Monday, December 25, 2017

KKLW MINTA PEMIMPIN HANTAR PERMOHONAN KEMUDAHAN AMENITI SOSIAL

KUALA NERUS, 25 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meminta pemimpin negeri dan daerah menghantar permohonan bagi kemudahan ameniti sosial kepada kementerian itu selewat-lewatnya pertengahan Januari depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemudahan itu termasuk lampu jalan, membaiki dan mengecat pagar surau dan membaiki jalan kecil di kampung.

"Kalau boleh saya minta kepimpinan di peringkat Parlimen hantar senarai berkenaan sebab beliau yang tahu kampung mana yang perlukan kemudahan berkenaan. Semua senarai itu perlu diserah kepada kementerian menjelang pertengahan Januari dan kalau ada peruntukan boleh buat terus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Lampu Jalan Kampung (LJK) Peringkat Terengganu di Gelanggang Futsal Kampung Kesom, Teluk Pasu, di sini, malam ini. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta barisan kepimpinan negeri dan penduduk kampung.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata kerajaan telah memasang 317,000 unit LJK di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM245 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sehingga RMK-11

No comments:

Post a Comment