Tuesday, December 13, 2016

MENANGANI GEJALA FITNAH


oleh Shahbudin Embun 
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)







Pendekatan menggunakan kaedah fitnah dan pembohongan masih merupakan senjata yang digunakan oleh mereka yang pengecut tetapi mahu beraksi hebat dalam gelanggang politik.Bagi golongan pemfitnah ini , adalah mudah menabur fitnah dengan harapan mereka yang mendengar akan mempercayainya.



Begitulah senario yang berlaku dalam dunia politik tanahair dan juga di seluruh dunia amnya. Apatah lagi dalam dunia hari ini yang dimonopoli oleh media baru (new media) yang mampu menyebarkan pelbagai berita dengan begitu pantas sekali.Itu sebabnya bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi mangsa fitnah, kononnya beliau memainkan peranan untuk menjatuhkan pucuk pimpinan kerajaan sehingga beliau akan dilucutkan dari jawatannya.



Pada kebiasannya, kisah-kisah yang kurang enak didengar ,sering dikenakan ke atas mereka yang sedang berjaya. Sebaik sahaja seseorang itu disanjung, pastinya akan diikuti pula dengan kisah-kisah yang negatif. Itulah realitinya, di mana ada sahaja pihak yang berhasad dengki atas kejayaan orang lain.



Dan mungkin inilah yang berlaku pada Zahid Hamidi. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, beliau telah melakukan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang. Manakala gandingan mantap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Zahid Hamidi begitu dicemburui oleh seteru politik mereka.Maka timbullah pelbagai kaedah dan taktikal untuk memecahbelah dan menjatuhkan gandingan dan kombinasi yang mantap ini.Dan pastinya taktik fitnah dilihat sebagai taktik yang paling berkesan.



Bukanlah sesuatu yang mudah untuk masyarakat dan rakyat negara ini mempercayai fitnah yang dilemparkan ini. Perlu diingatkan juga bahawa Zahid Hamidi bukan baru mengenal Najib sehari dua ini. Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Najib semasa Perdana Menteri, ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan (1986-1993).



Elemen seperti inilah yang membuatkan Najib dan Zahid Hamidi akan terus diserang dengan pelbagai taktik kotor oleh musuh-musuh politiknya.Mereka menggunakan taktik ini untuk meruntuhkan satu institusi yang telah terbukti berjaya membawa negara kita terus maju ke hadapan.





Selain itu, seteru politik telah melihat gandingan Najib dan Zahid Hamidi bukan sahaja semakin mantap, tetapi boleh menjana kekuatan baru kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Itu sebabnya benteng pertahanan kombinasi ini perlu dicerobohi , walaupun ternyata ianya amat sukar untuk dilakukan.



Mereka yang menyebarkan fitnah-fitnah ini telah menggunakan media baru hari ini yang begitu cepat menyebarkan pelbagai berita dan gosip yang sensasi.Manakala gajet elektronik melalui aplikasi media sosial ternyata begitu berkesan dalam menyebarkan sebarang maklumat.



Itu sebabnya setiap berita yang disebarkan perlu diperiksa dan disahkan kesahihannya. Jangan terus mempercayai apa yang ditulis tanpa memeriksa hujung pangkalnya. Mungkin dalam hal ini, pihak UMNO sendiri perlu memantapkan lagi jentera media baru parti, bagi menangkis setiap serangan fitnah dan tohmahan pihak pembangkang.



Dalam menangani isu media baru ini, masyarakat juga perlu tahu menilai yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Keikhlasan yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi dalam melaksanakan tugasnya , adalah bagaikan permata yang terus bersinar. Manakala fitnah yang dlemparkan ke atas dirinya boleh diibaratkan seperti kaca-kaca yang jatuh berderai apabila terhempas ke lantai. Fitnah-fitnah ini tidak ada nilainya dan hanya merupakan permainan politik kotor oleh mereka yang pengecut.



Sepanjang perjuangan Zahid Hamidi dalam dunia politik, beliau telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan juga yang manis. Dan ini juga bukannya pertama kali beliau difitnah dan pastinya juga bukannya untuk kali terakhir. Namun apa yang pasti tokoh bernama Zahid Hamidi tidak akan rebah mahupun hanyut, biarpun diserang dengan badai dan gelora fitnah.

Gambar di atas ketika penulis bersama Mat Yang buat laporan polis terhadap surat layang yang melagakan PM dengan TPM. Penulis juga adalah Ketua Penerangan Kelab Sahabat Najib 87 Wilayah Persekutuan

No comments:

Post a Comment