRK Port Dickson 58.3 peratus.

Justeru, SPR perlu bersedia dengan strategi bagi menggalakkan pengundi untuk turun mengundi bagi mencapai sasaran tersebut.

Menangani isu peratusan turun mengundi ini, SPR sendiri harus menjalankan kempen untuk pengundi turun dengan menggunakan saluran media utama dan media sosial.

Berdasarkan kajian IDE sejak dahulu, hari Sabtu masih dilihat hari yang kurang sesuai untuk hari pengundian bagi suatu pilihan raya kecil terutama kepada pekerja swasta disebabkan mereka masih bekerja di hari Sabtu dan juga kepada pengundi-pengundi yang tinggal di luar Cameron Highland.

Hari Ahad atau hari cuti masih merupakan hari terbaik buat pengundi untuk membuang undi.

SPR dan parti-parti politik perlu juga mengatur strategi untuk membantu pengundi keluar mengundi pada hari tersebut khususnya pengurusan trafik.

Ramai sedia maklum, Cameron Highland khususnya di kawasan-kawasan pelancongan memang terkenal sesak di hari cuti sekolah.

Kepada rakyat Parlimen P 078 Cameron Highland, selamat mengundi, jalankan tanggungjawab anda sebaiknya untuk memilih pemimpin mewakili anda di Dewan Rakyat!


Ulasan saya, ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam sedang menjalankan bancian siapa yang layak jadi ketua pembangkang sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak atau Khairy Jamaluddin.


Bagi saya, pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan (Tok Mat) layak jadi ketua pembangkang. Macam mana beliau mahu jadi ketua pembangkang sedangkan beliau bukan ahli parlimen?


Pada 26 Januari 2019 akan diadakan PRK Cameron Highlands. Bagi saya, daripada meletakkan calon MIC untuk mempertahankan kerusi BN lebih balik letak calon Umno. Maka ini peluang bagi Tok Mat bertanding kerusi parlimen. Apabila beliau menang automatik beliau akan dilantik ketua pembangkang.


Kenapa perlu ambil orang luar bertanding di Pahang? Ini adalah kerana kita mahu Tok Mat jadi ketua pembangkang di parlimen maka pemimpin Umno Pahang kena beri laluan kepada Tok Mat. Lagipun Pahang adalah kubu kuat BN. Tambahan pula ketua bahagian Cameron Highlands adalah MB Pahang sendiri, Wan Rosdy.


Kalau orang kampung Tok Mat (Port Dickson) boleh terima orang Pulau Pinang (Anwar Ibrahim) jadi ahli parlimen maka apa salahnya orang Pahang terima orang Negeri Sembilan bertanding di dalam PRK ini. Pada PRU akan datang Tok Mat kembali bertanding di Rembau di bahagiannya sendiri.


Bagi saya PRK Cameron Highlands peluang terbaik bagi Umno menghantar Tok Mat ke parlimen. Jika MIC kekal bertanding orang Melayu mungkin tak undi calon BN selepas berlakunya kematian Muhammad Adib yang menyinggung perasaan orang Melayu.


Fikir-fikirkanlah cadangan saya ini, Tok Mat. Sebagai pemangku presiden Umno, Tok Mat boleh bincang dengan MB Pahang, Wan Rosdy. Lagipun ini PRK dan bukannya PRU. Maka PRK ini BN kena menang untuk mempertahankan kerusi yang ada.


Wednesday, December 19, 2018

TINDAKAN ZAHID MEMANG TEPAT PADA WAKTUNYA DEMI KELANGSUNGAN UMNO



KUALA  LUMPUR: Pengumuman Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk yang menyerahkan tugasnya sebagai presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan semalam nampaknya gagal memuaskan hati semua pihak dalam parti itu.

Seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian di Johor berkata kenyataan Zahid semalam bersifat tergantung terutama dalam soal hala tuju Umno.

Beliau yang meminta namanya tidak disiarkan berkata, Zahid misalnya tidak memberi tempoh masa yang khusus peralihan tugas itu.

"Nak kata dia mahu berehat agak kasar. Apa yang berlaku semalam adalah timbalan jalankan tugas presiden, pendekatan yang lembut. Maknanya dia (Zahid) tak mahu berhenti atau letak jawatan.

"Jadi ia agak kabur dan sekadar mahu redakan golongan yang tak berpuas hati dengannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tindakan Zahid semalam susulan desakan agar beliau meletakan jawatan sebagai presiden selepas sejumlah pemimpin dan anggota parlimen Umno mengumumkan keluar parti.

Semalam ketika ditanya tentang tempoh masa pemindahan tugas itu, Zahid hanya berkata sehingga Mohamad tidak sanggup lagi memikulnya atau merasakan beliau mampu menjalankan kembali tugas itu.

Ketua Pemuda itu berkata lagi, Umno tidak boleh mengulang kesilapan mempertahankan presiden mereka yang terpalit dengan tuduhan skandal - seperti yang dilakukan ketika Najib mengemudi parti itu.

Katanya, sebelum PRU ke-14 Umno mempertahankan Najib yang terkait dengan skandal 1MDB kerana tidak mahu melihat parti itu runtuh, namun rakyat tetap menolak mereka sehingga hilang kuasa.

"Kita tak mahu pisang berbuah dua kali. PRU ke-14 kita kalah sebab isu integriti melibatkan Najib. Sekarang presiden kita pun berdepan tuduhan berkaitan integriti," katanya merujuk 46 pertuduhan yang dihadapi Zahid.

"Dulu kita pertahankan institusi presiden, tetapi sekarang kita tak mahu ia menjadi isu yang beri kesan kepada parti. Jika kita tak belajar dari kesilapan, memang kita pekak dan buta," katanya lagi.

Katanya lagi, Umno kini tidak dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan kerana terganggu dengan tuduhan melibatkan presidennya.

Beliau bagaimanapun tidak berkata Zahid perlu meletakkan jawatan dengan segera, sebaliknya menggesa pemilihan semula diadakan.

Tindakan Zahid semalam boleh dikatakan mengejutkan apabila beliau sebelum ini tampak bertegas untuk terus menjalankan tugas sebagai presiden di sebalik desakan terhadapnya.

Ia mendapat pujian daripada dalam parti itu, antaranya Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang yang menyifatkannya sebagai luar biasa dan Naib Presiden Khaled Nordin yang menganggapnya berjiwa besar.

Sementara itu, exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata Zahid akhirnya sedar beliau kian hilang pengaruh dalam parti itu.

"Zahid sedar dia lose grip dan demi selamatkan parti, dia berkorban," katanya.

Beliau berkata Zahid mungkin perlu terus berehat sehinggalah pemilihan Umno akan datang, iaitu pada 2021.

"Dia tak perlu berundur kerana dipilih oleh perwakilan. Dia cuma perlu berehat kerana masalah Umno adalah tentang kepimpinan, apabila (tugas) diserahkan kepada Mohamad Hasan ramai akar umbi rasa lega," katanya lagi.

Ulasan saya, akhirnya Zahid terima pandangan akar umbi supaya beliau berehat untuk menumpukan kepada kes mahkamahnya. Bagi saya, Zahid berjiwa besar kerana sanggup dengar pandangan akar umbi.

Imej Umno tercalar mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terlibat dalam skandal 1MDB sehingga BN gagal mempertahankan kerajaan yang diterajui selama 61 tahun. Maka ahli Umno mendesak Zahid berundur kerana kononnya kes mahkamahnya akan menyukarkan BN untuk menumbangkan kerajaan PH pada PRU akan datang.

Saya adalah penyokong Zahid sejak tahun 1987 saya mengenalinya ketika beliau adalah setpol Menteri Belia dan Sukan. Saya terhutang budi kepada beliau kerana beliau meluluskan lesen securiy guard saya setelah dua kali Hishamuddin Hussein menolak permohonan syarikat saya tetapi dalam soal politik saya tak sokong ketika Zahid bertanding presiden Umno pada Ogos lalu. 

Saya sokong Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) kerana saya nampak Ku Li calon presiden Umno yang paling bersih antara tiga calon yang bertanding. Saya sudah diberitahu orang dalam SPRM bahawa jika Zahid menang, beliau akan didakwa di mahkamah. Ternyata selepas beliau menang jawatan Presiden Umno, esoknya beliau dipanggil SPRM untuk menyiasat kes pecah amanah dalam yayasan yang dipengerusikannya.

Jadi lebih baik beliau berundur untuk menumpukan kes mahkamah beliau. Sudah tentu kes itu akan lama berlarutan sehingga selepas PRU akan datang. Dalam politik semua serba mungkin. Dr Mahathir yang sudah bersara pada tahun 2003 tak disangka sangka dilantik semula sebagai PM pada tahun 2018.

Oleh itu jika mahkamah memutuskan bahawa Zahid tak bersalah maka beliau boleh bertanding semula jawatan presiden Umno kerana perwakilan bebas memilih persidennya. Jadi tindakan Zahid amat dihargai demi kelangsungan Umno. Pemimpin datang dan pemimpin pergi. Maka terserahlah kepada Datuk Mohamad Hassan mencorakkan Umno.

Tuesday, December 18, 2018

KALAU SAYA ISYTIHAR ADUN BEBAS, RAMAI ADUN BN AKAN IKUT SAYA KATA ADNAN



KUANTAN: Bekas Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob menasihatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi "jangan menggelabah" dan patut lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan supaya tidak mencipta lebih ramai musuh.

"Selaku orang tua, saya nasihatkan presiden jangan menggelabah dalam keadaan Umno tidak stabil.

"Jangan menambah musuh," katanya, lapor media tempatan.

BH Online memetik Adnan berkata sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang bersedia mengikut jejak langkahnya menjadi Adun bebas jika beliau berbuat demikian.

Sebaliknya, Adnan yang juga Adun Pelangai dan Ketua Umno Bahagian Bentong menjelaskan beliau cuma mengenangkan menteri besar sekarang, Wan Rosdy Wan Ismail yang dianggap sebagai saudara kandungnya.

"Saya mengenangkan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail yang saya anggap macam adik kandung.

“Saya nak beritahu, saya bukan ada pengaruh sangat. Jadi MB pun 19 tahun je. Kalau hari ini saya isytihar jadi Adun bebas, sebahagian besar Adun akan ikut saya.

“Saya bukan takbur, boleh jatuh kerajaan Barisan Nasional (BN) Pahang. Ini bukan niat saya. Setakat ini saya ahli Umno tegar. Cuma Umno nampak tak segar,” katanya lagi.

Laporan BH Online juga menyatakan kenyataan Adnan itu dikongsikan Naib Presiden Umno, Hishammuddin Hussein kepada wartawan menerusi WhatsApp apabila diminta mengulas dakwaan Ahmad Zahid berhubung wujud gerakan membeli MP dan Adun Pahang untuk berpaling tadah seterusnya menjatuhkan BN di negeri itu.

Hishammuddin dipetik laporan itu berkata Adnan menjawab dakwaan Ahmad Zahid dan kemudian dikongsikan kepada pemimpin tertinggi Umno.

“Let Pahang leaders answer u my friend. Mantan MB has spoken. Rahman Mohamad, Ahli Parlimen Kuala Lipis has also answered Press’,” kata Hishammuddin, petik BH Online lagi.

Semalam, Ahmad Zahid berkata ada gunting dalam lipatan yang berusaha menumbangkan kerajaan BN di Pahang dengan membawa MP dan Adun Umno berpaling tadah.



Mengulas lanjut, Adnan dipetik berkata kenyataan Ahmad Zahid itu sebagai terlalu rambang.

“Kenyataan presiden ini tersangat rambang.

“Setahu saya Hishammuddin... tidak pernah menghubungi sesiapa di Pahang untuk mengajak ahli parlimen atau Adun Pahang meninggalkan Umno.

“Soal dapat maklumat, tak perlu jadi ‘menteri polis’, ‘menteri askar’. Pernah jadi menteri besar kecil pun banyak dapat maklumat, termasuk maklumat sulit mengenai presiden.

“Tulisan saya bukan sebab ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’. Saya wajib jawab sebab kenyataan presiden dibuat dalam konteks Umno Pahang,” katanya.

Sementara itu, Adnan juga mendedahkan beliau telah bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak pernah minta jumpa Tun (Dr Mahathir). Tun yang panggil saya jumpa beliau. Sebelum berjumpa Tun saya menyembah maklum kepada Pemangku Raja dan memaklumkan kepada Menteri Besar.

“Perjumpaan dengan Tun selama setengah jam berkisar masa depan Melayu. Saya baru sekali saja sekali berjumpa Tun” katanya.

Monday, December 17, 2018

POLIS KENA CARI PEMBUNUH ADIB SAMPAI KE LUBANG CACING

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim kini disiasat dan diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh, kata Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab.

Dalam kenyataan malam ini, beliau berkata kes itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh tetapi kini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muhammad Adib, 24, yang cedera parah dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya bulan lalu, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam ini.

Perkara itu disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin kepada pemberita di IJN.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil itu.

Allahyarham pada asalnya dirawat di sebuah hospital swasta di Subang Jaya, sebelum dipindahkan ke IJN pada hari sama.

-- BERNAMA

Sunday, December 16, 2018

BIAR SAYA KALAH ASALKAN RAKYAT BEBAS DARI ASAP ROKOK

IPOH, 16 Dis (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan beliau tidak bimbang akan kehilangan undi pada pemilihan Parti Amanah Negara (Amanah) tahun depan susulan cadangan larangan merokok di premis makanan yang dikeluarkan kementerian itu.

Pengarah Strategi Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah itu berkata beliau akan tetap menjalankan tugas serta tanggungjawabnya, dan cadangan yang dianggap dianggap 'tidak popular' itu tidak akan berubah.

“Ada sahabat yang menegur saya mengatakan tahun hadapan, tahun pemilihan (parti), saya tidak akan dapat undi mereka… tak apa. Biar saya kalah atas mendirikan prinsip menjamin kesihatan rakyat,” katanya ketika sesi penggulungan pimpinan nasional di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di sini hari ini.

Friday, December 14, 2018

GADIS 18 TAHUN MENANG MISS MALAYSIA KEBAYA 2018



KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Aini Sophi Shamsol Zainal,18, dari Melaka merangkul Anugerah Miss Malaysia Kebaya 2018 pada Grand Final Miss and Mrs Malaysia Kebaya 2018 malam ini.

Beliau turut memenangi Anugerah Popular Kebaya 2018 dan juga Anugerah Fotogenik Kebaya 2018.

Bagi Anugerah Mrs Malaysia Kebaya 2018 pula dimenangi oleh Nur Hazwani Che Rahim, 30 dari Kuala Lumpur.

Sepuluh finalis daripada pelbagai latar belakang berjaya ke peringkat akhir kategori Miss Malaysia Kebaya 2018 manakala tujuh orang finalis bagi kategori Mrs Malaysia Kebaya 2018.

Thursday, December 13, 2018

RAFIZI DILANTIK NAIB PRESIDEN?



KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) – Mohd Rafizi Ramli berkemungkinan dilantik semula sebagai Naib Presiden PKR untuk mengisi jawatan lantikan dalam senarai kepimpinan tertinggi parti itu bagi penggal 2018-2021.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata beliau tidak menolak kemungkinan itu berdasarkan pendirian yang dinyatakan oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesediaannya memberi tempat kepada individu yang memberi sokongan kepada parti.

“Kemungkinan Rafizi tersenarai itu ada, sebab Anwar dah cakap semua yang bersedia memberi sokongan dan bantuan kepada parti untuk kukuhkan jentera parti akan dikumpulkan, akan diserapkan untuk kepimpinan akan datang,

“Senarai penuh jawatankuasa akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pembukaan persimpangan bertingkat Pantai Sentral dekat Lebuhraya Baru Pantai (NPE) yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, hari ini.

Pada proses pemilihan PKR baru-baru ini, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden.

Wednesday, December 12, 2018

BUNG MOKHTAR YANG SETIA DENGAN UMNO DILANTIK PENGERUSI PERHUBUNGAN UMNO SABAH

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) — UMNO Sabah tidak terbubar atau tergugat dengan tindakan keluar parti beramai-ramai pemimpinnya hari ini, kata Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata suatu analisis dilakukan terhadap beberapa jawatan dalam Badan Perhubungan UMNO Sabah bagi membolehkan parti itu menyusun dan merombak badan perhubungan itu, termasuk melaksanakan pelan penggantian di peringkat bahagian sebagaimana dalam Fasal 15.7 dan Fasal 15.8 Perlembagaan UMNO.

“Apa yang berlaku di Sabah merupakan suatu tindakan yang telah dijangka dan ini tidak sama sekali melemahkan perjuangan UMNO yang banyak menabur jasa di negeri itu,” katanya pada sidang media di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Ekoran krisis kepimpinan UMNO Sabah, Anggota Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah berkuatkuasa hari ini, menggantikan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor yang keluar parti.

Tuesday, December 11, 2018

EMPAT PEMIMPIN UMNO YANG JUMPA PM ADA MASAALAH

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mengakui terdapat empat pemimpin UMNO Sabah telah bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Putrajaya hujung minggu lalu.

Beliau berkata dua daripadanya adalah Anggota Parlimen dan dua lagi Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

"Saya tidak tahu siapa yang keluar, saya tak boleh buat kenyataan, nanti kawan-kawan kecil hati, tetapi saya tahu siapa dia, bila, dan apa yang telah dibincangkan.

"Saya boleh mengesahkan kita ada perbincangan beberapa hari lepas dengan beberapa ketua bahagian termasuk pengerusi perhubungan dan juga setiausaha perhubungan. Mereka turut menjelaskan kepada saya permasalahan yang mereka hadapi dan ia kelihatan agak kompleks," katanya pada media di lobi Parlimen hari ini.

Annuar berkata sedemikian ketika mengulas mengenai laporan media yang menyebut UMNO Sabah dijangka akan dibubarkan dan pengumumannya bakal dibuat pengerusi perhubungan negeri parti itu, Datuk Hajiji Noor hari ini.

Empat anggota Parlimen UMNO dari Sabah dijangka keluar parti itu bagi menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan persekutuan.

Mengulas lanjut, Annuar berkata beliau mengikuti perkembangan ini dengan hati yang terbuka kerana UMNO tidak mempunyai sebarang ikatan atau kontrak seperti yang dibuat parti lain.

"Kita tidak ada kontrak, baiah serta ikatan-ikatan yang cuba menyekat wakil rakyat UMNO terutamanya berhijrah ke mana-mana parti.

"Satu aspek wakil rakyat kita terus dilamar. Kita terus dihubungi, diajak, dipujuk ,dilamar dan kita ambil sikap terbuka terpulang kepada wakil-wakil rakyat kita untuk membuat pendirian politik masing-masing.

-- BERNAMA?

Monday, December 10, 2018

KHAIRY TIDAK TERLIBAT PAKSA ZAHID BERUNDUR

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak tahu menahu tentang laporan yang mendakwa ada usaha di kalangan pimpinan UMNO untuk memaksa presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebelum akhir tahun ini.

Khairy, yang juga bekas calon Presiden UMNO dalam pemilihan parti Jun lalu, berkata beliau tidak terlibat sama dalam hal berkenaan jikapun ia (komplot itu) benar.

"Saya tak dengar apa-apa, saya tak tahu apa-apa, kalau ada sebarang usaha, ia tidak melibatkan saya," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar NST yang mendakwa terdapat kalangan pimpinan parti itu yang sudahpun merumuskan laluan untuk Ahmad Zahid berundur daripada jawatannya.

Sunday, December 9, 2018

PH BIAYAI PARTI MELALUI JUAL MEJA BUKAN MELALUI KOMISEN PROJEK KERAJAAN

PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) – Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan (PH) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.665 juta melalui penjualan meja pada acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata, keseluruhan 156 buah meja telah berjaya dijual bagi mengumpul dana secara telus dan berintegriti.

Menurutnya, dana tersebut dimasukkan terus ke akaun bank PH.

“Kita mahu memastikan iltizam PH untuk tidak menggunakan dana kerajaan untuk aktiviti politik kepartian dapat dilaksanakan.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu gerak kerja parti komponen PH dapat terus berjalan dengan lancar demi manfaat rakyat,” katanya pada majlis itu.

Dr Wan Azizah merupakan pengerusi jawatankuasa majlis berkenaan dengan bertujuan menjana kewangan PH bagi membiayai kos operasi, pengurusan dan aktivitinya.

Majlis bertema ‘Memenuhi Harapan, Mengisi Kemenangan’ itu turut dihadiri Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Hadir sama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah.

-- BERNAMA

Saturday, December 8, 2018

JANGAN UNGKIT KEDUDUKAN MB JOHOR



KUALA LUMPUR: Kedudukan Menteri Besar Johor, Osman Sapian tidak perlu dibangkitkan demi memastikan kestabilan politik di negeri itu, kata presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Menteri Dalam Negeri itu berkata ahli atau parti komponen boleh menyuarakan pendapat melalui saluran yang betul sekiranya ada perkara berbangkit.

“Bagi menentukan politik di negeri ini stabil, kedudukan Menteri Besar tidak seharusnya dibangkitkan, lagipun kita ada peraturan-peraturan, kalau berbangkit dalam parti boleh menyalurkan dalam parti seperti konvensyen. Ini satu daripada cara.

“Kita mengamalkan dasar demokratik terbuka, tetapi kalau ada usaha-usaha untuk buat itu ini, ia tidak baik bukan sahaja untuk individu, tetapi negeri Johor. Jadi kita perlu terima, bagi saya Datuk Osman sudah buat apa yang terbaik setakat hari ni,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan usaha melobi seorang exco di negeri itu untuk dijadikan Menteri Besar pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Johor 2018 di Kulai hari ini. Osman sendiri turut hadir dalam konvensyen berkenaan.

Muhyiddin berkata, beliau tidak menafikan Osman pernah beberapa kali bertemu dengannya dan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan pelbagai perkara.

“Jadi rakyat perlu beri sokongan supaya kerajaan PH Johor mantap. Itu bagi saya amat mustahak,” katanya.

Osman baru-baru menerima kritikan apabila kerajaan negeri membatalkan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi.

Keputusan itu dibuat ketika mesyuarat exco pada 24 September lalu.

Antara yang mengkritik Osman ialah tokoh wartawan A Kadir Jasin yang menggesa menteri besar itu sama ada memberikan penjelasan atau meletakkan jawatan.

Kadir sendiri dilihat merupakan penyokong kuat Mahathir.

Semalam, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mendedahkan istana sedar ada pihak cuba melobi salah seorang exco kerajaan negeri dalam cubaan untuk menggantikan Osman.

TMJ, dalam akaun Twitternya, berkata: “Anda bukan seorang Perdana Menteri. Apa yang membuatkan anda berfikir dengan cuba melobi seseorang menjadi Menteri Besar yang boleh menjadi boneka anda, anda boleh mengawal Johor?

“Anda melobi seorang exco kami menjadi Menteri Besar. Kami tahu itu. Ini bukan lagi 1992. Negeri Johor masih ada Sultan yang memerintah,” katanya.

Friday, December 7, 2018

ISU PTPTN PUNCA PH KALAH PRU AKAN DATANG?

SHAH ALAM, 7 Dis (Bernama) -- Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dilihat boleh menjadi antara punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) 'dikeluarkan' daripada terus mentadbir negara, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Berikutan itu, beliau berkata isu berkenaan harus dibincang dengan baik oleh semua pihak kerana ia melibatkan kos sara hidup yang sering menjadi topik utama dibangkitkan golongan muda masa kini.

"Kalau saya tak berjaya angkat suara anak muda tentang ini (PTPTN), maksudnya saya gagal. Sebab itu, kalau kita bincang tentang PTPTN, saya kena pertahankan (keutamaan golongan muda) dan bawa ke jemaah menteri untuk mencari kaedah yang komprehensif menyelesaikannya.

Thursday, December 6, 2018

PELEKAT TMM2020 JUGA AKAN DITAMPAL DI BADAN PESAWAT INDIGO AIRLINES INDIA



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi mempertahankan cadangan kementerian untuk menampal pelekat khas 'Tahun Melawat Malaysia 2020’ (TMM 2020) pada badan pesawat Malaysia Airlines (MAS) sebagai usaha mempromosi industri pelancongan negara ini.

Beliau berkata cadangan itu adalah baik untuk menarik pelancong asing ke negara ini.

Terdahulu, dalam satu jawapan di Dewan Rakyat, Mohammadin berkata kementerian kini dalam perbincangan dengan MAS dan syarikat penerbangan luar antaranya IndiGo Airlines (India) untuk menampal pelekat tersebut sebagai usaha menarik dan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.

Sementara itu Mohamaddin Ketapi menyifatkan Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan industri pelancongan yang mampan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Mohamaddin berkata industri pelancongan negara merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara, dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.9 peratus atau RM201.4 bilion.

“Industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar. Di samping itu, guna tenaga industri pelancongan juga mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang, 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada 2016,” katanya.

Wednesday, December 5, 2018

SIAPA BOHONG: DR AZIZ BARI ATAU SAARANI MOHAMAD?



IPOH: Gambar dan akuan bersumpah lima Adun Umno yang bertemu exco Perak Dr Abdul Aziz Bari menjadi sandaran bagi ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Saarani Mohamad untuk membuktikan dakwaan cubaan menjatuhkan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, lapor media tempatan.

Saarani dipetik Utusan Online berkata, kesemua bukti berkenaan akan diserahkan kepada pihak polis sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

"Akuan bersumpah ini adalah bukti sahih dan dibuat berasaskan apa yang dilaporkan oleh lima Adun kepada saya. Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, kertas siasatan telah dibuka dan ini bermakna saya akan dipanggil pada bila-bila masa.

"Saya bukan menipu dan mereka-reka cerita. Saya ada akuan bersumpah daripada kesemua Adun Umno yang telah ditemui secara peribadi oleh Adun Tebing Tinggi (Dr Abdul Aziz Bari). Dia sendiri pergi jumpa dan gambar pun ada," katanya hari ini.

Saarani juga mengulas penafian yang dibuat Abdul Aziz susulan pendedahan beliau mengenai 'komplot' itu di dalam sidang DUN semalam.

'Saya bukan pembohong'

"Dia perasan dia kuat sebab dapat undian tinggi pada pemilihan DAP.

"Bagaimanapun satu benda yang dia perlu belajar dan fikir, bukan dia seorang sahaja yang berminat dengan jawatan menteri besar, dia silap. Di antara mereka yang lain akan persoalkan.




"Saya bukan pembohong dan tiada niat untuk jatuhkan air muka dia. Saya mahu menjaga keamanan dan keselamatan negeri Perak. Saya tidak mahu cara mendapatkan kerajaan secara tidak demokratik," jelasnya lagi.

Semalam, Abdul Aziz menafikan dirinya menjadi dalang untuk menjatuhkan menteri besar menerusi undi tidak percaya.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Saarani BN-Kota Tampan) sebagai satu 'cerita kartun'.

Terdahulu, Saarani semasa sesi perbahasan Belanjawan Perak 2019 ‘menggambarkan’ Abdul Aziz sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan menteri besar.

Tuesday, December 4, 2018

MP PEMBANGKANG PUJI ZURAIDA



KUALA LUMPUR: Menteri PH perlu belajar bagaimana untuk bertindak daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang dilihat rajin bekerja dan meneruskan agenda-agenda pembangunan rakyat.

Sebagai contoh, kata Halimah Mohamad Sadique (BN-Kota Tinggi), Zuraida cepat bertindak dalam kejadian seperti enam anggota bomba yang lemas, rusuhan kuil di Seafield, dan memindahkan anggota bomba yang parah, Muhammad Adib Mohd Kassim dari Pusat Perubatan Subang Jaya ke Institut Jantung Negara.

“(Zuraida) menteri wanita berani. Sentiasa peka dan bertindak pantas.

“Kadang-kadang menteri-menteri ini tidak tahu dia kena buat perkara-perkara seperti ini dan kadang-kadang bercakap entah apa-apa" kata Halimah ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, selain meneruskan agenda-agenda pembangunan rakyat, termasuk daripada kerajaan terdahulu, Zuraida juga banyak mencadangkan perkara-perkara baru.

“Saya minta maaf kepada menteri yang lain. Ini memang menteri yang bekerja. Jadi saya terpaksa ucap tahniah kepada menteri yang tahu buat kerja dengan baik.




“Saya ucap tahniah kepada menteri kerana tetap meneruskan agenda rakyat. Meneruskan kesinambungan apa yang telah dilakukan oleh menteri terdahulu.

“Saya harap menteri-menteri lain ini belajar la macam mana Ampang (Zuraida) s melaksanakan tugasnya itu,” kata Halimah.

Halimah pernah menjadi timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan semasa kerjaan BN sebelum ini.

Monday, December 3, 2018

ROSAK KALAU DR MASZLEE TERUS PIMPIN KEMENTERIAN PENDIDIKAN



KUALA LUMPUR: Selepas bekas perdana menteri Najib Razak, giliran Dr Rais Yatim pula mengkritik cadangan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memasukkan skandal 1MDB dalam sejarah Malaysia.

Rais yang merupakan bekas menteri dan penasihat kerajaan menyuarakan kebimbangannya terhadap kementerian pendidikan yang diterajui Maszlee.

"Kalau betullah berita ini, sia-sia (jika) dia dibiarkan terus memimpin kementerian pendidikan. Rosak," ciapnya di Twitter.

Setakat ini, ciapan oleh pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu dikongsi 769 pengguna Twitter lain termasuk Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Ia turut melampirkan satu laporan media bertajuk “Skandal 1MDB masuk sukatan pelajaran Sejarah” yang memetik kenyataan Maszlee berhubung perkara itu.

Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Maszlee berkata skandal 1MDB dan jenayah ahli politik seperti "menyamun" akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.

MasyaAllah ...kalau betullah berita ni sia sia dia di biarkan terus memimpin Kementerian Pendidikan. Rosak

"Saya boleh memberi jaminan bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya generasi di masa depan tidak akan mengulanginya," katanya.

Maszlee bagaimanapun tidak menyebutkan secara spesifik sama ada isu 1MDB akan dimasukkan dalam kurikulum sekolah.

Beliau menjawab celahan Anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan berhubung mata pelajaran Sejarah di sekolah swasta.

"Jika kita tidak tahu sejarah, maka berkemungkinan kita akan mengulangi keburukan sejarah yang pernah dilalui, dan saya ingin tahu ada berapa sekolah swasta di negara yang mengambil (subjek) Sejarah seperti 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina," katanya.

Najib - yang terpalit secara langsung dengan skandal itu - turut menyindir Maszlee berhubung kenyataan terbarunya itu.

"Saya rasa tak lama lagi Maszlee sendiri akan masuk dalam buku sejarah. Ada masa dan tempatnya kita berpolitik, dan bukan di sekolah," katanya lagi.

Sunday, December 2, 2018

LEBIH BAIK BUBAR MCA

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) – Perhimpunan Agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat memulakan proses pembubaran Barisan Nasional (BN) dan membentuk perikatan baharu.

Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata BN telah mengalami kecondongan kuasa yang amat ketara dan setiap parti komponen memerlukan penghayatan dan penilaian semula bagi mentransformasikan parti masing-masing.

"Justeru demi kebangkitan semula, BN perlu dibubarkan dalam suasana persefahaman dan persetujuan bersama supaya dapat memberi ruang yang bebas dalam usaha transformasi dan pembinaan semula,"katanya.

Ulasan saya, daripada bubar BN lebih baik bubarkan MCA kerana masyarakat Cina sudah menolak MCA sebagai parti yang mewakili kaum mereka.

Saturday, December 1, 2018

MCA TAK BAWA UNTUNG PUN KEPADA BN

KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- MCA akan memutuskan sekiranya ia akan kekal bersama dengan Barisan Nasional (BN), atau meninggalkannya, atau mungkin mendesak agar pakatan itu dibubarkan sahaja; pada perhimpunan agung tahunannya esok, kata Timbalan Presidennya Datuk Dr Mah Hang Soon.

Beliu berkata komuniti Cina berpandangan MCA harus meninggalkan BN walaupun MCA sebagai rakan pengasas kepada penubuhan pakatan BN sudah sekian lama mengharungi saat ‘susah-senang’ kewujudannya bersama dengan Umno dan MIC sejak negara mendapai kemerdekaan.

“Pada ketika BN dalam keadaan lemah susulah kekalahan teruk pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lepas, persoalan kini adalah sama ada MCA harus meninggalkan BN, atau meminta agar BN dibubarkan selaras dengan kedudukan MCA sebagai angota pengasas kepda penubuhan BN. Ini adalah pilihan yang perlu diputuskan oleh anggota MCA untuk masa hadapannya,” katanya semasa berucap merasmikan perhimpunan agung tahunan Pemuda MCA di sini hari ini.

Ulasan saya, lebih baik MCA keluar dari BN kerana MCA bukannya parti mewakili masyarakat Cina. MCA tak bawa untung pun pada BN. MCA menang satu kerusi sahaja. Itu pun MCA bertanding di kawasan orang Melayu. Jadi tak ada makna MCA berada dalam BN. MCA bertanding guna lambang sendiri pada PRK Seri Kembangan pun ditolak oleh pengundi Cina.