Wednesday, April 4, 2018

KERAJAAN SASAR 2,000 SAINTIS DATA MENJELANG 2020

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kerajaan menyasar untuk melahirkan 2,000 saintis data menjelang 2020 bagi membantu negara bergerak memasuki era revolusi perindustrian keempat (Industri 4.0), kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran itu, sokongan institusi pengajian tinggi dan sektor swasta diperlukan bagi menggalakkan golongan muda menerokai bidang yang bakal mempunyai permintaan tinggi itu.

Katanya program dan kerjasama berkaitan data terutamanya kepakaran dalam keselamatan siber perlu diutamakan kerana pendigitalan dan penggunaan internet yang meluas boleh membuka kepada pelbagai aktiviti jenayah siber.

"Buat masa sekarang, negara kekurangan pakar terutamanya dalam bidang data dan Teknologi Maklumat (IT). Kita perlu melatih lebih ramai lagi rakyat Malaysia dalam sains bagi memenuhi keperluan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Asia Cybersecurity Exchange (AsiaCyberX) di sini, hari ini.

AsiaCyberX merupakan inisiatif yang menyediakan latihan kepada pelajar universiti tempatan bagi melahirkan pakar dalam bidang keselamatan siber.

Sebagai permulaan, seramai 240 pelajar dari lapan universiti awam dan swasta dipilih menyertai program latihan selama setahun itu yang dikendalikan oleh syarikat keselamatan siber , LE Global Services Sdn Bhd.

Terdahulu, dalam ucapannya, Jailani berkata pelancaran AsiaCyberX adalah tepat pada masanya memandangkan teknologi baharu dalam sektor FinTech, internet dan cloud memerlukan penyelesaian keselamatan siber yang baharu.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan e-dagang dan ekonomi digital bukan hanya bergantung kepada kemajuan teknologi malah berpaut juga kepada nilai-nilai tradisional seperti kepercayaan.

"Ini (AsiaCyberX) adalah inisiatif yang baik tetapi ia juga perlu menangani isu etika dalam mengendalikan data. Kami mahu melahirkan pakar data yang bukan sahaja hebat dari segi teknikal malah beretika dalam hasil kerjanya," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment