Monday, April 22, 2019

DUA BEKAS PEGAWAI MUHYIDDIN ANTARA TIGA MUKA BAHARU EXCO JOHOR

JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Tiga muka baharu antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor yang mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, pagi ini.

Tiga muka baharu tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Mohd Solihan Badri dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); ADUN Bukit Permai Tosrin Jarvanthi juga dari Bersatu dan ADUN Jementah Tan Chen Choon dari Parti DAP.

Mohd Solihan, 61, adalah Pengarah Media Bersatu Johor dan telah lama bergerak aktif dalam bidang politik.

Beliau yang berasal dari Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Tangkak, mempunyai Sijil Pembantu Perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (1979) dan melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebelum meraih Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dari universiti berkenaan.

Mohd Solihan juga merupakan bekas wartawan dan Penyunting Eksekutif di Berita Harian dan Harian Metro pada tahun 1984 sehingga 1997.

Selain itu, beliau pernah menjadi Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mustapa Mohamed yang ketika itu Menteri Kewangan Kedua (1998-1999) selain menjadi Setiausaha Politik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (2004-2007).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, beliau mengalahkan calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim dengan meraih sebanyak 7,645 undi dengan majoriti 1,070 undi.

Sementara itu, Tan Chen Choon, 49, dilahirkan pada 5 Feb 1970 di Bukit Gambir.

Naib Pengerusi DAP Johor itu mempunyai ijazah kejuruteraan mekanikal dari University of Hertfordsire, United Kingdom.

Pada PRU14, beliau memenangi kerusi Jementah dengan majoriti besar meraih 16,336 undian dengan mengalahkan calon BN Chiam Yok Meng yang mendapat 9,335 undi.

Bagi ADUN Bukit Permai, Tosrin, beliau yang dilahirkan pada 8 April 1986 di Kampung Air Manis, Kulai itu, merupakan seorang veteran politik.

Beliau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Rinting dan juga bersekolah di SK Ladang Fraser Kulai sehingga darjah enam.

Bekas ADUN Sedili pada tahun 1986 itu, juga pernah menjadi Pegawai Khas kepada Muhyiddin.

Pada PRU14, beliau dari Bersatu, mengalahkan calon Barisan Nasional Ali Mazat Salleh, yang merupakan penyandang kerusi berkenaan, dengan majoriti undi sebanyak 2,531 undi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment