Showing posts with label tpm. Show all posts
Showing posts with label tpm. Show all posts

Saturday, September 1, 2018

ANWAR IMBAU SEJARAH PEMECATAN BELIAU SEBAGAI TPM 20 TAHUN LALU

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perseteruan beliau dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah tercetus sebelum ini sebagai yang paling sengit dalam sejarah negara.

Namun katanya, takdir menemukan mereka semula dengan satu hasrat iaitu untuk menyelamatkan negara daripada keruntuhan.

“Sejarah menunjukkan perseteruan saya dengan Tun Mahathir paling sengit tetapi Allah takdirkan kita muafakat semula untuk kepentingan negara.

“Saya bersyukur walaupun deritanya lama. Kalau saya nyanyi di penjara semua lagu-lagu derita.. lagu kegemaran termasuk ‘Release Me’,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengimbau tarikh 2 Sept 1998 yang mana esok genap 20 tahun beliau dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar berkata beliau belum membuat keputusan mengenai kerusi Parlimen yang akan ditandingi beliau dalam pilihan raya kecil (PRK).

Namun, beliau dijangka melakukan kemunculan semula sebelum sidang Parlimen pada Oktober ini.

“Saya dah bagi tahu Perdana Menteri saya nak tumpu urusan pembaharuan Parlimen.. jadi harapnya sebelum sidang Parlimen Oktober ini.. mungkin sebelum Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bentang RMK agaknya,” katanya, sambil menambah ada empat kawasan cadangan yang akan dipertimbangkan.

Mengulas tindakan anaknya yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah yang membantah pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu rundingan damai selatan Thailand, Anwar berkata beliau bebas menyuarakan pendapat.

“Dia muda masa tu dan kesan ayahnya dipukul setengah mati masa tu tentu beri kesan. Ia tak mudah. Ada orang kata ini soal personal tetapi tidak, ini bukan soal personal.

“Kalau anak anda dipukul setengah mati boleh anda jawab soal personal,” katanya.

Sebelum ini, Nurul Izzah yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh turut menyifatkan Rahim sebagai seorang penyerang ganas ke atas seorang lelaki yang tidak bersalah.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan penutupan kongres itu, Anwar mengingatkan jemaah menteri untuk tidak mengulangi penyelewengan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan terdahulu.

Katanya, sekarang adalah giliran pembangkang untuk memantau segala tindakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan.

“Jika serangan pembangkang itu tepat dan ada kecuaian menteri, saya akan turut serta dengan pembangkang untuk menyerang,” katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 28, 2017

TPM UMUM USD1 JUTA UNTUK PENUBUHAN PUSAT SUFI SEDUNIA

KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan derma seorang hamba Allah sebanyak USD1 juta untuk merealisasikan penubuhan Pusat Sufi Sedunia di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau bersetuju penubuhan Pusat Sufi Sedunia diwujudkan di Kuala Lumpur untuk menghargai ahli-ahli sufi dari seluruh dunia.

"Kita mahu supaya umat Islam jadi kuat supaya kita dapat hapuskan pandangan serong terhadap Islam," katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Ulama Sedunia di UTM di sini petang ini.

Katanya, Islam adalah agama perdamaian maka orang yang tidak berakal dan gila sahaja yang suka berperang.

"Kita kena bersihkan persepsi bahawa Islam itu agama yang ekstrime, radikal dan ganas," tegas beliau.

Katanya lagi, biarpun kita berlainan mazhab, berlainan pegangan sama ada sunnah wal jamaah atau jamaah kita kena bersatu berlandaskan al quran dan sunnah.

Beliau kesal kerana IS dan DAESH menggunakan Islam untuk membunuh dan merogol sedangkan Islam tidak mengajar keganasan.

Dr Zahid mengajak umat Islam gunakan media sosial untuk mempromosi Islam sebagai agama yang adil kepada semua kaum dan bukan kepada umat Islam.

Saturday, July 1, 2017

32,000 HADIRI RUMAH TERBUKA TPM

PUTRAJAYA, 1 Julai (Bernama) -- Kira-kira 32,000 tetamu menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis di kediaman rasminya di Sri Satria di sini hari ini.


Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berpakaian baju Melayu berwarna biru dan isteri yang mengenakan baju kurung, bersalaman dan beramah mesra dengan pengunjung.

Majlis bermula 11.45 pagi itu dimeriahkan dengan kehadiran barisan Menteri Kabinet, pemimpin komponen parti Barisan Nasional (BN), duta asing, pengurusan tertinggi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan diikuti orang ramai pada 2 petang.

Pada majlis itu, 220 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al'Mahabbah, Klang dan Rumah Kebajikan Asnaf, Keramat, turut diraikan dan menerima sumbangan duit raya dan hamper.

Tetamu yang hadir disajikan dengan 50 menu, antaranya sate, murtabak, ketupat, laksa, kuih raya, cendol dan buah-buahan.

Majlis yang berakhir kira-kira 6.30 petang itu turut dimeriahkan dengan persembahan oleh artis tempatan antaranya Datuk Siti Nurhaliza dan Suffian Suhaimi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid gembira dengan kehadiran rakyat berbilang kaum pada majlis itu, dan berharap rakyat terus bersama-sama mendukung kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mendepani ancaman yang dihadapi negara.

"Kita tahu pelbagai ancaman menerjah negara kita, walaupun kita mempunyai daya tahan, tetapi jangan izinkan pemimpin kita berdiri sendiri tanpa dukungan daripada rakyat kerana yang diserang adalah negara," katanya ketika lintas langsung bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada majlis itu.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada anggota pasukan keselamatan yang bertugas mempertahankan negara pada musim perayaan Aidilfitri.

"Kepada mereka yang belum sempat untuk bersama-sama dengan keluarga berhari raya, mereka diberi kelonggaran untuk bertemu dengan isteri, anak-anak dan keluarga (selepas ini)," katanya.

Ahmad Zahid turut menasihatkan orang ramai yang akan pulang ke ibu kota selepas berhari raya di kampung halaman agar berhati-hati di jalan raya.

"Lazimnya apabila mereka pulang berhari raya di kampung, mereka cukup berhati-hati tetapi apabila kembali ke ibu kota mereka terburu-buru menyebabkan kadar kemalangan meningkat. Maka saya berharap mereka lebih berhati-hati di jalan raya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata konsep rumah terbuka pada musim perayaan dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Sunday, May 28, 2017

RAMADHAN KEDUA TPM BERBUKA PUASA DI KT

KUALA TERENGGANU, 28 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunaikan solat Isyak dan Terawih di Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar, di sini malam ini.

Ahmad Zahid yang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Alwi Ibrahim serta kira-kira 2,000 penduduk setempat menunaikan solat berkenaan yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Aizi Saidi Abdul Aziz.

Terdahulu Ahmad Zahid hadir pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama warga KDN peringkat negeri dan berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari kawasam Kuala Nerus di Masjid Tok Jembal, Kuala Nerus.

-- BERNAMA

Saturday, January 21, 2017

PENGUNDI MAHU PILIH ZAHID ATAU LIM KIT SIANG SEBAGAI TPM?

KEMABONG, 21 Jan (Bernama) -- Pendedahan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa DAP mahukan jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pilihan raya umum ke-14, penting terhadap landskap politik kerana ia akan menentukan masa depan negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata ini kerana pengundi kini mempunyai "pilihan politik" pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

"Jika mereka mahu Lim Kit Siang menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, dengan itu mereka boleh memilih "Pakatan yang diterajui DAP" dalam pilihan raya umum akan datang.

"Malah, Tun Dr Mahathir (bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia) membuat pendedahan penting membabitkan politik negara itu pada 17 Jan tahun ini.

"Tun Dr Mahathir secara tidak langsung bersetuju dengan dakwaan (bekas naib presiden DAP) Tunku Aziz bahawa Lim Kit Siang akan menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan jika Pakatan memenangi pilihan raya umum ke-14," katanya.

Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program 'Connecting The Unconnected' (CTU) dan Komuniti Dashboard di Dewan Komuniti Sri Ontoros, Kemabong, dekat sini, hari ini.

Pada Rabu, Dr Mahathir dilaporkan berkata DAP telah meminta supaya pemimpin parti itu diberi jawatan timbalan perdana menteri sekiranya pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh juga menyifatkan Dr Mahathir sebagai pemimpin yang tidak berpendirian kerana sering mengubah pendirian dan pandangannya mengenai isu-isu penting.

"Sebelum ini, beliau (Dr Mahathir) bersama-sama kami (UMNO/Barisan Nasional) dan kami menghormatinya kerana beliau telah menyumbang kepada negara.

"Tetapi kini, Tun Dr Mahathir bersama-sama pembangkang dan mahu meruntuhkan UMNO... kita tidak boleh benarkan ini berlaku," katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau berpendapat Dr Mahathir bersikap amat tidak wajar apabila mahu menjadikan Lim Kit Siang sebagai calon timbalan perdana menteri, sedangkan sebelum ini beliau melabelkan ahli politik DAP itu sebagai rasis.

Ulsan saya, saya bersetuju dengan pandangan Salleh bahawa pengundi ada pilihan sama ada mahu mengekalkan Zahid sebagai TPM atau memilih Lim Kit Siang sebagai TPM baru. Terpulang kepada pengundi Malaysia pada PRU akan datang untuk membuat pilihan.


-- BERNAMA

Tuesday, December 13, 2016

MENANGANI GEJALA FITNAH


oleh Shahbudin Embun 
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)







Pendekatan menggunakan kaedah fitnah dan pembohongan masih merupakan senjata yang digunakan oleh mereka yang pengecut tetapi mahu beraksi hebat dalam gelanggang politik.Bagi golongan pemfitnah ini , adalah mudah menabur fitnah dengan harapan mereka yang mendengar akan mempercayainya.



Begitulah senario yang berlaku dalam dunia politik tanahair dan juga di seluruh dunia amnya. Apatah lagi dalam dunia hari ini yang dimonopoli oleh media baru (new media) yang mampu menyebarkan pelbagai berita dengan begitu pantas sekali.Itu sebabnya bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi mangsa fitnah, kononnya beliau memainkan peranan untuk menjatuhkan pucuk pimpinan kerajaan sehingga beliau akan dilucutkan dari jawatannya.



Pada kebiasannya, kisah-kisah yang kurang enak didengar ,sering dikenakan ke atas mereka yang sedang berjaya. Sebaik sahaja seseorang itu disanjung, pastinya akan diikuti pula dengan kisah-kisah yang negatif. Itulah realitinya, di mana ada sahaja pihak yang berhasad dengki atas kejayaan orang lain.



Dan mungkin inilah yang berlaku pada Zahid Hamidi. Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Dalam Negeri, beliau telah melakukan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang. Manakala gandingan mantap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Zahid Hamidi begitu dicemburui oleh seteru politik mereka.Maka timbullah pelbagai kaedah dan taktikal untuk memecahbelah dan menjatuhkan gandingan dan kombinasi yang mantap ini.Dan pastinya taktik fitnah dilihat sebagai taktik yang paling berkesan.



Bukanlah sesuatu yang mudah untuk masyarakat dan rakyat negara ini mempercayai fitnah yang dilemparkan ini. Perlu diingatkan juga bahawa Zahid Hamidi bukan baru mengenal Najib sehari dua ini. Hubungan kerja antara Zahid Hamidi dengan Najib sudah lama terjalin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Najib semasa Perdana Menteri, ketika itu memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pertahanan (1986-1993).



Elemen seperti inilah yang membuatkan Najib dan Zahid Hamidi akan terus diserang dengan pelbagai taktik kotor oleh musuh-musuh politiknya.Mereka menggunakan taktik ini untuk meruntuhkan satu institusi yang telah terbukti berjaya membawa negara kita terus maju ke hadapan.





Selain itu, seteru politik telah melihat gandingan Najib dan Zahid Hamidi bukan sahaja semakin mantap, tetapi boleh menjana kekuatan baru kepada perjuangan UMNO dan Barisan Nasional untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang. Itu sebabnya benteng pertahanan kombinasi ini perlu dicerobohi , walaupun ternyata ianya amat sukar untuk dilakukan.



Mereka yang menyebarkan fitnah-fitnah ini telah menggunakan media baru hari ini yang begitu cepat menyebarkan pelbagai berita dan gosip yang sensasi.Manakala gajet elektronik melalui aplikasi media sosial ternyata begitu berkesan dalam menyebarkan sebarang maklumat.



Itu sebabnya setiap berita yang disebarkan perlu diperiksa dan disahkan kesahihannya. Jangan terus mempercayai apa yang ditulis tanpa memeriksa hujung pangkalnya. Mungkin dalam hal ini, pihak UMNO sendiri perlu memantapkan lagi jentera media baru parti, bagi menangkis setiap serangan fitnah dan tohmahan pihak pembangkang.



Dalam menangani isu media baru ini, masyarakat juga perlu tahu menilai yang mana satu permata dan yang mana satu kaca. Keikhlasan yang ditunjukkan oleh Zahid Hamidi dalam melaksanakan tugasnya , adalah bagaikan permata yang terus bersinar. Manakala fitnah yang dlemparkan ke atas dirinya boleh diibaratkan seperti kaca-kaca yang jatuh berderai apabila terhempas ke lantai. Fitnah-fitnah ini tidak ada nilainya dan hanya merupakan permainan politik kotor oleh mereka yang pengecut.



Sepanjang perjuangan Zahid Hamidi dalam dunia politik, beliau telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan juga yang manis. Dan ini juga bukannya pertama kali beliau difitnah dan pastinya juga bukannya untuk kali terakhir. Namun apa yang pasti tokoh bernama Zahid Hamidi tidak akan rebah mahupun hanyut, biarpun diserang dengan badai dan gelora fitnah.

Gambar di atas ketika penulis bersama Mat Yang buat laporan polis terhadap surat layang yang melagakan PM dengan TPM. Penulis juga adalah Ketua Penerangan Kelab Sahabat Najib 87 Wilayah Persekutuan

Sunday, December 11, 2016

ADA YANG IRI HATI LIHAT KEMESRAAN PM DENGAN TPM



KUALA LUMPUR 11 Dis. – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihak yang cuba melaga-lagakannya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mereka yang kecewa serta iri hati melihat kemesraan beliau dengan Perdana Menteri.


Kata Timbalan Perdana Menteri, pihak terbabit sedar jika tidak dirosakkan hubungan antara dua pemimpin utama kerajaan, Barisan Nasional (BN) serta UMNO mustahil dapat dilemahkan dan seterusnya impian untuk menawan Putrajaya juga bakal terkubur.

Namun kepada pihak terbabit beliau berpesan, hubungan peribadinya dengan Perdana Menteri bukan baru terjalin tetapi sudah bermula sejak 1987 lagi iaitu ketika dilantik menjadi Setiausaha Politik ketika Najib mengetuai Kementerian Belia dan Sukan.

“Saya tidak mahu memberi reaksi yang panjang kerana saya amat yakin itu fitnah. Pihak yang bertanggungjawab sedar jika dua pemimpin utama dapat dipecahkan maka matlamat dan tujuan mereka akan tercapai kerana mereka amat cemburu dengan perpaduan yang wujud dalam UMNO serta BN.

“Tapi saya nampak orang tidak mempercayainya, tambahan kita tahu kepala surat yang digunakan adalah kepala surat yang diciplak daripada kepala surat kerajaan. Jawatan dise­butkan juga tidak mengikut garis panduan sedia ada, malah tandatangan saya juga ditiru,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF).

Semalam Perdana Menteri menyelar taktik kotor pembangkang yang cuba melaga-lagakannya dengan Ahmad Zahid melalui penyebaran surat layang palsu.

Ditanya mengenai tindakan pihak berkuasa, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Ne­geri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang memburu pihak bertanggungjawab di sebalik surat tersebut.

Katanya, terdapat tiga kesa­lahan utama yang membolehkan pelakunya dihukum iaitu memalsukan tandatangan, menggunakan bahan rasmi Kerajaan Persekutuan dan menimbulkan perkara yang membawa kepada fitnah.

“Saya tidak mahu terlibat tetapi dimaklumkan PDRM dan SKMM sedang melakukan siasatan secara mendalam untuk melihat punca mana dan saya pasti mereka yang melakukannya akan menerima akibat,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Timbalan Perdana Menteri menafikan tuduhan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya 700,000 warga China akan dibawa masuk ke negara ini untuk diberikan taraf kewarganegaraan bagi membolehkan mereka mengundi.

“Saya tidak tahu apa yang beliau lakukan semasa beliau mentadbir negara dan semasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawahnya tetapi saya nak beri keyakinan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa KDN tidak akan melakukan perkara itu dan tidak pernah melakukannya,” tegasnya.