Friday, May 5, 2017

CUPAK UNTUK BUNIAN



“U tahu nombor telefon cikgu Shah?” tanya Ali kepada Zaki.

“Tahu. Nanti I periksa nombornya,” jawab Zaki.

“Projek apa pula dengan Cikgu Shah?” soal Zaki.

“Pertukaran. Dia kata dia ada guru yang terima cupak untuk buat pertukaran,” jelas Ali.

Ali pun terangkan konsep pertukaran cupak itu. Alam bunian sedang mencari cupak lama. Bila cupak itu dihantar ke alam bunian, sebagai ganti orang bunian beri imbuhan sebanyak RM5 juta.

“Banyak tu RM5 juta,” kata Zaki.

“Betul ke Ali?” tambah Zaki.

“Entahlah. I pun tak pasti. I dah suruh orang kampung I carikan cupak lama untuk diberi kepada cikgu Shah,” jelas Ali.

Dua hari kemudiannya Ali menghubungi cikgu Shah yang duduk di Subang Bestari.

“Cupak yang Cikgu nak tu dah ada. Bila kami dapat jumpa Cikgu?” tanya Ali.

“Esok pagi boleh. Datang rumah saya. Zaki tahu rumah saya,” jawab Cikgu Shah.

“Zaki kerja sekarang cikgu. Dia tak dapat datang,” jawab Ali.

“You sampai di simpang Sungai Buluh ke Kota Damansara pagi esok, you call saya,” kata Cikgu Shah.

Pagi esoknya Ali tiba di Subang Bestari dengan Wak Kassim dari Kota Tinggi. Wak Kassim yang membawa cupak lama.

“Ini cupaknya cikgu,” kata Ali sambil menyerahkan cupak kepada cikgu Shah.

“Saya pun menunggu kedatangan cupak lain dari Kedah. Dah lama dia janji dengan saya nak datang pagi ini. Kalau dia sampai nanti, kita kena buat yang dia dululah pasal dah lama dia janji dengan saya,” jelas cikgu Shah.

“Tapi Wak ini datang jauh dari Kota Tinggi,” kata Ali.


“You call saya semalam. Orang Kedah ini dah seminggu buat temu janji dengan guru itu,” kata Cikgu Shah.

Kira-kira 15 minit kemudian Muda tiba dari Kedah. Maka cikgu Shah tidak ada pilihan terpaksa membawa Muda ke rumah guru terlebih dahulu. Guru itu tinggal di Kampung Ijok.

Ali terpaksa ajak Wak Kassim balik ke biliknya di Kepong. Nak sewakan hotel untuk Wak Kassim, Ali tak ada duit. Nak minta dengan Zaki, Ali dah tak tergamak. Dah banyak duit Zaki habis untuknya. Sampai RM3, 000 lebih.

Bayar hutang

Tapi Ali sudah bertekad bila projeknya menjadi, dia akan bayar semula hutang Zaki. Zaki pun bukannya ada duit. Dia banyak berhutang dengan kawan perempuannya, Sarimah yang dikenali melalui Facebook. Mujur Sarimah yang bekerja di UPM itu sanggup pinjamkan duit kepadanya.

Malam itu bila Zaki sampai di bilik, dia tengok Wak Kassim yang tidak dikenalinya ada di bilik. Ali pun perkenalkan Wak Kassim kepada Zaki.

“Kata nak buat pertukaran hari ini,” kata Zaki.

“Cikgu Shah kata esok pasal hari ini ada orang Kedah bawa cupak dari sana,” jelas Ali.

“Tapi cikgu Shah kata kalau cupak Muda jadi malam ini, dia akan beri juga duit kepada kita tapi tak tahulah banyak mana. Dia suruh call dia pagi esok jam 9 pagi ambil duit,” sambung Ali.

“Betul ke Ali? Sebelum dapat duit semua orang boleh janji. Dah dapat duit, nanti tak angkat call dah,” kata Zaki.

“Kita tunggu esok pagi,” jawab Ali.

Pagi esoknya tepat jam 9 pagi, Ali call Cikgu Shah.

“Tak ada rezeki kita Ali. Guru telek habis cupak itu. Ada sumbing sikit. Tak jadi pertukaran. Alam bunian tidak mahu cupak yang ada cacat cela. Rugi kita malam tadi,” kata cikgu Shah.

“Cupak yang saya bawa semalam bila nak buat pertukaran?” tanya Ali.

“Malam ini you ajak Wak Kassim datang ke rumah saya,” kata cikgu Shah.

Malam itu Ali dan Wak Kassim tiba di rumah cikgu Shah tetat jam 8 malam. Jam 8.30 malam mereka naik kereta cikgu Shah ke rumah guru di Ijok.

Jam 9. 15 malam mereka sampai di rumah guru itu. Wak Kassim pun memberi cupaknya kepada guru yang kelihatan masih muda.

“Saya rasa cupak ini pun tak boleh pakai,” kata guru itu.

“Kenapa tuan guru?” soal Ali yang tidak sabar.

“Ada cacat,” kata guru itu. Puas Ali dan Wak Kassim mencari cacat, tak jumpa pula.

“Tak ada rezeki kita Ali,” kata Cikgu Shah yang mengajak Ali dan Wak Kassim balik.

Bila Ali dan Wak Kassim meninggalkan rumah cikgu Shah, Ali bersungut, “Rasa-rasanya guru itu temberang. Dia tak boleh buat pertukaran dia kata Wak punya cupak cacat. Padahal mana ada cacat pun”.

“Wak pun rasa begitu. Guru itu temberang. Macam manalah cikgu Shah cari guru,” kata Wak Kassim yang hampa kerana dia sanggup datang dari Kota Tinggi, Johor untuk mendapatkan RM5 juta.

“Lain kali sebelum Wak datang, kamu kena pastikan guru itu betul atau tidak. Buat penat Wak. Dua malam tinggalkan anak bini,” marah Wak Kassim.

“Manalah saya tahu Wak. Saya percaya kepada cikgu Shah,” Ali mempertahankan dirinya.

Entah apa aku nak beritahu Zaki nanti, kata Ali dalam hati.

No comments:

Post a Comment