Tuesday, July 31, 2018

MAHATHIR KENA HIDUPKAN SEMULA ISA GANTI SOSMA

PUTRAJAYA, 30 Julai (Bernama) -- Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran hari ini memohon maaf atas ucapan beliau di Nilai minggu lepas yang telah mencetuskan kontroversi di media.

Beliau berkata ucapan beliau itu telah disalah fahami seolah-olah beliau merujuk perkataan 'pendatang' kepada mereka yang permohonan mereka dipulangkan semula kepada pemohon itu.

"Saya dengan ini memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan perkataan yang telah saya ucapkan itu dan saya menarik balik perkataan yang menyingung perasaan itu.

"Perkataan boleh mempunyai makna yang berbeza-beza jika diucapkan dalam bahasa yang berbeza-beza pula, misalnya apabila saya mengucapkannya dalam bahasa Tamil," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan beliau bukan seseorang yang suka mencetuskan kontroversi sebelum ini, baik dalam isu perkauman mahupun isu agama dan beliau berikrar akan mempertahankan perlembagaan negara.

Ulasan saya, saya sokong kerajaan PH mahu hapuskan SOSMA. Oleh itu saya cadangkan supaya ISA dihidupkan semula untuk menggantikan SOSMA. Sejak PH memerintah makin ramai rakyat Malaysia membangkitkan isu perkauman dan agama seperti M. Kula Segaran.


Oleh itu Tun Dr Mahathir Mohamad perlu wujudkan semula ISA untuk menahan pemimpin yang rasis seperti M Kula Segaran.

Sunday, July 29, 2018

MAT SABU YAKIN AHLI PAS UNDI CALON PH

KLANG, 28 Julai (Bernama) -- Anggota Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yakin anggota PAS akan mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis 4 Ogos depan.

Katanya, beliau yakin PH yang menampilkan calon dari PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bakal mendapat kemenangan besar di PRK berkenaan walaupun beberapa orang pemimpin PAS ada mengeluarkan kenyataan menggalakkan anggotanya mengundi memilih calon BN, Datuk Lokman Noor Adam.

"Kita punya peluang besar, saya yakin anggota PAS akan mengundi memilih PH kali ini, kerana mereka sedar bahawa kerajaan negeri dan pusat ditadbir Pakatan Harapan, jadi kita akan menang besar," kata Presiden Parti Amanah Negara itu selepas menyertai Mohd Zawawi di satu program bersama pengundi di sini hari ini.

Sungai Kandis, Sentosa dan Kota Kemuning merupakan tiga kawasan DUN di dalam kawasan Parlimen Kota Raja.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Friday, July 27, 2018

PRK SUNGAI KANDIS TITIK PERMULAAN KERJASAMA UMNO DAN PAS

KLANG, 27 Julai (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini, diharap dapat menjadi titik permulaan kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Calon BN bagi PRK berkenaan, Datuk Lokman Noor Adam berkata kerjasama politik itu penting kerana kedua-dua parti itu telah diberi 'teguran' oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, yang menyaksikan BN kehilangan kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Malah, katanya, beliau secara peribadi berharap UMNO dan PAS boleh bergabung sama ada dalam satu gabungan atau satu parti suatu hari nanti.

"Jika perlu satu hari nanti, UMNO dan PAS wujudkan satu parti politik dan mereka duduk di dalam bersama-sama...jika tidak boleh, maka kita perlu duduk dalam entiti masing-masing tetapi kita perlu duduk di dalam satu gabungan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan walkabout bersama pengundi di sini hari ini.

Lokman berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam, yang menggambarkan PRK DUN Sungai Kandis sebagai unik kerana menjadi 'ujian' awal kerjasama politik antara UMNO dan PAS.

Menurut anggota Majlis Tertinggi UMNO itu lagi, saudara Islam sepatutnya bermuafakat dalam apa jua perkara terutama yang memberi kemaslahatan kepada umat itu.

Dalam PRK itu, Lokman berdepan calon PRK, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas K. Murthy.

PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14, berikutan kematian penyandang kerusi itu Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Thursday, July 26, 2018

PENGUNDI PAS UNDI ZAWAWI WALAUPUN ZAWAWI TAK SOKONG RUU355?

SHAH ALAM, 26 Julai (Bernama) -- Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni tetap yakin pengundi PAS akan mengundinya walaupun kepimpinan pusat parti Islam itu mendorong anggotanya memilih Barisan Nasional (BN) pada 4 Ogos ini.

Mohd Zawawi berkata mana-mana pihak boleh menyuarakan pandangan masing-masing namun hasil pertemuan dengan anggota akar umbi PAS dalam jelajah kempen PRK berkenaan menunjukkan mereka sebenarnya menyokong beliau dari belakang.

"Saya yakin ramai penyokong dan pengundi PAS akan undi saya nanti kerana secara peribadi memang mereka nyatakan sokongan kepada saya.

"Rakyat buat perbandingan mereka sendiri mengenai calon yang ditawarkan...DUN ini majoriti Melayu dan mereka mahu orang tempatan, "​​​​ katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti Islam itu mendorong anggotanya mengundi BN pada PRK DUN Sungai Kandis.

Wednesday, July 25, 2018

KOMPLEKS SUKAN MESRA WANITA SIAP TIGA TAHUN LAGI

PUCHONG, 25 Julai (Bernama) -- Negara bakal mempunyai sebuah kompleks sukan mesra wanita, yang pertama, dengan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk taman penjagaan kanak-kanak, spa dan salon kecantikan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata kompleks mesra wanita itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Kita berpandangan terdapat kepentingan untuk kita membina kemudahan ini kerana wanita negara ini memerlukan tempat riadah yang membolehkan mereka berasa bebas dan tidak terkongkong dengan pelbagai kekangan," katanya ketika meninjau satu daripada tapak cadangan kompleks itu di sini, pagi ini.

Tapak berkeluasan 6.07 hektar itu antara empat lokasi (semuanya di Selangor) yang dicadangkan bagi membina kemudahan itu.

Zuraida berkata selain mempunyai ciri kemudahan seperti kolam renang dan gelanggang sukan khusus untuk wanita, kompleks ini juga mampu menganjurkan sukan wanita bertaraf antarabangsa.....

Tuesday, July 24, 2018

KELANTAN KENA TEST PM SAMA ADA BELIAU AKAN BENARKAN RUU355 DIBAHASKAN DI PARLIMEN



KOTA BHARU, 24 Julai (Bernama) -- Kelantan perlu mengadakan rundingan semula dengan Kerajaan Persekutuan bagi membolehkan Rang Undang-undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355, kembali dibahaskan di Parlimen.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) dalam soalan tambahannya berkata Kerajaan Negeri pimpinan PAS berjaya meyakinkan Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu untuk membawa perkara berkenaan menerusi rang undang-undang persendirian yang dibawa oleh anggota Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Tak boleh ke kali ini, kita 'test' perdana menteri ketujuh (Tun Dr Mahathir Mohamad), kita buat apa yang kita boleh buat dan kita tengok apa yang mereka (Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan) boleh lakukan.

"Kita yakin rakyat bersama-sama kita untuk melihat sesuatu yang baik mengenai Islam," katanya pada persidangan DUN Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Negeri Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata Kerajaan Negeri akan mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung perkara tersebut walaupun terdapat desas-desus yang mendakwa RUU355 tidak akan dibahaskan di Parlimen pada sesi kali ini.

"Kita akui dulu masa kita lulus Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, (Tun Mahathir ketika itu) perdana menteri keempat beri amaran namun sekarang bila beliau jadi perdana menteri ketujuh saya lihat sikap beliau berubah.

"Yang nafi royalti minyak (kepada Kelantan) perdana menteri keempat. Bila beliau jadi perdana menteri ketujuh dia nyatakan kesanggupan untuk bayar, dan mengenai enakmen ini (RUU355) kita harap sikap beliau berubah ke arah yang lebih baik. Itu harapan kita," katanya.

Terdahulu, Dr Md Yusnan Yusof (PAS-Melor) mahu tahu apakah langkah-langkah yang telah disusun untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) akan dapat dilaksanakan pada sesi ini selepas ia diluluskan dalam persidangan DUN Kelantan sesi lepas.

-- BERNAMA


Monday, July 23, 2018

PM TIDAK PUAS HATI DENGAN KEHADIRAN MENTERI DI SIDANG PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau kini bekerja siang dan malam dan akan 'bekerja 36 jam sehari' jika boleh.

"Saya sudah pun memanjangkan masa saya selama yang boleh. Saya bekerja 24 jam sehari, jika anda boleh carikan saya lebih banyak masa dalam sehari, katakanlah 36 jam, saya akan bekerja selama 36 jam juga," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Perdana menteri mengulas tentang dakwaan jumlah kehadiran menteri dan timbalan menteri yang rendah dalam persidangan Dewan Rakyat, dan sama ada beliau bercadang untuk mewujudkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi mereka.

Dr Mahathir berkata menteri dan timbalan menteri perlu menghadiri persidangan parlimen seberapa kerap yang boleh.

Bagaimanapun, tegas beliau, mereka juga mempunyai tanggungjawab lain untuk dilaksanakan.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan jumlah kehadiran di pihak kerajaan dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung, perdana menteri berkata: "Saya tidak pernah berpuas hati dengan apa pun tetapi saya fikir mereka perlu menambah baik dan perlu ada alasan yang sewajarnya untuk tidak hadir."

Rabu lepas, anggota parlimen daripada pembangkang mengkritik beberapa menteri dan timbalan menteri yang tidak hadir dalam sesi tengah hari persidangan Dewan Rakyat, oleh kerana Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan mereka di Putrajaya.

Kerajaan kemudian mengubah mesyuarat mingguannya kepada Jumaat apabila Dewan Rakyat bersidang.

Sunday, July 22, 2018

WAN AZIZAH KEKAL TPM JIKA ANWAR MENANG PRESIDEN PKR

KOTA KINABALU, 22 Julai (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri jika suaminya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menang jawatan Presiden pada pemilihan parti itu akan datang.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata ketika ini Anwar tidak mempunyai locus standi menjawat jawatan dalam kerajaan, manakala Wan Azizah, yang juga anggota Parlimen Pandan, telah dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

"Kalau Datuk Seri Anwar kemudian nanti menjadi presiden PKR, beliau akan kekal jadi presiden.

"(Untuk menjadi timbalan perdana menteri) Datuk Seri Anwar perlu bertanding menjadi anggota parlimen. Kita belum sampai tahap itu lagi," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Presiden PKR bersama anggota PKR Sabah di sini hari ini.

Saifuddin, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, ditanya pemberita mengenai kedudukan Wan Azizah sebagai timbalan perdana menteri jika Anwar dipilih menjadi Presiden PKR.

Saturday, July 21, 2018

DAPATKAH LOKMAN KURANGKAN MAJORITI PKR?



SHAH ALAM: Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon PKR, BN dan Bebas.

Ia melibatkan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.

Pegawai Pengurus PRK DUN Sungai Kandis, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad membuat pengumuman itu pada pukul 10.25 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di Shah Alam hari ini.

PRK DUN Sungai Kandis diadakan berikutan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Mat Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ketiga berturut-turut dengan memperoleh 23,998 undi menentang calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

Mat Shuhaimi menang dengan majoriti 12,480 undi.

Ulasan saya, dapatkah calon BN, Lokman Noor Adam mengurangkan majoriti yang dimenangi PKR tiga bulan lepas?

Amat mustahil untuk BN menang apatah lagi calon PKR ketika itu menang dengan majoriti 12,480 undi. Tetapi dengan letaknya seorang aktivis Umno yang sudah dikenali umum, maka peluang untuk mengurangkan undi PKR amat cerah tambahan pula calon PKR dari kem Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bukannya dari kem MB, Amiruddin Shaari.

Penyokong PKR dari kem Datuk Seri Azmin Ali tidak puas hati dengan pemilihan Ustaz Zawawi sebagai calon. Sudah tentu mereka akan mengundi calon BN kerana Lokman adalah bekas pemimpin PKR yang pernah bersama mereka. Lokman pernah ditahan di bawah ISA dan akhirnya beliau lari dari PKR dan menyertai Umno.

Soal beliau orang luar tidak timbul kerana MB Selangor pun orang Johor dan bukannya anak jati Selangor. Bagi saya, BN akan beri tentangan sengit kepada PKR tetapi BN tidak lagi kerajaan pusat maka cara kempen kali ini tidak sama seperti PRK Sungai Besar yang mana pemimpin BN dapat mengumumkan peruntukan kerana ketika itu mereka adalah pemimpin kerajaan pusat.

Keputusan PRK Sungai Kandis nanti akan menunjukkan bahawa dalam masa tiga bulan sejauh mana pengundi Sungai Kandis  dapat menerima kerajaan PH yang menjanjikan pelbagai manifesto. Sama sama kita tunggu 4 Ogos nanti.

Friday, July 20, 2018

ZAM SUDAH TENTU TAK SUKA GURU TAHFIZ JADI CALON PKR SUNGAI KANDIS



KOTA RAJA: Calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Zawawi Mughni tidak menyangka terpilih mewakili parti itu pada 4 Ogos ini.

Zawawi, 47, yang juga guru agama berkata, beliau bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pucuk pimpinan parti khasnya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memberi kepercayaan kepada beliau.

Sehubungan itu, beliau berazam meneruskan usaha yang telah dimulakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiee.

“Banyak kawasan kampung yang masih perlukan pembelaan seperti longkang tersumbat, masalah sampah dan kemudahan lampu jalan yang perlu dinaik taraf.

“Kita meneruskan apa saja yang telah dilaksanakan oleh Mat Shuhaimi. Saya sempat bekerjasama dengan beliau dan saya yakin pengundi Sungai Kandis memang memerlukan pembelaan daripada pemimpin untuk kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada majlis pelancaran jentera PKR untuk PRK DUN Sungai Kandis, malam tadi.

Semalam, Dr Wan Azizah mengumumkan Zawawi sebagai calon PKR bagi mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

Mengenai momentum jentera pilihan raya, Zawawi berkata, ia mendapat penyertaan yang menggalakkan.

“Semua pusat daerah mengundi hadir dan sebahagian pemimpin cabang serta seluruh Selangor turut hadir memberikan sokongan dan dukungan kepada jentera pilihan raya kali ini,” katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis dengan 23,998 undi, menewaskan calon BN Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518), calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Berdasarkan PRU ke-14 lalu, DUN Sungai Kandis mempunyai 50,800 pengundi dengan majoritinya ialah pengundi Melayu iaitu sebanyak 71 peratus, 15.62 peratus (India) dan 11.67 peratus (Cina).

Ulasan saya, Tan Sri Zainuddin Maidin (Zam) yang mencadangkan supaya sekolah tahfiz ditutup sudah tentu tak suka PKR meletakkan calon guru tahfiz sebagai calon PKR.

Bagi Zam guru tahfiz ketinggalan zaman walaupun seorang veteran PAS, Subky Latif menganggap apa salahnya sekolah tahfiz melahirkan jurutera, doktor yang hafaz al quran.

Thursday, July 19, 2018

PUAD ZAKARSHI TAK PERLU CAKAP BANYAK



KUALA LUMPUR: Bekas ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Datuk Dr Puad Zarkashi hari ini melihat susunan Majlis Tertinggi (MT) Umno pilihan presidennya tidak membawa perubahan yang sepatutnya.

Kata Puad, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga memberi ruang hanya kepada penyokongnya saja dan mengetepikan pemimpin yang tidak sehaluan.

Menurutnya pelantikan MT Umno itu tidak dibuat berdasarkan merit, prestasi dan komitmen.

"Sebab itu ada yang merasakan beberapa nama yang sepatutnya tidak ada lagi dalam arus perdana pentadbiran Umno masih dikekalkan kerana diberi jawatan yang lain.

"Sebab itu imej barisan MT Umno dilihat tidak menjamin perubahan yang diharapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid mengumumkan pelantikan 10 orang untuk menganggotai MT Umno pada 14 Julai lalu. Seorang daripada mereka ialah bekas peguam negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Apandi mengumumkan penolakan pelantikan itu kurang dari 24 jam selepas namanya diumumkan.


Ahmad Zahid juga menyerahkan jawatan setiausaha agung kepada Tan Sri Annuar Musa yang sebelum itu bertindak sebagai ketua penerangan.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula asalnya setiausaha agung, kemudian diberi tanggungjawab sebagai bendahari.

Bekas menteri besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula ditugaskan mengetuai Umno Perlis. Naib presiden ketiga Umno itu menjadi seorang daripada pemimpin yang bersikap agak lantang mengkritik kepimpinan parti sebelum itu.

Puad yang sebelum ini bercadang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum (PRU) lalu menambah Umno juga dilihat tidak ada pendirian jelas dalam isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Katanya langkah itu akan merenggangkan Umno dengan pertubuhan berkaitan budaya, bahasa serta cendekiawan lain.

"Sepatutnya Umno konsisten mempertahankan apa yang sudah termaktub dalam perlembagaan.

"Umno tidak patut takut dilabel sebagai parti perkauman atau rasis. Agenda Melayu yang diperjuangkan Umno adalah inklusif dan bertujuan untuk menyamaratakan padang permainan.

"Umno tidak rasis. Yang rasis adalah DAP," katanya.

Puad juga mendesak Ahmad Zahid segera menjelaskan hala tuju Umno kepada akar umbi parti.

Ketika ini kata bekas anggota parlimen Batu Pahat itu anggota Umno masih terumbang-ambing dan kebingungan kerana Zahid terlalu perlahan untuk menjelaskan hala tuju parti.

"Jika Ahmad Zahid berterusan membisu dia akan dilihat sebagai pemimpin tidak berkemampuan untuk membawa perubahan dan memenuhi tuntutan Umno Bangkit.

"Zahid mesti mengemukakan tawaran baru beliau untuk Umno dan rakyat.

"Dia sepatutnya bingkas dan pantas mengemukakan tawaran baru dan hala tuju parti setelah dipilih sebagai presiden baru Umno," katanya.

Kata Puad Umno kini perlu memulakan langkah dari awal seperti yang dilakukan parti itu 72 tahun lalu.

"Umno perlu bermula dari kosong, iaitu parti yang tidak ada kuasa sebagaimana Umno bermula tanpa kuasa pada 1946," katanya.

Ulasan saya, Puad tak perlu cakap banyak kerana beliau bukannya contoh pemimpin Umno yang baik. Setelah tidak dipilih sebagai calon BN pada PRU Mei lalu, beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pengarah JASA.

Sebaliknya Zahid tidak pernah meninggalkan Umno walaupun pernah ditahan di bawah ISA dan dipaksa melepaskan jawatan ketua pemuda oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998.

Zahid setia dengan Umno dan di zaman Pak Lah baru beliau dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan sedangkan selepas menang jawatan ketua pemuda pada tahun 1996 beliau tidak diberi apa apa jawatan oleh Dr Mahathir Mohamad.

Apa sumbangan Puad kepada Umno Batu Pahat? Calon BN Batu Pahat dalam PRU baru baru ini kalah kerana disabotaj oleh Puad.

Oleh itu beliau tidak perlu kritik Zahid lambat mengemukakan hala tuju parti kerana beliau sedang merangkanya dengan barisan baru majlis tertinggi Umno. Sabarlah.

Wednesday, July 18, 2018

WANITA PKR MAHU AZMIN LAWAN ANWAR ATAS MENJULANG PRINSIP DEMOKRASI?



KUALA LUMPUR: Wanita PKR menyambut baik hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti, namun mengingatkan agar parti bersedia "menjulang prinsip demokrasi" sekiranya jawatan itu dicabar.

Jelas ketuanya, Zuraida Kamaruddin, PKR perlu menjuarai isu demokrasi yang diperjuangkan selama 20 tahun dan ia perlu bermula dari kalangan pemimpin parti itu sendiri.

"Peranan beliau (Anwar) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku pencetus agenda perubahan hampir 20 tahun lalu tentulah tidak dapat disangkal mana-mana pihak.

"Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan PKR telah pun menjadi parti terbesar dalam kerajaan, ia juga membawa bersama perubahan dalam struktur kepimpinan parti serta dinamika yang berbeza dari sebelumnya.

"Dalam pada tawaran Anwar diterima dengan terbuka, parti juga harus bersiap-siaga menjulang prinsip demokrasi dalam menghirup udara segara Malaysia baru yang diamanahkan oleh rakyat Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar pada 15 Julai lalu mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti itu Ogos ini.

Keputusan itu, kata Anwar, diambil selepas berbincang dengan isterinya, Dr Wan Azizah yang juga merupakan penyandang jawatan presiden.

Terdahulu Dr Wan Azizah menyatakan sedia berundur untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding jawatan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Zuraida turut menyorot "kecemerlangan" pentadbiran Selangor dan kepimpinan bekas menteri besarnya yang juga merupakan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kata Zuraida, PKR mempunyai ramai pemimpin berkelayakan yang teruji kesetiaannya, berkarisma dan mempunyai rekod cemerlang pentadbiran.

"Tidak boleh disangkal lagi bahawa tatakelola dan kecemerlangan kerajaan Selangor menjadi antara penyumbang signifikan kepada keyakinan rakyat dalam melihat model pemerintahan Malaysia baru.

"Keyakinan inilah yang menyebabkan BN yang berusi 61 tahun mampu ditumbangkan.

"Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara watak pimpinan yang dinamik dan dilihat mampu menggalas tanggungjawab kepimpinan.

"Telah dibuktikan dalam pentabdiran kerajaan Selangor terdahulu, peranan terkini beliau yang memegang portfolio kanan kerajaan selaku menteri hal ehwal ekonomi membuktikan lagi sumbangan beliau bakal memberi impak positif dalam bersama-sama mengemudi bahtera PKR yang kita cintai," katanya

Zuraida yang merupakan anggota parlimen Ampang turut mengingatkan bahawa PKR "berbeza" dengan Umno yang sering menyaksikan jawatan tertinggi parti mereka tidak ditandingi.

"Justeru, Wanita PKR menegaskan bahawa di samping menerima baik tawaran Anwar bertanding jawatan presiden, parti juga perlu menghormati perlembagaan parti dalam hal membuka ruang pertandingan mana-mana jawatan tanpa sebarang usaha sekatan.

“We must walk the talk, kita perlu lakukan apa yang kita laungkan," katanya.

Tuesday, July 17, 2018

RAJA BAHRIN KENA BAWA LEBIH BANYAK PPR KE TERENGGANU



KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hindraf P Waythamoorthy hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap perpaduan nasional dan kesejahteraan sosial di Istana Negara, di ibu negara, hari ini.

Beliau sebelum itu mengangkat sumpah sebagai seorang senator, bersama tujuh orang lain, di Dewan Negara.

Empat senator lain juga mengangkat sumpah jawatan sebagai timbalan menteri di istana, hari ini.

Mereka adalah Liew Chin Tong (DAP), Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (AMANAH) dan dua pemimpin BERSATU, Mohd Radzi Md Jidin serta Marzuki Yahya.

Liew dilantik sebagai timbalan menteri pertahanan manakala Raja Kamarul pula sebagai timbalan menteri kerajaan tempatan dan perumahan.

Sementara itu, Radzi dilantik sebagai timbalan menteri hal ehwal ekonomi manakala Marzuki dijadikan sebagai timbalan menteri luar.

Ulasan saya, tahniah kepada semua senator yang dilantik menteri dan timbalan menteri walaupun melalui jalan belakang. Saya berharap Raja Bahrin yang mewakili Terengganu dapat membawa lebih banyak peruntukan ke setiap daerah di Terengganu untuk membina lebih banyak rumah PPR.

Sehingga ini baru dua projek PPR diadakan di Terengganu di Kuala Nerus dan Besut. Saya berharap enam daerah lain turut dapat projek PPR yang baharu di bawah Raja Bahrin nanti.

Monday, July 16, 2018

RAJA BAHRIN WAKILI TERENGGANU DALAM KABINET?

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama)-- Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy adalah antara lapan individu dijadual mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Negara di Dewan Negara esok.

Susulan majlis itu, dijangkakan ada dalam kalangan mereka kemudian mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Chin Tong dan Waytha, enam lagi ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang, Marzuki Yahya.

Pakar forensik kewangan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Ismail Ibrahim.

Kesemua mereka dipilih oleh kerajaan pusat manakala Datuk Hussain Awang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan Asmak Husin oleh DUN Kelantan.

Sunday, July 15, 2018

MUAR POTENSI JADI HAB PERTANIAN

MUAR, 14 JULAI (Bernama) -- Daerah Muar berpotensi dibangunkan sebagai hab pertanian memandangkan daerah ini mempunyai tanah yang luas, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub.

Beliau berkata antara sektor pertanian yang mempunyai potensi untuk dibangunkan di daerah Muar ialah tanaman herba, kelapa matag, durian dan kerang-kerangan.

"Saya akan melihat sendiri potensi-potensi ini dan akan mewujubkan pendekatan urus tadbir di peringkat kementerian dan jabatan dengan lebih terurus bagi membangunkan industri pertanian negara," katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan ke Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha di sini, hari ini.

Salahuddin berkata tanaman herba telah terbukti berjaya di Muar apabila terdapat ladang dan kilang herba di Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, manakala tanaman kelapa matag sesuatu yang perlu dibangunkan kerana potensinya yang sangat besar.

Katanya selain itu juga daerah ini mempunyai durian pelbagai varieti seperti Musang King dan IOI yang rasanya setanding dengan durian daripada Gua Musang dan Kuala Krai, Kelantan serta Bentong, Pahang.

Saturday, July 14, 2018

KERAJAAN TERENGGANU SEDIA SPONSOR TANGAN PALSU



KUALA TERENGGANU, 14 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri sedia menaja kos rawatan Nur Zulaikha Khumaira Zulkifli, 7, untuk mendapatkan tangan palsu agar kanak-kanak itu dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata beliau akan melawat kanak-kanak itu dalam masa terdekat.

"Semoga sumbangan yang tidak seberapa ini dapat membantu adik Khumaira meneruskan kehidupan seperti biasa. Diharapkan juga agar adik Khumaira dan keluarga tabah serta cekal menerima dugaan yang berat ini," katanya menerusi catatan laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam semalam, mangsa putus lengan kiri selepas bajunya tersangkut pada rim motosikal ketika membonceng motosikal yang ditunggang kakak sepupunya, Noor Aina Hananie Razalie, 18, untuk ke rumah penghulu kampung bagi mendapatkan cop pengesahan permohonan pembiayaan pendidikan Yayasan Terengganu (YT).

Kemalangan di Kampung Binjai Bongkok dekat Marang itu menjadi tular dan mendapat perhatian rakyat Malaysia yang simpati dengan nasib malang kanak-kanak tersebut.

Friday, July 13, 2018

TEMPAHLAH BUKU DIGITAL "KISAH BENAR"

Tempahlah buku digital KISAH BENAR susunan Azwan Adli. Bagaimana mahu memiliki buku digital ini? Mula mula anda bayar RM50 kepada nombor akaun CIMB 7002297592 selepas itu anda whatsapp resit itu kepada nombor handphone 01115726582 dan sertakan nama anda dan email anda. Buku digital akan dihantar terus kepada email anda selepas anda menghantar resit pembayaran.


SAMBUTAN HARI RAYA PPK SELANGOR MERIAH



SHAH ALAM: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Selangor (PPNS), Dr Abdul Razak Khasbullah berharap para peladang dapat meningkatkan kegiatan ekonomi mereka sejajar dengan perubahan kerajaan baharu.

Katanya, ia adalah satu platform bagi petani terus maju terutamanya kepada semua ahli 14 PPK daerah yang terdiri daripada 51,500 orang ahli.

"Dahulu kita fokus kepada proses ayam dan sawah padi, kini kita ada packaging beras  di mana harga beras lebih murah dari harga pasaran dan ikan air tawar," katanya selepas majlis sambutan hari raya PPNS di Wisma PKPS di sini.

Menurut beliau yang juga Pengerusi PPK Kuala Langat, sembilan peladang muda lulusan IPTA menanam cili di tanah seluas lima ekar yang mana penglibatan orang muda dalam bidang pertanian adalah fokus baharu PPK Kuala Langat.

Bercakap tentang pusat pengumpulan, beliau berkata PPK Kuala Langat paling aktif di Selangor yang melibatkan tujuh item termasuk sirih.

Dr Razak juga menambah PPK Kuala Langat mampu menjual 2,000 ekor lembu untuk hari raya korban yang melibatkan jualan sekitar RM7 juta.

Kira kira 1,000 ahli PPNS telah menghadiri majlis sambutan hari raya tersebut yang turut diserikan dengan nyanyian Herman Tino.

Wednesday, July 11, 2018

WAN AZIZAH CADANG ANWAR DILANTIK SEBAGAI SPEAKER DEWAN RAKYAT?



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menawarkan kepada bakal penggantinya Datuk Seri Anwar Ibrahim jawatan sebagai senator bagi menyertai pentadbiran kerajaan, kata Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

 Saifuddin mendedahkan cadangan itu dibuat pada 13 Mei, tiga hari sebelum pengampunan penuh diberikan kepada Anwar daripada sabitan liwat.

"Semasa Tun datang melawat Anwar, beberapa hari sebelum Anwar diberi pengampunan penuh saya berada dalam bilik itu bersama kedua-dua mereka.

"Tun Mahathir mempelawa Anwar untuk menjadi anggota pentadbiran dan dilantik sebagai senator. Anwar dengan sopan berkata oleh kerana Wan Azizah adalah TPM adalah lebih molek untuk dia tidak menjadi sebahagian anggota pentadbiran.

"Maksudnya pada waktu itu Tun berpendapat dia mahu melibatkan Anwar dan jalannya ada dua - sama ada senator atau dia bertanding sebagai MP.

"Dia (Anwar) mengucapkan terima kasih kepada Tun sambil dia menyebut "Tun, the stage is yours, you should be the one who run the show'".

"Maknanya dia memberikan kepercayaan penuh dan sokongan penuh kepada Tun," tambah anggota parlimen Kulim Bandar Baharu itu.

Katanya lagi, apabila Mahathir bertanya mengenai rancangan ketua umum PKR itu selepas ini, Anwar berkata beliau akan ke luar negara untuk memberikan syarahan dan menjelajah seluruh negara bagi mengucapkan terima kasih kepada pengundi kerana menyokong Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sebelum ini, Anwar menegaskan beliau akan kembali dalam politik sebagai anggota Dewan Rakyat namun enggan melakukannya melalui pilihan raya kecil di kerusi Pandan yang dimenangi oleh isterinya yang kini memegang jawatan timbalan perdana menteri.

Walaupun status senator dikira sebagai anggota parlimen, kebiasannya ia diihat sebagai 'pintu belakang' untuk menyertai pentadbiran kerajaan.

Bagaimanapun tidak diketahui tempoh sebenar Anwar untuk kembali ke Parlimen dan seterusnya menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri kelapan seperti yang dirancang.

Ketika beliau dibebaskan selepas menjalani hukuman 39 bulan penjara atas sabitan liwat pada 16 Mei, Anwar berkata beliau tidak akan tergesa-gesa untuk kembali semula dalam politik.

Tiga minggu kemudian, bekas timbalan perdana menteri itu dilaporkan berkata beliau akan kembali ke Parlimen dalam beberapa bulan dan proses itu mungkin akan dipercepatkan.



Saifuddin berkata PKR tidak menetapkan tempoh masa untuk Anwar kembali ke politik dan ia tidak perlu berbuat demikian.

"Dia berada dalam kerajaan sejak 80-an. Seperti mana kita tak meletakkan tempoh masa kepada Tun, kita juga tidak meletakkan tempoh masa kepada Anwar.

"Dia boleh tetapkan sendiri, dia nak buat pilihan raya kecil ke, di mana ke (bertanding), dia akan tentukan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu.

"Sebaliknya seluruh anggota parlimen PKR diminta oleh Anwar dan Wan Azizah memberikan sokongan dan dukungan kepada Tun dan kerajaan untuk mentadbir dengan tenang dan yakin," tambah Saifuddin.

Anwar kini berada di Turki untuk menjalani pembedahan bahu dan telah selesai menjalani pembedahan tulang belakang.

Sementara itu, Saifuddin juga menafikan dakwaan terdapat lobi dalam PKR yang menjadi punca mengapa 25 anggota kabinet mengangkat sumpah hampir 10 minggu selepas HARAPAN memenangi pilihan raya umum 9 Mei.

"Tak betul dan sangat tidak adil (dakwaan itu) kepada PKR.

"Perdana menteri meminta setiap parti memberikan nama dan meminta kepada pemimpin dalam Majlis HARAPAN bahawa berikan kepercayaan bahawa ini adalah prerogatif beliau sebagai perdana menteri.

"Tidak ada sebarang lobi daripada parti PKR, daripada Anwar, Wan Azizah dan saya sendiri, tidak ada sebarang lobi. Kita serahkan sepenuhnya kepada Tun Mahathir," katanya.

Saifuddin berkata beberapa nama yang dikemukakan oleh PKR juga tidak diterima masuk dalam kabinet.

"Ada yang dapat dan ada yang tidak dapat. Perkara yang sama juga berlaku kepada DAP dan AMANAH," jelas beliau.

Beliau juga ditanya sama ada nama Azmin terdapat dalam senarai tersebut.

"Azmin pada waktu itu menteri besar Selangor, pada masa senarai diangkat dan parti menyerahkan kepada perdana menteri, Azmin menteri besar Selangor.


"Parti jelas di situ kerana menteri besar tidak boleh jadi menteri. Takkanlah PKR terlalu bodoh, kamu menteri besar dan takkanlah kamu tak tahu perlembagaan negara kita," katanya.

Menurut Saifuddin, kedudukan Azmin dalam kabinet merupakan kehendak dan hak prerogatif perdana menteri.

Pada masa ini PKR memiliki enam anggota kabinet daripada 28 anggota dan secara sepintas lalu, kebanyakannya mereka dilihat dengan kumpulan Azmin.

"Pandangan saya yang dapat jawatan menteri adalah geng PKR," katanya yang menolak dakwaan bahawa parti itu berpecah kepada kumpulan Azmin dan naib presidennya, Rafizi Ramli.

Ulasan saya, Anwar enggan dilantik senator tetapi kenapa Wan Azizah mencadangkan nama Anwar Ibrahim sebagai Speaker Dewan Rakyat. Takkan bakal Perdana Menteri mahu menerima jawatan tersebut kerana biasanya Speaker dilantik dari kalangan yang sudah bersara dari politik.

Tuesday, July 10, 2018

MAT SABU TAK ADA MASALAH ISYTIHAR HARTA

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedia menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta miliknya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata sebelum ini beliau pernah mengisytiharkan hartanya kepada sebuah badan penyelidikan bebas INVOKE yang diasaskan oleh bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

"Tidak ada masalah, bila-bila masa saya boleh mengisytihar harta saya, dulu saya pernah isytihar kepada INVOKE," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Pertahanan di kementerian itu di sini, hari ini.

Berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah, beliau berkata banyak perkara yang "boleh dan tidak boleh" telah dijelaskan pada taklimat khas oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) hari ini.

Menurutnya semua pemimpin kerajaan termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri tidak terkecuali untuk isytiharkan sebarang bentuk hadiah yang diterima jika bernilai lebih RM500 kepada SPRM.

Monday, July 9, 2018

KERAJAAN PH DIGESA TANGANI KELEMAHAN DASAR PENDIDIKAN TAHFIZ NEGARA

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap meneruskan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dengan menangani sebarang kelemahan yang ada dan bukannya menutup sistem pendidikan itu.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan gesaan agar sekolah tahfiz ditutup kerana kononnya tidak memberikan masa depan kepada generasi baharu Islam adalah amat dikesali.

"Dasar Pendidikan Tahfiz Negara telah digubal oleh kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) dengan matlamat melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional dalam tempoh 30 tahun, huffaz profesional ini bukan sahaja berupaya menghafal 30 juzuk al-Quran, tetapi pada masa yang sama dapat menguasai pelbagai disiplin ilmu serta kemahiran teknikal."

"Pemuda UMNO meminta kerajaan Pakatan Harapan agar meneruskan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara ini, sekiranya ada kelemahan dalam dasar berkenaan, kerajaan PH boleh memperkasakannya dan bukannya menutup sekolah tahfiz," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Pemuda UMNO selepas Pemilihan UMNO 2018 lalu di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin supaya kerajaan menutup sekolah tahfiz yang disifatkan terlalu radikal, namun cadangan itu ditolak Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, semalam.

Dalam isu berbeza, Pemuda UMNO membantah pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang bersifat perkauman kerana ia akan menjejaskan usaha dalam membina negara bangsa.

Sunday, July 8, 2018

BN TAK PERLU MASUK PRK SUNGAI KANDIS



KUALA TERENGGANU, 8 Julai (Bernama) -- PAS hanya akan meletakkan calon dari parti itu sekiranya berlaku pertandingan satu lawan satu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei (PKR) pada 2 Julai lepas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata pencapaian PAS di DUN Sungai Kandis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) hanya sederhana sahaja dengan mendapat 7,573 undi.

"Jadi apa yang kita harapkan, kalaulah parti pembangkang yang lain umpamanya Barisan Nasional tidak berhasrat hendak bertanding dan menjadikan pertandingan itu satu lawan satu, kemungkinan besar PAS akan meletakkan calon.

"Tapi keputusan dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tadi, sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru, kemungkinan (meletakkan calon) akan dipertimbangkan. Kita kaji balik lah kerana kita tak mahu perpecahan banyak undi dan akan mengulangi semula keputusan pada PRU 14 yang lepas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri PAS Pusat dan PAS Terengganu di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pimpinan tertinggi parti itu.

Ulasan saya, dalam suasana Umno mahu pulihkan semula imejnya berikutan kekalahan dalam PRU bulan Mei lalu, maka BN tak perlu bertanding dalam PRK Sungai Kandis. 

Amat sukar untuk BN menang kerana arwah Mat Shuhaimi menang dengan majoriti 12,000 lebih. Maka lebih baik BN beri laluan kepada PAS untuk bertanding dalam PRK tersebut kerana jika BN masuk tapi kalah lagi maka imej Presiden baharu Umno akan terjejas.

Berundur setapak ke belakang bukan bermakna BN sudah hancur. Biar imej Umno pulih terlebih dahulu baru masuk PRK.

Saturday, July 7, 2018

FATAH LEBIH LAYAK DARI SUMALI JADI SETIAUSAHA KERJA UMNO



oleh Hidayat Fansyuri



KUALA LUMPUR: Nama Datuk Abdul Fatah Iskandar bukan nama asing dalam senario politik nasional khususnya Selangor.

Sepak terajang pembabitan politik beliau bukan setahun-dua.

Puluh tahun beliau terbabit dalam kancah politik di Selangor sejak zaman pemuda beliau.

Berkat kesungguhan dan tadbir urus di DUN Sijangkang beliau amat disenangi oleh Menteri Besar pada ketika itu iaitu Dr Mohd Khir Toyo akhirnya beliau dilantik menjadi Exco Selangor yang bertanggungjawab hal berkaitan kemudahan awam.

Bagaimanapun tahun 2008 setelah beberapa penggal menyandang ADUN Sijangkang nasib tidak menyebelahi beliau apabila tewas di DUN berkenaan kepada calon lawan dari PAS iaitu Dr Yunos Hairi.

Bagaimanapun Abdul Fatah bernasib baik apabila beliau di ‘sambar’ oleh Dr Ahmad Zahid untuk dilantik sebagai Setiausaha Politik beliau di KDN tidak lama selepas itu.

Tidak salah jika dikatakan sebagai orang kepercayaan Zahid, Fatah telah memainkan peranan penting di kementerian sehinggakan hubungan bos beliau dengan pemimpin politik di seluruh negara amat intim.

Malah lebih menarik lagi keramahan Fatah dengan pihak media masa membuatkan wartawan amat mudah membuat liputan berkaitan aktiviti Dr Ahmad Zahid sama ada di TPM atau KDN.

Oleh kerana itu desas desus mengatakan Abdul Fatah bakal dilantik sebagai Setiausaha Kerja di Ibu pejabat UMNO menggantikan Abd Rauf Jusoh seharusnya diberi sokongan oleh semua pihak.

Difahamkan antara nama lain yang dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah Pegawai Khas kepada Dr Ahmad Zahid iaitu Datuk Mohd. Sumali Reduan yang bertugas di KDN sebelum ini. Sumber juga menyatakan beliau tidak sesuai untuk jawatan ini kerana dikatakan sukar untuk berurusan berbanding Abdul Fatah yang lebih mudah untuk dihubungi dan mempunyai hubungan baik dengan ahli UMNO setiap peringkat.

Sumber menyatakan Mohd Sumali hanya layak di peringkat bahagian walaupun beliau pernah menyandang jawatan setiausaha kerja Pemuda BN tidak lama dahulu.

Ahmad Zahid perlu bijak dalam membuat keputusan untuk jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Kerja kerana jawatan inilah yang akan menghubungkan beliau dengan semua bahagian diseluruh negara.

Abdul Fatah selaku orang lama dan berpengalaman amat sesuai untuk mengisi Setiausaha Kerja UMNO diwaktu dan ketika ini.

Bekas TPM ini memerlukan orang yang memahami dirinya serta faham akan aliran tugas disandang kini iaitu Presiden UMNO.

Tidak syak lagi kalau diambil kira soal pengalaman dan kesetiaan kepada parti dan pemimpin Abdul Fatah lorang paling layak diberi kepercayaan oleh parti untuk duduk jawatan panas ini intuk tempuh 2018 hingga 2021.

Friday, July 6, 2018

PEGAWAI DAERAH WANITA PERTAMA DI NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN, 6 Julai (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan mencipta sejarah apabila melantik seorang Pegawai Daerah baharu dikalangan wanita, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.

"Ini pertama kali kita lantik seorang wanita iaitu Suhaiza Sharudin sebagai Pegawai Daerah Tampin Gred M54 yang baharu berkuatkuasa 2 Julai lepas. Jawatan tersebut sebelum ini kosong dan kita isi dengan pelantikan Suhaiza."

"Suhaiza adalah anak jati Negeri Sembilan dan ibu kepada empat orang anak. Kita ucapkan tahniah kepada beliau (Suhaiza). Kita harap dengan pelantikan ini dia mampu meningkatkan lagi prestasi kerajaan negeri dan semoga dia berjaya," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata Suhaiza, 41, sebelum ini merupakan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Kewangan Negeri Sembilan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya Suhaiza memulakan perkhidmatan dalam kerajaan sebagai Penolong Setiausaha Gred M41, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada November 2002.

"Antara jawatan yang pernah disandangnya ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Gred M52 di Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Melaka pada Jan 2014 dan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri Gred M54 di Pejabat Kewangan Negeri Sembilan pada Nov 2017," katanya.
 

Thursday, July 5, 2018

SOKONG LANTIK SPEAKER KEDAH BUKAN BEKERJASAMA DENGAN PH

PADANG TERAP, 5 Julai ( Bernama) -- Tindakan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang menyokong pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah daripada Pakatan Harapan (PH) bukan bermaksud bahawa parti itu bekerjasama dengan PH.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sebaliknya ia hanyalah bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar sekali gus para wakil rakyat dapat memulakan tugas dengan lebih sempurna untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Anggota UMNO diminta bertenang kerana ianya bukanlah manifestasi sokongan mereka (ADUN BN) kepada kerajaan PH malah mereka masih setia kepada parti, ia hanyalah sokongan untuk melantik Speaker namun mereka masih merupakan pembangkang di DUN negeri," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Padang Terap di sini, hari ini.

Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang DUN Kedah semalam, Datuk Ahmad Kasim dilantik menjadi Speaker DUN apabila memperoleh 21 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.

Tiga ADUN BN iaitu Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang) menyatakan bahawa mereka memberi undi kepada calon PH demi kepentingan rakyat di negeri ini dan mengelak daripada berlakunya pilihan raya negeri (PRN).....

Wednesday, July 4, 2018

TIGA ADUN BN SOKONG SPEAKER DARI PH

ALOR SETAR, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir mengucapkan terima kasih kepada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sekiranya benar mereka yang memberi undi bagi membolehkan Speaker daripada Pakatan Harapan (PH) dilantik pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau berkata ini kerana proses pemilihan tersebut adalah secara rahsia iaitu melalui undian atas kertas yang dimasukkan ke dalam kotak sebelum dikira satu persatu oleh Setiausaha DUN negeri.

"Jadi kami tidak boleh nyatakan siapa daripada kalangan pembangkang yang beri tiga undi lebihan bagi membenarkan calon Speaker daripada PH dilantik hari ini...silap-silap mungkin daripada PAS? Tapi kalau benar begitu (ADUN BN undi), saya ucap terima kasih kepada mereka (ADUN BN)," katanya.

Pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama sidang DUN Kedah hari ini, Datuk Ahmad Kasim dilantik menjadi Speaker DUN apabila memperoleh 21 undi menewaskan Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang memperoleh 15 undi.

ADUN Ayer Hangat Juhari Bulat pula dilantik sebagai Timbalan Speaker DUN.

Tuesday, July 3, 2018

NAJIB HADAPI 10 TUDUHAN PECAH AMANAH?


KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan menghadapi lebih 10 pertuduhan melakukan pecah amanah berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Menurut sumber, Najib akan didakwa atas lebih 10 pertuduhan itu esok di Mahkamah Kuala Lumpur.

Mengikut sumber mahkamah, Najib akan dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 2, yang terletak di Aras 4, Sayap kanan, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Difahamkan kes itu akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen paling kanan iaitu Datuk Zainal Abidin Kamarudin dan kemudiannya akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam kenyataannya mengesahkan Najib yang ditahan di rumahnya di Jalan Langgak Duta, di sini pada 2.35 petang berhubung siasatan SRC International Sdn Bhd akan didakwa esok pada pukul 8.30 pagi.

Bekas perdana menteri telah hadir ke Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali bagi merakamkan keterangan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 22 Mei lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata penyiasatan SPRM pada 2015 terhadap Najib membabitkan isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi bekas perdana menteri.

-- BERNAMA

Monday, July 2, 2018

KENA BUKTIKAN BERLAKU POLITIK WANG



SEREMBAN, 2 Julai (Bernama) -- "Sekiranya benar wujud amalan politik wang pada pemilihan UMNO bukti perlu dikemukakan," kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu berkata ini bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.

"Tidak usahlah cakap sahaja, jika ada bukti buat laporan," katanya kepada pemberita selepas majlis angkat sumpah Speaker, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan pada Persidangan (Khas) Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14, di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang mendakwa beliau mendapat khabar bahawa dalam pemilihan UMNO kali ini banyak wang telah digunakan.

Pada pemilihan parti yang berlangsung Sabtu lepas, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai presiden dengan 99 undi manakala Khairy Jamaluddin memperoleh 61 undi dan Tengku Razaleigh memperoleh 30 undi.

Sunday, July 1, 2018

1,343 ORANG BACA BERITA "BERI BONUS RM1.8 JUTA BUKTI KERAJAAN PAS MAMPU LAKSANAKAN JANJI DALAM MANIFESTO"

Berita "Beri bonus RM1.8 juta bukti kerajaan PAS mampu laksanakan janji dalam manifesto" yang disiarkan dalam blog ini pada 11 Jun mendapat rating tertinggi bagi bulan Jun 2018.

10 rating tertinggi bagi bulan Jun adalah seperti berikut;-

1. Beri bonus RM1.8 juta bukti kerajaan PAS mampu laksanakan janji dalam manifesto (11 Jun) - 1,343

2. Penipuan di Umno Kemaman berlaku sejak bertahun-tahun lalu (23 Jun)
3.Pemimpin yang kalah PRU pun tanding Naib Presiden Umno (4 Jun)
4. 90 anggota parlimen baharu terbanyak dalam sejarah parlimen Malaysia (26 Jun)
5. Barisan calon-calon ahli jawatankuasa Umno dari "Kemaman Berubah" (25 Jun)
6. Ku Li mahu sepenggal sahaja jadi Presiden Umno (24 Jun)
7. Perwakilan Kemaman perlu berani buat perubahan (19 Jun)
8. Pengumuman Ting Pek Khiing menghairankan (1 Jun)
9. Tujuh calon rebut tiga kerusi Naib Presiden Umno (8 Jun)
10. Anak bekas Exco maut kemalangan jalan raya (18 Jun)