Friday, October 21, 2016

INTIPATI BAJET 2017

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Berikut ialah inti pati Bajet 2017 bertema 'Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Insklusif, Mensejahtera Kehidupan rakyat' yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

* Jumlah peruntukan bajet sebanyak RM260.8 bilion, meningkat 3.4 peratus berbanding Bajet 2016 yang diubah suai, dengan RM214.8 bilion untuk perbelanjaan operasi dan RM46 bilion perbelanjaan pembangunan.

* Di bawah perbelanjaan operasi sebanyak RM46 bilion, sektor ekonomi akan menerima peruntukan paling tinggi sebanyak RM25.9 bilion, sektor sosial (RM12.2 bilion), keselamatan (RM5.3 bilion) dan pentadbiran am (RM2.5 bilion)

* Kutipan hasil pada 2017 dijangka berkembang tiga peratus kepada RM219.7 bilion

* Kerajaan menjangkakan dapat mencapai defisit fiskal 3 peratus pada 2017

* KDNK pada 2016 pada 4-4.5 peratus, 2017 4-5 peratus

* Tiada kenaikan kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi 2017

* Sehingga 19 Okt, kerajaan mengutip RM30 bilion GST

* Pelaburan langsung asing yang diluluskan pada separuh pertama 2016 lebih RM28 bilion, iaitu 32 peratus lebih tinggi berbanding separuh masa pertama tahun lepas.

* Pelaburan domestik sahaja mencecah RM60 bilion

* Pelepasan cukai gaya hidup naik sehingga RM2,500 setiap tahun mulai tahun taksiran 2017 bagi pembelian bahan bacaan, komputer, peralatan sukan, surat khabar bercetak, telefon pintar dan tablet, langganan internet dan keanggotaan gimnasium

* Kadar duti setem ke atas instrumen pemindahan hartanah bernilai lebih RM1 juta akan dinaikkan kepada 4 peratus daripada 3 peratus, berkuat kuasa Januari 2018

* MIDA akan diperuntukkan dana sebanyak RM522 juta

* Small and Mid-Cap PLC Research Scheme akan diperkenalkan bagi menjalankan penyelidikan terhadap 300 syarikat

* Syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan akan memperuntukkan dana khas sehingga RM3 bilion kepada pengurus dana yang dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti untuk dilabur dalam syarikat bermodal kecil dan sederhana yag berpotensi

* Institut Penyelidikan Pasaran Modal akan ditubuhkan dengan pembiayaan awal sebanyak RM75 juta melalui Dana Pembangunan Pasaran Modal

* Tempoh pengecualian cukai pendapatan kepada entiti perbankan Islam dan Takaful menjalankan aktiviti mata wang asing melalui Unit Perniagaan Mata wang Antarabangsa dan pengecualian duti setem ke atas surat cara bagi aktiviti tersebut akan dilanjutkan ke tahun taksiran 2020

* Kerajaan mencadangkan insentif sedia ada RM500 ditingkatkan kepada RM1,000 secara sekali kepada pencarum skim Skim Persaraan Swasta dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh dua tahun

* Sebanyak RM130 juta akan disediakan kepada Matrade, Mida dan SME Corp untuk program promosi eksport

* Pembiayaan pinjaman berjumlah RM200 juta dan kemudahan kredit insurans dengan nilai perlindungan sehingga RM1 bilion akan disediakan oleh Exim Bank kepada PKS

* RM286 juta disediakan untuk meningkatkan eksport minyak sawit, getah, koko dan lada hitam

* RM50 juta diperuntukkan untuk menjalankan penyelidikan saintifik bagi meningkatkan kualiti produk minyak sawit

* Geran RM30 juta akan disediakan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi penanaman semula sawit oleh pekebun kecil

* Sejumlah RM20 juta disediakan untuk menaik taraf jalan ladang, bagi memudahkan pekebun kecil kelapa sawit.

* Menerusi MDEC, sejumlah RM162 juta diperuntukkan, antara lain untuk melaksanakan program seperti ekosistem e-dagang dan 'Digital Maker Movement'

* Kerajaan juga akan memperkenal Zon Bebas Digital pertama di dunia

* Mulai Januari 2017, penyedia perkhidmatan jalur lebar talian tetap akan menawarkan perkhidmatan berkelajuan tinggi pada harga yang sama

* Sejumlah RM75 juta diperuntukkan untuk mempromosi pembangunan PKS

* Jaminan sehingga RM15 bilion yang disediakan menerusi pelbagai skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), akan dilanjutkan hingga 2025

* Bagi merangsang PKS berasaskan eksport, kerajaan akan menyediakan rebat kadar faedah 2 peratus kepada peminjam OKS menerusi skim SJPP

* Sejumlah RM200 juta daripada dana Skim Jaminan Modal Kerja (WCGS) akan dikhususkan kepada syarikat 'startup'

* Bagi menggalakkan pelaburan startup berteknologi tinggi, kategori pas baru, iaitu Usahawan Teknologi Asing Berpengetahuan Tinggi akan diperkenalkan

* Laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang memulakan operasi pada Jun 2016

* Laluan MRT Sungai Buloh - Kajang akan beroperasi pada Disember 2016, memanfaatkan 1.2 juta pengguna di Lembah Klang

* Pelaksanaan projek rel baharu, Landasan Kereta api Pantai Timur menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur secara berfasa dengan anggaran kos RM55 bilion

* Sejumlah RM100 juta diperuntukkan untuk membaik pulih Landasan Kereta api Pantai Timur, jajaran Gua Musang - Tumpat yang rosak akibat banjir

* Bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan ETS bagi laluan Johor Baharu- Padang Besar, kerajaan memperoleh sembilan set tren sehingga 2019 dan tambahan 10 set lagi, dengan peruntukkan keseluruhan RM1.1 bilion

* Peruntukkan sebanyak RM222 juta untuk projek bekalan air terawat di 42 perkampungan Orang Asli, program pembangunan ekonomi dan keusahawanan serta penempatan semula perkampungan antaranya di Sungai Ruil, Cameron Highlands, Pahang

* Bagi memperkasa Bumiputera, kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada SME Bank bagi meningkatkan peluang usahawan Bumiputera

* Sebanyak RM100 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia bagi pelbagai program keusahawanan

* Sejumlah RM300 juta diperuntukkan kepada TEKUN bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan, termasuk skim baharu, TEMANITA, terutama bagi usahawan mikro wanita

* Sebanyak RM200 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad bagi melaksanakan Program Pembiayaan Keusahawanan dan Premis Perniagaan


* Sejumlah RM120 juta kepada MARA bagi pelbagai program keusahawanan antaranya perusahaan industri halal, pembangunan usahawan belia, Program Latihan Bersepadu Keusahawanan

* Dana Mudah cara berjumlah RM500 juta menerusi TERAJU untuk membantu syarikat Bumiputera mmengembangkan perniagaan mereka atau memulakan perniagaan baharu

* Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi Tabung Eksport untuk syarikat-syarikat Bumiputera menembusi pasaran antarabangsa

* Sebanyak RM100 juta menerusi Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera bagi program Peneraju Skil dan Iltizam, Peneraju Professional serta Peneraju Tunas

* Pengurangan cukai pendapatan bagi syarikat-syarikat termasuk PKS antara 1-4 mata peratusan bagi kenaikan pendapatan bercukai antara 5-20 peratus

* Bagi semua PKS, kadar cukai bagi pendapatan bercukai sehingga RM500,000 pertama dikurangkan kepada 18 peratus daripada 19 peratus berkuat kuasa tahun taksiran 2017

* Bagi merancakkan program pembangunan vendor tempatan dalam sektor pengilangan dan perkhidmatan, galakkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat induk akan dilanjutkan sehingga 31 Dis, 2020

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment