Saturday, December 31, 2016

PERCIKAN BUNGA API SAMBUT TAHUN 2017

KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Percikan bunga api yang berwarna warni menerangi ruang angkasa Kuala Lumpur dan di seluruh negara ketika Malaysia menyertai dunia menyambut tahun 2017.

Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang berdiri megah Bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas menjadi tumpuan rakyat pelbagai kaum di ibu negara ketika warga kota dan rakyat asing berkumpul untuk menyambut tahun baharu.

Di KLCC, pengunjung menyaksikan persembahan konsert sebelum beramai-ramai menyertai hitungan detik tahun baharu dan bersorak "Selamat Tahun Baharu" menandakan selamat tinggal tahun 2016 yang melabuhkan tirainya.

Kawalan keselamatan yang ketat dikenakan semasa sambutan tahun baharu dengan anggota polis ditempatkan di beberapa venue sambutan dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang lain menyambut tahun baharu dengan menyertai acara-acara keagamaan dan mengadakan sembahyang khas mendoakan semoga tahun baharu membawa kesejahteraan kepada negara dan rakyat.




Di MELAKA, persekitaran sejuk dan basah akibat hujan lewat petang tidak menghalang lebih 10,000 orang menghadiri sambutan ambang tahun baharu peringkat negeri di Dataran 1Malaysia, Klebang.

Acara anjuran Tourism Melaka itu diserikan dengan pertunjukan bunga api, persembahan kebudayaan dan kesenian serta persembahan nyanyian artis tanah air seperti Datuk Ramli Sarip dan Ito Blues Gang.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron turut melancarkan kalendar pelancongan Melaka 2017 dan dalam ucapannya mengingatkan rakyat Melaka supaya memiliki semangat dan azam baharu untuk terus menempa kejayaan pada 2017.




Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 5,000 pengunjung memenuhi perkarangan d'Tempat Country Club di Bandar Seri Sendayan dekat Seremban untuk menyambut ketibaan 2017 anjuran Matrix Concepts Holdings Bhd yang dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api.

Di PAHANG, tiada sambutan tahun baharu secara rasmi dianjurkan namun penduduk di Kuantan mengambil peluang meraikan ambang tahun baharu dengan cara tersendiri.

Di GEORGE TOWN, ribuan pengunjung membanjiri Penang Times Square di hadapan M Mall di Jalan Datuk Keramat untuk meraikan sambutan ambang tahun baharu 2017 dengan persembahan konsert, tarian dan pertunjukan bunga api.

Pengunjung dihiburkan dengan konsert bertemakan "Let's Emoji" oleh artis tempatan yang dianjurkan oleh stesen radio MY FM di Penang Times Square.

Orang ramai turut membanjir Gurney Paragon Mall di Persiaran Gurney untuk menyaksikan kemunculan penyanyi sensasi tempatan Dayang Nurfaizah dan juga persembahan tarian sebelum ratusan belon dilepaskan ke udara tepat jam 12 malam.

Kawasan lain yang menjadi tumpuan untuk sambutan tahun baharu ialah Queensbay Mall di Bayan Lepas, Straits Quay di Tanjung Tokong, Kompleks Bukit Jambul, Sunway Karnival Mall di Seberang Jaya dan Juru Auto-City di Seberang Perai.

Suasana sekitar lokasi sambutan meriah menjelang pengiraan detik 12 malam di Penang Times Square, Straits Quay dan juga Queensbay Mall apabila pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan bunga api.

Di KUCHING, penduduk membanjiri sekitar kawasan Tebingan Sungai Kuching (Kuching Waterfront) untuk meraikan detik tahun baharu.

Bagi memeriahkan lagi suasana, Pertubuhan Anak Seni Bandarsah turut mengambil inisiatif menganjurkan program larian ambang tahun baharu di Kampung Bandarsah yang terletak di pinggir Sungai Sarawak.

Di IPOH, kira-kira 5,000 orang hadir pada sambutan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh yang turut menyaksikan gimik pelancaran Tahun Melawat Perak 2017 oleh Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Multimedia dan Komunikasi negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Sambutan tahun baharu 2017 juga diadakan di beberapa tempat termasuk Lumut yang menjadi lokasi penganjuran acara Selawat Perdana.

Majlis di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan tokoh Qasidah Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf serta kira-kira 2,000 penduduk.

Di PUTRAJAYA, pengunjung yang membanjiri Dataran Putrajaya di Presint 3 dihiburkan dengan pertunjukan cahaya dan pertunjukan bunga api digital serentak detik 12 malam.

Pertunjukkan bunga api digital yang julung kali dipersembahkan itu dipancarkan ke bangunan Istana Kehakiman dan mengambil masa enam minit.

Ia diperkenalkan sempena Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) yang bermula semalam sehingga malam esok.

Di SHAH ALAM, orang ramai menyaksikan Konsert Kemanusiaan yang berlangsung sempena sambutan ambang tahun baharu peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam.

Dalam pada itu, jurutera elektrik Wong Tuck Chong, 30, ketika ditemui berkata beliau dapat mencari ketenangan melalui penyertaan aktiviti keagamaan pada ambang tahun baharu 2017.

Sukarelawan Emily Sim, 42, pula berkata pihaknya memberi makanan percuma kepada golongan gelandangan tanpa mengira kaum di sekitar Pudu sempena Tahun Baharu 2017.

-- BERNAMA

RATING TERTINGGI BAGI BULAN DISEMBER 2016

Selamat Tahun Baru 2017 dan posting "Mahathir Hina Nabi?" mendapat rating tetinggi bagi bulan Disember 2016 dengan hits sebanyak 1,126 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan Disember 2016 ialah:-

1. Mahathir hina Nabi? (4 disember)
2..Umno Sabah masih kuat (22 disember)
3.Najib kena faham isyarat (3 disember)
4. Zam sendiri lupa siapa pimpin Umno Kedah sebelum PRU13? (1 disember)
5. SPRM kena pantau PDRM (6 disember)
6. Bukan sahaja Anina, Muhyddin pun patut dilucutkan jawatan (25 disember)
7.RM190 juta aset rasuah dibeku (13 disember)
8, Raja Affandi mulakan tugas Panglima Angkatan Tentera (19 disember)
9. PMO pun ada gangster? (9 disember)
10. Menangani gejala rasuah (13 disember)

Friday, December 30, 2016

KEENGGANAN MAHATHIR TERIMA ANWAR JADI PM PUNCA EZAM KELUAR BERSATU?



KUALA LUMPUR 30 Dis. – Selepas Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bertindak keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Mohamad Ezam Mohd. Nor pula dipercayai mengikut langkah sama.

MOHAMAD EZAM

Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertindak sedemikian walaupun hanya menyertai parti berkenaan tidak sampai tiga bulan.

Kata laporan itu, Mohamad Ezam telah memaklumkan keputusan berkenaan kepada Setiausaha Agung PPBM dalam suratnya.

Portal berkenaan yang memetik sumber berkata, Mohamad Ezam yang dilihat rapat dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad kecewa dengan haluan parti yang baru-baru ini menyaksikan Anina Saadudin dilucutkan jawatan ketua sayap wanitanya, Srikandi.

“Sumber turut memberi­tahu FMT, lebih ramai aktivis PPBM yang menyertai parti serpihan UMNO itu akan mengikut jejak Mohamad Ezam dan Khairuddin.

“Sebab itu kini PPBM gagal menarik masuk ramai ahli baharu kerana parti ini kelihatan seolah-olah milik eksklusif individu tanpa bersikap inklusif,” katanya seperti dipetik di http://www.freemalaysiatoday.com, hari ini.

Walau bagaimanapun, usa­ha  untuk mendapatkan reaksi Mohamad Ezam dan mengesahkan perkara itu masih gagal.

Pada 28 Oktober lalu, Khai­rud­din mengumumkan keluar parti itu dengan memberi alasan kononnya untuk membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap kes mahkamah yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tindakan beliau dan Mohamad Ezam itu ternyata memberi satu tamparan kepada PPBM yang belum pun berusia dua bulan sudah berdepan dengan masaalah keahlian.

Ulasan saya, tindakan Ezam mungkin ada kaitan dengan Dr Mahathir yang tidak mahu menerima Anwar Ibrahim sebagai calon PM Pakatan Harapan. Menurut Tunku Aziz, Dr Mahathir mahu Mukhriz sebagai calon PM jika pembangkang menang. Oleh itu Ezam yang dipasang oleh Anwar untuk menyertai Bersatu kecewa dengan keputusan Mahathir.

Thursday, December 29, 2016

S.M. SALIM MINTA RADIO JANGAN SIAR LAGUNYA SELEPAS MENINGGAL DUNIA



KUALA LUMPUR 29 Dis. – Seniman Tan Sri SM Salim pernah menitipkan amanat meminta stesen radio tidak menyiarkan lagu nyanyiannya selepas beliau menghembuskan nafas terakhir.


Amanat itu disampaikan Allahyarham dalam satu temu bual eksklusif dengan akhbar Mingguan Malaysia dan petikan amanat itu disiarkan akhbar berkenaan pada 6 Mei 2001.

“Janganlah mainkan lagu saya selama sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas saya meninggal dunia.

“Bukan apa, kita yang hidup di atas bumi tidak tahu apa yang berlaku kepada orang yang meninggal dunia, jadi berikan sedikit ruang kepada mereka. Itulah yang saya harapkan,” pesan SM Salim.

Dalam temu bual yang sama, Allahyarham mengharapkan amanat itu dilaksanakan oleh pihak berwajib selepas beliau tiada di muka bumi ini.

Keluarga Allahyarham turut memanjangkan harapan yang sama sejurus SM Salim menghembuskan nafas terakhir semalam pada usia 88 tahun.

Anak Allahyarham SM Salim, Sheikh Shamsul berkata, permintaan itu sebagai memenuhi amanat yang pernah ditinggalkan seniman itu semasa hayatnya supaya lagu nyanyiannya tidak disiarkan sekurang-kurangnya 30 hari atau sebaik-baiknya 44 hari selepas beliau meninggal dunia.

“Oleh itu kami berharap media tidak memainkan lagu Allahyarham sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hingga 10 hari ini.

“(Namun) terpulang kepada budi bicara media untuk menyusun apa yang terbaik untuk arwah dan orang awam secara umum,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Sheikh Shamsul, perkara itu pernah dibincangkan bersama bapanya yang pernah berpesan supaya lagu beliau tidak dimainkan selepas pemergiannya.

Bagaimanapun, Sheikh Shamsul berkata, ia adalah perkara subjektif kerana kebanyakan hasil seni
Allahyarham berada dalam simpanan media.-

Wednesday, December 28, 2016

SEMOGA ZULHASNAN LEBIH MENONJOL DARI DR AWANG ADEK



KUALA LUMPUR 28 Dis. – Tan Sri Zulhasnan Rafique (gambar) berkata, Kuala Lumpur bertekad untuk meletakkan hubungannya dengan Washington di pe­ringkat lebih tinggi berikutan pelantikan beliau sebagai duta besar baharu Malaysia di Amerika Syarikat (AS).

Zulhasnan Rafique

Katanya, beliau komi­ted untuk mem­beri sumbangan dan perkhidmatan terbaik ke arah mencapai hasrat dan objektif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan sempena pelantikannya itu, Zulhasnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, AS adalah antara ekonomi terbesar dan kuasa besar tercanggih dunia.

“Saya melihat pelantikan saya sebagai petanda jelas tentang tekad Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pucuk pimpinan negara bukan sahaja untuk meneruskan, malah meningkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan AS yang telah terjalin sejak sekian lama iaitu sejak negara kita mencapai kemerdekaannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulhasnan yang menggantikan Datuk Dr. Awang Adek Hussin, menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di atas kepercayaan Seri Paduka melantik beliau sebagai Duta Besar Mala­ysia di Washington.

Beliau turut merakamkan peng­hargaan sama kepada Najib.

Kementerian Luar mengumumkan tentang pelantikan itu dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

“Saya melihat pelantikan ini sebagai satu pengamanahan dan amanat besar ke atas diri saya untuk mewakili kepimpinan dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Zulhasnan yang menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2006 hingga 2009.

Bekas juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia itu berkata, beliau akan memanfaatkan peluang tersebut untuk meningkatkan lagi hubungan antara kerajaan Malaysia dan pentadbiran baharu As di bawah kepemimpinan bakal Presiden AS, Donald Trump.

“Tatkala Malaysia membangun maju ke arah mencapai sepenuhnya status negara maju berpendapatan tinggi, kepentingan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik, ekonomi, pendidikan, sosial dan keselamatan merupakan faktor yang amat kritikal untuk diteruskan bagi mengeratkan hubungan dua hala dengan negara lain di dunia,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk kerjasama antara negara ke arah mencapai kestabilan politik dunia. – BERNAMA

Tuesday, December 27, 2016

MAHATHIR PERLU DENGAR NASIHAT MUFTI



Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak
mengeluarkan fatwa bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah wang rasuah dan mencadangkannya supaya beramal.

Harussani yang dihubungi sebaliknya mencadangkan bekas perdana menteri itu supaya menggunakan baki usia yang ada untuk memperbaiki dan meningkatkan amalan seharian.

“Saya nasihatkan berhentilah mencari jalan menjatuhkan orang dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan, lebih baik beramal di hujung hayat yang masih ada,” katanya.

Mufti itu juga dipetik meminta Dr Mahathir agar berhenti daripada terus mencari jalan menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan membuat dakwaan tidak berasas termasuk memburuk-burukkan segala usaha kerajaaan.

"Dr Mahathir tidak berhak mengeluarkan fatwa mengenai BR1M kerana beliau bukan orang alim, malah beliau mungkin tidak memahami takrif rasuah.

"Tuduhan Dr Mahathir itu akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat sedangkan beliau tahu siapa saja yang makan rasuah sudah tentu masuk neraka sedangkan bantuan itu adalah antara program kebajikan untuk membantu rakyat yang kurang bernasib baik,” katanya.

Ahad lalu, Dr Mahathir, dilapor mendakwa BR1M adalah satu bentuk rasuah, dan dengan itu, pemberiannya adalah salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.

Senator Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor yang kini menjadi anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diterajui Dr Mahathir pula mempertahankan kenyataan itu dengan berkata, jika pemimpin BN, tiada niat mempengaruhi dan merasuah, mengapa pemberian BR1M mesti melalui Umno.

Mengulas lanjut, Harussani menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai orang kecewa dan putus asa, serta mengingatkannya bahawa tindakan sama dilakukan dalam isu pemberian bantuan wang ehsan khusus kepada rakyat Terengganu.

"Sikap Dr Mahathir itu jelas menggambarkan beliau sebagai orang yang kecewa dan berputus asa apabila parti baharu yang ditubuhkan itu gagal meraih sokongan dan sambutan daripada rakyat," katanya dipetik akhbar milik Umno itu.

Harussani berkata, adalah jelas program BR1M bukan rasuah kerana semua golongan tanpa mengira bangsa dan ideologi politik menikmati bantuan itu.

Ulasan saya, Dr Mahathir perlu dengar nasihat Mufti Perak itu. Sepatutnya Mahathir menghabiskan usia tuanya dengan beramal dan bukannya membuat fitnah yang bukan bukan kepada Najib.

Monday, December 26, 2016

KENYATAAN MAHATHIR TENTANG BR1M TIDAK MASUK AKAL

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak semalam berkata kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) merupakan rasuah adalah tidak masuk akal.

"Tafsiran Mahathir mengenai rasuah jelas amat jauh berbeza daripada kita semua. Tidak pernah kita dengar sesuatu yang begitu tidak masuk akal," kata Salleh dalam catatan di blog beliau di http://sskeruak.blogspot.my/, semalam


Salleh berkata Malaysia telah menyalurkan bantuan kebajikan sejak sekian lama iaitu sebelum Dr Mahathir menjadi perdana menteri pada 1981.

Beliau berkata sejak tahun 2000, Terengganu telah memberikan bantuan langsung kepada penduduk di negeri itu dalam pelbagai bentuk, sama seperti BR1M.

"Wang Ehsan yang diputuskan oleh Mahathir yang membiayai program bantuan khas Terengganu itu. Selepas melaksanakan Wang Ehsan dan program bantuan di Terengganu pada 2000, Mahathir kini menukar pendirian dan mengutuk BR1M," katanya.

Media tempatan semalam melaporkan Dr Mahathir mendakwa BR1M merupakan satu bentuk rasuah dan dengan itu salah di sisi undang-undang atau satu jenayah.

Sementara itu, Salleh turut bertanya kepada Dr Mahathir bahawa sekiranya pembangkang berkuasa adakah semua bantuan dan program kebajikan akan dihapuskan, dan pada masa yang sama menggesa Dr Mahathir memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

"Bagaimana anda sanggup klasifikasikan program bantuan sebagai rasuah? Adakah potongan dan rebat cukai juga rasuah? Bagaimana pula dengan zakat dan kebajikan? Semuaya adalah dalam bentuk bantuan sama seperti BR1M.

"Apabila orang lain terima bantuan Mahathir kata ia rasuah. Bagaimana pula apabila keluarganya sendiri menjadi kaya raya dan anak-anak lelakinya menjadi jutawan? Apa yang kita gelar itu? Mahathir tidak akan kata BR1M adalah rasuah jika anggota keluarganya sendiri menerimanya," kata Salleh.

-- BERNAMA

Sunday, December 25, 2016

BUKAN SAHAJA ANINA, MUHYIDDIN PUN PATUT DILUCUTKAN JAWATAN



Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin, berkata beliau dilucutkan jawatan sebagai ketua Srikandi parti itu.

Anina berkata, beliau dimaklumkan mengenai langkah itu beberapa hari lalu oleh Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agungnya, Datuk Shahruddin Md Salleh.

"Depa (mereka) kata saya tidak disyorkan oleh majlis presiden untuk dilantik sebagai ketua Srikandi," katanya.

Pelantikan Anina dan pemimpin BERSATU yang lain dilaporkan pada 2 November.

Apabila disoal mengenai perkara itu, Anina berkata beliau dimaklumkan hanya dilantik sebagai penaja untuk sayap Srikandi, manakala jawatan pemimpin lain telah disahkan.

Ketua Penerangan BERSATU, Kamaruddin Md Noor bagaimanapun berkata Anina sejak awal tidak pernah menjadi ketua Srikandi.

"Dia tidak pernah dilantik, kerana sayap Srikandi tidak ditubuhkan secara rasmi," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pelantikan empat pemimpin Srikandi lain awal bulan ini juga tidak sah.

Kekeliruan mengenai jawatan Anina sebagai ketua Srikandi berlaku seminggu selepas beberapa blog mendakwa beliau terbabit dalam skandal seks.

Beliau dilaporkan menolak dakwaan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

Ditanya perasaannya apabila dilucutkan jawatan, bekas anggota Wanita Umno Langkawi itu menjawab:

"Tanya perasaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz apabila dilucutkan jawatan oleh Umno. Saya nak tahu jawapan mereka. Lepas tu saya jawab apa perasaan saya.

"Dulu ketika saya bela mereka, saya lupa nak bertanya perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang," katanya.

Katanya, dia tidak bercakap mengenai perkara itu dengan Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengenai sama ada dia masih setia kepada parti, Anina berkata beliau "setia kepada orang ramai."

Ulasan saya, Bersatu juga kena pecat Muhyiddin Yassin jika soal skandal seks Anina yang jadi penyebabnya.

Muhyiddin pun ada skandal seks. Lebih memalukan kerana beliau ada skandal dengan bini orang.

Saturday, December 24, 2016

UMNO SEMPORNA TERUSKAN TRADISI

SEMPORNA: Umno Bahagian Semporna meneruskan tradisi menemui rakyat walaupun ahli politik heavy weight telah meninggalkan parti tersebut baru-baru ini.

Bahagian yang diketuai bekas Naib Presiden Umno, Shafie Apdal telah menubuhkan parti baru baru Parti Warisan sebagai parti alternatif kepada parti BN Sabah.

Menurut bekas ADUN Bugaya, Datuk Basalie Abdul Hamid Umno bahagian tetap kuat walaupun mereka telah meninggalkan Umno.

"Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk mendengar masalah rakyat dan berkhidmat kepada mereka," katanya.

"Kami akan pastikan Umno Sabah buat lebih baik berbanding dengan mereka yang telah meninggalkan kami," katanya.

Basalie berharap pasukan kami di Semporna akan lebih mendapat mandat yang lebih kuat.

"Untuk mencapai matlamat ini kami perlu mendengar suara rakyat dan memenuhi kehendak mereka," tegasnya.



Turut hadir di majlis yang dihadiri 1,000 orang ahli Umno tersebut ialah ketua Umno bahagian, Datuk Nasir Tun SAkaran dan ADUN Bugaya, Datuk Ramlee Marhaban.

Friday, December 23, 2016

PAS JUGA JANGAN BEKERJASAMA DENGAN PKR DAN BERSATU YANG TOLAK RUU355




SHAH ALAM 23 Dis. – Pas Selangor tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PAN berikutan tiada hubungan politik de­ngan kedua-dua parti itu di ­pe­ringkat pusat.

ISKANDAR ABDUL SAMAD

Pesuruhjayanya, Datuk Iskandar Abdul Samad (gambar) berkata, bagaimanapun, parti itu akan terus mengadakan program bersama dengan PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Pas Selangor tiada masalah untuk mengadakan program bersama de­ngan PKR dan PPBM. Walau bagaimanapun, Pas masih bertegas untuk tidak berada di atas pentas politik bersama DAP atau PAN ke­rana Pas tidak mempunyai hubungan politik de­ngan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, setakat ini, terdapat dua ce­ramah umum Pas telah diadakan di ne­geri ini bersama para penceramah PKR dan PPBM.

Terbaharu, ujarnya, pada 5 Disember lalu Presiden PPBM, Tan Sri Muh­yiddin Yasin dan Ahli Biro Politik PKR, Sivarasa Rasiah bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bersama-sama dalam ceramah itu.

“Pas memang mempunyai hubungan politik dan hubungan dalam kerajaan (negeri) dengan PKR. Ceramah Pas yang melibatkan pimpinan PKR memang kerap diadakan tetapi ceramah bersama kepemimpinan PPBM di Se­langor hanya baharu dimulakan.

“Walau bagaimanapun, Pas di Kelantan dan Terengganu telah lebih dahulu menjemput para pemimpin PPBM dalam ceramah-ceramah mereka,” katanya.

Ulasan saya, PAS sepatutnya tidak perlu bekerjasama dengan PKR dan Bersatu yang menolak RUU355. Pelik juga bagaimana PAS boleh bersekongkol dengan dua parti tersebut yang tidak menerima RUU355. takkan PAS tak tahu Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir Mohamad adalah penentang utama RUU355.

Thursday, December 22, 2016

UMNO SABAH MASIH KUAT





KUALA LUMPUR: Peranan Umno di Sabah masih kuat dan relevan dalam politik negeri Sabah kata bekas ADUN Bugaya, Datuk Basalie Abdul Hamid.

Katanya, walaupun pemimpin besar telah meninggalkan Umno Bahagian Semporna tetapi parti Melayu itu hanya melihat perubahan yang kecil.

Pemimpin besar merujuk kepada ahli parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal, ADUN Sulabayan, Jaujan Sambakong, Ketua Pemuda, Mohd Aziz Jamman dan Ketua Wanita, Manis Muka Dara.

Shafie meninggalkan Umno selepas beliau digantung keahliannya dan telah menubuhkan Parti Warisan sebuah parti tempatan.

Menurut Basalie, sejak Umno masuk ke Sabah pada tahun 1991, parti itu telah memberi kemakmuran kepada rakyat Sabah.

Katanya, Umno dan parti komponen BN yang lain telah menjadi pemangkin kepada pembangunan Sabah.

"Dana kerajaan pusat tidak boleh dinafikan dalam politik Sabah," katanya.

"Ia telah memberi faedah kepada pembangunan Sabah," katanya lagi yang juga penasihat undang-undang Umno Bahagian Semporna.

Namun demikian Basalie berharap lebih banyak lagi dapat dilakukan untuk rakyat Sabah.

Beliau memberi contoh, lebih banyak hak Sabah wajar diberikan dalam bidang minyak dan gas serta infrastruktur yang lebih baik.

Beliau yakin Umno di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak akan membawa lebih banyak pembangunan kepada rakyat Sabah.



Wednesday, December 21, 2016

JAMAL PERLI KERAJAAN SELANGOR MAHU MANDI DI PEJABAT MB



SHAH ALAM 21 Dis. - “Cukup-cukuplah politik, jangan zalimi rakyat yang tidak dapat air.” Demikian luahan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos yang tidak lagi tahan dengan sikap kerajaan ne­geri yang mempermain-mainkan hak rakyat untuk mendapat kemudahan bekalan air bersih.

Jamal MD. Yunos tidak dibenarkan mandi di pejabat SUK Selangor, semalam.

Menurut beliau, seramai 3.89 juta rakyat di kawasan Lembah Klang ketika ini terpaksa menanggung derita akibat gangguan bekalan air sejak kelmarin dan masalah itu tidak sepatutnya berulang sekiranya kerajaan ne­geri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin benar-benar mengambil sikap serius dalam menangani perkara itu.

Ini kerana katanya, gangguan bekalan air yang berlaku sejak Isnin lalu bukanlah satu perkara baharu yang dihadapi rakyat khususnya di kawasan Lembah Klang sebaliknya ia merupakan kejadian yang ketujuh yang dihadapi mereka dalam tahun ini sahaja.

“Kerajaan negeri yang dipimpin ‘Pakatan Harapan’ ini tidak pernah mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka dalam menguruskan masalah dan keperluan rakyat. Sebaliknya, mereka lebih suka bermain politik, berceramah di sana sini dan lebih suka me­nuduh orang lain dalam sesuatu isu.

“Isu gangguan bekalan air yang berlaku hari ini, sampai bila kerajaan negeri nak susahkan, nak main-mainkan rakyat? Apabila kita bangkitkan masalah ini berulang kali, kerajaan negeri anggap ia lawak jenaka, kaitkan dengan isu politik.

“Kerajaan negeri khususnya Menteri Besar jangan berlagak pandai, beritahu rakyat berjaya kumpul rizab berbilion-bilion ringgit tetapi bekalan air tak ada. Ini pentadbiran yang zalim nama­nya. Rakyat susah lebih-lebih lagi masyarakat Tionghua yang menyam­but Festival Dongzhi (Festival Solstis Musim Sejuk) hari ini,” katanya yang turut menyatakan rumahnya di Ampang turut terputus bekalan air sejak kelmarin.

Jamal berkata demikian kepada pemberita ketika hadir sambil bertuala dan membawa berus gigi di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini untuk ‘menumpang mandi’ di Pejabat Menteri Besar sebagai tanda tidak puas hati terhadap kegagalan kerajaan negeri menguruskan bekalan air di Lembah Klang.

Bagaimanapun, niatnya itu dihalang oleh petugas keselamatan SUK.

Seramai 3.89 juta pengguna di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air semula kelmarin ekoran operasi pengeluaran di Loji Rawatan Air Sungai Se­langor Fasa 1, 2 dan 3 dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja-kerja penyelenggaraan pencawang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor.

Kerja-kerja penyelenggara­an pencawang tersebut hanya mengambil masa 16 jam dan siap sepenuhnya 12 tengah malam kelmarin manakala proses pemulihan bekalan air berjadual hanya bermula pada pukul 4 petang semalam melibatkan kawasan Zon 1 yang terjejas.

Bagaimanapun, isu gangguan bekalan air yang berlaku di Lembah Klang ketika ini mendapat teguran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) apabila Pengerusinya, Datuk Liang Teck Meng menasihatkan syarikat-syarikat konsesi air mengambil pengajaran daripada kejadian itu supaya mereka lebih proaktif pada masa depan.

Malah, syarikat-syarikat kon­sesi air jelasnya air tidak boleh menjalankan sebarang kerja penyelenggaraan berjadual yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air berskala besar dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas musim perayaan utama seperti yang diwartakan.

Tuesday, December 20, 2016

FELCRA SUDAH BAYAR DIVIDEN RM5.5 BILION SEJAK 1997

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi satu daripada peneraju industri jaminan bekalan makanan negara, khususnya dalam pengeluaran ayam, daging dan hasil tanaman, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri percaya dengan kekuatan agensi itu, ia dapat memberi sumbangan ketara dalam mengurangkan import hasil makanan secara lebih efisien dan sistematik.

"Nilai import bahan makanan pada tahun lepas meningkat melebihi RM45.4 bilion dan disebabkan itu kerajaan mahu Felcra Berhad menjadi satu daripada pengeluar utama industri jaminan bekalan makanan negara," katanya semasa merasmikan sambutan 50 Tahun Felcra di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.


Sempena menjangkau usia 50 tahun, perdana menteri mahu agensi itu terus mengorak langkah ke hadapan dengan memberi lebih perhatian terhadap program meningkatkan pendapatan pesertanya.

Beliau berkata antara yang telah dilakukan adalah penubuhan tabung projek pinjaman ekonomi sejak 2009 untuk usahawan yang ingin mengembangkan perniagaan masing-masing dengan dana sebanyak RM6 juta.

Perdana menteri berkata sehingga kini, sebanyak 1,100 usahawan telah mendapat manfaat daripada tabung pusingan itu dan antara sektor yang diceburi adalah industri makanan, ternakan, akuakultur dan pembinaan.

Beliau berkata Felcra Berhad turut bersetuju menyediakan dana tambahan sebanyak RM5 juta untuk tabung berkenaan mulai tahun depan bagi memperkasa ekonomi Bumiputera dan meningkatkan pendapatan peserta.

Najib dalam ucapannya turut menyentuh kerjasama dengan Sime Darby Plantation Sdn Bhd dalam bidang perladangan, kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam dalam projek tanaman mangga Harum Manis.

Katanya, kerjasama dengan Sime Darby Plantation Sdn Bhd akan bermula tahun depan antaranya melibatkan pembekalan input pertanian seperti benih dan anak pokok serta pembekalan dan sewa beli alatan pertanian dan jentera perladangan.

"Felcra Berhad juga menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis Holdings Berhad yang mengaplikasi sepenuhnya kaedah teknologi terkini iaitu teknologi rumah hijau, yang didorong faktor permintaan tinggi terhadap mangga Harum Manis," jelas Najib.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata pelajar Kolej Felcra juga diberi jaminan untuk menerima pembiayaan pinjaman PTPTN dan Felcra akan memberi pengurangan bayaran balik pembiayaan itu pada kadar 20 peratus bagi setiap pelajar.

Untuk tujuan itu, beliau berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan Felcra bagi tempoh 10 tahun mulai tahun depan yang akan memberi manfaat kepada 5,000 pelajar sepanjang tempoh itu.

Pada majlis itu, Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara ketiga-tiga pihak berkenaan.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata selepas 50 tahun ditubuhkan, kawasan yang telah dimajukan Felcra adalah seluas 260,000 hektar yang disertai lebih 110,000 peserta di seluruh negara.

"Kemajuan ini dapat dibanggakan kerana kalau didarab lima, lebih setengah juta manusia bergantung rezeki kepada Felcra daripada hasil yang boleh diterima termasuk dividen yang dibayar setiap tahun," katanya.

Beliau berkata sejak dikorporatkan pada 1997, Felcra telah membayar dividen terkumpul mencecah RM5.5 bilion.

Najib juga berharap Felcra akan terus mara ke hadapan dan menyumbang kepada konsep pembangunan luar bandar.

-- BERNAMA

Monday, December 19, 2016

RAJA AFFANDI MULAKAN TUGAS PANGLIMA ANGKATAN TENTERA MULAI SEMALAM



KUALA LUMPUR 19 Dis. – Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memulakan tugas secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu semalam.

Zulkifeli Mohd. Zin (kiri) bersalaman dengan penggantinya, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di Kuala Lumpur, semalam. utusan/Abdul Razak Latif

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan merupakan Panglima ATM Ke-19.

Raja Mohamed Affandi tiba di Wisma Pertahanan di sini pada pukul 9 pagi ini dengan disambut oleh Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Beliau kemudiannya menerima tabik hormat daripada pasukan pancaragam tersebut sebelum memeriksa perbarisan.

Selepas upacara tabik hormat, Raja Mohamed Affandi mula memasuki pejabatnya sambil diiringi doa yang dibacakan oleh Pegawai Staf 1 Agama Tentera Darat, Leftenan Kolonel Azmi Wahab bagi memulakan tugas barunya.

Raja Mohamed Affandi, 58, pernah menjawat Ketua Angkatan Tentera Malaysia sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 14 Jun 2013.

Dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja sebelum menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail.

Beliau kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977.

Teruja dan bersemangat memulakan tugas pada hari pertama, beliau berjanji akan melaksanakan tugas dengan amanah dan memberikan khidmat terbaik dalam mengemudi bahtera ATM.

“Saya berjanji untuk meletakkan kepentingan organisasi ini melebihi kepentingan yang lain.

“Saya juga berada di sini atas kebersamaan semua anggota khususnya Tentera Darat yang banyak mendukung serta memberi sokongan selain tunjuk ajar daripada Panglima ATM sebelum ini yang banyak membantu. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

PM LANCAR JALAN PINTAS LAHAD DATU RM165 JUTA

LAHAD DATU, 19 Dis (Bernama) -- Keupayaan kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) melaksanakan projek mega meskipun berdepan cabaran ekonomi adalah bukti komitmen tinggi kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab membangunkan negara dan menunaikan janji kepada rakyat, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata sebagai contoh, Projek Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 Sungai Buloh-Kajang (SBK) adalah bukti kerajaan mampu melaksanakan projek mega malahan dengan kos lebih rendah iaitu RM21 bilion berbanding peruntukan yang disediakan RM23 bilion.

"Saya telah melancarkan fasa satu projek MRT ini yang siap mengikut jadual dengan kos projek lebih rendah daripada bajet disediakan RM23 bilion tetapi kita belanja RM21 bilion.

"Kita nak nafikan pembangkang yang kononnya projek ini menelan belanja RM100 bilion, ini satu fitnah, satu hasutan dan hakikatnya BN telah melaksanakan projek MRT lebih rendah daripada bajet yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Lebuhraya Pan Borneo Jalan Pintas Lahad Datu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sepagaya di sini, hari ini.




Najib berkata selain projek MRT, projek Lebuhraya Pan Borneo yang dilaksanakan secara berperingkat di Sabah dan Sarawak merupakan tanda kerajaan masih mampu melaksanakan projek besar yang boleh mengubah landskap pembangunan negeri dan wilayah seterusnya membuktikan janji kerajaan BN.

"Hari ini saya berada di sini untuk menunjukkan janji yang saya luahkan kepada rakyat iaitu Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah ini yang dibina sepanjang 1,236 kilometer.

"Fasa pertama projek iaitu melibatkan 706 kilometer dengan belanja RM12.85 bilion dan masih ada lagi fasa kedua dan ketiga, maknanya akan ada lebih besar belanja untuk projek ini bila habis," katanya lagi.




Dalam pada itu, perdana menteri turut memberi jaminan projek itu akan diselesaikan selagi rakyat Sabah memberi sokongan kepada kerajaan BN dan rakyat tidak perlu menghabiskan masa mendengar hasutan pembangkang.

"Selagi ada sokongan, projek ini tetap dijalankan dan buat apa bagi (sokongan) kepada parti serpihan, mereka boleh buat Pan Borneo? tak boleh. Mereka cuma boleh mengelirukan dan menghasut sahaja, jangan terperangkap, tepuk dada tanya selera.

"Tuan puan mahu kerajaan yang boleh melakar masa depan lebih baik, kenapa pilih parti serpihan, kita dah tengok parti Semangat 46 dulu dan parti lain, Parti Keadilan Rakyat sakit tetapi parti UMNO dan BN hidup segar dan tegak. Kita bukan nak kuasa kerana kuasa tetapi kita ada agenda besar, ada misi untuk rakyat," katanya lagi.

Najib berkata rakyat sudah tentu mahukan sebuah kerajaan yang boleh membantu dan membawa negara ke arah keadaan pembangunan lebih baik.

Beliau juga mahu projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah itu yang diusahakan di bawah pentadbirannya diingat oleh seluruh rakyat Sabah.

"Saya tidak mahu sebut zaman lain, saya mahu orang Sabah tahu bahawa Pan Borneo ini adalah usaha di bawah pentadbiran saya untuk rakyat Sabah.

"Kita tengok hasilnya apabila siap pada tahun 2021 atau 2022, bayangkan masa depan penduduk Sabah, ini tentu akan mengubah Sabah," katanya.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah untuk jalan pintas di Lahad Datu yang dijangka siap pada 2018 dan bernilai RM165 juta itu bermula dari Batu 7 Jalan Silam di Lahad Datu sehingga Batu 3 Jalan Segama yang merangkumi jarak tujuh kilometer.

Projek itu merangkumi pembinaan jalan raya baharu empat lorong dua hala yang bakal memendekkan jarak dan masa perjalanan penduduk dari Tawau ke Sandakan atau sebaliknya daripada 17 kilometer kepada tujuh kilometer.

Antara lain, kerja pembinaan melibatkan dua persimpangan bertingkat serta sebuah jambatan baharu merentasi Sungai Sepagaya sepanjang 32 meter yang turut mengambil kira kriteria seismik atau gempa bumi.

Sementara itu, Najib berkata projek Lebuhraya Pan Borneo itu perlu diberi bukan sahaja kepada syarikat besar tetapi kepada syarikat anak tempatan di Sabah dan Sarawak.

"Semalam saya berada di Miri, Sarawak dan 12 pakej projek Lebuhraya Pan Borneo sudah pun diagihkan untuk syarikat yang dikuasai anak tempatan d Sarawak dan maknanya kita telah mengotakan janji.

"Kita beri kepada kontraktok-kontraktor kecil dan kita minta kontraktor utama tolong bayar sub kontraktor, jangan buli mereka. Kita nak juruukur dan lain-lain lagi dapat projek ini, jangan tamak dan bolot sendiri... kita kongsi," katanya.

-- BERNAMA

Sunday, December 18, 2016

KENYATAAN LIM KIT SIANG JENAKA YANG MELUCUKAN

ALOR SETAR, 18 Dis (Bernama) -- Kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang yang menyebut bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perdana menteri interim sekiranya Pakatan Harapan menang pilihan raya umum akan datang, hanyalah satu jenaka politik yang melucukan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ini kerana proses untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sebaik mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, bukanlah perkara mudah.

"Matlamat tersebut sangat tidak realistik. Bayangkan bila sudah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, Wan Azizah perlu kosongkan kerusi, buat pilihan raya kecil dan banyak lagi proses yang pasti bukannya sekejap," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Pelajar Program Puncak Pembina di sini, hari ini.

Media tempatan melaporkan, pada majlis di Pulau Pinang baru-baru ini, Lim dilaporkan mencadangkan Dr Wan Azizah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi PRU akan datang.

Mahdzir, yang juga Menteri Pendidikan, berkata pembangkang kini cuba membuat helah kepada rakyat dengan menunjukkan kononnya mereka boleh memimpin sekiranya diberi peluang memegang tampuk pemerintahan.

Bagaimanapun, jelas Mahdzir, kenyataan bercanggah daripada setiap parti pembangkang mengenai siapa calon perdana menteri yang layak sekiranya mereka menang PRU akan datang, jelas menunjukkan tiada keyakinan sesama mereka.

-- BERNAMA

Saturday, December 17, 2016

SIAPA PM PAKATAN BELUM SELESAI

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kenyataan Lim Kit Siang semalam, berbunyi seolah-olah isu siapa yang akan menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya telah selesai, sedangkan pada hakikatnya tidak demikian.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menegaskan bahawa sebelum ini Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pernah berkata jika Pakatan Harapan memenangi PRU akan datang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri yang baharu.

"Sebelum ini, dalam satu ceramah di United Kingdom (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata (Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia - PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi perdana menteri, kemudian berpatah balik dengan berkata masih terlalu awal membuat keputusan itu.

"Kini, Kit Siang menyatakan (Presiden PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Muhyiddin, masing-masing akan menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara," katanya dalam blognya http://sskeruak.blogspot.my/, malam Sabtu.

Media tempatan melaporkan, pada majlis di Pulau Pinang malam semalam, penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan mencadangkan Wan Azizah dan Muhyiddin menjadi perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara jika pembangkang memenangi PRU akan datang.

"Ini bermakna Wan Azizah akan menjadi perdana menteri hanya untuk beberapa bulan sehingga Anwar mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong, dibebaskan dari penjara, anggota Parlimen PKR akan mengosongkan kerusi, pilihan raya kecil diadakan, dan Anwar memenangi pilihan raya itu dan mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri, keseluruhan proses mengambil masa beberapa bulan," kata Salleh.

Bendahari UMNO itu berkata apabila Anwar mengambil alih jawatan sebagai perdana menteri, beliau kemudian akan memilih timbalannya bagi menggantikan Muhyiddin yang merupakan timbalan perdana menteri sementara.

"Siapa bakal timbalan perdana menteri Anwar tidak diketahui di peringkat ini," katanya.

Salleh juga menegaskan bahawa Kit Siang tidak memaklumkan sama ada cadangan perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara itu berdasarkan kata sepakat, sama ada mendapat persetujuan daripada semua parti dalam Pakatan, termasuk Mahathir yang merupakan Pengerusi PPBM.

Menteri itu mempersoalkan sama ada perkara itu terpakai sekiranya DAP memenangi jumlah kerusi Parlimen paling banyak pada PRU akan datang dan sebahagian yang dimenanginya adalah menerusi calon Melayu mereka.

"Apa akan berlaku jika Yang di-Pertuan Agong tidak memberi pengampunan kepada Anwar kerana Anwar tidak pernah memohonnya? Adakah Anwar bersetuju untuk memohon pengampunan atau beliau masih berkeras tidak akan memohon perkara itu kerana ini sama seperti mengaku bersalah?.

"Adakah perdana menteri dan timbalan perdana menteri sementara itu akan terus memegang jawatan berkenaan selama tempoh tidak pasti, jika Anwar gagal mendapat pengampunan dan dibebaskan?," tanya Salleh.

Salleh berkata Kit Siang juga perlu memberitahu apa akan berlaku jika Anwar tidak mendapat pengampunan dan dibebaskan dari penjara.

"Jadi, kita tahu apa pelan sandaran atau alternatif beliau," katanya.

-- BERNAMA

Friday, December 16, 2016

SHAHRUM YUB MENINGGAL DUNIA










KUALA LUMPUR 16 Dis. – Bekas Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Datuk Shahrum Yub, 82, me­ninggal dunia di kediamannya di Bukit Bandaraya pada pukul 1.30 petang semalam kerana sakit tua.



Shahrum Yub


Allahyarham yang merupakan anak Melayu pertama yang ditugaskan ke jawatan tersebut pada 1968 hingga 1991 selepas berkhidmat bersama Pengarah muzium yang pertama, Tan Sri Mubin Sheppard dan J.J Lowry.

Berkongsi perasaan sedih, Bekas Ketua Pengarah Muzium, Datuk Ibrahim Ismail berkata, Allahyarham meru­pakan seorang yang komited de­ngan kerja yang dilakukan dan sangat menepati masa.

“Pengalaman bekerja bersama ketika beliau menjadi penasihat adalah masa yang amat bermakna kerana saya dapat lihat seorang yang sangat cintakan apa yang dilakukannya.

“Beliau juga popular dengan pelbagai pameran menarik seperti pameran mumia serta penampilan menggunakan bow-tie memang diingati oleh semua orang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Allahyarham dilahirkan di Tanjung Malim, Perak mendapat pendidikan awal di Tepus dan Tanjung Malim sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Leeds, England dalam bidang antropologi.

Ibrahim berkata, negara kehilangan seorang tokoh pemuziuman yang paling lama berkhidmat dalam jawatan tersebut selain menghasilkan pelbagai pameran terkenal di peringkat antarabangsa.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Maureen Shakesby serta tiga orang anak dan lima cucu. Jenazah disembahyangkan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas Asar

Thursday, December 15, 2016

VIDA DIDENDA RM80,000 KERANA GAGAL KEMUKA PENYATA GST

IPOH, 15 Dis (Bernama) -- Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Hakim Murtazadi Amran juga mengarahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan, jika tertuduh yang lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida, 45 gagal membayar denda itu.

Dia membayar denda itu.

Vida yang merupakan pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd didakwa melakukan kesemua 16 kesalahan itu di Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian GST, Wisma Kastam, No 1 Jalan Tun Razak di sini sejak April 2015 hingga Julai 2016.

Semasa didakwa pada 30 Okt lalu, Vida mengaku tidak bersalah atas dakwaan gagal mengemukakan penyata GST mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.




Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Vida diwakili peguam Syed Ahmad Syed Abas.

Murtazadi dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju bahawa kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah berat dan hukuman setimpal perlu dikenakan agar ia memberi pengajaran kepada masyarakat.

Terdahulu, Raja Rozela berkata kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana pihak Kastam tidak dapat mengutip cukai GST dan ia menjejaskan pendapatan negara.

Sementara itu, Syed Ahmad memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman denda RM4,000 bagi setiap pertuduhan atas alasan tertuduh mempunyai 16 pertuduhan dan komitmen untuk menjelaskan GST sebanyak RM4.2 juta.

Syed Ahmad berkata pengakuan bersalah tertuduh telah dapat menjimatkan masa serta kos mahkamah dan tertuduh sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak.

"Sepanjang program Gegar Vaganza tertuduh kelihatan gembira tetapi sebenarnya beliau tertekan dengan apa yang berlaku. Perniagaannya juga terjejas," katanya.

Sementara itu, mahkamah hari ini turut menetapkan 30 Dis sebagai tarikh sebutan semula bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta.

Bagi pertuduhan itu, Vida didakwa mengikut Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Setelah selesai prosiding, Vida masih menunjukkan dirinya yang sentiasa gembira dengan memberi gaya tersendiri untuk dirakam jurugambar.

-- BERNAMA

Tuesday, December 13, 2016

MENANGANI GEJALA FITNAH


oleh Shahbudin Embun 
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)







Pendekatan menggunakan kaedah fitnah dan pembohongan masih merupakan senjata yang digunakan oleh mereka yang pengecut tetapi mahu beraksi hebat dalam gelanggang politik.Bagi golongan pemfitnah ini , adalah mudah menabur fitnah dengan harapan mereka yang mendengar akan mempercayainya.



Begitulah senario yang berlaku dalam dunia politik tanahair dan juga di seluruh dunia amnya. Apatah lagi dalam dunia hari ini yang dimonopoli oleh media baru (new media) yang mampu menyebarkan pelbagai berita dengan begitu pantas sekali.Itu sebabnya bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi mangsa fitnah, kononnya beliau memainkan peranan untuk menjatuhkan pucuk pimpinan kerajaan sehingga beliau akan dilucutkan dari jawatannya.



Pada kebiasannya, kisah-kisah yang kurang enak didengar ,sering dikenakan ke atas mereka yang sedang berjaya. Sebaik sahaja seseorang itu disanjung, pastinya akan diikuti pula dengan kisah-kisah yang negatif. Itulah realitinya, di mana ada sahaja pihak yang berhasad dengki atas kejayaan orang lain.



Dan mungkin inilah yang berlaku pada Zahid Hamidi. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, beliau telah melakukan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang. Manakala gandingan mantap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Zahid Hamidi begitu dicemburui oleh seteru politik mereka.Maka timbullah pelbagai kaedah dan taktikal untuk memecahbelah dan menjatuhkan gandingan dan kombinasi yang mantap ini.Dan pastinya taktik fitnah dilihat sebagai taktik yang paling berkesan.



Bukanlah sesuatu yang mudah untuk masyarakat dan rakyat negara ini mempercayai fitnah yang dilemparkan ini. Perlu diingatkan juga bahawa Zahid Hamidi bukan baru mengenal Najib sehari dua ini. Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Najib semasa Perdana Menteri, ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan (1986-1993).



Elemen seperti inilah yang membuatkan Najib dan Zahid Hamidi akan terus diserang dengan pelbagai taktik kotor oleh musuh-musuh politiknya.Mereka menggunakan taktik ini untuk meruntuhkan satu institusi yang telah terbukti berjaya membawa negara kita terus maju ke hadapan.





Selain itu, seteru politik telah melihat gandingan Najib dan Zahid Hamidi bukan sahaja semakin mantap, tetapi boleh menjana kekuatan baru kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Itu sebabnya benteng pertahanan kombinasi ini perlu dicerobohi , walaupun ternyata ianya amat sukar untuk dilakukan.



Mereka yang menyebarkan fitnah-fitnah ini telah menggunakan media baru hari ini yang begitu cepat menyebarkan pelbagai berita dan gosip yang sensasi.Manakala gajet elektronik melalui aplikasi media sosial ternyata begitu berkesan dalam menyebarkan sebarang maklumat.



Itu sebabnya setiap berita yang disebarkan perlu diperiksa dan disahkan kesahihannya. Jangan terus mempercayai apa yang ditulis tanpa memeriksa hujung pangkalnya. Mungkin dalam hal ini, pihak UMNO sendiri perlu memantapkan lagi jentera media baru parti, bagi menangkis setiap serangan fitnah dan tohmahan pihak pembangkang.



Dalam menangani isu media baru ini, masyarakat juga perlu tahu menilai yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Keikhlasan yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi dalam melaksanakan tugasnya , adalah bagaikan permata yang terus bersinar. Manakala fitnah yang dlemparkan ke atas dirinya boleh diibaratkan seperti kaca-kaca yang jatuh berderai apabila terhempas ke lantai. Fitnah-fitnah ini tidak ada nilainya dan hanya merupakan permainan politik kotor oleh mereka yang pengecut.



Sepanjang perjuangan Zahid Hamidi dalam dunia politik, beliau telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan juga yang manis. Dan ini juga bukannya pertama kali beliau difitnah dan pastinya juga bukannya untuk kali terakhir. Namun apa yang pasti tokoh bernama Zahid Hamidi tidak akan rebah mahupun hanyut, biarpun diserang dengan badai dan gelora fitnah.

Gambar di atas ketika penulis bersama Mat Yang buat laporan polis terhadap surat layang yang melagakan PM dengan TPM. Penulis juga adalah Ketua Penerangan Kelab Sahabat Najib 87 Wilayah Persekutuan

RM190 JUTA ASET RASUAH DIBEKU

KUALA LUMPUR, 13 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dan membekukan aset berjumlah RM185,962,819 dari 2014 hingga November lalu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata daripada jumlah itu, aset RM157,314,532 disita sepanjang tahun ini manakala RM9,331,769 tahun lepas dan RM19,316,518 pada 2014.

"Penyitaan harta ini dibuat bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA)," katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Negara semalam.

Monday, December 12, 2016

MAHATHIR YANG KELIRU



SHAH ALAM 10 Dis. - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bukan setakat menolak nasihat Pas supaya tidak bekerjasama dengan DAP, malah menyifatkan nasihat itu tidak berasas selain menganggap Pas merupakan sebuah parti yang keliru.


Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebaliknya terus dengan pendirian untuk bekerjasama dengan DAP bagi mencapai matlamatnya menumbangkan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya fikir Pas keliru, sekarang mereka mentadbir Selangor bersama PAN dan DAP sedangkan pada masa sama tidak mahu bersama mereka (PAN dan DAP).

“Mereka yang perlu menyatakan pendirian sama ada mahu bersendirian, bersama UMNO atau bersama pembangkang yang lain termasuk Amanah (PAN) dan DAP,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen PAN di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini hari ini.

Yang hadir sama pada konvensyen itu ialah Presiden PAN, Mohamad Sabu; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Pada 7 Disember lalu, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob dilapor menasihatkan PPBM supaya menjalinkan kerjasama dengan parti itu dan me­ninggalkan DAP.

Menurutnya, DAP hanya ingin mempergunakan pengaruh pemimpin PPBM khususnya Dr. Mahathir untuk meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu semata-mata.

Malah jelas Ahmad, kerjasama antara PPBM dengan Pas adalah jauh lebih baik daripada mereka terus bersama DAP dan PAN.

Dalam pada itu, Mahathir ketika ditanya mengenai pendirian rasmi PPBM untuk menyertai pakatan harapan diketuai DAP bersama PKR dan PAN di bawah satu logo berkata, perkara itu akan dibincangkan melibatkan jawatankuasa kepimpinan parti dalam tempoh terdekat ini.

Walau bagaimanapun beliau menegaskan, mana-mana pihak yang cuba mewujudkan situasi pertandingan tiga penjuru atau lebih dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) merupakan penyokong kepada Barisan Nasional (BN)

Ulasan saya, Dr Mahathir yang keliru kerana kerajaan Selangor bukannya kerajaan Pakatan Harapan tetapi kerajaan Pakatan Rakyat. Maka PAS kekal dalam kerajaan Selangor kerana  mereka menang pada 2013 disebabkan oleh Pakatan Rakyat.

Sunday, December 11, 2016

ADA YANG IRI HATI LIHAT KEMESRAAN PM DENGAN TPM



KUALA LUMPUR 11 Dis. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mereka yang kecewa serta iri hati melihat kemesraan beliau dengan Perdana Menteri.


Kata Timbalan Perdana Menteri, pihak terbabit sedar jika tidak dirosakkan hubungan antara dua pemimpin utama kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta UMNO mustahil dapat dilemahkan dan seterusnya impian untuk menawan Putrajaya juga bakal terkubur.

Namun kepada pihak terbabit beliau berpesan, hubungan peribadinya dengan Perdana Menteri bukan baru terjalin tetapi sudah bermula sejak 1987 lagi iaitu ketika dilantik menjadi Setiausaha Politik ketika Najib mengetuai Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya tidak mahu memberi reaksi yang panjang kerana saya amat yakin itu fitnah. Pihak yang bertanggungjawab sedar jika dua pemimpin utama dapat dipecahkan maka matlamat dan tujuan mereka akan tercapai kerana mereka amat cemburu dengan perpaduan yang wujud dalam UMNO serta BN.

“Tapi saya nampak orang tidak mempercayainya, tambahan kita tahu kepala surat yang digunakan adalah kepala surat yang diciplak daripada kepala surat kerajaan. Jawatan dise­butkan juga tidak mengikut garis panduan sedia ada, malah tandatangan saya juga ditiru,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF).

Semalam Perdana Menteri menyelar taktik kotor pembangkang yang cuba melaga-lagakannya dengan Ahmad Zahid melalui penyebaran surat layang palsu.

Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Ne­geri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memburu pihak bertanggungjawab di sebalik surat tersebut.

Katanya, terdapat tiga kesa­lahan utama yang membolehkan pelakunya dihukum iaitu memalsukan tandatangan, menggunakan bahan rasmi Kerajaan Persekutuan dan menimbulkan perkara yang membawa kepada fitnah.

“Saya tidak mahu terlibat tetapi dimaklumkan PDRM dan SKMM sedang melakukan siasatan secara mendalam untuk melihat punca mana dan saya pasti mereka yang melakukannya akan menerima akibat,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri menafikan tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya 700,000 warga China akan dibawa masuk ke negara ini untuk diberikan taraf kewarganegaraan bagi membolehkan mereka mengundi.

“Saya tidak tahu apa yang beliau lakukan semasa beliau mentadbir negara dan semasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawahnya tetapi saya nak beri keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa KDN tidak akan melakukan perkara itu dan tidak pernah melakukannya,” tegasnya.

Saturday, December 10, 2016

YANG DIPERTUAN AGONG DEKAT DI HATI SETIAP PETUGAS

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Berperwatakan tegas namun penyayang, itulah keperibadian Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang amat disenangi dan disanjung setiap petugas Istana Negara.

Sepanjang lima tahun menaungi Malaysia di takhta pemerintahan negara sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14, baginda cukup dekat di hati setiap petugas, khususnya bagi pelayan peribadi yang saban hari bersama baginda.

Berkongsi pengalaman sebagai Pembantu Operasi yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal pakaian dan barang perhiasan baginda, Nordin Abdullah, 59, berkata Tuanku Abdul Halim merupakan seorang raja yang tidak cerewet dalam segala aspek.

"Baginda tidak cerewet. Apa yang saya nampak, baginda kini minat mengenakan tali leher warna merah sekiranya baginda hadir ke majlis dengan memakai 'long suit'," katanya ketika ditemui Bernama di Istana Negara baru-baru ini.

Bapa kepada empat anak itu berkata walaupun tidak cerewet, namun Tuanku Abdul Halim cukup mengutamakan soal ketepatan masa.

"Baginda paling pantang jika tidak menepati masa. Saya sendiri sering kali ditegur berkaitan masa. Saya terima teguran tersebut dan cuba perbaiki kelemahan saya," katanya yang mula bertugas di Istana Anak Bukit ketika usianya baharu mencecah 20 tahun.

Ditanya faktor yang menyebabkan beliau mampu bertahan hampir 40 tahun sebagai petugas istana, Nordin berkata keperibadian Tuanku Abdul Halim yang menghormati setiap petugas membuatkan beliau setia dengan kerjayanya itu.

"Baginda tak suka panggil gelaran. Baginda suka memanggil kami dengan nama penuh. Baginda akan murka jika ada terdengar pekerjanya dipanggil dengan nama gelaran," katanya.

Senada dengan Nordin, pelayan peribadi Tuanku Abdul Halim, Abdullah Al-Bahidi Baharudin yang bertanggungjawab menjaga makan minum baginda turut berbangga dapat berkhidmat di bawah Seri Paduka yang tidak kekok beramah mesra dengan petugas istana.

"Walaupun saya baru tiga tahun berkhidmat, namun kemesraan baginda dapat dirasai. Baginda baik hati, lemah lembut dan sangat menjaga kebajikan pekerja terutamanya pelayan, kundang dan amah," kata anak kelahiran Kota Damansara itu.

Antara kenangan manis yang disimpul anak muda berusia 25 tahun itu antaranya dapat mengiringi Tuanku Abdul Halim ke luar negara atas urusan rasmi antaranya United Kingdom, China dan Itali.

Katanya pengalaman berkhidmat di Istana Negara sebagai pelayan peribadi baginda akan disimpan kemas dalam lipatan sejarah kerjayanya kerana peluang tersebut sukar diperoleh sekiranya tiada minat mendalam, kesabaran dan disiplin yang tinggi.

Ditanya mengenai jadual harian, Abdullah Al-Bahidi berkata pelayan peribadi dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan waktu kerja yang berbeza iaitu kumpulan A bertugas dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang, kumpulan B (3 petang hingga 11 malam) manakala kumpulan C (11 malam hingga 7.30 pagi).

"Setiap kumpulan mempunyai empat petugas. Pasukan A bertanggungjawab menyediakan santapan pagi. Pasukan B (santapan tengah hari) manakala kumpulan C (santapan malam dan lewat malam)," katanya.

Turut berkongsi pengalaman, seorang lagi pelayan peribadi Tuanku Abdul Halim, Mohd Ridzuwan Ibrahim, 26, mengakui akan merasai kehilangan seorang raja berjiwa rakyat yang terkenal dengan sifat lemah lembut dan sopan.

"Tipulah jika saya tidak sedih kerana baginda akan tamat tempoh perkhidmatan tidak lama lagi. Bagi saya, baginda seorang yang mudah didekati, peramah dan mengambil berat hal ehwal setiap petugas," katanya sebak.

Tuanku Abdul Halim akan menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua pada 12 Dis 2016 dan digantikan dengan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 13 Dis ini untuk tempoh lima tahun.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pula dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

-- BERNAMA

Friday, December 9, 2016

PMO PUN ADA GANGSTER?



Blogger dan facebooker kontroversi Datuk Zaharin Mohd Yassin khabarnya dipukul oleh seorang facebooker yang diberitakan bernaung di bawah Prime Minister Office (PMO) di PWTC tengah hari semalam.

Menurut Zaharin yang memuat naik gambar suspek sedang memegang kasut untuk memukul beliau di akaun facebook, sedang seorang lagi teman suspek merakam aksi suspek sedang memukul dengan kasut disaksikan oleh beberapa orang yang kebetulan berada di meja berdekatan.

Punca kejadian adalah kerana kritikan pedas Zaharin kepada Perdana Menteri yang melibatkan salah urus tadbir dan beberapa isu lain, yang kemudianya membangkitkan kemarahan facebooker yang bernaung di bawah Prime Minister Office.

Facebooker PMO dikatakan gagal menjawab isu yang dibangkitkan dan hanya menyerang Zaharin menggunakan isu-isu peribadi dan hashtag #SalamBalikTiang.

Kejadian hari ini adalah kemuncak kemarahan mereka setelah gagal menjawab isu-isu yang dibangkitkan Zaharin di media sosial dan diikuti oleh hampir 50 ribu pengikut di facebook.

Susulan kejadian itu Zaharin telah membuat laporan polis petang semalam di balai polis Dang Wangi.

Ulasan saya, amat memalukan kejadian Facebooker PMO memukul Zaharin kerana seolah-olah PMO ada pula gangster yang diupah untuk memukul aktivis Umno itu.

Kalau ya pun nak marahi Zaharin, marahilah dengan hujah dan janganlah sampai memukul beliau seolah-olah kita tiada iman dan tidak menggambarkan orang yang bertamaddun.

Apatah lagi kita ini orang Melayu yang kaya dengan budi bahasa dan orang Islam yang patut lebih banyak bersabar seperti Nabi Muhammad yang tetap senyum walaupun dibaling dengan
najis.

Sikap PMO tersebut bukan sahaja merosakkan nama PM malah menambah rakyat benci kepada Umno dan BN. Bagi Zaharin, dia sudah biasa dipukul bukan sahaja di Kuala Lumpur malah di Sabah. Kejadian semalam menyebabkan rating Facebooknya meningkat.

Bagi saya kalau kita tidak setuju dengan Zaharin jawablah isu yang dibangkitkan Zaharin secara profesional dan janganlah sampai memukul orang. Nampak sangat kita ini tidak bertamaddun. Saya bukannya membela Zaharin kerana saya juga tidak setuju dengan kenyataan beliau tetapi  cara Facebooker PMO bertindak adalah lebih memalukan dan merosakkan imej PM dan  kerajaan BN.

Thursday, December 8, 2016

500 RIBU SUDAH TONTON VIDEO SYAMSUL DEBAT



KUALA LUMPUR : Gaya pe­nyampaian santai sambil diselitkan unsur humor membuatkan ramai terhibur dengan pembahasan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali dengan nama ‘Syamsul Debat’ sehingga video beliau ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini menjadi viral.


Syamsul Amri, 39, yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah berkata, beliau tidak menyangka ramai yang tertarik dengan perbahasan yang disampaikan sehingga video yang dimuat naik oleh akaun UMNO Online di laman YouTube kini sudah mencecah lebih 500,000 tontonan, hanya dalam masa beberapa hari.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam) memberitahu, ke­selesaannya menjadi diri sendiri ketika berkongsi pandangan setiap kali program ceramah atau tazkirah dan ‘populariti’ yang dikecapinya ke­tika ini semuanya hanyalah dengan izin Allah.

“Saya hanya bercakap dari hati untuk mengajak kepada perkara kebaikan me­ngikut kemampuan diri sendiri yang serba kekurangan.

“Hanya ucapan syukur kepada Allah mampu saya panjatkan seandainya segala ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada orang lain,” kata anak kelahiran Kampung Ayer Dedali, Jempol, Negeri Sembilan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau yang lebih lima kali bergelar johan pidato pelbagai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan sejak tahun 2000 hingga 2006 mula mendapat perhatian umum apabila diundang oleh beberapa stesen penyiaran memberi tazkirah ilmu secara santai, namun popularitinya memuncak semasa mewakili Negeri Sembilan ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu lalu.

Dalam pada itu, Syamsul Amri juga menegaskan, beliau tidak ambil kisah sekiranya ada pihak yang kurang senang dan tidak lagi mengikuti ceramahnya selepas ini setelah mengetahui beliau merupakan ahli UMNO kerana hanya mahu berkongsi ilmu dan menyebarkan kebaikan.

“Terpulang kepada setiap individu sama ada hendak menerima atau tidak kerana saya tahu perkara berkenaan adalah hak masing-masing,” katanya.

Wednesday, December 7, 2016

KALAU SAYA TUBUH PARTI PUN SAYA MENANG DI KINABATANGAN

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Mokhtar yakin Parti Warisan yang diasaskan oleh bekas Naib  Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal akan mendapat sambutan di Semporna sahaja.

Katanya, parti itu tidak akan mendapat sambutan oleh rakyat Sabah kerana parti itu adalah parti  berbilang kaum yang mana kaum Kadazan tidak akan meninggalkan PBS yang diketuai oleh Tan Sri Pairin Kitingan yang juga Huguan Siow kaum Kadazan.

"Jadi Parti Warisan hanya akan mendapat  sokongan rakyat Semporna sahaja," katanya kepada blog ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Kinabatangan mendakwa jika beliau tubuh parti pun, beliau akan dapat sokongan di Kinabatangan sahaja.

"Ia sama dengan Datuk Lajim yang menubuhkan Parti Harapan Sabah yang mendapat sokongan di Beaufort sahaja," katanya lagi.

Bung Mokhtar yang juga Pengerusi FELCRA percaya perhimpunan agung Umno (PAU) minggu lepas adalah pau terakhir sebelum PRU yang ke 14.

"Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan pau sebagai platform terbaik untuk membela diri kerana selama ini pembangkang banyak menyerang peribadi beliau. Oleh itu tidak timbul isu pau sebagai platform Najib untuk mengutuk musuh politiknya," jelas beliau.

Katanya lagi, para perwakilan puas hati dengan penjelasan Najib kerana mereka tahu hanya BN yang dapat membela nasib rakyat dan bukannya Pakatan Harapan yang banyak memberi harapan seperti di Selangor yang tidak selesai dengan isu air.

"Malah rakyat Kinabatangan bersyukur dengan adanya BN Kinabatangan telah banyak membangun," katanya lagi.

Beliau menambah rakyat tak perlu tukar kerajaan kerana apa yang berlaku di Iraq dan Mesir bukannya kerajaan baru lebih baik dari kerajaan lama malah perubahan yang dimahukan rakyat itu lebih membawa perubahan ke arah kehancuran.

Tuesday, December 6, 2016

SPRM KENA PANTAU PDRM

TEMERLOH, 6 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)yakin mampu meraih tahap 80 peratus keyakinan rakyat negara ini terhadap keberkesanan fungsi suruhanjaya itu memerangi amalan rasuah seawal-awalnya tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) (SPRM) Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, ia dijangka mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran sebelum ini berikutan usaha berterusan suruhanjaya itu memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Kalau lihat dari segi keyakinan masyarakat terhadap SPRM ada peningkatan iaitu daripada 65.8 peratus pada tahun lepas kepada 73 peratus pada tahun ini," katanya.

Ulasan saya, SPRM perlu memantau PDRM jabatan yang paling rasuah di negara ini. Amat memalukan ppolis bebas ambil rasuah ketika menahan teksi yang membawa pendatang tanpa izin. Kalau benar mereka tiada permit kerja tahan mereka dan hantar kepada Jabatan Imigeresen untuk tindakan selanjutnya.

Sebaliknya polis tahan mereka dan pau mereka sehingga RM2,000. Lebih menyedihkan mereka dibawa makan angin dengan patrol car sambil mangsa menelefon kawan-kawan untuk dapatkan duit sebanyak RM2,000. Apabila duit tersebut tidak dapat baru polis turunkan harga sehingga RM300.00

Yang paling memilukan ada yang baru nak hantar duit gaji mereka ke kampung sudah dipau polis. Malah yang ada permit kerja dikatakan tidak ada permit sehingga majikan datang membebaskan pekerja mereka. Majikan yang cerdik tidak mahu bayar polis satu sen pun kerana mereka ada permit yang kerja yang sah.

Kenapa polis terlalu kuat rasuah? Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar patut mengambil tindakan tegas kepada anggota PDRM supaya jangan jadikan rasuah sebagai punca pendapatan. Buat malu PDRM. Oleh itu SPRM perlu memantau setiap road block polis kerana setiap hari kita terima aduan daripada pemandu teksi yang membawa orang asing. Sepatutnya pegawai SPRM menyamar sebagai pemandu teksi untuk menangkap polis yang rasuah.

Sunday, December 4, 2016

MAHATHIR HINA NABI?



Di mata Umno Datuk Seri Najib Razak adalah 'insan terpilih' oleh Allah untuk memimpin parti itu dan negara.

Namun pada tafsiran Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah berbeza sama sekali.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini kenyataan mengaitkan Najib dengan kehendak Allah serta sikap walak, Dr Mahathir berkata ia seolah-olah menyamakan perdana menteri dengan nabi.

"Tetapi nabi tak ada RM2.6 bilion dalam akaun dia, juga (tak ada) 1MDB," katanya disambut ketawa orang ramai.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media di Shah Alam selepas menghadiri perhimpunan tahunan DAP hari ini.

Terdahulu bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mengejutkan orang ramai apabila hadir dan dibawa duduk bersama pimpinan tertinggi DAP di atas pentas.

Sebelum ini DAP mengesahkan mereka tidak menjemput wakil BERSATU ke program berkenaan kerana parti berkenaan belum menjadi anggota Pakatan Harapan (HARAPAN).

Turut hadir di majlis itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Sentimen takutkan Melayu

Perhimpunan tahunan Umno baru saja berakhir di PWTC semalam. Sepanjang tempoh persidangan berlangsung beberapa perwakilan menyatakan puji-pujian mereka kepada Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Ungkapan mengaitkan Najib sebagai "pilihan Allah" pernah diucapkan wakil dari Kedah, Datuk Othman Aziz pada perhimpunan agung Umno tahun lalu.

Semasa merasmikan persidangan tahunan pemuda, wanita dan puteri Umno pada 29 November lalu Ahmad Zahid berkata sekarang adalah waktu "Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai presiden" parti berkenaan.

"Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu. Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwalak hanya di bibir. Walak saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita," katanya.

Dr Mahathir berkata Najib juga menyatakan jika Umno kalah pada pilihan raya umum akan datang, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.




"Inilah cara Najib gunakan sentimen perkauman untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu sedangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya diubah (menjadikan) Cina (diletakkan dalam kawasan sama) dengan Cina, Melayu dengan Melayu, India dengan India," katanya.

Mengenai dakwaan DAP mengamalkan dasar liberal Dr Mahathir berkata tidak ada sesiapa yang akan membawa fahaman itu sama seperti di AS.

"Kita tidak akan lihat sama sekali Lim Guan Eng berkahwin dengan lelaki," katanya, disambut ketawa orang ramai sekali lagi.

Ulasan saya, Dr Mahathir tak faham maksud insan terpilih Allah. Ia bermakna Allah yang pilih Najib jadi PM sedangkan ketika itu ada tiga orang naib presiden iaitu Muhyiddin Yassin, Najib Razak dan Muhammad Md Taib ketika Pak Lah naik jadi PM.

Allah tidak pilih Muhmmad Md Taib dan Allah tidak angkat Muhyiddin sebagai TPM sebaliknya Allah buka pintu hati Pak Lah untuk lantik Najib sebagai TPM yang baharu. Itu yang dimaksudkan dengan insan yang dipilih Allah dan bukannya menyamakan Najib dengan Nabi.

Sebaliknya Mahathir berkata Nabi tak terima RM2.6 billion dan Nabi tak terlibat dalam 1MDB. tergamak pula Mahathir menghina Nabi dengan mengaitkan peristiwa di zaman sekarang dengan zaman Nabi.

Saturday, December 3, 2016

NAJIB KENA FAHAM DENGAN ISYARAT

Perhimpunan Agung Umno (PAU) selama empat hari sudah berakhir semalam. Terasa lengang PWTC kali ini. Tidak seramai dahulu berbanding di zaman Tun  Dr Mahathir  Mohamad di mana nak masuk PWTC bukan main payah, berasak-asak.

Kenapa ia berlaku? Adakah ini isyarat ahli ahli Umno bahawa mereka sudah tidak yakin dengan Umno lagi? Atau adakah mereka sudah tidak yakin dengan presiden mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Kes 1MDB masih menghantui mereka. Begitu juga kes duit RM2.6 billion dalam akaun peribadi PM. Adakah benar ia duit derma dari anak Raja Arab atau duit 1MDB? oleh itu Umno perlu buat kaji selidik sejauh mana dua isu ini beri kesan kepada PRU akan datang.

Jangan tanya ketua bahagian, mereka tetap kata bahawa kes 2.6 billion tiada kesan kerana mereka terima sedikit dari duit tersebut. Jangan tanya ketua cawangan. Tanya orang bawah, orang atas pagar apa pandangan mereka. Mereka lebih terkesan dengan kos sara hidup, kes GST. Jadi mereka sebagai pengundi senyap akan buat perhitungan pada PRU 2018.

Jangan angkuh dengan kemenangan besar BN di Sarawak dan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Senario PRK berbeza dari PRU, Semua PRK jentera parti dari seluruh negara menggempur PDM maka BN menang besar tetapi dalam PRU mana ada masa nak tumpu PDM sepenuh masa.

Dalam suasana BN yang lemah, syukurlah pembangkang berpecah. Akan tetapi jika berlaku perubahan kepimpinan PAS dalam masa terdekat, adakah PAS akan kekal menentang Amanah? Bagaimana jika berlaku pertandingan dua penjuru jika PAS menyertai Pakatan Harapan untuk menentang BN?

Para perwakilan lebih banyak berlegar di luar Dewan Merdeka menemui kawan kawan di Riverside dan Sunway Putra Mall. Mereka berebut jadi G7 dan sanggup hulur duit kepada para perwakilan cawangan tetapi bila jadi G7 mereka tak minat dengar perbahasan sebaliknya duduk di luar bersembang dengan kawan-kawan. Inilah nasib G7 yang perwakilan bahagian pilih.

Ahli-ahli Umno sudah beri isyarat kepada Najib dengan memulau PAU. Ramai yang tak datang termasuk pemerhati. Mereka bersedih Umno di bawah Najib terlalu banyak masalah. Jika Najib faham dengan isyarat yang diberikan oleh ahli-ahli Umno, sewajarlah beliau berundur dan beri laluan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemudi PRU akan datang.

PRU akan diadakan pada tahun 2018. Belum terlambat bagi Zahid untuk memulihkan semula imej Umno. Jangan salahkan kami jika BN kalah teruk dalam PRU akan datang kerana kami sudah nasihati Najib untuk berundur secara baik.

Najib tidak ragui kesetiaan Zahid maka Zahid akan pastikan Najib bersara dengan aman selepas ini. Najib mungkin faham dengan isyarat yang diberikan oleh ahli Umno terutama makan malam presiden di mana banyak meja kosong. Oleh itu berundurlah secara terhormat dan beri laluan kepada Zahid mengepalai jentera BN pada PRU akan datang.

Friday, December 2, 2016

WAKIL SABAH GAMATKAN PWTC DENGAN KISAH PISANG

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Wakil UMNO Sabah hari ini menggamatkan suasana dalam Dewan Merdeka dengan kisah pisang, pantun dan teka-teki beliau yang menarik perhatian bukan sahaja anggota perwakilan tetapi juga pucuk pimpinan parti.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika membahaskan ucapan dasar Presiden secara bersahaja menyelitkan topik 'pisang' yang dijadikan analogi kepada kekuatan UMNO.

"Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti; hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

"Kenapa pisang emas yang dibawa belayar, bukan pisang tanduk bukan pisang Sabah? Tahukah Tan Sri (Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin), buah yang paling berani di dunia adalah buah pisang?

"...kerana pisang jantungnya di luar," katanya yang disambut tepukan dan gelak tawa anggota perwakilan dan Majlis Tertinggi UMNO pada perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Ariffin menyatakan orang dahulu mengangkat pisang sebagai makanan pilihan untuk belayar kerana sifatnya yang mampu bertahan lama dan ranum berperingkat selain menjadi penawar kepada 'mabuk laut'.

Beliau berkata penggunaan metafora dalam pantun itu menggambarkan tingginya kearifan dan sifat hormat Melayu terhadap rezeki yang diterima malah perlu diambil iktibar parti UMNO, begitu juga dengan kitaran hidup pokok pisang.

"Pokok pisang yang belum berbuah, jika ditebang berkali-kali akan bertunas semula kecuali jika ia pernah berbuah, ia akan mati bersama tanah...ini falsafah pisang, pantang mati sebelum berbuah.

"Pantang mengaku kalah selagi hidup...buah pisang ini kita jadikan rujukan kepada kekuatan kita (UMNO)," katanya disusuli tepukan gemuruh perwakilan.

Badruddin yang turut ketawa apabila sifat pisang menjadi pedoman kepada kekuatan UMNO sempat juga 'mengusik' perwakilan Sabah itu dengan berseloroh: "Tak habis-habis pisang," sambil bertepuk tangan.

Tidak berhenti di situ, Mohd Ariffin sekali lagi mencuit hati perwakilan apabila dengan sinis membandingkan sikap dengki antara individu dalam kerjaya lain dengan kalangan orang politik.

"Tapi biasanya dengki ini akan berakhir apabila kita bersara, guru tak akan dengki lagi dengan guru tapi hairan dalam politik...tidak mahu masih lagi berdengki (merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed)," katanya yang menyebabkan Dewan Merdeka sekali lagi gamat dengan tepukan dan gelak tawa perwakilan.

Thursday, December 1, 2016

ZAM SENDIRI LUPA SIAPA PIMPIN UMNO KEDAH SEBELUM PRU 2013?

Saya ingin mengulas blog Zam yang buat ramalan kononnya BN akan hilang Kedah dan Terengganu pada PRU akan datang selain pembangkang mengekalkan Kelantan dan Pulau Pinang.Katanya, ini adalah suatu analisis atau ramalan yang mudah berasaskan random sampling secara senyap di akar umbi oleh beliau sendiri dan kawan-kawan di seluruh negeri sejak dua bulan lalu yang menunjukkan UMNO berada dalam kedudukan yang sangat rapuh dan pimpinan Datuk Seri Najib amat tidak popular di seluruh pelusuk tanah air.

Rakyat biasa menolak BN bukan atas soal IMDB atau RM 2.6 Billion tetapi mereka merasa tikaman GST, kenaikan harga barang dan juga kejatuhan ringgit.

Tinjauan ini mendapati hanya lima buah negeri yang akan kekal di tangan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang dijangka akan diadakan pada bulan April tahun depan.Negeri-negeri itu ialah Johor, Melaka, Perak,Perlis dan Pahang.

Yang sudah pasti akan berada di tangan pembangkang ialah Kedah,Kelantan(Pas kekalkan kuasa),Terengganu dan Pulau Penang (Kerajaan yang sama).

Bagi saya, jika BN gagal mengekalkan Kedah dan Terengganu ia bukan satu kejutan kerana BN pernah kalah di Kedah pada tahun 2008 dan kalah di Terengganu pada 1999. Jadi kajian bekas Menteri Penerangan itu bukan sesuatu yang baru kerana beliau mengakui BN masih dapat mengekalkan kuasa di lima buah negeri.

Kalau seorang bekas Menteri Penerangan boleh buat ramalan seperti ini siapa lagi yang mahu menghormati Umno? Beliau sepatutnya mempertahankan Umno kerana beliau seorang calon yang dipayungterjunkan. Dari seorang pemberita sambilan kepada seorang ketua pengarang Utusan Melayu akhbar milik Umno beliau sepatutnya bersyukur dari nobody terus masuk politik dan menang PRU dan dilantik timbalan menteri dan menteri.

Tak pernah pegang jawatan di peringkat bahagian tiba tiba dapat jadi calon. Sepatutnya beliau mempertahankan BN yang telah memberi peluang kepadanya menerima gaji bulanan sebagai ahli parlimen dan menteri.

Beliau mengatakan BN menang di Kedah pada tahun 2013 kerana rakyat Kedah mahu Mukhriz sebagai MB baharu. Adakah beliau sedar siapa timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah menjelang PRU 2013? Bukankah Datuk Ahmad Bashah? Tetapi beliau beri laluan kepada Mukhriz jadi MB kerana itu arahan Presiden parti. Sebagai orang yang patuh kepada arahan parti, beliau akur walaupun sepatutnya beliau boleh memberontak ketika itu tak dapat jadi MB selepas bertungkus lumus beketrja untuk menawan kembali Kedah dari tangan PAS.

Takkan Zam tak tahu sepanjang jadi MB, Mukhriz lebih banyak berada di Kuala Lumpur dari Kedah kerana isterinya enggan berpindah ke Alor Star. Malah beliau yang tidak tahu menjaga hati ketua-ketua bahagian yang menyebabkan mereka tidak memberi sokongan kepada Mukhriz.

Benarkah BN mudah jatuh di Terengganu kerana pimpinan Ahmad Razif? Nampaknya Zam tidak turun padang. Rakyat lebih menyenangi kepimpinan Ahmad Razif yang lebih terbuka. Sebaliknya pimpinan bekas MB mementingkan kroni. Soal tidak bergelar Datuk itu soal lain kerana hubungan beliau dengan istana sudah pulih. Jadi tidak logik menulis kononnya nama Ahmad Razif tidak diingati rakyat.

Zam nampaknya buta politik. Dalam soal ini Sayuti Omar penulis buku pro PAS selama ini lebih terbuka dengan mengatakan bahawa dengan adanya PAS di luar Pakatan Harapan, maka PAS akan kecundang di Kelantan dengan adanya parti serpihan Amanah. Ini bermakna peluang BN merampas kembali Kelantan kali ini lebih cerah dengan meletakkan calon-calon muda yang lebih berwibawa.

Kalau bekas Menteri Penerangan boleh buat analisis seperti ini, tidak hairanlah beliau sendiri kalah dalam PRU 2008 kerana jentera kementeriannya gagal membuat analisis yang sebenar. Oleh itu sebelum mendakwa BN gagal mempertahankan Kedah dan Terengganu, beliau sepatutnya turun sendiri ke padang dan bukannya mengupah orang yang tak layak untuk buat kajian.





.





Wednesday, November 30, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN NOVEMBER 2016

Terima kasih kepada ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pagoh, Zaaba Aman yang mempromosi blog www.newajilpost.blogspot.my yang mana posting mengenai bahagian tersebut mendapat rating tertinggi dalam sejarah blog ini sebanyak 3,718 hits pada 11 November lalu mengatasi rating tertinggi bulan ini dua blog saya yang lain iaitu www.catatanzabidi.blogspot.my dan www.todayterengganu.blogspot.my

Rating tertinggi bagi blog ini untuk bulan November 2016 adalah seperti berikut:-



1. PM akan beri layanan istimewa kepada Umno Pagoh (11 November)
2. Tindakan kakitangan MPK memalukan (15 November)
3. Cukuplah Khalid jadi alat DAP (23 November)
4. Akibat cari publisiti murah (14 November)
5. LPNM akan lahirkan 20 jutawan nanas MD2 (21 November)
6. Lawatan yang penuh impak dan berjaya (8 November)
7. Macam mana BN nak menang kalau 1 juta Melayu belum daftar pengundi? (27 November)
8. Pemangku Timbalan Presiden lebih berkuasa untuk bantu Presiden (22 November)
9. Letak calon wanita di kerusi selamat (16 November)
10. Bersatu tak sertai Pakatan Harapan bukti pembangkang makin berpecah (12 Movember)

Tuesday, November 29, 2016

ZAHID JANJI BISIK KEPADA PM TAMBAH CALON PEMUDA, WANITA DAN PUTERI

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji akan 'membisikkan' kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menambah jumlah calon daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jaminan itu disuarakan naib presiden UMNO itu yang kini menjalankan tugas timbalan presiden, di hadapan perwakilan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Namun, ada prasyarat manteranya. Wanita, Pemuda dan Puteri perlu terus istiqamah. Buktikan kepada kepimpinan dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera pada sayap pergerakan masing-masing.

"Saya pasti, presiden parti merupakan seorang pemimpin yang memahami dan sayang serta baik hati kepada saudara-saudari semua. Insya-Allah," kata beliau.

Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri turut yakin bahawa ketiga-tiga sayap akan terus menjadi nadi penggerak utama dalam menentukan UMNO terus relevan dan berkesinambungan.

Menyentuh prestasi ketiga-tiga sayap parti itu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa kagum dengan pencapaian yang ditunjukkan mereka pada PRU13, apabila seramai 33 calon Wanita, 26 calon Pemuda dan lapan calon Puteri berjaya menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri.

Menyampaikan amanatnya kepada Wanita UMNO, Ahmad Zahid berharap semangat juang sayap Wanita tidak pudar dalam menepis sebarang dakyah pembangkang daripada berterusan memusnahkan kebahagiaan rakyat.

"Tahukah Kak Ijat (Shahrizat), pemimpin Wanita parti pembangkang amat menggeruni Wanita UMNO? Tetapi jangan salah sangka, pembangkang bukan gerun kerana mengerlipnya baju dan kilauan manik-manik tudung wanita UMNO.

"Tetapi kerana program-program 'touch based' (mendampingi rakyat) seperti (dilaksanakan) Skuad Sayang, Skuad An-Nur, Jalinan Rakyat dan banyak lagi program yang tidak terhitung.

"Tanpa seorang ketua dan kepimpinan yang berkualiti dan mantap, pencapaian sebegini sukar dicapai. Syabas Kak Ijat, syabas Kak Zizah (Naib Ketua Wanita Datuk Azizah Mohd Dun) dan seluruh saf kepimpinan Wanita UMNO," kata Ahmad Zahid.

Beliau turut berpesan kepada Pemuda untuk memperkukuhkan perjuangan dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menangani sebarang dugaan dalam UMNO.

Jelasnya, corak kepimpinan Pemuda di bawah Khairy dan naib ketuanya Khairul Azwan Harun selain sokongan anggota pergerakannya membuktikan Pemuda hari ini merupakan barisan yang boleh diharapkan dalam PRU14.

Ahmad Zahid turut memberi keyakinan Puteri UMNO akan terus menyerlah menerusi program sayap pergerakan itu yang banyak membantu golongan memerlukan.

Menyentuh pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu pelan hala tuju jangka panjang negara melalui penglibatan golongan muda, beliau mahu Pemuda dan Puteri bekerjasama secara aktif demi memastikan seramai mungkin golongan muda terlibat memberi input dan buah fikiran yang terbaik.

Menurut beliau, dialog atau wacana nasional merupakan platform khusus dan terbaik untuk mereka menyuarakan pendapat dan melibatkan diri secara aktif kerana mereka juga adalah rakan dalam pembinaan sebuah negara yang gemilang.

"Justeru, saya amat berharap apabila wacana atau dialog nasional itu diadakan nanti, Pergerakan Pemuda dan Puteri akan menjuarai visi nasional itu," kata beliau.

-- BERNAMA