Wednesday, December 28, 2016

SEMOGA ZULHASNAN LEBIH MENONJOL DARI DR AWANG ADEK



KUALA LUMPUR 28 Dis. – Tan Sri Zulhasnan Rafique (gambar) berkata, Kuala Lumpur bertekad untuk meletakkan hubungannya dengan Washington di pe­ringkat lebih tinggi berikutan pelantikan beliau sebagai duta besar baharu Malaysia di Amerika Syarikat (AS).

Zulhasnan Rafique

Katanya, beliau komi­ted untuk mem­beri sumbangan dan perkhidmatan terbaik ke arah mencapai hasrat dan objektif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Dalam kenyataan dikeluarkan sempena pelantikannya itu, Zulhasnan yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, AS adalah antara ekonomi terbesar dan kuasa besar tercanggih dunia.

“Saya melihat pelantikan saya sebagai petanda jelas tentang tekad Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan pucuk pimpinan negara bukan sahaja untuk meneruskan, malah meningkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan AS yang telah terjalin sejak sekian lama iaitu sejak negara kita mencapai kemerdekaannya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Zulhasnan yang menggantikan Datuk Dr. Awang Adek Hussin, menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di atas kepercayaan Seri Paduka melantik beliau sebagai Duta Besar Mala­ysia di Washington.

Beliau turut merakamkan peng­hargaan sama kepada Najib.

Kementerian Luar mengumumkan tentang pelantikan itu dalam satu kenyataan berasingan hari ini.

“Saya melihat pelantikan ini sebagai satu pengamanahan dan amanat besar ke atas diri saya untuk mewakili kepimpinan dan seluruh rakyat Malaysia,” kata Zulhasnan yang menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dari 2006 hingga 2009.

Bekas juruterbang pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia itu berkata, beliau akan memanfaatkan peluang tersebut untuk meningkatkan lagi hubungan antara kerajaan Malaysia dan pentadbiran baharu As di bawah kepemimpinan bakal Presiden AS, Donald Trump.

“Tatkala Malaysia membangun maju ke arah mencapai sepenuhnya status negara maju berpendapatan tinggi, kepentingan mengukuhkan lagi hubungan diplomatik, ekonomi, pendidikan, sosial dan keselamatan merupakan faktor yang amat kritikal untuk diteruskan bagi mengeratkan hubungan dua hala dengan negara lain di dunia,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk kerjasama antara negara ke arah mencapai kestabilan politik dunia. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment