Saturday, July 27, 2019

GERAKAN SEDIA MENERIMA AZMIN ALI

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai ura-ura kononnya timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan meninggalkan parti itu dan menyertai Gerakan, seperti dilaporkan media semalam.

Enggan mengulas lanjut hal itu, beliau turut meminta semua pihak agar berhenti melaga-lagakan mereka berdua.

"Saya tak dengar pun...media (yang) bagitahu… kita teruskanlah dengan agenda ekonomi…," katanya ringkas selepas menghadiri Simposium Ekonomi Malaysia, bertemakan “Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan” di Parlimen hari ini.

Semalam, sebuah portal berita yang memetik sumber melaporkan bahawa Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, didakwa akan menyertai Parti Gerakan berikutan ketegangan antara beliau dan Anwar sebelum ini.

Mohamed Azmin bagaimanapun belum membuat sebarang kenyataan sehingga kini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas, Gerakan mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional dan sehingga kini belum menyertai mana-mana gabungan.

Sementara itu, Gerakan mengalu-alukan kemasukan mana-mana ahli atau pemimpin Pakatan Harapan jika bersetuju dan boleh menerima ideologi parti tersebut, kata presidennya Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Lau berkata parti tersebut tidak mempunyai masalah dan terbuka untuk menerima kehadiran ahli -ahli baharu yang mementingkan dan memperjuangkan hak rakyat dalam membantu memajukan negara.

“Kami sentiasa terbuka, mengalu-alukan sesiapa sahaja, asalnya mereka bersetuju dengan ideologi kami. Gerakan adalah parti politik berbilang kaum. Semua anak Malaysia ada hak sebagai rakyat,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung oleh media sosial dari Sungai Petani.

Di IPOH, Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin berkata sebarang usaha untuk menyingkirkan Mohamed Azmin bukan sesuatu yang mudah kerana jawatan yang disandang oleh Mohamed Azmin adalah hasil pemilihan anggota parti sendiri.

"Dia (Mohamed Azmin) adalah timbalan presiden yang dipilih oleh anggota parti, bila dipilih tak boleh singkir begitu sahaja, tidak semudah itu kalau sekiranya ada komplot (singkirkan beliau)," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Ipoh di sini, hari ini.

Mengenai khabar angin terdapat pihak mahu menyingirkan Mohamed Azmin daripada parti selain desas-desus mengatakan timbalan presiden PKR itu akan menyertai Parti Gerakan, Zuraida hanya berkata: "Khabar angin hanyalah khabar angin, hinggalah ia betul-betul berlaku."

-- BERNAMA

v

Tuesday, July 23, 2019

SPRM PERLU MASA UNTUK TELITI KES VIP DI SARAWAK

GEORGE TOWN, 23 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk meneliti dan membuka semula kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan individu berpengaruh.

Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya berkata beliau sedang meneliti kesemua kes berkaitan termasuk kes-kes di Sarawak dan Pulau Pinang.

"Ini bukan kali pertama saya dimaklumkan ada banyak kes yang dikatakan kontroversi, mendapat perhatian ramai. Bukan sahaja di Pulau Pinang, di Sarawak melibatkan VIP dan sebagainya. Saya ingin memberitahu bahawa saya sedang mengkaji semula kes-kes berkenaan.

"Saya telah meminta semua fail yang melibatkan individu kontroversi dan saya perlu meneliti dan memahami kenapa ia ditutup, adakah ia benar-benar NFA (tiada tindakan selanjutnya) atas alasan yang betul. Saya memerlukan sedikit masa untuk melakukannya," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke pejabat SPRM Pulau Pinang, di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah.

Sementara itu, ditanya sama ada SPRM akan membuka semula kes banglo melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Latheefa berkata tiada keperluan untuk pihaknya membuka semula kes berkenaan kerana sudah diputuskan di mahkamah.

Menurutnya, SPRM tidak boleh berbuat apa-apa melainkan ada bukti dan isu terbaharu yang membolehkan kes tersebut dibuka semula.

"Bagi saya kes-kes yang telah sampai tahap mahkamah dan telah selesai, memang nak buka semula (kes-kes itu) tidak masuk akal. Apabila kes telah selesai di mahkamah, sudah selesai. Tidak boleh membuka kes yang telah selesai. Apabila kes mahkamah selesai dan ditutup," katanya.

Pada 3 Sept lepas, Mahkamah Tinggi di sini melepaskan dan membebaskan Lim yang kini Menteri Kewangan dan ahli perniagaan Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Keputusan itu dibuat mahkamah berikutan permohonan peguam Ramkarpal dan peguam Datuk V. Sithambaram serta peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

-- BERNAMA

Monday, July 22, 2019

PEMAJU KELAHIRAN MALAYSIA TERSENARAI DALAM HALL OF FAME QUEENSLAND

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Pemaju perumahan kelahiran Malaysia Maha Sinnathamby tersenarai dalam Hall of Fame Pemimpin Perniagaan Queensland di atas kepimpinan berwawasannya dalam mewujudkan bandar raya pertama yang dibina secara persendirian di Australia.

Dikenali sebagai Greater Springfield dan kini selama 27 tahun dengan populasi melebihi 41,000 orang, bandar raya itu disifatkan oleh Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull sebagai “projek pembinaan bangsa yang mempunyai kepentingan nasional.”

Hall of Fame Pemimpin Perniagaan Queensland diwujudkan sejak 11 tahun lepas bagi mengiktiraf sumbangan penting ahli perniagaan dan para pemimpin mereka terhadap reputasi, ekonomi dan pembangunan sosial negeri itu.

Dalam kenyataan kepada Bernama, Springfield City Group berkata ia turut menyenaraikan Bob Sharpless, pengasas Greater Springfield bersama-sama Sinnathamby, yang mana kedua-duanya mewujudkan bandar seluas 3,000 hektar itu yang dibeli pada 1992 di kawasan yang mengalami kemelut ekonomi dan sosial di Tenggara Queensland.

Ini merupakan anugerah kedua yang diberikan kepada Sinnathamby dalam tempoh dua bulan. Pada bulan lepas, beliau dikurniakan anugerah Pelantikan sebagai Member (AM) of the Order of Australia daripada Queen Elizabeth dalam Senarai Penganugerahan sempena Hari Lahir baginda.

Sinnathamby, 79, yang berasal dari Rantau, Negeri Sembilan berhijrah ke Australia bagi mengikuti pengajian ijazah kejuruteraan di University of New South Wales pada usia 18 tahun sebelum menetap secara rasmi pada 1971.

Beliau juga baru-baru ini dinamakan sebagai orang ke-47 terkaya di Australia dengan nilai bersih AUD$1.66 bilion

Springfield City kini merupakan satu daripada bandar raya di Australia yang pesat berkembang dan satu-satunya bandar selain Canberra yang dibangunkan hasil usaha gigih menggunakan sumber sedia ada.

Ia kini menempatkan University of Southern Queensland, hospital swasta yang mempunyai 80 katil, 11 sekolah dengan 15,000 pelajar yang dijangka meningkat kepada 30 sekolah, dengan jarak kira-kira lima minit antara satu sama lain.

Greater Springfield juga diiktiraf pada skala dunia untuk beberapa pencapaian, termasuk “World Best Master Planned Community” oleh Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) dan “Australia’s Best Master Planned Community” oleh Institut Pembangunan Bandar Australia pada 2015.

Menurut kenyataan itu, setakat ini, sebanyak AU$17 bilion telah dilaburkan dalam projek itu dengan 25 peratus kadar penyiapan dan dijangka mempunyai 140,000 penduduk apabila siap sepenuhnya.

Sinnathamby berkata beliau amat berbangga menerima anugerah itu bersama-sama Sharpless,dan menurutnya, kejayaan Greater Springfield itu adalah hasil kerjasama pelbagai individu.

“Ini merupakan pengiktirafan kepada saya dan rakan perniagaan saya serta ratusan individu yang membantu membina bandar ini serta 41,000 penduduk yang menjadikan Greater Springfield sebagai kediaman mereka.

“Tersenarai di Hall of Fame merupakan satu pengiktirafan dan testimoni bahawa dengan semangat dan dedikasi serta sikap tidak pernah berputus asa, sesiapa sahaja boleh meraih manfaat daripada negeri hebat ini,” katanya.

-- BERNAMA

Sunday, July 21, 2019

KHAIRY TEGASKAN TAK AKAN BERHENTI TEGUR KEPIMPINAN UMNO

MELAKA, 21 Julai (Bernama) -- Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti menegur kepimpinan UMNO, yang pada pandangannya perlu lagi diperbetulkan.

"Saya akan terus bercakap kerana saya tiada niat buruk terhadap mana-mana individu dalam UMNO sama ada pemimpin sekarang atau terdahulu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah teguran itu disebabkan masih sayang kepada parti UMNO, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, “tentulah kerana sayang, kalau tak dah lama saya chow.”

Pada 10 Julai lepas, media melaporkan beliau menyatakan dengan ringkas, “tiba-tiba saya tidak suka di mana saya berada,” sebagai mengulas mengenai pelantikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).

Beliau juga sebelum ini pernah menegur pemimpin UMNO supaya tidak menjadikan parti itu sebagai perisai dalam menghadapi pertuduhan di mahkamah.

-- BERNAMA

Friday, July 19, 2019

ENAM PENGERUSI NEGERI PKR SOKONG ANWAR

PETALING JAYA, 19 Julai (Bernama) -- Enam Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Kedah Datuk Johari Abdul, Pengerusi MPN Perlis, Amran Kamarudin; Pengerusi MPN Melaka, Halim Bachik; Pengerusi MPN Terengganu, Azan Ismail; Pengerusi Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan dan Pengerusi MPN Kelantan, Datuk Seri Mohamad Supardi Md.Nor

Keenam-enam mereka hari ini menandatangani surat sokongan terhadap Anwar pada mesyuarat pertama Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri di sini, hari ini.

Johari yang bertindak sebagai penyelaras majlis itu berkata mesyuarat berkenaan juga menyokong penuh usaha presiden membangun parti dan menjadikan PKR parti yang kuat serta dihormati di negara ini.

"Kami berdiri teguh di belakang beliau dan menghadapi apa jua cabaran dan dugaan jika ada pihak-pihak yang mahu melemahkan parti," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat pertama majlis berkenaan hari ini sekali gus mengumumkan penubuhan majlis itu.

Mereka juga memberi komitmen tidak berbelah bahagi kepada Anwar dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap lebih yang diharapkan oleh rakyat.

"Kami yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat semasa pilihan raya yang lalu dan kami sama-sama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana," katanya.

Sementara itu, menurut Johari lapan lagi Pengerusi MPN dijangka menandatangani petisyen itu dalam satu perjumpaan tertutup dengan Anwar di Port Dickson petang ini.

Johari berkata penubuhan Majlis Pengerusi-Pengerusi Pimpinan Negeri adalah bagi menjadi pasukan untuk memastikan penyelesaian permasalahan rakyat di negeri-negeri dan memastikan janji manisfesto ditunaikan.

-- BERNAMA

Thursday, July 18, 2019

KADIR JASIN YAKIN ANWAR TETAP JADI PM



SHAH ALAM: Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk Abdul Kadir Jasin percaya peralihan kuasa membabitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berlaku seperti dijanjikan.

Beliau juga yakin Anwar akan menjadi Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir.

“Dalam mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) baru-baru ini, Dr Mahathir lagi sekali mengulangi kata untuk menepati janji peralihan kuasa. Beliau berkata ‘saya janji saya akan tepati.

“Mungkin ketika ini yang diperbahaskan sehingga menimbulkan kerisauan dari masa ke masa ialah bila (tarikh peralihan).. ia mungkin dalam tempoh dua tahun atau dua tahun lebih.

“Saya juga yakin Anwar juga akan menjadi Perdana Menteri kerana saya sudah melihat perkembangan mereka (Dr Mahathir dan Anwar) sejak dulu lagi dan mereka jugalah yang membawa kepada kejayaan Pakatan Harapan (PH) hari ini,” katanya pada Diskusi Buku bertajuk ‘Anwar PM ke-8’ tulisan Shahbudin Husin di sini, hari ini.



Turut hadir, Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Dr Mahammad Redzuan Othman dan bekas Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M) Datuk Seri Akhbar Satar.

Abdul Kadir turut mengakui isu peralihan kuasa ini tidak hanya dibincangkan rakyat, tetapi juga pelabur asing yang mahu kepastian sama ada kepimpinan negara akan diserahkan kepada Anwar.

“Ketika ini pelabur menyokong dan yakin dengan reformasi yang berlaku dalam negara, tetapi mereka juga prihatin terhadap situasi peralihan kuasa... adakah akan berlaku peralihan yang lancar dan jawapan saya (kepada pelabur) adalah ya.

“Isu peralihan kuasa kali ini tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia kerana proses pemilihan Perdana Menteri ditentukan menerusi deklarasi 7 Januari 2018 iaitu oleh parti, watak yang terbabit dan rakyat.

“Adalah perkara biasa apabila masing-masing mempunyai pendirian peribadi, tetapi saya yakin ia adalah peralihan kuasa seperti dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, Mahammad Redzuan mendedahkan kajian terbaru Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan 45 peratus daripada 1,597 responden di seluruh negara memilih Anwar sebagai calon Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.

Beliau berkata, kajian ini turut menunjukkan selepas Anwar, sebanyak 16 peratus memilih Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (11 peratus) dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu (satu peratus).

“Sebanyak 27 peratus memilih lain-lain pemimpin politik iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (masing-masing satu peratus), manakala bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (enam peratus),” katanya.

Beliau berkata, menerusi kajian itu juga, 75 peratus responden mahu Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri tidak melebihi dua tahun, manakala 22 peratus lagi memilih tidak perlu melepaskan jawatan.

“Sebagai seorang akademik, saya tidak boleh bercakap melalui pandangan sendiri, sebaliknya pandangan rakyat dan kajian khusus ini dijalankan dengan hanya dua soalan iaitu siapa paling layak menjadi Perdana Menteri dan bila Dr Mahathir perlu berundur,” katanya.

Wednesday, July 17, 2019

TURUNKAN HAD UMUR LAYAK MENGUNDI REMAJAKAN MALAYSIA

KOTA KINABALU, 17 Julai (Bernama) -- Rakyat Malaysia menunjukkan kematangan demokrasi apabila Parlimen meluluskan undi bersejarah untuk menurunkan had umur layak mengundi di negara ini daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Ia adalah undi bersejarah di mana anggota parlimen berdiri teguh dalam satu suara untuk meminda Perlembagaan Persekutuan pada Selasa untuk membolehkan generasi muda kita melaksanakan peranan lebih penting dalam pembinaan negara,” kata Jo-Anna Sue Henley Rampas, setiausaha politik kepada Ketua Menteri Sabah.

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata proses untuk menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun dilihat sebagai kejayaan besar dalam sejarah masyarakat Malaysia.

“Ia akan meremajakan Malaysia. Perspektif baharu ini akan merangsang tsunami anak muda untuk melaksanakan peranan dinamik dalam pertubuhan politik.

"Semangat peremajaan dalam landskap politik di rantau ini akan wujud dengan menyuntik tenaga baharu dalam proses penggubalan dasar," kata Jo-Anna, yang juga timbalan ketua Wirawati Parti Warisan Sabah

-- BERNAMA

Tuesday, July 16, 2019

7.8 JUTA PENGUNDI BARU DIDAFTAR SECARA AUTOMATIK

KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun susulan Pindaan Perlembagaan Persekutuan akan turut meliputi belia berumur 21 tahun yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu akan diberi keutamaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang memohon pengesahan daripada kerajaan bahawa 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan layak mengundi, tetapi belum didaftarkan sebagai pengundi akan terdaftar secara automatik selepas pindaan itu diluluskan.

"Kita sedar bahawa antara mereka yang sudah cukup umur (21 tahun) tetapi tidak mendaftar dahulu, mereka juga akan didaftarkan secara automatik," kata Dr Mahathir ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung dalam pendaftaran automatik sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur, umpamanya dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan.

"Haruslah diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam daftar pemilih untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Ini bukanlah tugas yang mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul," jelas perdana menteri.

Dr Mahathir berkata kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada daftar pemilih kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir turut menjawab beberapa lagi persoalan dibangkitkan ahli Parlimen, termasuk menyatakan kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengundi keluar mengundi semasa pilihan raya sebaliknya akan meningkatkan usaha memberi kesedaran kepada mereka.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga belum mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi maksud penurunan had umur calon tetapi yakin ia akan mendapat sokongan pihak itu kerana memberi ruang dan peluang kepada wakil belia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Dr Mahathir berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan, iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara.

-- BERNAMA



KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pendaftaran automatik warganegara berusia 18 tahun susulan Pindaan Perlembagaan Persekutuan akan turut meliputi belia berumur 21 tahun yang belum mendaftar sebagai pemilih.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata perkara itu akan diberi keutamaan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang memohon pengesahan daripada kerajaan bahawa 3.9 juta rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun dan layak mengundi, tetapi belum didaftarkan sebagai pengundi akan terdaftar secara automatik selepas pindaan itu diluluskan.

"Kita sedar bahawa antara mereka yang sudah cukup umur (21 tahun) tetapi tidak mendaftar dahulu, mereka juga akan didaftarkan secara automatik," kata Dr Mahathir ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 di Dewan Rakyat hari ini.

Selain menurunkan umur warganegara yang layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih oleh SPR.

Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu kemudian diluluskan Dewan Rakyat setelah memperoleh lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata agensi-agensi pelaksana yang terlibat secara langsung dalam pendaftaran automatik sewajarnya diberi peluang dan ruang untuk membuat persediaan teratur, umpamanya dari segi integrasi data antara Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Penjara Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan lain-lain agensi yang berkaitan.

"Haruslah diingat dengan pelaksanaan pendaftaran pengundi secara automatik akan menyebabkan anggaran 7.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan sebagai pemilih dalam daftar pemilih untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Ini bukanlah tugas yang mudah kerana melibatkan kos, masa, penetapan lokaliti dan bahagian pilihan raya yang betul," jelas perdana menteri.

Dr Mahathir berkata kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan apa-apa kesilapan kepada daftar pemilih kerana ia melibatkan hak setiap warganegara yang layak mengundi seperti mana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Dr Mahathir turut menjawab beberapa lagi persoalan dibangkitkan ahli Parlimen, termasuk menyatakan kerajaan tidak bercadang mewajibkan pengundi keluar mengundi semasa pilihan raya sebaliknya akan meningkatkan usaha memberi kesedaran kepada mereka.

Katanya, kerajaan Persekutuan juga belum mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri bagi maksud penurunan had umur calon tetapi yakin ia akan mendapat sokongan pihak itu kerana memberi ruang dan peluang kepada wakil belia untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya.

Dr Mahathir berkata pindaan Perlembagaan Persekutuan itu adalah bukti kerajaan Pakatan Harapan serius dalam merealisasikan Janji 17 dalam Buku Harapan, iaitu menurunkan had umur layak mengundi kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik berdasarkan daftar Jabatan Pendaftaran Negara.

-- BERNAMA

Monday, July 15, 2019

KONTRAKTOR MUNGKIR JANJI BANGUNAN APM TAK SIAP

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Roslan Wahab kecewa berikutan ibu pejabat APM baharu di Sungai Merab di Kajang, yang dijadual memulakan operasi hari ini, tidak dapat digunakan kerana infrastruktur bangunan itu tidak siap sepenuhnya.

Mendedahkan perkara tersebut, beliau berkata perkara itu sudah berulang kali dimaklumkan kepada kontraktor binaan agar melengkapkan infrastruktur bangunan berkenaan.

"Hari ini buat pertama kali dalam sejarah APM, pihak saya terpaksa membuat majlis rasmi APM di luar bangunan sedangkan ia boleh dibuat dalam ibu pejabat baharu kami.

"Saya tidak tahu apa hendak cakap pada kontraktor ini, sudah banyak kali mereka berjanji untuk menyerahkan ibu pejabat kami, namun mereka gagal dan memungkiri janji," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Latihan Kemahiran Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) Siri 1/2019 di Ibu Pejabat APM Sungai Merab, hari ini.

Ibu pejabat APM baharu itu dibina bagi menggantikan ibu pejabat lama di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur yang akan diserahkan secara sepenuhnya kepada Pejabat Pertahanan Daerah Kuala Lumpur setelah beroperasi sejak 1952.

Sementara itu, Roslan mengucapkan tahniah kepada 33 daripada 180 pegawai dan anggota APM yang menyertai ujian pemilihan Paspa bermula sejak awal tahun lepas mengikut zon di seluruh negara, yang berjaya melepasi tapisan ujian tersebut dengan cemerlang.

Kursus latihan kemahiran Paspa dijadual bermula hari ini sehingga 24 Ogos, melibatkan pelbagai latihan kemahiran khas antaranya meliputi latihan kecergasan, modul pengurusan bencana serta modul mencari dan menyelamat.

-- BERNAMA

Sunday, July 14, 2019

PH PERLU MENANG 30 KERUSI PARLIMEN KAWASAN MELAYU

TUMPAT, 13 Julai (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) perlu memenangi sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen di kawasan majoriti orang Melayu agar bagi mengimbangi kerusi antara kaum, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu.

Mohamad berkata ia penting agar tuduhan yang dilemparkan beberapa pihak bahawa kerajaan Persekutuan kini hanya dikuasai oleh satu kaum sahaja dapat ditepis.

"Sekarang kerajaan dituduh (diperintah oleh) majoriti satu kaum (sahaja) jadi lebih harmoni kalau dapat ditambah 30 (kerusi majoriti orang Melayu) ke atas.

"Insya-Allah ada harapan ke arah itu tambahan pula perpindahan ahli kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Amanah dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) yang semakin ketara ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Amanah kawasan Tumpat kali ke-4 di Dewan Kompleks Perpaduan, Terbak di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Amanah kawasan Tumpat Wan Mohd Johari Wan Omar.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata justeru rakan komponen PH yang berteraskan orang Melayu perlu bekerja keras terutama di kawasan pantai timur dan utara tanah air dalam merealisasikan hasrat berkenaan.

"Yang kita yang belum banyak lagi menang terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa (kawasan) di Kedah. Jadi di sini perlu Amanah, Bersatu dan Keadilan perlu tambah kerusi mereka. DAP dah menang hampir kesemua (kerusi Parlimen) yang diperuntukkan kepada mereka," katanya.

Ditanya mengenai pendapat Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa yang mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawat jawatan Perdana Menteri selepas ini, Mohamad berkata ia merupakan pendapat peribadi beliau.

"Itu pandangan peribadi dia, kita tak ada masalah. Sesiapa saja boleh keluarkan pandangan... itu hak masing-masing untuk bercakap," katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 12, 2019

HUKUMAN PENJARA WAN JI DITANGGUHKAN

SHAH ALAM, 12 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun yang sedang dijalaninya kerana menerbitkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Selangor, sehingga rayuan selesai.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman memutuskan perkara itu selepas mempertimbangkan alasan yang dikemukakan oleh dua peguam mewakili tertuduh iaitu Mohd Radzlan Jalaludin dan Ariff Azami Hussein.

Beliau turut memerintahkan penceramah bebas berumur 37 tahun itu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah jika diperbaharui dan melarang Wan Ji untuk ke luar negara tanpa kebenaran mahkamah.

"Penangguhan pelaksanaan hukuman itu dibenarkan dan syarat yang ditetapkan sebelum ini diteruskan," katanya.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini, syarat yang ditetapkan adalah Wan Ji perlu membayar jaminan RM5,000 dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah yang hadir bagi pihak pendakwaan dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu.

Wan Ji yang menjalani hukuman penjara dua hari di Penjara Kajang, memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah sama pada Selasa lepas dan mengemukakan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman pada hari yang sama.

Sementara itu, Mohd Radzlan yang ditemui selepas prosiding berkenaan berkata pihaknya mengemukakan 18 alasan kepada mahkamah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman Wan Ji.

"Antara alasan yang dikemukakan pihak kami adalah tempoh masa penjara yang perlu dijalani Wan Ji itu lama dan dia merupakan penanggung tunggal yang perlu memastikan kebajikan anak dan keluarganya terjamin," katanya.

Pada Selasa lepas, media melaporkan Wan Ji dijatuhi hukuman penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi di sini menolak rayuannya kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor tujuh tahun lepas.

Abdul Halim menjatuhkan hukuman berkenaan setelah memberi pertimbangan terhadap rayuan silang pihak pendakwaan dengan menambah hukuman Wan Ji dari sembilan bulan kepada setahun.

Wan Ji, didakwa pada 10 Sept 2014, menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah, termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini, pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

Dia boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 iaitu denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Untuk kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Thursday, July 11, 2019

NEGERI MENTERI BELIA SENDIRI TAK SETUJU UMUR BELIA DITURUNKAN



SHAH ALAM, 11 Julai (Bernama) -- Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengingatkan semua pihak supaya akur dengan keputusan kerajaan pusat menurunkan had umur belia daripada 40 kepada 30 tahun.



Beliau berkata ini kerana masih terdapat beberapa pihak termasuk kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.



“Sebelum pindaan ini, saya ada berbincang dan telah mendapat persetujuan bukan sahaja antara exco kerajaan negeri, tetapi juga sayap pemuda.



“Jika membabitkan program di peringkat kerajaan negeri kita faham, contohnya Selangor...Selangor memang jelas ikut kita cuma dasar kerajaan negeri itu lain, tetapi sekiranya mereka berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) mereka kena ikut,” katanya kepada pemberita selepas menjadi penalis program Wacana Sinar Harian bertajuk 'Mengundi Umur 18 tahun : Siapa Yang Untung' di Kompleks Krangkraf di sini, hari ini.



Turut menjadi panelis dalam program tersebut adalah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dan Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor.



Syed Saddiq berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian beberapa pihak termasuk kerajaan negeri Johor yang dilihat masih tidak bersetuju dengan pindaan tersebut.



“Saya tekankan sekali lagi akta ini akan berkuatkuasa pada Dis 2021, bagi saya waktu sekarang ini (pelaksanaan) harus bermula,” katanya.



Sementara itu, Syed Saddiq berkata kos pengurusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dijangka meningkat kepada RM1 billion berbanding RM500 juta sebelum ini, selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, diluluskan di Dewan Rakyat pada sidang kali ini.



Beliau berkata pertambahan kos pengurusan itu dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), susulan pindaan tersebut.



“SPR kata pada PRU sebelum ini, suruhanjaya itu telah membelanjakan kira-kira setengah bilion, tetapi apabila jumlah pengundi makin bertambah, kos juga akan meningkat sehingga boleh mencecah RM1 bilion," katanya.



Syed Saddiq membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bacaan kali pertama di persidangan Dewan Rakyat pada 4 Julai lepas dan bacaan kali kedua serta ketiga dijangka dibentang pada sesi sama yang berakhir 18 Julai ini.



Usul pindaan Perkara 119 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan itu adalah bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan ia sebahagian daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dipersetujui sebulat suara oleh Kabinet pada September tahun lepas.



-- BERNAMA

Wednesday, July 10, 2019

MB NAFI BELIAU ADA SKANDAL DENGAN ADUN WANITA

KUALA SELANGOR, 10 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan seorang ahli Dewan Undangan Negeri wanita dari negeri ini.

Amirudin berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

Dakwaan itu dilaporkan timbul berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

"Saya yakin saya tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu itu saya berada di Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sayangi Generasiku peringkat Kuala Selangor anjuran Pemadam di sini hari ini.

Amirudin berkata beliau tidak tahu mengapa beliau menjadi sasaran dan menegaskan beliau tidak pernah melakukan perkara di luar batasan.

Tuduhan itu, katanya, tidak memberi kesan kepadanya secara individu tetapi apa yang dirisaukan ialah ia seolah-olah sudah menjadi budaya untuk 'membunuh' seseorang melalui jalan fitnah

Ditanya sama ada tuduhan itu dibuat ahli parti sendiri, Amirudin berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu.

-- BERNAMA

Tuesday, July 9, 2019

PKR ADA SEMBURIT DAP ADA PEROGOL

IPOH, 9 Julai (Bernama) -- DAP Perak menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh berhubung dakwaan bahawa seorang exco kerajaan negeri telah melakukan serangan seksual ke atas pembantu rumahnya.

Pengerusinya Nga Kor Ming berkata laporan polis telah dibuat semalam di Balai Polis Jelapang, di sini.

Menurut Nga, parti memandang serius perkara itu.

“Parti berpendapat bahawa tiada siapa mengatasi undang-undang dan oleh itu, parti menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan penuh," kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nga juga berkata tindakan sewajarnya akan diambil bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ketua penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Choo Lily ketika dihubungi Bernama News Channel mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

Monday, July 8, 2019

BN KENA PILIH CALON YANG RAKYAT SUKA DAN BUKANNYA YANG PEMIMPIN SUKA



KANGAR 6 Julai - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengenengahkan calon yang disukai dan diterima oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan lagi memilih dalam kalangan mereka yang hanya digemari oleh pemimpin-pemimpin tertentu.



Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan perkara, tersebut adalah panduan parti pada masa depan dan formula berkenaan sekurang-kurangnya 50 peratus sudah membantu kemenangan parti.


Ujarnya, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands baru-baru ini, kerusi berkenaan adalah kawasan tradisi MIC namun parti membuat keputusan memilih calon tempatan yang disukai oleh rakyat dan akhirnya BN berjaya mencapai kemenangan.

“Kita sebagai parti hendak menang pilihan raya mesti pilih calon yang boleh diterima oleh rakyat bukannya memilih calon yang kita (pemimpin) suka. Kalau rakyat suka, 50 peratus kerja kita sudah selesai.

“Kalau kita suka, rakyat tidak suka, itu yang kita terpaksa bertungkus lumus untuk menang. Nak bagi rakyat suka bukan susah, kita mesti selalu bersama mereka dan nanti senang tidak ada lagi masalah pemimpin tidak turun padang dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kangar di Dewan 2020 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar merangkap Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Seri Azlan Man; Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya dan kepemimpinan negeri dan bahagian itu.

Ketika berucap sebelum itu, Mohamad berkata, penyatuan ummah UMNO dan Pas akan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa dalam pilihan raya akan datang.

“Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia); Amanah (Parti Amanah Negara) awal-awal lagi ‘jalan’ (kalah) kalau UMNO dan Pas bergabung. Jika dilihat, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Johor kita akan kembali rampas manakala Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu tidak ada masalah untuk kekal.


“Itu yang paling ditakuti oleh PH apabila UMNO dan Pas ini bekerjasama. Kerajaan PH menang atas dasar fitnah yang akan memakan mereka kembali selepas ini dan situasi itu sudah mula kelihatan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau.

Seterusnya, Mohamad juga menyifatkan BN seperti pasukan bola yang sudah menjuarai kejohanan sebanyak 13 kali dan apabila kalah sekali, tiada masalah untuk mereka bangkit semula

Thursday, July 4, 2019

MAYA KARIN KESAL DIKAITKAN PERCERAIAN NIK NAZMI



KUALA LUMPUR 2 Julai – Aktres Maya Karin menegaskan beliau tidak ada kena-mengena dengan perceraian Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dengan Dr. Imaan Abdul Rahim.



Menurut Maya, dia memang mengenali ahli politik itu namun hubungan mereka sekadar kenalan biasa, seperti hubungannya dengan beberapa ahli politik lain.


“Saya berkawan dengan ramai ahli politik. Pada usia saya sekarang, saya lebih selesa untuk berkenalan dan berbincang dengan golongan tersebut, dan ya, saya kenal dia (Nik Nazmi).

“Tetapi saya tidak tahu dari mana datangnya cerita ini dan kenapa saya dikaitkan.

“Saya berharap mereka (Nik Nazmi dan bekas isteri) dapat menghadapi dugaan itu dan teruskan menjalani kehidupan,” jawabnya.

Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 39, diminta mengulas mengenai dakwaan dia dikatakan menjadi orang ketiga sekali gus punca Nik Nazmi dan Dr. Imaan berpisah setelah 14 tahun berumah tangga.

Apa pun, pelakon filem itu mengakui tidak terkejut dengan dakwaan tersebut.
Ba­ginya, kontroversi itu satu perkara biasa kerana sudah acap­kali namanya dikaitkan de­ngan beberapa ahli politik sebelum ini.

“Dakwaan sebegini tidak membuatkan saya melenting atau rasa apa-apa. Saya sudah lali,” ujarnya sambil tertawa.


Terdahulu, Nik Nazmi, 37, dilaporkan bercerai talak satu dengan Dr. Imaan, 36, di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini.

Wednesday, July 3, 2019

DUA ORANG SEMBURIT TAPI HANYA HAZIQ SORANG KENA PECAT

PETALING JAYA, 3 Julai (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini memecat Haziq Abdullah Abdul Aziz dengan serta merta, kata presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan pemecatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong itu dibuat secara sebulat suara, pada Mesyuarat Biro Politik PKR yang berlangsung malam ini.

"Lembaga Disiplin hari ini memberi syor memecat Haziq Abdullah dan Biro Politik yang bermesyuarat malam ini membuat keputusan menerima syor itu, serta sebulat suara bersetuju memecat beliau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, malam ini.

Pengerusi Lembaga Displin PKR Datuk Ahmad Kasim berkata Haziq telah melanggar tatacara disiplin parti dengan tuduhan yang telah dibuat secara terbuka, termasuk mendakwa bahawa beliaulah lelaki yang bersama seorang pemimpin PKR dalam video seks viral.

"Antara alasan lain adalah dia secara terbuka menuduh pemimpin parti korup, tanpa memberikan bukti. Pemecatan ini juga mengambil kira selepas tamat tempoh 14 hari Haziq diarah memberikan surat tunjuk sebab menjelaskan dakwaan-dakwaannya.

"Lembaga disiplin sudah menerima jawapan balas daripada Haziq semalam. Selepas meneliti surat itu mesyuarat biro politik memutuskan perkara ini. Surat berkaitan perkara itu (pemecatan) akan dikeluarkan secepat mungkin dan diserahkan kepada Haziq," katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan terdapat beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel melakukan aksi seksual, dengan seorang daripadanya didakwa menyerupai salah seorang menteri Kabinet.

Pada 12 Jun lalu, Haziq yang merupakan bekas pegawai Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, mengakui dirinya terlibat dalam rakaman video intim yang tular itu.

-- BERNAMA

Tuesday, July 2, 2019

KU NAN TERIMA RM2 JUTA DARI CHAI KIN KONG

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah menerima gaji sebanyak RM14,907.20 sebulan dari tahun 2013 hingga 2018.

Setiausaha Bahagian (Perlembagaan dan Urusan Parlimen), Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Daman Huri Nor, 55, mengesahkan perkara itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim.

“Gaji RM14,907.20 sebulan dan elaun RM24,320.00 sebulan yang diterima oleh Tengku Adnan dibayar oleh kerajaan mengikut kementerian masing-masing bagi tempoh parlimen penggal ke-13,” katanya ketika membacakan penyataan saksinya pada hari pertama perbicaraan kes rasuah RM2 juta yang dihadapi Tengku Adnan.

Saksi ketiga pendakwaan itu turut mengecam dan mengesahkan Surat Cara Pelantikan Menteri Persekutuan bertarikh 16 Mei 2013 yang dikemukakan kepadanya oleh Julia.

Menurut Daman Huri, dokumen tersebut (Surat Cara Pelantikan Menteri Persekutuan) adalah watikah pelantikan Tengku Adnan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.

“Saya juga sahkan bahawa Perakuan Tentang Kedudukan atau Jawatan yang dipegang oleh Tengku Adnan bertarikh 28 Julai 2018 disediakan oleh saya,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Tengku Adnan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada ahli perniagaan, Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik syarikat Aset Kayamas Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok dengan empat orang saksi dijangka memberi keterangan.

-- BERNAMA

Monday, July 1, 2019

AHLI PARLIMEN DIWAJIBKAN ISYTIHAR HARTA

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Usul mewajibkan semua Anggota Parlimen mengisytiharkan harta masing-masing diluluskan sebulat suara pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ketika menggulung usul itu berkata ia adalah usaha pertama kerajaan pimpinan Pakatan Harapan bagi memastikan prinsip akauntabiliti dan ketelusan diamal secara lebih menyeluruh selain bertujuan menangani rasuah.

“Pembanterasan rasuah adalah paling penting bagi kerajaan Pakatan Harapan… usul ini juga menjadi langkah pertama dalam menangani isu rasuah dan akauntabiliti.

“Langkah-langkah lain akan dilakukan pada masa (lain) sesi persidangan Dewan Rakyat,” katanya.

Menurut Liew, usul itu akan terpakai kepada semua Anggota Parlimen dan suami atau isteri masing-masing, anak mereka berumur 21 tahun ke bawah, dan pemegang amanah berkaitan.

Terdahulu semasa perbahasan, usul berkenaan rata-ratanya mendapat sokongan para anggota Parlimen kerajaan.

Antara mereka ialah Cha Kee Chin (PH-Rasah), yang berkata langkah mewajibkan pengisytiharan harta tidak akan menghalang Anggota Parlimen untuk menambah harta atau menjadi kaya jika terlibat dalam perniagaan.

"Yang penting, setiap harta yang kita peroleh melalui jalan sah dan tertakluk kepada pembayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri yang akhirnya kerajaan mengutip hasil daripada pendapatan kita," katanya.

Anggota Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) yang secara umumnya bersetuju dengan usul itu mahu cadangan dilakukan dengan lebih terperinci menerusi penggubalan rang undang-undang khusus atau meminda rang undang-undang sedia ada bagi memastikan pelaksanaannya mengikut landasan undang-undang.

-- BERNAMA