Monday, April 30, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN APRIL 2018

Posting "Parti Warisan letak  anak tempatan gusarkan calon BN DUN Sekong" yang disiarkan pada 9 April lalu mendapat rating tertinggi bagi blog Newajilpost untuk bulan April 2018. 10 rating tertinggi bagi bulan tersebut adalah seperti berikut:-

1. Parti Warisan letak anak tempatan gusarkan calon BN DUN Sekong (9.4.2018)- 417 hits
2. Walaupun kurang sihat Haji Hadi tetap tamak mahu tanding dua kerusi (6.4.2018)
3.Hentikan ECRL bunuh harapan rakyat Pantai Timur (3.4.2018)
4.Adnan tertinggal watikah sempat jadi calon BN (29.4.2018)
5.Muslimin pembantu Setpol Zahid Hamidi tanding calon PKR (27.4.2018)
6.Baling mahu 5,500 unit PPR lagi (14.4.2018)
7.Syamsul Debat calon BN bagi DUN Sikamat (23.4.2018)
8. MIC dapat semula DUN Sungkai (12.4.2018)
9. Persatuan Belia Felda Trolak juara bolasepak Piala Datuk Khusairi (17.4.2018)
10. Tiada unsur caj keting di Terengganu pada hari penamaan calon (28.4.2018)

399 PEKEBUN KECIL RISDA TERIMA DIVIDEN RM908,020

SUNGAI PETANI, 30 April (Bernama) -- Seramai 399 pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di Kedah menerima dividen Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) bagi tahun lepas itu berjumlah RM908,020.

Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata dividen itu adalah sebahagian daripada jumlah yang telah diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis peringkat nasional yang berlangsung di Temerloh, Pahang pada 2 April lepas.

"Perdana Menteri telah mengumumkan sejumlah RM112.33 juta dividen keseluruhan Risda untuk 2017 dengan pecahan RM39.59 juta bagi dividen RTBB dan RM72.73 juta untuk dividen TSK (Tanam Semula Komersial)," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan replika cek dividen itu kepada Pengarah Risda negeri ini Ramlie Tumin di sini.

Turut hadir Anggota Pihak Berkuasa Risda Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM36 juta kepada Risda Kedah untuk tahun ini bagi menjayakan program pembangunan Risda seperti tanam semula, keusahawanan, insentif produktiviti getah dan lain-lain

Dalam perkembangan lain, Zahidi berkata Risda merancang untuk melaksanakan program penanaman penanaman pokok jenis 'Sacha Inchi' dalam usaha meningkatkan pendapatan isteri pekebun kecil yang tidak bekerja.

"Sekarang ini Risda Ventures Sdn Bhd sedang menjalankan tanaman percubaan, kemudian benih kita akan bagi, dan saya ingat akan mula dalam tempoh dua bulan ini yang mana anggaran kita, mereka boleh mendapat pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan hasilnya nanti," katanya.

Pokok itu mempunyai buah berbentuk seperti biji getah yang mengeluarkan minyak jenis Omega 3, Omega 6 dan Omega 9 yang berfungsi untuk memulihkan tenaga serta kesihatan badan.

Sementara itu, ibu tunggal antara penerima dividen RTBB itu, Raayah Shafie, 63, berkata pemberian dividen itu yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaannya sekeluarga khususnya menjelang Ramadan tidak lama lagi.

"Saya rasa bersyukur dan gembira hari ini apabila Risda membuat agihan dividen lebih awal, dapatlah saya membuat persiapan awal menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Dividen Risda peringkat negeri di Dewan Institut Kemahiran Mara Sungai Petani di sini.

Seorang lagi pekebun kecil, Shamsudin Saad, 68, berkata, dia merupakan generasi kedua Risda yang mendapat manfaat berkenaan.

"Jika dahulu, tidak banyak dividen yang diterima namun kini, dividennya mencecah ribuan ringgit," katanya.

Bagi Shuib Mat Darus, 88, pula berhasrat agar cucunya menjadi generasi ketiga meneruskan tanaman kelapa sawit yang diusahakannya sejak lebih 10 tahun lalu.

"Saya merupakan generasi pertama...bermula dengan tanaman getah pada tahun 1980-an di atas tanah seluas lapan ekar, sebelum diganti dengan tanaman kelapa sawit," katanya yang kebunnya kini diambil alih anaknya.

-- BERNAMA

Sunday, April 29, 2018

ADNAN TERTINGGAL WATIKAH SEMPAT JADI CALON BN

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Calon baharu Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Parlimen Bandar Tun Razak, Adnan Seman, yakin faktor anak tempatan mencerahkan peluangnya membantu BN merampas kerusi parlimen itu daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sebagai anak tempatan Bandar Tun Razak, kawasan ini begitu dekat dengan hati saya... jadi 'roh' itu amat kuat. Wakil rakyat sebelum ini orang luar dan hanya memenuhi kepentingan politik, bukannya bersifat untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat," katanya kepada Bernama hari ini.

Adnan, 42 anak jati Kampung Malaysia di sini berkata kebanyakan penduduk di kawasan itu adalah golongan M40 dan B40 antaranya termausk penjaja dan peniaga kecil yang mahukan nasib mereka dibela termasuk dari segi menambah baik kemudahan kawasan perniagaan yang sedia ada.

"Mereka ini antara golongan yang terkesan dengan kemajuan pesat bandaraya dengan banyak kawasan dibangunkan sedangkan kawasan gerai perniagaan semakin mengecil," katanya sambil menambah terdapat lebih 1,000 penjaja di kawasan ini.

Justeru, berjanji akan berusaha menyelesaikan masalah yang mereka hadapi sekiranya diberikan mandat oleh pengundi di kawasan ini.

Beliau juga berjanji untuk menangani isu warga asing yang mendominasi perniagaan di sesetengah kawasan di sini supaya kelangsungan ekonomi penjaja dapat ditingkatkan.

Adnan berkata beliau merancang menubuhkan pusat khidmat guaman yang bermatlamat membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan bantuan guaman secara percuma.

"Ini termasuklah mewujudkan skuad sukarelawan guaman bagi menguruskan perkara berkaitan perundangan termasuk isu tanah, rumah dan harta pusaka, katanya yang merupakan graduan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia."

Parlimen Bandar Tun Razak yang terletak di pinggir ibu negara adalah antara kawasan perumahan yang luas dan pesat membangun dengan lebih setengah juta penduduk dan dilengkapi dengan kemudahan dan jaringan pengangkutan awam yang lengkap termasuk LRT, ERL, Komuter dan bas di Terminal Bersepadu Selatan

Kawasan Parlimen ini mempunyai 83,650 pemilih terdiri daripada 29.19 peratus Cina, 61.96 peratus Melayu, 8.18 peratus India dan 0.67 peratus kaum lain.

Pada PRU14, Adnan akan menghadapi perlawanan tiga penjuru dengan calon PAS Dr Rosni Adam, dan calon PKR Datuk Kamarudin Jaffar.

-- BERNAMA

Saturday, April 28, 2018

TIADA UNSUR CAJ KETING DI TERENGGANU PADA HARI PENAMAAN CALON

KUALA TERENGGANU, 28 April (Bernama) -- Tiada unsur 'cah keting' (sabotaj) dikesan dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) Terengganu pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di negeri ini, hari ini.

Biarpun budaya 'cah keting' menjadi ancaman dalam mana-mana parti politik apabila calon baharu menggantikan penyandang atau calon 'wannabee' (menaruh harapan) gagal mendapat tempat bertanding.

Bagaimanapun, lain pula halnya, dalam BN Terengganu, apabila pemimpin yang digugur atau gagal menjadi calon tidak menyimpan dendam tetapi sebalik turun padang untuk memberi sokongan kepada calon pilihan parti pada hari penamaan calon di beberapa kawasan.

Di Hulu Terengganu, kemunculan penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Seri Jailani Johari, sejak 7 pagi tadi bagi memberi sokongan kepada penggantinya, bekas exco kerajaan negeri, Datuk Rosol Wahid jelas memberi impak yang sangat besar untuk BN mengekalkan kerusi itu.

Malah, kedatangan Jailani, timbalan menteri Komunikasi dan Multimedia, disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh oleh kira-kira 12,000 penyokong BN sebelum mengikuti perarakan calon BN ke pusat penamaan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu.

Di Dungun, bekas Anggota Parlimennya, Datuk Rosli Mat Hassan (menang pada PRU11 dan kalah pada PRU13) hadir memberi sokongan kepada calon kawasan itu termasuk calon Parlimen Datuk Din Adam dan juga Roslee Daud, yang merupakan penyandang dan calon BN bagi DUN Bukit Besi.

Di Kemaman pula, bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said yang terus tercalon di DUN Kijal beriringan menuju ke pusat penamaan di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, dengan calon DUN Cukai, Datuk Mohamed Awang Tera.

Ahmad pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Mohamed adalah calon yang pernah berpaling tadah dan bertindak melakukan sabotaj terhadap BN pada PRU13 hingga menyebabkan calon BN di kerusi tersebut, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid tewas kepada calon PAS, Hanafiah Mat.

Selain senario ?berbaik-baik' ini, ramalan sesetengah pihak akan berlaku pertembungan tiga penjuru di semua lapan Parlimen dan 32 DUN di Terengganu ternyata menjadi kenyataan.

Pertembungan tiga penjuru itu melibatkan BN, PAS dan PKR tanpa sebarang calon Bebas.

Pada PRU13, BN dan PAS masing-masing memenangi empat kerusi Parlimen di negeri itu manakala BN memenangi 17 kerusi DUN, PAS 14 dan satu kerusi oleh PKR.

Barisan calon BN Terengganu yang terdiri daripada gabungan penyandang, muka baharu dan calon yang kembali bertanding dilihat mampu memberi kelebihan kepada BN.

Kehadiran penyokong paqda hari penamaan calon juga memberi gambaran awal tentang kecederungan sokongan terhadap sesebuah parti, malah hasil tinjauan Bernama mendapati hanya BN dan PAS yang meriah dengan pembawa bendera dan penyokong hingga ada yang sanggup membanjiri kawasan penamaan sejak awal pagi.

Sebaliknya, PKR hanya melibatkan tidak lebih daripada 100 orang termasuk calon dan penyokong.

Dalam pada itu, pakar motivasi, Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pendatang baharu dalam dunia politik, bakal menghadapi cabaran sengit di kerusi Parlimen Kuala Nerus apabila bersaing dengan Pengarah Institut Strategi PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan juga Abdullah Muhamad (PKR-Amanah).

Di Besut, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh terus kekal bertanding di kerusi Parlimen Besut dan menghadapi saingan daripada sepupunya, Datuk Ir Wan Nazari Wan Jusoh (PKR-PPBM), selain calon PAS, Dr Riduan Mohamad Nor.

Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, juga akan bersaing dengan sepupunya, Che Ku Hashim Che Ku Mat (PKR-PPBM) di kerusi DUN Kuala Besut, selain Azbi Salleh (PAS).

Di Kuala Terengganu, penyandang DUN Bandar dari PKR, Azan Ismail menarik perhatian ramai apabila mengenakan baju melayu berwarna biru muda yang menjadi pakaian yang sama sejak bertanding dalam PRU12 (di Parlimen Indera Mahkota) dan PRU13 (DUN Bandar).

Beliau akan berdepan dengan Ahmad Shah Mohamed (PAS) dan Toh Seng Cheng (BN-UMNO).

Sementara itu, di Marang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang diiringi lebih 500 penyokong, sempat melakukan solat sunat hajat di masjid Kampung Kijing sebelum berarak ke pusat penamaan calon di Pejabat Daerah, kira-kira 1.5km dari masjid berkenaan.

Pemimpin PAS itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Marang dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan calon BN diwakili Mohamad Nor Endut (UMNO) dan Dr Zarawi Sulong daripada PKR-Amanah.

-- BERNAMA

Friday, April 27, 2018

MUSLIMIN PEMBANTU SETPOL ZAHID HAMIDI TANDING CALON PKR

SHAH ALAM, 27 April (Bernama) -- Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berterima kasih kepada Pakatan Harapan (PH) kerana mengambil Muslimin Yahya sebagai calonnya bagi kawasan Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Beliau menyifatkan Muslimin, yang sebelum ini merupakan Anggota Jawatankuasa UMNO bahagian itu sebelum menyertai PKR sebagai "duri dalam daging" bagi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Saya akan mengadakan kenduri kesyukuran dalam jangka masa terdekat dengan 'menumbangkan' seekor kambing bagi meraikan pemergian Muslimin ke PH kerana ia telah membuang 'duri dalam daging' dalam UMNO," katanya kepada Bernama hari ini.

Jamal yang juga pengarah pilihan raya BN Parlimen Sungai Besar berkata, UMNO Bahagian Sungai Besar 'lega dan bersyukur' dengan pemergian "duri dalam daging" itu ke pihak pembangkang.

"Kita patut berterima kasih kepada Pakatan Harapan," katanya secara sinis ketika ditanya tentang tindakan Muslimin menyertai PKR dan akan bertanding sebagai calon pakatan pembangkang.

PH Parlimen Sungai Besar mengumumkan Muslimin sebagai calonnya di kawasan Parlimen Sungai Besar bagi mencabar penyandang kerusi itu daripada BN Budiman Mohd Zohdi.

UMNO dan BN Sungai Besar, menurut Jamal, tidak bimbang dengan pencalonan Muslimin kerana bekas guru itu tidak pernah mendapat sokongan meluas daripada anggota parti dan pernah tewas teruk dalam pemilihan di bahagian itu.

"Beliau tewas di tangan Budiman (dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda Bahagian) dengan keputusan yang agak memalukan, kalah dengan majoriti dua pertiga," katanya dan menambah, ia juga merupakan satu daripada sebab mengapa Muslimin tidak dipilih sebagai calon BN.

Malah beliau juga mendakwa Muslimin merupakan pilihan keempat PH bagi kawsan Parlimen itu selepas penolakan tiga calon lain berikutan kebimbangan akan "kekalahan teruk" pembangkang pada BN di kerusi itu.

Sementara itu, setiausaha politik timbalan perdana menteri Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan Muslimin sebelum ini merupakan pegawai khas beliau dan bukan pegawai khas kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti didakwa.

Tugasan terakhir Muslimin, katanya, adalah membantu menguruskan program santai timbalan perdana menteri bersama guru di Bagan Datuk, Perak.

Menurutnya, prinsip timbalan perdana menteri adalah jelas iaitu tidak membenarkan mana-mana pegawainya bertanding dalam pilihan raya umum ini supaya mereka dapat memainkan peranan aktif membantu kemenangan BN.

"Ketulenan perjuangan bagi individu sebegini amatlah diragui kerana dia menyertai PKR hanya selepas namanya tidak tersenarai sebagai calon BN. Ini membuktikan bahawa dia cuba mengambil jalan pintas untuk bertanding dalam PRU dengan menyertai parti lawan," katanya.

Masrizal berharap Muslimin akan "tersedar daripada lamunan politik yang diciptakan oleh pembangkang" dan kembali ke pangkal jalan.

-- BERNAMA

Thursday, April 26, 2018

12 ORANG LAMA DICALONKAN SEMULA DI SABAH






KOTA KINABALU, 26 April (Bernama) -- Orang lama masih kuasai calon BN Sabah. Mereka ialah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (Kota Belud), Datuk Hajiji Noor (Sulaman), Datuk Yahya Hussein (Petagas), Datuk Rahim Ismail (Pantai Manis), Datuk Sapawi Ahmad (Sindumin), Datuk Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Sairin Karno (Liawan), Tan Sri Musa Aman (Sungai Sibuga), Datuk Seri Bung Mokhtar (Kinabatangan), Datuk Seri Nasir Tun Sakaran ( Senalang), Datuk Seri Ghafur Salleh ( Kalabakan) dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (Tambunan).

Berikut senarai penuh calon Barisan Nasional (BN) bagi 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini:

P.167 KUDAT Datuk Abdul Rahim Bakri (UMNO)

N.01 BANGGI Datuk Mohd Mijul Unaini (UMNO)

N.02 TANJONG KAPOR Datuk Teo Chee Kang (LDP)

N.03 PITAS Datuk Bolkiah Ismail (UMNO)

P.168 KOTA MARUDU Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (PBS)

N.04 MATUNGGONG Julita Majunki (PBS)

N.05 TANDEK Datuk Lasiah Baranting @ Anita (PBS)

P.169 KOTA BELUD Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (UMNO)

N.06 TEMPASUK Datuk Musbah Jamli (UMNO)

N.07 KADAMAIAN Ewon Benedick (UPKO)

N.08 USUKAN Datuk Japlin Akim (UMNO)

P.170 TUARAN Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO)

N.09 TAMPARULI Datuk Jahid Jahim (PBS)

N.10 SULAMAN Datuk Hajiji Noor (UMNO)

N.11 KIULU Datuk Joniston Bangkuai (PBS)

P.171 SEPANGGAR Datuk Seri Abd Rahman Dahlan (UMNO)

N.12 KARAMBUNAI Datuk Jainab Ahmad Ayid (UMNO)

N.13 INANAM Datuk Johny Goh (PBS)

P.172 KOTA KINABALU : Datuk Joseph Lee (PBS)

N.14 LIKAS : Datuk Chin Su Ying (LDP)

N.15 API-API : Datuk Dr Yee Moh Chai (PBS)

N.16 LUYANG : Dr Pamela Yong (MCA)

P.173 PUTATAN : Datuk Dr Marcus Mojigoh (UPKO)

N.17 TANJUNG ARU : Datuk Ir Edward Yong Oui Fah (PBS)

N.18 PETAGAS : Datuk Yahya Hussin (UMNO)

P.174 PENAMPANG : Caesar Mandela Malakun (UPKO)

N.19 KAPAYAN : Datuk Francis Goh (MCA)

N.20 MOYOG : Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO)

P.175 PAPAR : Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin (UMNO)

N.21 KAWANG : Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (UMNO)

N.22 PANTAI MANIS : Datuk Abdul Rahim Ismail (UMNO)

P.176 KIMANIS : Datuk Seri Anifah Aman (UMNO)

N.23 BONGAWAN : Datuk Mohamad Alamin (UMNO)

N.24 MEMBAKUT : Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (UMNO)

P.177 BEAUFORT : Datuk Azizah Mohd Dun (UMNO)

N.25 KLIAS : Datuk Isnin Haji Alisaneh (UMNO)

N.26 KUALA PENYU : Datuk Limus Jury (UPKO)

P.178 SIPITANG : Yamani Hafez Musa (UMNO)

N.27 LUMADAN : Matbali Musa (UMNO)

N.28 SINDUMIN : Datuk Sapawi Amat Wasali @ Ahmad (UMNO)

P.179 RANAU : Datuk Dr Ewon Ebin (UPKO)

N.29 KUNDASANG : Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS)

N.30 KARANAAN : Datuk Masidi Manjun (UMNO)

N.31 PAGINATAN : Datuk Abidin Madingkir (UPKO)

P.180 KENINGAU : Datuk Daniel Kinsik (PBS)

N.32 TAMBUNAN : Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (PBS)

N.33 BINGKOR : Peter Jino Aliun (PBS)

N. 34 LIAWAN : Datuk Sairin Karno (UMNO)

P.181 TENOM : Datuk Rubin Balang (UMNO)

N.35 MELALAP : Datuk Radin Maleh (PBS)

N.36 KEMABONG : Jamawi Jaafar (UMNO)

P.182 PENSIANGAN : Arthur Joseph Kurup (PBRS)

N.37 SOOK : Datuk Ellron Angin (PBRS)

N.38 NABAWAN : Datuk Bobbey Suan (UPKO)

P.183 BELURAN : Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (UMNO)

N.39 SUGUT : Datuk James Ratib (UMNO)

N.40 LABUK : Abd Rahman Kangkawang (PBS)

P.184 LIBARAN : Datuk Zakaria Mohd Edris @ Tubau (UMNO)

N.41 GUM-GUM : Datuk Juslie Ajirol (UMNO)

N.42 SUNGAI SIBUGA : Tan Sri Musa Aman (UMNO)

P.185 BATU SAPI : Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS)

N.43 SEKONG : Datuk Samsuddin Yahya (UMNO)

N.44 KARAMUNTING : Lim Kai Ming (LDP)

P.186 SANDAKAN : Datuk Lim Ming Ho (LDP)

N.45 Elopura : Chan Tzun Hei (Gerakan)

N.46 TANJUNG PAPAT : Datuk Raymond Tan Shu Kiah (Gerakan)

P.187 KINABATANGAN : Datuk Seri Bung Moktar Radin (UMNO)

N.47 KUAMUT : Datuk Masiung Banah (UPKO)

N.48 SUKAU : Datuk Saddi Abdul Rahman (UMNO)

P.188 SILAM : Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (UMNO)

N.49 TUNGKU : Mizma Apehdullah (UMNO)

N.50 LAHAD DATU : Datuk Mohammad Yusof Apdal (UMNO)

N.51 KUNAK : Datuk Nilwan Kabang (UMNO)

P.189 SEMPORNA : Datuk Ramlee Marahaban (UMNO)

N.52 SULABAYAN : Datuk Harman Mohamad (UMNO)

N.53 SENALLANG : Datuk Seri Nasir Tun Sakaran (UMNO)

N.54 BUGAYA : Razak Tun Sakaran (UMNO)

P.190 TAWAU : Datuk Dr Mary Yap Kain Ching (PBS)

N.55 BALUNG : Datuk Osman Jamal (UMNO)

N.56 APAS : Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (UMNO)

N.57 Sri Tanjong : Loo Suh Fui (PBS)

P.191 KALABAKAN : Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (UMNO)

N.58 MEROTAI : Lim Ting Kai (LDP)

N.59 TANJUNG BATU : Datuk Hamisa Samat (UMNO)

N.60 SEBATIK : Datuk Abdul Muis Picho (UMNO)

Wednesday, April 25, 2018

1,000 UNIT PPR TULANGIS SDN BHD BAKAL UBAH WAJAH LANGKAWI

KUAH: Rakyat Langkawi diminta mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) jika mahu kesinambungan projek pembangunan di pulau tersebut.

Menurut Ketua Umno Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad jika Pakatan Harapan (PH) menawan Malaysia banyak projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dibatalkan.

"Sudah tentu rakyat Langkawi yang rugi. Oleh itu saya menyeru kepada para pengundi mengekalkan BN di kerusi parlimen Langkawi dan di DUN Kuah dann Air Hangat untuk meneruskan semua projek yang diumumkan oleh Perdana Menteri," katanya.

Beliau yang telah disahkan sebagai calon BN bagi parlimen Langkawi akan menentang Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pilihanraya umum pada 9 Mei nanti.

Katanya, 1,000 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sedang dibina oleh Tulangis Sdn Bhd di Ulu Melaka (DUN Air Hangat) dan Kuah (DUN Kuah) akan merubah wajah Langkawi apabila siap tiga tahun lagi.

Oleh itu, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri yang amat perihatin dengan masalah perumahan yang dihadapi oleh penduduk Langkawi.

"Di Ulu Melaka dua blok pangsapuri 14 tingkat sedang dibina untuk 500 keluarga akan merubah gaya hidup penduduk Ulu Melaka," katanya kepada MH Online.

Katanya lagi, penduduk Langkawi sudah biasa duduk di rumah flat maka tidak timbul isu mereka rasa janggal duduk di pangsapuri apabila 500 unit pangsapuri siap kelak.

"Pelbagai projek telah diumumkan Datuk Seri Najib seperti pembesaran Hospital Langkawi dan  bekalan air maka tiada sebab penduduk Langkawi menolak BN," katanya lagi.

KAJIAN MPN BUKTIKAN SABAH LEBIH MEMBANGUN DI ZAMAN NAJIB



KOTA BELUD, 25 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kajian Majlis Profesor Negara (MPN) membuktikan bahawa Sabah semakin membangun dalam era kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata baru-baru ini MPN menerbitkan sebuah buku kecil iaitu Dinamika Pembangunan Sabah 2008-2018, yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai pembangunan sosioekonomi, pembangunan pendidikan, situasi keselamatan, kesihatan dan sebagainya.

"Kalau kita teliti maklumat yang dibentangkan dalam buku ini jelas bahawa Sabah diberikan perhatian yang istimewa oleh Kerajaan Persekutuan, terutamanya sejak Najib memegang jawatan Perdana Menteri mulai 3 April 2009 hingga kini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Profesor Bersama Masyarakat Sabah 2018, di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2016 ialah sebanyak 4.7 peratus, berbanding peningkatan KDNK bagi seluruh Malaysia sebanyak 4.2 peratus.

"Ini bermakna Sabah lebih pesat membangun berbanding keseluruhan Malaysia. Hal ini menyebabkan berlaku peningkatan dalam Bajet Kerajaan Negeri Sabah daripada RM2.3 bilion pada 2008 kepada RM4.1 bilion pada 2018.

"Peningkatan terjadi juga dalam pendapatan purata isi rumah di Sabah daripada RM3,102 sebulan pada 2009 kepada RM5,354 sebulan pada 2016. Hal ini menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan di Sabah daripada 19.7 peratus pada 2008 kepada 2.9 peratus pada 2016," tambahnya.

Salleh berkata kerana keprihatinan Najib terhadap nasib Sabah, pada 2008 hingga 2015, Sabah telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM9.4 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan jumlah itu melebihi purata peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang diterima oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya antara tahun 2008 hingga 2018, Sabah juga menerima Pemberian Geran Tahunan kepada pihak Berkuasa Tempatan yang berjumlah RM212.6 juta dan angka itu juga merupakan yang tertinggi peruntukan purata yang diberikan di peringkat nasional.

Salleh berkata, selain itu, antara tahun 2008 dan 2018, Sabah turut menerima peruntukan penyelenggaraan jalan raya yang berjumlah kira-kira RM3.6 bilion dan jumlah itu merupakan sekali ganda daripada dana penyelenggaraan jalan raya yang diterima oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

"Kesemua perkara tersebut adalah pemerhatian yang dibuat oleh MPN dan banyak lagi rekod pembangunan di Sabah yang telah dilaksanakan dengan bantuan kerajaan persekutuan pimpinan Najib," katanya.

Salleh berkata kerajaan telah menbentuk dan membangunkan negara khususnya Sabah bukan semata-mata untuk masa kini, tetapi ia adalah untuk masa hadapan negara.

"Kedatangan MPN ke Sabah ini bukan kempen kerana pilihan raya. Tetapi mereka sudah sering kali datang ke Sabah untuk membuat pelbagai pemerhatian dan apa yang mereka sampaikan adalah fakta yang diperoleh daripada kajian mereka," katanya.

Sehubungan itu, Salleh sekali lagi meminta rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dengan pelbagai maklumat palsu dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial pada masa kini.

"Kini maklumat palsu atau fitnah adalah menjadi musuh terbaharu negara. Pihak tertentu menyebarkan fitnah melalui media sosial untuk memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama di negara kita," katanya.

-- BERNAMA


Tuesday, April 24, 2018

IBRAHIM ALI DAKWA PERLAWANAN BN DAN PAS MACAM PERLAWANAN PERSAHABATAN

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Pasir Mas dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tendong di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan politik di negeri tersebut selain memenuhi kehendak pengundi di Pasir Mas yang mahukan beliau bertanding di situ.

"Di Kelantan saingan cuma antara BN dan PAS tetapi saya lihat macam perlawanan diatur, macam perlawanan persahabatan.

"Jadi saya rasa bertanding calon Bebas lebih berpeluang untuk menang," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Pasir Mas boleh dianggap kerusi tradisi Ibrahim yang bertanding di situ pada PRU 1986, 1990, 1995, 1999, 2004, 2008 dan 2013 atas beberapa tiket parti termasuk Bebas.

Ibrahim memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU 1986, Semangat 46 pada PRU 1990 dan tiket PAS pada PRU 2008.

Beliau tewas di kerusi tersebut ketika bertanding atas tiket BN pada PRU 1995 dan 1999 dan sebagai calon Bebas pada PRU 2004 dan 2013.

Sementara itu, Ibrahim berkata pucuk pimpinan Perkasa akan bermesyuarat bagi membincangkan pendirian pertubuhan tersebut berhubung sokongan terhadap mana-mana parti politik atau menyokongnya sebagai calon Bebas pada PRU14.

Monday, April 23, 2018

SYAMSUL DEBAT CALON BN BAGI DUN SIKAMAT

SEREMBAN, 23 April (Bernama) -- Personaliti program motivasi dan keagamaan, Syamsul Amri Ismail atau Syamsul Debat adalah antara muka baharu yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

Syamsul, yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, menganggap pemilihan beliau sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat adalah satu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu digalas dengan sebaiknya.

Pemilihan Syamsul Amri, 41, sekali gus bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru di DUN Sikamat melibatkan calon PKR, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Rahim Yusof daripada PAS.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, R. Thinalan menyifatkan pemilihan beliau sebagai calon bagi kerusi DUN Sri Tanjung sebagai meneruskan legasi mendiang bapanya, Datuk T. Rajagopalu, yang meninggal dunia pada 25 Ogos 2014.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, mendiang bapanya yang merupakan bekas Setiausaha Agung MIC Kebangsaan, adalah wakil rakyat di kawasan itu selama sepenggal pada 2004.

"Pada tahun 2008, kerusi berkenaan telah dimenangi pembangkang dan hasrat saya kali ini untuk merampas kembali kerusi tersebut serta kembalikan kegemilangan kawasan DUN itu," katanya kepada Bernama di sini.

Ketua Penerangan MCA Negeri Sembilan, Ho Choi Sin pula menganggap pemilihan beliau sebagai calon DUN Mambau adalah sejarah dalam kerjaya politiknya.

Bagi calon Parlimen Seremban yang juga Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Chong Sin Woon, beliau berjanji akan bekerja keras memastikan kemenangan BN sekali gus mahu menyumbang satu kerusi kepada pembentukan kerajaan pusat.

"Sebagai penerima watikah calon pada hari ini, maka saya memikul tanggungjawab yang besar dan akan berusaha bersama jentera parti di Parlimen Seremban untuk menemui seberapa ramai pengundi semasa berkempen yang saya telah lakukan selama ini.

"Saya yakin dan percaya barisan yang diumumkan pada hari ini apabila diberi mandat oleh rakyat kelak, akan menyampaikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Sunday, April 22, 2018

PM LANCAR SATU LAGI PROJEK TULANGIS SDN BHD DI KEDAH






ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Rakyat perlu mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada bagi memastikan agenda perumahan yang menjadi keutamaan kerajaan dapat diteruskan untuk jangka panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata disebab itu, agenda perumahan menjadi keutamaan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) termasuk memperbanyakkan lagi projek perumahan rakyat (PPR) bagi membolehkan setiap rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri.

"Kita mesti membuat perancangan yang menjangkau tempoh masa bukanlah satu, dua tahun sahaja. Kita mesti ada perancangan jangka panjang sebab kalau kita nak mengangkat, menjulang negara antara negara terunggul di dunia, BN mampu mencapai matlamat itu sebab petanda-petandanya sudah ada, perancangannya sudahpun dibuat, pelaksanaannya tengah dilakukan."

"Garis penamatnya, insya-Allah kesampaian dengan syarat BN jadi pilihan. Sebab itulah bila kita kata dalam manifesto, hari ini kita bina rumah untuk semua, anak cucu mewarisi harta yang cukup besar nilainya," katanya berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian PPR Suka Menanti, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohammad Mentek.

Najib berkata BN mempunyai rekod khidmat yang baik dan menunaikan setiap janji yang dibuat termasuk pembinaan perumahan yang memanfaatkan rakyat di negara ini.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 125 projek PPR membabitkan 85,198 unit rumah bernilai RM6.18 bilion sudah siap dibina manakala 46 projek bernilai RM3.26 bilion dalam pembinaan.

"Inilah projek setakat ini. Menang BN boleh tambah lagi. Untuk Kedah boleh tambah (perumahan), tak ada masalah. Nak tolong tak payah orang lain, saya boleh tolong Kedah...insya-Allah," katanya.

Mengulas PPR Suka Menanti, Najib berkata setiap pembeli hanya perlu membayar RM35,000 daripada harga asal rumah berkenaan iaitu RM217,000.

"PPR ini payah nak lawan sebab projek PPR Suka Menanti ini kosnya RM217,000 seunit dan harga jualan RM35,000. Ini bermakna setiap unit kerajaan memberi subsidi sebanyak RM182,000. Maknanya sesiapa yang menjadi pemilik rumah ini dalam tangan mereka sebuah rumah bernilai RM217,000."

"Siapa kata kerajaan tak bagi subsidi, kerajaan tak baik, kerajaan bankrap? Macam mana negara bankrap boleh buat projek ini," katanya.

Najib berkata berbeza dengan pembangkang, mereka hanya pandai berjanji dan tidak menunaikan janji yang dibuat.

"Kita dah nampak 'track recordnya'. Kita tak main janji, pihak satu lagi main janji. Hari ni cakap lain esok cakap lain. Macam BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) hari ini dia (pembangkang) menghina kata 'dedak', dalam manifesto masuk BR1M. Kita (kerajaan BN), (BR1M) bulan Jun ni masuk RM800 dan bulan Ogos ni lagi RM800," katanya.

Dalam pada itu, Najib mahu BN Kedah memenangi semula kerusi Parlimen Alor Setar dan semua tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parilmen berkenaan iaitu Suka Menanti, Kota Darul Aman dan Alor Mengkudu pada PRU14.

"Saya kecewa Alor Setar (menang) satu (DUN) saja, satu lawan tiga. Kita kalah dalam main bola, satu gol saja dengan kita. Kalau nak minta macam-macam kena menang 4-0 dengan syarat Alor Setar membiru dengan BN," katanya.

Terdahulu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf tapak perniagaan penjaja dan peniaga kecil di Alor Setar dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya BN menang pada PRU14."

PPR Suka Menanti bernilai RM108 juta melibatkan 500 unit rumah dijangka mula dibina pada pertengahan tahun ini.

-- BERNAMA

Friday, April 20, 2018

RISDA AGIH DIVIDEN RM46.45 JUTA KEPADA 9,359 PESERTA DI PAHANG

BERA, 20 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengagihkan dividen berjumlah RM46.45 juta kepada 9,359 orang peserta di Pahang, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM38.44 juta adalah bagi peserta program Tanam Semula Komersil (TSK) melibatkan 6,493 orang manakala RM8 juta adalah untuk 2,866 orang peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTTB).

Pengagihan itu adalah sebahagian daripada pengumuman dividen keseluruhan RISDA 2017 berjumlah RM112.33 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Temerloh pada 2 April lepas.

"Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) juga menguruskan 139 projek TSK di Pahang dengan pecahan 125 ladang sawit dan 14 ladang getah yang berkeluasan 15,844.59 hektar.

"Untuk Bera, RPSB menguruskan empat buah ladang TSK iaitu Ladang Orang Asli Sungai Tuang, Ladang Orang Asli Kampung Bongkok, Bukit Rok dan TSK Bukit Penak yang berkeluasan 568.22 hektar melibatkan 248 peserta," katanya semasa berucap pada majlis Penyampaian Dividen TSK dan Program Moh Ngeteh di Balai Raya Kampung Bongkok di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri juga menyampaikan dividen TSK bagi April berjumlah RM96,600 melibatkan 138 peserta daripada Kampung Bongkok dan Sungai Tuang.

"Semua peserta di sini akan menerima dividen sebanyak RM700 dengan RM300 akan diberikan secara tunai dan baki dimasukkan ke dalam akaun penerima. Ini adalah satu inisiatif yang difikirkan kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar menambah pendapatan mereka.

"Jika mereka rajin, mereka juga boleh bekerja di ladang dan akan menerima gaji secara bulanan. Sebab itu, kita galakkan mereka yang mempunyai tanah untuk menjalin kerjasama dengan Risda kerana pulangan diterima lebih banyak daripada jika dipajakkan kepada orang luar," katanya.

Ismail Sabri menarik perhatian bahawa kerajaan komited memperkasakan masyarakat luar bandar termasuk golongan Orang Asli bukan hanya dari aspek pendapatan, tetapi juga dari sudut infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Beliau merujuk kepada kejayaan memastikan 85 peratus daripada semua perkampungan Orang Asli di sini telah dilengkapi kemudahan asas dengan kerajaan memberi akujanji mahu memastikan semua perkampungan Orang Asli dan kampung tradisional seluruh negara mempunyai kemudahan itu menjelang 2020.

Di Bera, hampir 99 peratus kawasan sudah mempunyai kemudahan air, elektrik dan jalan raya yang boleh disifatkan sebagai 'kejayaan peribadi' kepadanya yang telah menjadi Anggota Parlimen Bera sejak 2004.

"Ini adalah aku janji kerajaan kepada masyarakat Orang Asli yang merupakan penyokong setia kepada Barisan Nasional (BN). Kita tahu mereka tidak pernah mengubah sokongan daripada BN walaupun terdapat pelbagai cubaan untuk memujuk mereka," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, April 19, 2018

ZAMAN MAHATHIR PUN PROJEK MEGA DAPAT PENGECUALIAN CUKAI

PUTRAJAYA, 19 April (Bernama) -- Pengecualian cukai kepada beberapa projek besar milik kerajaan telah diberikan sejak tahun 1980an dan isu pelepasan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagi perolehan barang dan perkhidmatan bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak seharusnya diputarbelitkan pihak tertentu.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata pelepasan cukai kepada projek ECRL diberikan dengan mengambil kira faktor bahawa projek itu dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui syarikat pelaburan kerajaan iaitu Malaysia Rail Sdn Bhd.

"Memang benar kerajaan ada bagi pelepasan kepada projek ECRL kepada syarikat China tetapi kita perlu ingat projek ini kepunyaan Malaysia dan pemilik sebenar adalah Malaysia yang mana akhirnya dapat manfaat adalah Malaysia bukan China," katanya pada sidang media di sini hari ini.

"Isu ini tidak seharusnya diputarbelitkan kerana kerajaan juga telah memberikan pengecualian seperti ini ketika era cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada beberapa projek besar ketika tahun 80an iaitu sejak ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

"Di bawah Insentif Untuk Projek Perkhidmatan Diluluskan (ASP), duti import dan pengecualian cukai jualan ke atas mesin dan peralatan telah diberikan untuk projek-projek dalam sektor pengangkutan, telekomunikasi dan utiliti," katanya.

Subromaniam berkata syarikat-syarikat telekomunikasi, pengeluar tenaga bebas (IPP), pelabuhan dan lapangan terbang, kereta api dan lain-lain adalah di antara penerima manfaat di bawah insentif ini.

"Antara projek-projek besar yang mendapat pengecualian adalah projek yang melibatkan IPP, Terowong SMART, Stadium Bukit Jalil, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Express Rail Link (ERL), Transit Aliran Massa (MRT) dan banyak lagi projek-projek lain untuk mengurangkan impak kos projek," katanya.

"Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menegaskan memang terdapat mekanisme dalam GST yang bertujuan untuk mengurangkan impak golongan yang disasarkan.

JKDM dari semasa ke semasa akan mempertimbangkan permohonan pelepasan kepada syarikat yang memohon serta layak," katanya.

Secara amnya, beliau berkata pelepasan ke atas syarikat berkenaan adalah bagi memastikan projek strategik ECRL tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

"Sekiranya pelepasan ini tidak diberikan sekalipun, kerajaan terpaksa menanggung kos GST ke atas perolehan ini di mana kerajaan perlu menambahkan pinjaman untuk menampung kos atau mengalami kerugian," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, April 18, 2018

UNDI LUAR BANDAR TETAP JADI DEPOSIT TETAP BN

JITRA, 18 April (Bernama) -- Undi masyarakat luar bandar diyakini tetap akan terus menjadi deposit tetap buat Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ini kerana rata-rata golongan berkenaan menghargai segala kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), antaranya melalui pelaksanaan transformasi 'Membandarkan Luar Bandar'.

"Walaupun banyak fitnah dilemparkan kepada kerajaan, masyarakat luar bandar tidak akan mempercayainya kerana golongan ini merupakan penyokong kuat BN, undi luar bandar merupakan antara faktor kita (BN) mampu menawan Putrajaya.

PKR gagal bantu DAP perintah negara pada PRU13 sebab orang kampung masih bersama BN dan sebab itu pembangkang gunakan bekas presiden UMNO untuk tarik pengundi luar bandar," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Desa Digital peringkat kebangsaan di Kampung Bemban di sini hari ini.

Ismail Sabri dalam sidang media selepas itu turut menzahirkan rasa kesal atas sikap sesetengah kepimpinan negeri pembangkang yang seolah bersifat lepas tangan dalam soal membela nasib rakyat di luar bandar.

Tuesday, April 17, 2018

PERSATUAN BELIA FELDA TROLAK JUARA BOLASEPAK PIALA DATUK KHUSHAIRI









SLIM RIVER: Pérsatuan Belia Felda Wilayah Trolak mengalahkan Majlis Daerah Tanjong Malim 4-1. di sini Ahad lalu dalam perlawanan akhir Liga Bolasepak Piala YB Datuk Kushairi Abdul Talib.

Menurut Khusairi yang juga Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, perlawanan bolasepak tahunan itu merupakan perlawanan kali keempat. Sebanyak 32 pasukan dalam daerah Muallim menyertai perlawanan tersebut yang diadakan selama empat bulan berturut-turut.

Beliau berharap perlawanan liga bolasepak kali kelima akan diadakan pada tahun hadapan.


Sebelum majlis penyampaian hadiah, Khusairi berkesempatan main bola bersama team beliau dalam perlawanan persahabatan dengan team artis yang didatangkan oleh Dewan Perniagaan Artis (DPA) yang dipengerusikan oleh Datuk Shahrul Nizam.

Perlawanan suka-suka ini sempena final #ligabolapialadatokhusairi di Padang Awam MDTM Slim River.

Antara pemain DPA yang hadir Yassin Senario, Roy Azman, Riot Kool, Pablo Amirul, Niezam Zaidi, Tony Tuah, Hairy Kool dan Ipin.

Team ADUN Slim River turut diwakili OCPD Muallim Supt Wan Kamarul Azran, YDP MDTM Faizal Nizam, PPD Muallim Saiful Bahrin Sulaiman, Pengurus Besar Felda Wilayah Trolak Haidir Moin, KCK Tuan Husin dan Datuk Farid Al-Walid

Keputusannya, team artis menang 1-0 dijaring oleh Yassin Senario dalam perlawanan selama 15 minit.

Monday, April 16, 2018

IMPIAN NURUL HIDAYAH JUMPA MB TERCAPAI

KUALA PILAH, 16 April (Bernama) -- Impian seorang remaja yang menghidap sakit kronik, Siti Nurul Hidayah Mohd Sofi,19, untuk berjumpa Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan akhirnya tercapai.

Mohamad meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat Siti Nurul Hidayah di Hospital Tuanku Ampuan Najihah dekat sini dan memberi kata-kata semangat kepadanya.

Siti Nurul Hidayah menghidap penyakit 'Cervical Cord Myelopathy' iaitu kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru.

Dia disahkan menghidap penyakit itu akibat terjatuh di bilik air pada tahun 2005 ketika berusia enam tahun dan tidak boleh bergerak serta hanya bergantung dengan alat bantuan pernafasan.

"Adik (Siti Nurul Hidayah) rasa sangat gembira, tidak sangka menteri besar akan datang melawat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sunday, April 15, 2018

NILAI BN BERDASARKAN PRESTASI PARTI

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kini sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia merenung kembali apa yang kerajaan telah capai dalam tempoh lima tahun lalu ketika tinggal hanya tiga minggu sebelum pilihan raya umum ke-14 berlangsung.

Selepas berkempen selama lima tahun, Salleh menyeru rakyat untuk menilai Barisan Nasional (BN) berdasarkan prestasi parti dan bukan pada retorik kosong.

Beliau berkata selepas memenangi pilihan raya umum ke-13, BN lebih tertumpu kepada mentadbir negara daripada menyerang pihak lawan seperti apa yang pembangkang lakukan.

"Kita tidak boleh 'main politik' setiap hari dalam kehidupan kita. Masanya akan tiba apabila kita perlu melakukan beberapa kerja," kata Salleh menerusi catatan dalam blog beliau, malam ini.

Beliau berkata BN adalah sebuah kerajaan yang mesra rakyat dan mengakui bahawa rakyat adalah bos yang akan mengadili mereka melalui peti undi.

"Kerana itulah kebajikan rakyat sentiasa di hati kita,: kata Salleh dan menambah membuat janji palsu dan janji yang tidak boleh ditunaikan memang mudah tetapi menunaikan janji itu tidak begitu mudah.

Beliau berkata BN menunaikan apa yang dijanjikannya dan ini terbukti berdasarkan rekod prestasi kami.

Saturday, April 14, 2018

BALING MAHU 5,500 UNIT PROJEK PERUMAHAN RAKYAT (PPR) LAGI



BALING: Rakyat Baling diajak memberi kemenangan besar kepada kerusi parlimen dan tiga DUN pada 9 Mei ini jika mereka mahu 5,500 unit projek perumahan rakyat (PPR) lagi.

Menurut Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Paduka Azeez Abdul Rahim jika BN menang besar di Baling maka rakyat Baling mahu 2,000 unit PPR bagi setiap DUN (DUN Bayu, Kupang dan Kuala Ketil).

"Hari ini Menteri Perumahan, Tan Sri Noh Omar datang melancarkan 500 unit PPR di DUN Kupang maka DUN Bayu dan DUN Kuala Ketil mahu PPR juga," katanya ketika berucap di majlis pelancaran PPR Baling yang disempurkan oleh Noh Omar di Kampung Charok Sikin, Kupang di sini

Katanya, jika rakyat mahu banyak lagi PPR dibina di daerah Baling maka jangan lupa beri kemenangan besar kepada BN pada 9 Mei nanti.



Pada PRU 2013, BN menang dua kerusi DUN Bayu dan Kupang tetapi tewas di Kuala Ketil. Di Bayu , calon BN Azmi Che Husin menang dengan majoriti 4,132 undi. Di Kupang , calon BN, Harun Abdul Aziz menang dengan majoriti 1,924 undi tetapi di Kuala Ketil, calon BN, Mohd Khairul Azhar Abdullah tewas di tangan calon PAS, Md Zuki Yusof dengan majoriti 1,154. Manakala Azeez Abdul Rahim menang dengan majoriti 5,185 undi di parlimen Baling.

"Insya Allah bila kami menang 4-0 di Baling nanti kami tuntut 5,500 unit PPR dengan Noh Omar," katanya sambil diberi tepukan gemuruh. Majlis tersebut turut diserikan dengan cabutan bertuah di mana dua orang pengundi Baling mendapat rumah PPR di kampung tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan pasangan orang kurang upaya (OKU) yang baru melangsungkan perkahwinan tiga bulan lalu mendapat 'rezeki terpijak' hari ini apabila memenangi sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Charok Sikin di sini, menerusi cabutan bertuah.

Muhammad Shahrul Hafizudin Abdullah, 26, yang cacat pendengaran berkata dia menganggap rumah tersebut sebagai hadiah perkahwinanya yang dilangsungkan pada bulan Disember lalu.

"Saya bersyukur kepada Allah dengan rezeki ini walaupun langsung tidak menjangkanya.

"Ini akan membuatkan kami lebih bersedia untuk berdikari dalam menjalani kehidupan dan dalam masa yang sama memberi keselesaan kepada isteri dan insya-Allah, anak-anak, pada masa depan," katanya melalui penterjemah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Thursday, April 12, 2018

PM AKAN TENTUKAN NASIB ISA SAMAD

SEREMBAN, 12 April (Bernama) -- Nama Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad termasuk dalam senarai calon Negeri Sembilan yang telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata ini kerana Mohd Isa adalah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang dan penyandang jawatan anggota Parlimen Jempol.

"Sekiranya terpilih, kerusi mana beliau (Mohd Isa) akan bertanding, sama ada kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), itu saya tidak tahu," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui pada majlis pecah tanah untuk pembinaan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ladang Ulu Kanchong di Taman Forest Heithts di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan Senator Datuk Chong Sin Woon, Pengarah Pendidikan negeri Pkharuddin Ghazali, Pengerusi MCA negeri Datuk Seri Dr Lim Chin Fui dan Pengerusi Gerakan negeri Datuk David Choong Vee Hing.



Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri berkata senarai calon BN Negeri Sembilan telah dihantar kepada Perdana Menteri pada Selasa lepas dan terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang sesuai untuk bertanding pada PRU14.

"Setakat ini saya tidak tahu siapa calon BN negeri ini dan biarlah Perdana Menteri umumkan. Bila sudah dapat tauliah nanti, itulah calonnya.

"Jadi, siapa sahaja yang diputuskan oleh pucuk pimpinan nanti, itulah yang akan menjadi calon kepada sesuatu tempat, sama ada DUN atau pun Parlimen...itu semua diputuskan oleh pucuk pimpinan," katanya.

Mengenai dakwaan Pakatan Harapan akan berlaku tsunami Melayu pada PRU kali ini, beliau berkata teori tsunami Melayu itu cuma teori sahaja kerana orang Melayu masih lagi mempunyai keyakinan tinggi kepada UMNO dan BN untuk terus menerajui pentadbiran negara ini.

"Bahkan, saya lihat kebelakangan ini sokongan orang Melayu terutamanya di luar bandar dan kawasan pinggir bandar nampaknya lebih baik jika hendak dibandingkan pada dua PRU yang lepas. Jadi, saya harap ini akan menjadi kenyataan pada PRU14," katanya.

Katanya BN Negeri Sembilan yakin dapat mengekalkan 22 kerusi DUN dalam PRU14 nanti.

Katanya selain 22 kerusi itu, BN juga bertekad untuk menambah antara lima hingga tujuh kerusi lagi.

MIC DAPAT SEMULA DUN SUNGKAI

SLIM RIVER, 12 April (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungkai bakal diserahkan kembali kepada MIC dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusi BN Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata kerusi tersebut yang sebelum ini ditandingi MCA pada PRU lepas bakal dikembalikan kepada MIC yang merupakan kerusi tradisi parti tersebut.

Malah katanya MIC juga telah memenangi kerusi DUN Sungkai beberapa penggal sebelum kalah sekali pada PRU 2008 manakala pada tahun 2013 diserahkan kepada MCA dan parti itu kalah kepada DAP.

"Ia, berkemungkinan besar (kembalikan kerusi kepada MIC) dan saya pun amat menyokong dan perkara ini telah dibincangkan dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam pertemuan sebelum ini.

"Berkenaan soal calon, saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti, khususnya dalam kalangan Pengerusi BN (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Presiden MIC (Datuk Seri Dr S. Subramaniam) untuk tentukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran Pembangunan Rumah Idaman Rakyat sebanyak 454 unit di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di sini hari ini.

Mohd Khusairi yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim berkata dalam soal meletakkan calon, UMNO tidak ada masalah berhubung perkara itu dan pihaknya akan membantu bersungguh-sungguh bagi memastikan kemenangan calon DUN Sungkai, sekali gus merampas kembali kawasan itu.

"Sekiranya letak kembali calon daripada MIC, saya alu-alukan langkah yang dibuat pucuk pimpinan parti kerana itulah yang sewajarnya bagi memastikan kemenangan berpihak di tangan BN.

"Kita nak lihat dalam Parlimen Tanjung Malim ini ada kerjasama daripada semua parti komponen yang utama di sini. MCA bertanding di peringkat Parlimen, UMNO bertanding di dua kawasan DUN - DUN Slim dan DUN Behrang dan kalau boleh, berilah MIC bertanding di DUN Sungkai,? katanya.

Malah jelasnya kerusi DUN Sungkai sememangnya mempunyai potensi untuk dirampas daripada pihak pembangkang dan dipulangkan ke pangkuan BN Bahagian Tanjung Malim.

"Kami harap dapat merampas kembali DUN Sungkai, jika terdapat perubahan sikap dalam kalangan pengundi Cina yang merupakan pengundi majoriti kawasan itu serta jika berlaku pertandingan tiga penjuru," katanya yang berharap pengundi kawasan itu dapat memberikan sokongan kepada calon BN supaya pembangunan dapat dibawa terus oleh wakil rakyat parti itu.

Pada PRU13, DAP menerusi A. Sivanesan menewaskan Goh Kim Swee, calon BN daripada MCA dengan majoriti 3,511.

Wednesday, April 11, 2018

SEMAKAN MAKLUMAT PUSAT MENGUNDI MULAI 16 APRIL

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Semakan maklumat pusat mengundi bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) boleh dibuat mulai Isnin (16 April) untuk pemilih berdaftar mengetahui tempat mengundi bagi kawasan parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didaftarkan.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Penjalanan Pilihan Raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Mohd Sarif Hassan berkata pada masa ini hanya semakan daftar pemilih boleh dilakukan bagi mengetahui status pendaftaran pemilih sama ada berkelayakan atau tidak sebagai pengundi.

"Sekarang belum boleh (semak maklumat pusat mengundi). Jika semak dalam laman web SPR sekarang hanya menunjukkan kawasan parlimen atau DUN. Tidak sampai ke tempat mengundi di sekolah mana," katanya ketika menjadi tetamu slot '1Malaysia Negaraku' Bernama Radio, di sini hari ini.

Beliau berkata semakan boleh dilakukan sama ada melalui laman web SPR di www.spr.gov.my atau melalui aplikasi MySPR Semak03-88927018 atau SMS ke 15888.

Semalam, SPR menetapkan hari pengundian PRU14 pada 9 Mei, tarikh penamaan calon 28 April, manakala tarikh pengundian awal 5 Mei.

Pengundi dinasihatkan membuat semakan awal bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi serta memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Beliau turut mengingatkan pengundi agar membawa kad pengenalan diri dan tidak menyerahkan sebarang dokumen pengenalan diri kepada pihak yang tidak berkenaan.

Menjawab soalan berhubung keputusan SPR menetapkan hari Rabu (9 Mei) sebagai hari pengundian pada pilihan raya kali ini, beliau berkata penetapan tarikh pilihan raya merupakan hak SPR berdasarkan bidang kuasa SPR setelah tujuh anggota suruhanjaya itu bermesyuarat mengenainya.

"Saya tidak nampak yang 9 Mei (Rabu) itu sebagai halangan yang besar untuk kita adakan pilihan raya. Sebelum ini pun kita lihat pilihan raya boleh berlaku bukan setakat Sabtu atau Ahad, ada juga pada hari Isnin dan Selasa," jelasnya.

Hari ini, kerajaan mengisytiharkan 9 Mei sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara bersempena hari mengundi PRU14 bagi memudahkan rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Marilah rakyat Malaysia jayakan tanggungjawab anda dalam proses demokrasi negara pada PRU14.

#jomkitasemak #jomkitaundi #undiandapenentumasadepannegara

-- BERNAMA

Tuesday, April 10, 2018

MAHATHIR BERHASRAT NAFIKAN BN MENANG DUA PERTIGA



KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad menyedari sepenuhnya bahawa PH akan dikalahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), dan oleh itu beliau akan cuba sedaya-upaya untuk menafikan Barisan Nasional kemenangan dua pertiga pada pilihan raya umum.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Dr Mahathir kemudian akan memutar-belitkannya sebagai kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana isunya bukan BN memenangi pilihan raya tetapi gagal memperoleh kemenangan dua pertiga.

"Pada masa ini, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima hakikat bahawa Pakatan Harapan akan menderita bukan sahaja akan mengalami kekalahan dalam PRU14 tetapi kalah teruk. UMNO dan Barisan Nasional bersedia untuk meletakkan Mahathir dan Pakatan berada dalam keadaan menerima kenyataan pahit dengan terpaksa."

"Yang Mahathir boleh mengharapkan ialah BN tidak akan menang majoriti dua pertiga tetapi 'simple majority' kira-kira 60 peratus kerusi Parlimen," kata Salleh menerusi catatan dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my.


Beliau berkata Mahathir berharap ini kemudian boleh ditonjolkan sebagai kegagalan Najib supaya dia boleh menghasut UMNO untuk menyingkirkan Najib.

"Mahathir memberitahu Pakatan mereka perlu menyelamatkan Malaysia dengan menyingkirkan UMNO dan kemudian dia memberitahu UMNO mereka perlu menyingkirkan Najib untuk menyelamatkan UMNO," kata beliau.

-- BERNAMA

LIM KIT SIANG PATUT DIGUGURKAN JUGA SEPERTI DR TAN SENG GIAW

KUALA LUMPUR: Walaupun menang lapan kali berturut-turut kerusi parlimen Kepong, kini sudah tiba masanya untuk kita mengucapkan "selamat tinggal" kepada (bekas) Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.

Ini kerana orang kuat DAP yang kini berusia sekitar 75 tahun digugurkan daripada bertanding untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menang di Kepong sejak 1982, tidak dapat disangkal, Dr Tan menjadi kesayangan rakyat di kawasan parlimennya kerana sikap dan cara pembawaan dirinya yang amat disenangi ramai.

Penulis sempat menemu bual beliau sewaktu tempoh berkempen PRU13. Ketika itu beliau baru selesai berceramah di Brickfields. Ketika itu jarum jam sudah menunjukkan pukul 11.45 malam.

Memandangkan tiada tempat duduk yang sesuai kerana sebaik sahaja selesai majlis ceramah, pekerja sudah mengemaskan dewan, beliau dengan selamba berkata "di sini pun boleh'" sambil memandang bahu jalan betul-betul di sebelah tempat kami berdiri.

Maka selama hampir satu jam, kami duduk di atas batu yang tidak seberapa lebarnya tanpa menghiraukan orang ramai yang berpusu-pusu keluar meninggalkan dewan.

Sesekali juga kami disuluh lampu besar kereta yang keluar masuk dan di tengah-tengah kerancakan berbual, perbualan terhenti sejenak apabila ada yang tampil menyapa beliau dan berjabat tangan.

"Sempoi betul dia ini," getus hati penulis.



Macam-macam perkara kami bincangkan. Paling penulis suka ialah jawapan Dr Tan apabila diajukan soalan bagaimana beliau berjaya memenangi hati pengundi kawasan Parlimen Kepong.

"Saya taklah bimbang sangat (tentang pilihan raya). Fokus saya ialah meneruskan apa yang telah saya buat sejak 1982 iaitu berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Menurut Dr Tan, amat penting untuk seseorang ahli parlimen sentiasa dirasai kehadirannya oleh masyarakat dan beliau mempunyai cara yang unik itu.



"Sekiranya saya pergi ke Kepong, semua orang akan tahu. Saya tak perlu pun bercakap apa-apa, mereka akan tahu bila melihat kereta saya,“ tambahnya.

Toyota Hilux Dr Tan bagaikan pejabat bergerak. Beliau turut memastikan semua jenis borang untuk membantu masyarakat ada di dalam keretanya itu.

Apabila melalui satu-satu tempat dan nampak ramai orang, beliau memberhentikan kenderaannya dan memanjat ke belakang kereta serta memasang pembesar suara untuk memberitahu beliau ada di tempat itu.

Ketika itu jika ada yang mempunyai masalah, Dr Tan akan cuba sebaik mungkin dan turut mengemukakan permasalahan itu kepada pihak berwajib.

Menurut Dr Tan beliau juga menggunakan teknologi untuk berkomunikasi dengan pengadu. Status aduan akan diberitahu menggunakan khidmat pesanan ringkas iaitu SMS.



Apa yang beliau lakukan ini bukan dibuat lima tahun sekali tetapi secara konsisten dan dari semasa ke semasa sepanjang beliau memegang amanah sebagai wakil rakyat.

Maka tidak hairanlah pada PRU13, beliau menang besar dengan jumlah majoriti paling tinggi dalam sejarah dirinya iaitu lebih 40,000 undi!

Di dalam DAP, Dr Tan terkenal sebagai orang yang tidak takut bersuara terhadap barisan kepimpinan parti.

Sepanjang kekecohan melibatkan 1MDB, kita dapat lihat sendiri percanggahan pendapat antara beliau dengan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.



Keadaan ini amat menarik kerana kedua-dua mereka adalah orang kuat DAP dan kedua-duanya anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Situasi ini tidak menyenangkan parti.

Bukan setakat DAP tetapi mana-mana parti pun baik Umno atau PAS pasti tidak akan senang duduk bila ada dua anggotanya saling bercakaran, dengan liputan media yang meluas, betul tak?

Tak sehaluan

Pada Jun 2017, Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberitahu pihak media bahawa Dr Tan tidak dapat dihubungi parti sejak awal 2017.

Dr Tan dengan pantas membakul sampahkan tuduhan itu dengan berkata satu-satunya sebab beliau tidak dapat dihubungi adalah bila sedang bercakap di telefon.

Tambah beliau, setiap panggilan telefon akan dijawab sambil mempersoal sejauh mana pihak parti cuba menghubunginya dan adakah hanya dengan sekali panggilan telefon sahaja?


Cuma penulis tidak tahu sebab sebenarnya. Banyak pihak melihat ia adalah akibat perbuatan Dr Tan yang tidak sehaluan dengan parti.

Daripada sudut pandangan yang lain, boleh jadi DAP mahu membariskan calon yang lebih muda kerana usia Dr Tan yang sudah menjangkau lebih 70 tahun.

Menurut laporan akhbar, tempat beliau diganti Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang berusia 45 tahun.

Apa pun, penulis ingin mengucapkan "selamat berehat" kepada Dr Tan dan terima kasih atas segala jasa serta khidmat bakti yang dicurahkan selama 36 tahun lepas.


Ulasan saya, jika umur dijadikan alasan untuk menggugurkan Dr Tan, DAP juga patut menggugurkan Lim Kit Siang sebagai calon kerana beliau lebih tua dua tahun dari Dr Tan.


Malah beliau adalah ahli parlimen yang paling lama dalam Dewan Rakyat sejak tahun 1969. Beliau hanya kalah pada tahun 1999. Ini bermakna beliau adalah ahli parlimen 10 penggal di Bandar Melaka (1969–1974), Kota Melaka (1974–1978), Petaling Jaya, Selangor (1978–1982), Kota Melaka (1982–1986), Tanjong, Pulau Pinang (1986–1999), Ipoh Timur, Perak (2004–2013) dan Gelang Patah, Johor (sejak 2013).

Monday, April 9, 2018

PARTI WARISAN LETAK ANAK TEMPATAN GUSARKAN CALON BN DI DUN SEKONG

SANDAKAN: BN dijangka mendapat tentangan sengit dari pihak pembangkang jika BN meletakkan calon bukan anak tempatan.

Menurut tinjauan blog ini, Parti Warisan dijangka meletakkan calon tempatan di DUN Sekong menentang penyandang Datuk Samsuddin Yahya yang berasal dari Pulau Tambisan.

Menurut sumber, Parti Warisan dijangka meletakkan bekas ahli jawatankuasa Umno Bahagian Batu Sapi, Sapari Idal seorang anak tenpatan dalam DUN Sekong untuk menentang Ketua Umno Bahagian Batu Sapi tersebut.

Kata sumber itu lagi, BN bimbang jika Sapari jadi calon kerana 100 peratus pengundi DUN tersebut adalah saudara maranya.

Beliau yang telah bergiat cergas dalam politik sejak 35 tahun lalu turut aktif dalam NGO seperti persatuan belia SANYA.

Beliau faham dengan masalah yang dihadapi oleh penduduk Sekong dan beliau yang kuat pendirian tidak gentar diugut oleh parti lawan dan tidak akan menarik diri dari bertanding seperti bekas calon parti pembangkang lain sebelum ini.

Sunday, April 8, 2018

TSUNAMI MELAYU TIDAK AKAN BERLAKU DALAM PRU14

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) yakin untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 kerana fenomena Tsunami Melayu yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang tidak akan berlaku, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. sebagaimana dilaporkan oleh Channel NewsAsia.

"Tidak akan ada Tsunami Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Saya tidak mengatakan kami adalah parti yang terbaik dalam dunia tapi alternatifnya teruk," katanya seperti dipetik oleh Channel NewsAsia.

Dalam satu wawancara pada 6 April lepas, Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata Malaysia mengalami kepesatan pembangunan yang ketara dalam tempoh lima tahun lepas di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, satu fakta yang tidak diberi perhatian utama oleh media.

Beliau berkata ekonomi Malaysia sudah melangkah jauh sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintahan pada 2009 dan pendapatan negara kasar meningkat lebih daripada 50 peratus sementara 2.3 juta pekerjaan baharu diwujudkan, pengangguran dan inflasi terkawal pada kadar yang rendah dan kemiskinan hampir dihapuskan.



"Sementara media memilih untuk tidak memperdulikan kesemua perkara ini, rakyat Malaysia yang telah menyaksikan peningkatan yang ketara dalam kehidupan mereka, lebih tahu. Justeru kami yakin untuk mengekalkan jumlah majoriti kami di parlimen," kata Salleh.

Salleh berkata pihak pembangkang, yang sudah lama mendapat kebanyakan sokongan kaum Cina, patut lebih risau sama ada masyarakat Cina akan mengulangi sokongan yang sama dalam pilihan raya kali ini.

"'Pembangkang bekerjasama dengan seseorang seperti Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), yang berulang kali membangkitkan isu perkauman semasa berkuasa, akan mengakibatkan  pengundi
Cina beralih daripada menyokong pembangkang," katanya.

Beliau berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Dr Mahathir tidak memberi ancaman kepada UMNO kerana tidak ada parti yang ditubuhkan kerana dendam dan atas kegagalan dalam UMNO, berjaya dalam sejarah Malaysia.



Tindakan Mahathir dan beberapa orang kroninya dalam UMNO, kebanyakannya adalah mereka yang sudah bersara dan tidak memainkan peranan aktif meninggalkan parti, tidak memberi sebarang kesan . UMNO tidak pernah sebegini bersatu pada masa ini dan makin bertambah kuat,? katanya.



Mengenai cukai barang dan perkhidmatan (GST), Salleh memberi jaminan manfaatnya akan dirasai rakyat tidak lama lagi.

"Banyak pakar ekonomi menjelaskan, ekonomi akan menghadapi masalah besar jika kerajaan tidak memperkenalkannya."

"Daripada membuat keputusan berdasarkan pertimbangan jangka pendek, kami mengambil keputusan yang sukar untuk kepentingan terbaik negara dan rakyat. Perjalanan ini, ke arah memperkukuhkan ekonomi kami, adalah usaha yang berterusan dan kami yakin mereka yang masih belum nampak manfaatnya akan sedar tidak lama lagi," kata beliau.

-- BERNAMA

Friday, April 6, 2018

WALAUPUN KURANG SIHAT HAJI HADI TETAP TAMAK MAHU TANDING DUA KERUSI



MARANG 6 April - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhasrat untuk terus bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Beliau yang awalnya dijangka akan hanya mempertahankan kerusi Parlimen seiring dengan faktor usia dan kesihatan membayangkan tiada masalah untuk memikul dua tanggungjawab sekali gus.


Bagaimanapun katanya, perkara itu terpulang kepada pucuk pimpinan parti iaitu Majlis Syura Ulama untuk membuat keputusan.

“Sekiranya diberi mandat, saya akan terus bertanding, namun terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

“InsyaAllah saya akan ikut arahan parti. Kalau parti suruh bertanding di mana, saya akan bertanding. Tapi asalkan tempat ada orang,” selorohnya.

Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang dan ADUN Rhu Rendang memberitahu demikian kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Rusila, di sini hari ini.

Menjawab satu soalan, Presiden Pas itu berkata, kedudukan anaknya, Muhammad Khalil Abdul Hadi selaku Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat sama ada bertanding atau tidak juga diserahkan kepada parti.

“Perkara yang melibatkan calon, kita serah semuanya kepada parti. Kalau parti suruh bertanding, kita bertanding,” ujarnya.

Menurut Abdul Hadi, Pas akan mengumumkan calon-calonnya selepas pengumuman tarikh PRU-14 dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Thursday, April 5, 2018

SELANGOR DIKRITIK TIDAK HANTAR DATA TABUNG KHAS HAK MILIK STRATA

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Kelewatan negeri Selangor memberi data mengenai jumlah bangunan khas yang masih belum memiliki hak milik strata di negeri masing-masing untuk dimasukkan di dalam senarai Tabung Khas Hak Milik Strata, dikritik anggota Parlimen.

Anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota Tinggi) berkata perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku terutama di negeri Selangor yang menurutnya mempunyai jumlah tertinggi bangunan khas dengan masalah strata dalam negara.

"Saya amat kecewa saya minta kementerian dan kerajaan negeri, janganlah benda-benda macam ini tak ambil berat, sebab ini melibatkan simpanan pelaburan rakyat berpuluh-puluh tahun, bergenerasi.

"Banyak bangunan lama ini menyusahkan, sebab mereka tak dapat nak dijual, tak dapat ditukar nama, sebab kebanyakan pemilik ialah pemilik benefisiari bukan pemilik berdaftar," katanya ketika membahas usul kali pertama penubuhan tabung berkenaan sebelum diluluskan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Penubuhan tabung berkenaan dicadangkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk dimasukkan dalam jadual kedua Akta Tatacara Kewangan 1957.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz ketika menggulung usul berkenaan berkata sehingga Ogos tahun lepas berdasarkan data yang diberikan setiap negeri tidak termasuk Selangor dan Kelantan, sebanyak 25,761 petak kediaman telah disenaraikan dalam tabung berkenaan.

"Untuk permulaan di bawah kementerian, kita dah buat satu memo kepada Kabinet untuk selesaikan dahulu di peringkat awal 25,000 petak ini daripada negeri-negeri yang telah pun kita dapatkan data sehingga 30 Ogos.

"Jadi berdasarkan kepada angka ini, maka anggaran dibuat dengan keperluan pada masa ini untuk gerakkan tabung ini lebih kurang RM12.8 juta telah diluluskan Kabinet," katanya.

Tambah beliau, dana daripada tabung berkenaan akan digunakan antara lain bagi pembayaran yuran kepada juruukur, permohonan hak milik, premium tanah dan sebagainya.

-- BERNAMA