Wednesday, December 19, 2018

TINDAKAN ZAHID MEMANG TEPAT PADA WAKTUNYA DEMI KELANGSUNGAN UMNO



KUALA  LUMPUR: Pengumuman Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk yang menyerahkan tugasnya sebagai presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan semalam nampaknya gagal memuaskan hati semua pihak dalam parti itu.

Seorang Ketua Pemuda Umno Bahagian di Johor berkata kenyataan Zahid semalam bersifat tergantung terutama dalam soal hala tuju Umno.

Beliau yang meminta namanya tidak disiarkan berkata, Zahid misalnya tidak memberi tempoh masa yang khusus peralihan tugas itu.

"Nak kata dia mahu berehat agak kasar. Apa yang berlaku semalam adalah timbalan jalankan tugas presiden, pendekatan yang lembut. Maknanya dia (Zahid) tak mahu berhenti atau letak jawatan.

"Jadi ia agak kabur dan sekadar mahu redakan golongan yang tak berpuas hati dengannya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tindakan Zahid semalam susulan desakan agar beliau meletakan jawatan sebagai presiden selepas sejumlah pemimpin dan anggota parlimen Umno mengumumkan keluar parti.

Semalam ketika ditanya tentang tempoh masa pemindahan tugas itu, Zahid hanya berkata sehingga Mohamad tidak sanggup lagi memikulnya atau merasakan beliau mampu menjalankan kembali tugas itu.

Ketua Pemuda itu berkata lagi, Umno tidak boleh mengulang kesilapan mempertahankan presiden mereka yang terpalit dengan tuduhan skandal - seperti yang dilakukan ketika Najib mengemudi parti itu.

Katanya, sebelum PRU ke-14 Umno mempertahankan Najib yang terkait dengan skandal 1MDB kerana tidak mahu melihat parti itu runtuh, namun rakyat tetap menolak mereka sehingga hilang kuasa.

"Kita tak mahu pisang berbuah dua kali. PRU ke-14 kita kalah sebab isu integriti melibatkan Najib. Sekarang presiden kita pun berdepan tuduhan berkaitan integriti," katanya merujuk 46 pertuduhan yang dihadapi Zahid.

"Dulu kita pertahankan institusi presiden, tetapi sekarang kita tak mahu ia menjadi isu yang beri kesan kepada parti. Jika kita tak belajar dari kesilapan, memang kita pekak dan buta," katanya lagi.

Katanya lagi, Umno kini tidak dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan kerana terganggu dengan tuduhan melibatkan presidennya.

Beliau bagaimanapun tidak berkata Zahid perlu meletakkan jawatan dengan segera, sebaliknya menggesa pemilihan semula diadakan.

Tindakan Zahid semalam boleh dikatakan mengejutkan apabila beliau sebelum ini tampak bertegas untuk terus menjalankan tugas sebagai presiden di sebalik desakan terhadapnya.

Ia mendapat pujian daripada dalam parti itu, antaranya Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang yang menyifatkannya sebagai luar biasa dan Naib Presiden Khaled Nordin yang menganggapnya berjiwa besar.

Sementara itu, exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata Zahid akhirnya sedar beliau kian hilang pengaruh dalam parti itu.

"Zahid sedar dia lose grip dan demi selamatkan parti, dia berkorban," katanya.

Beliau berkata Zahid mungkin perlu terus berehat sehinggalah pemilihan Umno akan datang, iaitu pada 2021.

"Dia tak perlu berundur kerana dipilih oleh perwakilan. Dia cuma perlu berehat kerana masalah Umno adalah tentang kepimpinan, apabila (tugas) diserahkan kepada Mohamad Hasan ramai akar umbi rasa lega," katanya lagi.

Ulasan saya, akhirnya Zahid terima pandangan akar umbi supaya beliau berehat untuk menumpukan kepada kes mahkamahnya. Bagi saya, Zahid berjiwa besar kerana sanggup dengar pandangan akar umbi.

Imej Umno tercalar mempertahankan Datuk Seri Najib Tun Razak yang terlibat dalam skandal 1MDB sehingga BN gagal mempertahankan kerajaan yang diterajui selama 61 tahun. Maka ahli Umno mendesak Zahid berundur kerana kononnya kes mahkamahnya akan menyukarkan BN untuk menumbangkan kerajaan PH pada PRU akan datang.

Saya adalah penyokong Zahid sejak tahun 1987 saya mengenalinya ketika beliau adalah setpol Menteri Belia dan Sukan. Saya terhutang budi kepada beliau kerana beliau meluluskan lesen securiy guard saya setelah dua kali Hishamuddin Hussein menolak permohonan syarikat saya tetapi dalam soal politik saya tak sokong ketika Zahid bertanding presiden Umno pada Ogos lalu. 

Saya sokong Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) kerana saya nampak Ku Li calon presiden Umno yang paling bersih antara tiga calon yang bertanding. Saya sudah diberitahu orang dalam SPRM bahawa jika Zahid menang, beliau akan didakwa di mahkamah. Ternyata selepas beliau menang jawatan Presiden Umno, esoknya beliau dipanggil SPRM untuk menyiasat kes pecah amanah dalam yayasan yang dipengerusikannya.

Jadi lebih baik beliau berundur untuk menumpukan kes mahkamah beliau. Sudah tentu kes itu akan lama berlarutan sehingga selepas PRU akan datang. Dalam politik semua serba mungkin. Dr Mahathir yang sudah bersara pada tahun 2003 tak disangka sangka dilantik semula sebagai PM pada tahun 2018.

Oleh itu jika mahkamah memutuskan bahawa Zahid tak bersalah maka beliau boleh bertanding semula jawatan presiden Umno kerana perwakilan bebas memilih persidennya. Jadi tindakan Zahid amat dihargai demi kelangsungan Umno. Pemimpin datang dan pemimpin pergi. Maka terserahlah kepada Datuk Mohamad Hassan mencorakkan Umno.

No comments:

Post a Comment