Thursday, May 4, 2017

BESI KUNING: TEMBERANG WAK ZALI



“Esok jadi ke kita nak pergi Kluang?” tanya Datin Noriah kepada Zaki melalui relefon bimbit pada jam 10 malam itu.

“Jadi. Jam 9 pagi saya sampai di rumah Datin,” jawab Zaki.


Esoknya tepat jam 9 pagi Zaki sudah sampai di rumah Datin Noriah dengan kereta Proton Wira.

“Tu saya suka kamu Zaki. Kalau janji jam 9 pagi, tepat jam 9 pagi, awak sampai,” puji Datin Noriah sewaktu masuk ke kereta itu.

“Saya dah biasa macam tu Datin dari muda lagi,” jawab Zaki tersipu-sipu malu.

“Kereta siapa ni Zaki?” soal Datin Noriah seorang janda berumur 40an.

Suaminya seorang Datuk bekas pegawai kanan kerajaan telah menikah dengan pembantu rumah Indonesia secara senyap-senyap.

Apabila Datin Nofiah dapat tahu mereka sudah nikah, maka Datin Noriah minta cerai daripada suaminya. Sudah lima tahun Datin Noriah menjanda. Sejak itu dia tinggal dengan anak-anaknya yang sudah besar.

“Saya sewa Datin dengan boss saya. RM50 satu hari,” jelas Zaki sambil memandu Wira itu ke Kluang. Tiga jam kemudian mereka tiba di pekan Kluang.

“Wak Zali tunggu di mana?” tanya Datin Noriah dalam telefon bimbit.

“Di bulatan yang ada stesen minyak BHP ini,” kata Wak Zali.

Mengekori motosikal

Mereka tiba di bulatan itu dan terus mengekori motosikal Wak Zali ke rumahnya di Taman Sri Lambak.

“Masuk Datin,”pelawa Wak Zali sambil memperkenalkan isterinya Minah.

“Ini Zaki kawan saya,” kata Datin kepada Wak Zali yang berusia akhir 30an.

Sewaktu Datin Noriah dan Zaki tiba di rumah Wak Zali, ada orang nak berubat. Maka Wak Zali selesaikan hajat orang Mersing itu terlebih dahulu.

Setengah jam kemudian bila orang Mersing itu balik, tibalah pula giliran Datin Noriah dan Zaki menemui Wak Zali.

“Apa hajat Datin?” soal Wak Zali.

“Macam saya cakap dalam telefon semalam. Kami nak besi kuning untuk cari rezeki,” jelas Datin Noriah.

“Maknanya kamu berdua yang mahu?” tanya Wak Zali.


“Ya Wak,” sampuk Zaki.

“Tunggu 1 jam lagi, Wak nak rehat kejap. Nak mohon benda baru kena pulihkan tenaga Wak terlebih dahulu,” kata Wak Zali.

Berbual kosong

Sementara menunggu masa satu jam itu, mereka berbual kosong. Zaki banyak juga bertanya kepada Wak Zali kerana Zaki rasa Wak Zali ini bomoh yang hebat juga.

Tepat satu jam, maka Wak Zali pun menurun sambil membaca mentera yang tidak difahami Datin Noriah dan Zaki.

“Kamu mahu apa?” tanya Wak Zali yang sedang dirasuk penunggu Gunung Lambak. Suara Wak Zali sudah berubah.

“Kami nak besi kuning untuk cari rezeki,” jawab Zaki. Datin Noriah yang ketakutan duduk jauh dari Zaki, di sebelah bini Wak Zali.

“Kamu ambillah besi kuning ini. Embah tahu kamu berdua orang jujur. Bawalah pulang besi kuning. Mudah-mudahan kamu dapat rezeki,” kata Wak Zali yang sedang menurun sambil mengeluarkan besi kuning dari bawah kain kuning di hadapannya.

“Terima kasih Wak,” kata Zaki.

“Aku bukan Wak Zali. Aku Embah penunggu Gunung Lambak,” kata Wak Zali.

“Maafkan saya Embah. Kami pulang dahulu,” kata Zaki.

“Baiklah,” jawab Wak Zali yang akhirnya sedar dari rasukan.

Mereka pun meninggalkan rumah Wak Zali ke Kuala Lumpur. Tepat jam 9 malam mereka tiba di rumah Datin Noriah.

“Nanti engkau suruh Ustaz Mukhlis tengok besi kuning ini kot-kot dapat tarik duit,” kata Datin Noriah ketika keluar dari kereta.

“Baiklah Datin,” kata Zaki.

Dalam hati Zaki berkata ada juga Datin pokai. Semua perjalanan dari Kuala Lumpur-Kuang-Kuala Lumpur, sewa kereta, tol, minyak, makan minum sepanjang perjalanan ditanggung oleh Zaki.

“Engkau pakai duit engkau dululah,” kata Datin Noriah pagi tadi. Zaki kata hampir RM300 juga terbang kerana gara-gara Datin Noriah ajak pergi Kluang.

Tiga hari selepas balik dari Kluang, Zaki pergi ke rumah Ustaz Mukhlis untuk pastikan besi kuning itu.

`Butir kacang’

“Ini bukan besi kuning. Ini macam butir kacang saja,” kata Ustaz Mukhlis.

“Tapi Wak Zali kata besi kuning,” kata Zaki. Datin Noriah tidak datang. Dia suruh Zaki yang uruskan semuanya dengan Ustaz Mukhlis.

“Bila dapat duit tarik itu, jangan lupa separuh bahagian itu aku punya,” pesan Datin Noriah kepada Zaki semalam.

“Apa kelebihannya? Kalau ia kebal umum bolehlah buat tarik duit,” kata Ustza Mukhlis.

“Entahlah Ustaz. Wak Zali tak uji pun besi kuning itu,” kata Zaki.

“Kamu ni buang masa pergi Kluang. Kalau ia kebal umum dapatlah ia cari rezeki. Kamu beli ke?” tanya Ustaz Mukhlis.

“Wak Zali bagi percuma tapi kos perjalanan ke sana hampir RM300 Ustaz,” kata Zaki.

“Lain kali sebelum pergi pastikan benda itu besi kuning. Ini macam kacang kuning saja,” kata Ustaz Mukhlis.

“Saya dah beritahu Datin Noriah tak payah pergi. Nanti sia sia sahaja,” jelas Zaki.

“Duit kamu yang habis. Datin Noriah tak keluar satu sen pun,”kata Ustaz Mukhlis lagi.

“Kamu berhentilah buat kerja mengarut ini. Tak ada barang kebal yang kamu cari itu,” Ustaz Mukhlis teruskan leternya.

“Kamu tahu Zaki? Kalau besi kuning yang sebenar, kereta Wira yang kamu naik tu tak boleh bergerak kerana kehebatannya. Dalam rumah lampu boleh padam kalau barang ini betul-betul besi kuning,” jelas Ustaz Mukhlis lagi.

Zaki senyap sahaja mendengar lekcer Ustaz Mukhlis. Aku yang rugi, Datin tak rugi apa-apa, katanya dalam hati.

No comments:

Post a Comment