Thursday, February 22, 2018

FELCRA LANCAR PELAN TRANSFORMASI WADIRA FELCRA

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Felcra Berhad hari ini melancarkan Pelan Tranfomasi Perkumpulan Wanita Dinamis Felcra (Wadira) bagi memantapkan pengurusan institusi tersebut menjelang tahun 2022.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin berkata Pelan Transformasi Wadira Felcra 2018 hingga 2022 menggariskan 10 pelan transformasi utama yang mengandungi 20 teras pelaksanaan meliputi aspek-aspek seperti pengurusan, kesihatan, pendidikan kanak-kanak, keusahawanan dan lain-lain.

"Bagi mencapai matlamat tersebut, sebanyak RM830,000 dana berbentuk geran akan diperuntukkan oleh Felcra Berhad, di mana, setiap yang terlibat akan menerima peruntukan sebanyak RM10,000 bagi pelaksanaan program di peringkat akar umbi.

"Peruntukan ini akan digunakan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sosio ekonomi yang dijangka dapat memberi manfaat kepada 83 unit kumpulan Wadira di seluruh negara,"katanya ketika ditemui Bernama di Konvensyen Perdana Wadira 2018 yang dirasmikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bung Mokhtar berkata Felcra akan mempelbagaikan lagi program sedia ada bagi membantu anggota Wadira dalam meningkatkan kemahiran dan ilmu mereka.

"Apa yang saya lihat, mereka nampak lebih bersemangat apabila program sebegini diadakan. Saya yakin program sebegini dapat memberi impak dalam kumpulan mereka.

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Sementara itu, Ketua Pengarah Seranta Felcra Berhad, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata Wadira yang ditubuhkan pada 1979 itu diwujudkan untuk menggerakkan projek-projek di kawasan perkampungan Felcra yang mempunyai petempatan peserta yang ramai.

"Sehingga kini, terdapat 83 Institusi Wadira dengan keahlian seramai 17,562 orang di serata Malaysia.

"Pertubuhan Wadira merupakan badan perantara di antara keluarga anggota dengan pengurusan Felcra Berhad. Anggota Wadira yang terdiri daripada suri rumah akan dibimbing untuk membantu meningkatkan pendapatan keluarga, katanya.

Menurut Najmil Faiz, Wadira aktif menjalankan aktiviti keusahawanan atas jenama Wadira antaranya perniagaan madu kelulut, kraftangan, roti dan pastri serta jahitan.

Felcra yang ditubuhkan pada 1966 telah ditukar nama kepada Felcra Berhad dan statusnya telah bertukar dari sebuah Badan Berkanun kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan pada tahun 1997. Penukaran entiti korporat ini membolehkan Felcra Berhad menyertai bidang perniagaan yang baru selaras dengan aspirasi pembangunan nasional.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment