Sunday, December 17, 2017

BN PERLUKAN 300,000 UNDI LAGI UNTUK TAWAN KELANTAN

KOTA BHARU, 15 Dis (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kelantan memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk kembali memerintah negeri ini, kata Pengerusinya Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata sebanyak satu juta pengundi layak mengundi pada PRU14 dengan 200,000 daripadanya merupakan anggota BN.

"Kalau nak menang sekurang-kurangnya kami perlukan 300,000 undi lagi...itu sebabnya kami (jentera BN) perlu dekati pengundi atas pagar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah orang PAS sendiri.

"Jentera BN perlu dekati kelompok ini kerana mereka mula menujukkan sikap yang lebih positif kepada BN dan saya dapat rasakan angin perubahan mula bertiup kencang di Kelantan ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat dan sesi soal jawab serta penerangan bersama kira-kira 1,000 penduduk Parlimen Kota Bharu yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Kota Bharu Tan Sri Muhammad Fatmi Che Salleh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata manifesto BN Kelantan untuk PRU14 kini hampir siap dirangka dan akan dibentangkan ke peringkat BN pusat dalam masa terdekat.

Beliau berkata manifesto berkenaan kini sedang dirangka Ketua UMNO bahagian Bachok Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Katanya antara perkara yang menjadi tumpuan dalam manisfesto berkenaan membabitkan peluang pekerjaan dan kemudahan riadah kepada anak muda, pelancongan dan pelaburan serta perumahan mampu milik.

Terdahulu, beliau meluangkan masa kira-kira satu jam untuk berkunjung dan menyampaikan sumbangan kepada lima keluarga di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bunut Payong di sini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment