Wednesday, April 24, 2019

USNO SOKONG PBS DI PRK SANDAKAN



SANDAKAN, 24 April (Bernama) -- Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan, sebaliknya akan menyokong calon Parti Bersatu Sabah (PBS) pada 11 Mei ini.

Ketua Penerangan USNO Musli Oli berkata USNO akan menghantar sepasukan terdiri daripada anggota kepimpinan tertinggi parti untuk membantu PBS berkempen dalam PRK berkenaan.

“Keputusan ini dibuat atas dasar bahawa parti USNO menyokong kerjasama antara parti-parti politik pembangkang demi memastikan proses dan nilai demokrasi yang diamalkan di negara ini terlaksana dalam erti kata sebenar.

“Majoriti Anggota Majlis Tertinggi (AMT) USNO juga berpendapat bahawa parti USNO pada masa ini perlu memberi fokus kepada usaha memperkemas dan memantapkan jentera pentadbiran parti di peringkat pusat serta menubuhkan bahagian-bahagian parti USNO di seluruh Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada 28 Mac lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment