PADANG BESAR, 28 Dis (Bernama) -- Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta kerajaan memberi kelonggaran bagi mempermudahkan untuk membawa masuk pekerja asing untuk sektor perladangan.
Beliau berkata kekurangan pekerja dalam sektor itu menyebabkan kira-kira 600,000 pengusaha ladang sawit mengalami kerugian besar kerana buah tidak dapat dipetik atau lewat dipungut.
"Saya mohonlah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal pengambilan pekerja asing dengan memberi permit kepada pihak tertentu untuk mengambil pekerja atau buruh dalam sektor perladangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 'Kembali Ke Sekolah 2018' peringkat Parlimen Padang Besar di sini, hari ini.
Zahidi yang juga anggota Parlimen Padang Besar berkata hanya mereka yang terlibat dalam sektor perladangan lebih mengetahui pekerja yang sesuai untuk sektor tersebut.
Katanya industri sawit antara eksport komoditi terbesar negara bernilai berbilion ringgit setahun akan menghadapi masalah jika kekurangan pekerja tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Dalam ucapannya, Zahidi berkata jumlah sumbangan Back To School seluruh negara melibatkan 50 buah estet peserta yang layak dan terpilih sahaja.
"Sumbangan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM80,000 dalam bentuk bag sekolah dan perkakasan sekolah. Seramai 330 orang pelajarrr menerima sumbangan tersebut bagi zon utara Perlis dan Kedah," katanya.
Katanya lagi, Yayasan RISDA dan Yayasan Taqwa turut memberi sumbangan kepada 410 orang penerima yang layak.
No comments:
Post a Comment