ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Rakyat perlu mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia ada bagi memastikan agenda perumahan yang menjadi keutamaan kerajaan dapat diteruskan untuk jangka panjang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata disebab itu, agenda perumahan menjadi keutamaan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) termasuk memperbanyakkan lagi projek perumahan rakyat (PPR) bagi membolehkan setiap rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri.
"Kita mesti membuat perancangan yang menjangkau tempoh masa bukanlah satu, dua tahun sahaja. Kita mesti ada perancangan jangka panjang sebab kalau kita nak mengangkat, menjulang negara antara negara terunggul di dunia, BN mampu mencapai matlamat itu sebab petanda-petandanya sudah ada, perancangannya sudahpun dibuat, pelaksanaannya tengah dilakukan."
"Garis penamatnya, insya-Allah kesampaian dengan syarat BN jadi pilihan. Sebab itulah bila kita kata dalam manifesto, hari ini kita bina rumah untuk semua, anak cucu mewarisi harta yang cukup besar nilainya," katanya berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian PPR Suka Menanti, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohammad Mentek.
Najib berkata BN mempunyai rekod khidmat yang baik dan menunaikan setiap janji yang dibuat termasuk pembinaan perumahan yang memanfaatkan rakyat di negara ini.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 125 projek PPR membabitkan 85,198 unit rumah bernilai RM6.18 bilion sudah siap dibina manakala 46 projek bernilai RM3.26 bilion dalam pembinaan.
"Inilah projek setakat ini. Menang BN boleh tambah lagi. Untuk Kedah boleh tambah (perumahan), tak ada masalah. Nak tolong tak payah orang lain, saya boleh tolong Kedah...insya-Allah," katanya.
Mengulas PPR Suka Menanti, Najib berkata setiap pembeli hanya perlu membayar RM35,000 daripada harga asal rumah berkenaan iaitu RM217,000.
"PPR ini payah nak lawan sebab projek PPR Suka Menanti ini kosnya RM217,000 seunit dan harga jualan RM35,000. Ini bermakna setiap unit kerajaan memberi subsidi sebanyak RM182,000. Maknanya sesiapa yang menjadi pemilik rumah ini dalam tangan mereka sebuah rumah bernilai RM217,000."
"Siapa kata kerajaan tak bagi subsidi, kerajaan tak baik, kerajaan bankrap? Macam mana negara bankrap boleh buat projek ini," katanya.
Najib berkata berbeza dengan pembangkang, mereka hanya pandai berjanji dan tidak menunaikan janji yang dibuat.
"Kita dah nampak 'track recordnya'. Kita tak main janji, pihak satu lagi main janji. Hari ni cakap lain esok cakap lain. Macam BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) hari ini dia (pembangkang) menghina kata 'dedak', dalam manifesto masuk BR1M. Kita (kerajaan BN), (BR1M) bulan Jun ni masuk RM800 dan bulan Ogos ni lagi RM800," katanya.
Dalam pada itu, Najib mahu BN Kedah memenangi semula kerusi Parlimen Alor Setar dan semua tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parilmen berkenaan iaitu Suka Menanti, Kota Darul Aman dan Alor Mengkudu pada PRU14.
"Saya kecewa Alor Setar (menang) satu (DUN) saja, satu lawan tiga. Kita kalah dalam main bola, satu gol saja dengan kita. Kalau nak minta macam-macam kena menang 4-0 dengan syarat Alor Setar membiru dengan BN," katanya.
Terdahulu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM20 juta bagi menaik taraf tapak perniagaan penjaja dan peniaga kecil di Alor Setar dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya BN menang pada PRU14."
PPR Suka Menanti bernilai RM108 juta melibatkan 500 unit rumah dijangka mula dibina pada pertengahan tahun ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment