SEREMBAN, 25 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berharap tindakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan Mohamad Nazaruddin Sabtu, yang mendiamkan diri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selasa lepas, tidak dipanjangkan.
Aminuddin sebaliknya meminta agar semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendoakan kesihatan Mohamad Nazaruddin supaya beliau mampu meneruskan amanah yang diberikan kepadanya sebagai Exco negeri.
“Beliau mulai pulih, kadang-kadang saya wakilkan pada Exco lain untuk bantu... kita jangan paksa jangan nyatakan bukan-bukan kerana bagi saya tidak molek untuk kita berpandangan atau memberi tekanan kerana baru beberapa bulan dia tidak sihat.
"Kesihatan ini amat sensitif, kadang-kadang saya berasa sedih kerana kita sendiri pun tak tahu bila masa kita akan tiba," katanya ketika demikian semasa menggulung Perbahasan Titah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Terdahulu, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Gemecheh) mencelah dan bertanya mengenai keadaan Mohamad Nazaruddin kerana bimbang atas kesihatannya.
"Saya cuma nak tanya kerana risau tengok keadaan dia untuk menjalankan tugas. Pada persidangan sebelum ini pun dia tidak hadir untuk beberapa hari," katanya.
Selasa lalu, suasana di DUN Negeri Sembilan hangat apabila wakil rakyat pembangkang mempersoalkan tindakan Mohamad Nazaruddin yang mendiamkan diri dan membiarkan soalan berkaitan portfolionya dijawab oleh wakil kerajaan.
Mohamad Nazaruddin dilihat hanya mendiamkan diri menyebabkan Mohamad Taufek (PH-AMANAH Paroi) bangun dan menjawab soalan berkenaan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment