BALING: Rakyat Baling diajak memberi kemenangan besar kepada kerusi parlimen dan tiga DUN pada 9 Mei ini jika mereka mahu 5,500 unit projek perumahan rakyat (PPR) lagi.
Menurut Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Paduka Azeez Abdul Rahim jika BN menang besar di Baling maka rakyat Baling mahu 2,000 unit PPR bagi setiap DUN (DUN Bayu, Kupang dan Kuala Ketil).
"Hari ini Menteri Perumahan, Tan Sri Noh Omar datang melancarkan 500 unit PPR di DUN Kupang maka DUN Bayu dan DUN Kuala Ketil mahu PPR juga," katanya ketika berucap di majlis pelancaran PPR Baling yang disempurkan oleh Noh Omar di Kampung Charok Sikin, Kupang di sini
Katanya, jika rakyat mahu banyak lagi PPR dibina di daerah Baling maka jangan lupa beri kemenangan besar kepada BN pada 9 Mei nanti.
Pada PRU 2013, BN menang dua kerusi DUN Bayu dan Kupang tetapi tewas di Kuala Ketil. Di Bayu , calon BN Azmi Che Husin menang dengan majoriti 4,132 undi. Di Kupang , calon BN, Harun Abdul Aziz menang dengan majoriti 1,924 undi tetapi di Kuala Ketil, calon BN, Mohd Khairul Azhar Abdullah tewas di tangan calon PAS, Md Zuki Yusof dengan majoriti 1,154. Manakala Azeez Abdul Rahim menang dengan majoriti 5,185 undi di parlimen Baling.
"Insya Allah bila kami menang 4-0 di Baling nanti kami tuntut 5,500 unit PPR dengan Noh Omar," katanya sambil diberi tepukan gemuruh. Majlis tersebut turut diserikan dengan cabutan bertuah di mana dua orang pengundi Baling mendapat rumah PPR di kampung tersebut.
Sementara itu, Bernama melaporkan pasangan orang kurang upaya (OKU) yang baru melangsungkan perkahwinan tiga bulan lalu mendapat 'rezeki terpijak' hari ini apabila memenangi sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Charok Sikin di sini, menerusi cabutan bertuah.
Muhammad Shahrul Hafizudin Abdullah, 26, yang cacat pendengaran berkata dia menganggap rumah tersebut sebagai hadiah perkahwinanya yang dilangsungkan pada bulan Disember lalu.
"Saya bersyukur kepada Allah dengan rezeki ini walaupun langsung tidak menjangkanya.
"Ini akan membuatkan kami lebih bersedia untuk berdikari dalam menjalani kehidupan dan dalam masa yang sama memberi keselesaan kepada isteri dan insya-Allah, anak-anak, pada masa depan," katanya melalui penterjemah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
No comments:
Post a Comment