Friday, June 28, 2019

SURI RUMAH BERUSIA 45 TAHUN MENANG TEMPAT KETIGA MRS KEBAYA NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN, 28 Jun (Bernama) -- Faktor usia bukanlah penghalang bagi suri rumah berusia 45 tahun ini untuk menyertai Pertandingan “Miss And Mrs Kebaya” Negeri Sembilan 2019, sekaligus memperoleh tempat ketiga pada pertandingan itu.

Zaizana Zainal Abidin, 45, yang berasal dari Ipoh, Perak berkata pada permulaannya beliau tidak begitu yakin untuk menyertai pertandingan ini apabila memikirkan usianya dan tidak mungkin dapat menandingi peserta yang lebih muda.

"Bagaimanapun atas dorongan dan galakan daripada suami dan rakan-rakan membuatkan saya lebih yakin dan bersemangat memasuki pertandingan ini.

"Rasa berdebar dan gemuruh semasa memperagakan pakaian dan sesi soal jawab. Ditambah lagi, peserta yang turut serta jauh lebih muda namun saya tetap optimis dan cuba melakukan yang terbaik," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Pertandingan ‘Miss And Mrs Kebaya’ Negeri Sembilan 2019 peringkat akhir di sini, hari ini.

Zaizana yang juga merupakan antara peserta paling berusia bagaimanapun berasa terharu apabila niatnya yang hanya sekadar suka-suka untuk menyertai pertandingan itu akhirnya berpihak padanya apabila dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Sementara itu, Tengku Nur Hasina Tengku Hidar Shah, 26, meraih tempat pertama sementara Noor Sheryl Aida Mohd Ropian, 24, mendapat tempat kedua dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM150 dan RM100

Seramai 20 finalis daripada pelbagai latar belakang dan umur berentap dalam peringkat akhir Pertandingan ‘Miss And Mrs Kebaya’ Negeri Sembilan 2019 ini, malam ini.

Pertandingan ‘Miss And Mrs Kebaya’ Negeri Sembilan 2019 ini merupakan sebahagian daripada program Karnival Hari Raya Benteng Walk anjuran kerajaan negeri dengan Persatuan Peniaga Medan Selera Benteng Walk yang berlangsung di Benteng Walk bermula hari ini hingga Ahad nanti.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Nicole Tan Lee Koon berkata program ini dapat menonjolkan kebersamaan pelbagai kaum dalam satu acuan perpaduan selain menjadikan Benteng Walk sebagai tempat tarikan pelancongan di Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

Thursday, June 27, 2019

TERENGGANU RANCANG WUJUDKAN PASAR TERAPUNG TAHUN DEPAN

KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Bernama) -- Bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Terengganu, kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan pasar terapung atau ‘floating market’ yang pertama di sini, tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Komunikasi negeri, Ariffin Deraman berkata pasar terapung itu akan diwujudkan di pinggiran muara Sungai Terengganu dan berdekatan dengan jambatan angkat (drawbridge), namun lokasi tepatnya masih di peringkat perbincangan.

“Kami (kerajaan negeri) masih berbincang tempatnya dan jumlahnya. Ia akan bersekali dengan apa telah ada di pinggiran muara sungai (Sungai Terengganu) seperti jambatan angkat dan Taman Tamadun Islam,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran PAS Terengganu, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga masih membincangkan konsep pasar terapung itu, selain mengkaji kelebihan dan kelemahan beberapa pasar terapung sedia ada seperti di Hatyai, Thailand.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut ditemui di majlis Rumah Terbuka berkenaan berkata kerajaan negeri menyambut baik inisiatif Persatuan Luncur Udara Terengganu (PLUT) dengan kerjasama Hiking Maras Committee menganjurkan ‘Open Fun Fly Paragliding Bukit Maras 2019’ selama tiga hari yang bermula esok di Bukit Maras, Kuala Nerus.

“Kerajaan negeri menyambut baik inisiatif mana-mana operator untuk berbincang dengan kita bagi menguruskan pelaksanaan acara. Bukan kita hendak laksanakan sendiri, tetapi untuk memudahkan supaya apa-apa berlaku ia dapat ditangani dengan cara terbaik,” katanya.

Acara itu bakal menghimpunkan kira kira 70 peserta dari Thailand, Kanada, Singapura, Sepanyol, Amerika Syarikat, Perancis, Iran, Indonesia, Filipina, Jerman, di samping negara tuan rumah Malaysia.

-- BERNAMA

Wednesday, June 26, 2019

DAHLAN MAAMOR BUAT LAPORAN POLIS

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Setiausaha Politik Menteri Pengangkutan Datuk Mohamad Dahlan Maamor hari ini membuat laporan polis bagi menafikan dua tuduhan dilemparkan Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM) yang disifatkan sebagai fitnah dan tidak berasas.

Beliau yang ditemui pemberita selepas membuat laporan di IPD Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini berkata ia berkaitan tuduhan enggan bertemu dengan wakil GTSM yang datang ke Kementerian Pengangkutan pada 19 Jun lepas dan tuduhan membuang memo yang diterima daripada GTSM dalam bakul sampah.

"Jadi hari ini saya tampil untuk buat laporan dan beri keterangan berdasarkan fakta mengenai apa sebenarnya yang berlaku pada 19 Jun," katanya.

Menurut Mohamad Dahlan, beliau difahamkan pihak GTSM juga membuat laporan polis terhadapnya kononnya beliau melabel pemandu teksi yang berhimpun di Kementerian Pengangkutan pada majlis rumah terbuka Aidilfitri kementerian itu sebagai membuat kecoh.

-- BERNAMA

Monday, June 17, 2019

PERANAN JURURAWAT TETAP PENTING WALAUPUN TEKNOLOGI CANGGIH



PUTRAJAYA, 18 Jun (Bernama) -- Peranan jururawat dalam sistem kesihatan tidak pernah terpinggir di sebalik kecanggihan teknologi terutamanya dalam aspek profesionalisme dan kesabaran yang dipamerkan terhadap pesakit, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.



Menurutnya, teknologi canggih membolehkan pesakit memantau secara dalam talian dan ‘sedikit sebanyak’ telah mengalihkan peranan jururawat.



"Walaupun bergantung kepada alat-alat canggih, jangan kita ketepikan peranan jururawat yang asas iaitu ‘caring attitude’ (sikap mengambil berat)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kejururawatan 2019 sempena sambutan Hari Jururawat dan Hari Bidan, di sini hari ini.



Menurutnya, seramai 129,925 jururawat dan bidan berdaftar di negara ini merupakan enjin penting kepada sistem penyampaian kesihatan terhadap masyarakat.



Berikutan perkembangan teknologi, katanya jururawat Kementerian Kesihatan turut melakukan perkembangan yang bersesuaian seperti memberi perkhidmatan penjagaan kejururawatan di rumah selepas pembedahan dan bersalin, serta perkhidmatan bergerak dari rumah ke rumah.



Hari Bidan dan Hari Jururawat disambut pada 5 Mei dan 12 Mei setiap tahun bagi menghargai jasa dan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat. Tema Hari Bidan bagi tahun ini adalah 'Midwives: Defenders of Women's Rights', manakala tema Hari Jururawat pula 'Nurse: A Voice to Lead - Health for All'.

-- BERNAMA

Sunday, June 16, 2019

TUNGGU SIASATAN POLIS UNTUK TENTUKAN KEDUDUKAN HAZIQ DALAM PKR

KUCHING, 16 Jun (Bernama) -- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada sebarang tindakan akan dikenakan terhadap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mengaku terbabit dalam aksi intim bersama seorang menteri kabinet dalam video lucah.

Bagaimanapun, beliau berkata PKR akan menunggu siasatan polis terlebih dahulu dan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru untuk menghukum sehinggalah Haziq terbukti bersalah.

Anwar bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Pimpinan PKR Negeri Sarawak di sini hari ini.

-- BERNAMA

Friday, June 14, 2019

CADANGAN TAMRIN SUPAYA TYT DARI ANAK MELAKA BELUM DIBINCANG

MELAKA, 14 Jun (Bernama) -- Perkara mengenai pelantikan jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka yang baharu daripada anak Melaka masih belum dibincangkan setakat ini, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.

Beliau berkata pihaknya juga belum membincangkan soal untuk mencadangkan lanjutan tempoh lantikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, atau mencadangkan calon bagi mengantikan Mohd Khalil yang bakal tamat tempoh lantikannya tahun depan.

"Perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan lagi, masih tiada keperluan lagi buat masa ini," katanya pada sidang media selepas program Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara, Ayer Keroh di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan Datuk Mohd Tamrin Ghafar, bekas Anggota Parlimen Batu Berendam juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Ghafar Baba, pada 6 Jun lepas mengenai jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka dalam kalangan anak Melaka.

Beliau juga ditanya mengenai hakikat bahawa sejak negara Merdeka pada 1957, anak Melaka tidak pernah dilantik ke jawatan tertinggi negeri ini iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka.

"Kita tahu Datuk Mohd Tamrin ada menyatakan pandangan ini, tetapi kita di peringkat negeri belum membincangkan lagi pandangan-pandangan ini kerana buat masa ini belum ada keperluan untuk kita membincangkan perkara itu," kata Adly.

Beliau berkata kriteria individu yang akan memegang jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka itu akan dilihat semula daripada faktor bagaimana seseorang itu dilantik memegang jawatan berkenaan sebelum ini di samping melihat apakah keperluan negeri dalam pelantikan itu.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kriteria anak Melaka akan dimasukkan atau sebaliknya, beliau berkata, "Tak pasti saya belum ada kepastian syarat-syarat itu harus dimasukkan".

Pada 27 Mei 2016, Mohd Khalil mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal keempat. Tempoh sepenggal sebelum ini adalah selama empat tahun.

Mohd Khalil yang berasal dari Kuantan, Pahang pertama kali mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantikan Tun Syed Ahmad Syed Mahmud Shahabudin. Isteri Mohd Khalil iaitu Toh Puan Zurina Kassim berasal dari Duyong, Melaka.

-- BERNAMA

Thursday, June 13, 2019

LOKMAN YANG SURUH POLIS SIASAT KES VIDEO AZMIN KENA TAHAN

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Polis mengesahkan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, telah ditahan malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi, mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut.

Media hari ini melaporkan yang Lokman ditahan susulan laporan polis yang dibuatnya berhubung satu video yang dikaitkan dengan seorang menteri.

-- BERNAMA

Wednesday, June 12, 2019

PASANGAN AZMIN MENGAKU TAPI AZMIN NAFI

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Berikut adalah kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya di media sosial.

Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya. Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politics (politik longkang). Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni.

Saya telah mengarahkan para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain. Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini.



DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Menteri Hal Ehwal Ekonomi

12 Jun 2019



-- BERNAMA

Monday, June 10, 2019

PEMIMPIN PKR PERTIKAI PELANTIKAN LATHEEFA KOYA



PULAU PINANG – Pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap ketelusan, keadilan dan reformasi institusi seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) menerusi manifestonya.



Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdul Halim Hussain berkata, rakyat kini sedang memerhati dan pemimpin PH perlu menunjukkan kesepakatan khususnya dalam pelantikan membabitkan jawatan utama.


Tambah beliau, meskipun pemilihan Latheefa memenuhi kriteria, namun proses pelantikannya perlu telus dan melalui prosedur serta manifesto PH.

Sehubungan itu, jelasnya, pelantikan pegawai kanan terutama bagi jawatan di dalam SPRM perlu melalui jawatankuasa pemilihan Parlimen.

“PH perlu serius untuk melaksanakan agenda reformasi seperti yang dijanjikan menerusi manifesto dan perlu menjelaskan kepada rakyat sekiranya terdapat janji yang tidak dapat ditunaikan.

“Kita tidak boleh menempuh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan manifesto baharu ketika kita mengabaikan serta gagal melaksanakan janji dalam manifesto PRU-14,” katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Halim yang juga Exco kerajaan negeri menyertai beberapa pemimpin PKR lain yang mempertikai kuasa veto Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam pelantikan Latheefa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Setiawangsa yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datin Dr. Tan Yee Kew antara yang lantang mempersoal pelantikan itu sehingga mempromosikan kempen mendesak Latheefa meletakkan jawatan menerusi petisyen internet.


Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri meminta Dr. Mahathir memberi penjelasan sewajarnya berhubung keputusan tersebut memandangkan bukan sahaja didakwa tidak bertepatan dengan manifesto PH dan Akta SPRM, tetapi turut tidak dimaklumkan kepada Kabinet.

Saturday, June 1, 2019

LAUT CHINA SELATAN HARUS KEKAL SEBAGAI KAWASAN AMAN PERSAHABATAN DAN PERDAGANGAN

SINGAPURA, 1 Jun (Bernama) -- Menteri Pertahanan Malaysia Mohamad Sabu hari ini mengkategorikan senario orde keselamatan kepada tiga pandangan strategik dengan meramalkan isu-isu berkaitan risiko bukan tradisional dan trend yang muncul memberi kesan kepada rantau Asia.

"Pandangan ini bakal menjadi tumpuan utama pada masa akan datang kerana ia menimbulkan cabaran besar. Jenayah maritim, keganasan dan keselamatan siber adalah cabaran utama yang perlu ditangani dengan sewajarnya," kata beliau ketika berkongsi perspektifnya mengenai tajuk “Asia’s Evolving Security Order and Its Challenges” pada sesi pleno Dialog Shangrila-la IISS ke-18 2019 di sini.

Mohamad yang berada di sini untuk Dialog selama tiga hari itu yang berakhir Ahad berkata jenayah maritim, terutama kegiatan lanun dan perampasan di laut, memerlukan pendekatan yang lebih kolaboratif di kalangan negara.

Beliau berkata isu-isu maritim berpotensi menjadi ancaman kepada negara-negara jika usaha bersepadu tidak digerakkan secara efektif.

"Jelas, perairan di Asia Tenggara menghadapi pelbagai cabaran, meliputi ancaman tradisional dan bukan tradisional di dalam dan luar pesisir," katanya.

Mohamad menarik perhatian bahawa persaingan kuasa-kuasa besar meningkatan lagi ketegangan di Laut China Selatan.

"Akibatnya, timbul risiko lebih besar bagi kepada kapal-kapal tentera laut dan pesawat yang menimbulkan kemungkinan berlaku pertembungan yang boleh mencetuskan konflik besar yang mengheret negara-negara anggota ASEAN ke kancah peperangan.

"Satu daripada isu itu ialah laut China selatan yang melibatkan keselamatan dan kelangsungan hidup kebanyakan negara jiran," kata beliau.

Mohamad menegaskan bahawa Laut China Selatan harus kekal sebagai kawasan aman persahabatan dan perdagangan dan bukan sebaliknhya rantau konfrontasi dan konflik yang ASEAN dan seluruh dunia dapat memanfaatkan lokasi strategiknya.

Menurut Mohamad, pandangan strategik kedua meramalkan senario di Asia Tenggara dan intra-Asia yang nmelibatkan tuntutan bertindih, pergerakan besar pelarian dan kebangkitan konflik dalaman.

"Isu pelarian Rohingya adalah bukti nyata konflik dalaman yang bertukar menjadi krisis kemanusiaan utama. Pendirian Malaysia mengenai isu Rohingya diketahui umum dan konsisten. Kami percaya bahawa keadaan di Rakhine tidak lagi menjadi konflik dalaman.

"Piagam ASEAN menyatakan dengan keras mengenai prinsip tidak campur tangan, dan Malaysia akan terus berpegang kepada prinsip ini," katanya.

Bagaimanapun, Mohamad berkata di luar dimensi kemanusiaan, terdapat juga dimensi keselamatan dan strategik yang menyaksikan pergerakan Rohingya secara meluas mewujudkan ketidakstabilan di rantau inii.

Sementara itu, satu lagi tinjauan strategik menggambarkan cabaran untuk mengawasi ketidaktentuan dan orde serantau yang kompleks akibat persaingan geopolitik.

"Pandangan ini terbit disebabkan oleh struktur kuasa multipolar yang dimanifestasikan oleh pentadbiran baharu Amerika Syarikat dan objektif dasar ekonomi dan keselamatan China untuk rantau ini.

"Ketidakpastian dalam hubungan antara Amerika Syarikat dan China akan kekal sebagai faktor yang jelas dalam membentuk kestabilan rantau Asia Pasifik khususnya negara-negara Asia Tenggara," kata Mohamad.

Turut berucap di platform yang sama ialah rakan sejawatannya dari Perancis dan Britain.

-- BERNAMA