Sunday, December 31, 2017

SHAHIDAN HARAP MAHATHIR KEMBALI KE PANGKAL JALAN

ARAU, 31 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata UMNO tiada masalah untuk menerima permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang beliau berkecimpung dalam politik.

"Alhamdulillah, Tun minta maaf. .Jika Tun mengaku ada buat salah kita boleh terima tetapi bila dah tuduh dengan teruk kerajaan yang memerintah, tidak baiklah.. sebab kita semua bukan sempurna.

"Begitu juga bila nak tegur kita kena ingat kita pernah buat salah atau tidak...saya harap kembalilah ke pangkal jalan dan bersama kerajaan supaya kita menjadi lebih kuat dan dapat menunaikan lebih banyak hasrat dan kebaikan untuk rakyat," katanya.

Semasa berucap merasmikan mesyuarat agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam semalam, Dr Mahathir membuat permohonan maaf itu bagi segala kesalahan yang pernah dilakukannya.

Shahidan yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan anggota Majlis Tertinggi UMNO ditemui selepas menyampaikan keperluan sekolah program 'Ceria Kembali Ke Sekolah Felcra Berhad' di Pusat Khidmat anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang di sini, hari ini.

Felcra menyumbangkan 500 beg kepada anak-anak golongan B40 dalam kawasan Parlimen Arau sebagai sebahagian program khidmat kemasyarakatannya pada majlis itu.

Sebelum itu, Pengurus Besar Felcra Wilayah Utara (Kedah dan Perlis) Wan Mokhtar Wan Muda berkata seramai 1,006 orang anak-anak golongan B40 termasuk anak-anak kakitangan agensi itu menerima bantuan berupa pakaian seragam sekolah, beg, alat tulis, kasut, stoking dan buku latihan.

Dalam perkembangan lain Shahidan berkata pembangkang yang mulai mendekati rakyat untuk memberi sumbangan dan bantuan sejak akhir-akhir ini sama sekali tidak menggugat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

"Biarlah..Itu hak mereka untuk masuk beri bola sepak raga sebiji, beras sekampit dan sedikit bantuan. Kalau depa (mereka) tak masuk macam mana kita nak lawan dan lihat siapa lebih kuat dalam membantu dan menjaga kebajikan rakyat," tambahnya.

Mengenai Perlis, beliau berkata UMNO telah membuat persiapan jangka panjang dan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir.

-- BERNAMA

Saturday, December 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI DISEMBER 2017

Disember 2017 menyaksikan posting "Tapak Perwaja dibeli syarikat dari China" mendapat rating tertinggi sebanyak 830 hits. 10 posting tertinggi adalah seperti berikut bagi bulan Disember 2017:-

1. Tapak Perwaja dibeli syarikat dari China (14.12)
2. Kekalkan ahli keluarga Sakaran sebagai calon (11.12)
3. Ahmad Hamzah ganti Idris Haron? (22.12)
4. Jangan letak calon muda melebihi 20 peratus (7.12)
5. Cipta rakit untuk kambing di musim banjir (1.12)
6. Lim Kit Siang dicabar nafi mahu jadi PM (13.12)
7. Lain padang lain belalang (3.12)
8. Sapari calon Parti Warisan bagi DUN Sekong? (10.12)
9. Noh Omar bukan MB Selangor kalau BN menang (2.12)
10. Kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan data 2014 (12.12)

SALLEH PERTIKAI PERMOHONAN MAAF MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kesilapan dalam karier politiknya dipertikai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau merujuk kepada permohonan maaf bekas perdana menteri itu yang diungkapkan di penghujung ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam hari ini.

Dalam catatan blognya, Salleh berkata permohonan maaf Dr Mahathir seolah-olah lebih kepada memberikan alasan daripada meminta maaf.

"Ia berbunyi seperti kenyataan 'sebelum saya pergi...'dalam kata lain ia bukan isu yang penting hanya diselit masuk kerana beliau sudah berada di atas pentas berucap. Permohonan maafnya itu terlalu umum dan ia boleh bermaksud apa saja.

"Adakah Mahathir bercakap mengenai kerugian dagangan mata wang asing atau isu Maminco, isu pemenjaraan Anwar Ibrahim. atau Krisis Perlembagaan, atau Perwaja...atau dia memohon maaf di atas segala kesilapan yang dilakukannya sepanjang 22 tahun sebagai perdana menteri," kata Salleh.
Dalam ucapan dasar itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata: "Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin pohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa."

"Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja pada hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik," katanya.

Salleh berkata permohonan maaf yang ikhlas, ia perlu khusus, dan permohonan maaf perlu dinyatakan kepada pihak yang terkilan.

"Permohonan maaf seperti ini boleh dinafikan kemudian kerana ia kurang terperinci atau ia boleh bertukar untuk melindungi apa yang perlu dilindungi apabila diperlukan.

"Bagaimanapun, ia lebih berbunyi seperti (Tun Dr) Mahathir memberikan alasan terhadap kesilapannya dengan mengatakan adalah lumrah bagi manusia untuk melakukan kesalahan...maka ia bermakna beliau tidak boleh dipersalahkan kerana beliau hanyalah manusia," kata menteri itu.

-- BERNAMA

Friday, December 29, 2017

PM SEMENTARA BUKTI MAHATHIR TIDAK DIPERLUKAN

BERA, 29 Dis (Bernama) -- Cadangan pembangkang untuk menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang menunjukkan beliau sebenarnya tidak diperlukan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan itu juga membuktikan pembangkang sebenarnya masih mahu merealisasikan hasrat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara.

"Bila mereka sudah ada Anwar, Dr Mahathir tidak akan berguna lagi... sekadar tunggu sehingga Anwar dibebaskan. Keadaan ini seperti tiada rotan akar pun berguna.

"Saya harap Dr Mahathir sebagai perdana menteri yang pernah memimpin negara selama 22 tahun sedar bahawa dirinya hanya dipergunakan," kata Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada pemberita selepas hadir Majlis Tamat Latihan Pelatih GiatMara Bera Sesi 2017 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah KKLW Pahang Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz, Ketua Penolong Pengarah GiatMara negeri Hasdee Hamzah, Pengarah Kemas negeri Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri Johari Alwi.

Ismail Sabri menambah kata walaupun pemilihan perdana menteri ditentukan oleh parti yang memenangi pilihan raya, perkara itu dilihat boleh menjejaskan imej Anwar, jika dia membuat rayuan untuk dibebaskan daripada penjara.

"Anwar mungkin menunggu keampunan Yang Dipertuan Agong untuk dibebaskan, tapi kalau beliau mohon keampunan, secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa seolah-olah beliau bersalah kerana mengapa mohon ampun jika tidak salah," katanya.

Semalam, sebahagian media yang memetik sumber melaporkan keputusan PKR pada mesyuarat biro politiknya pada 19 Dis lalu secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pakatan harapan untuk menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika berjaya pada PRU14.

Cadangan itu dikatakan mendapat restu daripada Anwar dan dibuat secara bersyarat, antaranya membebaskan segera Anwar dan melantiknya sebagai perdana menteri baharu dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

-- BERNAMA

Thursday, December 28, 2017

RISDA MINTA PERMUDAHKAN MEMBAWA MASUK PEKERJA ASING


PADANG BESAR, 28 Dis (Bernama) -- Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta kerajaan memberi kelonggaran bagi mempermudahkan untuk membawa masuk pekerja asing untuk sektor perladangan.

Beliau berkata kekurangan pekerja dalam sektor itu menyebabkan kira-kira 600,000 pengusaha ladang sawit mengalami kerugian besar kerana buah tidak dapat dipetik atau lewat dipungut.

"Saya mohonlah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal pengambilan pekerja asing dengan memberi permit kepada pihak tertentu untuk mengambil pekerja atau buruh dalam sektor perladangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 'Kembali Ke Sekolah 2018' peringkat Parlimen Padang Besar di sini, hari ini.

Zahidi yang juga anggota Parlimen Padang Besar berkata hanya mereka yang terlibat dalam sektor perladangan lebih mengetahui pekerja yang sesuai untuk sektor tersebut.

Katanya industri sawit antara eksport komoditi terbesar negara bernilai berbilion ringgit setahun akan menghadapi masalah jika kekurangan pekerja tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dalam ucapannya, Zahidi berkata jumlah sumbangan Back To School seluruh negara melibatkan 50 buah estet peserta yang layak dan terpilih sahaja.

"Sumbangan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM80,000 dalam bentuk bag sekolah dan perkakasan sekolah. Seramai 330 orang pelajarrr menerima sumbangan tersebut bagi zon utara Perlis dan Kedah," katanya.

Katanya lagi, Yayasan RISDA dan Yayasan Taqwa turut memberi sumbangan kepada 410 orang penerima yang layak.



Tuesday, December 26, 2017

ONGKILI TANDING DI DUN TAMBUNAN?


KOTA KINABALU, 26 Dis (Bernama) -- Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi bayangan ingin mewakili parti itu bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ongkili yang sudah tiga penggal berperanan sebagai anggota Parlimen Kota Marudu, berhasrat untuk menjadi wakil rakyat negeri sekali gus berkhidmat kepada rakyat di Sabah.

"Perkara ini masih dalam perbincangan sama ada bertanding untuk kerusi DUN atau kekal kerusi Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ongkili berkata Tambunan berkemungkinan akan menjadi kawasan diwakilinya jika dapat bertanding bagi kerusi DUN pada pilihan raya akan datang, namun, beliau belum dapat memberi kepastian kerana parti masih lagi membincangkan perkara itu.

Ini kerana, katanya, Presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang merupakan penyandang kerusi DUN itu ketika ini, masih mempunyai baki satu peratus daripada 99 peratus hasrat untuk tidak bertanding semula pada PRU14 bagi mendengar pandangan barisan kepimpinan PBS sama ada kekal mempertahan kerusi berkenaan atau sebaliknya.

Mengenai kerusi bakal ditandinginya jika kekal sebagai wakil Parlimen, Ongkili tidak dapat memastikan sama ada beliau akan terus kekal di Kota Marudu atau bertanding kerusi lain termasuk Keningau, yang turut disandang Pairin, kerana perkara itu juga belum dapat diputuskan dan masih dalam perbincangan parti.

-- BERNAMA


Monday, December 25, 2017

KKLW MINTA PEMIMPIN HANTAR PERMOHONAN KEMUDAHAN AMENITI SOSIAL

KUALA NERUS, 25 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meminta pemimpin negeri dan daerah menghantar permohonan bagi kemudahan ameniti sosial kepada kementerian itu selewat-lewatnya pertengahan Januari depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemudahan itu termasuk lampu jalan, membaiki dan mengecat pagar surau dan membaiki jalan kecil di kampung.

"Kalau boleh saya minta kepimpinan di peringkat Parlimen hantar senarai berkenaan sebab beliau yang tahu kampung mana yang perlukan kemudahan berkenaan. Semua senarai itu perlu diserah kepada kementerian menjelang pertengahan Januari dan kalau ada peruntukan boleh buat terus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Lampu Jalan Kampung (LJK) Peringkat Terengganu di Gelanggang Futsal Kampung Kesom, Teluk Pasu, di sini, malam ini. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta barisan kepimpinan negeri dan penduduk kampung.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata kerajaan telah memasang 317,000 unit LJK di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM245 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sehingga RMK-11

NOVEL MR BOSS, MISS STALKER UNGGULI MALAM ANUGERAH TELENOVELA 2017

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Novel Mr Boss, Miss Stalker mengungguli Anugerah Telenovela 2017 apabila memenangi enam daripada 36 kategori pada acara yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Novel terbitan Kaki Novel Sdn Bhd itu memenangi kategori Telenovela Terbaik (Mr Boss, Miss Stalker), Pelakon Wanita Terbaik (Mia Ahmad) dan Pelakon Lelaki Terbaik (Ashraf Muslim).

Turut dimenangi kategori Pengarah Terbaik (Heykal Hanifah), Penulis Skrip Terbaik (Sofia J. Rhyland) dan Penerbit Telenovela Terbaik (Saphire Screen Sdn Bhd).

Anugerah anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu diadakan bersempena Festival Industri Kreatif bertujuan mengiktiraf kreativiti penulis dan warga penerbitan buku serta kru produksi yang mampu mengolah bahan bercetak ke layar perak.

Sementara itu, novel Tujuh Hari Mencintaiku pula membolot tiga anugerah iaitu kategori Novel Terbaik, Novelis Terbaik (Siti Rosmizah) dan Penerbit Novel Terbaik (SR Publication).

Friday, December 22, 2017

AHMAD HAMZAH GANTI IDRIS HARON?



MELAKA: BADAN Perhubungan Umno Melaka yang diketuai oleh Datuk Seri Ir Idris Haron sudah pasti akan pening kepala apabila memikirkan siapa bakal digugur dan siapa pula bakal dipilih untuk mewakili Barisan Nasional (BN) khususnya Umno pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU 14) yang dijangka bermula sebelum Mac depan.




Ini kerana terlalu ramai wakil rakyat lama yang masih boleh berkhidmat, walaupun ada sesetengah mereka sudah melebihi lima penggal berstatus wakil rakyat ataupun Ahli Parlimen.




Begitu juga dengan calon-calon muda yang kebanyakkan mereka sudah boleh diketengahkan bagi mewakili parti pada pemilihan kali ini, namun hakikat yang bersarang di benak Datuk Seri ialah siapa perlu dikorbankan bagi memberi laluan muka baru.




Untuk rekod antara wakil rakyat paling lama berkhidmat di Melaka ialah Datuk Wira Ahmad Hamzah. Sehingga ke hari ini Ahli Parlimen Jasin itu sudahpun menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) selama lima penggal, termasuk sebagai ADUN Serkam.




Ada ura-ura, untuk PRU 14 ini, Datuk Ahmad berkeinginan bertanding di DUN Serkam menggantikan Datuk Zaidi Atan. Tidak diketahui kenapa beliau beralih ke DUN. Tetapi dari sumber-sumber terdekat memaklumkan beliau bercita-cita ingin menjadi Ketua Menteri.




Datuk Ghazale Muhamad iaitu ADUN Rim bakal berpindah ke DUN Bemban. Bemban kini dimiliki oleh calon MCA iaitu Ng Choon Koon akan mndapat calon muda iaitu Imanudin Tan Sri Aziz (anak Tan Sri Aziz Tapa) ataupun Datuk Zaleha Bujang, Ketua Wanita Jasin.




Seorang lagi calon veteran di Parlimen Jasin iaitu Datuk Hasan Abd. Rahman yang dikatakan ada ketokohan menjadi KM Melaka bakal dikekalkan di Sungai Rambai. Banyak pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau terutama sekali di kawasan tersebuat antara sebab namanya bakal tersenarai untuk PRU 14 nanti.




Datuk Roslan Roslan Ahmad juga dikatakan bakal kekal di Merlimau. ADUN baru sepenggal itu telah menunjukkan hasil kerja yang memuaskan dan pengundi di kawasan tersebut, tidak rela wakil mereka dilepaskan.




Beralih ke Parlimen Masjid Tanah pula, Ketua Umno Bahagian, Datuk Seri Rauf Yusoh hampir pasti bertanding di parlimen berkenaan bagi mengggantikan Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin. Datuk Mas akan bertanding di DUN Ayer Limau menggantikan Datuk Amerudin Yusof.empat lagi ADUN iaitu Datuk Ismail Othman (Kuala Linggi) Datuk Md Rawi Mahmud (Tanjung Bidara) Datuk Sulaiman Ali (Lendu) dan Datuk Latipah Omar (Naning) tidak terlibat dalam pemutihan kali ini.




Bagi Parlmien Alor Gajah pula, nama Datuk Ab Wahab Ab Latip (Durian Tunggal) dan Datuk Abdul Ghafar Atan (Asahan) antara mereka yang bakal diketepikan. Sementara Datuk Norpipah Abdol (Rembia) boleh tersenyum kerana bakal dikekalkan pada PRU kali ini.




Bagi Parlimen Bukit Katil pula, senario di sini amat menarik sekali. Tan Sri Mohd. Ali Rustam bakal kembali bertanding di Parlimen berkenaan untuk menebuas kekalahan di tangan wakil PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.




Seorang lagi muka lama iaitu Datuk Md Sirat Abu bakal bertanding di Bukit Baru untuk merampas kembali kerusi yang dimenangi oleh calon PAS.




ADUN Ayer Molek, Datuk Md. Yunos Husin bolehlah mengucapkan selamat tinggal kepada pengundinya di situ. Tempat beliau bakal di isi oleh Ketua Whip Ahli Majlis Hang Tuah Jaya, Rahmat Mariman.




Kedudukan Datuk Seri Ir. Idris Harun di DUN Sungai Udang tidak dapat dipastikan lagi. Namun pemerhati politik meramalkan beliau tetap di situ bagi membolehkan beliau dilantik semula sebagai Ketua Menteri.




Nasib Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim di Pantai Kundor agak cemas. Beliau seharusnya memberi peluang kepada muka baru atas sebab prestasi kurang memberansangkan.




Seorang lagi ADUN iaitu Haji Sazali Muhd. Din (Paya Rumput) boleh tidur nyenyak kerana bakal dikekalkan pada kali ini.





Thursday, December 21, 2017

MAHATHIR SEPATUTNYA MARAH KEPADA LIM KIT SIANG


KUALA LUMPUR, 21 Dis (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan serangan yang 'tidak kena pada tempatnya' apabila beliau menempelak bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid berhubung kerugian urus niaga forex Bank Negara berjumlah RM31.5 billion, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, kata beliau, bekas perdana menteri itu sepatutnya marah dengan (penasihat DAP) Lim Kit Siang.

"Murad hanya memberi keterangan dalam pendengaran RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) berhubung kerugian sebenar forex, yang mendedahkan bahawa jumlahnya adalah RM31.5 bilion dan bukannya RM5.7 bilion.

"Bagaimanapun, Kit Siang lah, yang selama 20 tahun, mendesak supaya ditubuhkan RCI bagi menyiasat kerugian urus niaga forex Bank Negara," menurut beliau menerusi catatan terkini dalam blog sskeruak.blogspot.my hari ini.

Semalam, Dr Mahathir meletakkan kesalahan berikutan kerugian itu ke atas Murad, dengan mendakwa bekas penolong gabenor BNM itu tahu tentang kerugian terbabit, namun memilih untuk berdiam diri dan hanya mendedahkan perkara yang diketahuinya itu baru-baru ini.

Salleh menyimpulkan bahawa Dr Mahathir kini memerlukan Kit Siang sebagai sekutu politiknya, manakala Kit Siang pula memerlukan Dr Mahathir untuk meraih undi Melayu, kedua-duanya membuat pusingan-U berhubung skandal forex.

"Tahap kepura-puraan yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir dan Kit Siang menunjukkan bahawa mereka meletakkan kepentingan politik lebih tinggi daripada mencari kebenaran.

"Bukankah Kit Siang yang menuntut kebenaran dan Dr Mahathir yang menyatakan beliau hanya mencari kebenaran?" tanya beliau.

-- BERNAMA

Wednesday, December 20, 2017

23 TROFI JADI REBUTAN ANUGERAH TELENOVELA SABTU INI

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Sebanyak 23 trofi menjadi rebutan penggiat seni tempatan pada Anugerah Telenovela yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Sabtu ini (23 Dis).

Antara kategori yang dipertandingkan pada majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu ialah Novel Popular, Telenovela Popular, Novelis Terbaik, Penulis Skrip Terbaik, Stesen Penyiar Telenovela Paling Popular dan Pelakon Terbaik.

Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah berkata anugerah yang diadakan bersempena Festival Industri Kreatif bermula dari Jumaat hingga Ahad ini bertujuan mengiktiraf kreativiti penulis dan warga penerbitan buku serta krew produksi yang mampu mengolah bahan bercetak ke layar perak.

"Pengiktirafan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penulisan novel, keilmuan dan kesusasteraan perfilemannya sekaligus mengembangkan industri buku dan kreatif negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata telenovela juga akan diperkembangkan ke negara-negara ASEAN yang lain dan mengharapkan pengiktirafan itu menjadi petanda aras untuk drama-drama terpilih dipertandingkan ke peringkat ASEAN kelak.

"YPBN merancang menjadikan Malaysia sebagai hab telenovela di rantau ini, justeru ia akan menaikkan lagi ekonomi negara dan menjadi 'pull factor' bagi aspek pelancongan," tambahnya yang mengharapkan telenovela mampu mengembalikan gelombang sokongan Melayu.

Selain malam anugerah, Hasan berkata pihaknya turut menganjurkan Forum Buku ke Skrin (Book2Screen) pada Sabtu ini di lokasi yang sama.

Tuesday, December 19, 2017

DURIAN BAKAL MUNCUL INDUSTRI BAHARU NEGARA

PETALING JAYA, 19 Dis (Bernama) -- Penanaman durian bakal muncul sebagai sebagai industri yang mampu menjana ekonomi negara pada masa depan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Katanya, ia boleh menjadi sebagai satu industri baharu dan cabang ekonomi yang berpotensi besar kepada sumber pendapatan negara.

"Ekonomi durian ini mampu menguntungkan mereka yang mengusahakannya di sepanjang 'value chain' selain penanam, terdapat juga orang yang menyediakan baja untuk memperoleh hasil durian yang baik, pengangkutan untuk memasarkan durian ke pasaran luar serta kilang untuk memproses pelbagai produk daripada durian.

"Jadi jangan kita bunuh industri ini. Kalau harga durian naik, kita akan cuba stabilkan kembali, orang ramai jangan cepat emosi dengan kenaikan harga tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu jemputan pada program terbitan Rancangan Televisyen Malaysia (RTM) Suara Kita, Hak Kita: Durian Ceria atau Kecewa yang bersiaran secara langsung dari gerai Durian SS2, Petaling Jaya, pada Isnin.

Dalam usaha membangunkan lagi industri durian, Ahmad Shabery turut menyokong pewujudan lokasi tumpuan durian seperti gerai Durian SS2, dan berharap lebih banyak tempat sedemikian bakal diwujudkan di negeri-negeri lain.

Sementara itu, pengusaha Durian SS2 Lee Chee Kong berkata gerai jualan durian yang telah diusahakan sejak 18 tahun dahulu telah berjaya menarik kehadiran pelbagai pelanggan termasuk dari luar negara.

"Hampir 30 peratus pelanggan yang datang merupakan pelancong asing dari Singapura, China, Indonesia, Thailand dan United Kingdom."

"Ada pelancong dari China datang ke negara ini semata-mata mahu menikmati durian ?Musang King' kerana durian tersebut dijual pada harga lebih murah di negara ini berbanding di negara mereka," katanya.

-- BERNAMA

Monday, December 18, 2017

PAKATAN HARAPAN MASIH BERGELUT SIAPA BAKAL JADI PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas Pakatan Harapan kerana masih bergelut dengan masalah siapa yang akan dinamakan sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata belum pernah ada satu gabungan yang begitu keliru tentang siapa yang akan diletakkan sebagai perdana menteri bayangan sambil berkata sepatutnya sekarang mereka sudahpun mempunyai kabinet bayangan penuh.

"Tetapi Pakatan masih tidak dapat melakukan perkara yang mudah seperti ini. Kekeliruan menjadi lebih buruk apabila Tun Dr Mahathir Mohamad (Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) mengumumkan awal tahun ini bahawa beliau adalah pemimpin tertinggi Pakatan.

"Kemudian, para pemimpin DAP sebaliknya membuat semua pengumuman dasar bagi pihak Pakatan. Kemudian nama Anwar Ibrahim (ketua umum PKR) disebut-sebut sebagai calon perdana menteri tetapi orang lain akan menjadi perdana menteri sementara kerana dia masih berada di penjara,"kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my malam ini.

Salleh yang juga bendahari UMNO merujuk kepada langkah Pakatan Harapan untuk mengumumkan calon pilihannya untuk jawatan perdana menteri bulan depan.

-- BERNAMA

Sunday, December 17, 2017

JANGAN PERTIKAI SIAPA YANG DIPILIH CALON



OLEH ABDULLAH KARIM


KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose menyokong penuh ucapan penggulungan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno (PAU 17) bahawa sesiapa sahaja dipilih sebagai calon semua pihak seharusnya tidak dipertikaikan.



Sebaliknya kata beliau sesiapa sahaja yang tidak terpilih, hendaklah diberi sokongan seratus peratus kepada calon tersebut demi mempastikan kawasan ditandingi beroleh kemenangan.



“Ucapan Datuk Seri Najib merupakan satu peringatan kepada kita semua bahawa jangan ada sesiapapun menolak calon yang telah dipilih oleh beliau. PM Najib amat tegas dalam hal ini dan sudah pasti beliau mahukan kemenangan. Sebab itu beliau cakap semua pihak kena sokong dan jangan ada yang menentang (calon) yang telah dipilih,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika diminta pandangannya mengenai intipati ucapan penggulungan Datuk Seri Najib pada hari terakhir PAU Sabtu lepas.



Datuk Ambrose yang juga Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah berkata beliau akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh pucuk pimpinan pada PRU kali kini.



Parlimen Penampang adalah kerusi mutlak Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Presidennya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.



Parlimen Penampang menjadi kosong apabila wakil rakyatnya, Ignitius Darell Leiking menyertai WARISAN yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Afdal.



Datuk Ambrose menegaskan beliau serta barisan kepimpinan Umno Bahagian Penampang akan menyokong siapa sahaja wakil dari rakan BN yang diletakkan di situ serta berjanji akan membantu sebaik mungkin bagi memenangi Penampang.





“Perdana Menteri ulang kali cakap, semua ahli kena turun padang bantu calon BN. Jadi kita kena dengarlah cakap PM kita dan bantulah supaya harapan Najib untuk lihat BN Sabah lebih banyak cipta kemenangan akan terlaksana,” katanya.

BN PERLUKAN 300,000 UNDI LAGI UNTUK TAWAN KELANTAN

KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kembali memerintah negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata sebanyak satu juta pengundi layak mengundi pada PRU14 dengan 200,000 daripadanya merupakan anggota BN.

"Kalau nak menang sekurang-kurangnya kami perlukan 300,000 undi lagi...itu sebabnya kami (jentera BN) perlu dekati pengundi atas pagar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah orang PAS sendiri.

"Jentera BN perlu dekati kelompok ini kerana mereka mula menujukkan sikap yang lebih positif kepada BN dan saya dapat rasakan angin perubahan mula bertiup kencang di Kelantan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan sesi soal jawab serta penerangan bersama kira-kira 1,000 penduduk Parlimen Kota Bharu yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Kota Bharu Tan Sri Muhammad Fatmi Che Salleh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata manifesto BN Kelantan untuk PRU14 kini hampir siap dirangka dan akan dibentangkan ke peringkat BN pusat dalam masa terdekat.

Beliau berkata manifesto berkenaan kini sedang dirangka Ketua UMNO bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Katanya antara perkara yang menjadi tumpuan dalam manisfesto berkenaan membabitkan peluang pekerjaan dan kemudahan riadah kepada anak muda, pelancongan dan pelaburan serta perumahan mampu milik.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam untuk berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada lima keluarga di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bunut Payong di sini.

-- BERNAMA

Saturday, December 16, 2017

PEMBANGKANG HANYA TAHU SERANG PERIBADI INDIVIDU

ARAU, 16 Dis (Bernama) -- Pemimpin pembangkang hanya tahu menyerang peribadi individu dan memikirkan kepentingan sendiri berbanding membela rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau berkata itulah yang dilakukan pembangkang dalam usahanya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Serang peribadi individu itu bukan perjuangan (dalam politik), tapi (bagi pembangkang) jika ia serang parti (BN), itu barulah perjuangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada 1,000 pelajar dalam Parlimen Arau dekat sini, hari ini.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata rakyat perlu sedar dan melihat dengan lebih jelas bahawa hanya kerajaan BN yang mampu membela dan membantu rakyat sejak dahulu tanpa membezakan sebarang latar belakang.

-- BERNAMA

Thursday, December 14, 2017

TAPAK PERWAJA DIBELI SYARIKAT DARI CHINA

KUALA TERENGGANU, 14 Dis (Bernama) -- Tapak kilang Perwaja Steel Sdn Bhd (PSSB) seluas 150 hektar di kawasan perindustrian Telok Kalong, Kemaman, telah dibeli oleh sebuah syarikat dari China untuk dibangunkan sebagai loji penapisan aspal minyak atau bitumen dan produk kimia, demikian sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata syarikat MD Petrol Kimia berminat melabur lebih RM10 bilion dalam dua fasa iaitu fasa pertama pelaburan lebih RM2 bilion untuk kilang bitumen dan RM8 bilion untuk produk kimia.

Projek ini di tapak kilang PSSB membuka 7,000 peluang pekerjaan, katanya, ketika menjawab soalan lisan Hanafiah Mat (ADUN-Chukai) yang ingin tahu mengenai usaha kerajaan memulihkan kawasan perindustrian Telok Kalong yang didakwa semakin malap.

Katanya, 99 peratus daripada 319 lot industri di kawasan perindustrian Telok Kalong telah diisu atau dimohon dan menyumbang lebih 50 peratus pertumbuhan ekonomi kepada daerah Kemaman.

Menurut Tengku Putera, yang juga ADUN Kuala Berang, daripada 319 lot itu hanya ada dua lot sahaja yang kosong namun telah mula 'diintai' oleh banyak pihak.

Wednesday, December 13, 2017

LIM KIT SIANG DICABAR NAFI MAHU JADI PERDANA MENTERI



TEMERLOH :Penasihat DAP, Lim Kit Siang dicabar mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan hasrat menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.

MAHDZIR KHALID

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan Kit Siang yang terus bertahan selama 50 tahun sebagai ahli politik menunjukkan cita-cita besarnya untuk memegang jawatan berkenaan.


Malah kata beliau, dalam merea­lisasikan impiannya itu, Kit Siang bertindak memperalatkan pe­mimpin berpengaruh seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapat sokongan pengundi Melayu.

“Semua orang sudah cakap sekarang, kalau bukan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan bukan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kit Siang sebenarnya mahu menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang.
Advertisement



“Kalau orang sudah kata dia hendak menjadi Perdana Menteri dan dia pula berdolak-dalik, buatlah satu kenyataan mengatakan dia tidak mahu jadi pemimpin nombor satu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Program Guru Pembina Negara Bangsa dan Bicara Profesionalisme Kepimpinan Pendidikan Pahang 2017 di sini hari ini.

Menurut Mahdzir, adalah mus­tahil bagi Kit Siang menolak jawatan berkenaan berdasarkan penglibatannya yang lama dalam politik dan bersandarkan jumlah kerusi DAP dalam Pakatan Harapan.

Dalam pada itu beliau berkata, hasrat Kit Siang untuk menjadi Perdana Menteri dengan memastikan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang tidak akan berhasil tanpa sokongan orang Melayu.

Justeru, beliau percaya Kit Siang akan terus berusaha mendapatkan sokongan orang Melayu dengan pelbagai cara termasuk memperkudakan pemimpin-pe­mimpin berpengaruh kaum itu.

“Dia tahu tidak boleh jadi tanpa sokongan orang Melayu dan dia kena dapatkan undi untuk Pakatan Harapan dalam kalangan orang Melayu,” ujarnya.



Tuesday, December 12, 2017

KEBOCORAN DATA PERIBADI 46.2 JUTA PELANGGAN DATA 2014

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) --- Kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan nombor telefon mudah alih yang dilaporkan pada 18 Okt lepas adalah melibatkan kebocoran data pada 2014 dan bukannya data terkini, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi mengikut Seksyen 4, Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan Seksyen 130, Akta Pelindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709).

" Masih terlalu awal untuk disimpulkan dalang di sebalik insiden yang berlaku. Pihak polis telah memanggil saksi-saksi yang dikenal pasti untuk diambil keterangan.

"Antara saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan ialah pengendali laman web lowyat.net, jobstreet.my, syarikat-syarikat telekomunikasi (telco), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan mana-mana individu yang dipercayai dapat membantu siasatan," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab solan Senator S. Chandra Mohan yang ingin tahu hasil siasatan insiden kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih baru-baru ini.

Monday, December 11, 2017

KEKALKAN AHLI KELUARGA SAKARAN SEBAGAI CALON




SEMPORNA: Bekas ADUN Bugaya, Datuk Basali Abdul Hamid mencadangkan supaya pucuk pimpinan memilih salah seorang ahli keluarga Tun Sakaran Dandai sebagai calon Barisan Nasional (BN) di bahagian Semporna.


Katanya, mengekalkan ahli keluarga bekas Yang Dipertua Negeri Sabah sebagai calon memudahkan BN mengekalkan kerusi di Semporna. Kini pemangku Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Nasir Tun Sakaran adalah ADUN Senalang.


"Populariti keluarga Sakaran merupakan faktor utama BN dapat mengekalkan kuasa di Semporna dan di Sabah secara keseluruhannya," kata beliau.


Beliau yang juga ahli jawatankuasa Umno Bahagian Semporna menyeru Pendaftar Pertubuhan (ROS) memeriksa sama ada Parti Warisan Sabah melanggar peraturan ROS kerana parti tersebut gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan selepas Datuk Seri Shafie Apdal mengambilalih parti tersebut pada Oktober tahun lepas.


Sabahkini melaporkan pada bulan lepas sehingga ini Parti Warisan Sabah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan.


"Jika Parti Warisan Sabah melanggar peraturan ini, maka ia perlu dibatalkan pendaftarannya," kata beliau.


Basali mendakwa parti tersebut tidak mempunyai sokongan rakyat. Mereka mendakwa ada ahli yang ramai tetapi gagal membuktikannya.T

"Datuk Seri Shafie Apdal hanya menggunakan partinya untuk cita cita peribadi dengan membakar semangat sukukaum Kadazan Dusun dan rakyat Pantai Timur Sabah," katanya lagi.


Katanya, selepas mendengar ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pada perhimpunan agung Umno minggu lepas, keputusan PRU akan datang amat penting dalam menentukan masa depan Umno.


"Masa depan Sabah lebih terjamin di bawah BN kerana Najib berjanji akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke negeri Sabah," ujarnya.


Basali berkata sehingga kini Umno Bahagian Semporna amat aktif menyelesaikan masalah yang timbul selepas ditinggalkan oleh Shafie Apdal.

"Rakyat Semporna suka mereka diwakili oleh anak tempatan yang dapat berkhidmat kepada mereka. Saya cadangkan supaya calon tempatan yang muda wajar diberi peluang sebagai calon di tiga buah DUN dalam parlimen tersebut," katanya lagi.




Sunday, December 10, 2017

SAPARI CALON PARTI WARISAN BAGI DUN SEKONG?

SANDAKAN: Bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi, Sapari Idal (paling kiri) yakin Parti Warisan akan menang di DUN Sekong pada PRU akan datang.

Sapari disebut sebut sebagai calon Parti Warisan di kawasan berkenaan kerana beliau adalah anak tempatan yang banyak berkhidmat kepada masyarakat sejak berada dalam ahli jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi lagi.

Menurut sumber, Sapari selain dari anak tempatan Sekong beliau juga banyak pengalaman politik di DUN tersebut.

"Beliau sudah ada tapak pengaruh tak seperti cendawan yang tumbuh di musim hujan, kalau musim hujan baru nak tumbuh," kata sumber itu lagi.

Sumber itu menambah Sapari muncul membantu rakyat hampir setiap minggu dan bukannya baru muncul menjelang PRU.


Saturday, December 9, 2017

TIGA PENJURU BELUM TENTU BN MENANG

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua anggota parti supaya tidak berasa selesa dalam menghadapi pertembungan lebih daripada dua penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata ini berikutan sesetengah kawasan mungkin tidak akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).

"Parti harus diperkuatkan dari dalam, bukan mengharapkan faktor luaran. Pembangkang akan menggunakan apa sahaja pendekatan untuk menang. Mereka hidup atas isu sedangkan BN mengamalkan agenda sentrik," katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata pengalaman 'terdampar' dua kali di 'pantai politik' pada PRU yang lepas perlu dijadikan iktibar akibat kejutan serangan di saat akhir pembangkang hingga mengakibatkan pengundi terutamanya pengundi yang boleh dipujuk, terpengaruh.

"Hinggakan ada orang kita terperangkap dengan percaturan mereka. Dalam keadaan itu, kita harus hidu terlebih awal pembohongan yang dimainkan oleh ahli strategi pembangkang terutama dalam perang media sosial," kata beliau.

Memetik kata-kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan PRU14 sebagai 'bapa segala pilihan raya', Ahmad Zahid berkata tahap kesiapsiagaan jentera parti sudah mencapai tahap tertinggi.

Presiden mengingatkan kita, pentingnya bergerak sebagai satu pasukan. Bergeraklah dengan penuh keyakinan, kerana kita berada di landasan yang betul. Bertarunglah dengan semangat juang dan tekad yang tinggi, bahawa kita telah berusaha dan merancang, kata beliau.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak mahu ada adegan merajuk dan tersentap hati anggota yang tidak dipilih sebagai calon sebaliknya perlu memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang dipilih.

Jadilah seorang pengikut yang baik, kerana pemimpin yang baik bermula dari pengikut yang baik, katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa konsep 'Get Out the Voters' (GOTV) yang bukan sahaja untuk jentera UMNO, malah semua parti komponen BN, dihayati dan dilaksanakan bagi mencapai kemenangan yang lebih gemilang.

Bagi program KERIS 2314 pula, Ahmad Zahid berkata lebih 50,000 pemimpin dan anggota parti telah mengikuti siri satu dan dua program itu untuk melahirkan pemimpin berkarisma, ihsan, rasional, iltizam dan setia dengan sasaran meraih kemenangan dua pertiga dalam PRU14.

Insya-Allah, kita akan mewujudkan Gelombang 2314 selepas ini, kata beliau.

Semasa mengakhiri ucapan penggulungannya, Ahmad Zahid meniupkan semangat kepada 2,718 anggota perwakilan parti dengan mengajak mereka bersama-sama berikrar taat setia kepada presiden parti dan menanam iltizam untuk memastikan kemenangan cemerlang UMNO dan BN pada PRU14.

-- BERNAMA

Friday, December 8, 2017

JANGAN LETAK CALON MUDA MELEBIHI 20 PERATUS

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR: Umno Selangor diingatkan supaya tidak meletakkan lebih 20 peratus muka baru pada pilihan raya ke-14 sekiranya negeri itu ingin merampas kembali daripada pembangkang.

Datuk Ismail Kijo berkata kesilapan Menteri Besar pada ketika itu Datuk Seri Dr Khir Toyo yang meletakkan terlalu ramai calon muda antara faktor Selangor tewas.

"Calon veteran yang tersenarai tidak begitu gembira bila mereka tidak dicalonkan semula.

"Mereka sabotaj calon dipilih dengan pelbagai cara supaya kalah. Apabila kalah orang akan menyalahkan Khir Toyo kerana kononnya MB salah pilih calon," katanya ketika di temui di PWTC bersempena Perhimpunan Agung Umno 2017

Justeru itu kata Ketua Umno Ampang itu pucuk pimpinan Umno khususnya Pengerusi Umno , Tan Sri Noh Omar lebih berhati-hati ketika hendak meletakkan calon muda pada pilihan raya yang bakal berlangsung tahun hadapan.

Beliau merujuk saranan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan lebih ramai calon muda diketengahkan oleh semua negeri menggantikan calon veteran.

Ahmad Zahid ketika merasmikan Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri mahukan Umno negeri-negeri mencari calon muda yang berkaliber dan boleh menang.

Bercakap dalam konteks Umno Selangor, veteran Umno itu yakin parti keramat ini akan menerajui semula negeri tersebut.

Selama dua penggal Pakatan Harapan menerajui Selangor banyak perkara dijanjikan oleh Menteri Besarnya tidak tertunai.

"Rakyat Selangor sudah muak dengan karenah kerajaan pimpinan Azmin. Mereka menunggu masa sahaja untuk menyokong kembali Barisan Nasional pada Pru nanti," ujarnya.

Rakyat Selangor sudah hilang keyakinan dengan PH dan sudah bersedia untuk mengembalikan zaman kegemilangan Umno di bawah pemerintahan BN.

"Saya menyeru kepada seluruh pengundi di Selangor supaya bulatkan tekad dan berjanji akan memilih calon BN pada kali ini," katanya.

Thursday, December 7, 2017

UMNO SABAH AKAN BERI HADIAH PALING ISTIMEWA KEPADA PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- UMNO Sabah akan memberi 'hadiah' paling istimewa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang dengan memastikan negeri di bawah bayu itu kekal menjadi simpanan tetap bagi Barisan Nasional (BN).

Bendahari UMNO yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, ia sebagai satu manifestasi ke atas rasa syukur jutaan rakyat di negeri itu yang ditaburkan dengan pelbagai bantuan serta pembangunan sejak UMNO bertapak di Sabah kira-kira 24 tahun yang lepas.

"Bagi saya Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan kerjasama semua pihak bukan sahaja mampu mengekalkan kawasan yang kita menangi tapi juga merampas kawasan-kawasan yang kalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan perwakilan UMNO Sabah sempena Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini.

Terdahulu, dalam perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib turut menyentuh mengenai kepentingan Sabah dan Sarawak selain menyatakan bahawa kerajaan persekutuan akan tetap menjayakan projek Lebuh Raya Pan Borneo yang akan memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di kedua-dua negeri itu.

Sehubungan itu, Salleh berkata apa yang paling penting sekarang ialah semua anggota dan jentera UMNO perlu bersatu padu dan menangkis usaha pihak tertentu yang sudah berpaling tadah daripada parti itu.

"Ini kerana mereka (individu yang berpaling tadah daripada parti) hanya membawa perasaan semata-mata, tujuan mereka bukan untuk membawa pembangunan di Sabah kerana hanya UMNO dan BN yang mampu membawa tugas itu."

"Malah dalam ucapannya perdana menteri turut berkata bahawa hanya BN yang mampu menyatupadukan rakyat dan membawa negara ke arah era yang lebih gemilang," katanya.

Sementara itu, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata tugas untuk memerangi fitnah terhadap parti di laman sosial tidak hanya terletak pada pihak tertentu sahaja sebaliknya perlu digalas bersama oleh setiap anggota UMNO.

"Anggota UMNO harus bertanggungjawab memerangi fitnah atau berita palsu kerana setiap daripada kita ada gazet masing-masing dan kita perlu gunakan ia untuk melawan fitnah-fitnah ini," katanya.

Katanya memang ada undang-undang tertentu yang boleh diambil terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial dan sekiranya ada yang merasa teraniaya, mereka bertanggungjawab membuat laporan polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.