Friday, October 28, 2016
KHAIRUDDIN KELUAR DARI BERSATU
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang belum pun berusia dua bulan sudah berdepan dengan masalah keahlian apabila Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Khairuddin Abu Hassan
Tindakan beliau yang dilihat sebagai ‘orang kuat’ Tun Dr. Mahathir Mohamad itu ternyata satu tamparan kepada PPBM dan secara tidak langsung mengesahkan khabar angin yang bertiup sejak bulan lalu bahawa Khairuddin tidak sebulu dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Walau bagaimanapun, Khairuddin dalam kenyataannya memberi alasan keputusan keluar PPBM itu dibuat kononnya untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap kes mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Adakalanya dalam perjuangan kita hanya perlu berbekalkan keikhlasan untuk berjuang. Jawatan tidak penting langsung sekiranya kita ikhlas untuk berjuang.
“Mulai saat dan detik ini, setiap langkah perjuangan saya adalah atas nama Khairuddin bin Abu Hassan tanpa mewakili mana-mana parti politik buat sementara waktu,” katanya dipetik dalam portal Free Malaysia Today hari ini.
Khabar angin mengenai pergeseran pendapat antara Khairuddin dengan Muhyiddin mula bertiup kencang bulan lalu dan perkara itu dikatakan berpunca daripada rasa tidak puas hatinya terhadap senarai barisan kepimpinan PPBM.
Namun, ironinya dalam kenyataan yang sama, Khairuddin sempat berpesan kepada ahli dan barisan pimpinan PPBM agar bersatu serta taat kepada Dr. Mahathir (Pengerusi), Muhyiddin (Presiden) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Naib Presiden).
Labels:
keluar,
khairuddin
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment