Wednesday, April 25, 2018

KAJIAN MPN BUKTIKAN SABAH LEBIH MEMBANGUN DI ZAMAN NAJIB



KOTA BELUD, 25 April (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kajian Majlis Profesor Negara (MPN) membuktikan bahawa Sabah semakin membangun dalam era kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata baru-baru ini MPN menerbitkan sebuah buku kecil iaitu Dinamika Pembangunan Sabah 2008-2018, yang mengandungi pelbagai maklumat mengenai pembangunan sosioekonomi, pembangunan pendidikan, situasi keselamatan, kesihatan dan sebagainya.

"Kalau kita teliti maklumat yang dibentangkan dalam buku ini jelas bahawa Sabah diberikan perhatian yang istimewa oleh Kerajaan Persekutuan, terutamanya sejak Najib memegang jawatan Perdana Menteri mulai 3 April 2009 hingga kini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Profesor Bersama Masyarakat Sabah 2018, di sini hari ini.

Beliau berkata peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada 2016 ialah sebanyak 4.7 peratus, berbanding peningkatan KDNK bagi seluruh Malaysia sebanyak 4.2 peratus.

"Ini bermakna Sabah lebih pesat membangun berbanding keseluruhan Malaysia. Hal ini menyebabkan berlaku peningkatan dalam Bajet Kerajaan Negeri Sabah daripada RM2.3 bilion pada 2008 kepada RM4.1 bilion pada 2018.

"Peningkatan terjadi juga dalam pendapatan purata isi rumah di Sabah daripada RM3,102 sebulan pada 2009 kepada RM5,354 sebulan pada 2016. Hal ini menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan di Sabah daripada 19.7 peratus pada 2008 kepada 2.9 peratus pada 2016," tambahnya.

Salleh berkata kerana keprihatinan Najib terhadap nasib Sabah, pada 2008 hingga 2015, Sabah telah menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM9.4 bilion daripada Kerajaan Persekutuan dan jumlah itu melebihi purata peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan yang diterima oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya antara tahun 2008 hingga 2018, Sabah juga menerima Pemberian Geran Tahunan kepada pihak Berkuasa Tempatan yang berjumlah RM212.6 juta dan angka itu juga merupakan yang tertinggi peruntukan purata yang diberikan di peringkat nasional.

Salleh berkata, selain itu, antara tahun 2008 dan 2018, Sabah turut menerima peruntukan penyelenggaraan jalan raya yang berjumlah kira-kira RM3.6 bilion dan jumlah itu merupakan sekali ganda daripada dana penyelenggaraan jalan raya yang diterima oleh negeri-negeri lain di Malaysia.

"Kesemua perkara tersebut adalah pemerhatian yang dibuat oleh MPN dan banyak lagi rekod pembangunan di Sabah yang telah dilaksanakan dengan bantuan kerajaan persekutuan pimpinan Najib," katanya.

Salleh berkata kerajaan telah menbentuk dan membangunkan negara khususnya Sabah bukan semata-mata untuk masa kini, tetapi ia adalah untuk masa hadapan negara.

"Kedatangan MPN ke Sabah ini bukan kempen kerana pilihan raya. Tetapi mereka sudah sering kali datang ke Sabah untuk membuat pelbagai pemerhatian dan apa yang mereka sampaikan adalah fakta yang diperoleh daripada kajian mereka," katanya.

Sehubungan itu, Salleh sekali lagi meminta rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dengan pelbagai maklumat palsu dan fitnah yang disebarkan melalui media sosial pada masa kini.

"Kini maklumat palsu atau fitnah adalah menjadi musuh terbaharu negara. Pihak tertentu menyebarkan fitnah melalui media sosial untuk memecah-belahkan perpaduan kaum dan agama di negara kita," katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment