Wednesday, December 21, 2016

JAMAL PERLI KERAJAAN SELANGOR MAHU MANDI DI PEJABAT MB



SHAH ALAM 21 Dis. - “Cukup-cukuplah politik, jangan zalimi rakyat yang tidak dapat air.” Demikian luahan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Jamal Md. Yunos yang tidak lagi tahan dengan sikap kerajaan ne­geri yang mempermain-mainkan hak rakyat untuk mendapat kemudahan bekalan air bersih.

Jamal MD. Yunos tidak dibenarkan mandi di pejabat SUK Selangor, semalam.

Menurut beliau, seramai 3.89 juta rakyat di kawasan Lembah Klang ketika ini terpaksa menanggung derita akibat gangguan bekalan air sejak kelmarin dan masalah itu tidak sepatutnya berulang sekiranya kerajaan ne­geri khususnya Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin benar-benar mengambil sikap serius dalam menangani perkara itu.

Ini kerana katanya, gangguan bekalan air yang berlaku sejak Isnin lalu bukanlah satu perkara baharu yang dihadapi rakyat khususnya di kawasan Lembah Klang sebaliknya ia merupakan kejadian yang ketujuh yang dihadapi mereka dalam tahun ini sahaja.

“Kerajaan negeri yang dipimpin ‘Pakatan Harapan’ ini tidak pernah mengambil pengajaran daripada kesilapan mereka dalam menguruskan masalah dan keperluan rakyat. Sebaliknya, mereka lebih suka bermain politik, berceramah di sana sini dan lebih suka me­nuduh orang lain dalam sesuatu isu.

“Isu gangguan bekalan air yang berlaku hari ini, sampai bila kerajaan negeri nak susahkan, nak main-mainkan rakyat? Apabila kita bangkitkan masalah ini berulang kali, kerajaan negeri anggap ia lawak jenaka, kaitkan dengan isu politik.

“Kerajaan negeri khususnya Menteri Besar jangan berlagak pandai, beritahu rakyat berjaya kumpul rizab berbilion-bilion ringgit tetapi bekalan air tak ada. Ini pentadbiran yang zalim nama­nya. Rakyat susah lebih-lebih lagi masyarakat Tionghua yang menyam­but Festival Dongzhi (Festival Solstis Musim Sejuk) hari ini,” katanya yang turut menyatakan rumahnya di Ampang turut terputus bekalan air sejak kelmarin.

Jamal berkata demikian kepada pemberita ketika hadir sambil bertuala dan membawa berus gigi di pintu masuk Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini untuk ‘menumpang mandi’ di Pejabat Menteri Besar sebagai tanda tidak puas hati terhadap kegagalan kerajaan negeri menguruskan bekalan air di Lembah Klang.

Bagaimanapun, niatnya itu dihalang oleh petugas keselamatan SUK.

Seramai 3.89 juta pengguna di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air semula kelmarin ekoran operasi pengeluaran di Loji Rawatan Air Sungai Se­langor Fasa 1, 2 dan 3 dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja-kerja penyelenggaraan pencawang oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong, Kuala Selangor.

Kerja-kerja penyelenggara­an pencawang tersebut hanya mengambil masa 16 jam dan siap sepenuhnya 12 tengah malam kelmarin manakala proses pemulihan bekalan air berjadual hanya bermula pada pukul 4 petang semalam melibatkan kawasan Zon 1 yang terjejas.

Bagaimanapun, isu gangguan bekalan air yang berlaku di Lembah Klang ketika ini mendapat teguran daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) apabila Pengerusinya, Datuk Liang Teck Meng menasihatkan syarikat-syarikat konsesi air mengambil pengajaran daripada kejadian itu supaya mereka lebih proaktif pada masa depan.

Malah, syarikat-syarikat kon­sesi air jelasnya air tidak boleh menjalankan sebarang kerja penyelenggaraan berjadual yang boleh mengakibatkan gangguan bekalan air berskala besar dalam tempoh seminggu sebelum dan selepas musim perayaan utama seperti yang diwartakan.

No comments:

Post a Comment