Monday, July 31, 2017

KEKALKAN ROH ISLAM DAN MELAYU DALAM BANGUNKAN SEMULA KAMPUNG BARU

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pembangunan semula Kampung Baru mengekalkan 'roh' keislaman dan kemelayuan kampung itu yang wujud sejak 113 tahun lepas.

Beliau berkata sejajar dengan perubahan masa, kampung itu tidak boleh lari daripada pembangunan, namun ia harus mengekalkan aspek sejarah dan identitinya yang tersendiri.

Katanya perubahan juga adalah gelombang yang harus dihadapi oleh semua pihak termasuk pihak pemilik dan pewaris tanah di kawasan itu.

"Jika kita asyik bernostalgia dengan apa yang ada pada yang lama dan kita menepis apa yang baru maka tunggulah ia tidak lagi relevan, dalam keadaan itulah kita mahu melihat Kampung Baru harus dibangunkan dengan roh yang begitu.

Dulu ramai yang melakarkan bahawa Kampung Baru is Kuala Lumpur (KL), Kuala Lumpur is Kampung Baru ertinya bila orang mahu melihat wajah KL, orang lihat wajah Kampung Baru, dan Kampung Baru cukup identical dengan Melayu," katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek Residensi Rah Kampung Baru, di sini hari ini.

Projek berkenaan yang dibangunkan di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur merangkumi 187 unit kondominium 39 tingkat dibangunkan Rah Properties Corporation Sdn Bhd dengan nilai pembangunan kasar RM182 juta.

Projek yang bermula pada Mei lalu itu dijangka siap pada Mei 2019 membabitkan keluasan 3,310 meter persegi dengan kos pembangunan RM145 juta termasuk kos pengambilan tanah RM25 juta.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Ahmad Zahid turut berharap semua pihak termasuk penduduk Kampung Baru akan dapat memberi sokongan kepada pemaju pembangunan supaya kawasan itu dapat dimajukan setaraf dengan pembangunan di sekelilingnya.

"Saya merasakan sesuatu yang baik itu sukar untuk dilakukan kerana banyak kekangan dan halangan, biarpun perubahan-perubahan itu diniatkan untuk terbaik tetapi kebenaran itu selalu datang di akhir-akhir. Itulah dugaan," katanya.

-- BERNAMA

RATING TERTINGGI BAGI JULAI 2017

Bulan julai 2017 menyaksikan posting mengenai doktor yang tak lulus Bahasa Melayu dalam SPM mendapat 826 hits tertinggi dalam sejarah blog ini.

10 rating tertinggi ialah:-

1. 11 orang doktor anak diplomat Melayu daripada 23 orang yang tak lulus BM (5 julai)- 826 hits
2. TPM umum USD1 juta untuk penubuhan Pusat Sufi Sedunia (28 julai)
3. 125,000 generasi Ulul Albab akan tawan negara pada tahun 2050 (26 julai)
4. Zakaria Arshad menjadi kambing hitam? (25 julai)
5. Rumah terbuka RISDA meriah (4 julai)
6. Ahli Umno perlu mempunyai "winning mentality" (23 julai)
7. Usah terpedaya dengan politik pakatan harapan (16 julai)
8. Semua calon DAP kena tanding sebagai calon Bebas? (9 julai)
9. Berkat doa 5,711 jemaah haji tajaan 1MDB (11 julai)
10. Kenyataan Mahathir tentang Anwar melucukan (8 julai)

Sunday, July 30, 2017

NAJIB TERBUKTI PAKAR STRATEGI YANG LEBIH BAIK


KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak mampu bersendirian untuk mengalahkan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan oleh itu, dia memerlukan bekas pemimpin UMNO untuk mengajarnya, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata apa yang paling ditakuti oleh Lim ialah Najib terbukti seorang pakar strategi yang lebih baik dan dapat membaca semua langkah politiknya.

Beliau berkata Lim sekarang sedar bahawa Najib secara bijak telah bertindak terlebih dahulu dan mematahkan semua langkah.

"Kit Siang yang berada dalam keadaan panik, bukan Najib kerana tembelang sebenarnya telah terdedah dan dilucutkan untuk semua orang mengetahuinya," kata Salleh dalam blog terbaharu beliau bertajuk 'Lim Kit Siang dalam keadaan panik, bukan Najib ' hari ini.

Beliau berkata penipuan Lim semakin jelas sekarang.

"(Ia) adalah sangat jelas bahawa dia memberitahu khalayak umum bahawa Pakatan Harapan diketuai oleh DAP sedangkan pada khalayak umum yang lain, dia memberitahu Pribumi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan PKR memimpin Pakatan Harapan.

Salleh berkata Lim berpendapat bahawa percaturan Ali Baba boleh digunapakai dalam politik kerana ia telah dilaksanakan dalam perniagaan.

"Dan di sinilah Kit Siang memperkecilkan orang Melayu kerana mereka akhirnya akan menolak Pakatan Ali Baba walaupun jika dia meletakkan semua bekas pemimpin UMNO di muka hadapan sebagai wajah Melayu Pakatan Harapan," kata Salleh.

-- BERNAMA

Saturday, July 29, 2017

UMNO LEBIH BAIK TANPA MAHATHIR

MARANG, 29 Julai (Bernama) -- Keengganan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kembali kepada UMNO tidak perlu dikesali kerana situasi itu lebih baik untuk parti, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata walaupun Dr Mahathir pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun, namun tindakannya menyerang UMNO sejak dua tahun kebelakangan ini adalah perbuatan yang amat teruk.

"Kalau dia kata tak nak masuk (UMNO) pun elok lah. Kita tidak rasa kesal langsung dengan (pendirian) itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Marang di sini, hari ini.

Semalam, Dr Mahathir melalui sebuah video klip yang dimuat naik dalam laman sosial Facebook berkata beliau tidak akan kembali semula kepada UMNO walaupun Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lagi menjadi perdana menteri dengan dakwaan parti itu sudah jauh tersasar dari matlamat asalnya.

Ditanya sama ada Pakatan Harapan akan menjadi ancaman pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mahdzir berkata ia bukanlah perkara baharu untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).....

ASNAF FOOD TRUCK BERMUKIM DUA HARI DI MASJID PUTRA

PUTRAJAYA: Selama dua hari mulai hari ini Asnaf Food Truck akan bermukim di hadapan Masjid Putra di sini sempena Haflah Zikir Perdana 2017 yang berakhir malam esok.

Seramai 30 pemilik Food Truck akan menjual pelbagai jenis makanan sepanjang Haflah berlangsung. Pagi tadi simposium tarekat tasawuf nusantara diadakan di masjid tersebut manakala malam ini pula diadakan majlis tafaqquh fiddin.

Petang esok kemuncak zikir perdana 2017 yang akan disertai juga oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hingga jam 12 malam.

Dua hari berlangsung di Masjid Putra dijangka jualan Food Truck meningkat. Food Truck merupakan satu revolusi perniagaan yang berasaskan truck dan tidak memerlukan tapak yang kekal serta mudah menjalankan perniagaan di mana sahaja.

PERTAMA rasa terpanggil untuk memperkenalkan perniagaan ini kepada peniaga peniaga Asnaf bagi membangunkan ekonomi mereka.

Secara tidak langsung program Food Truck Asnaf ini dapat mempromosi Haflah Zikir Perdana.





Friday, July 28, 2017

WALI SONGO KEMBANG ISLAM TANPA PAKSAAN

PUTRAJAYA: Wali Songo amat dikenali oleh masyarakat Nusantara yang bermaksud sembilan orang wali iaitu Sunan Gresik, Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Drajat, Sunan Kalijaga, Sunus Kudus, Sunan Muria dan Sunan Gunung Jati.

"Wali Songo hidup dan berdakwah di tiga wilayah penting di pulau Jawa iaitu Surabaya-Gresik-lamongan di Jawa Timur; Demak-Kudus-Muria di jawa Tengah dan Cirebon di Jawa barat, "kata Ustaz Iqbal Zain Al jauhari ketika membentangkan kertas kerja berjudul "Ihsan dan wasatiyah dalam pengalaman kegemilangan Wali Songo dan kesultanan melaka di masjid putra di sini hari ini.

Katanya, Wali Songo  penggerak Islamisasi di Indonesia lama sehingga terhasil kerajaan Islam pertana di Tanah jawa iaitu Kesultanan demak pada tahun 1478.

Katanya lagi, masyarakat jawa yang menganut agama Hindu Buddha ketika itu merupakan satu cabaran bagi mubaligh Islam. Maka tiga prinsip yang dipegang oleh Wali Songo dalam mengembangkan Islam iaitu al Hikmah, nasihat yang baik dan berbantah bantah dengan jalan sebaik baiknya.

Ustaz Iqbal berkata nelalui al Hikmah atau kebijaksanaan Sunan Bonang dan Sunan Kalijaga menggunakan wayang kulit, gamelan untuk berdakwah.

Katanya, melalui prinsip nasihat yang baik Sunan gresik tidak memaksa mereka memeluk islam sebaliknya mendekati mereka dengan akhlak yang mulia.. Beliau menunjukkan teladan yang baik dan mula mengajar islam secara damai tanpa paksaan dan perumpahan darah.

"Prinsip ketiga melalui bertemu secara peribadi dan bertukar tukar fikiran seperti yang dilakukan oleh Sunan Kalijaga," katanya.

WORLD SAMA' FEST DAPAT SAMBUTAN RAMAI

PUTRAJAYA: Ribuan penonton membanjiri PICC malam tadi menyaksikan World Sama' Fest salah satu acara dalam Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017.

Walaupun tiket semahal RM248.00 mereka sanggup beli untuk menyaksikan persembahan dari enam negara iaitu Turkey, Pakistan, Syria, Malaysia, Morocco dan USA.


Harga lain tiket ialah RM133.00, RM118.00, RM98.00, RM63.00 dan yang paling murah RM48.00

Majlis Sama' merupakan hiburan yang tidak melalaikan supaya hadirin mengingati Allah dan Nabi Muhammad s.a.w. Inilah yang dimaksudkan dengan hiburan cara Islam yang mendamaikan jiwa manusia dan membina insan yang Rabbani.

Majlis yang bermula dari jam 8.30 malam hingga 11 malam turut diserikan oleh penyanyi undangan Datuk Hattan yang menyanyi lagu Mahligai Syahdu dan Datuk Nash yang membawa lagu Selimut Putih.

Rata rata para hadirin terhibur dengan persembahan Sama' kerana melalui Sama' kita dapat memahami bentuk hiburan Islam yang sebenar.

KAJOL SEDIA BERLAKON DALAM FILEM TEMPATAN JIKA SKRIPNYA MENARIK

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Ratu Bollywood, Kajol Ajay Devgan tidak menolak tawaran untuk berlakon dalam filem tempatan jika skripnya baik dan menarik.

Heroin filem Dilwale yang berusia 43 tahun itu berkata sebagai seorang pelakon, beliau lebih mementingkan skrip sesebuah filem yang ingin dibintanginya.

"Skrip saya adalah hero saya dan itulah yang lebih penting. Sudan tentu ya (mahu berlakon), jika ada peluang,? katanya kepada pemberita selepas merasmikan teaser filem baharu lakonannya Velai Illa Pattadhari 2 (VIP2) versi Hindi di Jalan Masjid India di sini malam ini.

Bintang sensasi Bollywood yang muncul semula dalam filem Tamil selepas 20 tahun tidak berlakon dalam filem Tamil, diiringi oleh hero filem tersebut Dhanush Kasthuri Raja dan pengarahnya R.Soundarya yang merupakan anak kepada super star filem Tamil, Rajinikanth.

Kajol turut melahirkan rasa terharunya dengan sambutan yang diberikan oleh kira-kira 2,000 peminatnya yang membanjiri kawasan itu sejak pukul 4 petang tadi untuk bertemu dengannya dan barisan pelakon filem tersebut.

TPM UMUM USD1 JUTA UNTUK PENUBUHAN PUSAT SUFI SEDUNIA

KUALA LUMPUR:  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan derma seorang hamba Allah sebanyak USD1 juta untuk merealisasikan penubuhan Pusat Sufi Sedunia di Kuala Lumpur.

Katanya, beliau bersetuju penubuhan Pusat Sufi Sedunia diwujudkan di Kuala Lumpur untuk menghargai ahli-ahli sufi dari seluruh dunia.

"Kita mahu supaya umat Islam jadi kuat supaya kita dapat hapuskan pandangan serong terhadap Islam," katanya ketika merasmikan penutupan Persidangan Ulama Sedunia di UTM di sini petang ini.

Katanya, Islam adalah agama perdamaian maka orang yang tidak berakal dan gila sahaja yang suka berperang.

"Kita kena bersihkan persepsi bahawa Islam itu agama yang ekstrime, radikal dan ganas," tegas beliau.

Katanya lagi, biarpun kita berlainan mazhab, berlainan pegangan sama ada sunnah wal jamaah atau jamaah kita kena bersatu berlandaskan al quran dan sunnah.

Beliau kesal kerana IS dan DAESH menggunakan Islam untuk membunuh dan merogol sedangkan Islam tidak mengajar keganasan.

Dr Zahid mengajak umat Islam gunakan media sosial untuk mempromosi Islam sebagai agama yang adil kepada semua kaum dan bukan kepada umat Islam.

Thursday, July 27, 2017

PKR TAK LUPA KESALAHAN MAHATHIR

KOTA BHARU, 27 Julai (Bernama) -- Persetujuan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menubuhkan satu suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad membuktikan parti itu belum bersedia melupakan perbuatan bekas Perdana Menteri itu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kenyataan itu menunjukkan PKR bersikap berwaspada terhadap tindak tanduk Dr Mahathir walaupun secara zahirnya beliau diterima menyertai pakatan pembangkang dan dilantik sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

"Ada perumpaan Melayu mengatakan pelanduk mungkin lupa jerat tapi jerat tidak pernah lupa pada pelanduk. Di sini jerat itu PKR dan pelanduk itu Dr Mahathir,"katanya kepada pemberita di Program Himpunan Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Parlimen Ketereh di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas Datuk Mohd Alwi Che Ahmad dan Pengerusi Kelab Usahawan Amanah Terbilang (KUAT) Narma Che Man.

Semalam, Wan Azizah dilaporkan bersetuju dengan tuntutan aktivis reformasi yang mahu pembangkang menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat pelbagai tuduhan terhadap Dr Mahathir sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Wan Azizah berkata, sehingga keputusan PRU diketahui, pakatan pembangkang bersetuju untuk mengekalkan Dr Mahathir sebagai pengerusi bagi gabungan berkenaan.

Mengulas lanjut Annuar berkata Wan Azizah sebenarnya secara simbolik memberi peringatan kepada Dr Mahathir agar tidak mengambil mudah terhadap PKR dan pastinya amaran itu datang daripada Anwar.

"Gabungan yang mempunyai agenda sendiri ini amat bahaya jika diberi mandat kerana meletakkan agenda lain lebih besar daripada agenda nasional berbeza dengan UMNO (dan Barisan Nasional) yang kekal dengan perjuangan pro-rakyat dan sentiasa cuba menangani permasalahan rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan,"katanya.

Beliau turut mendakwa penyertaan Dr Mahathir ke dalam pakatan pembangkang hanyalah untuk kepentingan peribadi dalam usaha menguasai politik negara.

-- BERNAMA

Wednesday, July 26, 2017

125,000 GENERASI ULUL ALBAB AKAN TAWAN NEGARA PADA TAHUN 2050

KUALA LUMPUR: 125,000 generasi ulul al bab akan menawan negara pada tahun 2050. Menurut Pengerusi Sekolah Imtiaz Ulul Al bab Masjid Tanah, Melaka, Datuk Hisham Abdul Majid. apabila mereka yang hafal al quran ini menjadi profesional seperti saintis, doktor, jurutera, tokoh korporat menyertai politik mereka dijangka menjadi ahli politik yang bersih dari rasuah.

"Bayangkan mereka ini menjadi pemimpin negara mereka akan menjadi pemimpin yang serba boleh menjadi imam, pimpin tahlil dan hafal al quran dalam pidato mereka," katanya ketika menyampaikan kertas kerjanya dalam Persidangan Antarabangsa Ulama di UTM di sini.

Katanya, istilah ulul al bab diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan ia diterjemahkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh yang menubuhkan sekolah Imtiaz di negeri Terengganu.

Sekolah Imtiaz Ulul Albab yang diuruskan oleh Hisham di atas tanah di Masjid Tanah yang diwakafkan oleh keluarga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya lagi, dalam al quran ada 16 ayat ulul al bab yang mana ia amat penting dalam al quran ia menggariskan 16 ciri ciri pemimpin.

"Sekolah Imtiaz Ulul Al bab Melaka mencatat sejarah kerana ada yang dapat hafal al quran dalam masa tiga bulan," katanya.

Beliau menambah sekarang MRSM ada modul Ulul al bab serta sekolah berasrama penuh pun ada juga modul yang sama.

"Malah sekolah harian pun ada yang mohon modul ulul al bab kerana ia telah berjaya melahirkan pelajar yang hafal al quran serta pelajar yang berdisiplin," katanya.

Katanya lagi, jika Malaysia dapat lahirkan 125,000 orang generasi ulul al bab maka 57 negara Islam dapat melahirkan seramai 7.15 juta orang generasi ulul al bab.




BERPOLITIKLAH SECARA BERADAB

KUALA LUMPUR, 26 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menggesa ahli politik di negara ini untuk berpolitik secara beradab dan tidak bermusuhan sekalipun berbeza pendapat.


Katanya dalam sebuah negara demokrasi, pemimpin, ahli politik dan rakyat berhak memberi pandangan, menegur dan mengkritik pemerintah, namun perlu dibuat secara beradab dan bukannya dengan caci maki serta fitnah.

"Tidak perlulah kerana perbezaan politik kepartian kita bermusuhan. Itu bukan politik beradab. Yang kita perlu sekarang ialah berpolitik secara fakta dan data.

"Inilah yang kurang dalam politik kita sehingga ada kalanya menyebabkan adab berpolitik kita mati," katanya dalam catatan di laman blognya hari ini.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata agama sendiri menolak perilaku politik cacian, kebencian dan dendam kerana ia merosakkan pemikiran politik rakyat, menghasilkan pemimpin tidak bermutu, mengganggu keharmonian masyarakat, menjejaskan pembangunan politik negara dan merosakkan pembinaan tamadun bangsa.

Justeru, katanya anggota politik perlu bersikap bijaksana dan berhikmah dalam mengambil sesuatu keputusan politik, selain memanfaatkan ruang awam secara rasional.

"Semoga dengan mengamalkan politik beradap, kita boleh berperanan secara bersama dalam membangunkan negara," katanya.

-- BERNAMA

CASIS TELAH ANJUR 30 CERAMAH INDIVIDU

KUALA LUMPUR:  Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilisation (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sudah menganjurkan 30 siri ceramah individu sejak penubuhannya pada tahun 2011.

Menurut Pro Naib Canselor UTM Kuala Lumpur, Prof Dr Durrishah Idrus ceramah yang dikenali sebagai Kuliah Malam Sabtu telah disampaikan oleh tokoh pengajian Islam dan tamaddun yang terkenal, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib Al Attas.

"Setiap kuliah beliau mendapat sambutan hangat daripada 400 orang peseta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Turki," katanya ketika merasmikan Persidangan Ulama dan Kebangkitan Tamaddun Islam Antarabangsa di kampus UTM di sini hari ini.

Katanya, walaupun sumber kewangan dan kakitangannya terhad, tetapi kakitangan CASIS telah menghasilkan banyak kajian yang berfaedah untuk memahami ajaran Islam sebagai agama dan tamaddun dalam menghadapi cabaran kejahilan, ekstrim, konservatif dan pemodenan sekular selain daripada mempromosi isu isu asas yang melibatkan umat Islam.

"CASIS telah aktif menganjurkan program kepimpinan dan pelbagai aktiviti sama ada dalam negara atau di peringkat global, " tegasnya.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan bersama oleh CASIS dan Persatuan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA).

Dr Durrishah menambah CASIS  mempunyai lapan kakitangan akademik termasuk tiga sarjana dari Russia, Ghana dan Indonesia dengan bantuan empat orang kakitangan pentadbiran sepenuh masa.

"CASIS kini menjadi tumpuan 70 orang pelajar postgraduate termasuk dari Turki, China, Singapura, Nigeria dan Indonesia," katanya lagi.

Beliau bangga kerana ulama seluruh dunia berkumpul di UTM untuk membincangkan peranan Islam dalam aspek kemanusiaan yang berkaitan dengan kebangkitan tamaddun.

"UTM menggalakkan networking dengan institusi kebangsaan dan antarabangsa yang boleh berkongsi fikiran dalam meluaskan lagi budaya intelektual sejajar dengan misi universiti," tegasnya.

Tuesday, July 25, 2017

ZAKARIA ARSHAD JADI KAMBING HITAM?


Oleh Shahbudin Haji Embun
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)



Dalam kehidupan seharian kita, baik di pejabat mahupun ketika mengendalikan sebarang urusan ,kita mungkin pernah berdepan dengan pelbagai isu yang mana ada ketikanya seseorang itu ditimpakan kesalahan demi menutup kesalahan orang lain. Dalam bahasa atau perbualan hari ini, orang itu dikatakan sebagai kambing hitam.Mereka yang menjadi kambing hitam ini menjadi mangsa keadaan demi menutup sesuatu isu atau untuk menyelamatkan individu yang lain.


Pengertian kambing hitam ini atau Black Sheep sudah lama digunakan dalam bahasa Inggeris. Namun penulis yakin perkataan ini mungkin tidak ada langsung dalam pengertian bahasa Jepun. Mungkin ini disebabkan budaya bangsa Jepun yang berani mengakui kesalahan sendiri sehingga sanggup melepaskan jawatan yang disandang .Sifat kebertanggungjawapan ini menunjukkan bagaimana bangsa Jepun begitu mementingkan soal integriti dan amanah yang dipikul.


Baru-baru ini Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi ada membuat kenyataan bahawa beliau percaya ada gerakan terancang yang mahu memastikan ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) Datuk Zakaria Arshad yang juga merupakan Presiden FGV didapati bersalah dan kemudiannya akan dipecat.


Bahkan beliau menjelaskan lagi siasatan perlu dilakukan bagi menyiasat usaha pihak tertentu yang mahu menjadikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad sebagai kambing hitam.Tidaklah diketahui sama ada apa yang dinyatakan itu ada kebenarannya.


Pandangan ini juga nampaknya turut dipersetujui oleh Generasi kedua FELDA yang secara terus terang menyatakan ketidakyakinan mereka dengan kepimpinan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai Pemangku Pengerusi Felda Global Ventures Bhd (FGV) . Kumpulan ini juga bimbang Datuk Zakaria Arshad dijadikan sebagai kambing hitam.


Nampaknya isu ketidakpercayaan yang timbul ini menggambarkan seolah olah segala keputusan yang dibuat oleh Sulaiman Mahbob masih lagi dipengaruhi oleh “orang lama” dan legasi yang ditinggalkan oleh Tan Sri Isa Samad dilihat akan berterusan. Dalam hal ini mereka juga merasakan segala masalah yang berpunca dari ahli lembaga pengarah kemungkinan besar diletakkan di bahu Zakaria dan ini menjadikan beliau begitu senang untuk dijadikan sebagai kambing hitam.





Mengimbas kembali, semasa kemelut FGV ini berada di kemuncak , Zakaria Arshad telah direhatkan daripada tugas rasmi bagi memudahkan penyiasatan dilakukan. Dalam hal ini Zakaria telah memberikan kerjasama yang sepenuhnya yang mana beliau telah tampil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan dan menyerahkan dokumen FGV untuk disiasat oleh pihak SPRM .


Apa yang dilakukan oleh beliau merupakan satu tindakan yang berani bagi membantu Suruhanjaya PRM untuk mencari sebarang bukti tentang wujudnya penyelewengan.


Zakaria bukanlah muka baru dalam dunia korporat dan mempunyai pengalaman luas dalam menghadapi sepak terajang dalam apa yang berlaku dalam dunia korporat . Dan sebagai anak kelahiran Felda, yang kemudiannya menjadi sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan syarikat, sudah pasti Zakaria mahu memulihkan persepsi negatif yang dilemparkan kepada FGV.


Beliau dilahirkan sebagai orang susah dan tahu akan penderitaan dan perjuangan yang dialami oleh para peneroka. Dan memandangkan pengalaman beliau selama 32 tahun dalam Kumpulan Felda, maka sudah sepatutnya beliau diberikan peluang untuk menyelesaikan sebarang isu yang melibatkan FGV.


Sejak dilantik sebagai CEO FGV, Zakaria sememangnya merupakan calon yang sesuai untuk duduk di kerusi panas itu. Perlu diingatkan bahawa FGV sedang bertarung untuk mengukuhkan kedudukan dan terus mencipta nama dalam bidang agro bisnes yang begitu kompetetif di peringkat global.





Ini adalah hakikatnya yang mana dalam salah satu laporan, FGV merupakan syarikat ketiga kelapa sawit terbesar di dunia mengikut keluasan tanaman. Di Malaysia sahaja, FGV mengawal lebih 850,000 hektar tanah merangkumi 500,000 hektar dan secara kasar ia menyewa dan menguruskan 112,635 pekebun kecil Felda.Itu sebabnya kemelut dan masalah yang melanda FGV ini perlu diatasi dengan seadil adilnya.






Mungkin ada di antara kita atau warga Felda yang tidak menghiraukan langsung tentang isu FGV dan kedudukan Zakaria atau sesiapa sahaja yang menerajui FGV ini. Namun kita tidak boleh menolak kemungkinan isu ini akan memberikan juga kesan yang negatif terhadap kepercayaan para peneroka Felda.Dan jangan terkejut jika di Pilihan Raya Umum ke 14 nanti ada para peneroka Felda yang akan mengambil jalan mudah dengan menghukum pihak kerajaan .

Monday, July 24, 2017

BERJAYAKAH ANGGOTA PDRM HAPUSKAN RASUAH?



KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menyasarkan untuk mencapai status sifar rasuah, hari ini melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan disaksikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Di ibu negara, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengetuai lafaz ikrar IBR bersama lebih 200 anggota polis pada majlis yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Sultan Yahya Petra di sini.

Hadir sama pada acara itu ialah Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Selesai pembacaan lafaz ikrar itu, Ahmad Zahid menyaksikan majlis menandatangani dokumen IBR antara Abdul Khalid dan Dzulkifli.

Pada sidang akhbar kemudian, Abdul Khalid berkata IBR merupakan komitmen PDRM untuk menangani amalan rasuah dalam kalangan anggota polis dan tindakan akan dikenakan terhadap anggota yang terlibat dalam gejala itu.






"PDRM meletakkan sasaran sifar rasuah dalam kalangan anggotanya dan pelbagai tindakan akan dibuat bagi mencapai objektif ini. Saya mengakui wujud amalan rasuah dalam kalangan anggota PDRM, justeru usaha mencegah rasuah harus bermula daripada keikhlasan diri anggota polis itu sendiri untuk menolak rasuah," katanya.

PDRM menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), katanya, akan berperanan memastikan integriti setiap pegawai dan anggota PDRM mencapai tahap tertinggi dan beberapa langkah sudah dibuat oleh JIPS untuk memantau kegiatan rasuah dalam pasukan itu.

Khalid berkata IBR yang ditandatangani hari ini juga diadakan secara serentak hari ini di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) di seluruh negara.






PDRM ialah agensi penguatkuasaan yang pertama melaksanakan IBR dan ia turut dilakukan secara serentak di semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri (IPK) di seluruh negara hari ini dalam membuktikan komitmen PDRM dalam memastikan integriti pasukan berada pada tahap tertinggi, katanya.

Di JOHOR BAHRU, kira-kira 10,000 pegawai, anggota dan kakitangan Polis Kontinjen Johor terlibat dalam majlis IBR yang dijalankan serentak membabitkan 13 Ibu Pejabat Polis daerah yang dijalankan di daerah masing-masing.

Di Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri, bacaan ikrar diketuai Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Kamarudin Md Din yang disertai 370 pegawai, anggota dan Kakitangan PDRM.

Majlis dimulakan dengan bacaan perutusan Ketua Polis Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kemudian diteruskan dengan lafaz ikrar dan penyerahan Dokumen IBR yang ditandatangani dan diserahkan kepada Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias.

Di KOTA KINABALU, seramai 3,435 pegawai dan anggota polis kontinjen Sabah hari ini melafazkan IBR.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata jumlah itu termasuk anggota dan pegawai di semua 20 ibu pejabat polis daerah di negeri ini.

"Saya berkeyakinan bahawa IBR ini menjadi amaran, peringatan dan juga jaminan kepada golongan berkepentingan dan pelanggan dan ia juga sebagai pengakuan akujanji dan komitmen untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa," katanya.

Di ALOR SETAR, Kira-kira 600 anggota polis di IPK Kedah dan sekitar Alor Setar hari ini melafazkan ikrar yang sama.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Sahabudin Abdul Manan mengetuai bacaan IBR itu sebelum menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah SPRM Kedah Datuk Mohd Fauzi Mohammad di Dewan Utama, IPK Kedah di sini hari ini.

Selain IPK Kedah, Sahabudin berkata majlis melafazkan IBR itu turut diadakan di seluruh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri melibatkan kira-kira 5,000 anggota polis.

-- BERNAMA

Sunday, July 23, 2017

AHLI UMNO PERLU MEMPUNYAI "WINNING MENTALITY"

IPOH, 23 Julai (Bernama) -- Tiada istilah kalah dalam UMNO, sebaliknya parti keramat orang Melayu itu sentiasa bekerja keras untuk memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata untuk itu, anggota UMNO tidak
sewajarnya mudah gentar, sebaliknya perlu mempunyai 'winning mentality' dalam memperjuangkan parti demi kelangsungannya serta Barisan Nasional (BN).

"Kita rasa kita menang kerana kita kerja bersungguh-sungguh dalam memberi peranan kepada rakyat. Pada PRU lalu ada rakyat telah dikelirukan dengan tohmahan dan janji kosong, jadi kita perlu jelaskan perkara sebenar supaya dia kembali bersama kita.

"Kadang kala kita perlu menyerang, kita tidak boleh mempertahankan diri kerana musuh tidak menunggu kita, malah akan mencari jalan untuk hapuskan kita, maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyerang,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan UMNO bahagian Gopeng di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Gopeng Datuk Hamzah Kassim.

Menurut Salleh, dalam perjuangan, pemimpin bukan menjadi ukuran utama kerana mereka datang dan pergi, tetapi matlamat perjuangan adalah yang menjadi keutamaan.

"Matlamat parti politik bukan hanya untuk memberi pembangunan kepada rakyat kerana memberi pembangunan sememangnya tanggungjawab kita (pemimpin) bukannya perjuangan.

"Sebaliknya, kita perlu menjiwai perjuangan (parti), kalau tidak jiwainya, kita hanya sekadar menjadi ahli biasa dan itu tidak akan mencapai matlamat kita,"katanya.

Dalam pada itu, berkata anggota UMNO perlu supaya berhati-hati kerana mereka kini perlu menempuhi cabaran di media sosial tidak seperti dahulu.

"Setiap hari macam-macam maklumat palsu yang disebarkan musuh bertujuan untuk menghilangkan kepercayaan kepada pemimpin dan parti yang hanya akan memecahbelahkan kita, jadi kita perlu berhati-hati,"katanya.

-- BERNAMA

Saturday, July 22, 2017

SETIAP HARI KENYATAAN MAHATHIR TIDAK MASUK AKAL

KULAI, 22 Julai (Bernama) -- Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, yang mendakwa akan memohon pengampunan diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Sebaliknya, kenyataan bekas presiden UMNO itu dikhuatiri mempunyai agenda tersendiri dan
bertujuan mahu mengelirukan ahli parti terutama ketika semua bahagian seluruh negara sedang bersidang, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Justeru itu, beliau mengingatkan ahli-ahli UMNO agar tidak terikut-ikut dengan agenda dan perancangan beliau dalam musim persidangan UMNO bahagian.

"Jadi tiap-tiap hari akan ada kenyataan (dari Dr Mahathir) yang tidak masuk akal .. orang (Anwar) yang dia (Dr Mahathir) suruh tangkap dahulu, orang (Anwar) yang dia (Dr Mahathir) kata tidak bermoral, orang (Anwar) yang dipinggirkan daripada parti...saya selaku Ketua Pemuda ketika itu merasainya pada ketika itu.

"Sekarang dah berubah pulak pendiriannya, saya percaya itu sebahagian dari strategi (beliau) nak mencuba mengekploitasi dan hendak menimbulkan kekeliruan dan kemarahan ahli-ahli kita apabila kita bersidang di bahagian-bahagian tetapi setakat hari ini, saya lihat (taktik) tidak berjaya," kata Hishammuddin selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Bandar Putra, di sini Sabtu.

Beliau berkata memandangkan bekas perdana menteri itu pernah memimpin UMNO sebelum ini, dia tahu selok belok bagaimana mahu mengekploitasi keadaaan.

Sementara itu, katanya, sebahagian maklumat yang terkandung dalam manual pilihan raya antara lain, golongan sasaran sudah siap dan akan disalurkan kepada jentera pilihan raya melalui bengkel-bengkel yang diadakan secara berperingkat bermula di UMNO Bahagian Lenggong minggu lepas, diikuti Kulai dan bahagian Gelang Patah hari ini.

"... akan ada maklumat mengenai golongan sasar yang perlu kita dekati, bagaimana mahu mendekati mereka, contohnya melalui media sosial dan sebagainya dan bagaimana mahu mengatasi dakyah-dakyah terutamanya bila dekat dengan pilihan raya ini akan banyak tuduhan yang akan dilemparkan terhadap kita (parti), kita kena siap sedia untuk menjawabnya," kata Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan.

-- BERNAMA

Friday, July 21, 2017

PEMIMPIN DAN AHLI UMNO BERTANGGUNGJAWAB PERTAHANKAN PARTI



KOTA TINGGI, 21 Julai (Bernama) -- Pemimpin dan anggota UMNO bertanggungjawab dalam mempertahankan parti kerana hanya UMNO sahaja berupaya memperjuangkan hak-hak orang Melayu, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.




Beliau berkata hak-hak itu termasuklah hak Raja Berperlembagaan, hak untuk agama Islam dan hak untuk bahasa Melayu.




Oleh itu untuk mempertahankan hak berkenaan, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, menyeru semua pemimpin dan anggota UMNO agar setia pada parti.




"Ini adalah perjuangan kita. Kalau tidak, siapa lagi hendak mempertahankannya.




"Untuk marah, berbeza pendapat senang tetapi hendak pertahankan kuasa, kena ada parti politik dan dalam parti politik kena ada ketua," kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di sini, hari ini.




Salleh berkata banyak negara luar seperti Iran dan Iraq telahpun menemui kegagalan hari ini gara-gara ketidakstabilan dalam parti-parti politik mereka berikutan ketiadaan perjuangan yang jelas.




Tambahnya, dalam setiap parti politik, memang akan terdapat pihak yang tidak berpuas hati, malah mungkin juga mempunyai kelemahan namun semua itu harus dibendung dengan kesetiaan pada parti.




"Siapa kita tanpa parti? Kita tidak boleh menjadi wakil rakyat. Kita tidak boleh memberi khidmat kepada rakyat. Kita gunakan kuasa parti untuk menentukan amanah rakyat agar pembangunan berterusan, peluang pekerjaan disediakan dan bermacam-macam lagi," katanya.




Dalam pada itu, Salleh menyifatkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad adalah punca kepada segala kekalutan yang berlaku dalam UMNO.




Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang menentang pandangan bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu akan dijatuhkan.




"Kalau kita lihat sejarah UMNO, apa yang lahir hari ini adalah berpunca daripada Tun M.




"Semangat 46 (Parti Melayu Semangat 46) kenapa diwujudkan?...kerana parti ketika itu tidak diuruskan dengan baik maka lahirlah Semangat 46.




"Kedua, kita lihat PKR. Ia juga diwujudkan kerana Tun M disebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri dipecat," katanya.




Turut hadir pada persidangan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.




-- BERNAMA

Thursday, July 20, 2017

ROS BERTINDAK BERASASKAN FAKTA

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- DAP perlu akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusatnya (CEC), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata apa yang berlaku bukan kepada DAP sahaja kerana UMNO juga pernah diisytiharkan mahkamah sebagai pertubuhan yang tidak sah pada sekitar tahun 1980-an dahulu.


"Pada saya apa yang penting, semua urusan mesyuarat mana-mana pertubuhan atau persatuan mesti mengikut peraturan parti yang ditetapkan. Dalam isu DAP ini, bantahan dilakukan oleh anggota DAP sendiri dan RoS telah membuat keputusan yang wajar berdasarkan kepada bantahan tersebut," kepada pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Aidilfitri 2017 anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia, di Angkasapuri di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Rahim dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Salleh berkata RoS telah bertindak berasaskan fakta dan meminta DAP mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baharu bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata DAP akan mengumumkan opsyennya mengenai isu pemilihan semula CEC itu selepas mengadakan perjumpaan dengan RoS, namun enggan mendedahkan butiran opsyen itu selagi belum bertemu RoS.

Pada 7 Julai lepas, Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baharu yang sah dan telus kerana langkah itu amat penting di sisi undang-undang memandangkan pelantikan bagi jawatan utama parti mempunyai peranan yang penting sebagai wakil parti yang mempunyai autoriti untuk menandatangani watikah pelantikan calon bagi mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

-- BERNAMA

Wednesday, July 19, 2017

MAHATHIR BONEKA LIM KIT SIANG



KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau adalah 'top dog' pihak pembangkang dan setaraf perdana menteri adalah tidak benar kerana beliau sebenarnya sekadar boneka dalam barisan kepimpinan baharu Pakatan Harapan.




Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata Pengerusi DAP Lim Kit Siang sebenarnya yang menjadi ketua pakatan pembangkang tetapi beliau tidak ditonjolkan dalam carta kepimpinan gabungan Pakatan Harapan.




"Sama ada beliau (Dr Mahathir) sebenarnya penuh ilusi, tidak realistik atau dengan sengaja mahu menipu rakyat, hakikatnya diktator sebenar pembangkang adalah Lim Kit Siang.




"Parti Dr Mahathir hanya mempunyai satu kerusi Parlimen berbanding DAP yang mempunyai jumlah kerusi majoriti pihak pembangkang sebanyak 38 kerusi.




"Maka, secara realitinya, Lim Kita Siang adalah ketua sebenar dan Dr Mahathir hanyalah sekadar boneka," kata Tengku Sariffuddin dalam kenyataan di sini, hari ini.




Beliau berkata senarai pemimpin Melayu yang diumumkan dalam struktur baharu barisan pembangkang juga sebenarnya menyembunyikan kuasa dan kawalan sebenar DAP terhadap mereka.




Minggu lepas, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Mahathir selaku Pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden).




Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.




Menyentuh mengenai tindakan Dr Mahathir mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dalam program 'Nothing To Hide 2.0' anjuran Armada PPBM, Tengku Sariffuddin mempersoalkan perkara itu kerana sepanjang menjadi perdana menteri, Dr Mahathir tidak pernah mengadakan debat bersama musuh-musuh politiknya.




"Dr Mahathir tidak pernah mengadakan debat 'town hall' bersama musuh-musuhnya politiknya selama 22 tahun beliau menjadi perdana menteri," katanya.




Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan mencabar Najib di pentas 'Nothing To Hide 2.0' yang dijadual diadakan pada 13 Ogos depan.




-- BERNAMA


Tuesday, July 18, 2017

64 KOPERASI NARSCO DISARAN BERGABUNG

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Bernama) -- Kesemua 64 koperasi di bawah Koperasi Pekebun Kecil Getah Nasional Berhad (Narsco) disarankan supaya bergabung membentuk entiti yang lebih kukuh demi kepentingan ahlinya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembentukan entiti tersebut penting bagi memastikan koperasi dapat menjana pendapatan yang lebih tinggi dan membawa pulangan dividen kepada ahli.

"Mungkin selepas ini koperasi boleh bergabung kerana koperasi mempunyai kelebihan dan mempunyai potensi besar - tapi kalau bersaing sesama sendiri, ia tak akan memberi kesan."

"Mereka yang menguruskan koperasi mestilah orang yang mempunyai kepakaran dalam sesuatu bidang, bukannya dilantik sesama sendiri yang menyebabkan koperasi tak akan berkembang dan akhirnya ditutup," katanya.

Monday, July 17, 2017

MRT BERI MANFAAT KEPADA 400,000 PENUMPANG SETIAP HARI

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) adalah projek negara untuk kesejahteraan rakyat walaupun kos pembinaannya tinggi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata projek MRT laluan Sungai Buloh-Kajang sepanjang 51 kilometer dengan kos RM21 bilion yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan memberi manfaat kepada 400,000 penumpang setiap hari.

"Ini adalah cenderahati perdana menteri untuk negara. Dengan kejayaan ini, marilah kita sama-sama meraikan satu lagi simbol kejayaan pembangunan infrastruktur pengangkutan awam negara," katanya menerusi laman blognya sskeruak.blogspot.my.


Beliau berkata pembinaan MRT itu membuktikan kerajaan sentiasa meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai matlamat utama dan tidak mendiskriminasikan negeri yang dikuasai oleh parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Katanya ia juga membuktikan kecemerlangan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang efisien kepada rakyat di ibu negara selain menyediakan sistem pengangkutan awam yang setanding dengan negara maju.

"Dengan terbinanya MRT ini, maka manfaatnya banyak sekali untuk rakyat. Antaranya ialah menjimatkan masa dan kos perjalanan," katanya.

Salleh berkata penggunaan MRT juga dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas iaitu dengan kadar pengurangan 160,000 kenderaan memasuki bandar setiap hari selain dapat mengurangkan pencemaran alam dan memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.

"Justeru pelaburan kerajaan yang tinggi dalam menyediakan kemudahan pengangkutan kepada rakyat, Indeks Persaingan Global 2016-2017 meletakkan Malaysia di tangga ke-11 teratas dalam kalangan 138 negara untuk pembangunan infrastruktur pengangkutan," katanya.

Beliau berkata kedudukan Malaysia lebih baik daripada negara ASEAN yang lain seperti Indonesia (36), Thailand (37), Vietnam (63), Filipina (90) dan Laos (110).

-- BERNAMA

Sunday, July 16, 2017

USAH TERPEDAYA POLITIK PAKATAN HARAPAN

KEMAMAN, 16 Julai (Bernama) -- Usah terpedaya permainan politik Pakatan Harapan dengan barisan kepimpinan baharu mereka, kata Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Wan Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Beliau selaku Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih berkata walaupun kepimpinan pakatan tersebut diketuai oleh orang Melayu, tetapi Parti Demokratik Rakyat (DAP) tetap menjadi kuasa utama kerana mempunyai 36 kerusi berbanding PKR 28 kerusi, Parti Amanah Negara enam kerusi dan satu kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Dalam negara yang mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan dan Demokrasi Berparlimen, mana-mana parti paling banyak memenangi (kerusi) parlimen maka parti tersebutlah yang boleh menubuh kerajaan..dan sekarang ini kita boleh lihat parti mana paling banyak menguasai parlimen...hanya satu parti sahaja," kata beliau di majlis terbuka aidil fitri DUN Air Putih semalam.

Saturday, July 15, 2017

KEPIMPINAN PAKATAN HARAPAN TAK MAMPU "IMPRESS" RAKYAT

GEORGE TOWN, 15 Julai (Bernama) -- Pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan dilihat tidak mampu 'mengagumkan' masyarakat untuk menjadi pesaing Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata usaha membentuk pakatan itu hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinannya.

"Pada saya nak buat (pembentukan barisan kepimpinan) itu untuk nak bagi masyarakat tengok bahawa kami ini dalam satu komponen Pakatan Harapan.


"Kita nampak bahawa mereka cuba nak tengok orang Melayu boleh terima bahawa inilah bentuk kepimpinan Pakatan Harapan.

"Saya tak nampak bahawa dia punya 'impress' untuk masyarakat melihatnya sebagai salah satu daripada gabungan untuk bersaing dengan BN dalam PRU14," katanya kepada pemberita pada mesyuarat perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bayan Baru, di sini malam ini.

Pada Khamis, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Presiden.

Mengulas mengenai struktur kepimpinan baharu itu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata pelantikan tiga 'ketua' jelas menunjukkan bahawa gabungan itu tidak mempunyai persefahaman kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

Beliau berkata berbeza dengan parti BN, walaupun mempunyai 13 parti komponen namun parti itu sepakat untuk taat setia pada seorang pengerusi yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apa yang barangkali boleh saya sebut tidur di katil yang sama tapi mimpi lain-lain, mereka susah nak buat keputusan. Barangkali inilah yuang dipersetujui mereka sehingga tengah malam dalam rundingan dan mesyuarat Pakatan Harapan," katanya.

Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat itu, Mahdzir berkata UMNO tidak perlu rasa gentar, takut atau rendah diri dan akan terus memerintah negara selepas pilihan raya umum ke-14 ini.

"UMNO memerintah negara ini sejak 60 tahun lepas dan menentukan semua dasar-dasar di negara ini dan selepas 60 tahun kita telah membuktikan bahawa UMNO mampu memerintah negara tanpa sebarang masalah," katanya.

Beliau berkata semua anggota UMNO perlu terus menunjukkan solidariti agar negara itu terus diperintah oleh UMNO.

"Pembangkang telah memulakan gerakan untuk merampas kepimpinan negara sejak 2008 tidak berhenti fitnah dan pembohongan terhadap UMNO tetapi kepimpinan negara kita berada di landasan yang betul dan negara akan terus maju jika terus dipimpin oleh UMNO," katanya.

-- BERNAMA

Friday, July 14, 2017

SIAPA YANG ADA KUASA EKSEKUTIF ANTARA DR MAHATHIR, ANWAR DAN DR WAN AZIZAH?



KUALA LUMPUR,14 Julai (Bernama) -- Siapa yang mempunyai kuasa eksekutif dalam pakatan pembangkang?




Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pengumuman senarai kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan semalam menimbulkan tanda tanya berhubung tiga jawatan tertinggi pakatan itu.




"Ini kerana antara tiga jawatan tertingginya - ketua umum, pengerusi dan presiden, tidak dinyatakan siapakah yang mempunyai kuasa eksekutif dan kata putus terakhir dalam pembuatan keputusan," katanya dalam catatan di blognya, hari ini.




Semalam, Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-ketua umum), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-presiden).




Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.




Salleh turut mempersoalkan mengapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi, sedangkan parti itu mempunyai bilangan anggota Parlimen terbanyak dalam pakatan itu.




"Apakah DAP dipinggirkan atau ini sengajakan supaya pakatan ini dilihat sebagai didominasi oleh orang Melayu?," katanya.




Biar apapun strategi pakatan pembangkang, beliau berkata kemunculan pakatan pembangkang tidak sama dengan Barisan Nasional (BN) yang telah teruji menerusi kerjasama parti komponen pelbagai kaum dan sikap tolak ansur pemimpinnya tanpa mengabaikan prinsip-prinsip parti.




Salleh berkata sebaik sahaja mengumumkan barisan baharu kepimpinannya, pakatan pembangkang telahpun memberikan janji politik yang hendak dilakukan dalam tempoh 100 hari setelah berkuasa.




Tegasnya, adalah lebih baik bagi pakatan pembangkang menamakan dahulu perdana menteri pilihan mereka berbanding membuat janji.




"Pelik rasanya apabila ditanya hal ini oleh pemberita, pengerusinya menjawab: "Kita isytiharkan perdana menteri kelapan dahulu. Perdana menteri ketujuh kita tentukan kemudian".




"Dengan barisan kepimpinan pakatan pembangkang yang sebegini, bolehkah kita memberi kepercayaan kepada mereka untuk menerajui Negara? Tentunya tidak kerana masa depan negara bukanlah untuk diperjudikan," katanya.




-- BERNAMA

Thursday, July 13, 2017

ANALISIS YANG BOLEH MELEKAKAN






Oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN
(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Dalam istilah sukan, memenangi satu kejuaraan adalah lebih mudah daripada mempertahankannya. Mungkin istilah itu sukar diterjemahkan dengan pengertian kejayaan Barisan Nasional (BN),yang tidak pernah kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU).Dan sebagai penyandang juara, nampaknya sekali lagi kelebihan dimiliki oleh Barisa
n Nasional yang semakin hari mendapat kepercayaan dari semua golongan.

Apatah lagi barisan pembangkan menghadapi pelbagai masalah hinggakan kita tidak nampak siapakah pemimpin dari barisan pembangkang yang bakal menerajui barisan tersebut. Manakala parti serpihan seperti AMANAH dan BERSATU dilihat masih tidak mampu membawa cabaran dalam PRU akan datang ini.

Namun apa yang dinyatakan ini boleh memakan diri sendiri kerana dikhuatiri ada pihak dari BN yang akan berhenti dari bekerja keras kerana sudah yakin BN akan terus mencapai kemenangan pada PRU yang akan datang ini. Adakah ini permainan perang saraf yang dimulakan oleh pihak pembangang bagi melalaikan jentera Pilihan raya BN?

Itulah sebabnya saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta anggota UMNO khasnya supaya tidak terpedaya dengan analisis dan kajian sesetengah yang yakin tentang potensi kemenangan BN pada PRU akan datang ini.

"Kita jangan terjebak dengan analisis kajian yang dilakukan sebab ada agenda tersembunyi supaya kita leka seolah-olah kita terus memerintah negara dan mereka berharap supaya (kita) tidak berusaha bersungguh-sungguh," katanya.

Apa yang dibimbangkan oleh Ahmad Zahid itu ada sebabnya. Kita ambil contoh yang paling ketara iaitu ketika pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini. Daripada kajian dan analisis awal, mendapati yang AS bakal mendapat presiden wanita pertama dalam sejarah negara tersebut.

Hillary Clinton dijangka tidak menghadapi masalah untuk merealisasikan impian beliau dan dilihat sebagai calon pilihan ramai.Donald Trump pula dilihat sebagai calon yang “jahat dan bongkak”.Namun apabila tibanya hari pengundian, Donald Trump membuktikan sebaliknya dan Hillary Clinton terpaksa akur dengan keputusan majoriti yang mahukan Trump sebagai presiden. Bahkan boleh dikatakan yang Trump telah memenangi jawatan Presiden tanpa menghadapi saingan yang hebat.



Bagaimana pula dengan di Malaysia? Ada yang berpandapat para pengundi di Malaysia masih mengutamakan siapakah calon yang bertanding.Calon yang popular dan dikenali ramai serta menampakkan potensi dan ciri-ciri sebagai pemimpin menjadi pilihan utama. Sunggupun begitu jangan lupa pada faktor lain seperti peranan media sosial yang mampu mengubah hati para pengundi khasnya bagi mereka yang duduk di atas pagar.Apa yang disarankan oleh Ahmad Zahid juga mungkin merangkumi peranan media sosial supaya para pekerja BN tidak lalai dan sentiasa mengikuti perkembangan teknologi terkini bagi menggunakannya sebagai medium untuk berkempen.

Kita tidak boleh menafikan pada hari ini penguasaan teknologi maklumat dan media baru merupakan salah satu wadah yang paling berkesan untuk mendekati rakyat khasya yang duduk di kawasan bandar dan mendapat akses internet dengan begitu mudah.

Apa yang berlaku ialah golongan ini akan pulang ke kampong halaman dan mula berkempen berdasarkan pada maklumat yang mereka perolehi daripada internet. Inilah hakikat sebenarnya dan pihak BN perlu melihat faktor ini dengan lebih mendalam bagi menentang segala bentuk dakyah dan tohmahan yang begitu mudah diperolehi di alam maya.

Apatah lagi berita di internet disampaikan dalam bentuk yang sensasi dan kita perlu menerima hakikat bahawa masyarakat di Malaysia memang sentiasa gemar dan lebih mudah percaya dan terpedaya dengan sesuatu yang sensasi. Inilah kelebihan bagi mereka yang menguasai dunia media baru. Dan terpulang kepada jentera BN supaya jangan lalai dan menggunakan juga media baru ini bagi memerangi segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan.

Pada hari ini penggunaan Facebook, Twitter, Instagram dan blog akan terus memberi saingan kepada media cetak yang nampaknya semakin hari semakin berdepan dengan pelbagai cabaran.Walaupun masih ramai yang membaca akhbar, namun kemajuan dan kesibukan tugasan harian membuatkan orang ramai mendapatkan bahan berita melalui gajet dan telefon pintar.

Dan sekarang, Gajet serta telefon pintar boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan membolehkan semua golongan tidak kira usia sudah terdedah dengan pelbagai berita yang disampaikan melalui Facebook, Twitter, Instagram dan blog

Sungguhpun kita tidak nafikan kempen bercorak fizikal seperti program “turun padang” serta poster dan bendera parti masih memainkan paranan penting, namun pada masa yang sama jentera BN perlu bekerja lebih keras khasnya dalam peperangan media sosial,kerana pasukan yang menguasainya akan mendapat kelebihan yang luar biasa.





Wednesday, July 12, 2017

PEMBANGKANG PUTAR BELIT SOSMA SEBAGAI TIDAK DEMOKRATIK

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak membidas dakwaan pihak tertentu bahawa pelaksanaan undang-undang pencegahan oleh kerajaan satu tindakan tidak demokratik.

Beliau menjelaskan pembangkang memutarbelitkan fakta dengan menyatakan penggunaan akta seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai tindakan tidak demokratik.

"Ini kerana akta-akta di atas adalah akta pencegahan yang memenuhi peruntukan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bertujuan untuk mengawal keselamatan rakyat dan negara.

"Akta sebegini adalah pendekatan paksaan yang digunakan oleh semua negara di dunia ini, baik itu negara demokratik atau negara komunis," katanya dalam catatan blognya, hari ini.

Menurutnya, pentadbiran terdahulu juga kerap menggunakan akta pencegahan iaitu Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Misalnya, ISA digunakan dalam tragedi Memali pada tahun 1985, digunakan untuk menahan pemimpin pembangkang dan akitivis NGO dalam Operasi Lalang pada tahun 1987, dan digunakan untuk menyekat cabaran (Datuk Seri) Anwar Ibrahim terhadap kepimpinan negara pada tahun 1998,? katanya.

Bagaimanapun, Salleh menjelaskan pelaksanaan undang-undang pencegahan oleh pentadbiran terdahulu bertujuan mengekalkan kuasa pemerintah, tetapi kini undang-undang sebegitu digunakan bagi mengawal keselamatan negara.

Katanya, mengikut SOSMA, seseorang itu tidak dianggap bersalah sehingga dibuktikan bersalah, berbeza dengan ISA yang membolehkan seseorang ditahan tanpa bicara.

"SOSMA tidak boleh digunakan secara sewenang-wenangnya seperti mana ISA. Pada 20 Mei 2013, Mahkamah Tinggi telah memutuskan dalam kes penahanan Yazid Sufaat, Halimah Hussein dan Muhammad Hilmi Hasim bahawa Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan hanya terpakai bagi tindakan ancaman keselamatan di Malaysia," katanya.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada tindakan kerajaan sekarang menghapuskan ISA yang membenarkan tahanan tanpa bicara sebagai tidak demokratik.

"Kita perlu bersikap adil dalam menilai hal ini. Ini kerana kerajaan pada hari ini lebih demokratik dalam menjalankan tanggunjawabnya untuk negara," kata Salleh.

-- BERNAMA

Tuesday, July 11, 2017

BERKAT DOA 5,711 JEMAAH HAJI TAJAAN 1MDB

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Keuntungan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bukan hanya digunakan untuk program tajaan ke Tanah Suci, sebaliknya merangkumi pelbagai inisiatif lain membabitkan bantuan perumahan dan pendidikan dengan nilai ratusan juta ringgit, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha 1MDB, dengan sebahagian daripada keuntungannya digunakan untuk membangunkan masyarakat itu tidak boleh dibiarkan musnah disebabkan andaian individiu yang disifatkannya sebagai 'tidak boleh pakai sama sekali'.

Sehubungan itu, golongan imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai pemimpin yang dekat dengan masyarakat di peringkat akar umbi, perlu memperbetulkan dan memperjelaskan dakwaan tidak benar mengenai 1MDB yang dibuat pihak berkepentingan berkenaan.

"Sebab itu, apabila orang kritik 1MDB, kita sebagai pemimpin masyarakat mesti faham. Ini kerana sebahagian keuntungan 1MDB kita (kerajaan) gunakan untuk program kebajikan, tetapi ia tidak disebut," katanya pada majlis penyerahan surat tawaran menunaikan haji tajaan Yayasan 1MDB kepada 1,100 penerima di sini hari ini.

Majlis penyerahan surat tawaran kepada 1,100 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) itu berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Najib berkata program khas haji tajaan yayasan 1MDB boleh diteruskan jika kerajaan sedia ada dipertahankan serta dikekalkan pada masa mendatang,

"Saya harap anda yang akan mengerjakan haji ini dapat mendoakan supaya negara dan kepimpinan negara dapat dikekalkan untuk kesinambungan program kebajikan yang dilaksanakan," katanya.

Najib berkata di sebalik pelbagai tohmahan negatif segelintir pihak termasuk seorang bekas perdana menteri, 1MDB telah menghantar 5,711 jemaah dengan tajaan RM57 juta sejak inisiatif itu dilaksanakan lima tahun lepas.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan saguhati RM1,000, sepasang jubah serta rawatan perubatan percuma kepada setiap bakal haji yang akan berangkat ke Tanah Suci.

Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Ulasan saya, pembangkang tak henti henti mengkritik Perdana Menteri kononnya beliau terlibat dalam skandal 1MDB tetapi Najib tetap teguh sebagai pemimpin negara. Kenapa? Ia adalah berkat doa 5,711 jemaah haji yang dihantar oleh 1MDB mendoakan kesejahteraan Presiden Umno tersebut.

Di sebalik "tembakan" pembangkang terhadap Najib yang bagaikan tidak lut peluru membuktikan bahawa doa jemaah haji 1MDB dimakbulkan Allah dan ia bukti haji 1MDB adalah haji mabrur.



Monday, July 10, 2017

PERLIS HARAMKAN CALON PAYUNG TERJUN

ARAU, 9 Julai (Bernama) -- UMNO Perlis menolak keras-kerasnya kehadiran calon payung terjun yang ditonjolkan pada saat akhir untuk mewakili parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Beliau menyifatkan pemilihan calon payung terjun tidak adil bagi pemimpin-pemimpin sedia ada yang telah bekerja kuat mempertahankan parti dan mereka pula akan dianggap lekeh oleh rakyat.

"Saya tegaskan bahawa Perlis 'haramkan' calon payung terjun. Kita tidak mahu calon yang hanya tunjuk muka pada saat hampir PRU14. Kita sengsara membuat kerja tetapi orang lain datang dan ambil alih. Macam mana nak menang.

"Kita mahu calon yang berupaya menangkan parti, bukan menjadi bebanan. Ramai pandai kritik tetapi tidak buat kerja," katanya kepada pemberita semasa ditemui pada jamuan Hari Raya Aidilfitri Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Arau di Pusat Khidmat UMNO di Kubang Gajah di sini, hari ini.

Beliau meminta mereka yang berminat menjadi calon mesti rajin dan kuat bekerja untuk parti, diperkenalkan lebih awal untuk dtonjolkan dan mereka juga mesti menghormati pemimpin senior.

"Saya menyasarkan kita menang 100 peratus dengan mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimen dan merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pembangkang pada PRU13, di samping mempertahankan 13 kerusi yang disandang," katanya.

Mengenai serangan pembangkang terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Razak, beliau berkata setiap pemimpin UMNO harus mampu menangkis setiap serangan dan tidak boleh mendiamkan diri.

"Apabila orang menyerang presiden kita bermakna mereka menyerang parti. Ini bukan hal peribadi lagi. Ini bermakna kita kena tangkis dan jawab apabila Najib diserang. Hanya orang yang tidak reti bahasa sahaja tidak faham hal peribadi dan parti," katanya.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) satu-satunya parti yang mempunyai kekuatan untuk memerintah dan membangunkan negara ini dibandingkan dengan pembangkang yang seperti 'cacamarba' dan tidak tersusun.

Menyentuh calon wanita, Shahidan berkata UMNO Perlis bersedia memberi peluang kepada lebih ramai wanita namun keputusan terserah kepada presiden parti dan kehendak Allah SWT.

Sunday, July 9, 2017

SEMUA CALON DAP KENA TANDING CALON BEBAS?

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata DAP tidak boleh meletakkan calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika mereka tidak mematuhi arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Ini kerana kata beliau, berdasarkan Akta Pertubuhan 1966, watikah calon pilihan raya sesebuah parti politik perlu ditandatangani pegawai atau yang telah diberikan mandat oleh parti.

"Jika barisan kepimpinan parti itu yang mahu menghantar calon merupakan jawatankluasa atau (barisan) kepimpinan yang tidak diiktiraf RoS, maka watikah tidak boleh dikeluarkan mahupun diterima

"Maka akibatnya, calon-calon daripada parti berkenaan tidak boleh bertanding," kata Ahmad Zahid kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gombak, di sini Ahad.

Baru-baru ini Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah dilaporkan berkata pelantikan 20 anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.

Sehubungan itu RoS mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula anggota CEC untuk memilih 20 anggota yang sah, berpandukan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP.

Pemilihan semula DAP pada September 2013 itu menimbulkan kontroversi selepas ia dikatakan tidak didasarkan kepada senarai nama perwakilan berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.

Mohammad Razin dilaporkan berkata RoS berpendirian pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama melalui pemilihan semula itu tidak sah berdasarkan aduan-aduan yang dibuat anggota DAP sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepincangan dalam proses pemilihan semula CEC pada 29 Sept 2013.

Ulasan saya, jika watikah yang ditandatangani oleh setiausaha agung DAP tak sah maka semua calon DAP terpaksa bertanding sebagai calon Bebas. Sanggupkah DAP menerima hakikat ini yang mana semua calon tidak dapat menggunakan logo Roket. 

Oleh itu tak payah berdegillah Lim Guan Eng. Buat segera pemilihan CEC supaya DAP dapat bertanding menentang BN.


-- BERNAMA

Saturday, July 8, 2017

KENYATAAN MAHATHIR TENTANG ANWAR MELUCUKAN

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan secara tidak adil dalam kes liwat dan keputusan mahkamah dipengaruhi oleh kerajaan adalah mengejutkan dan melucukan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pada dasarnya Dr Mahathir mendakwa bahawa Anwar menjadi mangsa badan kehakiman yang korup dan hakim-hakim adalah tidak jujur.

Menurut Salleh, itu pun adalah sama seperti menghina mahkamah dan menyatakan demikian dalam satu temubual media di United Kingdom adalah tidak lain sebagai percubaan untuk memburuk-burukkan imej negara.

"Justeru, menjadi tanggungjawab Mahathir untuk membuktikan apa yang beliau dakwa dan membuktikan beliau benar-benar dan ikhlas percaya bahawa Anwar adalah mangsa konspirasi politik dengan meminta maaf kepada Anwar atas segala kenyataan yang dibuat dan perlakukannya terhadap Anwar sejak 1998.

"Tidak ada gunanya mendakwa Anwar disabitkan kesalahan atas jenayah yang tidak pernah dilakukannya tetapi tidak berbuat apa-apa dengan sekurang-kurangnya memohon maaf," kata Salleh menerusi posting dalam laman blog beliau sskeruak.blogspot.my hari ini ketika mengulas artikel mengenai temubual Dr Mahathir dalam akhbar Britain The Guardian pada Khamis.

Salleh berkata: "Kegagalan melakukan sesuatu perkara yang betul dengan meminta maaf atas apa yang menurut Mahathir ketidakadilan yang dilakukan ke atas Anwar akan membuktikan apa yang Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkata mengenai kebimbangan Mahathir terhadap Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang sedang menyiasat kerugian pertukaran asing berjumlah RM30 bilion yang dialami Bank Negara".

Menurut Salleh, kebimbangan utama Dr Mahathir ialah Anwar akan memberi keterangan terhadapnya dan bahawa kebenaran membabitkan kerugian RM30 bilion akan didedahkan.

Oleh itu, ini adalah semata-mata satu langkah oleh Mahathir untuk menyenangkan hati Anwar dan tidak dibuat dengan ikhlas," kata Salleh.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan liwat dan dihukum penjara pada Februari 2015. Dia pertama kali dipenjarakan kerana kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.

-- BERNAMA

Friday, July 7, 2017

BERPOLITIK KENA GUNA FAKTA TEPAT

KUALA LUMPUR, 7 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini membidas tindakan segelintir pihak yang sering berpolitik menggunakan fakta tidak tepat berhubung keadaan ekonomi dan kestabilan negara.

Beliau menegaskan bahawa fakta tepat adalah penting untuk imej negara, kestabilan politik dan keyakinan pelabur kepada negara.

"Dalam berpolitik, kita boleh berbeza pendapat tetapi dalam soal menjaga negara, itu adalah
tanggungjawab kita semua.

"Sebab itu, apabila kita mahu memberi komen tentang ekonomi negara, adalah salah jika kita mendakwa kedudukan ekonomi negara merudum dan bankrap. Dakwaan ini jauh dari fakta yang betul," kata Salleh dalam catatan blog beliau hari ini.

Sambil mempersoal rasional segelintir pihak yang sering melabelkan ekonomi negara merudum dan bankrap, Salleh menarik perhatian mengenai data-data yang menunjukkan kedudukan ekonomi negara yang semakin kukuh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Trading Economics 2017 melaporkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang pada kadar 5.6 peratus dalam suku pertama tahun ini berbanding 1998 (-7.36 peratus), 2008 (3.32 peratus) dan 2009 (-2.53 peratus).

"Fakta tepat ini perlu untuk menjaga imej negara dan pemimpin negara. Kita boleh tidak bersetuju dengan pemimpin, tetapi mempotretkan gambaran yang tidak betul tentang perbuatan baik pemimpin adalah moral politik yang salah," katanya.

Salleh berkata tuduhan bahawa perdana menteri sering boros dan merugikan wang rakyat kerana kerap ke luar negara juga adalah fakta yang salah kerana Najib ke luar negara untuk menarik pelaburan luar dan bukannya melancong.

"Misalnya, lawatan perdana menteri ke India menghasilkan nilai pelaburan sebanyak RM159 bilion. Lawatan perdana menteri ke China pula menarik masuk pelaburan bernilai RM144 bilion.

"Dengan hasil pelaburan langsung asing sebanyak ini, kita membangunkan Projek Pelabuhan Pulau Carey yang bernilai US$9.39 bilion, Robotic Future City di Johor Bahru seluas 404.6 hektar yang bernilai RM15 bilion dan lainnya," katanya.

Menurutnya hasil daripada pembinaan projek itu, rakyat mempunyai pekerjaan dan ekonomi negara bergerak maju.

Salleh turut hairan apabila ada pihak mendakwa Malaysia adalah negara yang gagal sedangkan laporan World Competitiveness Yearbook 2017 mencatatkan Malaysia berada di kedudukan ke-24 daripada 63 negara paling berdaya saing di dunia berbanding negara-negara lain ASEAN seperti Thailand di tangga ke-27, Filipina (41) dan Indonesia (42) manakala Myanmar, Vietnam, Laos, Kemboja dan Brunei tidak termasuk dalam senarai 63 negara itu.

"Justeru, politik dengan fakta yang tidak tepat itu perlu dihentikan kerana fakta-fakta palsu itu boleh memberi impak kepada pembangunan dan keselamatan negara," kata Salleh.

-- BERNAMA