KUALA NERUS, 12 Mei (Bernama) -- Kejohanan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (TIPCO) 2017 yang berlangsung di Tapak Luncur Udara Bukit Bubus, Kota Putera di Besut mulai hari ini menjadi satu lagi platform baharu mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan terkenal dunia.
Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak berkata seramai 90 peluncur udara dari 24 negara mula menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung sehingga 16 Mei ini.
"Kebanyakan mereka ini mempunyai puluhan ribu peminat tegar yang akan mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial seperti Instagram dan Facebook.
"Apabila kesemua peluncur udara ini memuat naik gambar dan video mereka di Besut ke laman sosial, peminat mereka di seluruh dunia akan dapat melihat keindahan alam semulajadi Terengganu dan akan mula mengenali Terengganu sebagai lokasi pelancongan yang cantik untuk mereka lawati," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan 90 peserta itu dalam majlis makan malam di sini malam tadi. Turut hadir Pengurus Acara TIPCO 2017, Anuar Ngah.
Mengulas lanjut, Tun Ahmad Faisal berkata selain Bukit Bubus di Besut, jabatan itu dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu juga akan membangunkan satu lagi lokasi menarik untuk penganjuran sukan luncur udara di Bukit Maras dekat Batu Rakit, di sini.
"Keistimewaan Terengganu ialah kedudukan geografinya yang mempunyai banyak bukit berhampiran pantai dan ini sangat digemari oleh peluncur udara kerana pemandangannya yang sangat cantik.
"Buat masa ini, Bukit Bubus dan Bukit Maras akan diberi keutamaan untuk penganjuran kejohanan besar seperti ini dan kita akan kenal pasti lebih banyak lokasi sesuai dan menarik pada masa akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment