Showing posts with label bunian. Show all posts
Showing posts with label bunian. Show all posts

Friday, May 5, 2017

CUPAK UNTUK BUNIAN



“U tahu nombor telefon cikgu Shah?” tanya Ali kepada Zaki.

“Tahu. Nanti I periksa nombornya,” jawab Zaki.

“Projek apa pula dengan Cikgu Shah?” soal Zaki.

“Pertukaran. Dia kata dia ada guru yang terima cupak untuk buat pertukaran,” jelas Ali.

Ali pun terangkan konsep pertukaran cupak itu. Alam bunian sedang mencari cupak lama. Bila cupak itu dihantar ke alam bunian, sebagai ganti orang bunian beri imbuhan sebanyak RM5 juta.

“Banyak tu RM5 juta,” kata Zaki.

“Betul ke Ali?” tambah Zaki.

“Entahlah. I pun tak pasti. I dah suruh orang kampung I carikan cupak lama untuk diberi kepada cikgu Shah,” jelas Ali.

Dua hari kemudiannya Ali menghubungi cikgu Shah yang duduk di Subang Bestari.

“Cupak yang Cikgu nak tu dah ada. Bila kami dapat jumpa Cikgu?” tanya Ali.

“Esok pagi boleh. Datang rumah saya. Zaki tahu rumah saya,” jawab Cikgu Shah.

“Zaki kerja sekarang cikgu. Dia tak dapat datang,” jawab Ali.

“You sampai di simpang Sungai Buluh ke Kota Damansara pagi esok, you call saya,” kata Cikgu Shah.

Pagi esoknya Ali tiba di Subang Bestari dengan Wak Kassim dari Kota Tinggi. Wak Kassim yang membawa cupak lama.

“Ini cupaknya cikgu,” kata Ali sambil menyerahkan cupak kepada cikgu Shah.

“Saya pun menunggu kedatangan cupak lain dari Kedah. Dah lama dia janji dengan saya nak datang pagi ini. Kalau dia sampai nanti, kita kena buat yang dia dululah pasal dah lama dia janji dengan saya,” jelas cikgu Shah.

“Tapi Wak ini datang jauh dari Kota Tinggi,” kata Ali.


“You call saya semalam. Orang Kedah ini dah seminggu buat temu janji dengan guru itu,” kata Cikgu Shah.

Kira-kira 15 minit kemudian Muda tiba dari Kedah. Maka cikgu Shah tidak ada pilihan terpaksa membawa Muda ke rumah guru terlebih dahulu. Guru itu tinggal di Kampung Ijok.

Ali terpaksa ajak Wak Kassim balik ke biliknya di Kepong. Nak sewakan hotel untuk Wak Kassim, Ali tak ada duit. Nak minta dengan Zaki, Ali dah tak tergamak. Dah banyak duit Zaki habis untuknya. Sampai RM3, 000 lebih.

Bayar hutang

Tapi Ali sudah bertekad bila projeknya menjadi, dia akan bayar semula hutang Zaki. Zaki pun bukannya ada duit. Dia banyak berhutang dengan kawan perempuannya, Sarimah yang dikenali melalui Facebook. Mujur Sarimah yang bekerja di UPM itu sanggup pinjamkan duit kepadanya.

Malam itu bila Zaki sampai di bilik, dia tengok Wak Kassim yang tidak dikenalinya ada di bilik. Ali pun perkenalkan Wak Kassim kepada Zaki.

“Kata nak buat pertukaran hari ini,” kata Zaki.

“Cikgu Shah kata esok pasal hari ini ada orang Kedah bawa cupak dari sana,” jelas Ali.

“Tapi cikgu Shah kata kalau cupak Muda jadi malam ini, dia akan beri juga duit kepada kita tapi tak tahulah banyak mana. Dia suruh call dia pagi esok jam 9 pagi ambil duit,” sambung Ali.

“Betul ke Ali? Sebelum dapat duit semua orang boleh janji. Dah dapat duit, nanti tak angkat call dah,” kata Zaki.

“Kita tunggu esok pagi,” jawab Ali.

Pagi esoknya tepat jam 9 pagi, Ali call Cikgu Shah.

“Tak ada rezeki kita Ali. Guru telek habis cupak itu. Ada sumbing sikit. Tak jadi pertukaran. Alam bunian tidak mahu cupak yang ada cacat cela. Rugi kita malam tadi,” kata cikgu Shah.

“Cupak yang saya bawa semalam bila nak buat pertukaran?” tanya Ali.

“Malam ini you ajak Wak Kassim datang ke rumah saya,” kata cikgu Shah.

Malam itu Ali dan Wak Kassim tiba di rumah cikgu Shah tetat jam 8 malam. Jam 8.30 malam mereka naik kereta cikgu Shah ke rumah guru di Ijok.

Jam 9. 15 malam mereka sampai di rumah guru itu. Wak Kassim pun memberi cupaknya kepada guru yang kelihatan masih muda.

“Saya rasa cupak ini pun tak boleh pakai,” kata guru itu.

“Kenapa tuan guru?” soal Ali yang tidak sabar.

“Ada cacat,” kata guru itu. Puas Ali dan Wak Kassim mencari cacat, tak jumpa pula.

“Tak ada rezeki kita Ali,” kata Cikgu Shah yang mengajak Ali dan Wak Kassim balik.

Bila Ali dan Wak Kassim meninggalkan rumah cikgu Shah, Ali bersungut, “Rasa-rasanya guru itu temberang. Dia tak boleh buat pertukaran dia kata Wak punya cupak cacat. Padahal mana ada cacat pun”.

“Wak pun rasa begitu. Guru itu temberang. Macam manalah cikgu Shah cari guru,” kata Wak Kassim yang hampa kerana dia sanggup datang dari Kota Tinggi, Johor untuk mendapatkan RM5 juta.

“Lain kali sebelum Wak datang, kamu kena pastikan guru itu betul atau tidak. Buat penat Wak. Dua malam tinggalkan anak bini,” marah Wak Kassim.

“Manalah saya tahu Wak. Saya percaya kepada cikgu Shah,” Ali mempertahankan dirinya.

Entah apa aku nak beritahu Zaki nanti, kata Ali dalam hati.

Thursday, April 20, 2017

MENGAMBIL EMAS DI KAMPUNG BUNIAN



Pada suatu hari Ali didatangi Idris. Idris adalah kawan Zaki tetapi sejak Idris mengenali Ali, Idris yang turut terlibat dalam urusan jual beli barang mistik terus menghubungi Ali.

“Ada apa Idris?”tanya Ali.

“Nak ikut ke Karak?” tanya Idris pula kepada Ali.

“Ada apa?” soal Ali.

“Nak pi ambil emas di kampung bunian,” kata Idris.

“Bila?” soal Ali lagi.

“Pagi esok. Beritahu Zaki kot-kot dia nak ikut,” kata Idris.

“Zaki sekarang kerja. Susah nak ikut. Tapi kita tak boleh tinggalkan dia. Walaupun dia tak pergi tapi dia yang support duit minyak kereta, makan minum dan tol kita,” kata Ali.

Malam itu Ali menerangkan hajat Idris siang tadi kepada Zaki. Seperti biasa sebagai funder Zaki keluarkan RM100 kepada Ali untuk bayar duit minyak, duit tol dan makan minum mereka esok.

Pagi itu Zaki menaikki kereta Proton Saga Idris warna merah ke Kampung Jambu Rias, Karak. Mereka pergi ke rumah Pak Omar seorang bomoh. Sudah ramai yang berkumpul di rumah Pak Omar.

Tunggu

“Kita sedang menunggu Kiyai Baharuddin dari Puchong,” kata Pak Omar.

“Dia boleh ambil ke emas di kampung bunian?” tanya Idris.

“Dia kata boleh,” ujar Pak Omar.

Ali yang turut berada dalam jemaah seramai 10 orang itu tidak cakap banyak. Maklum sajalah orang lain dia tak kenal. Yang dia kenal Idris sorang. Malah Pak Omar baru dia kenali hari itu.

Setengah jam kemudian Kiyai sampai dari Puchong bersama kawannya. Mereka naik Storm. Kiyai terus bersalam dengan Pak Omar.

“Semua yang ada tak perlu masuk ke sana. Saya pun tak pergi. Hanya Pak Omar dua orang yang pergi. Siapa sorang lagi Pak Omar?” tanya Kiyai.“Idris,” kata Pak Omar.

“Ingat pesanan saya. Saya sudah berhubung dengan orang di sana. Mereka tidak halang kita nak ambil emas. Tapi setakat 10 ketul sahaja. Tak boleh ambil lebih dari itu,” pesan Kiyai kepada Pak Omar dan Idris.

“Baik Kiyai,” kata Pak Omar dan terus bersalam dengan Kiyai. Idris pun turut bersalam dengan Kiyai.

Mereka berlepas ke Janda Baik yang lebih kurang 30 minit dari Karak. Ali menunggu kepulangan Pak Omar dan Idris di rumah Pak Omar bersama Kiyai Baharuddin.

Janda Baik

Sampai di Janda Baik, Pak Omar yang sudah biasa masuk ke kampung bunian itu terus masuk ke alam bunian. Idris kagum kerana betapa indahnya padang yang menghijau yang terdapat di kampung tersebut.

Tiba-tiba datang lelaki naik kuda menuju ke arah mereka. Tetapi lelaki itu tidak menegur pun mereka. Mereka hairan juga. Rupanya Kiyai sudah beritahu hajat kedatangan mereka berdua, jadi lelaki berkuda itu tidak ganggu mereka.

Setengah jam berjalan di kampung yang cantik itu, mereka bertemu dengan timbunan emas. Tetapi oleh kerana pesanan guru mereka dapat ambil setakat 10 ketul sahaja, maka mereka patuhi pesanan itu. Mereka bimbang jika ambil lebih sesuatu yang tidak baik akan berlaku kepada mereka.

Bila tiba di sempadan perkampungan bunian, Pak Omar dan Idris menggalas guni yang mengandungi 10 ketul emas itu. Bayangkanlah harga pasaran emas sekarang bagi satu ketul emas yang beratnya 1 kilogram.

Bila Pak Omar sampai di rumahnya, Kiyai, Ali dan jemaah lain kelihatan tidur di atas rumah kecilnya itu.


“Assalamualaikum,” kata Pak Omar. Mendengar ucapan salam itu, semua yang tertidur pun bangun.

“Macam mana misi berjaya?” soal Kiyai.

“Alhamdulillah berjaya,” jawab Pak Omar.

“Ada gangguan tak?” soal Kiyai lagi.

“Ada lelaki berkuda datang tapi dia tak kacau kami,” cerita Pak Omar.

Cantik pemandangan

“Seronok ke sana Idris?” tanya Kiyai.

“Cantik pemandangannya. Rasa nak pergi lagi. Banyak lagi ketul emas yang boleh kita ambil,” kata Idris.

“Kita dah janji dengan dia orang ambil 10 ketul sahaja jadi kita tidak boleh mungkir janji,” kata Kiyai.

“Nah ini ketulan emas yang kami dapat,” kata Pak Omar. Ahli jemaah terkejut lihat ketulan emas yang Pak Omar serahkan kepada Kiyai.

“Oleh kerana emas ini adalah hak milik kita maka semua ahli jemaah akan dibahagi sama rata hasil jualan emas nanti,” kata Kiyai.

“Kami serah kepada Kiyai untuk uruskan jualannya,” kata Pak Omar.

“Saya akan bawa pulang emas ini ke Puchong. Minggu depan saya datang beri duit kepada kalian semua,” kata Kiyai.

“Baik Kiyai,” jawab serentak ahli jemaah.

Kiyai pun balik ke Puchong, Selangir dengan storm kawannya. Bila Kiyai beredar, Idris tanya Pak Omar, “Kiyai tu boleh percaya ke?”

“Dia orang yang tak tinggal solat lima waktu takkan nak tipu kita,” kata Pak Omar.

Alamat

“Rumah dia di Puchong pun kita tak kenal,” kata Idris.

“Alamatnya ada dengan saya,” kata Pak Omar.

Genap seminggu, semua ahli jemaah berkumpul di rumah Pak Omar. Masing-masing menunggu kedatangan Kiyai untuk membahagikan duit jualan emas itu. Kiyai berjanji mahu sampai jam 10 pagi tetapi sampai ke petang Kiyai tak sampai-sampai.

Bila Pak Omar call, Kiyai asyik jawab on the way, on the way.

“Takkan dari Puchong ke Karak sampai lapan jam perjalanan,” kata Idris.

“Mungkin dia singgah di mana-mana tu,” jawab Pak Omar.

Malam itu Pak Omar call lagi Kiyai, tapi handphonenya menjawap nombor yang anda dail sudah tiada dalam perkhidmatan.

“Kita dah kena kencing ke?” soal Ali.

“Sabar. Esok kita pergi ke rumahnya di Puchong,” kata Pak Omar.

Sampai di Puchong Permai, Pak Omar, Ali dan Idris jumpa cari alamat rumah Kiyai.

Tiada jawapan

“Assalamualaikum,” kata Pak Omar tetapi tiada jawapan.

Jiran di sebelah rumah mendengar ucapan salam itu terus mendapatkan Pak Omar.

“Ada apa Encik? “ tanya Pak Taufik.

“Ini rumah Kiyai Baharuddin ke?” tanya Pak Omar.

“Ya itu memang rumah Kiyai. Kenapa?” tanya Pak Taufik.

“Kami nak jumpanya. Ada hal,” jelas Pak Omar.

“Kiyai dah seminggu pindah. Minggu lepas dia balik dari Karak dia terus pindah,” kata Pak Taufik.

“Pindah? Alamak matilah aku,” kata Idris yang terkejut lalu jatuh pengsan. Idris yang ada penyakit lemah jantung terus meninggal dunia di situ.

“Celaka punya kiyai. Sanggup dia tipu kita?” kata Pak Omar.

“Siapa yang tak gelap mata dengan duit? Makin besar serban, makin kuat godaan iblis. Kalau kita, yang datang ialah iblis pangkat prebet saja tapi bagi kiyai yang datang menggodanya ialah iblis yang berpangkat jenderal,” kata Ali.

Ali menangis dalam hati kerana asyik ada halangan untuk menjadi kaya. Apa alasan yang akan diceritakan kepada Zaki sekembalinya ke rumah nanti.

Wednesday, April 12, 2017

CEK BUNIAN



Pada hari Sabtu lepas, seramai 3,210 orang sudah baca kisah yang saya tulis, Bomoh Ekor. Saya terkejut kerana ramai yang membaca kisah benar itu. Ada yang mengatakan ia adalah cerita karut tetapi ia adalah pengalaman benar Ali dan Zaki.

Minggu ini saya akan tulis pengalaman mereka tentang cek bunian. Biasanya kita tengok cek bank CIMB atau Maybank atau lain-lain bank komersial, tapi kali ini saya mahu ceritakan tentang cek bunian yang dikeluarkan oleh kerajaan bunian. Tentu pelik bagi kita mendengarnya.

Sebenarnya alam bunian memang wujud. Orang bunian dikatakan berasal dari jin Islam.Tetapi manusia tidak dapat melihatnya. Mereka dikatakan tinggal di hutan belantara.

Malah mereka suka kalau anak gadis mereka dinikahkan dengan manusia kerana mereka mahu zuriat daripada manusia.

Ali mengenali Haji Amin yang duduk di Senai, Johor. Haji Amin pernah disekat orang gila pada tahun 70an ketika mahu pergi ke masjid pada hari Jumaat. Orang gila itu berkata, tak payah pergi ke masjid, jom ikut saya.

“Nak ke mana?” tanya Haji Amin.
“Ikut sajalah. Pegang bahu saya dan pejamkan mata,” kata orang gila itu.

Haji Amin pegang bahu orang gila itu dan pejamkan mata. 10 minit kemudian bila Haji Amin celikkan mata, dia terkejut dia berada di Mekah. Rupa-rupanya tadi bukan orang gila yang menyekatnya. Dia adalah wali Allah yang membawa Haji Amin ke Mekah.

“Kita solat di masjidil haram ini. Tunggu saya di pintu ini bila selesai solat nanti,” pesan wali itu.

Selesai solat Haji Amin tunggu wali di pintu yang dijanjikan. Maka mereka pulang semula ke tanah air sekelip mata. Haji Amin tidak cerita kepada kawan-kawannya tentang kejadian aneh ini. Sejak itu dia mempunyai kelebihan berubat orang sakit. Pelbagai penyakit yang boleh diubatinya termasuk penyakit gila.

Sekembalinya dari Mekah, Haji Amin diberi kelebihan untuk berinteraksi dengan orang bunian. Haji Amin sering kali masuk ke perkampungan bunian yang terdapat di sebuah gunung di Pulai.

“Zahid ini ada cek bunian, Zaki,” kata Ali kepada Zaki ketika mereka bertemu dengan Zahid di sebuah restoran mamak di Kepong.



“Berapa nilainya?” soal Zaki yang ingin tahu. Inilah kali pertama Zaki melihat cek bunian yang tiada tulisan. Tetapi bila kertas putih itu disuluh dengan lampu picit terdapat tulisan jawi yang menulis nilai wang itu.

“RM5 juta,” kata Zahid.

“Banyaknya,” kata Zaki terkejut.
“You ada orang yang boleh tukar cek ini?” tanya Zahid kepada Ali.

“Saya kenal Haji Amin di Senai. Dia selalu masuk ke alam bunian. Mungkin dia boleh tukarkan cek ini,” kata Ali.

“Bagus tu. Bila kita nak ke Senai?” tanya Zahid.

“Anytime boleh pergi. Tapi kami tiada duit,” kata Ali.

“Kita collect duit dari ahli jemaahlah,” kata Zahid.
“Berapa orang kita semua?” tanya Zaki.
“Saya ada lima orang. You punya berapa orang?” tanya Zahid.
“I berempat dengan Zaki,Hisham dan Cikgu Lazim,” jawab Ali.

Maka mereka pakat kumpul duit RM50 seorang untuk beli minyak kereta. Mereka sembilan orang pergi dengan dua kereta ke sana.

Sampai di rumah Haji Amin, Ali sampaikan hajat Zaki untuk menukar cek bunian.

“Mana kamu dapat cek ini?” tanya Haji Amin.
“Cek ini diberi kepada orang tua saya sebagai pemegang amanah. Orang tua sudah uzur, Umur hampir 90 tahun. Dia lumpuh di rumah. Jadi dia suruh saya tukarkan cek ini,” kata Zahid.

Haji Amin setuju untuk bawa cek ke perkampungan bunian. Zahid dan Ali ikut sama, Manakala Zaki dan lain lain menunggu mereka di rumah Haji Amin.

Pagi itu Haji Amin bertiga sudah pergi ke sebuah gunung di Pulai. Mereka masuk ke perkampungan alam bunian. Dari kampung itu ketua kampung Syed Alwi yang mengenali Haji Amin membawa mereka ke bandar bunian pula.

Zahid kagum dengan keindahan bandar bunian itu. Keadaan sama dengan bandar kita yang penuh dengan pembangunan. Malah kereta mewah seperti Mercedes Benz pun ada di bandar tersebut. Banyak bank yang terdapat di bandar itu. Maka Syed Alwi bawa Haji Amin, Zahid dan Ali menunggu di bilik pengurus bank di sebuah bank komersial di bandar bunian itu.

Cek sebanyak RM5 juta sudah ditunaikan. Zahid lega kerana sudah lama dia berhasrat menukarkan cek itu akhirnya menjadi kenyataan.

Sudah sampai mereka bertiga berpisah dengan Syed Alwi di sempadan kampung. Entah macam mana timbul perasaan tamak di hati Zahid. Daripada aku bahagi RM5 juta kepada 10 orang termasuk Haji Amin, lebih baik aku sapu sorang.

Sampai di sebuah stesen minyak di Senai, Zahid terus tinggalkan Haji Amin dengan Ali di situ. Zahid terus memandu keretanya ke Kuala Lumpur dengan wang tunai RM5 juta.

Haji Amin terpinga-pinga dengan ketamakan Zahid. Ali terlopong kerana dia sudah kehilangan RM500,000. Sudah tentu Zaki dan kawan-kawan lain yang menunggu di rumah Haji Amin akan terkejut juga mendengar berita ini.

“Orang tamak selalunya rugi. Zahid takkan selamat di dunia. Percayalah cakap saya Ali,” kata Haji Amin.

Mulut orang yang tidak tinggal solat tahajud memang masin. Dua jam kemudian mereka mendapat berita Zahid mati kemalangan berhampiran dengan persimpangan Tangkak. Kereta Proton Wiranya terbabas dan terbakar serta wang RM5 juta hangus dalam kemalangan tersebut.