Sunday, October 23, 2016

BERSATU MACAM MAJLIS BANDAR RAYA



Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan mampu mencorak pentadbiran negara terutama melaksana inisiatif memperjuang nasib orang Melayu dan masyarakat keseluruhannya seperti telah dilakukan Umno sekiranya pakatan pembangkang memenangi pilihan raya umum (PRU) dan membentuk kerajaan.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata ini kerana BERSATU yang dipresidenkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tidak akan mempunyai kerusi Parlimen majoriti dalam kerajaan pakatan pembangkang untuk mencorak pentadbiran, malah dilihat agak sukar mendapat laluan parti lain untuk bertanding dalam PRU akan datang.

"Muhyiddin kata parti dia (BERSATU) akan ganti perjuangan Umno, kalau nak ganti Umno berapa kerusi dia dapat bakal bertanding (PRU akan datang) adakah DAP, AMANAH, PKR dan PAS akan beri laluan kepada dia, sudah tentu tidak.

"Kalau (BERSATU) boleh menang paling banyak 50 kerusi (Parlimen) adakah parti ini boleh menentukan corak pentadbiran negara, kalau tidak boleh jadilah parti si luncai yang menang sorak kampung tergadai," katanya di Melaka malam ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Akar Umbi Peringkat Negeri Melaka di Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Melaka.

Annuar berkata Umno ditubuhkan atas dasar perjuangan membela Melayu dan masyarakat negara ini secara keseluruhannya, maka mana mungkin parti yang dibina atas dasar kemarahan beberapa individu tertentu seperti PPBM dapat menggantikan Umno.

Bahkan Umno tidak akan tergugat dengan kewujudan BERSATU, katanya.

Beliau berkata tindakan anggota Umno yang bertindak keluar parti dilihat seperti proses pembersihan dalam parti kerana anggota yang tidak setia dalam perjuangan parti sekiranya dibiarkan akan menjadi duri dalam daging.

"Bagus juga ada parti seperti ini (BERSATU) yang membersihkan, mencuci ahli dalam parti kita, seperti 'parti majlis bandar raya'," katanya.

Sementara itu ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut, Annuar berkata politik kebencian yang cuba disemai pembangkang kepada rakyat bagi meraih sokongan politik amat dikesali.

"Tindakan mereka (pembangkang) keluar dewan ketika pembentangan Bajet 2017 jelas menunjukkan rasa tidak hormat mereka kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan mengadakan demonstrasi jalanan ini semua jelas menunjukkan mereka menyemai politik kebencian kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata rakyat perlu menolak politik kebencian itu bagi memastikan negara tidak tergadai dan hancur dek kerana mainan politik pembangkang.

No comments:

Post a Comment