Thursday, April 5, 2018

SELANGOR DIKRITIK TIDAK HANTAR DATA TABUNG KHAS HAK MILIK STRATA

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Kelewatan negeri Selangor memberi data mengenai jumlah bangunan khas yang masih belum memiliki hak milik strata di negeri masing-masing untuk dimasukkan di dalam senarai Tabung Khas Hak Milik Strata, dikritik anggota Parlimen.

Anggota Parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun (BN-Kota Tinggi) berkata perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku terutama di negeri Selangor yang menurutnya mempunyai jumlah tertinggi bangunan khas dengan masalah strata dalam negara.

"Saya amat kecewa saya minta kementerian dan kerajaan negeri, janganlah benda-benda macam ini tak ambil berat, sebab ini melibatkan simpanan pelaburan rakyat berpuluh-puluh tahun, bergenerasi.

"Banyak bangunan lama ini menyusahkan, sebab mereka tak dapat nak dijual, tak dapat ditukar nama, sebab kebanyakan pemilik ialah pemilik benefisiari bukan pemilik berdaftar," katanya ketika membahas usul kali pertama penubuhan tabung berkenaan sebelum diluluskan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Penubuhan tabung berkenaan dicadangkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk dimasukkan dalam jadual kedua Akta Tatacara Kewangan 1957.

Sementara itu Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz ketika menggulung usul berkenaan berkata sehingga Ogos tahun lepas berdasarkan data yang diberikan setiap negeri tidak termasuk Selangor dan Kelantan, sebanyak 25,761 petak kediaman telah disenaraikan dalam tabung berkenaan.

"Untuk permulaan di bawah kementerian, kita dah buat satu memo kepada Kabinet untuk selesaikan dahulu di peringkat awal 25,000 petak ini daripada negeri-negeri yang telah pun kita dapatkan data sehingga 30 Ogos.

"Jadi berdasarkan kepada angka ini, maka anggaran dibuat dengan keperluan pada masa ini untuk gerakkan tabung ini lebih kurang RM12.8 juta telah diluluskan Kabinet," katanya.

Tambah beliau, dana daripada tabung berkenaan akan digunakan antara lain bagi pembayaran yuran kepada juruukur, permohonan hak milik, premium tanah dan sebagainya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment