Saturday, September 30, 2017

UMNO DAN BN UNTUK SEMUA KAUM

KOTA BELUD, 29 Sept (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan hanya parti untuk satu kaum tetapi untuk semua kaum di negara ini, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering menekankan UMNO dan BN adalah satu-satunya parti yang terbukti mampu menjaga kebajikan dan mensejahterakan rakyat.

"Oleh sebab itulah, sejak dahulu, UMNO dan BN terus disokong rakyat. (Jadi) Bagaimana (pembangkang) boleh mendakwa UMNO parti rasis sedangkan UMNO, sejak merdeka lagi, berkongsi kuasa dengan kaum lain dalam BN.

"Jika sudah sedia berkongsi kuasa dan berjaya mencipta kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negara, di mana rasisnya? Inilah yang saya tidak faham dengan dakwaan pembangkang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia mengadakan pertemuan santai dengan pengguna media sosial yang menggunakan aplikasi WhatsApp di Restoran R and R di sini.

Salleh berkata demikian bagi mengulas pihak tertentu yang mendakwa UMNO sebuah parti bersifat perkauman yang kononnya menafikan hak kaum India dan hak kaum-kaum lain.

Beliau turut kesal dengan pihak tertentu termasuk pembangkang yang salah tafsir akan kenyataan Najib iaitu "walaupun bapa dan datuk saya bukan dari Kerala, saya digelar Bapa Pembangunan Kaum India" ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung MIC ke-71 pada 24 Sept lepas, sehingga mendakwa kenyataan Perdana Menteri itu sekadar gimik politik.

"Jika PM Najib digelar sebagai Bapa Pembangunan Kaum India, itu memang wajar pun. Misalnya, untuk menjaga kebajikan masyarakat India, kerajaan menubuhkan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal orang India.

"Kerajaan juga telah mewujudkan sekretariat khas untuk memperkasa usahawan India, menyelesaikan masalah masyarakat India berkaitan kewarganegaraan dan juga menjaga keperluan sekolah aliran Tamil," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, September 27, 2017

HENDAK MINUM ARAK, MINUMLAH TAPI TAK PAYAH BERPESTA

SEREMBAN, 27 Sept (Bernama) -- Kalau hendak minum arak, minumlah tetapi tidak payahlah berpesta, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.


Beliau merasakan kalau hendak berpesta dalam keadaan begitu, ia tidak menunjukkan contoh yang baik kepada generasi muda.

"Saya tidak bercakap pasal agama tetapi dari segi moralnya pun sudah tidak betul. Cuba bayangkan budak-budak muda tengok orang tua-tua tunggang-langgang.

"Pesta arak ini mulanya dengan 'October Fest' di Jerman...huru-hara. Adakah anda mahu ini berlaku di Malaysia? Saya tidak yakin orang Malaysia yang waras, yang setuju. Saya tidak cakap dari segi asas agama, tapi dari segi asas moral," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Katanya janganlah hendak dipesta-pestakan perkara yang kurang baik dari segi moral

Tuesday, September 26, 2017

SUDAH 27 TAHUN DAP JADI KETUA PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Tindakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di masa lalu menunjukkan bahawa DAP adalah ketua umum pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dengan kerusi majoriti dimiliki DAP berbanding parti lain dalam pakatan pembangkang Salleh berkata DAP yang menentukan apa yang patut dilakukan.

"Kerjasama yang dijalin dengan PPBM sekadar untuk memberikan Pakatan muka Melayu untuk memancing pengundi Melayu. Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah boneka untuk memenangi undi Melayu dan diketengahkan kononnya sebagai pemimpin pembangkang tetapi tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan apa yang patut dilakukan walaupun dalam perkara seperti kerusi.

"DAP sentiasa berkuasa dan membuat keputusan apa yang patut dilakukan," katanya dalam catatan di blog rasmi beliau hari ini.

Terdahulu, Salleh yang juga bendahari UMNO berkata pada 1990, DAP yang membuat keputusan untuk menubuhkan pakatan pembangkang dengan Semangat 46 tetapi bukannya dengan PAS.

"Pada 1999, sekali lagi DAP memutuskan untuk menubuhkan pakatan pembangkang dengan PAS tetapi pada 2001 DAP keluar daripada pakatan itu dan bergerak secara solo.

"Kemudian pada pilihan raya umum 2008, sekali lagi DAP mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat dan selepas pilihan raya umum 2013 mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

"Walaupun mereka sepatutnya berkerja berdasarkan konsensus, semua keputusan dan pengumuman dibuat oleh Kit Siang dan bukannya oleh mana-mana pemimpin pakatan yang lain," katanya.

Salleh berkata sejak 1990 sehingga kini, Kit Siang telah menunjukkan bahawa DAP yang sebenarnya berkuasa dan mereka yang membuat keputusan apa yang patut dilakukan walaupun mereka mendakwa setiap orang dalam pakatan pembangkang adalah rakan kongsi yang setara.

"Bagaimanapun, tindakan Kit Siang bagi tempoh kira-kira 30 tahun lepas telah menunjukkan bahawa hanya apa yang dikehendaki DAP adalah penting dan jika ada sesiapa yang tidak menuruti kehendak DAP mereka akan disingkirkan," katanya.

-- BERNAMA
KUALA LUMPUR, 26 Sept (Bernama) -- Tindakan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang di masa lalu menunjukkan bahawa DAP adalah ketua umum pembangkang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Dengan kerusi majoriti dimiliki DAP berbanding parti lain dalam pakatan pembangkang Salleh berkata DAP yang menentukan apa yang patut dilakukan.

"Kerjasama yang dijalin dengan PPBM sekadar untuk memberikan Pakatan muka Melayu untuk memancing pengundi Melayu. Tun Dr Mahathir Mohamad hanyalah boneka untuk memenangi undi Melayu dan diketengahkan kononnya sebagai pemimpin pembangkang tetapi tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan apa yang patut dilakukan walaupun dalam perkara seperti kerusi.

"DAP sentiasa berkuasa dan membuat keputusan apa yang patut dilakukan," katanya dalam catatan di blog rasmi beliau hari ini.

Terdahulu, Salleh yang juga bendahari UMNO berkata pada 1990, DAP yang membuat keputusan untuk menubuhkan pakatan pembangkang dengan Semangat 46 tetapi bukannya dengan PAS.

"Pada 1999, sekali lagi DAP memutuskan untuk menubuhkan pakatan pembangkang dengan PAS tetapi pada 2001 DAP keluar daripada pakatan itu dan bergerak secara solo.

"Kemudian pada pilihan raya umum 2008, sekali lagi DAP mengumumkan penubuhan Pakatan Rakyat dan selepas pilihan raya umum 2013 mengumumkan Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

"Walaupun mereka sepatutnya berkerja berdasarkan konsensus, semua keputusan dan pengumuman dibuat oleh Kit Siang dan bukannya oleh mana-mana pemimpin pakatan yang lain," katanya.

Salleh berkata sejak 1990 sehingga kini, Kit Siang telah menunjukkan bahawa DAP yang sebenarnya berkuasa dan mereka yang membuat keputusan apa yang patut dilakukan walaupun mereka mendakwa setiap orang dalam pakatan pembangkang adalah rakan kongsi yang setara.

"Bagaimanapun, tindakan Kit Siang bagi tempoh kira-kira 30 tahun lepas telah menunjukkan bahawa hanya apa yang dikehendaki DAP adalah penting dan jika ada sesiapa yang tidak menuruti kehendak DAP mereka akan disingkirkan," katanya.

-- BERNAMA

Monday, September 25, 2017

KAYVEAS TAK JADI TANDING BEBAS

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia Tan Sri M. Kayveas berkata beliau akan akur dan menghormati apa juga keputusan Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) berhubung calon bagi kawasan Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Beliau berkata sebarang keputusan yang dibuat oleh Dewan Tertinggi BN adalah untuk kebaikan parti bagi memastikan kemenangan pada PRU akan datang.

"Saya tidak kisah dengan apa juga keputusan oleh dewan tertinggi namun calon itu mestilah calon yang disukai. Apa yang penting ialah memenangi kerusi itu untuk BN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri prapelancaran Skyawani Residensi, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,

Sebelum ini Kayveas dilaporkan mengintai peluang bertanding untuk di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU-14. Kerusi itu disandang bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel yang memenanginya pada PRU-13.

Kayveas yang juga Penasihat Kementerian Pengangkutan, berkata beliau telah meminta 'restu' Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berkhidmat untuk masyarakat di Cameron Highlands sejak tiga tahun lalu bagi membantu BN mempertahankan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun pada Perhimpunan Agung MIC yang berakhir semalam, Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam bertegas mahukan partinya bertanding di kerusi berkenaan.

MIC bertanding di kawasan itu sejak PRU-11.

Pada PRU lalu, Kayveas bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar di Teluk Intan, Perak namun akur kepada calon DAP Terence Naidu V King dengan kelebihan 13,037 undi.

-- BERNAMA

Sunday, September 24, 2017

AKHIRNYA YUSOF HASLAM DIBERI PENGIKTIRAFAN



KUALA LUMPUR 23 Sept. - Filem Adiwiraku terbitan Sol Pictures Sdn Bhd diangkat sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke 29 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.


Selain anugerah tersebut, filem itu turut mencipta kejayaan berganda apabila diumumkan pemenang bagi kategori Cerita Asal Terbaik (Jason Chang) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik iaitu Sanggeetha Krishnasamy.


Sementara itu, pengarah terbaik pula dimenangi oleh Dain Iskandar Said menerusi filem Interchange.

Filem itu turut menyaksikan Shaheizy Sam diangkat menjadi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Manakala filem Redha pula memenangi tiga anugerah dengan menyaksikan pengarahnya, Tunku Mona Riza menggondol anugerah Pengarah Harapan Terbaik.

Dua lagi anugerah yang dimenangi ialah Pelakon Lelaki Terbaik (Namron) dan isterinya, June Lojong menerusi anugerah Pelakon Wanita Harapan.

Senarai pemenang Festival Filem Malaysia ke-29

Filem Box Office: Abang Long Fadil 2

Rekaan Kostum/ Busana Terbaik: Akmar Suriati Awang (Hanyut)

Penataan Bunyi Terbaik: Daniel (Hanyut)

Sinematografi Terbaik: Jordan Chiam (Interchange)

Penyunting Terbaik: Nazim Shah (J Revolusi)

Penataan Seni Terbaik: Zaharah Nakibullah (Interchange)

Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Harith Haziq (Redha)

Pelakon Wanita Harapan: June Lojong (Redha)

Pelakon Lelaki Harapan: John Tan (You Mean The World To Me)

Pengarah Harapan: Tunku Mona Riza (Redha)

Skor Muzik Terbaik: Koon Wei Gee (You Means The World To Me)

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Diana Danielle (Hanyut)

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam ( Interchange)

Cerita Asal Terbaik:

Anugerah Khas Juri 1: Desolasi

Anugerah Khas Juri 2: Shuttle Life

Anugerah Khas Juri 3: Pekak

Lakon Layar Terbaik: Saw Teong Hin (You Mean The World To Me

Penggiat Belakang Tabir: Johan Ariffin Ibrahim

Karyawan Sepanjang Zaman: Datuk Yusof Haslam

Pelakon Wanita Terbaik: Sangeetha krishnasamy ( Adiwiraku)

Pelakon Lelaki Terbaik: Namron (Redha)

Pengarah Terbaik: Dain Said (Interchange)

Filem Terbaik: Adiwiraku


Saturday, September 23, 2017

HINDARI AMALAN RASUAH DAN PERPECAHAN

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu menghindarkan amalan rasuah dan perpecahan perpaduan yang satu ketika dahulu telah menyebabkan perang saudara yang melemahkan ummah sehingga meruntuhkan Empayar Islam, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata rakyat perlu belajar daripada sejarah dan mengelakkan nasib yang sama, memandangkan Maal Hijrah bukan sahaja menyambut tahun baharu tetapi juga meraikan maksud di sebalik penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah pada tahun 622.

"Mengimbau tahun 622, apabila Eropah masih di dalam Zaman Kegelapan, Dunia Islam berjuang untuk kebebasan, hak-hak sivil dan mengakhiri penindasan dan pembunuhan. Muslim, Yahudi dan Kristian hidup bersama dalam satu masyarakat dan menghormati hak dan agama masing-masing.Keadaan itu mendorong apa yang ahli sejarawan menyifatkan era kegemilangan Islam,"katanya dalam catatan blog beliau sskeruak.blogspot.my, malam ini sempena sambutan Maal Hijrah 1439H.

"Malangnya ini semua akan musnah kerana rasuah dan perpecahan. Perang saudara meletus dan ini melemahkan ummah sehingga menyebabkan runtuhnya Empayar Islam.

Malaysia adalah rapuh kerana masyarakat yang berbilang kaum dan golongan tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan dan merosakkan perpaduan,"katanya.

-- BERNAMA

Friday, September 22, 2017

BIKUM SASAR LAWAT 60 RIBU RUMAH SEHINGGA AKHIR TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Biro Kebajikan UMNO (BIKUM) menyasarkan untuk melawat lebih 60,000 rumah di 60 lokasi di seluruh negara sehingga akhir tahun ini menerusi jelajah program 'UMNO Bantu Rakyat 2.0' yang bermula hari ini.

Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata program itu selari dengan matlamat UMNO yang mengutamakan kebajikan dan membela rakyat sepanjang masa selain memperkukuhkan imej parti.

"Sasarannya kepada golongan miskin, ibu tunggal, pelajar dan golongan yang memerlukan di kawasan bandar dan luar bandar tanpa mengira kaum.

"Pendekatan kali ini sedikit berbeza iaitu lebih kepada akar umbi meliputi aktiviti yang dirancang BIKUM peringkat pusat bersama pimpinan negeri termasuk Pemuda, Wanita, Puteri UMNO dan Bahagian yang lebih menjurus kepada lawatan ke rumah-rumah di kawasan terpilih," katanya pada sidang media program itu di sini hari ini.

Program berkenaan adalah kesinambungan program UMNO Bantu Rakyat Fasa 1 yang dilancarkan Mei lepas dan berjaya membantu kira-kira 300,000 golongan sasar di 21 kawasan di seluruh negara.

Shamsul Anuar berkata antara aktiviti yang akan dilaksanakan menerusi program UMNO Bantu Rakyat 2.0 adalah membuka 20,000 akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) secara percuma kepada pelajar tahun satu dan Klinik BIKUM Medical Team yang akan bergerak ke rumah-rumah yang mempunyai pesakit kronik.

"Turut diadakan adalah klinik motosikal percuma kepada golongan muda dan yang memerlukan, program pemeriksaan dan penyelenggaraan pendawaian rumah serta memperbaiki dan menghias rumah yang dilawati," katanya.

Menurutnya BIKUM akan melawat kumpulan sasar di enam lokasi di Pahang iaitu Bentong, Paya Besar, Temerloh, Bera, Pekan dan Cameron Highlands mulai hari ini sehingga Ahad diikuti negeri-negeri lain secara berperingkat.

Program itu mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Giat Mara dan Kementerian Kesihatan dengan lebih RM150,000 diperuntukkan untuk setiap kawasan yang dikunjungi, kata Shamsul Anuar.

-- BERNAMA

Thursday, September 21, 2017

UCAM TAWARKAN DIPLOMA KEPADA PENGERUSI JKKK

IPOH, 21 Sept (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berpeluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka dengan mengikuti kursus peringkat diploma yang akan ditawarkan mulai tahun depan.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) sedia menawarkan Diploma Pentadbiran Luar Bandar kepada para pengerusi JKKK.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kursus peringkat diploma itu adalah terbuka dan ia merupakan pilihan kepada mana-mana pengerusi JKKK yang berminat,

"Ia pilihan dan bukannya wajib seperti Sijil Tadbir Urus Desa yang mesti diikuti oleh setiap pengerusi JKKK sekarang dan perbincangan lanjut dengan UCAM sedang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK, JKKK Persekutuan dan JKKK Orang Asli Zon Utara yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini, hari ini.

Pada majlis itu 1,200 peserta dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menamatkan kursus intensif selama tiga hari bermula 19 Sept lepas.

Wednesday, September 20, 2017

VIDA KATA NIATNYA BUKAN UNTUK BERLAGAK RIAK



KUALA LUMPUR 19 Sept. - Tindakan usahawan kosmetik ternama, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman atau Dr. Vida duduk dalam tab mandi yang dipenuhi wang kertas RM100 dan RM50 berserta barangan kemas mewah koleksinya mengundang kritikan daripada netizen.


Menerusi foto yang dimuat naik personaliti berusia 46 tahun itu dalam laman sosial Instagram peribadinya @datoserivida lima jam lalu, netizen berpendapat, Dr. Vida tidak sewajarnya menunjukkan kekayaan sedemikian rupa.


Bagaimanapun, mempertahankan tindakannya itu, Dr. Vida berkata, niatnya berbuat demikian bukanlah untuk berlagak riak atau menunjukkan kekayaan, sebaliknya, keputusan memuatkan wang dan barangan kemas dalam tab mandi itu semata-mata kerana mahu memberi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia supaya bekerja keras untuk menjadi seperti beliau.

“Boleh dikatakan hampir 90 peratus netizen hentam saya kerana mereka tidak faham dengan konsep yang saya tonjolkan itu. Setiap kali saya buat sesuatu perkara mesti ada sasaran. Untuk klip video arahan Ghaz Abu Bakar itu saya mahu ianya capai taraf antarabangsa seperti penyanyi Taylor Swift.

“Sebenarnya saya rancang buat klip video sebegitu sejak dua bulan lalu sewaktu lagu I Am Me dilancarkan, tak sangka konsep yang saya fikir itu dah dipakai oleh Taylor Swift dulu. Kalau dia mandi berlian, saya pula mandi wang. Tak tahulah kalau dia juga dikecam seperti saya,” katanya kepada Utusan Online.

Jelas Dr. Vida lagi, jalan cerita untuk lagu ciptaan Edry Kru itu difikirkan olehnya sebelum diceritakan kepada pengarah untuk direalisasikan.

“Klip video saya ini bukan nak menunjuk atau riak dengan kekayaan tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang ramai tentang wang dan kemewahan. Senang cakap apa yang ditonjolkan adalah satu cara kehidupan agar orang ramai berusaha untuk berjaya, tapi orang tak faham. Terkesima juga saya dengan komen-komen mereka itu.

“Untuk klip video itu saja saya telah membelanjakan kira-kira RM1 juta. Kos produksi saja menelan belanja RM180,000, untuk peralatan klip video itu saya telah membelanjakan kira-kira RM80,000 dan cincin rama-rama yang saya pakai itu berharga RM400,000. Disebabkan saya nak konsep rama-rama, cincin itu ditempah, nanti kalau siapa berminat saya akan lelong sebab itu bukan cincin biasa,” ceritanya yang turut menggunakan wang sebenar sebagai peralatan selain wang fotokopi.

Menurut Dr. Vida juga, sebelum merakamkan klip video itu, beliau juga berdoa dan bermohon kepada Allah agar memberikannya ilham untuk melakukan penggambaran klip video yang penuh dengan warna warni dan ceria itu.

Klip video tersebut kata beliau, akan dilancarkan secara rasmi pada 30 September ini.

Single I Am Me merupakan percubaan kali pertama Dr. Vida dalam bidang seni suara.

Beliau sebelum ini sangat masyhur dengan jenama Qu Puteh iaitu produk kecantikan dan kesihatan yang diasaskannya


PELIK TAPI BENAR: ADUN EXCO PERUMAHAN RAKYAT TIADA RUMAH

KUALA NERANG, 20 Sept (Bernama) -- Lima beranak yang tinggal dalam sebuah pondok daif yang tidak berdinding dan berpintu dengan hanya berlantaikan buluh dalam kawasan hutan kebun getah di Kampung Kuala Tualak di sini, bakal menerima bantuan rumah di tapak berhampiran.

Perkara itu dinyatakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Datuk Badrol Hisham Hashim selepas mengunjungi keluarga itu di pondok mereka.

Pasangan muda itu, Mohd Ridzuan Yaakob, 26, dan isterinya, Nur Hidayah Roslizam, 23, yang sedang hamil enam bulan, serta tiga anak mereka berusia setahun setengah hingga enam tahun tinggal di pondok itu hampir setahun yang lalu.

Nur Hidayah yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata dia mengambil keputusan mengikut suaminya, dari Kampung Baru Tualak di sini, tinggal dalam pondok itu untuk memudahkan suaminya yang bekerja kampung mencari rezeki di kawasan hutan itu.

"Sebelum ini saya tinggal dengan mak mertua tetapi terpaksa pindah sebab adik-beradik suami pun duduk sekali dengan mak. Kemudian kami menyewa di luar, itu pun tidak sampai sebulan, kami ambil keputusan duduk di sini (kebun getah).," katanya.

Tuesday, September 19, 2017

PARTI PEMBANGKANG UMPAMA DAHAN YANG RAPUH

KUALA LUMPUR, 19 Sept (Bernama) -- Tindakan beberapa pemimpin pembangkang keluar parti menunjukkan parti itu umpama dahan yang rapuh dan tidak mampu menjadi penyelamat kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Merujuk perkembangan semasa, beliau berkata parti pembangkang gagal menyatukan anggotanya untuk terus kekal bersama parti.

Katanya dua hari lepas bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib yang sebelum ini bersama PKR telah kembali ke pangkuan UMNO.

Sebelum itu, bekas Penolong Setiausaha Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Hasnita Hishamudin, bekas Setiausaha PPBM Kamarul Azman Habibur Rahman, Naib Presidennya Datuk Hamidah Osman dan Ketua Srikandi yang juga antara pengasas PPBM, Ainina Saidin turut bertindak keluar parti.

"Alasan mereka keluar parti kerana merasakan perjuangan pembangkang adalah sia-sia, bimbang melihat perpecahan orang Melayu, parti itu tidak pernah berjuang untuk kepentingan anggota dan rakyat kerana lebih mengutamakan kepentingan peribadi serta kroni, dan parti itu telah menjadi alat DAP.

"Pertanyaannya, bolehkah kita percaya kepada parti sebegini untuk memerintah negara kita?," soal beliau dalam catatan terkini di blog sskeruak.blogspot.com, hari ini.

Mengulas catatannya yang bertajuk "Pentingnya memilih parti yang kukuh'', Salleh memetik pandangan pakar pemasaran politik dari New Zealand, Lees-Marshment dalam bukunya 'The Political Marketing Game (2011)' yang menyatakan untuk menang dalam pilihan raya, sesebuah parti mesti mempunyai strategi pemasaran politik yang baik.

Menurut penulis itu, satu daripada strategi tersebut ialah berasaskan kepada pasaran, iaitu parti hendaklah mempunyai satu produk besar yang boleh dipasarkan kepada rakyat.

"Jika dalam konteks Malaysia, apakah produk tersebut? Tentunya produk itu ialah imej parti, sumbangan parti dan perpaduan parti.

"Dalam hal ini, hanya UMNO dan BN (Barisan Nasional) mempunyai rekod ini," katanya

Salleh juga memetik catatan bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton dalam bukunya 'Back to Work : Why We Need Smart Government for a Strong Economy' (2011) yang menyatakan rakyat memerlukan kerajaan bijak untuk ekonomi yang kuat, selain kerajaan yang bijak adalah kerajaan yang kukuh, bersatu, menjaga kebajikan rakyat dan tidak berpecah belah.

-- BERNAMA

Sunday, September 17, 2017

MIKE TYSON GANTI ANNUAR MUSA?

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Setelah hampir lima tahun melayari persada politik tanah air di pentas pembangkang, bekas naib presiden UMNO Tan Sri Muhammad Muhamad Taib kembali ke gelanggang parti itu, sekali gus menggembleng usaha parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Muhammad, 72, yang juga bekas Menteri Besar Selangor selama 11 tahun dari 1986 hingga 1997 dan terkenal dengan nama jolokannya ? Mike Tyson', mewarnai dunia politik walaupun tidak serik jatuh dan bangun dalam dunia politik demi perjuangan membangunkan orang Melayu.

Menyedari hanya UMNO sahaja berupaya memperjuangkan nasib rakyat dan memajukan negara, beliau memutuskan untuk kembali kepada parti itu, parti politik pertama yang disertainya pada 1964, seperti yang diumumkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.



Berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan, Muhammad merupakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali bagi empat penggal iaitu dari 1982 hingga 1999 dan dilantik menjadi Menteri Besar Selangor pada Ogos 1986 serta menjadi antara tokoh UMNO paling popular.

Beliau meletakkan jawatan menteri besar pada 14 April 1997 berikutan pertuduhan membuat pengisytiharan palsu di Brisbane, Australia atas cubaan membawa keluar RM2.4 juta dari negara itu.

Kerjaya politik beliau nyata tidak malap dalam arena politik negara apabila beliau dilantik menjadi Ketua Penerangan UMNO dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan UMNO Selangor pada 26 Okt 2004.

Pengalamannya selama 47 tahun dalam politik negara juga menjadi antara kayu ukur kepada lantikan beliau sebagai senator pada 17 Nov 2006 untuk tempoh tiga tahun oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu.

Berikutan pelantikan itu, Muhammad dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bermula 18 Mac 2008 sebelum berakhir pada 9 April 2009 setelah berlaku rombakan Kabinet oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Muhammad kalah kepada kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan parti untuk penggal 2008 hingga 2011.

Selepas menyepikan diri daripada dunia politik, Muhammad memutuskan untuk menyertai PAS pada 22 April 2013.

Bagaimanapun, keanggotaannya di dalam PAS hanya seketika apabila disingkirkan parti itu pada Julai 2015 setelah beliau didapati terlibat dalam Gerakan Harapan Baharu yang dipimpin bekas Naib Presiden PAS, Mohammad Sabu.

Muhammad meninggalkan PAS untuk menyertai PKR pada 11 Sept 2015 .

Ulasan saya, Selangor memerlukan pemimpin yang ada aura dan command seperti Muhammad. Pengerusi perhubungan yang ada sekarang, Tan Sri Noh Omar tidak ada aura dan command seperti Muhammad. Maka kemasukan semula Mike Tyson boleh membantu kemenangan BN Selangor.

Untuk bergerak ke seluruh Selangor Mike Tyson memerlukan jawatan seperti Ketua Penerangan. Maka jawatan Ketua Penerangan Umno Selangor sesuai buat Mike Tyson. Tapi Najib perlukan Mike Tyson bergerak ke seluruh negara. Maka Mike Tyson sesuai menggantikan Tan Sri Annuar Musa.


Saturday, September 16, 2017

TUTUPLAH PONDOK DAN TAHFIZ YANG TIDAK BERDAFTAR DEMI KESELAMATAN PELAJAR

KUALA TERENGGANU, 16 Sept (Bernama) -- Terdapat 25 institusi pondok dan tahfiz di Terengganu masih belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) setakat ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib.

Beliau berkata jumlah itu bagaimanapun agak kecil berbanding 81 institusi pondok dan tahfiz yang telah berdaftar dengan JHEAT dan menikmati pelbagai kemudahan daripada kerajaan pusat dan kerajaan negeri selama ini.

"Sebahagian daripada 25 institusi pondok dan tahfiz ini telah menghantar permohonan kepada JHEAT namun belum mendapat kelulusan kerana masih banyak perincian tidak lengkap antaranya perakuan status tanah mengikut perundangan dan kelayakan tenaga pengajar.

Mungkin ia kelihatan perkara remeh tetapi sangat penting bagi mengelak sebarang kekeliruan pada masa akan datang terutama di kalangan waris (jika tanah wakaf) dan silibus pembelajaran bagi memastikan ia adalah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahfiz Darul Hijrah dekat Chendering di sini yang merupakan satu daripada 25 institusi yang masih belum berjaya mendapat kelulusan dari JHEAT.

Ghazali berkata institusi pendidikan pondok sangat signifikan di Terengganu kerana ia adalah sistem pendidikan tertua di negeri itu sejak zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin sekitar tahun 1900.

"Setiap mudir atau pengetua institusi pondok dan tahfiz ini mempunyai caranya, acuan pendidikan dan 'rohnya' yang tersendiri. Kita memahami perkara itu kerana pada akhirnya matlamat kesemuanya hanya satu iaitu melahirkan insan soleh dan solehah yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

"Secara peribadi, sebagai Exco Tugas-Tugas Khas, saya juga sering membuat lawatan mengejut ke institusi pondok dan tahfiz ini. Ia tidak dilakukan secara bermusim dan saya berpuas hati dengan peranan yang dimainkan institusi ini kerana semuanya masih berlandaskan syariat Islam sebenar tanpa sebarang percanggahan yang boleh mengelirukan ummah," katanya.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil berkata kerajaan negeri juga berharap kesemua 25 institusi pondok dan tahfiz yang belum mendapat kelulusan itu segera bertindak agar mematuhi peraturan secepat mungkin.

"Kita faham kekangan yang mereka hadapi, sebab itu kita tidak letak tempoh masa tertentu (pendaftaran dengan JHEAT) namun pada masa sama perlu ada inisiatif dan komitmen tinggi dari pengurusan institusi ini untuk mendapatkannya untuk kebajikan dan keselamatan pelajar.

Kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk memastikan aspek keselamatan di institusi ini berada pada tahap terbaik untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Kadar bantuan tahunan yang diberi JHEAT melalui bantuan Baitulmal kategori fisabilillah kepada institusi ini ialah sebanyak RM40,000 bagi bilangan pelajar 40 hingga 80 orang, 81 hingga 120 pelajar (RM60,000), 121 hingga 160 pelajar (RM80,000), 161 hingga 200 pelajar (RM100,000) dan 200 pelajar ke atas pula akan dibayar mengikut kesesuaian dan kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Sekiranya jumlah pelajar tidak mencapai angka minimum yang ditetapkan iaitu 40 orang, kelulusan bantuan diberi adalah bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa.

Sementara itu, Penasihat Teknikal Pusat Tahfiz Darul Hijrah, Shafie Ismail berkata pihaknya telah menghantar permohonan layak menduduki (CF) kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kira-kira enam bulan lepas.

"Bagaimanapun ia masih belum diluluskan kerana terdapat beberapa aspek yang masih belum mengikut kriteria ditetapkan MBKT.

"Susulan itu, pengurusan tahfiz telah menubuhkan pasukan khas teknikal terdiri dari jurutera dan juruukur untuk menambah baik sistem keselamatan di sini agar layak menerima perakuan CF seterusnya berdaftar dengan JHEAT secepat mungkin," katanya.

Pusat Tahfiz yang mula beroperasi pada tahun 2015 itu sehingga kini mempunyai 80 pelajar daripada usia tujuh hingga 17 tahun.

Ia adalah antara pusat tahfiz serba moden di Terengganu dengan kelengkapan dewan serbaguna berhawa dingin, kolam renang, taman permainan, kantin, asrama dan tempat latihan memanah.

-- BERNAMA

PEMIMPIN CAWANGAN DAN BAHAGIAN PERLU PANTAS TANGKIS FITNAH

KOTA BHARU, 16 Sept (Bernama) -- Pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan bahagian perlu proaktif dan pantas menangkis fitnah dilemparkan pembangkang terhadap kepimpinan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata pembangkang menabur fitnah untuk mengelirukan rakyat dan jika lambat ditangkis, ia akan menjadi persepsi yang sukar diperbetulkan.

"Pembangkang hidup dengan fitnah, selagi kita (UMNO) tidak menjawab, dia akan timbulkan lagi banyak perkara. Pembangkang akan lebih suka kalau kita tidak menjawab dan akhirnya membentuk persepsi bahawa apa yang difitnahkan itu adalah kebenaran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua UMNO bahagian itu Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Ismail Sabri berkata jentera UMNO merangkumi lebih 22,000 cawangan dan 191 bahagian tidak seharusnya membiarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berseorangan menghadapi fitnah yang giat dilakukan pembangkang apabila pilihan raya umum semakin hampir.

Sebagai contoh, katanya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendakwa kononnya Najib tidak berani ke Amerika Syarikat kerana mungkin ditangkap, namun semuanya itu tidak benar berikutan lawatan perdana menteri ke negara tersebut baru-baru ini.

Selain itu, Ismail Sabri meminta seluruh jentera UMNO supaya lebih agresif mendedahkan masalah dan kelemahan pembangkang di negeri pimpinan mereka iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan supaya diketahui selain perpecahan yang berlaku dalam kalangan mereka.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang, beliau berkata semua parti komponen perlu bekerjasama membuat persiapan bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN).



-- BERNAMA

Friday, September 15, 2017

22 JENAZAH DIKEBUMI DI TANAH PERKUBURAN RAUDHATUL SAKINAH



KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Pengebumian 22 jenazah daripada 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini, diselubungi suasana hiba dan pilu waris, kenalan serta serta ribuan orang ramai yang hadir mengiringi perjalanan terakhir mereka.

Pengebumian bermula kira-kira 6.30 petang selepas kesemua jenazah selesai disembahyangkan di surau kuarters Hospital Kuala Lumpur, lalu dibawa ke tanah perkuburan dan selesai sepenuhnya di kesemua sembilan lokasi pusara kira-kira pukul 9.30 malam.

Tumpuan terarah di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, dekat sini apabila 11 jenazah pelajar dikebumikan secara berperingkat di dalam 11 liang lahad, termasuk jenazah tiga beradik Muhammad Shafiq Haikal Sulaiman 13; Muhammad Hafiz Iskandar 11; dan Muhammad Haris Ikhwan 10.

Jenazah yang lain ialah Muhammad Taufik Hidayat Norazizan, 16; Muhammad Daniel Md Amin, 14; Muhammad Hazim Ahmad Nor, 13; Muhammad Nizammudin Nasron, 13; Ahmad Harith Adam Mohd Nor Hadi, 12; Muhammad Zatullah Roslan, 11; Amiel Asyraaf Abd Rasid, 11; dan Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri,10 tahun.

Kesemua mangsa sepengajian dikebumikan dalam satu barisan panjang dan dengan papan tanda kecil tertera nama masing-masing bagi memudahkan waris dan kenalan mengenal pasti pusara mereka.






Urusan pengebumian kesemua 11 jenazah selesai sekitar 9 malam dalam penuh syahdu diiringi esakan dan linangan air mata anggota keluarga sewaktu menjirus air mawar dan menabur bunga, malah ada antara waris yang pengsan sewaktu jenazah diturunkan ke liang lahad.

Kebakaran 5.15 pagi semalam yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru itu mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berkenan berangkat menziarahi lokasi kejadian malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sejurus tiba dari London selepas melakukan lawatan kerja di United Kingdom dan Amerika Syarikat, petang tadi bergegas ke pusat tahfiz itu mengiringi Seri Paduka Baginda.






Tragedi ngeri itu mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sejak semalam meninjau lokasi dan melawat mangsa di hospital bagi membantu menyegerakan urusan pengesahan identiti mangsa sehingga ke urusan pengebumian.

Suasana hiba juga menyelimuti Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, di sini, di mana empat jenazah pelajar iaitu dua beradik Azkar Abiedi F. Zaskar, 11 dan Azkar Dariemi, 8, serta sepupunya Muhammad Afiq Haqimie Hairulizwan, 11, dikebumikan bersama dalam satu liang lahad, manakala Nik Muhammad Ridzuan Nik Azalan, 12, dikebumikan berasingan.

Kira-kira 300 orang terdiri daripada waris dan kenalan hadir untuk urusan pengebumian yang selesai pada 8.10 malam.

Kesayuan menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat, yang hanya 500 meter dari lokasi kebakaran, apabila jenazah Muhammad Haikal Abdullah, 12, dikebumikan.

Ibu kepada Allahyarham, Hudah Abdul Ghani, 54, ketika ditemui tidak menyangka tiga kali pesanan supaya menjadi diri baik-baik dan pelukan erat anak bongsunya di pusat tahfiz Rabu lalu, menjadi perjumpaan terakhir mereka berdua.

Sementara itu, empat lagi jenazah pelajar iaitu Muhammad Hasrullah Ismail, 14; Ahmad Rijal Mohammad Rodzi, 13; Muhammad Aiman Ramzanudin, 12; dan Muhammad Fahmie Abdullah, 11; masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kuari, Cheras; Taman Putra Perdana, Puchong ; Taman Medan, Jalan Klang Lama, dan Paroi Jaya, Negeri Sembilan.

Jenazah mangsa termuda, Umar Al-Khatab Helmi, 6, dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Jenazah seorang daripada dua warden yang juga guru iaitu Mohd Yusuf Md, 26, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 4, Sungkai kira-kira 9.30 malam.

Urusan pengebumian jenazah seorang lagi warden iaitu Muhammad Amrul Nizam Sakarno, 25, yang masih dalam perjalanan ke kampung halamannya dijangka disempurnakan di tanah perkuburan Pengkalan Kubur, Kelantan, awal pagi esok.

Tragedi kebakaran terburuk dalam dekad melibatkan sekolah agama itu turut menyebabkan enam pelajar lain dan seorang awam cedera.

-- BERNAMA

Thursday, September 14, 2017

NEGARA JIMAT RM3.2 BILION SEKIRANYA TANAM JAGUNG SENDIRI

ISKANDAR PUTERI, 14 Sept (Bernama) -- Negara dijangka dapat menjimatkan RM3.2 bilion sekiranya jagung ditanam dalam negara berbanding mengimportnya, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ketika ini negara membelanjakan RM3.2 bilion untuk mengimport tiga juta tan metrik (mt) jagung setiap tahun bagi menampung keperluan permintaan dalam negara.

"Saya berpendapat sekiranya kita berhasrat mahu melakukan penanaman sendiri, ia memerlukan kawasan seluas 300,000 hingga 400,000 hektar tanaman jagung bagi menampung permintaan jagung di dalam negara.

"Ini merupakan salah satu cara kita menjimatkan perbelanjaan negara dan saya memuji usaha yang telah dilakukan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) yang giat membuka kawasan-kawasan baharu bagi penanaman jagung bagi menghasilkan makanan ternakan ayam tempatan, katanya."

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPNJ ke-39 di sini hari ini.

Tambah Ahmad Shabery, tahap sara diri bagi pengeluaran daging ayam tempatan adalah sebanyak 100 peratus tetapi Malaysia mengimport sebanyak 100 peratus makanan untuk ternakan terutama jagung bijian.

Wednesday, September 13, 2017

PEMBOHONGAN PEMBANGKANG TERSERLAH

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Pertemuan positif dan mesra antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja satu penghormatan tinggi kerajaan Amerika kepada Najib dan Malaysia, malah menyerlahkan pembohongan pembangkang di negara ini.


Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pertemuan yang berlangsung pada Selasa di Rumah Putih atas undangan Trump itu, membuka pembohongan dan fitnah terhadap Najib oleh pembangkang selama ini termasuk oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pertemuan Trump dengan Najib membuka pembohongan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta pembangkang yang satu ketika dahulu mengatakan Najib akan ditangkap jika ke Amerika Syarikat, malah pesawat pun tidak dibenarkan melalui ruang udara negara itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Isu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) juga tidak menjadi persoalan dalam pertemuan itu sepertimana yang digembar-gemburkan pihak pembangkang, kata Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

-- BERNAMA

Tuesday, September 12, 2017

KULINARI JADI BIDANG PENTING SEKTOR MAKANAN NEGARA MASA DEPAN

SERDANG, 12 Sept (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedia memainkan peranan yang efisien menjadikan kulinari sebagai antara bidang penting sektor agromakanan negara pada masa depan.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ketika ini disiplin itu hanya digerakkan 
secara individu tanpa ada satu kementerian atau jabatan khusus yang menjadi pemangkin kepada bidang berkenaan untuk berkembang dengan lebih berstrategik.

Beliau berkata kulinari yang berkait rapat dengan bidang utama kementerian perlu diberi perhatian khusus daripada hanya terhad kepada persoalan berapa banyak produk pertanian yang dikeluarkan dan apakah ia mencukupi kepada pasaran.

Kementerian melihat kulinari sebagai suatu disiplin yang perlu dibangunkan secara serius dan kami merasa gembira jika diberi kesempatan membangunkan sektor ini sebagai satu daripada masa depan agromakanan negara ,katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK2017) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini hari ini.....

Monday, September 11, 2017

KERAJAAN KOMITED UNTUK MAJUKAN INDUSTRI IKAN TUNA

BUTTERWORTH, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan komited untuk terus memajukan industri ikan tuna di negara ini kerana ia mampu menjana pendapatan negara dan dijangka memberi pulangan pendapatan RM1 bilion menjelang tahun 2020.


Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu industri itu dipandang serius dan buat masa ini dua pelabuhan telah didaftar sebagai 'designated tuna port' iaitu Dermaga Air Dalam Pelabuhan Pulau Pinang di sini dan Pelabuhan Tanjung Lembung di Langkawi, Kedah.

"Pihak kerajaan amat menggalakkan pendaratan tuna di pelabuhan yang didaftarkan dengan Suruhanjaya Tuna Lautan Hindi (IOTC)," katanya kepada pemberita selepas majlis pendaratan ikan tuna oleh Vesel Kha Yang 333 di Dermaga Air Dalam di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata pada tahun ini kementerian menyasarkan 3,000 tan metrik ikan tuna dengan nilai RM60 juta didaratkan di Pelabuhan Pulau Pinang.

"Pulau Pinang lebih besar daripada Langkawi dan ia adalah yang utama, kemudahannya juga lebih baik daripada Langkawi maka kita mengharapkan sasaran pendaratan ikan tuna ini mampu tercapai. Sekarang ini (sehingga September 2017) sebanyak 1,100 tan metrik telah berjaya didaratkan di pelabuhan ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata sekitar tahun 1980-an Pulau Pinang terkenal dengan pendaratan ikan tuna tetapi aktiviti itu semakin berkurangan apabila ramai pengusaha ikan tuna beralih ke negara lain.

"Sekarang kami mahu menarik mereka (pengusaha tuna) kembali ke negara kita terutama sekali mereka yang mendapat lesen ataupun kuota menangkap ikan tuna," katanya.

Ahmad Shabery berkata selain pendaratan ikan tuna, elemen lain juga perlu dilakukan di negara ini termasuk pemprosesan ikan itu agar ia memberi nilai tambah yang lebih besar kepada negara.

Beliau berkata tahun lepas, pendaratan ikan itu di negara ini ialah 76,500 tan metrik dan ia boleh ditingkatkan kepada 100,000 tan metrik tahun ini.

Sebahagian besar daripada tuna yang didaratkan di Malaysia ialah daripada spesies neritik atau perairan pantai seperti skipjack (tongkol/aya jalur) dan longtail (tongkol/aya itam).

Pada majlis itu Ahmad Shabery turut menyaksikan pendaratan ikan tuna berjumlah 520 tan metrik jenis spesies Albacore,Yellowfin tuna dan Bigeye tuna dengan nilai RM8 juta dari vesel milik syarikat Kha Yang Marine Sdn Bhd.

-- BERNAMA

KEKALKAN BN UNTUK TERUS BANGUNKAN LUAR BANDAR

SUNGAI PETANI, 11 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar dan kesejahteraan rakyat sekiranya kerajaan sedia ada dikekalkan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, fasa transformasi yang dilalui negara ini selepas zaman kemerdekaan jelas memperlihatkan betapa kerajaan serius mengisi perjuangan kemerdekaan itu dengan pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pendidikan melalui pelbagai agensi di bawah KKLW misalnya.

Misalnya melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA, pembangunan kawasan luar bandar katanya dapat disusun dengan lebih teratur sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat.

Beliau berkata demikian pada program 'Moh Ngeteh Merdeka KKLW 2017' di Institut Kemahiran Mara dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pengarah Mara Datuk Azhar Abdul Manaf dan kira-kira 2,000 pelajar IKM.

Ismail Sabri berkata, perkara itu dapat dibuktikan sendiri apabila kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion untuk membiayai pelajar tempatan dan luar negara di bawah Mara setiap tahun, selain sudah ada lima juta pelajar lepasan Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kemas sejak ia ditubuhkan sehingga kini.

Dari sudut ekonomi pula, Mara katanya telah melahirkan sejuta usahawan berjaya sehingga kini, FELCRA pula mempunyai 120,000 peserta dan terdapat 265,000 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung seluruh negara pada masa ini.

"Selain itu kami ada 115,637 pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di bawah Mara dan sebanyak 220,000 pelajar Tabika Kemas tahun ini," katanya.

Katanya bantuan kerajaan banyak membantu pelajar untuk berjaya dan melanjutkan pengajian sama ada di dalam ataupun luar negara, bukan hanya disebabkan kecerdikan mereka semata-mata.

"Misalnya kerajaan memperuntukkan RM1.5 juta untuk seorang yang melanjutkan pelajaran bahagian perubatan di England...saya rasa keluarga pun payah juga nak hantar (belajar) kalau jumlah sebanyak ini...tapi kerajaan bantu," katanya.

Kira-kira satu juta komuniti KKLW dan orang ramai menyertai program 'Moh Ngeteh Merdeka KKLW 2017' yang diadakan serentak di 12,246 lokasi di seluruh negara hari ini.

Program itu yang merupakan kemuncak program sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, bertujuan menyemai semangat patriotik dalam kalangan warga KKLW dan orang awam agar sentiasa mengingati jasa dan pengorbanan negarawan terdahulu dalam usaha memerdekakan negara.

-- BERNAMA

Sunday, September 10, 2017

BN MENAWARKAN KESTABILAN, KEHARMONIAN DAN PEMBANGUNAN NEGARA

KUALA LUMPUR:
Barisan Nasional (BN) menawarkan kepada rakyat kestabilan, keharmonian dan pembangunan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau yang juga Bendahari UMNO berkata BN bergantung kepada rekod baik dan perancangan masa depan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

"Itu yang kita (BN) ingin tawarkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian dan memilih jalan tengah untuk membangunkan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama portal berita, The Malaysian Insight ketika ditanya jangkaan penganalisis dan kajian yang menjangkakan BN akan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Petikan wawancara itu disiarkan dalam blog https://sskeruak.blogspot.my/ hari ini.

Salleh berkata pertandingan dua atau tiga penjuru bukan menjadi pertimbangan pokok BN pada PRU akan datang.

Ditanya sama ada BN terkesan dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mampu kekal di Putrajaya, beliau berkata perkembangan kem pembangkang tersebut tidak mengganggu rentak BN mendapatkan kemenangan dalam PRU.

Jelasnya BN telah berjaya memberikan penjelasan dalam isu-isu berbangkit oleh pembangkang dan akan meneruskan usaha melaksanakan dasar kerajaan dan mendekati semua lapisan rakyat.

"Menjelang PRU memanglah macam-macam isu akan dibangkitkan. Masing-masing ingin menarik minat pengundi untuk bersama mereka dan ia tidak salah dalam sistem demokrasi kita. Tetapi kita harus percaya rakyat sudah matang dan boleh menilai mana parti sepatutnya dipilih menjadi pemerintah.

"Pembangkang pun tidak boleh menentukan siapa perdana menteri mereka, tidak boleh susun sendiri struktur parti mereka, jadi bagaimana hendak memberi kepercayaan kepada mereka. Kita akan jelaskan kepada rakyat tentang isu-isu yang dibangkitkan. Kita yakin majoriti rakyat akan bersama kita, " katanya.

Mengenai andaian pembangkang bahawa Sabah bukan lagi deposit tetap BN, Salleh berkata: " Insya-Allah BN masih (boleh) menang besar di Sabah kerana umumnya rakyat puas hati dengan pencapaian BN, kerana kita mengamalkan politik pembangunan ".

-- BERNAMA

Saturday, September 9, 2017

MAMAK YANG RUGIKAN WANG BNM



Tidak mematuhi prosedur, melanggar mandat dan gagal melaporkan nilai kerugian sebenar. Tiga perkara itu dibangkitkan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990-an di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 dan 7 September lalu. Berikut adalah intipati keterangan yang diberikan empat saksi berprofil tinggi di hadapan RCI tersebut.


DATUK SERI ANWAR IBRAHIM
Bekas Menteri Kewangan
Saksi ke-21 RCI

Pernah mengarahkan Nor Mohamed dipecat sekiranya tidak meletak jawatan.
Tidak mendedahkan siapa yang memberi mandat kepada Nor Mohamed.
Melaporkan kepada Kabinet dalam mesyuarat pada 30 Mac 1994 bahawa kerugian BNM akibat urus niaga mata wang asing cuma sebanyak RM5.7 bilion, sedangkan jumlah sebenar adalah RM15.291 bilion.
Beliau dan Dr. Mahathir tahu tentang kerugian BNM tetapi bekas Perdana Menteri itu tidak memberikan sebarang arahan lanjut.

TAN SRI AHMAD MOHD. DON
Bekas Gabenor BNM
Saksi ke-20 RCI
Aktiviti spekulasi berlaku dalam kegiatan perdagangan wang asing yang dijalankan oleh BNM sekitar akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an.
Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah dimaklumkan bahawa BNM tidak akan terlibat dalam aktiviti yang berbentuk spekulasi semata-mata, sebaliknya tumpuan kepa­da pelaburan yang dapat memelihara nilai rizab dan mengoptimumkan pulangan pelaburan.
Mesyuarat Lembaga Pe­nga­rah BNM pada 15 Februari 1995 berhubung Akaun Tahunan 1994 mengambil maklum jumlah keseluruhan kerugian dialami adalah RM10.6 bilion termasuk RM2.7 bilion da­ripada aktiviti perdagangan mata wang asing.
Keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan BNM setelah beliau mengambil alih jawatan Gabenor pada Mei 1994.
Advertisement



TAN SRI NOR MOHAMED YAKCOP
Bekas Penasihat BNM
Saksi ke-17 RCI
Menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1990-an ditentukan oleh beliau secara bersendirian.
Beliau tidak dipilih secara peribadi oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengendalikan urus niaga mata wang asing di BNM.
Tidak pernah me­lapor kepada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri tentang sebarang isu berkaitan pengurusan rizab luar BNM.
Mengakui pihaknya melakukan kesilapan ketika ‘membaca’ situasi pasaran dunia sehingga menyebabkan BNM mengalami kerugian.

TAN SRI DR. ZETI AKHTAR AZIZ
Bekas Gabenor BNM
Saksi ke-16 RCI
Mula mengetahui mengenai kerugian besar dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing ketika menjadi Ketua Pejabat Perwakilan BNM di London selepas dimaklumkan seorang pegawai kanan bank pusat berkenaan pada Januari 1994.
Timbul kebimbangan serius terhadap pengurusan rizab BNM ekoran kerugian dalam urus niaga mata wang asing sepanjang 1988 dan 1994.
BNM mengalami kerugian kira-kira RM32 bilion sepanjang 1988 hingga 1994, jumlah itu turut mengambil kira keuntungan sebanyak RM2.473 bilion pada 1990.


Friday, September 8, 2017

MAHATHIR ALAT DAP UNTUK PECAHKAN UNDI MELAYU

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad adalah semata-mata alat untuk DAP memecahkan undi Melayu dalam pilihan raya umum akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata memperalatkan Dr
Mahathir untuk memecahkan pengundi Melayu adalah lebih penting dan merupakan falsafah politik baharu veteran DAP Lim Kit Siang.

"Hakikat bahawa Kit Siang tidak lagi menganggap Mahathir sebagai 'bapa perkauman' atau 'musuh nombor satu' menunjukkan pendirian DAP terhadap Mahathir telah berubah daripada negatif kepada positif.

"Kit Siang tidak lagi mahu bercakap tentang masa silam Mahathir apabila beliau menjadi perdana menteri atau meminta Mahathir dibawa ke muka pengadilan terhadap apa yang telah dilakukannya, sebagaimana Kit Siang pernah bercakap pada masa lalu," menurut catatan dalam blok beliau, sskeruak.blogspot.my hari ini.

Salleh merujuk kepada temubual terbaharu Insight Talk apabila Dr Mahathir dan Kit Siang diwawancara oleh Jahabar Sadiq yang menjadi moderator dan temu ramah melalui video itu disiarkan di www.themalaysianinsight.com, semalam.

"Walaupun kedua-dua mereka memberi jawapan yang bersifat mengelak, mesejnya adalah sangat jelas. Kit Siang cuba memesongkan hakikat bahawa objektif utamanya ialah menjatuhkan UMNO dengan menyatakan jika UMNO tewas, ia baik untuk orang Melayu serta UMNO.

"Dalam erti kata lain, menjatuhkan UMNO adalah satu yang memberi kebaikan untuk UMNO dan orang Melayu," kata beliau.

Beliau berkata kedua-dua mereka kemudian bercakap mengenai undi dari kawasan majoriti Melayu dan bagaimana mereka perlu menghakis pengaruh UMNO di kawasan-kawasan berkenaan jika mahu mengalahkan UMNO.

"Untuk itu berlaku, orang Melayu perlu berpecah kerana masyarakat Melayu yang bersatu memberi kelebihan kepada UMNO. Jelas daripada apa yang mereka katakan bahawa tugas Mahathir ialah untuk memecahkan orang Melayu supaya Pakatan (Pakatan Rakyat) pimpinan DAP boleh tampil berkuasa," kata Salleh.

-- BERNAMA

Thursday, September 7, 2017

ALFATIHAH BUAT PAK JABIT

TEMERLOH, 7 Sept (Bernama) -- Pelakon Abd Kadir Abdul Manaf, 68, atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit mengadu sakit dada kepada keluarganya pada pukul 4 pagi tadi sebelum beliau meninggal kira-kira tiga jam kemudian ketika dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang.

Menurut anak bongsunya Abdul Khalid Putra, 28, pada mulanya mereka sekeluarga menyangka Allahyarham diserang sakit jantung sebelum bergegas membawanya ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

"Saya bawanya ke klinik. Mula-mula ingatkan ayah ada masalah jantung. Tapi apabila doktor periksa, doktor kata bukan masalah jantung tetapi hanya sakit angin. Ayah kemudian diberikan suntikan sebelum kami membawanya pulang ke rumah.

"Apabila sampai di rumah. Ayah sempat berborak-borak dengan mak sebelum dia kembali tidur. Kemudian masa subuh, sekali lagi ayah kejutkan mak dan apabila mak berpaling kepadanya, ayah didapati berada dalam keadaan sesak nafas," katanya kepada pemberita.

Menurutnya, melihat keadaan itu beliau cuba memberikan bantuan awal kecemasan (CPR) dan sempat mengajarnya mengucap sebelum membawa semula bapanya ke Klinik Kesihatan Lanchang.

11 INISIATIF TINGKAT IMEJ INDUSTRI KHIDMAT KAWALAN KESELAMATAN

KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Mulai 1 Januari depan, semua syarikat perkhidmatan keselamatan wajib menghantar pengawal keselamatan peribadi untuk menjalani program Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) sebelum dipertimbangkan untuk memperbaharui permit membawa senjata api.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah tersebut bagi memastikan syarikat berkenaan tidak sewenang-wenangnya menyewa senjata api kepada mana-mana individu yang tidak terlatih atas dasar sebagai pengawal keselamatan peribadi.

Menurutnya, program CSG merupakan latihan khas untuk pengawal keselamatan peribadi serta ditauliah polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau berkata ia adalah antara 11 inisiatif baharu dilaksanakan oleh KDN dalam usaha meningkatkan kualiti dan imej industri kawalan keselamatan negara mengharungi cabaran masa depan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengumumkan inisiatif tersebut ketika berucap pada majlis perjumpaan Timbalan Perdana Menteri Bersama Ahli Lembaga Pengarah dan Pengurusan Syarikat Kawalan Keselamatan di sini, hari ini.....

Wednesday, September 6, 2017

PAS TERUS KEKAL WALAUPUN BERLAKU PERPECAHAN

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- PAS tidak akan lemah kerana krisis parti atau kerana tidak lagi bersama parti pembangkang lain yang membentuk Pakatan Harapan, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata walaupun PAS ada jatuh bangunnya, anggota parti itu tetap setia dengan parti dan jentera akar umbinya juga tetap kuat.


"Seperti sekarang, apabila PAS berpecah dan Parti Amanah Negara (Amanah) ditubuhkan, adakah PAS lemah ? ...Saya tidak nampak begitu," kata Salleh menerusi catatan terbaru di laman blognya sskeruak.blogspot.my, hari ini.

Baru-baru ini, wujud usaha daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengadakan rundingan tidak rasmi dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan pada pilihan raya umum ke-14 sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sekutu Pakatan Harapan, terutamanya Amanah.

Tindakan Mohamed Azmin, yang dilakukan atas saranan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu bercanggah dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang mengekalkan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PAS dan juga pendirian PAS, melalui pimpinan tertingginya yang menolak sebarang kerjasama dengan mana-mana parti dalam pakatan pembangkang itu.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata melihat kepada rekod PAS, perjuangan PAS akan terus kekal walaupun berlaku perpecahan dalam parti dan pemimpinnya silih berganti.

Katanya ini kerana wujud pemahaman dalam kalangan anggotanya dan rakyat yang menyokong PAS bahawa ia bukan hanya sebagai parti politik tetapi juga sebagai perjuangan menegakkan agama.

Menurut Salleh, kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sebuah badan penyelidikan kerajaan negeri Selangor, bahawa Amanah hanya mendapat satu peratus sokongan daripada rakyat manakala Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyatakan sokongan kepada Amanah menurun kepada 0.5 peratus.

Beliau berkata sebabnya ini berlaku adalah kerana rakyat bosan dengan sikap Amanah yang tidak konsisten.

"Jika begitulah senarionya, bagaimana PAS setelah ini... apakah PAS akan berkubur setelah tidak lagi bersama PH...?

"Melihat kembali kepada kata-kata Clive Kessler (melalui buku politik dan masyarakat Kelantan bertajuk Islam and Politics in a Malay State: Kelantan, 1838-1969), PAS adalah parti 'akal' yang akan terus kekal biarpun pemimpinnya bertukar ganti. Seperti kata Kessler lagi, yang tewas ialah 'nafsu.' Saya semacam tertarik dengan kata-kata ini," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, September 5, 2017

DAP DISERU SIAR NAMA 2,576 PERWAKILAN DALAM AKHBAR UNTUK ELAK DITIPU LAGI

BUTTERWORTH, 5 Sept (Bernama) -- Anggota perwakilan DAP yang layak mengundi dalam pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu mahu senarai penuh nama yang layak mengundi beserta nombor kad pengenalan mereka disiarkan dalam akhbar pelbagai bahasa.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Bagan Luar, G. Asoghan berkata langkah itu untuk memastikan pemilihan semula yang dijangka pada 1 Okt dijalankan dengan telus menggunakan senarai nama 2,576 anggota perwakilan yang digunakan pada pemilihan 15 Dis 2012 supaya kesahihan pemilihan semula itu tidak lagi dipertikai.

"Kami tidak mahu sebarang unsur penipuan, pemalsuan dan taktik licik yang boleh mencemar proses pemilihan semula yang bakal diadakan. Langkah ini penting untuk mempertahankan maruah parti. Kami mahu proses pemilihan semula yang bersih, telus dan adil," katanya pada sidang media di sini Selasa.

Pada 21 Julai lepas, Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Teresa Kok berkata parti itu akur dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) supaya mengadakan semula pemilihan CEC dan menggunakan senarai 2,576 anggota perwakilan itu serta melantik juruaudit bebas untuk memantau dan mengendalikan pemilihan semula berkenaan.

DAP juga difahamkan telah melantik sebuah firma audit bebas PKF Consulting untuk mengadakan pemilihan semula itu.

Asoghan berkata DAP juga perlu menyiarkan nama firma audit yang dilantik untuk memantau proses pemilihan semula parti berkenaan dalam akhbar.

"Kami bantah sekeras-kerasnya sekiranya firma-firma yang ada hubung kait dengan pimpinan tertentu DAP seperti PKF dan KPMG terpilih. Kami mahu pemilihan semula diadakan tanpa sebarang keraguan munasabah," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya pemerhati tidak dibenarkan masuk semasa pemilihan semula itu berlangsung dan pengiraan undi hendaklah dilakukan di hadapan anggota perwakilan.

-- BERNAMA

Monday, September 4, 2017

DAP MAMPU KUASAI NEGARA JIKA ORANG MELAYU TIDAK BERSATU


KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pelbagai propaganda yang dikeluarkan DAP ketika ini hanyalah untuk memastikan ia tidak kehilangan undi kaum Melayu.

Bendahari UMNO itu berkata sejarah pilihan raya umum (PRU) sejak 1990 membuktikan DAP hanya mampu menang banyak kerusi parlimen hasil kerjasama dengan parti-parti berteraskan Melayu khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Salleh dalam analisis pilihan rayanya berkata, DAP bagaimanapun hanya mampu menang di kawasan majoriti Cina pada PRU 1990 dan 1999, walaupun berlaku perpecahan dalam UMNO dan berpakat dengan beberapa parti Melayu lain.

"Tetapi dalam PRU 2008 dan 2013, apabila DAP mendapat sokongan Melayu yang banyak hasil kerjasamanya dengan PAS dan PKR, kerusi DAP bertambah (secara) drastik dengan memenangi masing-masing 28 kerusi (12.61 peratus) dan 38 kerusi (17.1 peratus) daripada 222 kerusi parlimen.

"Kini, setelah PAS tidak lagi bersama Pakatan Rakyat, DAP resah. DAP risau partinya tidak kuat lagi. Justeru itulah DAP mengeluarkan pelbagai propagandanya untuk memastikan pengundi Melayu dalam PAS kekal bersamanya dalam Pakatan Harapan," katanya dalam catatan di laman blog www.sskeruak.blogspot., hari ini.

Menurut Salleh, DAP menang 20 daripada 57 kerusi parlimen yang ditandingi pada PRU 1990, sembilan daripada 50 (PRU 1995), 10 daripada 47 (PRU 1999), 12 daripada 44 (PRU 2004), 28 daripada 47 (PRU 2008) dan 38 daripada 51 (PRU 2013).

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya kaum Melayu tidak bersatu, DAP mampu menguasai negara biarpun hanya sekadar bertanding 60 kerusi parlimen pada PRU 14 akan datang dengan menggunakan rakan sekutu Pakatan Harapan seperti Parti Amanah Negara, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk mendapatkan undi Melayu.

Jelasnya negeri-negeri seperti Perak, Johor, Selangor, Negeri Sembilan serta Melaka mempunyai banyak kawasan campuran, dan DAP juga yakin peralihan 10 hingga 15 peratus undi Melayu sudah cukup untuk mereka mengambil alih pentadbiran negara.

Justeru, Salleh mengingatkan pengundi Melayu di negara ini agar tidak berpolitik menggunakan emosi.

"Fikirlah tentang masa depan negara kita sebelum tertarik untuk mengalih sokongan kepada Pakatan Harapan.

"Politik Barisan Nasional membuat jasa budi, bertolak ansur antara kaum dan telah terbukti berjaya membangunkan negara. Kita semua ada tanggungjawab untuk negara," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, September 3, 2017

KETUA CAWANGAN PERLU JAWAB FITNAH PEMBANGKANG

BERA, 23 Ogos (Bernama) -- Ketua cawangan UMNO perlu menjadi benteng dan menjawab segala tohmahan serta fitnah pembangkang yang semakin hebat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hampir setiap hari ada sahaja berita tidak tepat dan tanpa fakta terhadap kerajaan, yang dikhuatiri boleh menjejaskan anggota parti yang goyah pendiriannya.


"Pembangkang bukan hendakkan kebenaran tapi untuk timbulkan rasa kurang yakin (terhadap UMNO). Kalau ada perkara yang rasa tidak yakin, boleh tanya pada pemimpin. Mereka boleh terangkan supaya perkara yang benar boleh dijelaskan kepada anggota.

"Di Bera, saya ingatkan mereka untuk tanya terus kepada saya di dalam kumpulan WhatsApp kerana saya berada di dalamnya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Khas Ketua UMNO Cawangan-cawangan Bera di Bangunan UMNO di sini, hari ini.

Ismail Sabri menambah ketua cawangan juga perlu menunjukkan jati diri dan keyakinan yang tinggi terhadap parti kerana mereka juga berperanan sebagai benteng kerajaan, menjadikan mereka tidak boleh goyah dengan fitnah pembangkang.

"Jika mereka (ketua cawangan) goyah, maka anggota akan lebih goyang daripada mereka," katanya.

Ismail Sabri juga mengingatkan semua ketua cawangan untuk 'memeriahkan' bilik gerakan masing-masing sebagai amaran bahawa UMNO Bahagian Bera telah bersedia untuk menghadapi PRU14 dan terus melipatgandakan usaha menambah bilangan pengundi.

Katanya, sebagai menarik golongan muda terhadap UMNO, pendekatan seperti mengadakan aktiviti riadah boleh dilaksanakan di bilik gerakan.

Selain itu, beliau juga meminta UMNO Bahagian Bera untuk tidak berada dalam keadaan selesa meskipun beberapa siri ceramah perdana anjuran pembangkang sekitar Parlimen itu tidak mendapat sambutan penduduk.

-- BERNAMA

Saturday, September 2, 2017

KAYVEAS ISYTIHAR TANDING BEBAS JIKA BN TAK BERI MYPPP TANDING DI CAMERON HIGHLANDS

MELAKA, 2 Sept (Bernama) -- Presiden myPPP Tan Sri M. Kayveas tetap mahu bertanding kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Saya tetap akan bertanding sama ada sebagai calon Barisan Nasional (BN) atau pun calon bebas bagi kawasan itu," katanya kepada pemberita selepas perasmian Konvensyen myPPP Melaka Ke-17 di Rumah Media Melaka, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Konvensyen itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron dan dihadiri Naib Presiden myPPP Datuk Seri M. Gandhi serta Pengerusi myPPP negeri Datuk Chiw Tiang Chai.

Kayveas, yang juga penasihat Kementerian Pengangkutan, berkata beliau telah meminta 'restu' daripada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum berkhidmat kepada masyarakat di Cameron Highlands kira-kira dua tahun lepas untuk memastikan kemenangan BN.

Sebelum ini, media melaporkan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bertegas bahawa parti itu akan bertanding bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14.

Dalam perkembangan lain, Kayveas membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa kepimpinan negara 'muflis' dan 'gagal' mengurus serta mentadbir negara dalam pelbagai aspek termasuk aspek pembangunan, ekonomi dan kemudahan infrastruktur kepada rakyat.

"Jika mereka kata Malaysia negara yang gagal, maka mereka juga bertanggungjawab (atas kegagalan itu) kerana mereka merupakan pemimpin negara ini suatu masa dulu," katanya.

Oleh itu, katanya semua pihak perlu bersatu padu untuk mewujudkan kestabilan negara.

-- BERNAMA

Friday, September 1, 2017

KEPUTUSAN PH TOLAK PAS BERI KELEBIHAN KEPADA BN

PUTRAJAYA, 1 Sept (Bernama) -- Keputusan Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan PAS akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"PAS merupakan sebuah parti politik yang berstruktur dan mempunyai keanggotaan yang ramai. PAS tidak sama dengan parti lain dalam Pakatan Harapan yang tiada struktur.

"Apabila PAS sudah sedar (tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan) syukur alhamdulilah, kita berharap bahawa mereka (PAS) akan bersama kita. Itu adalah harapan kita," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Aidiladha dan Hari Keluarga Parlimen Putrajaya di sini hari ini.

Pada 29 Ogos lepas, Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan bahawa empat parti komponen dalam pakatan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS bagi mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU14.