Friday, April 19, 2019

PAHANG-GO TEROKA TRANSAKSI TANPA TUNAI JANA PENDAPATAN BAHARU

KUANTAN, 19 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Pahang berhasrat meneroka sumber pendapatan baharu kerana tidak boleh bergantung kepada sumber semula jadi atau komoditi tradisional selamanya, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata antara strategi kerajaan negeri untuk menambah nilai hasil pendapatan yang lebih mampan pada masa hadapan ialah menerusi ekonomi digital, pengurusan aset dan hartanah, tenaga hijau serta tenaga boleh diperbaharui.

"Inisiatif meneroka sektor ekonomi digital dizahirkan dengan penubuhan Pahang-Go yang membantu pelaksanaan urus niaga atas talian dan traksaksi tanpa tunai selari dengan perkembangan tren industri revolusi 4.0.

"Manakala penubuhan Pahang Corporation akan berperanan sebagai agensi penyelaras bagi memperkemaskan operasi syarikat berkaitan kerajaan negeri yang melibatkan perkhidmatan perkongsian seperti khidmat audit dan kesetiausahaan," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa menggulung Perbahasan Titah Diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah pada persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa hanya individu yang layak dan profesional dan tiada penglibatan dalam politik dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Corporation bagi menjamin kejayaannya.

"Tenaga boleh diperbaharui juga merupakan antara perkara yang boleh diusahakan untuk meningkatkan pendapatan negeri seperti sisa buangan atau sampah domestik diproses menjadi baja.

"Negara Eropah mempunyai teknologi untuk menghasilkan produk sampingan ini dan kerajaan negeri akan cuba untuk menarik pelabur dari negara itu untuk menceburkan diri dalam aktiviti ini," katanya.

Wan Rosdy yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menambah pelancongan sukan pula merupakan sektor yang sedang berkembang yang boleh menjana kahadiran pelancong sekaligus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Berkaitan isu perlombongan bauksit, Wan Rosdy berharap pihak terlibat termasuk peneroka dapat bersabar menanti keputusan Kerajaan Persekutuan yang sedang mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) aktiviti itu.

Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju sebuah jawatankuasa pengawasan ditubuhkan dengan penglibatan jabatan kerajaan Persekutusan dan kerajaan negeri bagi mengawasi aktiviti itu.

Wan Rosdy seterusnya memaklumkan Pahang mempunyai kira-kira 2.057 juta hektar kawasan berhutan dan kawasan tadahan air seluas 258,952 hektar yang menunjukkan kesediaan Pahang membantu memelihara kepentingan nasional.

Katanya, Pahang juga menyediakan tanah paling luas iaitu hampir 5,157 hektar untuk taman kekal pengeluaran makanan.

"Oleh itu, pampasan seharusnya diterima kerajaan negeri atas 'pengorbanan' ini. Jika tidak pun, kerajaan Persekutuan hendaklah mengiktirafnya dengan memberikan keputusan yang lebih memihak kepada kita seperti diskaun hutang atau membawa lebih banyak projek pembangunan ke sini," katanya.

Wan Rosdy berkata kesediaan kerajaan negeri meluluskan peruntukan pembangunan RM30,000 secara 'lump sum' kepada wakil rakyat pembangkang tahun ini juga menunjukkan sikap bertimbang rasa selain menunjukkan kedudukan kewangan berada dalam keadaan sihat.

Persidangan bersambung pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment