Monday, December 19, 2016

RAJA AFFANDI MULAKAN TUGAS PANGLIMA ANGKATAN TENTERA MULAI SEMALAM



KUALA LUMPUR 19 Dis. – Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor memulakan tugas secara rasmi sebagai Panglima Angkatan Tentera yang baharu semalam.

Zulkifeli Mohd. Zin (kiri) bersalaman dengan penggantinya, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada Majlis Serah Terima Tugas Panglima Angkatan Tentera di Kuala Lumpur, semalam. utusan/Abdul Razak Latif

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan merupakan Panglima ATM Ke-19.

Raja Mohamed Affandi tiba di Wisma Pertahanan di sini pada pukul 9 pagi ini dengan disambut oleh Pasukan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Beliau kemudiannya menerima tabik hormat daripada pasukan pancaragam tersebut sebelum memeriksa perbarisan.

Selepas upacara tabik hormat, Raja Mohamed Affandi mula memasuki pejabatnya sambil diiringi doa yang dibacakan oleh Pegawai Staf 1 Agama Tentera Darat, Leftenan Kolonel Azmi Wahab bagi memulakan tugas barunya.

Raja Mohamed Affandi, 58, pernah menjawat Ketua Angkatan Tentera Malaysia sebelum dilantik sebagai Panglima Tentera Darat pada 14 Jun 2013.

Dilahirkan di Kampung Raja Besut, Terengganu pada 20 Jun 1957, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kampung Raja sebelum menamatkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah Sultan Ismail.

Beliau kemudian mengikuti latihan sebagai Bakal Pegawai Kadet di Pre-Officer Cadet Training Unit (Pre-OCTU) Sekolah Pegawai Kadet, Kem Sebatang Karah, Port Dickson dan seterusnya di Maktab Tentera Diraja, Kem Sungai Besi sebagai Pegawai Kadet sebelum ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Rejimen Askar Melayu Diraja pada 11 Mei 1977.

Teruja dan bersemangat memulakan tugas pada hari pertama, beliau berjanji akan melaksanakan tugas dengan amanah dan memberikan khidmat terbaik dalam mengemudi bahtera ATM.

“Saya berjanji untuk meletakkan kepentingan organisasi ini melebihi kepentingan yang lain.

“Saya juga berada di sini atas kebersamaan semua anggota khususnya Tentera Darat yang banyak mendukung serta memberi sokongan selain tunjuk ajar daripada Panglima ATM sebelum ini yang banyak membantu. Terima kasih saya ucapkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment