Showing posts with label sprm. Show all posts
Showing posts with label sprm. Show all posts

Monday, June 10, 2019

PEMIMPIN PKR PERTIKAI PELANTIKAN LATHEEFA KOYA



PULAU PINANG – Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap ketelusan, keadilan dan reformasi institusi seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) menerusi manifestonya.



Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, rakyat kini sedang memerhati dan pemimpin PH perlu menunjukkan kesepakatan khususnya dalam pelantikan membabitkan jawatan utama.


Tambah beliau, meskipun pemilihan Latheefa memenuhi kriteria, namun proses pelantikannya perlu telus dan melalui prosedur serta manifesto PH.

Sehubungan itu, jelasnya, pelantikan pegawai kanan terutama bagi jawatan di dalam SPRM perlu melalui jawatankuasa pemilihan Parlimen.

“PH perlu serius untuk melaksanakan agenda reformasi seperti yang dijanjikan menerusi manifesto dan perlu menjelaskan kepada rakyat sekiranya terdapat janji yang tidak dapat ditunaikan.

“Kita tidak boleh menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan manifesto baharu ketika kita mengabaikan serta gagal melaksanakan janji dalam manifesto PRU-14,” katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Halim yang juga Exco kerajaan negeri menyertai beberapa pemimpin PKR lain yang mempertikai kuasa veto Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pelantikan Latheefa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datin Dr. Tan Yee Kew antara yang lantang mempersoal pelantikan itu sehingga mempromosikan kempen mendesak Latheefa meletakkan jawatan menerusi petisyen internet.


Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meminta Dr. Mahathir memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan tersebut memandangkan bukan sahaja didakwa tidak bertepatan dengan manifesto PH dan Akta SPRM, tetapi turut tidak dimaklumkan kepada Kabinet.

Sunday, April 21, 2019

SPRM KALAH LAGI KES RASUAH BEKAS EXCO JOHOR

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang melepas dan membebaskan bekas Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi bersama dua individu lain, tanpa dipanggil membela diri.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta.

SPRM dalam satu kenyataan di sini hari berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi hasil perbincangan bersama Timbalan Pendakwa Raya.

Tindakan tersebut akan dilakukan sebelum tempoh 14 hari seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, bekas Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, 53, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 27 serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Sesyen, atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta, dua tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan melepas dan membebaskan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

-- BERNAMA

Tuesday, July 10, 2018

MAT SABU TAK ADA MASALAH ISYTIHAR HARTA

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Pertahanan Mohamad Sabu sedia menyahut seruan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta miliknya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu berkata sebelum ini beliau pernah mengisytiharkan hartanya kepada sebuah badan penyelidikan bebas INVOKE yang diasaskan oleh bekas Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli.

"Tidak ada masalah, bila-bila masa saya boleh mengisytihar harta saya, dulu saya pernah isytihar kepada INVOKE," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Kementerian Pertahanan di kementerian itu di sini, hari ini.

Berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah, beliau berkata banyak perkara yang "boleh dan tidak boleh" telah dijelaskan pada taklimat khas oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) hari ini.

Menurutnya semua pemimpin kerajaan termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri tidak terkecuali untuk isytiharkan sebarang bentuk hadiah yang diterima jika bernilai lebih RM500 kepada SPRM.

Thursday, May 17, 2018

SHUKRI ABDULL DILANTIK KETUA PESURUHJAYA SPRM YANG BAHARU

.

PETALING JAYA, 17 Mei (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dinamakan untuk menerajui badan tersebut menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan pada Isnin lepas.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, sini hari ini.

Shukri mengambil keputusan bersara wajib pada 2016 ketika sedang menyiasat kes berprofil tinggi termasuk berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dzulkifli telah diarah melapor diri untuk bertugas di Pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.



Dr Mahathir berkata pelantikan Shukri yang akan memulakan tugas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, adalah berdasar pengalaman serta maklumat yang beliau perolehi sepanjang berkhidmat dengan suruhanjaya itu.

Friday, February 23, 2018

PAS DESAK SPRM KEMUKA HASIL SIASATAN KEKAYAAN ANAK DR MAHATHIR

KOTA BHARU, 23 Feb (Bernama) -- Anggota akar umbi PAS Kawasan Kubang Kerian hari ini mendesak agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan hasil siasatan terhadap dakwaan kekayaan anggota keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wakilnya, Azmi Mat Husin berkata kemewahan yang dimiliki oleh keluarga berkenaan sangat luar biasa kerana seorang anak Mahathir, Tan Sri Mokhzani turut tersenarai antara orang terkaya di Malaysia.

"Saya hairan dengan apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika beliau menjadi perdana menteri sehingga anaknya memiliki kekayaan luar biasa.

"Justeru, kami mendesak agar siasatan SPRM sebelum ini dapat didedahkan kepada umum kerana ramai yang nak tahu mengenainya," katanya selepas mengadakan perhimpunan mendesak perkara tersebut di depan Masjid al-Fattah, Jalan Pintu Geng di sini, hari ini.

Kira-kira 20 anggota PAS Kawasan Kubang Kerian turut menyertai perhimpunan tersebut yang berlangsung selepas solat Jumaat.

Dalam pada itu, Azmi turut menggesa agar kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap tragedi Memali yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis dalam kejadian lebih 30 tahun lepas itu.

Beliau berkata rakyat Malaysia ingin mengetahui kejadian sebenar yang berlaku ketika itu dan mereka yang terbabit dengan kes berkenaan perlu dihukum jika dibuktikan bersalah.

-- BERNAMA

Tuesday, October 3, 2017

RAIS CADANG SPRM DIBERI KUASA MENDAKWA



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa mendakwa sebagai langkah memperkasakan suruhanjaya itu dalam usaha membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, walau bagaimanapun menegaskan, kuasa tersebut perlu ada pemantauan panel khas supaya setiap tindakan diputuskan secara telus.


“Ini seperti di United Kingdom (UK) apabila agensi terlibat mempunyai kuasa mendakwa namun pada masa sama terdapat beberapa panel yang akan meneliti keputusan mereka. Ini menjadikan tindakan yang diputuskan sama ada mendakwa atau sebaliknya bukan ditentukan satu pihak sahaja.

“Walau bagaimanapun, kita masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat pada tahun 1957 iaitu kuasa mendakwa terletak sepenuhnya pada Peguam Negara termasuklah dalam kes-kes yang dikendalikan SPRM.

“Kita harap Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang bekerja keras supaya perundangan kita mengikut zaman demi kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperingati Syarahan Ahmad Ibrahim Ke-16 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pada majlis tersebut, Rais yang juga pakar perlembagaan menyampaikan syarahan bertajuk Ke Arah Sistem Kedaulatan Undang-Undang Malaysia; ‘Apa Yang Lazim Mengenai Common Law?’.

Beliau mengulas isu penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang dibantah pelbagai pihak termasuk SPRM sendiri kerana dilihat mempunyai pertindihan tugas dengan suruhanjaya berkenaan.

Dalam pada itu, Rais berharap agar semua pihak dapat mengadakan perbincangan dan mendengar penjelasan berhubung penubuhan JITN sebelum menentang atau menyokong cadangan terbabit.



Wednesday, March 1, 2017

DUA BEKAS PEGAWAI KANAN FELDA DIDAKWA PECAH AMANAH RM48 JUTA

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang hampir RM48 juta, tiga tahun lepas.

Bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub, 53, menghadapi dua pertuduhan pecah amanah manakala bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad, 57, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.


Bagi dua pertuduhan itu, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana FELDA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana organisasi itu iaitu dengan curangnya melupus dan meluluskan dua pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA atau Jawatankuasa Tender FELDA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Wisma FELDA, Jalan Perumahan Gurney, di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Julai 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi atas kedua-dua pertuduhan sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi sekiranya mahkamah membenarkan jaminan beliau memohon jumlah RM1 juta dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Peguam Mohd Irwan Mohd Mubarak yang mewakili Muhammad Sufi dan peguam Azad Bashir yang mewakili Datuk Faizoull merayu supaya anak guam mereka dibenarkan diikat jamin kerana mereka adalah penanggung utama keluarga masing-masing.

Allaudeen membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 27 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

"Kedua-dua tertuduh dibenarkan membayar deposit RM500,000 pada hari ini manakala baki RM500,000 dilunaskan pada atau sebelum 22 Mac depan. Sekiranya baki RM500,000 tidak ada wang tunai, mahkamah juga membenarkan jaminan mengikut geran tanah nilai setara serta pasport diserahkan kepada mahkamah," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, January 4, 2017

SIASATAN POLIS SAHKAN BAHRI TIDAK TERLIBAT DALAM KES ABANG IPARNYA

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai kanan SPRM, Datuk Bahri Mohd Zain tidak terlibat dalam kes wasiat abang iparnya, Zamri Abdullah.

Menurut sumber, pihak polis sudah panggil Bahri untuk siasatan dan beliau disahkan oleh pihak polis bahawa tiada kes kerana beliau tidak terlibat dalam pemalsuan surat wasiat abang iparnya yang juga bekas Presiden Kolej Islam Sains Teknologi (KIST).

Isteri arwah Zamri dikatakan membuat aduan polis kerana kononnya Bahri sudah memalsukan surat wasiat suaminya kerana nama Puan Nora tidak ada dalam surat wasiat tersebut dalam pembahagian harta si mati.

Polis telah memanggil peguam Zamri dan dia telah mengesahkan bahawa surat wasiat itu adalah asli. Walaupun Nora membuat aduan palsu tetapi Bahri tidak menyaman kakak iparnya kerana menghormati si mati.

Namun sebuah blog semalam mengatakan SPRM melindungi Bahri yang dikatakan menipu abang iparnya. Bahri yang merupakan bekas Pengarah Operasi Khas SPRM bersara awal pada 31 Disember 2016 dan menimbulkan kontroversi kononnya beliau bersara awal kerana pendakwa tidak mahu mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil duit SRC anak syarikat 1MDB.

SPRM menafikan Bahri tidak buat kenyataan tersebut dan beliau yang sedang dirawat di hospital akan membuat kenyataan rasmi apabila keluar dari hospital kelak.

Tuesday, December 6, 2016

SPRM KENA PANTAU PDRM

TEMERLOH, 6 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)yakin mampu meraih tahap 80 peratus keyakinan rakyat negara ini terhadap keberkesanan fungsi suruhanjaya itu memerangi amalan rasuah seawal-awalnya tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) (SPRM) Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, ia dijangka mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran sebelum ini berikutan usaha berterusan suruhanjaya itu memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Kalau lihat dari segi keyakinan masyarakat terhadap SPRM ada peningkatan iaitu daripada 65.8 peratus pada tahun lepas kepada 73 peratus pada tahun ini," katanya.

Ulasan saya, SPRM perlu memantau PDRM jabatan yang paling rasuah di negara ini. Amat memalukan ppolis bebas ambil rasuah ketika menahan teksi yang membawa pendatang tanpa izin. Kalau benar mereka tiada permit kerja tahan mereka dan hantar kepada Jabatan Imigeresen untuk tindakan selanjutnya.

Sebaliknya polis tahan mereka dan pau mereka sehingga RM2,000. Lebih menyedihkan mereka dibawa makan angin dengan patrol car sambil mangsa menelefon kawan-kawan untuk dapatkan duit sebanyak RM2,000. Apabila duit tersebut tidak dapat baru polis turunkan harga sehingga RM300.00

Yang paling memilukan ada yang baru nak hantar duit gaji mereka ke kampung sudah dipau polis. Malah yang ada permit kerja dikatakan tidak ada permit sehingga majikan datang membebaskan pekerja mereka. Majikan yang cerdik tidak mahu bayar polis satu sen pun kerana mereka ada permit yang kerja yang sah.

Kenapa polis terlalu kuat rasuah? Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar patut mengambil tindakan tegas kepada anggota PDRM supaya jangan jadikan rasuah sebagai punca pendapatan. Buat malu PDRM. Oleh itu SPRM perlu memantau setiap road block polis kerana setiap hari kita terima aduan daripada pemandu teksi yang membawa orang asing. Sepatutnya pegawai SPRM menyamar sebagai pemandu teksi untuk menangkap polis yang rasuah.

Saturday, October 15, 2016

RAKYAT SABAH SOKONG TINDAKAN SPRM

KOTA KINABALU, 15 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata rakyat di negara ini, khususnya di Sabah menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar skandal rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada SPRM, Salleh berharap semua pihak memberikan kebebasan penuh kepada suruhanjaya itu untuk menjalankan siasatan lanjut tanpa sebarang gangguan.

"SPRM adalah satu badan yang bebas. Oleh itu sudah tentu mereka (SPRM) akan mengendalikan kes berkenaan secara profesional dan perkara itu (kebebasan) perlu kita hormati," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambori di Udara Sedunia kali ke-59 dan Jambori di Internet kali ke-20, di sini, Sabtu.

Salleh turut meminta semua pihak tidak membuat sebarang andaian berhubung skandal rasuah dan salah guna kuasa berkenaan kerana ia hanya akan merosakkan atau mengganggu siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM.

Sebelum ini, SPRM telah menahan lima individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan bagi membantu siasatan kes tersebut.

SPRM antara lain turut merampas lebih RM114.5 juta, barang kemas bernilai RM3.64 juta dan sebanyak 127 geran tanah dianggarkan RM30 juta, yang sekali gus menjadikan kes ini adalah kes terbesar dalam sejarah SPRM.

Sementara itu, ketika diminta mengulas Bajet 2017, Salleh yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mendengar permintaan semua pihak, khususnya rakyat di negara ini.

"Saya yakin ia (Bajet 2017) akan memenuhi kehendak rakyat...kerana bajet itu sudah tentu bertujuan untuk memastikan negara kita terus mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi, selain kerajaan sentiasa memastikan rakyat sentiasa menikmati kemudahan," katanya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Salleh berkata jambori seumpama itu merupakan satu pendedahan penting kepada para pengakap mengenai penggunaan serta kepentingan teknologi radio komunikasi dan juga internet dalam menjalin hubungan baik, sekali gus mempromosikan Malaysia, khususnya Sabah.

"Pada jambori ini, para peserta akan menghubungi rakan pengakap sama ada di dalam atau luar negara melalui radio atau internet. Kemudiannya mereka akan bertukar kiriman poskad bagi membuktikan kejayaan serta penyertaan mereka dalam aktiviti ini.

Katanya penggunaan teknologi berkenaan di kalangan pengakap telah membuka lembaran baru dalam bidang berkenaan, terutamanya dalam aspek mempermudahkan komunikasi atau perhubungan melalui internet dan ia mampu memastikan aktiviti kepengakapan terus relevan sesuai dengan tuntutan semasa.



-- BERNAMA

Wednesday, October 5, 2016

SPRM RAMPAS RM114.5 JUTA KES TERBESAR DALAM SEJARAH SPRM

KOTA KINABALU, 5 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di sini, yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion di Sabah, yang merupakan kes terbesar dalam sejarah SPRM.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata rampasan itu dibuat daripada seorang pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi awam itu, selepas mereka ditahan SPRM semalam.

"Hasil siasatan, SPRM merampas RM75 juta daripada pejabat, rumah dan akaun bank kedua-dua suspek tersebut dan keluarga mereka," katanya pada sidang berita mengenai kes itu di sini, Rabu.

Beliau berkata selain wang tunai, SPRM juga merampas 127 geran tanah, sembilan kenderaan mewah, sebanyak 94 beg tangan jenama mewah, jam tangan mewah pelbagai jenama dan barang kemas yang kesemua nilainya belum diketahui.

Susulan penahanan kedua-dua suspek itu, katanya SPRM turut menangkap seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan akauntannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan mereka.

Beliau berkata penangkapan 'Datuk' dan akauntannya itu membolehkan SPRM menyita kira-kira RM37 juta daripada akaun sebuah syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan seorang daripada pegawai kanan agensi awam itu.

"Mereka juga dipercayai memonopoli kesemua projek itu dan diserahkan kepada adik-beradik mereka," katanya sambil memberitahu suspek berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Azam berkata SPRM turut mengenal pasti beberapa individu lagi yang dipercayai bersubahat dengan kesemua suspek dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan tidak lama lagi.

Menurutnya jika ada pihak yang enggan memberi kerjasama, SPRM boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

-- BERNAMA

Wednesday, August 17, 2016

SPRM HAIRAN DENGAN KENYATAAN KU NAN



Berdepan dengan siasatan rasuah seseorang menteri sepatutnya menunjukkan sikap yang betul dan bukannya memberi pujian kepada pegawai yang ditahan.

Menganggap sikap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai "menghairankan" seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, tiada kompromi wajar ditunjukkan bagi kes rasuah.

Beliau yang enggan namanya dipetik berkata, Menteri Wilayah Persekutuan itu menampakkan seolah-olah kerajaan tidak melindungi orang awam.

"Kenyataan menteri berkenaan memang amat menghairankan!" katanya.

Semua media pada 15 Ogos lalu melaporkan tiga penjawat awam ditahan oleh pegawai SPRM atas kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penggubahan wang haram.

Seorang daripada mereka berpangkat Datuk Seri, manakala seorang lagi Datuk.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata suspek ditahan dalam operasi serentak di tiga tempat iaitu Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.


Semalam pula SPRM mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman suspek sehingga 22 Ogos ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 23 Akta SPRM.

SPRM juga merampas pelbagai aset bernilai jutaan ringgit.

Suspek berpangkat Datuk Seri itu adalah pegawai kanan di DBKL dan dia turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Hari ini memetik Tengku Adnan, New Straits Times melaporkan menteri itu sebagai berkata Datuk Seri terbabit adalah "pegawai yang bagus" malah mendapat kenaikan pangkat dua kali hanya dalam tempoh setahun.

"Setakat yang saya tahu, pegawai itu ialah seorang pegawai yang bagus, komited dengan tugas dan penuh perhatian. Beliau berpindah dari Gred 54 ke Gred Khas C, dan kini beliau dalam Gred Khas B kerana beliau seorang yang bagus dan mempunyai potensi.




"Bagaimanapun, iaitu dia di tempat kerja ... apa yang dia lakukan selain daripada kerja, saya tidak tahu," katanya kepada New Straits Times.

Sumber SPRM itu berkata pihaknya memang "hairan" dengan kenyataan balas daripada menteri terbabit.

"Seorang menteri sepatutnya tidak berkompromi dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang dan kenyataan itu menampakkan seolah-olah kepentingan awam tidak terpelihara," katanya.