Friday, April 20, 2018

RISDA AGIH DIVIDEN RM46.45 JUTA KEPADA 9,359 PESERTA DI PAHANG

BERA, 20 April (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengagihkan dividen berjumlah RM46.45 juta kepada 9,359 orang peserta di Pahang, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM38.44 juta adalah bagi peserta program Tanam Semula Komersil (TSK) melibatkan 6,493 orang manakala RM8 juta adalah untuk 2,866 orang peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTTB).

Pengagihan itu adalah sebahagian daripada pengumuman dividen keseluruhan RISDA 2017 berjumlah RM112.33 juta oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Temerloh pada 2 April lepas.

"Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) juga menguruskan 139 projek TSK di Pahang dengan pecahan 125 ladang sawit dan 14 ladang getah yang berkeluasan 15,844.59 hektar.

"Untuk Bera, RPSB menguruskan empat buah ladang TSK iaitu Ladang Orang Asli Sungai Tuang, Ladang Orang Asli Kampung Bongkok, Bukit Rok dan TSK Bukit Penak yang berkeluasan 568.22 hektar melibatkan 248 peserta," katanya semasa berucap pada majlis Penyampaian Dividen TSK dan Program Moh Ngeteh di Balai Raya Kampung Bongkok di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ismail Sabri juga menyampaikan dividen TSK bagi April berjumlah RM96,600 melibatkan 138 peserta daripada Kampung Bongkok dan Sungai Tuang.

"Semua peserta di sini akan menerima dividen sebanyak RM700 dengan RM300 akan diberikan secara tunai dan baki dimasukkan ke dalam akaun penerima. Ini adalah satu inisiatif yang difikirkan kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar menambah pendapatan mereka.

"Jika mereka rajin, mereka juga boleh bekerja di ladang dan akan menerima gaji secara bulanan. Sebab itu, kita galakkan mereka yang mempunyai tanah untuk menjalin kerjasama dengan Risda kerana pulangan diterima lebih banyak daripada jika dipajakkan kepada orang luar," katanya.

Ismail Sabri menarik perhatian bahawa kerajaan komited memperkasakan masyarakat luar bandar termasuk golongan Orang Asli bukan hanya dari aspek pendapatan, tetapi juga dari sudut infrastruktur seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Beliau merujuk kepada kejayaan memastikan 85 peratus daripada semua perkampungan Orang Asli di sini telah dilengkapi kemudahan asas dengan kerajaan memberi akujanji mahu memastikan semua perkampungan Orang Asli dan kampung tradisional seluruh negara mempunyai kemudahan itu menjelang 2020.

Di Bera, hampir 99 peratus kawasan sudah mempunyai kemudahan air, elektrik dan jalan raya yang boleh disifatkan sebagai 'kejayaan peribadi' kepadanya yang telah menjadi Anggota Parlimen Bera sejak 2004.

"Ini adalah aku janji kerajaan kepada masyarakat Orang Asli yang merupakan penyokong setia kepada Barisan Nasional (BN). Kita tahu mereka tidak pernah mengubah sokongan daripada BN walaupun terdapat pelbagai cubaan untuk memujuk mereka," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment