Tuesday, May 9, 2017

TERTIPU BATU DELIMA BOMOH



“Assalamualaikum Zaki. You nak pergi rumah Tok Ayah malam ini?” tanya Aziz kawan baru Zaki melalui telefon tangan. Aziz dikenalinya bulan lepas setelah diperkenalkan oleh Eric, kawan Ibannya yang duduk di Taiping.


“Ada apa?” soal Zaki.

“Kami nak mohon barang dengan Tok Ayah,” jelas Aziz.

“Barang apa?” tanya Zaki.

“Boleh mohon macam-macam. Delima merah kebal umum, besi kuning dan sebagainya,” kata Aziz lagi.

“Boleh juga I ikut awak,” kata Zaki.

“Tapi I tak ada kereta,” kata Aziz.

“Nanti saya datang ambil awak. Awak duduk di mana?” soal Zaki.

“Dekat masjid Kampung Pandan Luar sebelah Desa Pandan,” jawab Aziz.

“Aku tahu tempatnya. Jam 9 malam aku sampai di situ,” kata Zaki.

Naik teksi

Tepat jam 9 malam, Zaki sampai di masjid yang dikatakan oleh Aziz dengan sebuah teksi. Aziz dah menunggu dengan kawannya Tengku Mamat.

“Awak datang dengan teksi? Banyak duit kamu,” kata Aziz bila mereka masuk ke dalam teksi.

“Kereta aku rosak. Tu aku ambil teksi ini dari Kepong ke sini,” kata Zaki.

“Kita nak ke mana?” tanya pemandu teksi.

“Ke Selayang Baru,” jawab Aziz. Teksi itu pun terus meluncur laju ke Selayang Baru.

“Ini Tengku Mamat yang kenal rumah Tok Ayah. Dulu Tengku Mamat pernah mohon barang dengan Tok Ayah,” kata Aziz memperkenalkan Tengku Mamat kepada Zaki.

“Barang apa?”soal Zaki.

“Batu untuk saya pakai saja,” jelas Tengku Mamat.

Bomoh terkemuka

Kira-kira 45 minit kemudian mereka tiba di rumah Tok Ayah seorang bomoh terkemuka di Selayang Baru. Umur Tok Ayah sudah 70 tahun tapi nampak baru 50an.

“Kami nak mohon barang,” kata Tengku Mamat kepada Tok Ayah.

“Barang apa?” soal Tok Ayah.

“Saya nak batu untuk pakai di jari,” jelas Aziz.

“Kamu?” soal Tok Ayah kepada Zaki.

“Saya mahu delima merah kebal umum untuk cari rezeki,” kata Zaki.


“Malam Jumaat ini kamu datang Zaki. Yang Aziz dah ada malam ini pasal Tengku Mamat dah lama beritahu,” kata Tok Ayah.

Oleh kerana ramai orang nak jumpa Tok Ayah, mereka terus balik. Oleh kerana sukar dapatkan teksi pada jam 10.30 malam, maka Zaki panggil kawannya Firdaus, pemandu teksi untuk hantar mereka balik ke Kampung Pandan.

“Assalamualaikum. Firdaus ada di mana?” soal Zaki dalam handphone.

“Mualaikumusalam pak cik. Saya ada di Sri Gombak,” jawab Firdaus yang buat kerja sambilan memandu teksi.

“Pak cik ada di Selayang Baru. Boleh Firdaus ambil pak cik nak hantar kawan pak cik ke Kampung Pandan?” soal Zaki.

“Tak ada masalah, 15 minit lagi saya sampai,” jawab Firdaus.

Selayang ke Kampung Pandan

Kira-kira 15 minit kemudian Firdaus tiba di Selayang Baru. Terus Firdaus hantar Aziz dan Tengku Mamat ke Kampung Pandan. Dari Kampung Pandan Firdaus hantar Zaki ke Kepong pula.

Malam itu hampir RM28 meter teksi Firdaus dari Selayang Baru-Kampung Pandan-Kepong. Zaki bayar tambang teksi kerana Aziz dan Tengku Mamat kata mereka tiada duit.

Malam Jumaat yang dijanjikan Zaki tiba di rumah Tok Ayah seorang pada jam 8.30 malam. Dia kata takkan nak pergi ambil Aziz dan Tengku Mamat lagi. Manalah ada duit nak bayar teksi sepanjang masa.

“Sebelum Tok Ayah serah delima merah ini kepada kamu Zaki, Tok Ayah nak uji dulu,” kata Tok Ayah. Kebetulan di hadapan Tok Ayah ada empat orang lelaki, Tok Ayah suruh Zaki pegang tangan si A. Manakala si A pegang tangan si B dan si B pegang tangan si C.

Tok Ayah pun ambil pisau cukur Gillette dan terus potong rambut Zaki. Rambut Zaki tak putus. Tok Ayah turut potong rambut si A, B dan C tak putus juga. Ini menunjukkan betapa kebalnya delima merah itu.

“Nama khadam yang jaga delima merah ini ialah Puteri Bongsu. Jadi kamu Zaki kena sentiasa baca al Fatihah setiap kali selepas solat bila buka kain kuning ini,” kata Tok Ayah.

“Terima kasih Tok Ayah,” kata Zaki sambil menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,500 kepada Tok Ayah.

Barang mistik

Di dinding di rumah Tok Ayah tercatat harga barang-barang yang dimohon seperti delima merah, besi kuning, air mani gajah dan macam-macam lagi barang-barang mistik.

Setiap malam Zaki selepas solat maghrib dan isyak beliau akan buka kain kuning itu sambil berzikir seperti yang diarah oleh Tok Ayah. Di siang hari Zaki tak sempat nak zikirkan untuk delima merah itu kerana dia tinggalkan delima merah itu di biliknya.

Genap sebulan Zaki menemui Ustaz Mukhlis. Dia tahu Ustaz Mukhlis pandai tarik duit dengan menggunakan barang kebal umum.

“Ustaz, ni delima merah saya untuk cari rezeki. Ustaz tengoklah kot kot dapat buat tarik duit,” kata Zaki.

“Saya rasa delima ini tidak ada apa-apa,” kata Ustaz Mukhlis sambil memegang batu kecil itu.

“Mana kamu dapat?” soal Ustaz Mukhlis.

“Beli di Selayang Baru,” kata Zaki.

“Berapa harga kamu beli?” soal Ustaz Mukhlis lagi.

“RM2,500 Ustaz,” jawab Zaki jujur.

`Kena tipu’

“Kamu dah kena tipu. Ustaz tengok batu ini tak ada apa-apa,” kata Ustaz Mukhlis.

“Kalau tak percaya, kamu pegang batu ini,biar Ustaz potong rambut kamu,” sambung Ustaz Mukhlis lagi.

Ustaz Mukhlis pun ambil razor blade dan potong rambut zaki dan terus ia putus.

“Kamu puas hati?” soal Ustaz Mukhlis.

“Tapi Tok Ayah kata khadamnya bernama Puteri Bongsu,” jelas Zaki.

“Khadamnya ada di rumah dia. Tak ikut kamu balik,” kata Ustaz Mukhlis.

Zaki kesal membeli delima merah berharga RM2,500 itu kerana niatnya mencari rezeki tidak menjadi kenyataan.

“Ingatkan dapat tarik duit malam ini sampai RM1 juta Ustaz. Rupa-rupanya terbang RM2,500”, kaata Zaki.

“Di Kuala Lumpur ini macam macam ada penipu,” kata Ustaz Mukhlis.

No comments:

Post a Comment