Monday, October 31, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OKTOBER 2016

Nampaknya blog ini Newajilpost belum dapat mengatasi blog Catatanzabidi dan blog Today Terengganu. Bagi bulan oktober lalu, rating tertinggi dimenangi posting Jangan tempah lagi baju pesan Zahid kepada bakal calon yang mendapat 85 hits.

Rating tertinggi bagi bulan oktober adalah seperti berikut:-

1. Jangan tempah lagi baju pesan Zahid kepada bakal calon ( 1 Oktober)
2. SPRM rampas RM114 juta kes terbesar dalam sejarah SPRM (5 Oktober)
3. Tahniah anak Air Putih, Kemaman ( 10 Oktober)
4. PAS jangan terperdaya dengan helah Bersatu (3 Oktober)
5.Wakil Kemaman Kite ziarahi datuk Dai Niezal (30 Oktober)
6. Khairuddin keluar dari Bersatu ( 28 Oktober)
7.Pembangkang gagal jadi parti alternatif di Sabah (14 Oktober)
8. BN tak boleh ambil lewa Parti Warusan (18 Oktober)
9.Azmin sudah habis modal (24 oktober)
10. Umno Pagoh mahu anak tempatan (9 Oktober)

Sunday, October 30, 2016

WAKIL KEMAMAN KITE ZIARAHI DATUK DAI NIEZAL

Grup whatsapp Kemaman Kite telah menjalankan dua aktiviti penting sebelum ini iaitu mengadakan makan malam di Hotel Legend, Cherating dan menyambut kepulangan pemenang pertandingan Dai anjuran TV3, Dai Niezal atau Mohd Safuan Nizal bin Sabri di sempadan Terengganu-Pahang.

Sebagai grup whatsapp yang mempunyai ahli teramai di Kemaman seramai 230 orang, Kemaman Kite mengambil inisiatif melawat datuk Dai Niezal yang masuk wad di Hospital Kemaman Khamis lalu. Datuknya, Embong Awang dimasukkan ke hospital kerana  demam.

Kemaman Kite diketuai oleh admin whatsapp,  Mat Dalam Awang admin telah menziarahi Pak Embong bersama beberapa ahli lain. Mat Dalam juga turut menyampaikan sumbangan peribadi penaung grup, Datuk Rahim Husin kepada Pak Embong. Syabas Kemaman Kite yang terus perihatin kepada keluarga ahli-ahli grup.


Friday, October 28, 2016

KHAIRUDDIN KELUAR DARI BERSATU



KUALA LUMPUR 28 Okt. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang belum pun berusia dua bulan sudah berdepan dengan masalah keahlian apabila Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.



Khairuddin Abu Hassan


Tindakan beliau yang dilihat sebagai ‘orang kuat’ Tun Dr. Mahathir Mohamad itu ternyata satu tamparan kepada PPBM dan secara tidak langsung mengesahkan khabar a­ngin yang bertiup sejak bulan lalu bahawa Khairuddin tidak sebulu dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walau bagaimanapun, Khairuddin dalam kenyataannya memberi alasan keputusan keluar PPBM itu dibuat kononnya untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap kes mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Adakalanya dalam perjuangan kita hanya perlu berbekalkan keikhlasan untuk berjuang. Jawatan tidak pen­ting langsung sekiranya kita ikhlas untuk berjuang.

“Mulai saat dan detik ini, setiap langkah perjuangan saya adalah atas nama Khai­ruddin bin Abu Hassan tanpa mewakili mana-mana parti politik buat sementara waktu,” katanya dipetik dalam portal Free Malaysia Today hari ini.

Khabar angin mengenai pergeseran pendapat antara Khairuddin dengan Muhyiddin mula bertiup kencang bulan lalu dan perkara itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hatinya terhadap senarai barisan kepimpinan PPBM.

Namun, ironinya dalam kenyataan yang sama, Khai­ruddin sempat berpesan kepada ahli dan barisan pimpinan PPBM agar bersatu serta taat kepada Dr. Mahathir (Pengerusi), Muhyiddin (Presi­den) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Naib Presiden).

Wednesday, October 26, 2016

PEMUDA BANGKIT DESAK LIM GUAN ENG LETAK JAWATAN

GEORGE TOWN, 26 Okt (Bernama) -- Lebih 1,000 anggota pergerakan Pemuda UMNO negeri hari ini berhimpun dan berarak ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meletak jawatan berikutan pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Naib Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang Khairul Azwan Harun berkata tujuan perhimpunan itu adalah untuk menunjukkan solidariti dalam kalangan anggota Pemuda dan membuktikan anak muda menolak kepimpinan DAP di Pulau Pinang.

"Lim tidak layak lagi memegang jawatan ketua menteri kerana beliau sendiri sedang menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah dan beliau sudah hilang kredibiliti," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil ketua menteri di Komtar, di sini hari ini.

Memorandum yang ditandatangani oleh kesemua 12 ketua Pemuda UMNO bahagian Pulau Pinang itu diterima oleh Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri Zahar Zainul.

Peserta Himpunan Pemuda Bangkit itu mula berkumpul di Menara UMNO negeri pada 1.30 tengah hari dengan semuanya berbaju hitam sebelum mereka berarak ke Komtar untuk menyerahkan memorandum itu. Mereka bersurai secara aman sejam kemudian setelah diarahkan oleh polis.

Khairul Azwan berkata antara tuntutan yang disenaraikan dalam memorandum itu ialah meminta kerajaan negeri membina lebih banyak perumahan kos rendah; menangani pembangunan negeri yang tidak terkawal; dan menghalang aktiviti tambakan laut.

Beliau berkata Himpunan Pemuda Bangkit ini akan berterusan sekiranya Lim enggan meletak jawatan sebagai ketua menteri.

Tuesday, October 25, 2016

SATU LAGI PARTI BARU DI SABAH SELEPAS PARTI WARISAN



PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) meluluskan pendaftaran penubuhan parti baharu, Parti Harapan Rakyat Sabah, yang bakal diterajui bekas Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Seri Lajim Ukin.

Lajim yang ditemui pemberita di ROS di sini hari ini selepas menerima sijil pendaftaran itu berkata, permohonan pendaftaran parti dengan akronim Harapan Rakyat itu dikemukakan oleh Patrick Sadom selaku pengerusi penaja yang juga presiden sementara parti itu kepada ROS pada 14 Sept lepas.

Parti yang menyasarkan penyertaan rakyat Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Labuan itu terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti yang menerima dasar Harapan Rakyat, katanya.

Menurutnya, 10 ketua ranting dan 80 peratus ketua cabang serta pimpinan PKR negeri yang meninggalkan parti itu baru-baru ini berikrar menjadi tonggak kepada parti baharu itu.

Parti itu menyasarkan untuk mendaftarkan 2,600 anggota dalam tempoh sebulan, katanya.

Sebelum menyertai PKR pada 2012, Lajim merupakan Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Monday, October 24, 2016

AZMIN SUDAH HABIS MODAL

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar menyifatkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kehabisan modal apabila membuat tuduhan mengaitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan masalah pencemaran Sungai Semenyih.

Beliau yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata menunding jari kepada pihak lain telah menjadi budaya pembangkang, sejak dahulu.


"Saya hendak beritahu Menteri Besar, kita nak menang pilihan raya bukan dengan cara kotor dan menyusahkan rakyat," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan "kecenderungan unsur sabotaj" oleh BN dan UMNO untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.

Noh berkata kerajaan Selangor sebenarnya tidak serius dalam menangani kes pencemaran air di negeri itu.

"Bila ada pencemaran air yang disebabkan oleh kilang, sepatutnya daripada dulu lagi kerajaan negeri turun padang buat semakan kerana terdapat banyak kilang di kawasan berdekat sungai berkenaan," katanya.

Noh turut mencabar Mohamed Azmin untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan wujudnya unsur sabotaj dalam isu pencemaran Sungai Semenyih.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata laporan polis dibuat oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) semalam bagi menyiasat pencemaran sungai berkenaan.

Awal bulan ini, loji rawatan air Sungai Semenyih ditutup berikutan pencemaran di sungai itu yang mengakibatkan gangguan air di beberapa kawasan seperti daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Semalam, beberapa kawasan di daerah sama mengalami gangguan bekalan air sementara susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan berkata LRA itu ditutup pada 7.30 pagi akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC C.Sivarraajh berkata;" Adalah menyedihkan bahawa selepas 10 tahun berkuasa kerajaan Pakatan di Selangor masih menyalahkan kerajaan BN atas kelemahan mereka.".

Dalam satu kenyataan, beliau berkata: "Rakyat telah sedar daripada tidur dan memahami akan taktik licik kerajaan Pakatan Harapan dan tidak akan tertipu lagi.

"Air adalah satu bidang di bawah kawalan kerajaan negeri, begitu juga dengan Islam dan lampu jalan, namun sedihnya mereka tidak mampu melaksanakan tugas dengan cekap mengenai isu-isu kecil berkenaan."

-- BERNAMA

Sunday, October 23, 2016

BERSATU MACAM MAJLIS BANDAR RAYA



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan mampu mencorak pentadbiran negara terutama melaksana inisiatif memperjuang nasib orang Melayu dan masyarakat keseluruhannya seperti telah dilakukan Umno sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) dan membentuk kerajaan.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana BERSATU yang dipresidenkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak akan mempunyai kerusi Parlimen majoriti dalam kerajaan pakatan pembangkang untuk mencorak pentadbiran, malah dilihat agak sukar mendapat laluan parti lain untuk bertanding dalam PRU akan datang.

"Muhyiddin kata parti dia (BERSATU) akan ganti perjuangan Umno, kalau nak ganti Umno berapa kerusi dia dapat bakal bertanding (PRU akan datang) adakah DAP, AMANAH, PKR dan PAS akan beri laluan kepada dia, sudah tentu tidak.

"Kalau (BERSATU) boleh menang paling banyak 50 kerusi (Parlimen) adakah parti ini boleh menentukan corak pentadbiran negara, kalau tidak boleh jadilah parti si luncai yang menang sorak kampung tergadai," katanya di Melaka malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Akar Umbi Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Melaka.

Annuar berkata Umno ditubuhkan atas dasar perjuangan membela Melayu dan masyarakat negara ini secara keseluruhannya, maka mana mungkin parti yang dibina atas dasar kemarahan beberapa individu tertentu seperti PPBM dapat menggantikan Umno.

Bahkan Umno tidak akan tergugat dengan kewujudan BERSATU, katanya.

Beliau berkata tindakan anggota Umno yang bertindak keluar parti dilihat seperti proses pembersihan dalam parti kerana anggota yang tidak setia dalam perjuangan parti sekiranya dibiarkan akan menjadi duri dalam daging.

"Bagus juga ada parti seperti ini (BERSATU) yang membersihkan, mencuci ahli dalam parti kita, seperti 'parti majlis bandar raya'," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Annuar berkata politik kebencian yang cuba disemai pembangkang kepada rakyat bagi meraih sokongan politik amat dikesali.

"Tindakan mereka (pembangkang) keluar dewan ketika pembentangan Bajet 2017 jelas menunjukkan rasa tidak hormat mereka kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan mengadakan demonstrasi jalanan ini semua jelas menunjukkan mereka menyemai politik kebencian kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu menolak politik kebencian itu bagi memastikan negara tidak tergadai dan hancur dek kerana mainan politik pembangkang.

Saturday, October 22, 2016

UMNO BAHAGIAN SEMPORNA KEMBALI TEGUH

SEMPORNA, 22 Okt (Bernama) -- UMNO Bahagian Semporna sudah kembali teguh dan bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata pemangku ketua bahagian itu Datuk Nasir Tun Sakaran.

Beliau berkata tindakan beberapa pemimpin UMNO Bahagian itu keluar parti itu tidak menggoncang atau melemahkan semangat perjuangan UMNO di bahagian itu.

Sebaliknya, kepimpinan UMNO bahagian itu tetap setia kepada perjuangan parti dan berusaha mencari formula untuk menyatukan pemimpin veteran dan golongan muda.

"Saya sentiasa mempraktikkan pesan ayah (Tun Sakaran Dandai) supaya merendah diri, berbuat baik dan mengutamakan perjuangan kerana Allah S.W.T

"Demi rakyat yang memerlukan pembelaan, berkhidmatlah dengan jujur dan ikhlas demi perpaduan ummah tanpa mengharapkan balasan," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna yang dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, hari ini.

Nasir turut mengakui bukan mudah baginya untuk menyusun kembali pentadbiran UMNO Bahagian Semporna setelah banyak dokumen dimusnahkan dan pejabat parti ditutup.

Pada Julai lepas, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Semporna mengumumkan keluar UMNO dan tindakannya diikuti oleh Naib Ketua Datuk Dr Jaujan Sambakong, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Aziz Jamman.

-- BERNAMA

Friday, October 21, 2016

INTIPATI BAJET 2017

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Berikut ialah inti pati Bajet 2017 bertema 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Insklusif, Mensejahtera Kehidupan rakyat' yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

* Jumlah peruntukan bajet sebanyak RM260.8 bilion, meningkat 3.4 peratus berbanding Bajet 2016 yang diubah suai, dengan RM214.8 bilion untuk perbelanjaan operasi dan RM46 bilion perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah perbelanjaan operasi sebanyak RM46 bilion, sektor ekonomi akan menerima peruntukan paling tinggi sebanyak RM25.9 bilion, sektor sosial (RM12.2 bilion), keselamatan (RM5.3 bilion) dan pentadbiran am (RM2.5 bilion)

* Kutipan hasil pada 2017 dijangka berkembang tiga peratus kepada RM219.7 bilion

* Kerajaan menjangkakan dapat mencapai defisit fiskal 3 peratus pada 2017

* KDNK pada 2016 pada 4-4.5 peratus, 2017 4-5 peratus

* Tiada kenaikan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi 2017

* Sehingga 19 Okt, kerajaan mengutip RM30 bilion GST

* Pelaburan langsung asing yang diluluskan pada separuh pertama 2016 lebih RM28 bilion, iaitu 32 peratus lebih tinggi berbanding separuh masa pertama tahun lepas.

* Pelaburan domestik sahaja mencecah RM60 bilion

* Pelepasan cukai gaya hidup naik sehingga RM2,500 setiap tahun mulai tahun taksiran 2017 bagi pembelian bahan bacaan, komputer, peralatan sukan, surat khabar bercetak, telefon pintar dan tablet, langganan internet dan keanggotaan gimnasium

* Kadar duti setem ke atas instrumen pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan kepada 4 peratus daripada 3 peratus, berkuat kuasa Januari 2018

* MIDA akan diperuntukkan dana sebanyak RM522 juta

* Small and Mid-Cap PLC Research Scheme akan diperkenalkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap 300 syarikat

* Syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan akan memperuntukkan dana khas sehingga RM3 bilion kepada pengurus dana yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk dilabur dalam syarikat bermodal kecil dan sederhana yag berpotensi

* Institut Penyelidikan Pasaran Modal akan ditubuhkan dengan pembiayaan awal sebanyak RM75 juta melalui Dana Pembangunan Pasaran Modal

* Tempoh pengecualian cukai pendapatan kepada entiti perbankan Islam dan Takaful menjalankan aktiviti mata wang asing melalui Unit Perniagaan Mata wang Antarabangsa dan pengecualian duti setem ke atas surat cara bagi aktiviti tersebut akan dilanjutkan ke tahun taksiran 2020

* Kerajaan mencadangkan insentif sedia ada RM500 ditingkatkan kepada RM1,000 secara sekali kepada pencarum skim Skim Persaraan Swasta dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh dua tahun

* Sebanyak RM130 juta akan disediakan kepada Matrade, Mida dan SME Corp untuk program promosi eksport

* Pembiayaan pinjaman berjumlah RM200 juta dan kemudahan kredit insurans dengan nilai perlindungan sehingga RM1 bilion akan disediakan oleh Exim Bank kepada PKS

* RM286 juta disediakan untuk meningkatkan eksport minyak sawit, getah, koko dan lada hitam

* RM50 juta diperuntukkan untuk menjalankan penyelidikan saintifik bagi meningkatkan kualiti produk minyak sawit

* Geran RM30 juta akan disediakan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi penanaman semula sawit oleh pekebun kecil

* Sejumlah RM20 juta disediakan untuk menaik taraf jalan ladang, bagi memudahkan pekebun kecil kelapa sawit.

* Menerusi MDEC, sejumlah RM162 juta diperuntukkan, antara lain untuk melaksanakan program seperti ekosistem e-dagang dan 'Digital Maker Movement'

* Kerajaan juga akan memperkenal Zon Bebas Digital pertama di dunia

* Mulai Januari 2017, penyedia perkhidmatan jalur lebar talian tetap akan menawarkan perkhidmatan berkelajuan tinggi pada harga yang sama

* Sejumlah RM75 juta diperuntukkan untuk mempromosi pembangunan PKS

* Jaminan sehingga RM15 bilion yang disediakan menerusi pelbagai skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), akan dilanjutkan hingga 2025

* Bagi merangsang PKS berasaskan eksport, kerajaan akan menyediakan rebat kadar faedah 2 peratus kepada peminjam OKS menerusi skim SJPP

* Sejumlah RM200 juta daripada dana Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) akan dikhususkan kepada syarikat 'startup'

* Bagi menggalakkan pelaburan startup berteknologi tinggi, kategori pas baru, iaitu Usahawan Teknologi Asing Berpengetahuan Tinggi akan diperkenalkan

* Laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang memulakan operasi pada Jun 2016

* Laluan MRT Sungai Buloh - Kajang akan beroperasi pada Disember 2016, memanfaatkan 1.2 juta pengguna di Lembah Klang

* Pelaksanaan projek rel baharu, Landasan Kereta api Pantai Timur menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur secara berfasa dengan anggaran kos RM55 bilion

* Sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih Landasan Kereta api Pantai Timur, jajaran Gua Musang - Tumpat yang rosak akibat banjir

* Bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS bagi laluan Johor Baharu- Padang Besar, kerajaan memperoleh sembilan set tren sehingga 2019 dan tambahan 10 set lagi, dengan peruntukkan keseluruhan RM1.1 bilion

* Peruntukkan sebanyak RM222 juta untuk projek bekalan air terawat di 42 perkampungan Orang Asli, program pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta penempatan semula perkampungan antaranya di Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang

* Bagi memperkasa Bumiputera, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada SME Bank bagi meningkatkan peluang usahawan Bumiputera

* Sebanyak RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia bagi pelbagai program keusahawanan

* Sejumlah RM300 juta diperuntukkan kepada TEKUN bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan, termasuk skim baharu, TEMANITA, terutama bagi usahawan mikro wanita

* Sebanyak RM200 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bagi melaksanakan Program Pembiayaan Keusahawanan dan Premis Perniagaan


* Sejumlah RM120 juta kepada MARA bagi pelbagai program keusahawanan antaranya perusahaan industri halal, pembangunan usahawan belia, Program Latihan Bersepadu Keusahawanan

* Dana Mudah cara berjumlah RM500 juta menerusi TERAJU untuk membantu syarikat Bumiputera mmengembangkan perniagaan mereka atau memulakan perniagaan baharu

* Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi Tabung Eksport untuk syarikat-syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa

* Sebanyak RM100 juta menerusi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi program Peneraju Skil dan Iltizam, Peneraju Professional serta Peneraju Tunas

* Pengurangan cukai pendapatan bagi syarikat-syarikat termasuk PKS antara 1-4 mata peratusan bagi kenaikan pendapatan bercukai antara 5-20 peratus

* Bagi semua PKS, kadar cukai bagi pendapatan bercukai sehingga RM500,000 pertama dikurangkan kepada 18 peratus daripada 19 peratus berkuat kuasa tahun taksiran 2017

* Bagi merancakkan program pembangunan vendor tempatan dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan, galakkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat induk akan dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2020

-- BERNAMA

Thursday, October 20, 2016

PM TINJAU PERSIAPAN BAJET MALAM TADI DI MOF

PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meluangkan masa meninjau operasi penyediaan Bajet 2017 di Perbendaharaan Malaysia, Kompleks Kementerian Kewangan di sini, malam tadi.

Ketibaan Najib yang juga Menteri Kewangan ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di perkarangan Kompleks Kementerian Kewangan pada pukul 9 malam disambut pegawai dan petugas kementerian yang terlibat dalam penyediaan bajet.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Lee Chee Leong dan Datuk Othman Aziz, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Wednesday, October 19, 2016

BANI RAZAK TERHARU MENERIMA KUNJUNGAN TPM

JOHOR BAHRU, 19 Okt (Bernama) -- "Saya berasa amat gembira kerana masih berpeluang berjumpa dengan sahabat baik saya.


"Hanya Allah S.W.T yang mampu membalas segala jasa baik yang telah beliau berikan," kata Bani Abd Razak yang menerima kunjungan rakannya Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas ketua Pemuda dan bendahari UMNO Bahagian Pagoh itu begitu terharu dengan keprihatinan Ahmad Zahid yang menurutnya masih tidak berubah dan tetap mengingati rakan walaupun sudah menjadi timbalan perdana menteri.

Dia mengenali Ahmad Zahid sejak awal 1980 yang ketika itu pengerusi Bank Simpanan Nasional (BNSN) sebelum kedua-dua mereka berjinak dalam bidang politik, katanya kepada pemberita semasa menerima kunjungan Ahmad Zahid di rumahnya di Kondominium Dwi Mahkota, Bukit Alif, Tampoi, di sini, hari ini.

Bani, 57, kini lumpuh selepas kedua-dua kakinya dipotong akibat penyakit kencing, tinggal bersama-sama isteri Zarina Mohd Yunus, 41, dan seorang anak Mohd Izuddin, 13.

Ahmad Zahid pula berkata Bani juga merupakan kawan baik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata kunjungannya hari ini adalah satu kelaziman untuk menziarahi rakan-rakan lama, walaupun agak mustahil untuk berjumpa dengan semua.

Dalam pertemuan hampir setengah jam itu, Ahmad Zahid berjanji untuk menyumbangkan kaki palsu kepada Bani serta akan membiayai kos perubatan ditanggungnya.

-- BERNAMA

Tuesday, October 18, 2016

BN TAK BOLEH SAMBIL LEWA TERHADAP PARTI WARISAN

KOTA KINABALU, 18 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Sabah tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap cabaran politik semasa yang dihadapi masa ini termasuk kemunculan parti baharu, menurut seorang ahli akademik.


Pensyarah Kanan Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Zaini Othman berkata walaupun BN mempunyai rekod pencapaian yang baik sejak 1970-an dalam membangunkan Sabah namun tidak boleh terlalu teruja dengan pencapaian berkenaan.

"Hal ini (rekod pencapaian) suatu yang kita tidak dapat nafikan, namun dalam keterujaan tersebut, BN tidak boleh bersifat sambil lewa, BN perlu lebih konstruktif," katanya kepada Bernama.

Dr Zaini berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman nama dan logo baharu Parti Pembangunan Warisan Sabah yang ditubuhkan sejak 2013, yang kini dikenali sebagai Warisan, oleh bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam.

Menjelaskan lebih lanjut makna lebih konstruktif itu, katanya BN perlu melihat semula rekod pencapaian itu untuk menilai sama ada masih wujud kekurangan yang perlukan pembaikan terutama dari segi pembangunan dalam erti kata sebenar.

Katanya meskipun impak kehadiran Warisan terlalu awal untuk dinilai namun keupayaan parti itu untuk menarik pemimpin dan wakil rakyat muda kaum Bumiputera bukan Islam dan kaum bukan Bumiputera perlu diperhatikan.

Zaini berpendapat parti tempatan Sabah itu sudah tentu akan menggunakan hak rakyat Sabah sebagai sandaran untuk meraih undi meskipun slogan itu bukan perkara asing bagi parti-parti politik setempat.

Katanya beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan BN di Sabah telah bersungguh-sungguh memperjuangkan hak rakyat Sabah dan kelihatannya ingin ditiru parti tempatan lain di negeri ini.

"Bagaimanapun pada kali ini (pilihan raya umum ke-14 akan datang) dapat dilihat bahawa parti-parti pembangkang tempatan di negeri ini akan cuba menggunakan slogan sama tetapi dengan sedikit perbezaan... dan BN tidak boleh bersikap sambil lewa dengan perkembangan ini," katanya.

-- BERNAMA

Monday, October 17, 2016

MASTURA RASAKAN KEHADIRAN ARWAH KETIKA ANGKAT SUMPAH

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid membawa bersama semangat Allahyarham suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad ketika mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat pagi tadi.

Katanya walaupun beliau tidak duduk di kerusi asal di mana arwah suaminya duduk sebelum ini, namun kedudukan yang sebaris dengan kedudukan arwah melegakan perasaannya.

"Saya tidak duduk di kerusi yang diduduki arwah, tetapi cuma di barisan yang sama, saya merasakan kehadiran arwah bersama saya ketika mengangkat sumpah tadi," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Budiman Mohd Zohdi dan Datin Mastura Mohd Yazid masing-masing mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang baharu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 yang bermula semalam.

Upacara mengangkat sumpah kedua-dua Anggota Parlimen itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Anggota Parlimen lain sebaik persidangan Dewan bermula.

Budiman, 44, menang dengan majoriti 9,191 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar pada 18 Jun lepas, mengatasi majoriti 399 undi yang diperoleh bekas penyandang dari Barisan Nasional (BN) Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnon.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Sains (Komunikasi) di Universiti Putra Malaysia (UPM) juga merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang.

Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu juga pernah dipilih sebagai pendebat terbaik Universiti ASEAN pada 1996 dan pendebat terbaik Universiti-universiti Malaysia pada 1997.

Sementara Mastura, 55, berjaya mengekalkan kerusi kawasan Parlimen Kuala Kangsar yang disandang suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti 6,969 undi pada PRK Kuala Kangsar, juga pada 18 Jun lepas.

Mastura merupakan seorang graduan undang-undang universiti terkemuka perundangan dunia Lincoln's Inn di United Kingdom dan bertugas sebagai seorang peguam selama enam tahun.

Ibu kepada empat anak itu juga merupakan seorang yang bergiat dalam dunia politik dan menjadi Anggota Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan kepada keluarganya serta arwah suaminya.

Kedua-dua PRK itu diadakan berikutan kematian Noriah dan Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Sunday, October 16, 2016

MUBARAK PERLU LEBIH LANTANG BERSUARA

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) lebih lantang bersuara dalam menepis politik kebencian yang dilihat berlaku sekarang.

Beliau berkata berbekalkan pengalaman yang ada, anggota Mubarak perlu bertindak sebagai suara penengah untuk membentuk persepsi positif seperti yang dilakukan mereka sebelum ini.

"Saya percaya anggota Mubarak boleh memainkan peranan untuk menginsaf dan menyedarkan mereka yang terikut-ikut dengan kaedah baharu sekarang ini yang menggunakan media sosial untuk menimbulkan suasana politik kebencian dan perpecahan," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Mubarak.

Saturday, October 15, 2016

RAKYAT SABAH SOKONG TINDAKAN SPRM

KOTA KINABALU, 15 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat di negara ini, khususnya di Sabah menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar skandal rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM, Salleh berharap semua pihak memberikan kebebasan penuh kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan lanjut tanpa sebarang gangguan.

"SPRM adalah satu badan yang bebas. Oleh itu sudah tentu mereka (SPRM) akan mengendalikan kes berkenaan secara profesional dan perkara itu (kebebasan) perlu kita hormati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori di Udara Sedunia kali ke-59 dan Jambori di Internet kali ke-20, di sini, Sabtu.

Salleh turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa berkenaan kerana ia hanya akan merosakkan atau mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Sebelum ini, SPRM telah menahan lima individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan kes tersebut.

SPRM antara lain turut merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan sebanyak 127 geran tanah dianggarkan RM30 juta, yang sekali gus menjadikan kes ini adalah kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Sementara itu, ketika diminta mengulas Bajet 2017, Salleh yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendengar permintaan semua pihak, khususnya rakyat di negara ini.

"Saya yakin ia (Bajet 2017) akan memenuhi kehendak rakyat...kerana bajet itu sudah tentu bertujuan untuk memastikan negara kita terus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, selain kerajaan sentiasa memastikan rakyat sentiasa menikmati kemudahan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Salleh berkata jambori seumpama itu merupakan satu pendedahan penting kepada para pengakap mengenai penggunaan serta kepentingan teknologi radio komunikasi dan juga internet dalam menjalin hubungan baik, sekali gus mempromosikan Malaysia, khususnya Sabah.

"Pada jambori ini, para peserta akan menghubungi rakan pengakap sama ada di dalam atau luar negara melalui radio atau internet. Kemudiannya mereka akan bertukar kiriman poskad bagi membuktikan kejayaan serta penyertaan mereka dalam aktiviti ini.

Katanya penggunaan teknologi berkenaan di kalangan pengakap telah membuka lembaran baru dalam bidang berkenaan, terutamanya dalam aspek mempermudahkan komunikasi atau perhubungan melalui internet dan ia mampu memastikan aktiviti kepengakapan terus relevan sesuai dengan tuntutan semasa.



-- BERNAMA

Friday, October 14, 2016

KERAJAAN PUSAT TAMBAH PERUNTUKAN NAIK TARAF PASAR SEBERKAS

MIRI 14 Okt (Bernama) -- Kerajaan persekutuan bersedia menambah peruntukan untuk menaik taraf Pasar Saberkas di sini pada tahun depan, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata sebelum ini peruntukan RM200,000 yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak awal tahun ini telah diberi kepada kerajaan negeri.

"Saya dimaklumkan peruntukan RM200,000 yang sudah diterima tidak mencukupi kerana Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah membuat penilaian semula reka bentuk pasar tersebut,"katanya selepas melawat Pasar Saberkas semalam.

Thursday, October 13, 2016

1.3 JUTA RAKYAT AKAN ALAMI KATARAK DALAM MASA 10 TAHUN AKAN DATANG

KOTA BHARU, 13 Okt (Bernama) -- Kementerian Kesihatan menjangkakan kira-kira 1.3 juta penduduk Malaysia yang berumur 50 tahun ke atas akan mengalami penyakit katarak dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata penyakit katarak yang dialami boleh membawa kepada masalah kebutaan jika tidak mendapat rawatan lebih awal.


"Tinjauan Mata Kebangsaan yang dilaksanakan pada 2014 mendapati penyakit katarak menjadi penyebab utama kepada 113,000 orang yang mengalami masalah kebutaan iaitu sebanyak 58 peratus diikuti kencing manis (10 peratus), glaucoma (tujuh peratus) dan selebihnya faktor-faktor lain.

"Berdasarkan gaya hidup masyarakat Malaysia ketika ini, kita jangkakan jumlah pesakit katarak akan meningkat sehingga 1.3 juta orang dalam tempoh 10 tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Penglihatan Sedunia 2016 Peringkat Kebangsaan di sini, Khamis.

Turut hadir Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Ahmad Razin Ahmad Mahir dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Dr Hilmi berkata kajian sama juga mendapati 413,000 penduduk Malaysia berumur 50 tahun dan ke atas mengalami masalah penglihatan.

Beliau berkata pembedahan katarak boleh dilakukan pada peringkat awal di hospital yang disediakan kerajaan tanpa perlu menunggu tempoh katarak matang bagi mengurangkan risiko kebutaan.

Dr Hilmi berkata KKM menyediakan perkhidmatan rawatan katarak di 40 buah hospital pakar di seluruh negara dengan anggaran pembedahan sehingga 50,000 kes katarak setahun.

KKM juga melaksanakan Program Klinik Katarak 1Malaysia (KK1M) untuk mengatasi bebanan kes katarak secara sistematik dengan mewujudkan Zon Bebas Katarak di seluruh negara selain menambah bilangan pelajar sarjana kursus oftalmologi, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi berkata pihak kementerian telah membuat persiapan rapi termasuk dari segi bekalan ubat sebagai persediaan menghadapi banjir pada musim tengkujuh tahun ini.

"Jabatan Kesihatan setiap negeri yang berisiko banjir telah membahagikan bidang tugas masing-masing selain persiapan bekalan ubat. Kita juga akan bertindak membekukan cuti kakitangan bergantung kepada keperluan semasa banjir tahun ini," katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cermin mata kepada lebih 20 pelajar sekolah yang mengalami masalah penglihatan.

-- BERNAMA







Wednesday, October 12, 2016

UMNO PULAU PINANG TOLAK PFP

GEORGE TOWN, 12 Okt (Bernama) -- UMNO Pulau Pinang menolak penubuhan parti baharu Penang Front Party (PFP) di negeri ini kerana ia bukan parti mesra Barisan Nasional (BN).

Pengerusinya Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata penglibatan anggota Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai penasihat parti PFP sama sekali tidak mewakili UMNO sebaliknya atas kapasiti peribadi beliau sendiri.

"Hasrat PFP untuk bertanding di 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang ditandingi oleh komponen BN selain UMNO adalah jelas bertentangan dengan konsep sebuah parti mesra BN, sebuah parti mesra BN tidak akan sama sekali meletakkan calon bertanding menentang calon BN.

"Jadi mana mungkin UMNO Pulau Pinang menyokong hasrat PFP itu yang jelas bertentangan dengan prinsip dan semangat setiakawan yang didokong kukuh oleh parti-parti dalam Barisan Nasional," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Isnin lepas, Zahidi dilaporkan sebagai berkata PFP sebuah parti baharu yang mesra BN di Pulau Pinang dan berhasrat bertanding di 25 kerusi DUN di negeri ini.

Zainal Abidin berkata penubuhan parti PFP dan pelantikan Zahidi sebagai Penasihat PFP tidak pernah dirujuk kepada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO ataupun Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang malah tiada sebarang persetujuan diberikan oleh UMNO kepada Zahidi untuk dilantik sebagai Penasihat parti itu.

Beliau berkata UMNO Pulau Pinang turut kesal dan kecewa dengan tindakan Zahidi yang membenarkan dirinya dipergunakan oleh PFP yang mampu menggugat kerjasama dan persefahaman antara parti-parti komponen BN yang sekian lama terjalin di Pulau Pinang.

"Selain itu, persetujuan Zahidi menjadi Penasihat sebuah parti yang mencadangkan pewujudan sebuah kasino di Pulau Pinang adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak beretika bagi seorang anggota Parlimen UMNO.

"Beliau juga sepatutnya lebih peka dan lebih maklum dengan keadaan dan sensitiviti umat Islam khususnya dan rakyat Pulau Pinang amnya. UMNO Pulau Pinang tetap dan tegas dengan pendiriannya menolak sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk mewujudkan kasino di Pulau Pinang," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata cadangan PFP untuk mewujudkan sebuah kasino di negeri ini sekiranya parti berkenaan menang dalam pilihan raya umum ke-14 adalah cadangan yang dangkal dan tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat tempatan.

Dalam satu kenyataan, Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata Pulau Pinang adalah negeri yang kaya dengan produk pelancongan dan negeri ini tidak memerlukan kasino atau pusat-pusat perjudian untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke Pulau Pinang.

Katanya selain itu, perjudian bukan budaya rakyat Malaysia khususnya penduduk Pulau Pinang dan beliau yakin serta percaya majoriti rakyat negeri ini yang bukan Islam turut menolak sebarang aktiviti perjudian kerana ia adalah racun yang boleh merosakkan keluarga dan masyarakat.

"Selagi saya menjadi Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas dan Anggota Parlimen Kepala Batas, saya akan pastikan tiada sebuah pun kasino akan wujud di bumi Pulau Pinang.

"Saya juga ingin menyatakan dengan terang dan jelas bahawa UMNO tidak ada sebarang kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan PFP dan penglibatan Zahidi adalah atas kapasiti peribadinya sendiri dan tidak mewakili parti UMNO," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, October 11, 2016

GRADUAN TATIUC JADI PILIHAN INDUSTRI MINYAK DAN GAS

KEMAMAN, 11 Okt (Bernama) -- Graduan kolej universiti milik kerajaan Terengganu, Terengganu Advanced Technical Institute University College (TATiUC) terbukti mampu bersaing dengan lulusan institusi lain dan sentiasa mendapat tempat dalam pasaran kerja.

Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC Ghazali Taib berkata graduan kolej universiti yang melatih tenaga mahir dalam industri petroleum dan gas tetap menjadi pilihan majikan kerana mempunyai kemahiran tinggi.

"Hampir 90 peratus graduan kolej universiti ini memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian, malah dalam konvokesyen kali ini ada antara graduan yang sudahpun bekerja," katanya pada Majlis Konvokesyen TATiUC Ke-10 di sini.

Monday, October 10, 2016

TAHNIAH ANAK AIR PUTIH, KEMAMAN


SHAH ALAM – Mohd Sufwan Niezal Sabri, 19 atau Niezal dinobatkan juara program Da’i Pendakwah Nusantara musim keempat yang berlangsung di sini malam Ahad.

Pelajar Diploma Dakwah & Pengurusan di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang itu mengetepikan dua finalis lain iaitu Muhammad Nasrul Nizam Zamry, 20 (Nasrul) dan Mohamad Saiful Marzuki, 18 (Saiful) pada pentas Pentas Akhir program terbitan TV3.

Menerusi kejayaan itu, Niezal yang berasal dari Kemaman Terengganu membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 serta pakej umrah, manakala dua lagi finalis masing-masing menerima saguhati wang tunai RM5,000 setiap seorang dan trofi.

Hadiah disampaikan Mursyid Da’i musim keempat, Datuk Kazim Elias.

Program itu disiarkan secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Sepanjang 12 minggu bersiaran, Da’i dihoskan Datuk Rosyam Nor dan pengacara bersama, Zainal Ariffin.

Program itu menyaksikan 70 peratus markah adalah daripada juri tetap profesional iaitu Datuk Dr. Izhar Arif dan Mohamad Zarifi Mohamad Daud, 20 peratus lagi diberikan murabbi Da’i musim keempat, Zul Ramli serta Dr. Robiah K.Hamzah, manakala selebihnya daripada juri awam.

Sunday, October 9, 2016

UMNO PAGOH MAHU ANAK TEMPATAN JADI CALON

TANGKAK, 9 OKT (Bernama) -- UMNO bahagian Pagoh mahu orang tempatan dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Pemangku Ketua UMNO bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata beliau telah mengemukakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dalam satu pertemuan baru-baru ini.


"Saya sendiri telah menyampaikan permintaan orang Pagoh ke Perdana Menteri bahawa mereka ingin calon tempatan dan bukannya lagi orang luar...kita harap anak jati Pagoh akan bertanding sebagai calon nanti," katanya kepada pemberita hari Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Kunjungan Mesra Hero Negara, Tan Wee Kiong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kung Yu, Kundang Ulu di sini, hari ini.

Ismail berkata sudah sekian lama peluang menjadi calon diberikan kepada orang luar dan kini sudah tiba masanya orang Pagoh sendiri pula yang menjadi calon kerana mereka lebih faham dan terus kekal membela kebajikan masyarakat Pagoh.

"Kita sedia maklum, Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh bukan orang tempatan di Pagoh," katanya.

Beliau berkata UMNO bahagian Pagoh tidak menghadapi masalah untuk mencari calon di kalangan penduduk tempatan kerana mempunyai ramai calon yang berkelayakan dan mampu membawa kemenangan kepada BN.

-- BERNAMA

Saturday, October 8, 2016

MUHYIDDIN TERDESAK MAHU KERJASAMA DENGAN PAS

PADANG RENGAS, 8 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada dalam keadaan terdesak apabila mahu bekerjasama dengan PAS bagi menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata tindakan itu jelas menunjukkan Muhyiddin mahu membalas dendam selepas digugurkan timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet, Julai tahun lepas.

"Dulu dia pemimpin UMNO yang totok, kononnya memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu serta sanggup menentang sesiapa sahaja yang menentang parti.

"Tetapi hari ini dia, bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan pengkhianat besar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara peringkat Parlimen Padang Rengas, di sini hari ini.

Semalam, Muhyiddin dalam satu majlis di Muar, Johor mendakwa mendapat komitmen daripada PAS untuk membentuk blok pembangkang baharu dalam usaha menewaskan BN pada PRU14 akan datang.

Nazri, yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, berkata rakyat kini semakin bijak dan tidak mudah untuk mempercayai dakwaan Muhyiddin bahawa PPBM mendapat sokongan PAS.

"Saya tidak menyalahkan PAS kerana orang yang bercakap lidah bercabang, saya percaya PAS pun tak sokong dia (Muhyiddin), kalau PAS ambil dia pun akan mendatangkan mudarat dan rakyat tidak akan percaya," katanya.

Ditanya mengenai tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Salleh meninggalkan UMNO setelah dilantik sebagai setiausaha agung PPBM, Nazri berkata: "Beliau juga makan dedak dari Muhyiddin".

Menurut Nazri, Shahruddin juga berada dalam keadaan terdesak kerana bimbang tidak dicalonkan dalam PRU14.

"Mereka yang keluar parti dan menyertai parti lain setelah menang bertanding atas tiket BN adalah pengkianat. UMNO sebagai pendekar, kita tidak tikam dari belakang dan gigit tangan orang yang beri kita makan," katanya.

-- BERNAMA



>> Senarai Berita

Friday, October 7, 2016

BN JOHOR TIDAK TERGUGAT DENGAN DR SHAHRUDDIN

JOHOR BAHRU, 7 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) di negeri ini tidak sesekali tergugat dengan pelantikan bekas pemimpin UMNO Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh  (gambar) sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Malah, Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkembangan itu akan menyebabkan BN lebih bersemangat untuk bekerja kuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, sekali gus menawan beberapa kerusi termasuk yang terlepas daripada genggaman mereka semasa PRU lepas.

"Kerajaan negeri menganggap ini realiti politik, berasaskan keadaan semasa yang dilalui hari ini.

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna kita sebagai parti pemerintah lemah. Saya sudah berkali-kali menyatakan, kita masih mempunyai majoriti selesa dan paling penting ialah melaksanakan tugas dengan baik, bukan melihat kepada angka semata-mata," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 200 penerima di Dewan Serbaguna Taman Scientex, Pasir Gudang, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor, diminta mengulas mengenai pelantikan Shahruddin itu, seperti diumumkan Presiden parti berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Shahruddin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, meletak jawatan sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Pagoh pada 4 Julai lepas.

Susulan perkembangan terbaharu itu, Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor turut ditanya mengenai kemungkinan lebih ramai anggota BN khususnya UMNO menyertai pembangkang.

"Mereka masih menyayangi parti dan dalam apa keadaan sekalipun, saya yakin mereka boleh berfikir secara mendalam, walaupun saya tidak nafikan parti pembangkang sedang mengasak beberapa kerusi di selatan dan utara Johor," katanya.

Sementara itu, sejumlah RM40,000 diperuntukkan oleh Yayasan Pasir Gudang untuk sumbangan dan bantuan Deepavali itu, berupa wang tunai dan barangan keperluan asas.

Selain kaum India yang merupakan majoriti penerima sumbangan itu, masing-masing 30 masyarakat Melayu dan Cina, turut mendapat bantuan tersebut.

-- BERNAMA

Thursday, October 6, 2016

ADNAN YAACOB TAK JADI BERSARA?

KUANTAN, 6 Okt (Bernama) -- Kesemua 29 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pahang hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk terus kekal menerajui pentadbiran kerajaan negeri dan jentera BN negeri.

Kumpulan wakil rakyat BN, diketuai ADUN Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin, berkata khidmat Adnan, yang juga ADUN Pelangai, masih diperlukan untuk mengetuai jentera parti dan BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


"Atas semangat solidariti ADUN Pahang, kami berpendapat adalah amat wajar Adnan meneruskan kepimpinan kerana beliau masih lagi mendapat perkenan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri.

"Selain itu, belau juga masih mendapat mandat dan sokongan daripada semua ADUN BN iaitu 27 ADUN dari UMNO dan dua ADUN dari MCA," katanya dalam sidang media khas di Wisma Sri Pahang di sini.

Sidang media itu dihadiri oleh 27 daripada 29 ADUN BN. Tiga ADUN BN iaitu ADUN Benta, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak, ADUN Pulau Manis, Datuk Khairuddin Mahmud dan ADUN Padang Tengku, Datuk Mustapa Long tidak hadir kerana mempunyai urusan rasmi dan berada di luar negara.

Bagaimanapun, Shahiruddin berkata ketiga-tiga ADUN terlibat telahpun memberikan mandat kepadanya untuk turut menyatakan sokongan terhadap Adnan yang hampir 18 tahun menjadi menteri besar.

Katanya sepanjang kepimpinannya, Adnan telah berjaya mewujudkan suasana kerjasama erat antara wakil-wakil rakyat, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan negeri dan pusat serta pertubuhan bukan kerajaan (NG0).

Justeru, katanya, kesemua ADUN BN Pahang berasa amat selesa bekerja berpasukan di bawah kepimpinan Adnan serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata langkah ADUN BN menyatakan solidariti itu adalah berikutan kenyataan yang dibuat oleh Adnan pada 9 Sept lepas yang menyatakan hasrat untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Kita akan hantar surat sokongan yang ditandatangani oleh kesemua ADUN BN ini kepada menteri besar dalam masa terdekat supaya beliau menarik balik hasratnya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berharap dengan kenyataan itu, beliau berharap ia akan dapat memadam semua khabar angin tentang pertukaran jawatan menteri besar.

"Kita nak tumpukan usaha dan jentera parti untuk hadapi pilihan raya," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, October 5, 2016

SPRM RAMPAS RM114.5 JUTA KES TERBESAR DALAM SEJARAH SPRM

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata rampasan itu dibuat daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam itu, selepas mereka ditahan SPRM semalam.

"Hasil siasatan, SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka," katanya pada sidang berita mengenai kes itu di sini, Rabu.

Beliau berkata selain wang tunai, SPRM juga merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, sebanyak 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan mewah pelbagai jenama dan barang kemas yang kesemua nilainya belum diketahui.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, katanya SPRM turut menangkap seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan akauntannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan mereka.

Beliau berkata penangkapan 'Datuk' dan akauntannya itu membolehkan SPRM menyita kira-kira RM37 juta daripada akaun sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada pegawai kanan agensi awam itu.

"Mereka juga dipercayai memonopoli kesemua projek itu dan diserahkan kepada adik-beradik mereka," katanya sambil memberitahu suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Azam berkata SPRM turut mengenal pasti beberapa individu lagi yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan tidak lama lagi.

Menurutnya jika ada pihak yang enggan memberi kerjasama, SPRM boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

-- BERNAMA

Tuesday, October 4, 2016

PEMBANGKANG GAGAL JADI PARTI ALTERNATIF DI SABAH

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Tindakan beberapa pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Sabah keluar parti membuktikan kegagalan pembangkang menjadi parti alternatif di negeri itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ia juga menunjukkan pemimpin berkenaan tidak lagi yakin dengan kemampuan parti tersebut untuk melaksanakan tugas dan mendapat sokongan rakyat di negeri itu.

"Parti pembangkang ini hanya menjelma ketika dekat dengan pilihan raya, tetapi UMNO dan Barisan Nasional (BN) memberikan khidmat terbaik kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Majlis Komunikasi Satelit Asia Pasifik 2016 di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, ADUN Moyog Terence Siambun (PKR) dan ADUN Likas Junz Wong (DAP) keluar daripada parti masing-masing pada Ahad lepas.

Turut meninggalkan kedua-dua parti itu adalah Setiausaha Agung PKR Sabah Datuk Maijol Mahap, Ketua Wanita PKR Sabah Johair Matlani, Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Joan Hoh serta Naib Pengerusi DAP Sabah George Hiew.

Justeru, Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata rakyat negeri itu perlu menilai parti politik yang mampu memberikan khidmat terbaik kepada mereka serta meneruskan agenda pembangunan di Sabah.

"Jangan lihat kepada kelemahan kita sahaja...UMNO dan BN ada kekuatan tersendiri dan saya yakin majoriti rakyat masih bersama kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh melahirkan rasa hairan dengan sikap pembangkang yang menolak cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) berhubung pengenalan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, walaupun sering membangkitkan mengenai isu dana politik.

Walhal beliau berkata cadangan pengenalan akta tersebut mampu membantu politik negara ini menjadi lebih telus dan terbuka.

"Saya lihat mereka (pembangkang) sekadar berpolitik semata-mata, sepatutnya kalau ada perkara yang baik, kita harus bersama-sama menyokong, ini juga demi kepentingan rakyat secara keseluruhan," katanya.

-- BERNAMA

Monday, October 3, 2016

PAS JANGAN TERPEDAYA DENGAN HELAH BERSATU



CHUKAI: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, PAS tidak harus terpedaya dengan helah Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) yang ingin menjadikan parti itu sebagai tangga untuk mencapai cita-citanya.

Katanya, PAS perlu mempertahankan prinsipnya supaya parti itu tidak dijadikan alat oleh parti baharu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah mengecam PAS suatu ketika dahulu.

"Malah, Penasihat Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohammad pernah mengecam PAS dengan menuduhnya parti dadah dan sebagainya.

"Dari segi calon dan jenteranya, Bersatu berharap kepada pada PAS untuk memenangi dan menjadikannya sebagai batu loncatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasek, di sini.

Ahmad Shabery yakin PAS tidak semudah itu terpengaruh dengan parti baharu yang tidak mempunyai pengikut yang ramai.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin dalam ceramahnya di Kemasek, malam kelmarin bahawa parti itu akan berbincang dengan PAS mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

Sunday, October 2, 2016

TPM TAK KECIL HATI DENGAN KRITIKAN BERUCAP DALAM BAHASA INGGERIS



IPOH 2 Okt. - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sama sekali tidak ambil peduli atau berkecil hati berhubung kritikan terhadap beliau yang berucap dalam bahasa Inggeris pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-71 di New York baru-baru ini.


Sebaliknya, beliau secara sinis berkata apa yang lebih memalukan adalah sekiranya rakyat Malaysia yang lahir dan membesar di tanah air tetapi tidak mampu bercakap dalam bahasa Melayu.

"Sebagai orang Malaysia, perlu fahami bahawa di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung," katanya ketika menutup Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Ipoh Barat di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menarik perhatian bahawa terdapat segelintir warga asing yang baru tinggal di Malaysia tetapi fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

"(Ini lebih baik) berbanding dengan rakyat Malaysia yang telah 25 tahun tinggal di negara ini tetapi masih tidak fasih berbahasa Melayu," katanya.

Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, mesej yang disampaikan Ahmad Zahid pada Perbahasan Umum PBB itu diterima baik oleh negara anggota badan dunia itu.

"Adalah malang bahawa sesetengah rakyat Malaysia telah mengkritik dan memilih untuk menonjolkan cara penyampaian ucapan oleh timbalan perdana menteri daripada fokus dan mencerna mesej penting yang beliau sampaikan pada Perbahasan Umum PBB," kata Anifah. - BERNAMA

Saturday, October 1, 2016

JANGAN TEMPAH LAGI BAJU PESAN ZAHID KEPADA BAKAL CALON

KLUANG, 1 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin bahagian untuk tidak terlalu memikirkan kedudukan dalam parti sebaliknya perlu fokus kepada kemenangan parti pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.


Naib Presiden UMNO itu berkata beliau sedar ada segelintir daripada ketua bahagian yang bercita-cita untuk menempah jawatan tertentu dalam parti dan bukannya mengutamakan kemenangan parti.

"Ada yang sudah menempah baju politik dan jalan bergaya dan meletakkan diri dalam kepimpinan bahagian. Saya menasihatkan mereka ini agar tidak terlampau bercita-cita kerana kelak akan menimbulkan kekecewaan jika tidak dipilih sebagai calon," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, di sini hari ini.,

Ahmad Zahid menjelaskan mereka yang mempunyai jawatan di peringkat bahagian belum tentu akan dipilih sebagai calon pada PRU akan datang kerana parti hanya akan memilih calon yang disukai dan LAGI boleh membawa kemenangan pada parti.

Beliau berkata kaedah baharu yang akan digunakan oleh parti bagi memilih calon bukan hanya menerusi laporan sebaliknya menerusi tinjauan yang akan dilakukan secara rahsia.

Justeru itu, semua anggota UMNO digesa berkerja keras bermula hari ini bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang, katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam mentadbir kerajaan negeri dan UMNO negeri pada masa sekarang dan akan datang.

"Dengan kepercayaan terhadap kemampuan Mohamed Khaled membina acuan sendiri dalam mentadbir negeri dan UMNO Johor, saya akan terus membantu UMNO Johor selagi dipercayai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Menurut beliau, hanya orang Johor sahaja dapat memahami citarasa Johor.

Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan bangunan baharu Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.

Selain Mohamed Khaled, turut hadir Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Abd Hamid Abd Rahman, Pengerusi Biro IT UMNO dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

-- BERNAMA