Wednesday, April 17, 2019

JPJ PULAU PINANG LAKSANA RASUAH BERJEMAAH

GEORGE TOWN, 17 April (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penahanan 23 penguat kuasa jabatan itu semalam.

Pengarah JPJ negeri Mohamat Johari Mat Nor berkata pihaknya juga menyerahkan sepenuhnya siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang kepada pihak SPRM.

"Setakat ini kita serahkan kepada pihak SPRM dan kita akan berikan kerjasama sepenuhnya, perkara itu (tangkapan penguatkuasa JPJ) tidak akan menjejaskan kerja serta semangat anggota JPJ yang lain," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam, SPRM menahan 31 individu termasuk 23 anggota penguatkuasa JPJ Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya yang membawa lebih muatan di sekitar negeri ini.

Penahanan 28 lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 31 hingga 54 tahun itu bagi membantu siasatan dan SPRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

Semua penguat kuasa JPJ gred 19 hingga 32 ini dipercayai menerima bayaran antara RM10,000 dan RM32,000 secara bulanan sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu lori terlibat selain turut membocorkan maklumat operasi JPJ.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment