Tuesday, May 30, 2017

BLOG INI BERCUTI SELAMA SEBULAN MULAI ESOK

Mulai esok 1 Jun 2017, blog ini berehat selama sebulan atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan. Kita jumpa lagi pada 1 Julai nanti. Insya Allah. Selamat hari raya aidilfitri dari admin.

YTH DAN UMNO PERUNTUK RM15 JUTA UNTUK ZIARAH KASIH RAMADHAN



SHAH ALAM: Yayasan Tabung Haji (TH) dan UMNO memperuntukkan RM15 juta untuk melaksanakan program Ziarah Kasih Ramadan di 50 kawasan Parlimen terpilih bersempena bulan Ramadan tahun ini.

Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata program itu adalah bagi membantu golongan kurang berkemampuan seperti golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.

"Bermula 1 Ramadan, kita telah melaksanakan program ini di empat kawasan Parlimen iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat, Gombak dan hari ini di Shah Alam.

"Sehingga hari ini, seramai 6,500 penerima telah menerima sumbangan berjumlah RM1.2 juta dan ini merupakan tanda keprihatinan TH dan UMNO dalam usaha meringankan beban hidup rakyat," katanya.

Abdul Azeez yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM300,000 kepada 1,500 penerima termasuk 750 golongan asnaf di Masjid Raja Tun Uda di Shah Alam, hari ini.




Menurutnya selepas Selangor, program Ziarah Kasih Ramadan akan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Sasaran kita bukan hanya untuk rakyat di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan bandar. Kalau sebelum ini TH hanya bertumpu kepada satu-satu tempat tetapi kali ini kita nak ramaikan lagi penerima bantuan," katanya.

- Bernama

RATING TERTINGGI BAGI BULAN MEI 2017

Blog ini bagi bulan Mei suram dengan hit tertinggi 148 hits berbanding dengan bulan lepas 540 hits.
10 rating tertinggi adalah seperti berikut:-

1. Usaha RISDA anjurkan tilawah alquran wajar dipuji (23 mei) - 148 hits
2. Ramadhan kedua TPM berbuka di KT (28 mei)
3. Bercuti di empat negara dengan RM200 (30 mei)
4. "Sacha Inchi" tambah pendapatan pekebun kecil RISDA (3 mei)
5. Rahman terpilih bukan kerana terbaik tetapi kerana dia orang KJ (20 mei)
6. Mahathir tak setuju Anwar jadi Perdana Menteri (21 mei)
7. RISDA peruntuk RM27 juta untuk aktiviti ekonomi tambahan (2 mei)
8. Mahathir hina sistem perundangan negara (21 mei)
9. Mahathir akui pembangkang sukar tewaskan UMNO (9 mei)
10.Zam tidak kenang budi (29 mei)

BERCUTI DI EMPAT NEGARA DENGAN RM200

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Sebuah syarikat swasta tempatan menawarkan lima pakej percutian ke beberapa destinasi di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Australia kepada peserta yang mengikuti program pengembaraan anjurannya, hanya bermodalkan RM200.

Program yang dinamakan JomTravel200 anjuran DUSN Lifestyle Sdn Bhd itu, menawarkan pakej percutian ke Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi di Malaysia; Haatyai, Songkhla dan Krabi di Thailand; Medan dan Danau Toba di Indonesia serta Gold Coast dan Sydney di Australia.

Naib Presiden DUSN Lifestyle Shazlan Abdullah berkata pakej yang ditawarkan syarikatnya menggunakan konsep rangkaian 'member get member' untuk memberi peluang kepada orang ramai bercuti ke beberapa destinasi pelancongan menarik dengan harga serendah RM200.

Beliau berkata kaedah itu melayakkan peserta untuk bercuti ke destinasi yang ditetapkan setelah mereka memenuhi syarat mendapatkan peserta baharu, misalnya bagi melayakkan seseorang itu bercuti ke Pulau Pangkor, peserta terkumpul termasuk dirinya sendiri mesti mencapai tujuh orang.

Pengiraannya ialah seorang peserta perlu mendapatkan tiga peserta baharu dan tiga peserta baharu itu pula mendapatkan sekurang-kurangnya seorang peserta baharu tiap seorang, menjadikan jumlah peserta terkumpul kepada tujuh orang dan peserta asal sudah layak untuk bercuti ke Pulau Pangkor.

Shazlan menjelaskan bahawa peserta itu juga akan layak untuk pakej percutian ke Thailand apabila jumlah peserta terkumpul termasuk dirinya sendiri mencapai 13 orang, pakej Langkawi (peserta terkumpul 28 orang), pakej Indonesia (82 orang) dan pakej Australia (244 orang)

Peserta pakej percutian itu berpeluang melancong ke semua destinasi pelancongan yang ditawarkan itu kerana mereka mendapat insentif bonus pendapatan selain wang saku dan insurans kemalangan diri melalui penambahan peserta baharu yang menyertai JomTravel200 .

DUSN Lifestyle, katanya ialah sebuah syarikat penyedia platform pengiklanan dalam talian selain menjalankan rangkaian perniagaan berteraskan hartanah, pendidikan, pembinaan, pemasaran produk dalam talian berkonsepkan pusat beli-belah dan peluang bisnes global.

Program JomTravel200 diuruskan sepenuhnya oleh De Nur Fatihah Marketing, didaftarkan sebagai panel pemasaran untuk DUSN Lifestyle Sdn Bhd, yang menguruskan segala aktiviti berkaitan termasuk menyediakan perkhidmatan menghantar peserta melancong, katanya.

"Program ini bukan sistem jual barangan atau sesuatu kuota dikenakan kepada anggota, kami cuma mengajak orang ramai pergi melancong dengan selesa," katanya.

JomTravel200 juga ditawarkan untuk penyertaan luar negara namun destinasi percutian dan syarat kelayakan adalah berbeza dengan tawaran kepada peserta tempatan.

Shazlan berkata diperkenalkan tujuh bulan lalu, program berkenaan mencecah penyertaan lebih 20,000 orang dari dalam dan luar negara antaranya dari Indonesia, Thailand, Filipina dan India.

Selain pakej percutian RM200, syarikat itu juga menawarkan dua lagi pakej percutian iaitu pakej RM2,000 dan RM1,000.

Orang ramai yang berminat menyertai pakej percutian JomTravel200 boleh menghubungi JT Darling di talian 0194061118

-- BERNAMA


Monday, May 29, 2017

KUMPULAN PERTAMA JEMAAH HAJI BERTOLAK 24 JULAI



KUALA LUMPUR 29 Mei - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengumumkan kumpulan jemaah pertama haji Malaysia akan bertolak ke Arab Saudi pada 24 Julai ini bagi menunaikan rukun Islam ke-lima.


Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kumpulan pertama itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan 30,200 bakal haji yang telah dimaklumkan sebelum ini.

“Kesemua bakal haji telah dimaklumkan melalui surat yang dihantar kepada mereka dan kami juga berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi yang memberi penambahan kuota jemaah haji berbanding tahun lalu.


“Jemaah juga sudah memberi maklumbalas surat tersebut dan kini pihak Tabung Haji sedang sedang mempertingkatkan proses lojistik bagi memastikan perjalanan haji kali ini berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Tabung Haji di sini semalam selepas menyampaikan hadiah utama kepada johan qari dan qariah tilawah al quran peringkat kebangsaan 2017.

Johan qari, Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Wilayah Persekutuan dan johan qariah, Normalina Alias dari Negeri Sembilan menerima hadiah Proton Exora.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Seri Johan Abdullah dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Badlisyah Abdul Ghani.



ZAM TIDAK KENANG BUDI KATA SYED ALI ALHABSHEE



KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin disifatkan tidak mengenang budi kerana terus memperlekehkan Umno.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee berkata Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam sepatutnya berterima kasih kepada Umno.

"Kerana Umno, beliau berpeluang menjawat jawatan tertinggi di akhbar arus perdana, kerana Umno juga, beliau diberi peluang berada dalam kabinet biarpun bukannya seorang pemimpin politik yang lahir daripada akar umbi Umno," tegasnya.

Zam menerajui Utusan Melayu daripada tahun 1983 hingga 1992 dan dilantik sebagai menteri penerangan selama dua tahun sehingga 2008.

Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Zam semalam berkata, Umno sudah tiada masa depan kerana “jasanya yang tersemat di hati rakyat telah terpadam”.

Katanya, sukar untuk menebus kembali keyakinan rakyat setelah “keruntuhan” berlaku satu demi satu, termasuk hilangnya keyakinan pada semua media milik kerajaan.



Dalam blognya hari ini, Syed Ali berkata sikap mengungkit dan cuba memberi gambaran seolah-olah Umno dan kerajaan tidak pernah berjasa kepada rakyat merupakan perbuatan yang tidak wajar.

Beliau juga berkata tidak tahu apa sebenarnya masalah Zam dengan Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tidak tahu apa sebenarnya masalah Zam dengan Umno dan Najib, tetapi tindakan beliau yang berterusan mengecam dan menyerang Umno merupakan tindakan keterlaluan kerana parti itu pernah berjasa kepada beliau," tegasnya.

Syed Ali bagaimanapun berkata tuduhan Zam itu semata-mata tanggapan kerana marah pada Umno dan pentadbiran Najib.

"Dakwaan tersebut pada hemat saya tercetus akibat sifat kecewa, sikap egoistik dan rasa taksub melampau terhadap individu tertentu yang perlu sentiasa dipuja atas kecemerlangannya pada suatu ketika," tegasnya.

Sunday, May 28, 2017

RAMADHAN KEDUA TPM BERBUKA PUASA DI KT

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunaikan solat Isyak dan Terawih di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, di sini malam ini.

Ahmad Zahid yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim serta kira-kira 2,000 penduduk setempat menunaikan solat berkenaan yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.

Terdahulu Ahmad Zahid hadir pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga KDN peringkat negeri dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari kawasam Kuala Nerus di Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus.

-- BERNAMA

YAYASAN TABUNG HAJI ZIARAH 50 KAWASAN PARLIMEN



KUALA SELANGOR: Yayasan Tabung Haji (TH) bersama Biro Keahlian Daftar Pemilih (BKDP) mengeluarkan sumbangan RM300,000 bagi 50 parlimen khusus untuk Ramadhan tahun ini di bawah Program Ziarah Kasih Ramadhan al Mubarak.


Pengerusi Tabung Hajin Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim menyempurnakan perasmian di Dewan Dato Seri Abu Hassan, Kompleks UMNO Bahagian Kuala Selangor semalam.


Lokasi pertama menyaksikan seramai 3,000 penerima hadir antaranya golongan asnaf dan mereka yang memerlukan termasuk ibu tunggal serta orang miskin.


Turut sama mengagihkan sumbangan adalah Peguam Negara yang juga Ahli Lembaga Pengarah TH Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan Penolong Setiausaha Agung Pergerakan Wanita UMNO Malaysia merangkap Ahli Lembaga Pengarah TH Datuk Rosni Sohar.


Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Sri Dr. Irmohizam Ibrahim dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Selangor Datuk Ishak Harun.








Antara lokasi jelajah termasuk Sabah, Pahang, Johor, Selangor, Melaka, Perak, Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kedah.

Saturday, May 27, 2017

HARAPAN RAKYAT BANTAH PARTI LAIN GUNA SINGKATAN HARAPAN

KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama) -- Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) membantah penggunaan singkatan 'Harapan' untuk mana-mana pertubuhan politik selain parti berkenaan di negara ini kerana berpendapat ia boleh mengelirukan orang ramai di Sabah.

Presidennya Datuk Seri Lajim Ukin bagaimanapun berkata, parti berkenaan tidak membantah
penggunaan singkatan 'Harapan' bagi pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, beliau menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) agar menolak permohonan mana-mana parti politik yang ingin mendaftarkan parti mereka dengan menggunakan singkatan 'Harapan'.

Lajim turut mengumumkan kemasukan bekas Penasihat parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Wilayah Persekutuan Labuan Datuk Peter Kong ke dalam parti Harapan Rakyat seterusnya melantiknya sebagai timbalan presiden 3 parti itu bagi mengisi kuota kaum Cina.

-- BERNAMA

Friday, May 26, 2017

KU CHIN WAH MENANG KES AMLA

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah semalam dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini daripada pertuduhan gagal mengisytiharkan punca perolehan miliknya, tiga tahun lalu.


Hakim Sohaini Alias membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya Sohaini berkata mahkamah berpandangan Ku, 59, telah mengisi borang dengan lengkap dan teratur mengikut format Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Mahkamah berpandangan tertuduh tiada niat untuk sembunyi apa-apa maklumat atau fakta yang dikehendaki SPRM mengenai harta yang dimilikinya.

"Mahkamah memutuskan tertuduh telah mematuhi terma notis seperti pertuduhan dengan mengisytihar semua perolehannya, mahkamah dengan ini melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan ini," katanya.

Sebaik Sohaini membacakan keputusan, suasana di bilik mahkamah yang sunyi dan tenang bertukar dengan bunyi sorakan dan tepukan. Beberapa penyokong Ku yang hadir dilihat bersalaman sesama mereka.

Ku, didakwa dengan sengaja gagal mematuhi terma Notis Pendakwa Raya mengikut Seksyen 49(1) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 bertarikh 23 Dis 2013, yang beliau telah gagal untuk mengisytiharkan segala punca perolehan dalam Surat Akuan Bersumpah bertarikh 8 Jan 2014.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 23 Dis 2013 dan 21 Jan 2014.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 49(3) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu Ku telah memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Ketika ditemui pemberita, Ku, yang kini berkhidmat di bahagian urusetia JSJ Bukit Aman, enggan mengulas lanjut sebaliknya hanya tersenyum dan tidak henti-henti mengucapkan terima kasih.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lufti Mohamed manakala Ku diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

-- BERNAMA

Thursday, May 25, 2017

TUBUHKAN SAYAP VETERAN UMNO

JOHOR BAHRU, 25 Mei (Bernama) -- Anggota Kelab Veteran UMNO mahu terus menyumbang jasa mereka kepada parti tercinta dan bercadang mahu memohon status sayap dalam parti keramat itu, sama seperti yang diberikan kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia Datuk Mustapha Yaakub berkata dengan adanya sayap berkenaan, veteran akan diberi pengiktirafan apatah lagi mereka membentuk 30 peratus atau hampir 800,000 daripada 3.4 juta ahli UMNO di seluruh negara.

"Kewujudan veteran ini tidak tercatit dalam Perlembagaan UMNO hingga ada yang mengatakan veteran ini sebagai satu pertubuhan haram. Jadi apa yang kami minta pada hari ini, adalah Perlembagaan UMNO itu dipinda dan menubuhkan satu sayap khusus iaitu Veteran UMNO," kata beliau kepada Bernama ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Mustapha, disebabkan tiada status seperti sayap, ada kalangan anggota merasakan kehadiran veteran sudah tidak diperlukan, malah ada juga yang merasakan bahawa veteran mahu memegang kuasa.

"Walhal kami sedikit pun tidak mahu berbuat demikian (memegang kuasa), kami cuma mahu membantu ahli," kata beliau.

Menurutnya lagi, tidak ada yang perlu diragukan dengan kehadiran veteran kerana mereka merupakan pemimpin UMNO yang pada suatu ketika dahulu pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti.

"Kami ada bekas exco, bekas menteri, bekas menteri besar, bekas timbalan menteri tetapi kami semua tidak mahu memegang jawatan UMNO. Kami cuma mahu membantu perjuangan parti kerana sayang dan cinta kepada parti," jelasnya.

Tambah Mustapha, veteran pada ketika ini sedang menyusun program memperkasakan anggota bagi membantu UMNO dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Kami semua sudah veteran, jadi program yang kami anjurkan juga lebih kepada program yang sesuai dengan umur kami seperti kerja-kerja kebajikan yang tertumpu di masjid-masjid dan surau selain melawat rumah-rumah warga emas.

Selain itu, mereka juga menggerakkan kempen 'Keluargaku Pengundi BN' iaitu setiap ahli keluarga anggota veteran diwajibkan mempunyai lima orang ahli keluarga yang menjadi pengundi Barisan Nasional.

-- BERNAMA

Wednesday, May 24, 2017

NAJIB LEBIH LAYAK PIMPIN NEGARA SELEPAS PRU14

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Perkembangan politik negara terutama ketika negara bakal menempuh pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak jauh lebih layak untuk memimpin negara dan bijak mengetuai gerak langkah percaturan politik pada masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini terbukti apabila Perdana Menteri telah mampu membaca lebih awal iaitu sejak Disember tahun lepas mengenai strategi yang disusun Penasihat DAP, Lim Kit Kiang apabila menyatakan bahawa PRU14 bakal menjadi medan bagi rakyat Malaysia untuk memilih antara 'UMNO-led government' atau 'DAP-led government'.

"Perdana Menteri kita dengan bijak telah membaca dan menganalisa terhadap cara permainan dan percaturan politik yang dibuat oleh parti DAP.

"Beliau (Najib) tahu bahawa Lim Kit Siang sangat takut jikalau orang Melayu tahu bahawa DAP paling berkuasa dalam Pakatan Harapan dan DAP yang buat keputusan-keputusan penting ataupun 'last word'," katanya dalam catatan terkini menerusi blog, sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Menurutnya politik pembangkang sekarang menyaksikan DAP yang akan menentukan siapa perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya atas sebab DAP mempunyai kerusi parlimen terbesar dalam Pakatan Harapan.

"Kedudukan DAP dalam Pakatan sama seperti kedudukan UMNO dalam Barisan (Nasional), maka sebab itu UMNO duduki jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri," katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata atas faktor inilah maka DAP menggalakkan parti Melayu, contohnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hanya miliki satu kerusi Parlimen, mempamerkan cita-cita mereka untuk menjadi perdana menteri.

"Ini merupakan strategi DAP untuk mempamerkan 'Malay face' sebagai satu propaganda politik," katanya.

PPBM mempunyai kerusi Parlimen tunggal menerusi Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Anggota Parlimen Pagoh.

-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Perkembangan politik negara terutama ketika negara bakal menempuh pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak jauh lebih layak untuk memimpin negara dan bijak mengetuai gerak langkah percaturan politik pada masa ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata ini terbukti apabila Perdana Menteri telah mampu membaca lebih awal iaitu sejak Disember tahun lepas mengenai strategi yang disusun Penasihat DAP, Lim Kit Kiang apabila menyatakan bahawa PRU14 bakal menjadi medan bagi rakyat Malaysia untuk memilih antara 'UMNO-led government' atau 'DAP-led government'.

"Perdana Menteri kita dengan bijak telah membaca dan menganalisa terhadap cara permainan dan percaturan politik yang dibuat oleh parti DAP.

"Beliau (Najib) tahu bahawa Lim Kit Siang sangat takut jikalau orang Melayu tahu bahawa DAP paling berkuasa dalam Pakatan Harapan dan DAP yang buat keputusan-keputusan penting ataupun 'last word'," katanya dalam catatan terkini menerusi blog, sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Menurutnya politik pembangkang sekarang menyaksikan DAP yang akan menentukan siapa perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika pakatan pembangkang mengambil alih Putrajaya atas sebab DAP mempunyai kerusi parlimen terbesar dalam Pakatan Harapan.

"Kedudukan DAP dalam Pakatan sama seperti kedudukan UMNO dalam Barisan (Nasional), maka sebab itu UMNO duduki jawatan perdana menteri dan timbalan perdana menteri," katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata atas faktor inilah maka DAP menggalakkan parti Melayu, contohnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang hanya miliki satu kerusi Parlimen, mempamerkan cita-cita mereka untuk menjadi perdana menteri.

"Ini merupakan strategi DAP untuk mempamerkan 'Malay face' sebagai satu propaganda politik," katanya.

PPBM mempunyai kerusi Parlimen tunggal menerusi Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Anggota Parlimen Pagoh.

-- BERNAMA

Tuesday, May 23, 2017

USAHA RISDA ANJURKAN TILAWAH ALQURAN WAJAR DIPUJI

KUALA LUMPUR:  Azuan Che Lah dari UCAM, Melaka dan Hajah Ramlah Ahmad dari Pejabar RISDA Hulu Terengganu muncul sebagai juara lelaki dan wanita dalam Tilawah Al Quran RISDA Peringkat Kebangsaan di ibupejabat RISDA di sini petang ini.

Manakala naib juara dimenangi oleh Mahadie Mokhtar (RISDA Miri) dan Noraslina Mustafa (Bahagian Pengurusan Sumber Manusia).

Mereka berdua menerima hadiah berupa pakej umrah bernilai RM6,000 manakala naib juara menerima hadiah berupa pakej umrah bernilai RM3,000 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Korporat RISDA, Haji Ikhwan Sudim.

Tilawah ini merupakan acara tahunan RISDA tetapi kali terakhir ia diadakan pada tiga tahun lepas. Majlis tilawah ini yang dianjurkan oleh RISDA wajar diberi pujian kerana ia mencungkil bakat baru dalam membaca alquran.

Majlis petang tadi turut dimeriahkan oleh ceramah agama oleh Pencetus Umah (PU) Yeop.

Monday, May 22, 2017

MAHATHIR HINA SISTEM PERUNDANGAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani petisyen pembebasan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat sebagai tidak menghormati, sebaliknya menghina sistem perundangan negara.

Beberapa anggota UMNO yang ditemui hari ini menyifatkan tindakan bekas perdana menteri menandatangani petisyen bagi pembebasan Anwar, yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat, sebagai lebih bermotifkan kepentingan politik semata-mata.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Sohaimi Shahadan berkata tindakan Dr Mahathir itu seolah-olah seperti beliau (Mahathir) menyokong perbuatan jenayah liwat yang dilakukan Ketua Umum PKR itu.

"Tindakan Tun Dr Mahathir dewasa ini banyak melakukan U-turn, beliau juga mudah lupa dengan apa diungkapnya sebelum ini. Jelaslah, Melayu tidak mudah lupa, tetapi Tun M yang selalu lupa, " katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun, menandatangani petisyen itu ketika hadir pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12.

Seorang lagi Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata tindakan Dr Mahathir menandatangani petisyen membebaskan Anwar yang merupakan �musuhnya´ suatu ketika dahulu boleh dianggap seperti �ada udang di sebalik batu.´

Irmohizam ,yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor, berpendapat permainan politik ini sangat berbahaya kepada nama baik negara serta institusi di bawahnya disebabkan keutamaan mementingkan pengaruh dan kekuasaan daripada memikirkan untung nasib serta kebajikan rakyat.

"Mereka sanggup menggadaikan kesetiaan penyokong demi meraih sokongan baharu dan dengan apa cara sekalipun untuk mencapai kepentingan sendiri," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata tindakan Dr Mahathir itu menunjukkan beliau kini berada dalam keadaan terdesak untuk mencapai apa juga tujuan.

"Mereka akan lakukan apa sahaja untuk kepentingan politik mereka," katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata kredibiliti Dr Mahathir sebagai seorang ahli politik hilang setelah beliau menandatangani petisyen tersebut yang pastinya menimbulkan rasa marah dalam kalangan rakyat kerana kesalahan dilakukan Anwar merupakan kes yang besar.

"Tun Mahathir telah memporak-perandakan keadaan politik dan ekonomi negara dan untuk Tun kembali meminta Anwar dibebaskan, saya rasa apa yang Tun perlu buat ialah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat sebab telah memberi gambaran yang lain terhadap kesalahan Anwar," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata tindakan Dr Mahathir itu boleh menyebabkan kekacauan malah rakyat tidak lagi mempercayai badan kehakiman di negara ini.

"Jika tidak menghormati keputusan mahkamah, negara akan menjadi huru-hara kerana tiada lagi badan keadilan yang mesti dihormati," kata Ahmad Jazlan, yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin meminta rakyat Malaysia supaya menilai sendiri bahasa tubuh dan kenyataan Dr Mahathir pada masa kini, yang jelas tidak sama berbanding sewaktu beliau memimpin negara.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata tindakan Dr Mahathir itu menbuktikan beliau adalah seorang yang tidak konsisten dalam keputusannya terhadap Anwar sewaktu menjadi perdana menteri.

"Dahulu yang ambil tindakan kepada Anwar adalah Mahathir yang ketika itu dia adalah perdana menteri dan sudah pasti tindakan ke atas Anwar itu berlandaskan undang-undang negara.

"Jika sekarang ini dia mahu membebaskan Anwar, ini bermakna tindakannya yang dahulu itu (sehingga Anwar dipenjarakan) adalah berlandaskan emosi dan bukannya salah Anwar," kata Jalaluddin, yang juga Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Sembilan.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan Dr Mahathir itu dilihat sebagai satu langkah 'mencuci dosa' yang dilakukannya malah ramai yang menganggap bekas perdana menteri itu 'menganiaya' timbalannya ketika beliau berkuasa.

-- BERNAMA

Sunday, May 21, 2017

48,000 PEKEBUN KECIL KELANTAN LAYAK TERIMA INSENTIF TENGKUJUH

PASIR PUTEH, 21 Mei (Bernama) -- Lebih 48,000 pekebun kecil getah yang mengusahakan kira-kira 86,000 hektar kebun di Kelantan layak menerima insentif sempena musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan Rosly Yaacob berkata pekebun kecil ini akan menerima bayaran sebanyak RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.

"Pekebun kecil akan menerima sebanyak RM600 sepanjang tiga bulan tersebut dan insentif berkenaan akan diberikan secara berperingkat-peringkat bermula November ini sehingga Januari tahun depan.

Mereka boleh mendaftar di pejabat-pejabat RISDA di kawasan masing-masing mulai sekarang," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan di Kampung Banggol Telipot di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak Datuk Zawawi Othman.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut meluluskan peruntukan sebanyak RM49 juta untuk melaksanakan pelbagai projek terutama tanaman semula getah, pengwujudan usahawan dan aktiviti hiliran dalam usaha kerajaan agar pekebun kecil mampu mencapai pendapatan sehingga RM4,000 sebulan menjelang 2020.

-- BERNAMA

MAHATHIR TAK SETUJU ANWAR JADI PM PAKATAN HARAPAN



SHAH ALAM, 21 Mei (Bernama) -- Agenda untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menjadikan ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai calon perdana menteri disepakati perwakilan Kongres Nasional Tahunan parti itu di sini hari ini.

Walaupun pakatan pembangkang belum memuktamadkan calon perdana menteri mereka sekiranya berjaya memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak, PKR menyuarakan sokongan dan hasrat semasa perbahasan bahawa Anwar merupakan pemimpin paling layak memegang jawatan itu.

Simbolik kesepakatan itu dipamerkan sejak awal kongres tahunan itu bermula, apabila kira-kira 1,000 perwakilan bangun dan mengangkat plakad tertulis "Anwar PM ke-7" sejurus selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menamatkan ucapan dasarnya.

Beberapa pimpinan pembangkang sekutu PKR termasuk Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang menghadiri majlis perasmian kongres ke-12 itu turut memegang plakad serupa.

Namun, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad bersama presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir sebaliknya tidak mengangkat plakad berkenaan.

Tindakan Mahathir dan Muhyiddin itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sokongan mereka terhadap Anwar sebagai calon perdana menteri.

Mengulas perkara itu, Timbalan presiden PPBM Datuk Seri Muhkriz Mahathir ketika ditemui pemberita berkata: "Saya rasa mereka sibuk mengambil gambar dan disebabkan itu tidak memegang sepanduk."

Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam ucapan penggulungannya berkata DAP dan Amanah telah bersetuju agar Wan Azizah menjadi perdana menteri interim sekiranya pakatan itu menang PRU akan datang.

Katanya, usaha membebaskan Anwar akan dibuat selepas itu dan merancang untuk mengadakan pilihan raya kecil untuk ditandingi bekas ketua pembangkang itu.

Isu calon perdana menteri pembangkang sebelum ini menjadi persoalan banyak pihak berikutan kemasukan PPBM sebagai anggota gabungan dalam pakatan pembangkang.


Saturday, May 20, 2017

RISDA KELANTAN DAPAT RM3 JUTA UNTUK PROGRAM USAHAWAN


KOTA BHARU, 20 Mei (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM3 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bagi melaksanakan Program Pembangunan Usahawan di Kelantan tahun ini.

Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Getah Malaysia Datuk Zamri Yaakob berkata peruntukan tersebut merangkumi bantuan bagi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) sebanyak RM2.3 juta untuk melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang keusahawanan seperti perkhidmatan, makanan, pembuatan dan pertanian.


"Sebanyak RM724,390 pula diperuntukkan bagi program pembangunan usahawan seperti program pesijilan halal, program pelabelan, program tokoh usahawan, karnival usahawan, program promosi produk usahawan, vendor burger bakar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan AET di Kelantan sejak 2007 telah melahirkan seramai 1,824 usahawan dalam pelbagai bidang iaitu 72 Usahawan Kadet, 1,741 Usahawan Mikro dan 11 Usahawan Kecil.

"Di seluruh negara kita sudah melahirkan lebih 12,000 usahawan dan kita berharap menjelang 2020 usahawan ini mampu meraih pendapatan sebanyak RM4,000 setiap seorang bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka," katanya.

Beliau berkata Risda bukan sahaja terkenal dengan penanaman getah tetapi kini telah bergerak maju dengan pelbagai transformasi melalui program keusahawanan, perumahan dan pendidikan yang bertujuan meningkatkan pendapatan dan taraf hidup pekebun kecil.

"Usaha melahirkan usahawan bumiputera merupakan peranan yang penting dan perlu diberikan perhatian khususnya untuk memperbanyakkan produk halal dan memperolehi sijil halal dengan usaha yang bersungguh-sungguh," katanya.

Mengenai program MyBidan, beliau berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai wanita muda menjadi bidan profesional iaitu menyediakan khidmat mengurut dan menjaga kesihatan ibu bersalin.

"Golongan wanita muda perlu merebut peluang ini kerana majoriti kemahiran mengurut dimiliki golongan warga emas," katanya.

-- BERNAMA

RAHMAN TERPILIH BUKAN KERANA TERBAIK TETAPI KERANA DIA ORANG KJ

KOTA BELUD, 20 Mei (Bernama) --Semua anggota UMNO, mahupun Barisan Nasional (BN) boleh menyatakan hasrat untuk menjadi calon dan bertanding bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang, kata Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bagaimanapun berkata keputusan memilih calon untuk bertanding di sesuatu kawasan pada akhirnya akan diserahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

"Anda (anggota parti) boleh melahirkan hasrat untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon, termasuk diri saya, tetapi akhirnya, kita serahkan kepada keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman)," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan dua kenderaan van untuk komuniti Kristian di sini hari Sabtu.

Abdul Rahman diminta mengulas hasrat seorang tokoh pemimpin di sini untuk kembali aktif dalam politik seterusnya menjadi calon pilihan raya akan datang.

Dalam pada itu, Abdul Rahman turut memberitahu bahawa beliau juga berminat untuk menjadi calon lagi dan bertanding bagi kawasan parlimen yang disandangnya kini.

"Oleh itu, jangan keluarkan saya daripada senarai calon. Bagaimanapun, dalam tradisi BN dan UMNO, oleh kerana kerusi Parlimen Kota Belud ini adalah kuota UMNO, ia diputuskan oleh pemimpin tertinggi.

"Saya akan patuh...saya orang parti. Jika mereka (pucuk pimpinan) yakin saya yang terbaik, maka saya tetap berada di sini (Kota Belud). Jika mereka berpendapat orang lain harus mengambil alih, maka saya serahkan kepada kebijaksanaan mereka.

"Inilah yang menjadikan UMNO dan BN kuat," katanya.

Ulasan saya, memanglah pucuk pimpinan yang menentukan calon tetapi Rahman harus ingat beliau adalah orang luar dan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak seorang senator dan ketua Umno Bahagian Kota Belud.

Sudah tentu Dr Salleh adalah pilihan utama bahagian untuk calon parlimen. Takkan beliau mahu kekal sebagai senator. Pada tahun 2008, Dr Salleh digugurkan kerana KJ mahu Rahman bertanding di Kota Belud. Ketika itu Pak Lah Perdana Menteri maka KJ yang juga menantu Pak Lah mainkan peranan menyingkirkan Dr Salleh yang bukan ketua bahagian ketika itu. KJ mahu naikkan setiausaha pemudanya, Rahman Dahlan walaupun beliau adalah orang Tuaran dan bukannya orang Kota Belud.

Pengundi Kota Belud kuat semangat Umno tetap memberi kemenangan kepada Rahman walaupun dia orang luar. Pada tahun 2013, Dr Salleh kembali mengetuai Umno Bahagian Kota Belud maka Rahman yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Tuaran kena cari kawasan lain jika beliau mahu kekal bertanding parlimen.

Atau beliau boleh gantikan Datuk Hajiji Haji Noor bertanding di DUN Sulaman pada PRU akan datang dan jadi menteri kabinet Datuk Musa Aman. Rahman tiada kekuatan. Beliau tak berani lawan Hajiji ketua bahagian sebaliknya pernah kalah timbalan ketua bahagian di tangan Datuk Aliasgar Basri. Pada tahun 2013, Aliasgar tarik diri dan beri kemenangan percuma kepada Rahman kerana beliau menteri pusat.

Rahman jangan fikir boleh kekal jadi calon. Kenyataannya baru-baru ini supaya sekolah di Sabah dibenarkan menggunakan pengantar bahasa Inggeris menyinggung perasaan Perdana Menteri yang mana kenyataan seperti itu tidak seharusnya keluar dari mulut seorang menteri pusat. Ia bertentangan dengan dasar pelajaran kebangsaan.

Pada tahun 2008, Rahman terpilih jadi calon bukan kerana beliau orang yang terbaik tetapi kerana beliau orang KJ. Maka KJ sudah tiada peranan untuk mengekalkan Rahman sebagai calon parlimen Kota Belud pada PRU akan datang.




Friday, May 19, 2017

MAHATHIR AKUI PEMBANGKANG SUKAR TEWASKAN UMNO

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)) Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pakatan pembangkang sukar untuk menewaskan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 kelak.


Bekas perdana menteri yang pernah mentadbir negara selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 berkata tanpa sebuah parti pembangkang yang kuat, termasuk kesepakatan pembangkang yang menyeluruh pada masa ini , usaha menandingi UMNO dan BN yang terdiri daripada 13 parti komponen mewakili pelbagai kaum di seluruh negara adalah sukar.

"Kalau nak menang kita mesti ada pakatan kita juga. Sebab itu kita buat Pakatan Harapan," katanya dalam sesi siaran langsung melalui akaun Facebooknya hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika menjawab soalan pengguna Facebook berkaitan keputusan PPBM memilih mengadakan hubungan dengan DAP dan PKR -- dua buah parti politik yang menjadi seteru hebat beliau ketika menerajui UMNO dan BN.

Disoal mengapa PPBM tidak bekerjasama dengan PAS, Dr Mahathir berkata PPBM dan rakan-rakan politik termasuk PKR dan DAP telah berkali-kali memujuk PAS untuk menjalin kerjasama, namun PAS enggan dan berterusan menolak tawaran mereka.

Beliau mendakwa PAS sejak akhir-akhir ini dilihat lebih mengutamakan hubungan bersama UMNO, sehinggakan sanggup menolak dan menamatkan hubungan bersama rakan-rakan pembangkang lain, hingga merencatkan usaha PPBM untuk mewujudkan pakatan pembangkang tunggal di negara ini.

"Sehingga kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana mahu mendapat persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan dengan UMNO," katanya.

Dr Mahathir juga meragui bagaimana PAS boleh bekerjasama dengan UMNO sedangkan sejarah politik negara menyaksikan PAS pernah melabel UMNO sebagai parti kafir apabila menjalin kerjasama dengan parti-parti politik bukan Melayu dan Islam seperti MCA dan Gerakan.

Sesi temu bual itu berlangsung selama 30 minit.

-- BERNAMA

Thursday, May 18, 2017

RISDA LANCAR TABUNG JEJAK GELANDANGAN

KUALA LUMPUR: RISDA melancarkan Tabung Jejak Gelandangan mulai semalam oleh Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Katanya, tabung ini dikawal selia oleh University College of Agroscience  Malaysia (UCAM), sebuah IPTS milik anak syarikat RISDA untuk memberi bantuan makanan kepada para gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

"Khidmat ini merupakan satu tindakan tanggungjawab sosial korporat RISDA yang kita laksanakan sebagai tanda prihatin kepada golongan yang memerlukan," katanya ketika berucap di majlis perasmian perhimpunan bulanan RISDA yang keempat di ibupejabat RISDA di sini.

Beliau mengucapkan tahniah kepada UCAM kerana berjaya mencipta dimensi baru dalam memperkenalkan RISDA di mata masyarakat.

"Saya berharap ianya menjadi contoh kepada semua SMR untuk turut sama menyertai khidmat sosial ini atau mencipta aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat yang perlu dilaksanakan," katanya lagi.

Pada 10 Ogos nanti, Zahidi akan merasmikan program khidmat masyarakat ini di Anjung Singgah, Kuala Lumpur diiringi oleh Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad dan Naib Canselor UCAM, Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.

Selepas perasmian, akviti mendekati gelandangan dijalankan seterusnya mengagihkan pek makanan dan keperluan asas diri kepada gelandangan yang tinggal di Anjung Singgah dan sekitar bandaraya Kuala Lumpur.

Ia juga akan menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada penghuni Anjung Singgah dan bercadang mengadakan kerjasama dengan Anjung Singgah dengan menawarkan khidmat nasihat pakar, kaunseling dan latihan kemahiran kepada penghuni Anjung Singgah secara berkala.

Zahidi juga menyampaikan cek gergasi kepada Tabung Jejak Gelandangan sebanyak RM10,000. Sejak dua bulan lalu kutipan dana ini telah pun dijalankan di setiap fakulti, jabatan dan bahagian dalaman UCAM di Melaka. Kumpulan band UCAM juga mengadakan persembahan busking di tiga cawangan Mydin di Melaka setiap hujung minggu untuk mengutip dana bagi Tabung Gelandangan ini.

Wednesday, May 17, 2017

MUHYIDDIN AKUI PAKATAN HARAPAN SUKAR MENANG JIKA PERTANDINGAN TIGA PENJURU

ALOR SETAR, 17 Mei (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu masih berhasrat untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) di Kedah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Ini kerana, beliau mendakwa parti itu mempunyai sokongan di negeri ini dan berharap ia dipersetujui rakan-rakan di dalam PH, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, keputusan itu akan ditentukan melalui rundingan dengan pihak pimpinan PH yang lain di peringkat tertinggi atau negeri.

Sementara itu Muhyiddin mengakui agak sukar bagi pakatan pembangkang untuk mencapai kemenangan jika melibatkan pertandingan tiga atau empat penjuru pada PRU14.

"Kita sudah tengok seluruh negara, kita ada data dan kajian telah kita buat yang mana bersetuju ada pertandingan dua penjuru atau satu lawan satu,itu lebih mudah. Tetapi apabila terjadi begitu, kata di Kedah atau mana pun..kita akan berhadapan persaingan," katanya.

-- BERNAMA




FELCRA GESA PEGAWAINYA TANGKIS BERITA PALSU



MARAN: Lembaga Kemajuan Pemulihan dan Penyatuan Tanah Negara (Felcra) menggesa pegawai, kakitangan dan pegawai serantanya memainkan peranan bagi menangkis segala berita palsu di media sosial terutamanya yang memburukkan kerajaan.

Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bong Moktar Radin berkata, walaupun sebahagian besar kakitangan agensi itu sibuk dengan tugasan di peringkat kawasan dan tanah rancangan, namun mereka tidak terlepas daripada tanggungjawab menangkis pembohongan dan fitnah.

Beliau berkata, pegawai Seranta perlu turun padang memberitahu rakyat terutamanya para peserta Felcra tentang usaha dilakukan kerajaan melalui Felcra dalam membela nasib dan masa depan rakyat.

“Penyebaran berita tidak berasas tidak boleh dibiarkan sama sekali dan ia perlu dijawab dan dinafikan. Jika kita berdiam, rakyat akan beranggapan ia benar.

“Pegawai dan kakitangan Felcra serta Pegawai Seranta merupakan individu yang layak menyampaikan segala maklumat kerajaan terutama pegawai dan kakitangan di peringkat tanah rancangan. Ini kerana mereka merupakan orang yang paling hampir dengan masyarakat luar bandar dan akar umbi,” katanya.

Beliau berucap pada perjumpaan dengan pegawai, kakitangan dan peserta Felcra di majlis anjuran Seranta Felcra Rumpun Makmur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau Datuk Seri Ismail Mohamed Said, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra, Zulkarnain Mohd Yusof dan Pengurus Besar Felcra Pahang Datuk Mutalib Tais.

Dalam pada itu beliau berkata, Felcra mempunyai pegawai dan kakitangan terlatih mampu menguruskan pembukaan tanah terutamanya tanah terbiar di mana sehingga ini lebih 220,000 hektar tanah telah dimajukan agensi tersebut, termasuk Sabah dan di Sarawak.

Menurutnya, Felcra bukan sahaja berjaya membangunkan tanah dan bidang pertanian, malah kini mengorak langkah di bidang harta tanah, termasuk perumahan bagi memberi peluang kepada rakyat terutamanya golongan muda memiliki kediaman sendiri.

Sehubungan itu beliau menggesa kakitangan dan para peserta supaya bekerjasama antara satu sama lain dengan mengatasi segala masalah secara bertolak ansur dan di meja perundingan.

“Felcra bersedia mendengar apa juga masalah peserta dan berkongsi maklumat demi kebaikan bersama kerana asas penubuhan Felcra adalah bagi membantu rakyat terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.

Tuesday, May 16, 2017

RANSOMWARE WANNACRY: SKMM TINGKAT SISTEM KESELAMATAN SIBER NEGARA

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah bersiap sedia dan meningkatkan sistem pertahanan dan keselamatan siber negara susulan ancaman serangan siber Ransomware Wannacry yang melanda dunia sejak Jumaat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata SKMM setakat ini belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai serangan virus siber itu di negara ini walaupun beberapa media melaporkan mengenai serangan itu.

"Buat masa ini, kita belum lagi menerima lagi laporan ancaman namun kita dimaklumkan menerusi media, terdapat 10 laporan serangan tersebut di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sepetang Mesra Bersama Karyawan Seni anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) semalam.


Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah mengesan ancaman serangan siber Ransomware Wannacry sedang berleluasa di seluruh dunia yang mana ia menyekat akses kepada data di dalam komputer yang dijangkitinya.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab mengesahkan hanya satu laporan rasmi berhubung serangan itu diterima setakat ini, namun agensi itu percaya lebih banyak kes berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada mereka.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh meminta LHDN, Finas dan persatuan membabitkan artis dan selebriti bekerjasama membantu golongan tersebut dalam menangani isu-isu berkaitan percukaian.

Beliau berkata ini bagi membolehkan golongan tersebut mendapat penjelasan dan maklumat lanjut berkaitan percukaian bagi mengelak sebarang masalah termasuk isu tidak membayar cukai.

"Perlu ada persefahaman. Tidak ramai yang tahu, industri hiburan ini berbeza, ada yang tidak mempunyai pendapatan tetap, ada yang menggunakan pendapatan untuk kebajikan, ada yang menggunakan pendapatan membeli pakaian dan sebagainya.

"Jadi saya fikir, seharusnya ada jalan penyelesaian antara kedua-dua pihak, janganlah terlalu ketat, elok ada fleksibiliti. Dialog seperti ini bagus dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul, " katanya.

Justeru, beliau mencadangkan agar karyawan dan penggiat seni diberi kelonggaran untuk pembayaran cukai memandangkan pendapatan golongan itu yang tidak tetap.

-- BERNAMA

19 RUMAH BINA NEGARA SUDAH DISERAH KEPADA PEMILIK

KUALA NERANG, 16 Mei (Bernama) -- Sebanyak 19 buah Rumah Bina Negara (RBN) yang diluluskan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) bernilai RM1.2 juta telah diserahkan kepada pemiliknya bermula awal tahun ini.

Pengarah Risda Kedah, Ramli Tumin berkata daripada jumlah itu, masih terdapat lima rumah di daerah Baling masih belum diserahkan kerana tidak boleh diduduki ekoran masih menunggu bekalan elektrik dan air disambungkan ke rumah berkenaan.

Setakat Mei, 14 rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada pemiliknya melibatkan lapan buah RBN di daerah Padang Terap, tiga di Sik dan dua di Kulim.

Friday, May 12, 2017

TIPCO PROMOSI TERENGGANU SEBAGAI DESTINASI PELANCONGAN

KUALA NERUS, 12 Mei (Bernama) -- Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) 2017 yang berlangsung di Tapak Luncur Udara Bukit Bubus, Kota Putera di Besut mulai hari ini menjadi satu lagi platform baharu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terkenal dunia.

Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata seramai 90 peluncur udara dari 24 negara mula menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung sehingga 16 Mei ini.

"Kebanyakan mereka ini mempunyai puluhan ribu peminat tegar yang akan mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial seperti Instagram dan Facebook.

"Apabila kesemua peluncur udara ini memuat naik gambar dan video mereka di Besut ke laman sosial, peminat mereka di seluruh dunia akan dapat melihat keindahan alam semulajadi Terengganu dan akan mula mengenali Terengganu sebagai lokasi pelancongan yang cantik untuk mereka lawati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan 90 peserta itu dalam majlis makan malam di sini malam tadi. Turut hadir Pengurus Acara TIPCO 2017, Anuar Ngah.

Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal berkata selain Bukit Bubus di Besut, jabatan itu dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu juga akan membangunkan satu lagi lokasi menarik untuk penganjuran sukan luncur udara di Bukit Maras dekat Batu Rakit, di sini.

"Keistimewaan Terengganu ialah kedudukan geografinya yang mempunyai banyak bukit berhampiran pantai dan ini sangat digemari oleh peluncur udara kerana pemandangannya yang sangat cantik.

"Buat masa ini, Bukit Bubus dan Bukit Maras akan diberi keutamaan untuk penganjuran kejohanan besar seperti ini dan kita akan kenal pasti lebih banyak lokasi sesuai dan menarik pada masa akan datang," katanya.

Wednesday, May 10, 2017

PEMIMPIN UMNO PERLU MENELADANI KESETIAAN GHAFAR BABA

MELAKA, 10 Mei (Bernama) -- Pemimpin-pemimpin UMNO perlu meneladani kesetiaan sepanjang hayat yang ditampilkan bekas Timbalan Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba kepada parti keramat orang Melayu itu, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad.


Sepanjang 18 tahun berjuang bersama-sama Abdul Ghafar, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, katanya beliau mendapati Allahyarham adalah insan yang paling setia dalam parti ketika eranya.

Beliau berkata tanpa pangkat atau jawatan tinggi, Abdul Ghafar yang juga dikenali sebagai Che Ghafar tetap setia kepada perjuangan UMNO kerana mengetahui hanya parti itulah yang mampu memperjuangkan nasib orang Melayu terutamanya demi kehidupan lebih baik bagi generasi seterusnya.

"Che Ghafar pernah berkata yang UMNO adalah parti keramat, wadah perjuangannya mesti dipertahankan. Saya tidak jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri) tidak apa�sebagai naib presiden, saya akan menjaga parti dengan lebih kuat lagi," katanya kepada Bernama di sini.

Abdul Ghafar, yang juga timbalan perdana menteri ke-6, dilahirkan pada 18 Feb 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, dan menghabiskan 60 tahun hayatnya berhempas pulas berjuang dalam politik di Melaka, yang merupakan negeri asal ibu bapanya. Beliau meninggal dunia pada 23 April 2006.

Semasa menceritakan kenangannya bersama-sama Abdul Ghafar, Othman, 65, berkata perkara yang paling memberi kesan bagi dirinya adalah pada 1976 apabila Perdana Menteri Ketiga Tun Hussein Onn melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai timbalannya, yang menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan anggota UMNO Melaka ketika itu hingga ada yang mahu melakukan protes.

Menurutnya ketika itu anggota UMNO Melaka berpendapat Abdul Ghafar yang paling layak menjadi timbalan perdana menteri berdasarkan kedudukannya sebagai Naib Presiden UMNO paling kanan diikuti Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir.

Namun, katanya, Abdul Ghafar berpendapat perjuangan UMNO itu lebih penting daripada perjuangan individu.

"Che Ghafar dengan tegas menyelar tindakan pemimpin (UMNO) yang ingin membuat protes dan mempersoalkan perjuangan apa yang mereka lakukan ? Dirinya tak dapat jadi TPM hanya perkara kecil sedangkan merobohkan UMNO itu lebih besar kesannya.

"Katanya kepada kami sebagai manusia memang terasa, terkilan tetapi beliau (Hussein) adalah PM (Perdana Menteri) dan presiden parti, kena hormat beliau dan tidak boleh ikut kepentingan diri sendiri, kita kena jaga parti," kata Othman.

Katanya Abdul Ghafar yang juga guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim di Perak, bukan sahaja dapat menghentikan protes berkenaan malah berjaya memujuk pemimpin UMNO Melaka yang mengugut akan membubarkan cawangan masing-masing sebagai tindakan protes.

Menurutnya tindakan Abdul Ghafar meninggalkan kesan dalam jiwa pemimpin dan anggota UMNO termasuk dirinya dan menyifatkan kata-kata beliau supaya mengutamakan parti lebih daripada diri sendiri sebagai jawapan yang "cukup mahal" dalam memartabatkan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu.

Othman, yang memegang jawatan speaker DUN Melaka sejak April 2008, berkata kesetiaan Abdul Ghafar menjadi sanjungan anggota UMNO secara keseluruhannya yang menyaksikan beliau tidak pernah kalah dalam undi pemilihan jawatan Naib Presiden UMNO selama 22 tahun walaupun tidak memegang jawatan Kabinet.

"Beliau menjadi Naib Presiden (UMNO)...ada jawatan kerajaan atau tidak, beliau tetap menang. Ini kerana orang cukup hormatkan beliau kerana amat setia kepada parti. Beliau buktikan walaupun tiada dalam kabinet tetap setia sepanjang hayatnya (kepada parti)," katanya.

Othman berkata sifat Abdul Ghafar yang sentiasa hormat dan patuh kepada pemimpin parti, walaupun pemimpin berkenaan lebih muda daripadanya, telah membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin yang berkesan.

"Ikutlah apa Che Ghafar kata...kalau nak parti selamat, kerajaan nak kekal pengikut mesti patuh kepada pemimpin dan setia kepada pemimpin," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 9, 2017

TERTIPU BATU DELIMA BOMOH



“Assalamualaikum Zaki. You nak pergi rumah Tok Ayah malam ini?” tanya Aziz kawan baru Zaki melalui telefon tangan. Aziz dikenalinya bulan lepas setelah diperkenalkan oleh Eric, kawan Ibannya yang duduk di Taiping.


“Ada apa?” soal Zaki.

“Kami nak mohon barang dengan Tok Ayah,” jelas Aziz.

“Barang apa?” tanya Zaki.

“Boleh mohon macam-macam. Delima merah kebal umum, besi kuning dan sebagainya,” kata Aziz lagi.

“Boleh juga I ikut awak,” kata Zaki.

“Tapi I tak ada kereta,” kata Aziz.

“Nanti saya datang ambil awak. Awak duduk di mana?” soal Zaki.

“Dekat masjid Kampung Pandan Luar sebelah Desa Pandan,” jawab Aziz.

“Aku tahu tempatnya. Jam 9 malam aku sampai di situ,” kata Zaki.

Naik teksi

Tepat jam 9 malam, Zaki sampai di masjid yang dikatakan oleh Aziz dengan sebuah teksi. Aziz dah menunggu dengan kawannya Tengku Mamat.

“Awak datang dengan teksi? Banyak duit kamu,” kata Aziz bila mereka masuk ke dalam teksi.

“Kereta aku rosak. Tu aku ambil teksi ini dari Kepong ke sini,” kata Zaki.

“Kita nak ke mana?” tanya pemandu teksi.

“Ke Selayang Baru,” jawab Aziz. Teksi itu pun terus meluncur laju ke Selayang Baru.

“Ini Tengku Mamat yang kenal rumah Tok Ayah. Dulu Tengku Mamat pernah mohon barang dengan Tok Ayah,” kata Aziz memperkenalkan Tengku Mamat kepada Zaki.

“Barang apa?”soal Zaki.

“Batu untuk saya pakai saja,” jelas Tengku Mamat.

Bomoh terkemuka

Kira-kira 45 minit kemudian mereka tiba di rumah Tok Ayah seorang bomoh terkemuka di Selayang Baru. Umur Tok Ayah sudah 70 tahun tapi nampak baru 50an.

“Kami nak mohon barang,” kata Tengku Mamat kepada Tok Ayah.

“Barang apa?” soal Tok Ayah.

“Saya nak batu untuk pakai di jari,” jelas Aziz.

“Kamu?” soal Tok Ayah kepada Zaki.

“Saya mahu delima merah kebal umum untuk cari rezeki,” kata Zaki.


“Malam Jumaat ini kamu datang Zaki. Yang Aziz dah ada malam ini pasal Tengku Mamat dah lama beritahu,” kata Tok Ayah.

Oleh kerana ramai orang nak jumpa Tok Ayah, mereka terus balik. Oleh kerana sukar dapatkan teksi pada jam 10.30 malam, maka Zaki panggil kawannya Firdaus, pemandu teksi untuk hantar mereka balik ke Kampung Pandan.

“Assalamualaikum. Firdaus ada di mana?” soal Zaki dalam handphone.

“Mualaikumusalam pak cik. Saya ada di Sri Gombak,” jawab Firdaus yang buat kerja sambilan memandu teksi.

“Pak cik ada di Selayang Baru. Boleh Firdaus ambil pak cik nak hantar kawan pak cik ke Kampung Pandan?” soal Zaki.

“Tak ada masalah, 15 minit lagi saya sampai,” jawab Firdaus.

Selayang ke Kampung Pandan

Kira-kira 15 minit kemudian Firdaus tiba di Selayang Baru. Terus Firdaus hantar Aziz dan Tengku Mamat ke Kampung Pandan. Dari Kampung Pandan Firdaus hantar Zaki ke Kepong pula.

Malam itu hampir RM28 meter teksi Firdaus dari Selayang Baru-Kampung Pandan-Kepong. Zaki bayar tambang teksi kerana Aziz dan Tengku Mamat kata mereka tiada duit.

Malam Jumaat yang dijanjikan Zaki tiba di rumah Tok Ayah seorang pada jam 8.30 malam. Dia kata takkan nak pergi ambil Aziz dan Tengku Mamat lagi. Manalah ada duit nak bayar teksi sepanjang masa.

“Sebelum Tok Ayah serah delima merah ini kepada kamu Zaki, Tok Ayah nak uji dulu,” kata Tok Ayah. Kebetulan di hadapan Tok Ayah ada empat orang lelaki, Tok Ayah suruh Zaki pegang tangan si A. Manakala si A pegang tangan si B dan si B pegang tangan si C.

Tok Ayah pun ambil pisau cukur Gillette dan terus potong rambut Zaki. Rambut Zaki tak putus. Tok Ayah turut potong rambut si A, B dan C tak putus juga. Ini menunjukkan betapa kebalnya delima merah itu.

“Nama khadam yang jaga delima merah ini ialah Puteri Bongsu. Jadi kamu Zaki kena sentiasa baca al Fatihah setiap kali selepas solat bila buka kain kuning ini,” kata Tok Ayah.

“Terima kasih Tok Ayah,” kata Zaki sambil menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,500 kepada Tok Ayah.

Barang mistik

Di dinding di rumah Tok Ayah tercatat harga barang-barang yang dimohon seperti delima merah, besi kuning, air mani gajah dan macam-macam lagi barang-barang mistik.

Setiap malam Zaki selepas solat maghrib dan isyak beliau akan buka kain kuning itu sambil berzikir seperti yang diarah oleh Tok Ayah. Di siang hari Zaki tak sempat nak zikirkan untuk delima merah itu kerana dia tinggalkan delima merah itu di biliknya.

Genap sebulan Zaki menemui Ustaz Mukhlis. Dia tahu Ustaz Mukhlis pandai tarik duit dengan menggunakan barang kebal umum.

“Ustaz, ni delima merah saya untuk cari rezeki. Ustaz tengoklah kot kot dapat buat tarik duit,” kata Zaki.

“Saya rasa delima ini tidak ada apa-apa,” kata Ustaz Mukhlis sambil memegang batu kecil itu.

“Mana kamu dapat?” soal Ustaz Mukhlis.

“Beli di Selayang Baru,” kata Zaki.

“Berapa harga kamu beli?” soal Ustaz Mukhlis lagi.

“RM2,500 Ustaz,” jawab Zaki jujur.

`Kena tipu’

“Kamu dah kena tipu. Ustaz tengok batu ini tak ada apa-apa,” kata Ustaz Mukhlis.

“Kalau tak percaya, kamu pegang batu ini,biar Ustaz potong rambut kamu,” sambung Ustaz Mukhlis lagi.

Ustaz Mukhlis pun ambil razor blade dan potong rambut zaki dan terus ia putus.

“Kamu puas hati?” soal Ustaz Mukhlis.

“Tapi Tok Ayah kata khadamnya bernama Puteri Bongsu,” jelas Zaki.

“Khadamnya ada di rumah dia. Tak ikut kamu balik,” kata Ustaz Mukhlis.

Zaki kesal membeli delima merah berharga RM2,500 itu kerana niatnya mencari rezeki tidak menjadi kenyataan.

“Ingatkan dapat tarik duit malam ini sampai RM1 juta Ustaz. Rupa-rupanya terbang RM2,500”, kaata Zaki.

“Di Kuala Lumpur ini macam macam ada penipu,” kata Ustaz Mukhlis.

Monday, May 8, 2017

SALLEH KECAM SARAWAK REPORT

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengecam Sarawak Report yang terang-terang menunjukkan ketidaksopanan dan tidak beradab dengan mengekori dan mengganggu isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.


Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata warga Sarawak Report bersikap kurang sopan dan hakikat bahawa mereka merasa mempunyai hak berbuat demikian menunjukkan mereka adalah golongan kelas bawahan.

"Kita jangkakan mereka yang dikatakan bertamadun di England akan sekurang-kurangnya menunjukkan rasa hormat kepada isteri perdana menteri negara luar tetapi nampaknya diplomasi hanya untuk orang mereka sahaja.

"Mereka melaungkan dakwaan palsu dengan menyatakan kebebasan akhbar membolehkan mereka berkata apa saja.

"Mereka kemudian bertanya kepada Rosmah mengapa pergi ke United Kingdom (UK) jika tidak mahu diekori," kata Salleh dalam blognya, sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Beliau juga menjelaskan Sarawak Report enggan menyiarkan akaun mereka atau mendedahkan sumber dana yang diperoleh yang menunjukkan mereka sendiri tidak telus tetapi pada masa sama menuduh pihak lain.

Sarawak Report telah melemparkan beberapa tuduhan terhadap Rosmah yang ketika ini sedang melawat UK.

Penaung Permata Negara itu kini berada di UK untuk lawatan tujuh hari sejak Khamis hingga 10 Mei ini bagi meluaskan program Permata.

-- BERNAMA

TERLEPAS PEDANG SAMURAI



“ Sebentar nanti sampai wakil pembeli pedang samurai, Ali,” kata Pak Long kepada Ali.


“Dia duduk di mana?” tanya Ali

“Duduk di Bandar Melaka,” ujar Pak Long.

“Siapa yang ada pedang samurai tu Pak Long?” sampuk Zaki.

“Kawan Pak Long kata ada di Jasin,” jawab Pak Long.

“Kawan saya Bob pun ada pedang samurai di Gopeng, Perak,” kata Zaki.

Setengah jam kemudian tiba Rahman dan Razak wakil pembeli pedang samurai di rumah Pak Long yang terletak di sebuah kampung di Masjid Tanah.

“Memang ada ke pedang samurai itu Pak Long?” tanya Rahman.

`Memang ada’

“Memang ada. Nanti Pak Long telefon dia,” kata Pak Long sambil mendail nombor telefon bimbit kawannya.

“Tak angkat panggilan pulak dia,” kata Pak Long.

“Tapi kawan saya ni, Zaki ada juga pedang samurai,” kata Pak Long sambil memperkenalkan Zaki dan Ali kepada Rahman dan Razak.

“Ada di Gopeng, Perak,” sampuk Zaki.

“Kita pergi ke sanalah Pak Long tengok pedangnya dahulu,” kata Rahman.

“Tak ada hal. Biar Zaki telefon kawannya,” ujar Pak Long.

Zaki terus hubungi Bob di Puchong. Bob kata esok boleh pergi ke Gopeng tengok pedang dan testnya.

Di mana Rahman?

“Pembelinya ada di mana Rahman?” soal Pak Long.

“Pembelinya dari Jepun akan sampai di Kajang minggu depan. Dia memang mencari pedang samurai yang kononnya dapat memotong paku lima inci,” kata Rahman.

“Untuk apa pedang itu?” soal Zaki.

“Entahlah. Saya pun tak tahu. Ketika Jepun datang ke Malaya 73 tahun dahulu memang pedang samurai itu digunakan untuk memenggal kepala orang yang menentang pemerintahan Jepun,” kata Rahman.


“Agaknya pedang samurai yang asli itu masih ada dalam negara kita,” kata Pak Long.

“Esok saya dengan Pak Long pergi ke Gopeng tengok pedang. Bila ahih pedang itu pedang samurai yang ikut speksifikasi pembeli tu, saya akan beritahu Encik Rahman,” sampuk Ali.

Puas hati dengan perjumpaan itu, Rahman dan Razak pun beredar dari rumah Pak Long. Malam itu Zaki dan Ali tidur awal kerana jam 8 pagi esok mereka akan berangkat ke Kuala Lumpur untuk menemui Bob.

Zaki dan Ali memang datang dari Kepong semata-mata menemui Pak Long di Masjid Tanah. Oleh kerana Pak Long mahu ke Kuala Lumpur dapatlah mereka menumpang Pak Long balik ke sana.

Sampai di Restoran Nagas berhampiran PWTC, Bob dan Pak Lah sudah menunggu ketibaan Pak Long dengan Zaki dan Ali.

`Berapa orang nak pergi?

“Berapa orang kita nak pergi ni? “ tanya Zaki.

“Saya, bini saya dan Pak Lah” kata Bob.

“Kalau begitu, kita pergi satu kereta cukuplah. Tak payah pergi dua kereta,” kata Ali.

“Pak Long naik Hilux Bob. Kereta Pak Long tinggalkan di sini saja,” kata Zaki.

“Kenapa kamu tak pergi Ali?” soal Pak Long.

“Tak muat. Kalau jalan jauh nak naik lima orang tak selesa. Jadi biarlah empat orang yang pergi,” kata Ali sambil menghulur wang RM100 kepada Bob kerana Bob kata dia tiada duit mahu beli minyak dan bayar tol.

Pukul 2 petang Pak Long bergerak ke Gopeng menemui tuan punya pedang samurai. Tuan punya itu saudara kepada bini Bob.

Ali dan Zaki menunggu ketibaan Pak Long di sebuah hotel murah di Chow Kit berhampiran KL International Hotel. Teapt jam 10 malam Pak Long tiba di hotel itu.

“Macam mana Pak Long? Dah uji pedang samurai itu?” tanya Ali.

“Nak uji macam mana. Tuan punya pedang nak deposit dahulu RM5,000,” kata Pak Long.

“Kenapa Bob tak cakap dari awal?” marah Zaki.

“Bob tak tahu kot,” kata Ali.

“Dia kata kalau potong paku tak putus, ambil balik RM5,000 itu,” kata Pak Long.

“Buang masa kita pergi ke sana. Kalau tahu dia nak deposit, tak perlu kita ke sana. Kita bukan pembeli cuma pergi uji bagi pihak pembeli saja,” kata Ali.

Bob lepak

Pagi esoknya selepas Pak Long bertolak ke Melaka. Ali dan Zaki singgah di Restoran Nagas untuk menemui Bob yang lepak di situ.

“Macam mana Bob semalam? Kenapa tak cakap tuan punya pedang suruh tunjuk deposit dahulu?” soal Zaki.

“Bila tuan punya pedang tanya Pak Long siapa pembeli Pak Long tak boleh jawab,” kata Bob.

“Betul juga.Sepatutnya Pak Long telefon Rahman,” kata Ali.

“Bukan salah tuan punya pedanglah. Dia ingat Pak Long nak main-main sebab itu dia suruh letak deposit dahulu,” kata Bob.

“Pak Long pun silap. Sepatutnya biarlah Rahman bercakap dengan tuan punya pedang,” ujar Zaki.

“Rahman itu siapa?” soal Bob.

“Rahman tu wakil pembeli. Pak Long tu broker macam kita juga,” jawab Ali.

“Tak ada rezeki kita,” kata Bob yang sudah mencongak wang hasil jualan pedang samurai yang boleh memotong paku lima inci itu sebanyak RM100 juta.

Sunday, May 7, 2017

KULIT KERBAU LANDAU



Siapa yang tidak mahu kaya? Kaya itu impian semua orang. Walaupun banyak kali Ali dan Zaki tidak berjaya dalam urusan mereka menjual barang-barang mistik, tetapi mereka berdua tidak pernah putus asa.

Mereka yakin suatu hari nanti Tuhan akan menolong mereka. Pernah Rashid kawan Ali
dari Johor Bharu menyindir Ali supaya mandi bunga.

“Kau kena mandi bunga Ali. Asyik tak jadi urusan engkau,” kata Rashid dalam telefon bimbit. Ali sabar mendengarnya. Kalau Rashid ada di sebelahnya sudah kena penampar Rashid tu. Tapi biarlah kata Ali dalam hati.

“Bila aku berjaya suatu hari nanti, baru kau menyanjungku,” kata Ali dalam hati. Petang itu Ali menerima panggilan dari Hafiz yang ada pejabat di Sentul Utama.

“U ada pembeli kulit kerbau landau?” tanya Hafiz.

“U cakap dengan Zaki,” kata Ali sambil menyerahkan telefon bimbitnya kepada Zaki.

“Ada pembeli. Pengujinya bernama Haji Zainal,” kata Zaki.

“Buyer boleh datang ke Teluk Panglima Garang?” tanya Hafiz.

“Boleh. Kamu dah pasti ke barang itu kulit kerbau landau?” tanya Zaki.

“Dah uji pun, Memang kebal umum,” kata Hafiz.

Hubungi kawan rapat

Zaki terus menghubungi Haji Hashim kawan rapat Haji Zainal. Haji Hashim kata Haji Zainal setuju pergi ke Teluk Panglima Garang malam esok.

“Macam biasa kena bayar RM300 kerana bawa Haji Zainal ke luar kawasan,” kata Haji Zainal.

“Itu beres. Kami akan kumpul duit dari ahli jemaah seramai 10 orang,” ujar Zaki.

Petang itu Ali dan Zaki bertolak ke Teluk Panglima Garang dengan Hafiz dan Razak. Mereka lalu ikut Putrajaya dan terus ke lebuh raya baru yang terus menuju ke Banting. Mereka tak perlu melalui Klang lagi. Betapa dekatnya Banting sekarang dengan Kuala Lumpur melalui lebuh raya baru itu.

Razak yang bayar mereka berempat minum di Teluk Panglima Garang. Sesampai di situ muncul wakil penjual Salleh dan Mamat serta kawan-kawannya.

“Malam ini pukul berapa Haji Zainal sampai?” soal Salleh.

“Jam 10 malam,” jawab Hafiz yang mengenali Salleh.


“Lewat sangat. Kenapa tak datang awal,” kata Salleh

“Siang hari Haji Zainal bekerja. Malam baru dia free (lapang),” sampuk Ali.

Tepat jam 10 malam Haji Hashim tiba dengan anaknya Dino

“Mana Haji Zainal?” tanya Zaki yang mengenali Haji Hashim.

“Dia dari Rawang. Saya dari Bukit Antarabangsa. Jalan jem (sesak) pasal hujan dari petang tadi. Sebentar lagi sampailah dia,” kata Haji Hashim.

“Jangan lambat sangat. Wak Jono biasanya tidur awal. Jangan sampai jam 11 malam,” marah Salleh kerana jadual sudah bertukar.

Alasan hujan lebat

Pada mulanya mereka sepatutnya urus di rumah Wak Jono tuan punya kulit kerbau landau pada jam 8 malam tapi Haji Hashim minta jam 10 malam kerana mereka hanya boleh bertolak dari Kuala Lumpur selepas maghrib.

Pada jam 10.45 malam Haji Zainal sampai di kedai yang dijanjikan. Haji Zainal buat alasan hujan lebat dari Rawang menyebabkan jalan sesak dari Klang.

“Saya minta maaf sampai lambat,” kata Haji Zainal sambil bersalam dengan 10 orang ahli jemaah.

“Kita nak uji di mana?” tanya Haji Zainal kepada Salleh.

“Kita pergi ke rumah Wak Jono, 10 minit dari sini,” jelas Salleh.

“Dah ada duit RM300,” tanya Haji Zainal,

“Ini duitnya,” kata Haji Hashim yang menyerahkan wang RM300 kepada Haji Zainal. Duit itu Haji Hashim kumpul dari semblan orang ahli jemaah yang lain. Haji Hashim turut mengeluarkan duit sebanyak RM30.

“Sebaliknya kalau potong rambut tak putus, maka duit ini saya pulangkan kepada kamu semua,” katanya lagi.

Mereka pun tiba di rumah Wak Jono 10 minit kemudian. Marah Wak Jono kerana masa sudah lewat.

“Wak biasanya tidur jam 10 malam. Ni nak jam 11 malam dah,” kata Wak Jono yang berusia 60 tahun.
“Minta maaf Wak,” kata Hafiz.

“Ini Haji Zainal penguji barang tu. Kalau barang itu okay, malam ini juga dia bayar RM3 juta,” kata Hafiz.

“Malam hari ada duit ke RM3 juta? Banyak tu,” kata Wak Jono.

“Pembeli ini Datuk S. Dia dah sedia duit tunai kalau barang ini okay. Biasanya dalam masa dua jam duit akan sampai ke rumah penjual,” jelas Haji Zainal.

Wak Jono

Ketika Haji Zainal, Hafiz, Salleh berurusan dengan Wak Jono di atas rumah, Ali, Zaki, Haji Hashim, Jono dak kawan-kawan Salleh berada di bawah rumah. Malas mereka nak naik ramai-ramai ke teratak Wak Jono itu.

10 minit kemudian Haji Zainal pun turun dari rumah.

“Siapa kata barang tu kulit kerbau landau?” soal Haji Zainal.

“Hafiz yang beritahu saya,” jawab Ali.

“Itu bukan kulit kerbau landau. Buang masa saya,” kata Haji Zainal dan terus berlalu dengan senyum kerana dia balik dengan RM300.

“Saya dah cakap pastikan barang tu betul baru panggil pembeli,” marah Zaki.
“Barang apa agaknya tu?” tanya Ali.

“Kulit kerbau lancau kot.Hahaha,” jawab Haji Hashim.

Hafiz kata Wak Jono tak benarkan Haji Zainal uji barangnya. Jadi macam mana pembeli nak beli kalau barang itu tidak dipastikan sama ada kebal atau tidak. Zaki kecewa kerana masa banyak terbuang dengan urusan yang sia-sia ini.

Saturday, May 6, 2017

MAHATHIR BUAT PUSINGAN U SELEPAS 44 TAHUN KUTUK DAP

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang 'membuat pusingan U secara mendadak dan drastik' terhadap DAP setelah mengutuk dan benci kepada parti itu selama lebih 44 tahun.

Mengulas ucapan bekas perdana menteri itu di Gelang Patah, Johor Bahru malam tadi, beliau berkata pendirian Dr Mahathir mengenai DAP akhir-akhir ini amat jauh berbeza dengan pada Mei 201
3 di mana beliau melabelkan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai seorang rasis, yang patut 'dikebumikan' saja di sana.

Aneh sungguh apabila malam tadi, ketika berucap di Gelang Patah, Dr Mahathir membuat pusingan U daripada pendirian beliau pada Mei 2013 itu.

Bolehlah kita andaikan bahawa dalam keadaan beliau yang terdesak, Dr Mahathir sanggup melakukan apa saja kerana beliau sedar bahawa jika tidak mendapat sokongan kaum Cina, partinya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pakatan Harapan akan dihapuskan pada pilihan raya umum akan datang kerana sekarang pun, mereka sudah kehilangan sokongan pengundi Melayu, kata Salleh dalam catatan terbaru dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Katanya Dr Mahathir tidak henti-henti mengutuk DAP dan penyokongnya daripada kaum Cina dari 1969 hingga 2013.

Pada 1969, Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sokongan orang Cina untuk memenangi pilihan raya (umum) dan dengan undi orang Melayu sahaja, boleh boleh menang. Akibatnya, orang Cina membuat keputusan memberi undi mereka kepada PAS dan Yusof Rawa mendapat kemenangan.

Kemudian, Dr Mahathir bertindak balas dengan menulis buku yang berpendirian anti-Cina, 'The Malay Dilemma', yang diharamkan kerajaan, kata beliau.

Salleh seterusnya berkata selepas Pilihan Raya Umum 2013, Dr Mahathir menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana katanya, beliau hanya membuang masa melayan pengundi Cina sebab mereka tidak akan sekali-kali mengundi Barisan Nasional dan lebih baik sahaja beliau memberi fokus terhadap pengundi Melayu, yang menjadi tulang belakang bagi sokongan terhadap UMNO.

-- BERNAMA

Friday, May 5, 2017

CUPAK UNTUK BUNIAN



“U tahu nombor telefon cikgu Shah?” tanya Ali kepada Zaki.

“Tahu. Nanti I periksa nombornya,” jawab Zaki.

“Projek apa pula dengan Cikgu Shah?” soal Zaki.

“Pertukaran. Dia kata dia ada guru yang terima cupak untuk buat pertukaran,” jelas Ali.

Ali pun terangkan konsep pertukaran cupak itu. Alam bunian sedang mencari cupak lama. Bila cupak itu dihantar ke alam bunian, sebagai ganti orang bunian beri imbuhan sebanyak RM5 juta.

“Banyak tu RM5 juta,” kata Zaki.

“Betul ke Ali?” tambah Zaki.

“Entahlah. I pun tak pasti. I dah suruh orang kampung I carikan cupak lama untuk diberi kepada cikgu Shah,” jelas Ali.

Dua hari kemudiannya Ali menghubungi cikgu Shah yang duduk di Subang Bestari.

“Cupak yang Cikgu nak tu dah ada. Bila kami dapat jumpa Cikgu?” tanya Ali.

“Esok pagi boleh. Datang rumah saya. Zaki tahu rumah saya,” jawab Cikgu Shah.

“Zaki kerja sekarang cikgu. Dia tak dapat datang,” jawab Ali.

“You sampai di simpang Sungai Buluh ke Kota Damansara pagi esok, you call saya,” kata Cikgu Shah.

Pagi esoknya Ali tiba di Subang Bestari dengan Wak Kassim dari Kota Tinggi. Wak Kassim yang membawa cupak lama.

“Ini cupaknya cikgu,” kata Ali sambil menyerahkan cupak kepada cikgu Shah.

“Saya pun menunggu kedatangan cupak lain dari Kedah. Dah lama dia janji dengan saya nak datang pagi ini. Kalau dia sampai nanti, kita kena buat yang dia dululah pasal dah lama dia janji dengan saya,” jelas cikgu Shah.

“Tapi Wak ini datang jauh dari Kota Tinggi,” kata Ali.


“You call saya semalam. Orang Kedah ini dah seminggu buat temu janji dengan guru itu,” kata Cikgu Shah.

Kira-kira 15 minit kemudian Muda tiba dari Kedah. Maka cikgu Shah tidak ada pilihan terpaksa membawa Muda ke rumah guru terlebih dahulu. Guru itu tinggal di Kampung Ijok.

Ali terpaksa ajak Wak Kassim balik ke biliknya di Kepong. Nak sewakan hotel untuk Wak Kassim, Ali tak ada duit. Nak minta dengan Zaki, Ali dah tak tergamak. Dah banyak duit Zaki habis untuknya. Sampai RM3, 000 lebih.

Bayar hutang

Tapi Ali sudah bertekad bila projeknya menjadi, dia akan bayar semula hutang Zaki. Zaki pun bukannya ada duit. Dia banyak berhutang dengan kawan perempuannya, Sarimah yang dikenali melalui Facebook. Mujur Sarimah yang bekerja di UPM itu sanggup pinjamkan duit kepadanya.

Malam itu bila Zaki sampai di bilik, dia tengok Wak Kassim yang tidak dikenalinya ada di bilik. Ali pun perkenalkan Wak Kassim kepada Zaki.

“Kata nak buat pertukaran hari ini,” kata Zaki.

“Cikgu Shah kata esok pasal hari ini ada orang Kedah bawa cupak dari sana,” jelas Ali.

“Tapi cikgu Shah kata kalau cupak Muda jadi malam ini, dia akan beri juga duit kepada kita tapi tak tahulah banyak mana. Dia suruh call dia pagi esok jam 9 pagi ambil duit,” sambung Ali.

“Betul ke Ali? Sebelum dapat duit semua orang boleh janji. Dah dapat duit, nanti tak angkat call dah,” kata Zaki.

“Kita tunggu esok pagi,” jawab Ali.

Pagi esoknya tepat jam 9 pagi, Ali call Cikgu Shah.

“Tak ada rezeki kita Ali. Guru telek habis cupak itu. Ada sumbing sikit. Tak jadi pertukaran. Alam bunian tidak mahu cupak yang ada cacat cela. Rugi kita malam tadi,” kata cikgu Shah.

“Cupak yang saya bawa semalam bila nak buat pertukaran?” tanya Ali.

“Malam ini you ajak Wak Kassim datang ke rumah saya,” kata cikgu Shah.

Malam itu Ali dan Wak Kassim tiba di rumah cikgu Shah tetat jam 8 malam. Jam 8.30 malam mereka naik kereta cikgu Shah ke rumah guru di Ijok.

Jam 9. 15 malam mereka sampai di rumah guru itu. Wak Kassim pun memberi cupaknya kepada guru yang kelihatan masih muda.

“Saya rasa cupak ini pun tak boleh pakai,” kata guru itu.

“Kenapa tuan guru?” soal Ali yang tidak sabar.

“Ada cacat,” kata guru itu. Puas Ali dan Wak Kassim mencari cacat, tak jumpa pula.

“Tak ada rezeki kita Ali,” kata Cikgu Shah yang mengajak Ali dan Wak Kassim balik.

Bila Ali dan Wak Kassim meninggalkan rumah cikgu Shah, Ali bersungut, “Rasa-rasanya guru itu temberang. Dia tak boleh buat pertukaran dia kata Wak punya cupak cacat. Padahal mana ada cacat pun”.

“Wak pun rasa begitu. Guru itu temberang. Macam manalah cikgu Shah cari guru,” kata Wak Kassim yang hampa kerana dia sanggup datang dari Kota Tinggi, Johor untuk mendapatkan RM5 juta.

“Lain kali sebelum Wak datang, kamu kena pastikan guru itu betul atau tidak. Buat penat Wak. Dua malam tinggalkan anak bini,” marah Wak Kassim.

“Manalah saya tahu Wak. Saya percaya kepada cikgu Shah,” Ali mempertahankan dirinya.

Entah apa aku nak beritahu Zaki nanti, kata Ali dalam hati.