Thursday, December 6, 2018

PELEKAT TMM2020 JUGA AKAN DITAMPAL DI BADAN PESAWAT INDIGO AIRLINES INDIA



KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohammadin Ketapi mempertahankan cadangan kementerian untuk menampal pelekat khas 'Tahun Melawat Malaysia 2020’ (TMM 2020) pada badan pesawat Malaysia Airlines (MAS) sebagai usaha mempromosi industri pelancongan negara ini.

Beliau berkata cadangan itu adalah baik untuk menarik pelancong asing ke negara ini.

Terdahulu, dalam satu jawapan di Dewan Rakyat, Mohammadin berkata kementerian kini dalam perbincangan dengan MAS dan syarikat penerbangan luar antaranya IndiGo Airlines (India) untuk menampal pelekat tersebut sebagai usaha menarik dan meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia.

Sementara itu Mohamaddin Ketapi menyifatkan Malaysia berada di landasan yang betul bagi mencapai pertumbuhan industri pelancongan yang mampan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Mohamaddin berkata industri pelancongan negara merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara, dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.9 peratus atau RM201.4 bilion.

“Industri pelancongan merupakan penyumbang ketiga terbesar dengan sumbangan bernilai RM73.3 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar. Di samping itu, guna tenaga industri pelancongan juga mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang, 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada 2016,” katanya.

No comments:

Post a Comment