Sunday, April 21, 2019

SPRM KALAH LAGI KES RASUAH BEKAS EXCO JOHOR

JOHOR BAHRU, 21 April (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi susulan keputusan Mahkamah Sesyen di sini hari ini yang melepas dan membebaskan bekas Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi bersama dua individu lain, tanpa dipanggil membela diri.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta.

SPRM dalam satu kenyataan di sini hari berkata pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi hasil perbincangan bersama Timbalan Pendakwa Raya.

Tindakan tersebut akan dilakukan sebelum tempoh 14 hari seperti yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Terdahulu, bekas Exco Johor Datuk Abdul Latif Bandi, 53, anaknya Ahmad Fauzan Hatim, 27 serta perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 46, didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Sesyen, atas 33 pertuduhan rasuah dan empat pertuduhan melibatkan penggubahan wang haram, kesemuanya berjumlah RM35.7 juta, dua tahun lepas.

Hakim Kamarudin Kamsun membuat keputusan melepas dan membebaskan setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Latif, Ahmad Fauzan dan Amir Shariffuddin.

Ketiga-tiga mereka menghadapi pertuduhan membabitkan rasuah mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 16(a)(B).

Mereka turut didakwa mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment