Wednesday, February 28, 2018

PNB SERAH ZAKAT RM9.68 JUTA KEPADA MAIDAM

KUALA TERENGGANU, 28 Feb (Bernama) -- Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM9.68 juta kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menerima penyerahan zakat berkenaan daripada Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar dalam satu majlis yang diadakan di Istana Syarqiyyah, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Datuk Abdul Rahman Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam Wan Ismail Sahaimi.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Abdul Wahid ketika ditemui pemberita berkata PNB berhasrat mencapai dana sebanyak RM350 bilion menjelang tahun 2022 berbanding sekarang iaitu sebanyak RM279 bilion.

Katanya sasaran itu diyakini dapat dicapai menerusi usaha yang dijalankan PNB bagi meningkatkan jumlah pelabur termasuk mengadakan seminar pelaburan yang diadakan secara harian di seluruh negara.

RATING TERTINGGI BAGI BULAN FEBRUARI 2018

"Cukuplah Shahrizat bertanding" muncul sebagai posting tertinggi bagi bulan Februari bagi blog ini dengan 111 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Februari 2018 adalah seperti berikut:-

1. Cukuplah Shahrizat bertanding (5.2) - 111 hits
2. Umno yakin tawan empat kerusi parlimen (18.2)
3. Tak puas tonton teater Ola Bola (10.2)
4. Permuafakatan terpimpin jadikan BN terus relevan (16.2)
5. Rombongan umrah kedua penggiat seni pada April (6.2)
6. MB Kelantan lawat projek Tulangis Maju (27.2)
7. PAS desak SPRM kemuka hasil siasatan kekayaan anak Dr Mahathir (23.2)
8. Jangan politikkan persempadanan semula pilihanraya (2.2)
9. Sesiapa boleh mengaku jadi calon tapi PM yang tentukan calon (26.2)
10. Pembunuhan karektor cukup menjelikkan (19.2)

Tuesday, February 27, 2018

MB KELANTAN LAWAT PROJEK TULANGIS MAJU





KOTA BAHRU: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob telah meluangkan masa melawat projek Tulangis Maju Sdn Bhd di Wakaf Mek Zainab di sini Isnin lalu.

Beliau berpuas hati dengan prestasi kontraktor yang menyiapkan 1,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang pertama dalam bandar Kota Bahru.

Projek bernilai RM165 juta itu telah siap pada November 2017 dan akan diserahkan kepada Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar pada bulan April nanti.

Projek PPR tersebut adalah projek kedua Tulangis Maju di Kelantan yang sudah siap selepas PPR Gua Musang 1. Manakala PPR Gua Musang 2 dan PPR Machang dalam proses pembinaan.

1,000 unit rumah PPR tersebut akan dijual kepada rakyat dengan harga RM35,000 manakala kerajaan beri subsidi sebanyak RM130,000 yang mana harga sebuah rumah ialah sebanyak RM165,000.

Ini menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) amat perihatin dengan masalah rakyat yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri.

ATM SERU LEBIH RAMAI BUKAN MELAYU SERTAI TENTERA

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mahu lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai organisasi pertahanan itu agar dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan anggota dan masyarakat.

Panglima ATM Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata ATM tidak pernah menutup peluang mana-mana kaum untuk menyertainya.

"Saya menyeru kaum India, Cina, dan lain-lain kaum untuk menceburi bidang ketenteraan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara Perasmian Op Perisai Akidah Peringkat ATM dan Pelancaran Buku Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di Auditorium MINDEF, Wisma Pertahanan di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (MACVA) dalam satu portal berita tempatan Sabtu lepas bahawa kerajaan 'terlalu memilih' dalam merekrut kaum Cina yang mahu menyertai bidang ketenteraan dan kepolisan.

Presidennya, Mejar (B) Tan Pau Son dilaporkan berkata lebih 100 anggota kaum Cina mahu menyertai pasukan itu sejak dua tahun lepas tetapi ditolak atas alasan 'mereka tidak cukup baik'

-- BERNAMA

Monday, February 26, 2018

SESIAPA BOLEH MENGAKU JADI CALON TAPI PM YANG AKAN TENTUKAN CALON

KUALA NERUS, 26 Feb (Bernama) -- Hanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO yang berkuasa menentukan calon BN bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sehingga tempoh pengumuman itu parti tidak mampu menghalang jika ada dalam kalangan anggota parti yang membuka mulut dan mengaku bahawa beliau adalah calon yang akan bertanding pada PRU14 kelak.

"Kita tak boleh hentikan atau tidak boleh tutup mulut tempayan namun kita harus akur dan terima calon yang akan dimuktamadkan oleh PM selaku pengerusi BN dan presiden UMNO nanti.

"Pada masa kini PM sedang mengadakan rundingan dengan menteri besar di negeri-negeri selaku pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri di Semenanjung dan Sabah untuk tentukan senarai terakhir calon berdasarkan kriteria-kiteria yang telah parti tetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Terengganu 'Molek Doh' di perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus, di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri BesarDatuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Harlina Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Wan Nawawi Wan Ismail, saf kepimpinan kerajaan Terengganu dan 40,000 pengunjung ekspo.

Ahmad Zahid mengulas pertanyaan pemberita isu 'kebocoran' kononnya senarai calon BN yang akan bertanding pada PRU14 yang masih belum ditentukan tarikhnya sehingga saat ini.

Mengulas lanjut katanya pucuk pimpinan hanya akan memilih calon yang sesuai berdasarkan kriteria yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan, bukan berdasarkan 'angan-angan'.

"Sesiapa pun boleh berangan...kita ada metodologi tertentu, bukan berdasarkan angan-angan. Kita buat uji kaji ikut kriteria siapa individu yang disenangi pengundi dan keupayaan dia untuk menang di samping pada masa depan sama ada dia mampu jaga kepentingan pengundi dan semangat kekitaan yang dimiliki bersama pemimpin-pemimpin lain," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, February 24, 2018

TINDAKAN MAHATHIR MINTA DERMA SATU LAKONAN

KANGAR, 24 Feb (Bernama) -- Tindakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad meminta derma dan sumbangan orang ramai bagi membantu parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya sebagai satu lakonan sahaja.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata PPBM sebenarnya tidak mempunyai masalah kewangan kerana yakin ada tokoh-tokoh perniagaan semasa zaman pemerintahan bekas perdana menteri itu akan tampil dan sanggup menaja parti itu pada PRU14 kali ini.

"Saya tahu siapa 'Uncle' yang selalu menaja sambutan ulang tahun kelahiran Dr Mahathir dengan kos RM1 juta hingga RM2 juta hampir saban tahun kerana masa berkuasa dulu dia (Dr Mahathir) beri mereka bermacam peluang sehingga menjadi jutawan.

"Jika Dr Mahathir hendak bertanding (PRU) kali ini, saya yakin mereka akan sokong dia," katanya kepada pemberita selepas perasmian Seminar Agronita 2018 peringkat negeri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man di sini, hari ini.

Justeru, sebagai 'orang lama' dalam UMNO, katanya, beliau mengetahui 'drama' dan 'temberang' bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Tajuddin, yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata Dr Mahathir boleh menipu rakyat dengan 'lakonannya' tetapi bukan dengan orang-orang lama dalam UMNO.

"Saya amat kasihan dengan rakyat yang mudah percayakan beliau," katanya dan menambah Dr Mahathir juga boleh bertanding atas tiket DAP pada PRU14 tetapi beliau tidak akan mendapat sokongan orang Melayu.

Menyentuh soal bijirin 'quinoa' yang menjadi makanan diet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, katanya, pembangkang tiada modal sehingga makanan pun dijadikan modal politik mereka.

"...apa masalahnya kalau dia (Najib) hendak makan. Sesiapa pun kalau mampu boleh makan jika ia baik untuk kesihatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajuddin berkata pembukaan empat kawasan jelapang baharu iaitu di Kota Belud (Sabah), Batang Lupar (Sarawak), Rompin dan Pekan (Pahang) yang meliputi 19,000 hektar kawasan dijangka dapat memenuhi keperluan beras dalam negara menjelang 2020.

Katanya, kekurangan ketara ialah daging kerana 80 peratus masih bergantung kepada import yang bernilai kira-kira RM2 bilion setahun manakala import produk tenusu pula hampir RM4 bilion setahun.

-- BERNAMA

Friday, February 23, 2018

MALAYSIA FOKUS CAPAIAN INTERNET DI SELURUH NEGARA

KUALA BERANG, 23 Feb (Bernama) -- Malaysia menumpukan capaian internet dapat diakses rakyat di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata dengan itu kadar kelajuan perkhidmatan internet di Malaysia tidak boleh dibandingkan dengan negara lain di rantau ini berikutan pendekatan yang digunakan kerajaan masing-masing dalam menyediakan perkhidmatan itu berbeza antara satu sama lain.

"Berbeza dengan negara Vietnam (contohnya), ia (capaian internet) lebih bertumpu ke bandaraya Ho Chi Minh...begitu juga dengan Singapura yang mempunyai jumlah penduduk tidak sama dengan Malaysia. Rangkaian jalur lebar dan 4G di Malaysia difokus secara menyeluruh ke seluruh negara," katanya kepada pemberita pada majlis Switch Onn dan Santai bersama Masyarakat di Tanah Lot Kampung Bukit Gemuroh, di sini, hari ini.

Jailani yang juga Anggota Parlimen Hulu Terengganu mengulas artikel yang disiarkan Free Malaysia Today semalam yang menyatakan Malaysia mempunyai rangkaian 4G di semua tempat tapi di antara yang paling perlahan.

Kajian dilakukan oleh Open Signal, sebuah syarikat pakar mengenai rangkaian pemetaan tanpa wayar itu menyatakan walaupun taraf 4G negara mencapai 74.88 peratus tetapi kelajuannya hanya 14.83 Mbps.

Jailani berkata Malaysia melaksanakan program pembangunan jalur lebar iaitu Program Perkhidmatan Sejagat (USB) yang dana disumbangkan oleh pihak pemberi perkhidmatan dan dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berperanan mengenal pasti lokasi terutamanya di kawasan luar bandar yang kurang liputan internet.

Beliau berkata negara turut memperluaskan rangkaian jalur lebar kepada penduduk berpandukan jumlah penduduk di sesuatu kawasan dengan memastikan dalam satu kilometer persegi yang mempunyai 80 orang penduduk perlu diliputi infrastruktur dan rangkaian telekomunikasi.

Selain itu, katanya pihak syarikat telekomunikasi menerusi syarat yang telah dipersetujui perlu menyediakan infrastruktur bagi memastikan di setiap kawasan di Malaysia akan dapat kemudahan capaian internet.

"Kami sedia maklum mengenai komen yang diberi dan saya ingin tekankan proses naik taraf daripada 3G kepada 4G sedang berlangsung ketika ini dan meliputi semua rangkaian di seluruh Malaysia.

"Disasarkan pada tahun 2025 kadar jalur lebar akan berada pada tahap 95 peratus berbanding 84 peratus sekarang," katanya.

Beliau berkata kadar jalur lebar di Malaysia adalah yang terbaik dengan setiap kawasan disediakan kemudahan itu.

-- BERNAMA

PAS DESAK SPRM KEMUKA HASIL SIASATAN KEKAYAAN ANAK DR MAHATHIR

KOTA BHARU, 23 Feb (Bernama) -- Anggota akar umbi PAS Kawasan Kubang Kerian hari ini mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hasil siasatan terhadap dakwaan kekayaan anggota keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wakilnya, Azmi Mat Husin berkata kemewahan yang dimiliki oleh keluarga berkenaan sangat luar biasa kerana seorang anak Mahathir, Tan Sri Mokhzani turut tersenarai antara orang terkaya di Malaysia.

"Saya hairan dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri sehingga anaknya memiliki kekayaan luar biasa.

"Justeru, kami mendesak agar siasatan SPRM sebelum ini dapat didedahkan kepada umum kerana ramai yang nak tahu mengenainya," katanya selepas mengadakan perhimpunan mendesak perkara tersebut di depan Masjid al-Fattah, Jalan Pintu Geng di sini, hari ini.

Kira-kira 20 anggota PAS Kawasan Kubang Kerian turut menyertai perhimpunan tersebut yang berlangsung selepas solat Jumaat.

Dalam pada itu, Azmi turut menggesa agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis dalam kejadian lebih 30 tahun lepas itu.

Beliau berkata rakyat Malaysia ingin mengetahui kejadian sebenar yang berlaku ketika itu dan mereka yang terbabit dengan kes berkenaan perlu dihukum jika dibuktikan bersalah.

-- BERNAMA

Thursday, February 22, 2018

FELCRA LANCAR PELAN TRANSFORMASI WADIRA FELCRA

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Felcra Berhad hari ini melancarkan Pelan Tranfomasi Perkumpulan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) bagi memantapkan pengurusan institusi tersebut menjelang tahun 2022.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata Pelan Transformasi Wadira Felcra 2018 hingga 2022 menggariskan 10 pelan transformasi utama yang mengandungi 20 teras pelaksanaan meliputi aspek-aspek seperti pengurusan, kesihatan, pendidikan kanak-kanak, keusahawanan dan lain-lain.

"Bagi mencapai matlamat tersebut, sebanyak RM830,000 dana berbentuk geran akan diperuntukkan oleh Felcra Berhad, di mana, setiap yang terlibat akan menerima peruntukan sebanyak RM10,000 bagi pelaksanaan program di peringkat akar umbi.

"Peruntukan ini akan digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sosio ekonomi yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 83 unit kumpulan Wadira di seluruh negara,"katanya ketika ditemui Bernama di Konvensyen Perdana Wadira 2018 yang dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bung Mokhtar berkata Felcra akan mempelbagaikan lagi program sedia ada bagi membantu anggota Wadira dalam meningkatkan kemahiran dan ilmu mereka.

"Apa yang saya lihat, mereka nampak lebih bersemangat apabila program sebegini diadakan. Saya yakin program sebegini dapat memberi impak dalam kumpulan mereka.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, Ketua Pengarah Seranta Felcra Berhad, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Wadira yang ditubuhkan pada 1979 itu diwujudkan untuk menggerakkan projek-projek di kawasan perkampungan Felcra yang mempunyai petempatan peserta yang ramai.

"Sehingga kini, terdapat 83 Institusi Wadira dengan keahlian seramai 17,562 orang di serata Malaysia.

"Pertubuhan Wadira merupakan badan perantara di antara keluarga anggota dengan pengurusan Felcra Berhad. Anggota Wadira yang terdiri daripada suri rumah akan dibimbing untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarga, katanya.

Menurut Najmil Faiz, Wadira aktif menjalankan aktiviti keusahawanan atas jenama Wadira antaranya perniagaan madu kelulut, kraftangan, roti dan pastri serta jahitan.

Felcra yang ditubuhkan pada 1966 telah ditukar nama kepada Felcra Berhad dan statusnya telah bertukar dari sebuah Badan Berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan pada tahun 1997. Penukaran entiti korporat ini membolehkan Felcra Berhad menyertai bidang perniagaan yang baru selaras dengan aspirasi pembangunan nasional.

-- BERNAMA

Wednesday, February 21, 2018

FILEM BAHARU AHMAD IDHAM BAKAL MUNCUL MAC DEPAN

Semalam ketika berada di pejabat Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak saya tak perasan pengarah filem Ahmad Idham menunggu gilirannya untuk menemui Dr Salleh.

Saya terus memperkenalkan diri dari MH Online dan menegurnya dan kami berbual panjang. Beliau menceritakan filem terbarunya "Hantu Wangan" yang bakal ditayangkan pada bulan Mac.

Sekali lagi beliau  menyangkal dakwaan kononnya dia sekali lagi meniru tajuk filem apabila bakal menghasilkan filem "Hantu Wangan" yang sama dengan filem arahan Pekin Ibrahim "KL Wangan" yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Menurut Ahmad Idham, dia tidak melihat perkara itu sebagai sesuatu yang salah, sebaliknya tajuk yang digunakannya itu boleh dipakai oleh mana-mana pihak selagi ia belum dipatenkan.

"Saya tidak meniru mana-mana pihak, tak salah pun saya pakai tajuk itu kerana ia bukan kepunyaan siapa-siapa selagi ia belum dipatenkan.

"Kalau nak kira begitu, tajuk 'Hantu' pun saya tak boleh sebab abang Mamat Khalid dah buat "Hantu Kak Limah"," ujarnya.

Tambah pengarah "Minah Moto" ini lagi, Pekin tidak perlu bimbang kerana kedua-dua filemnya dan pengarah muda itu berbeza genre yang mana "Hantu Wangan" adalah seram, manakala "KL Wangan" filem aksi.

Jelas Ahmad Idham, filemnya berkisarkan mengenai sekumpulan remaja yang menyesal dengan perbuatan mereka dengan lumba haram apabila terlibat dalam kemalangan.

Terdahulu, kedua-dua pengarah ini pernah mencetuskan kekecohan apabila kedua-dua pengarah ini menghasilkan filem dengan genre dan tajuk filem yang sama iaitu "Mat Moto" serta kedua-dua filem ini ditayangkan dalam tempoh beza sebulan sahaja.

Kedua-dua pengarah enggan menukar tajuk filem masing-masing, namun akhirnya Pekin ambil keputusan untuk menambah tajuk filemnya dari "Mat Moto" kepada "Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit".

Mengenai isu sambutan terhadap filem Melayu makin kurang, Ahmad Idham menegaskan pengarah filem kena tukar formula dengan melihat kehendak penonton dan bukannya membuat filem secara syok sendiri.

Katanya, penonton sudah bosan dengan filem filem komidi maka pengarah kena ubah membuat filem yang disukai penonton.

Tuesday, February 20, 2018

BN MENANG 50 DARIPADA 54 KERUSI FELDA PADA PRU 13

BANGI, 20 Feb (Bernama) -- Pengurus tanah rancangan Felda perlu lebih agresif dan kreatif bagi menjawab sebarang dakwaan serta persepsi negatif yang dibangkitkan pihak tertentu tentang agensi itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim.

Beliau berkata perubahan landskap politik semasa memerlukan golongan yang paling hampir dengan para peneroka itu mengubah kaedah penerangan termasuk menggunakan media sosial bagi mengelakkan generasi Felda 'terbuai' dengan dakyah yang disebarkan.

Razali berkata terdapat banyak cerita baik dan kisah kejayaan Felda namun tidak diceritakan.

"Penjelasan tidak semestinya dibuat melalui sidang media sebaliknya perlu dipelbagai termasuk menghasilkan video atau cerita-cerita positif mengenai kejayaan Felda, yang kemudiannya boleh disebarkan kepada warga peneroka di bawah seliaan masing-masing," katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Jawatankuasa Permuafakatan Produktiviti dan Kualiti (JPPK) 2018 di sini hari ini.

Seminar tiga hari bagi membincangkan isu berkaitan jual beli buah tandan segar (BTS) serta aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pihak berkepentingan tentang kepentingan BTS itu disertai oleh lebih 800 peserta terdiri daripada 303 pengurus Felda, 177 pengurus Felda Technoplant dan selebihnya wakil peneroka dan pengurus kilang.

Razali berkata keadaan di mana dasar dan kejayaan Felda yang sebelum ini diterima secara terbuka oleh peneroka kini mula berubah ekoran sentimen negatif tentang institusi itu yang sering dimainkan pembangkang.

"Keadaan ini menuntut semua pengurus tanah rancangan terjun ke ruang yang cuba dikuasai pihak berkepentingan untuk memberi penerangan sekaligus membetulkan setiap dakwaan, persepsi atau fakta tidak betul yang menjadi alat propaganda dalam memburukkan Felda," katanya.

Berhubung usaha pembangkang memainkan sentimen warga peneroka menolak kerajaan yang dinaungi Barisan Nasional (BN), Razali berkata ia adalah isu kitar semula yang sering dilaungkan ketika menjelang pilihan raya.

Jika keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lepas dijadikan ukuran, beliau percaya BN masih mendapat sokongan penuh warga Felda pada PRU14 nanti kerana pada PRU13 pelbagai fitnah, dakwaan serta serangan tidak berfakta dilakukan pembangkang terhadap institusi itu namun sokongan terhadap BN kekal padu.

"Di Felda terdapat 273 PDM (Pusat Daerah Mengundi) dan BN hanya kalah di tujuh PDM, satu bukti menunjukkan sokongan warga Felda kepada BN adalah kukuh," katanya.

Pada PRU13, BN menang 50 kerusi Parlimen daripada 54 kerusi dan 81 daripada 92 kerusi Dewan Undangan Negeri yang mempunyai pengundi warga Felda.

-- BERNAMA

Monday, February 19, 2018

PEMBUNUHAN KARAKTER CUKUP MENJELEKKAN

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Perdebatan yang dibuat dalam konteks menegakkan bangsa perlu dilakukan dalam kerangka demokrasi dengan memfokuskan kepada idea dan polisi, bukan menjatuhkan pihak lawan dengan menelanjangkan aib peribadi mereka, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata peranan itu kini dimainkan "mercenary bloggers" yang bukan membunuh orang tetapi membunuh peribadi musuh politik.

"Di Malaysia, pembunuhan karakter ini sudah menjadi permainan politik yang cukup menjelekkan," katanya dalam catatan di laman blog beliau di capaian sskeruak.blogspot.my.

Salleh menarik perhatian bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang kini menjadi mangsa permainan politik kotor itu, telah menunjukkan keperibadian terpuji dengan menolak politik pembunuhan karakter.

"Ini kerana beliau menyedari pembunuhan karakter boleh membunuh tamadun bangsa," kata menteri itu.

Menurut Salleh, usaha membunuh karakter peribadi Najib dilakukan semata-mata kerana mahu mengaibkan perdana menteri supaya beliau tewas kepada tekanan dan mengundur diri daripada politik.

"Menariknya, biarpun diserang dengan pelbagai tohmahan, Datuk Seri Najib tetap santun dan berhemah dalam mempertahankan diri daripada serangan musuh politiknya.

"Ini kerana beliau yakin pembunuhan karakter ini boleh melenyapkan kebenaran, menjahanamkan demokrasi dan secara perlahan membunuh mangsa," jelas Salleh.

-- BERNAMA

Sunday, February 18, 2018

UMNO YAKIN TAWAN EMPAT KERUSI PARLIMEN

KUALA NERUS, 17 Feb (Bernama) -- UMNO Terengganu kini berada di landasan yang betul untuk memenangi semula empat kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi memastikan Barisan Nasional (BN) kekal sebagai kerajaan di negeri ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata keyakinan itu dapat dilihat menerusi sokongan padu pengundi dan jentera pilihan raya di setiap bahagian dan peningkatan tahap keyakinan rakyat terhadap pemerintahan BN dan UMNO.

Katanya rakyat kini yakin dengan kerajaan negeri yang melaksanakan pelbagai program untuk manfaat mereka seperti program perumahan mampu milik dengan membina 300 hingga 400 unit di setiap Dewan Undangan Negeri dengan sebahagian besarnya dijangka siap tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, sekarang ini keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) dan UMNO juga semakin meningkat ," katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembinaan bangunan UMNO Bahagian Kuala Nerus dan Dewan Konvensyen di samping melancarkan Gerak Gempur Tawan Parlimen Kuala Nerus, di sini hari ini.

Turut hadir, isterinya, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Timbalan Ketua UMNO bahagian Datuk Basir Ismail dan naib Ketua UMNO bahagian, Apli Yusof.

Majlis itu turut dihadiri kira-kira 10,000 pengundi dalam Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Ketika ini BN menguasai empat Parlimen iaitu Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala empat lagi (Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun) milik pembangkang.

Ahmad Razif turut menarik perhatian para pengundi dan jentera BN agar terus mengekalkan perpaduan dalam parti dan tidak mengharapkan masalah yang menimpa pembangkang ketika ini untuk menang dalam PRU14.

"Kita kena ingat kunci kejayaan adalah yang pertama calon dan kedua jentera. Inilah dua faktor yang akan menentukan kejayaan dalam PRU14 kerana calon BN boleh menang dengan syarat tidak ada musuh dalam selimut." katanya.

Kalau dah takdir dan tersurat dia jadi calon, terimalah dan beri sokongan padu kerana kita nak pemimpin yang memimpin adalah pemimpin UMNO dan BN. Kena berjanji siapa sahaja calon yang membawa bendera BN kita akan sokong," katanya yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir.

Sementara itu dalam sidang media, Ahmad Razif berkata bangunan lima tingkat dengan kos RM12 juta di atas tapak seluas 0.404 hektar itu dijangka siap tahun depan.

Ia dilengkapi dewan konvensyen yang mampu menampung sehingga 2,500 orang, bilik mesyuarat dan beberapa kemudahan lain seperti hotel dan ruang niaga bagi menjana pendapatan UMNO bahagian itu pada masa depan.

-- BERNAMA

Friday, February 16, 2018

PERMUAFAKATAN TERPIMPIN JADIKAN BN TERUS RELEVAN

KOTA BELUD, 16 Feb (Bernama) -- Permuafakatan terpimpin yang menjadi teras kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara sejak merdeka menjadikan BN terus kukuh dan
relevan hingga ke hari ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya walaupun ada beberapa negara di dunia seperti Belanda dan Ireland Utara (antara Protestan dan Katolik), Belgium (antara orang Walloon berbahasa Perancis dengan Flemish berbahasa Belanda), Lubnan (antara puak Syiah, Sunni dan Kristian Maronit), Bosnia Herzegovina (antara orang Islam, Croat dan Serb), dan Macedonia (antara keturunan Slav dan Albania) turut mengamalkan politik permuafakatan namun mereka tidak mampu menandingi permuafakatan politik jitu diamalkan BN.

"Namun, tiada satu pun negara tersebut yang dapat menandingi rekod kejayaan politik permuafakatan BN, sedangkan struktur sosial masyarakat Malaysia jauh lebih rencam berbanding negara-negara di atas.

"Apakah formula kejayaan Malaysia? Pertama, BN bukanlah hanya sekadar gabungan parti politik yang mewakili pelbagai etnik, tetapi juga sebuah muafakat politik bersifat holistik dan integratif, yakni merentas ras dan tidak terbatas di Semenanjung sahaja, tetapi di seluruh wilayah Malaysia," katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN Kota Belud di Dewan Terbuka Datuk Haji Jamli di sini, hari ini. Semua ketua parti komponen BN Kota Belud menghadiri majlis berkenaan.

Menurut Salleh permuafakatan politik yang diamalkan BN juga menggalakkan penyertaan aktif akar umbi, tidak hanya terbatas kepada kerjasama elit sahaja.

Beliau berkata kekukuhan permuafakatan BN adalah terletak pada parti terajunya iaitu UMNO yang telah berjaya membina kerjasama kukuh dengan semua parti komponennya.

"Kejayaan BN yang diterajui UMNO ini menyebabkan parti pembangkang cuba memplagiat formula ini, namun ternyata kesemuanya tidak mampu bertahan sepertimana berkuburnya Angkatan Perpaduan Ummah (APU) Gagasan Rakyat, dan Pakatan Rakyat (PR).

"Mengapa? Pertama, pakatan pembangkang hanya tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain kerana mereka mempunyai ideologi politik yang terlalu berbeza. Kedua, pakatan pembangkang bergantung kepada personaliti seorang pemimpin sahaja. Misalnya, APU bergantung kepada Tengku Razaleigh Hamzah, PR kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan kini Pakatan Harapan (PH) bergantung pula kepada Tun (Dr) Mahathir (Mohamad). Ketiga, pakatan pembangkang tidak mempunyai sebuah parti dominan yang memimpinnya sepertimana UMNO memimpin BN," tegasnya.

Justeru, Salleh berkata hanya BN satu-satunya pakatan politik yang jitu permuafakatannya.

Katanya permuafakatan BN di era pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah yang paling baik ekoran kehebatan beliau sebagai seorang pemimpin transformatif multikulturalis.

"Pendekatan kepimpinan Najib berkenaan telah membolehkan UMNO dan BN mendapat sokongan setiap lapisan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, pengundi tua dan muda, pengundi bandar dan luar bandar, penjawat awam dan pekerja swasta, rakyat Sabah dan Sarawak.

"Permuafakatan holistik dan integratif, serta permuafakatan terpimpin bakal membawa BN menang selesa dalam PRU14," tegas Salleh.

-- BERNAMA

Wednesday, February 14, 2018

UMNO DISUKAI KERANA PEMIMPINNYA SEDIA DENGAR SUARA RAKYAT

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Penjenamaan semula UMNO yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mengubah parti itu sehingga menjadi disukai kerana pemimpinnya bersedia mendengar suara nurani rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Perdana Menteri telah merekayasa semula UMNO dengan meninggalkan sifat ultra-nasionalis dan komunalis.

"Sebagai arkitek politik yang cerdik, penjenamaan semula UMNO oleh Najib bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi benar-benar mengubah nilai, amalan, pemikiran dan budaya UMNO.

"Perlu disedari UMNO disukai bukan kerana retoriknya tetapi UMNO disukai kerana pemimpinnya bersedia mendengar suara nurani rakyat," kata beliau menerusi blognya sskeruak.blogspot.my malam ini.

Beliau berkata sebelum ini, UMNO dilihat sebagai parti bersifat elitis, komunalis, konservatif, ultra-nasionalis dan autokratik yang dibelenggu amalan kepuakan dan politik wang.

Salleh berkata ramai penganalisis politik meramalkan UMNO dan Barisan Nasional bakal kehilangan kuasa sepertimana parti LDP di Jepun, Kuomintang (Taiwan), Golkar (Indonesia) dan Kongres di India.

"Tetapi itu UMNO dahulu. UMNO dicipta Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) mengikut pemikiran dan gaya kepimpinannya. Legasi Mahathir terlalu besar dalam UMNO sehingga terbitnya istilah Mahathirisme yang cukup diingati dengan gaya pemerintahan 'government knows all' yang tidak lagi relevan dengan politik kontemporari," katanya.

Beliau berkata pernah dahulu, selepas pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri, ada golongan menyatakannya sebagai 'the return of Mahathirism'.

"Ternyata, dakwaan tersebut meleset. Bagi Najib, 'Government knows best era is over,' malah Najib memperkenalkan transformasi politik dengan menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan meminda akta-akta yang menyekat hak-hak politik rakyat.

"Beliau juga menjaga kebajikan rakyat semua kaum dan tidak lagi bersifat komunalis. Dengan transformasi ini, tidak syak lagi, UMNO pimpinan Datuk Seri Najib adalah sebuah parti yang sebenar-benarnya mendukung prinsip kedaulatan rakyat," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, February 13, 2018

NAJIB LEBIH UTAMAKAN RAKYAT SABAH DARIPADA DR MAHATHIR

KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu rakyat Sabah terus memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada di peringkat negeri dan persekutuan bagi membolehkan agenda pembangunan di negeri ini dapat diteruskan dengan lancar.

Ismail Sabri berkata kerajaan sekarang yang diterajui Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak begitu prihatin dengan keperluan pembangunan di Sabah sehingga menyalurkan peruntukan besar demi kesejahteraan penduduk di negeri ini sama ada di bandar atau di luar bandar.

"Waktu zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) dahulu, memang bajet (untuk Sabah) tidak besar. Dalam tiga Rancangan Malaysia (RMK), jumlah bajet pembangunan untuk Sabah ialah RM3.3 bilion. Tiga RMK adalah 15 tahun. Tetapi apabila Najib menjadi perdana menteri, dalam satu RMK iaitu RMK-11, bajet untuk Sabah ialah RM3.4 bilion.

Bayangkan, 15 tahun di bawah Dr Mahathir, bajet untuk Sabah RM3.3 bilion tetapi lima tahun di bawah Najib, bajet untuk Sabah ialah RM3.4 bilion. Sebab itulah, apabila kumpulan-kumpulan pembangkang yang nak lantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri itu, kalau dia (Dr Mahathir) jadi perdana menteri, Sabah akan balik seperti zaman Dr Mahathir," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) di sini hari ini. Pada majlis berkenaan, 229 kakitangan pelbagai agensi di bawah KKLW di Sabah menerima anugerah masing-masing. Turut hadir Ketua Setiausaha KKLW Datuk Borhan Dolah.

Menurut Ismail Sabri, satu daripada bukti keprihatinan Najib kepada rakyat dan pembangunan Sabah ialah dengan begitu kerap melawat negeri ini berbanding perdana menteri sebelumnya untuk mendengar sendiri keperluan rakyat seterusnya menyalurkan sejumlah peruntukan sewajarnya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita kemudian, Ismail Sabri berkata daripada jumlah keseluruhan bajet pembangunan di bawah kementeriannya untuk 2018, hampir 24 peratus diperuntukkan untuk negeri Sabah.

Katanya bagi Bekalan Elektrik Luar Bandar, Sabah memperoleh RM220 juta iaitu 33.08 peratus daripada keseluruhan bajet (KKLW), Bekalan Air Luar Bandar sebanyak RM160 juta (38.08 peratus), Jalan Luar Bandar (RM253.5 juta) (32.14 peratus) dan Projek Jalan Kampung (RM38 juta) (26.2 peratus).

Mengenai pemantauan projek, Ismail Sabri berkata pihak kementeriannya dan kerajaan negeri Sabah telah mewujudkan dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa tertinggi dan jawatankuasa kerja bagi tujuan itu.

Katanya jawatankuasa tertinggi itu dipengerusikan bersama oleh beliau dan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman manakala jawatankuasa kerja pula dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha KKLW Datuk Borhan Dolah dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Tan Sri Sukarti Wakiman.

"Kita tidak mahu lagi timbul isu projek sudah terbengkalai baru dimaklumkan kepada kerajaan negeri ataupun kerajaan negeri membuat aduan bahawa negeri tidak tahupun mengenai wujudnya sesuatu projek KKLW yang dilaksanakan di Sabah,"katanya.

-- BERNAMA

Monday, February 12, 2018

ARAB SAUDI PASTIKAN PERKHIDMATAN TERBAIK UNTUK TETAMU ALLAH



KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Jemaah haji di seluruh dunia pasti menyedari kemajuan pembangunan yang berlaku sejak beberapa tahun lepas di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan ibadah haji dan umrah.

Keadaan yang sama dapat dilihat di Masjid Nabawi di Madinah yang menyaksikan perluasan besar Masjid.

Ini adalah bukti keseriusan Arab Saudi menjalankan tanggungjawabnya dalam memastikan kepentingan para jemaah dijaga sebaik mungkin setiap tahun.

Sememangnya, kerajaan yang menempatkan dua kota suci Islam, Makkah dan Madinah, mempunyai rancangan untuk menampung sehingga 30 juta jemaah haji dan umrah pada tahun-tahun akan datang, berdasarkan Wawasan 2030 yang diperkenalkan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman.

Apa yang pasti ialah Arab Saudi mengalu-alukan kedatangan jemaah dari seluruh dunia dan menegaskan bahawa tiada unsur politik dalam melaksanakan tanggungjawabnya yang berat terhadap umat Islam yang kini berjumlah lebih 1.8 bilion.






Arab Saudi, yang menganggap memberi khidmat kepada jemaah sebagai kewajipan Islam, menolak sebarang percubaan untuk mempolitikkan haji atau usaha ke arah pengantarabangsaan pentadbiran Haramain (Makkah dan Madinah) kerana negara itu berjaya menguruskan hal ehwal haji secara aman, profesional dan sempurna sejak beberapa dekad lepas.

"Kerajaan kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud telah meluaskan usahanya untuk berkhidmat kepada jemaah haji dan umrah sebagai sebahagian daripada kewajipan Islam dan ia akan terus memberikan perkhidmatan sedemikian demi para tetamu Allah," kata sumber daripada Kementerian Penerangan Arab Saudi kepada Bernama.

Wawasan 2030 merangkumi pelan strategik dan komprehensif untuk membangunkan sektor itu bagi membolehkan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan ibadah haji dan umrah. Lebih dua juta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul di Arab Saudi setiap tahun untuk menunaikan haji.

Bagi Malaysia, kerajaan Arab Saudi telah memberi lampu hijau untuk menambah kuota haji Malaysia kepada 30,200 orang daripada 27,900, mulai musim haji 2017.

Pemerhati berkata perkembangan positif ini berpunca daripada hubungan erat antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Raja Salman yang membuat lawatan sulungnya ke Malaysia tahun lepas.

Najib juga sering menjadi tetamu kerajaan Arab Saudi... lawatan kerja terakhirnya ke sana adalah pada Januari lepas dan beliau diberikan keistimewaan memasuki Kaabah yang menjadi arah kiblat umat Islam ketika bersolat.

Bagi kerajaan Arab Saudi, tidak dinafikan bahawa membangunkan organisasi serta perkhidmatan haji dan umrah di negara itu adalah antara keutamaannya dan merupakan lanjutan kepada peranan bersejarah negara itu dalam memberi khidmat kepada umat Islam.

Membanteras keganasan dan menonjolkan nilai-nilai kesederhanaan Islam " inisiatif yang diperjuangkan oleh Putera Mahkota Mohammed yang mendapat maklum balas positif di Malaysia khususnya dan komuniti antarabangsa pada umumnya " adalah antara usaha utama Arab Saudi di arena antarabangsa.

Keazamaan Arab Saudi untuk meningkatkan sektor haji dan umrah sebahagiannya berpunca daripada kejayaannya dalam menguruskan jemaah umrah yang ramai, membolehkan hampir 6.5 juta jemaah dari seluruh dunia menunaikan ibadah mereka.

Kerajaan Arab Saudi telah memulakan apa yang disebut-sebut sebagai perluasan terbesar Masjidil Haram untuk meningkatkan kapasiti jemaah setiap tahun ... sesuatu yang diperlukan dengan segera.

Mencari penyelesaian kepada isu itu adalah fokus Raja Salman kerana baginda melakukan perluasan terbesar dalam sejarah masjid suci itu bagi menampung lebih 1.6 juta jemaah dalam keadaan biasa, dan jumlah jemaah haji dan umrah yang signifikan.

Selain pembangunan strategik kemudahan dan perkhidmatan tempat suci itu, Wawasan 2030 juga menyeru pembangunan rangkaian kereta api Haramain bertaraf dunia yang menghubungkan Makkah, Jeddah dan Madinah serta projek perumahan dan khemah untuk jemaah haji.

Di samping itu, ia juga sedang mengkaji penubuhan lapangan terbang moden yang besar untuk menerima lebih ramai pengunjung, serta sasaran untuk menyiapkan projek perluasan itu.

Kerajaan Arab Saudi juga melakukan yang terbaik dalam soal keselamatan jemaah haji dan umrah mereka kerana wawasan itu menyediakan pengurusan keselamatan yang aktif dalam melindungi jemaah.

Ia melihat perkara ini sebagai tugas asasnya dan setakat ini mereka berjaya menganjurkan musim haji yang aman selama bertahun-tahun.

"Arab Saudi berusaha keras dalam memperkuatkan keselamatannya, mempertahankan kestabilan dan memelihara kepentingan jemaah," kata sumber Arab Saudi itu.

Ternyata, persediaan teliti dan pelaksanaan yang berhati-hati menghasilkan kesilapan sifar semasa musim haji 2017.

Selain keselamatan, kerajaan itu juga prihatin dengan kesejahteraan jemaah haji dan umrah, dan ia dicerminkan menerusi wawasan itu.

Wawasan itu turut memfokuskan kepada memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan perubatan untuk jemaah dengan menyediakan hospital dan pusat kesihatan bagi memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang masa, selain perkhidmatan kumbahan, kebersihan dan pencahayaan di tapak suci itu dan Jambatan Jamrah.

Penelitian butiran yang terkandung dalam Wawasan 2030 itu akan membawa perubahan daripada kerja bermusim kepada sistem dan budaya kerja sepanjang tahun bagi meningkatkan perkhidmatan dan memenuhi objektifnya.

Raja Salman juga tidak mengambil mudah perkara ini kerana baginda telah mengarahkan semua agensi berkaitan untuk menggandakan usaha mereka dan menyediakan semua kemudahan bagi manfaat para jemaah.

Menurut sumber itu, Raja Salman secara peribadi memantau perkhidmatan sedia dan proses pembangunan berkaitan.

Turut sama-sama proaktif ialah Putera Mahkota Mohammed yang sentiasa mengawasi usaha untuk memperbaiki perkhidmatan haji dan umrah dengan tujuan menyediakan operasi haji dan umrah yang lancar dan berkualiti tinggi sambil memastikan jaminan keselamatan jemaah.

-- BERNAMA

Sunday, February 11, 2018

PERAK TENGAH BERPOTENSI JADI HAB BAHARU PENGELUARAN DURIAN

PASIR SALAK, 11 Feb (Bernama) -- Kawasan Perak Tengah di negeri ini berpotensi diketengahkan sebagai hab baharu pengeluaran buah durian bagi menampung permintaan domestik dan eksport negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pengeluaran durian boleh menjadi satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber kekayaan baharu negara.

Jelasnya Kampung Gajah, Parit, Bota dan sekitarnya di sini yang sememangnya terkenal dengan pengeluaran durian sejak dahulu harus dieksploitasi sebaiknya berikutan potensi pasaran yang luas selain harganya yang tinggi boleh merubah taraf hidup penanam durian.

"Oleh itu, kita akan membuat kajian terperinci dan bancian jumlah pokok durian sedia ada yang telah ditanam di sini.

"Kita juga akan mengadakan lebih banyak program ke arah itu dan menggalakkan mereka lebih minat menanam pokok durian kerana ia merupakan sumber kekayaan baharu," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pemulihan Dusun Durian Daerah Perak Tengah di Kampung Pulau Tiga Kiri di sini hari ini.

Terdapat kira-kira 3,800 penanam durian dengan keluasan tanaman durian seluas 2,300 hektar di seluruh negeri ini dan bagi daerah Perak Tengah, ia diusahakan 427 orang.

Dalam pada itu, bagi merancakkan lagi industri durian di daerah ini, Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata Program Pembangunan Kluster Durian ini diteruskan lagi pada tahun ini di mana kementeriannya memperuntukkan RM750,000 untuk negeri ini yang akan disalurkan kepada 202 orang penanam durian dengan keluasan tanaman 245 hektar.

Jelasnya kerajaan persekutuan telah menyalurkan bantuan kepada penanam durian menerusi program Pembangunan Kluster Durian dengan peruntukan RM506,066 bagi tahun 2016 dan 2017 yang menyaksikan 46 penanam durian di daerah Perak Tengah telah dibantu bagi meningkatkan pengeluaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan mereka.

"Kerajaan juga sedang berusaha membuka ruang pemasaran yang lebih besar dengan meneroka pasaran di negara China yang telah memberikan sambutan yang sangat baik setakat ini.

Pasaran yang lebih luas di China itu nanti akan dapat memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada penanam durian di Malaysia termasuk kepada penanam durian di Perak Tengah," katanya.

Tajuddin turut menjelaskan dari segi ekonomi, pengeluaran durian ini menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang rantai nilai.

"Selain penanam, terdapat juga orang yang menyediakan baja untuk memperoleh hasil durian yang baik, pengangkutan untuk memasarkan durian ke pasaran luar serta kilang untuk menghasilkan pelbagai produk daripada durian," katanya.

-- BERNAMA

AKTA MAMPU ELAKKAN RAKYAT DIMOMOKKAN DENGAN BERITA PALSU

KUALA NERANG, 11 Feb ( Bernama) -- Penggubalan akta untuk mengekang berita palsu perlu untuk memastikan rakyat tidak terus dimomokkan dengan berita palsu, bohong dan fitnah, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau mendakwa berita palsu, bohong dan fitnah antara elemen yang sering digunakan parti pembangkang untuk memberi persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Berita seumpama itu dijadikan 'talian hayat' oleh pembangkang untuk mendapatkan kepercayaan rakyat selepas berdepan masalah dalaman parti ketika ini,.

"Kita sokong sebarang usaha perundangan yang boleh menyekat kumpulan yang suka berbohong dengan menggunakan fakta yang salah," katanya kepada pemberita pada Majlis Kesyukuran Pemimpin Bersama Warga Felda di Felda Bukit Tangga, di sini, hari ini.

Pada 30 Jan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata kerajaan telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu di negara ini.

Azalina berkata kerajaan berharap undang-undang baharu itu boleh dibawa ke Parlimen pada sesi yang akan datang.

Mahdzir yang juga Anggota Parlimen Padang Terap percaya rakyat mampu membuat penilaian kerana ada pemimpin pembangkang yang telah diambil tindakan undang-undang kerana menyebarkan berita tidak betul.

-- BERNAMA

Saturday, February 10, 2018

TAK PUAS TONTON TEATER OLA BOLA THE MUSICAL


FILEM Ola Bola hasil karya Chiu Keng Guan mendapat sambutan hangat penonton negara ini apabila mencatat pungutan pecah panggung RM16 juta selepas 39 hari ditayangkan pada tahun 2016.


Dua kali saya menonton filem tersebut kerana ia menonjolkan semangat Malaysia yang berbilang kaum. Air mata saya menitis apabila mendengar lagu "Inilah Barisan Kita "apabila para pemain bola sepak Malaysia itu sedang berlatih ala ketenteraan untuk melayakkan pasukan Malaysia ke Sukan Olimpik.


Tak puas menonton filem tersebut, saya terpanggil untuk menonton teater Ola Bola The Musical yang diarah oleh Puan Seri Tiara Jacquelina di Istana Budaya tiga malam lepas.


Menjayakan babak perlawanan bola sepak untuk pementasan teater bukanlah sesuatu yang mudah, namun di OlaBola The Musical, penonton boleh menyaksikannya lengkap dengan ‘teknik video ulang tayang’.


Ini tidak ubah seperti menonton perlawanan bola sepak yang ditayangkan secara langsung di televisyen yang penonton dapat menyaksikan detik-detik gol dijaringkan dalam gerak perlahan. Bezanya semua itu berlaku di atas pentas teater yang sama.


Menurut pengarahnya, Tiara Jacquelina, itu antara tarikan yang tidak boleh dilepaskan penonton menerusi teater muzikal adaptasi yang dipentaskan bermula semalam sehingga 11 Mac ini.

Tiara berkata walaupun OlaBola The Musical itu bukan sentuhan pertamanya, misi menjadikan pentas Istana Budaya kepada ‘Stadium Merdeka’ merupakan cabaran terbesar lebih 200 kru produksinya sepanjang menjayakan pementasan tersebut.

“Saiz pentas Istana Budaya tidak sampai satu perempat pun berbanding saiz padang bola di stadium, pergerakan pelakon tidak boleh lari walau 1 milimeter .Sebarang kesilapan kecil boleh merubah segalanya,” katanya pada majis pratonton teater tersebut.

Tiara berkata, teknologi pementasan digital baharu yang digunakan seperti latar belakang visual skrin besar LED, penayangan 180 darjah, pemetaan lantai digital, visual animasi, pencahayaan canggih dan bunyi sekeliling 360 darjah turut menaikkan suasana pentas.

Tambahnya teknik-teknik pentas dan pergerakan kreatif digunakan dalam menaikkan mood penonton bagi menampilkan babak perlawanan bola sepak dari sudut berbeza.

OlaBola The Musical, mempunyai jalan cerita yang sama seperti filem, OlaBola yang pernah mencetuskan fenomena pada 2016, mengisahkan pasukan bola sepak negara, Harimau Malaya dan perjalanannya untuk layak ke Sukan Olimpik 1980.

Biarpun diterajui nama-nama baharu di pentas teater seperti Luqman Hafidz, Brian Chan, Melissa Ong dan Jian Wen namun mereka berjaya memainkan watak masing-masing dengan cemerlang.

Kredit harus diberikan kepada pelakon ledil Putra yang membawa watak Rahman, seorang pengulas sukan yang bersemangat kerana sentiasa memberi kesan di hati penonton setiap kali kemunculannya.

Penampilan pelakon komedi berpengalaman Douglas Lim juga berjaya mencuit hati penonton dengan aksi bersahajanya sebagai Uncle Wong.

Seperti filemnya, OlaBola The Musical mengekalkan mesej yang sama iaitu perpaduan, semangat setia kawan dan kerja sepasukan menerusi sukan bola sepak.


Tak sangka Istana Budaya bertukar menjadi Stadium Merdeka dan paling mengharukan apabila para pemain bola sepak negara menaikki helikopter. Dengan bantuan komputer maka teater Ola Bola The Muzikal tidak menjemukan.


Syabas kepada semua pelakon asal filem Ola Bola yang berjaya menjadi pelakon teater. Berlakon di filem tidak sama berlakon di atas pentas. Nampaknya mereka berjaya membawa watak masing masing. Sudah tentu Iedil Putra yang membawa watak Rahman yang paling mecuri perhatian penonton. Tahniah kepada semua. Tidak rugi membeli tiket yang mahal untuk menonton teater Ola Bola The Musical.


JANGAN MUDAH MENGAUS

KINABATANGAN, 10 Feb (Bernama) -- Pemimpin dan penyokong Barisan Nasional (BN) di sini diminta tidak mudah 'mengaus', perkataan dalam loghat Sabah bermaksud berkecil hati, dengan isu-isu dan masalah kecil, kata Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Kinabatangan itu berkata apa juga permasalahan atau isu-isu kecil yang timbul harus diselesaikan secara rundingan.

"Tidak perlu ada sikap mengaus atau kecil hati sebagai pemimpin dan penyokong BN kerana semua isu dan permasalahan kita selesaikan bukannya mengubah haluan."

"Kita mempunyai agenda besar dalam usaha kita memberi kemenangan besar kepada BN sama ada peringkat nasional dan negeri," katanya pada majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Kuamut yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salled Sald Keruak di Tongod dekat sini, hari ini.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno menegaskan perjuangan BN bukan untuk kepentingan peribadi tetapi perjuangan untuk parti dan rakyat.

"Parti BN adalah sebuah parti berjuang untuk membela rakyat dan kita dapat lihat sendiri kemajuan di kawasan Kinabatangan yang dahulunya jauh ketinggalan dari arus pembangunan tetapi kini telah berubah," katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan pemimpin yang sentiasa mengambil perhatian terhadap Parlimen Kinabatangan.

Katanya Najib banyak meluluskan peruntukan pembangunan seperti jalan raya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik serta kemudahan lain untuk kesejahteraan rakyat di daerah ini.

-- BERNAMA

Friday, February 9, 2018

RISDA BEKERJASAMA DENGAN LGM AGIH BANTUAN MUSIM TENGKUJUH

PADANG BESAR, 9 Feb (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) akan bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi memastikan pekebun yang layak menerima bantuan musim tengkujuh.

Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata kebanyakan pekebun belum mendaftar, jadi menimbulkan masalah kepada pihaknya untuk menyampaikan bantuan itu.

Katanya ada pekebun yang mengusahakan getah di tanah bukan milik mereka dan ada antaranya belum mempunyai geran.

"Peruntukan telah turun kepada LGM dan kita akan bekerjasama dengan mereka untuk menyelesaikan segera mana-mana pekebun yang masih belum mendapat bantuan itu," katanya selepas menyerahkan zakat Risda Perlis kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebanyak RM350,000 dekat sinihari ini.

Menerusi inisiatif yang diperkenal buat pertama kali bagi meringankan beban kewangan pekebun kecil dan penoreh getah itu, mereka yang layak menerima RM200 sebulan selama tiga bulan bermula November tahun lepas.

Wednesday, February 7, 2018

UCAM DAN PERSATUAN HALAL KOREA METERAI KERJASAMA

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Persatuan Halal Korea (Kohas) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program latihan halal.

Mengikut MoU itu, UCAM menerusi Pusat Halal UCAM akan menyediakan latihan kepada Kohas
mengenai piawaian dan prosedur berkaitan halal.

Penasihat Kanan Kohas, Jo Young-Chan berkata memandangkan Korea Selatan menerima satu juta pelancong Islam setiap tahun, pengendali pelancongan dan outlet makanan negara itu berminat untuk memastikan makanan dan perkhidmatan mereka mematuhi piawaian halal.

"Sejak akhir-akhir ini, banyak pengilang Korea mahu mendapatkan pensijilan halal kerana mereka mahu mengekport dan memasarkan produk masing-masing ke negara Islam," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU itu di sini, hari ini.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perkongsian itu bertujuan mempromosikan piawaian dan prosedur halal Malaysia di Korea Selatan.

Tuesday, February 6, 2018

ROMBONGAN UMRAH KEDUA PENGGIAT SENI PADA APRIL

SEPANG, 6 Feb (Bernama) -- Satu lagi rombongan jemaah umrah di bawah Program Umrah Penggiat Seni akan dibawa untuk mengerjakan ibadah itu di tanah suci pada April nanti.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Perdana Ummah Datuk Rizal Mansor berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu program itu diteruskan bagi memberi peluang terutamanya kepada golongan penggiat seni yang kurang berkemampuan.

"Sekurang-kurangnya 15 orang hingga ke 30 orang penggiat seni akan dipilih bagi rombongan kali kedua selepas kami menerima reaksi positif daripada mereka yang terpilih bagi rombongan umrah yang pertama ini serta daripada pelbagai pihak lain yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyambut ketibaan 23 penggiat seni veteran yang baru menunaikan ibadah umrah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Program anjuran bersama Pejabat Penasihat Perdana Menteri, Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih itu julung kali diadakan, hasil cetusan idea Perdana Menteri semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Penggiat Seni tahun lepas.

Sementara itu, pengarah drama pada era 90an, Abdul Hamid Abidin Abd Wahab berkata pengalaman mengerjakan ibadah itu sesuatu yang tidak tergambar dengan kata-kata dan bersyukur terpilih menyertai rombongan tersebut.

"Alhamdulillah, kami diberi layanan yang baik termasuk tiket penerbangan kelas perniagaan serta penginapan yang berhadapan dengan Masjidil Haram," katanya.

Penyanyi dangdut popular 80an Zaleha Hamid berkata doa utama yang sering diminta di sana adalah kesejahteraan dirinya dan para wartawan yang memberi bantuan dan liputan mengenai kerjaya seninya.

"Antara doa saya di hadapan Kaabah termasuklah untuk kesejahteraan semua wartawan yang banyak memberi sokongan kepada golongan seni baik ketika di waktu kemuncak ataupun sudah tidak popular," katanya.

-- BERNAMA

Monday, February 5, 2018

CUKUPLAH SHAHRIZAT BERTANDING



KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil memberi bayangan bersedia bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), berkata segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti.

"Orang politik mesti bersedia untuk segala-galanyanya...terpulang pada Pengerusi (BN) (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Wanita BN kepada penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Selangor King George V Silver Jubilee, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai kesediaannya untuk membuat kemunculan semula pada PRU akan datang.

Sementara itu, ketika mengulas desas-desus bahawa beliau akan bertanding di Parlimen Sungai Besar, Shahrizat menjawab: "Macam-macam khabar angin saya dengar. Terima kasihlah yang bercakap saya akan bertanding di sana-sini, dalam politik biarlah orang mahu kita. Tapi semuanya terpulang pada bos saya (Najib)."

Sementara itu, Shahrizat berkata Wanita BN telah menyerahkan manisfesto PRU14 sayap itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak untuk dipertimbangkan.

Katanya, antara perkara yang terkandung dalam manifesto tersebut ialah pembinaan Pusat Jagaan Integrasi di setiap kawasan Parlimen dalam Rancangan Malaysia ke-12 jika BN masih diberi mandat selepas PRU14.

"Ini kerana pada hari ini kebanyakan pusat jagaan orang tua hanya fokus warga emas tetapi tiada interaksi membuatkan mereka ini sunyi di hari menua mereka.

"Ini perlu diubah di mana pusat jagaan ini perlu diintegrasi bersama pusat jagaan kanak-kanak dan pusat aktiviti komuniti supaya adanya komunikasi dengan pelbagai lapisan," katanya.

Sementara itu, Shahrizat menyampaikan sumbangan keperluan dan wang tunai bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada 125 penghuni pusat jagaan tersebut.

Wanita BN juga menyumbangkan RM10,000 kepada pusat jagaan yang telah beroperasi selama 73 tahun itu.

Ulasan saya, cukuplah Shahrizat bertanding kerana beliau sudah kalah. Berilah peluang kepada orang yang belum kalah bertanding kali ini. Tidak semestinya Ketua Wanita Umno kena juga bertanding dan dilantik menteri. Sepatutnya bila beliau tidak bertanding maka Naib Ketua Wanita yang wajar dilantik sebagai menteri mewakili Wanita Umno Malaysia.

Pada tahun 2008, Shahrizat kalah di tangan calon PKR, Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 2,895 undi. Nurul mendapat 21,728 undi manakala Shahrizat mendapat 18,833 undi.

Shahrizat bukan aset kepada BN. Kes lembu suaminya belum selesai. Jenuh parti nak jawab kes tersebut yang memalukan BN. Maka orang seperti Shahrizat tidak wajar diberi peluang lagi untuk bertanding pada PRU akan datang. Carilah calon yang bersih.

Sunday, February 4, 2018

100 ARTIS SERTAI SENIMAN CHARITY FUN RUN 2018

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak melepaskan lebih 2,500 peserta termasuk kira-kira 100 artis yang menyertai 'Seniman Charity Fun Run 2018' di sini hari ini.

Program anjuran Persatuan Seniman yang bermula seawal 7 pagi itu berlangsung di perkarangan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas), Ulu Klang.

Terdahulu, Salleh bersama Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib turut menyertai senaman zumba bersama para peserta sebelum acara larian dimulakan.

Presiden Seniman, Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi berkata program yang julung kali dianjurkan itu bertujuan membantu artis yang kurang bernasib baik.

"Menerusi program dengan kerjasama Finas ini, kita dapat mengumpul dana yang mana setiap peserta dikenakan yuran sebanyak RM60 untuk baju, medal dan sijil.

"Program hari ini juga memberi peluang kepada artis dan orang ramai untuk berjumpa secara lebih dekat dan kita juga akan mengadakan pelbagai program seperti program hari raya dan Hari Seniman yang melibatkan artis dan orang ramai,\" katanya.

Selain larian amal sejauh 5 kilometer dan 10 kilometer tersebut, Zed Zaidi berkata pihaknya turut mengadakan jualan produk tempatan, aktiviti senam robik seperti zumba dan cabutan bertuah.

Sementara itu, artis veteran Mubarak Majid, 61, berkata program tersebut memberi peluang kepada artis lama untuk kembali aktif.

"Program ini cukup bagus, selain kita beriadah untuk kesihatan, artis veteran juga dapat berjumpa dengan orang ramai dan kita juga dapat membantu artis yang memerlukan.

Ia merupakan penghargaan buat artis lama yang mungkin tidak lagi aktif kerana faktor kesihatan sekurang-kurangnya golongan ini tidak rasa terpinggir bila dibantu," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, February 3, 2018

UNDANG UNDANG BENDUNG BERITA PALSU BUKAN KERANA MUSIM PILIHANRAYA

JOHOR BAHRU, 3 Feb (Bernama) -- Langkah kerajaan mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu bukan disebabkan musim pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebaliknya sudah difikirkan sejak lama, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata langkah menangani penularan berita palsu amat tepat memandangkan penyebaran berita sedemikian boleh menjejaskan keselamatan negara, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Tidak sama sekali, tidak ada kaitan (dengan musim PRU14). Memang sejak dahulu lagi kita (kerajaan) telah memikirkan perkara ini (langkah mengkaji undang-undang membendung berita palsu).

Memang kita ada beberapa undang-undang sekarang ini seperti Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Hasutan, tetapi apabila mengenai berita palsu, ia boleh jejaskan keselamatan negara, maka, penting bagi kita ada undang-undang khusus berkaitan," katanya kepada pemberita selepas melawat GegaRia Fest 2018 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini.

Salleh berkata seperti yang diketahui umum, penularan berita palsu berleluasa di seluruh dunia dan banyak negara sudah mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani hal tersebut.

Salleh berkata jika penularan berita palsu tidak dikawal, sudah tentu ia akan merugikan negara dan rakyat malah setiap individu sepatutnya menggunakan media sosial secara positif seperti meningkatkan rangkaian sosial atau pendapatan ekonomi.

"Kerajaan mengambil keputusan untuk tubuh jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baharu untuk membendung berita palsu itu yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Kita di Malaysia pun banyak yang menjadi mangsa akibat berita palsu, sebab itu kerajaan ingin mewujudkan satu akta khusus untuk berita palsu ini yang diharapkan dapat dibentangkan di Parlimen pada sidang akan datang," katanya.

Menurut Salleh, pelan cadangan undang-undang tersebut dijangka dibentangkan Azalina pada mesyuarat kabinet akan datang untuk diteliti.

Mengikut rekod, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 1,203 aduan berkenaan berita palsu dan kandungan palsu sepanjang tahun lepas manakala lebih 1,800 laman web, portal dan blog telah disekat dalam tempoh sama kerana menyebar kandungan yang mengelirukan serta boleh menjejaskan suasana harmoni di kalangan masyarakat berbilang kaum, katanya.

Portal sebenarnya.my yang dibangunkan SKMM sebagai pusat rujukan kesahihan berita tular pula merekodkan 15 juta pelawat sejak dilancar Mac tahun lepas.

Sementara itu, mengenai lawatan ke GegaRia Fest berkenaan, Salleh berkata ia menarik anak muda untuk berkunjung dan melihat perkembangan negara sejak merdeka menerusi pameran yang diadakan dan ia perlu dikunjungi oleh semua orang.

"Program ini dapat memperlihatkan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi disediakan kerajaan dan swasta. Kita kena lihat masa depan negara, pada masa kini banyak konsep digital telah diadakan dan sudah tentulah anak muda harus rebut peluang program seperti ini supaya tidak ketinggalan," katanya.

GegaRia Fest 2018 anjuran Media Prima Berhad di sini hari ini merupakan lokasi kedua selepas Shah Alam, Selangor, yang diadakan 13 Jan lepas bagi mewujudkan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk berhubung, berkongsi dan memberi inspirasi manakala khas buat warga milenia negara, program itu adalah untuk menyatukan golongan belia yang sentiasa dihargai dan memberikan mereka sebuah platform untuk mengekspresikan diri.

GegaRia Fest terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan #Gegaria, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, Zon Gaya Hidup #Gegaria, Zon Komuniti #Gegaria dan Zon Hiburan #Gegaria.

--BERNAMA

PEMBANGKANG AKAN TERUS POLITIKKAN APA SAJA PROGRAM KERAJAAN

ARAU, 3 Feb (Bernama) -- Pembangkang akan terus mempolitikkan apa sahaja program kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk Jualan Sentuhan Rakyat yang dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat mendapatkan barangan keperluan asas harian pada harga murah.

Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata tindakan pembangkang itu adalah sinonim dengan mereka terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) yang semakin hampir.

"Sejak 1995, saya tidak pernah berhenti membantu rakyat secara peribadi malah menolong mereka dengan pelbagai cara selain menyumbang perkakasan rumah tetapi masih dituduh cuba mempengaruhi rakyat," katanya.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri ditemui pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Arau di perkarangan Masjid Guar Gajah, Pauh di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang yang menuduh program tersebut hanya dibuat apabila PRU semasa dekat.

Antara keperluan yang dijual pada program itu ialah ayam yang dijual RM5 seekor dan ikan kembung RM7 sekilogram selain barangan dapur serta produk agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Program yang bermula pukul 8 pagi itu dihadiri lebih 1,000 orang.

-- BERNAMA

Friday, February 2, 2018

JANGAN POLITIKKAN PERSEMPADANAN SEMULA KAWASAN PILIHANRAYA

KEMAMAN, 2 Feb (Bernama) -- Persempadanan semula bukanlah perkara baharu dalam proses perjalanan pilihan raya di negara ini dan ia tidak perlu dipolitikkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengelirukan rakyat.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dakwaan pembangkang kononnya persempadanan semula hanya memberi keuntungan kepada Barisan Nasional (BN) juga tidak berasas sama sekali kerana ia dibuat berdasarkan beberapa faktor demi kebaikan pengundi di satu-satu kawasan tersebut.

"Sebagai contoh, pengundi di Kapar, Selangor...tanpa persempadanan semula, jumlah pengundinya boleh meningkat sehingga 160,000 orang bagi satu kawasan parlimen.

"Ia tidak munasabah kerana jumlah itu terlalu besar dan tidak praktikal untuk siapa pun (wakil rakyat) melaksanakan tanggungjawab mereka. Saya pergi ke Kapar baru-baru ini, saya pergi ke Pulau Ketam, di sana dikatakan sudah beberapa menteri pergi tapi Ahli Parlimennya tidak pernah sampai ke sana.

"Saya dimaklumkan oleh orang di sana, dikatakan Ahli Parlimen kawasannya (daripada pembangkang) tidak sempat sampai kerana kawasan itu terlalu besar...sebab itu persempadanan semula perlu dilakukan untuk melihat dari segi realiti semasa dan pengurusan kawasan yang berkenaan," katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu kononnya persempadanan semula hanya memberi kelebihan kepada BN.

Muhyiddin mendakwa persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya dibuat untuk memberi kelebihan kepada BN dengan menambah majoriti BN di kawasan yang dimenangi tipis pada PRU13.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata persempadanan semula adalah proses biasa yang berlaku sejak daripada dulu mengikut kesesuaian jumlah pengundi dan demografi kawasan setempat.

Terdahulu, beliau hadir program ramah mesra Pegawai Seranta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Pemaju Masyarakat RISDA, yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini.

-- BERNAMA