Friday, July 21, 2017

PEMIMPIN DAN AHLI UMNO BERTANGGUNGJAWAB PERTAHANKAN PARTI



KOTA TINGGI, 21 Julai (Bernama) -- Pemimpin dan anggota UMNO bertanggungjawab dalam mempertahankan parti kerana hanya UMNO sahaja berupaya memperjuangkan hak-hak orang Melayu, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.




Beliau berkata hak-hak itu termasuklah hak Raja Berperlembagaan, hak untuk agama Islam dan hak untuk bahasa Melayu.




Oleh itu untuk mempertahankan hak berkenaan, Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, menyeru semua pemimpin dan anggota UMNO agar setia pada parti.




"Ini adalah perjuangan kita. Kalau tidak, siapa lagi hendak mempertahankannya.




"Untuk marah, berbeza pendapat senang tetapi hendak pertahankan kuasa, kena ada parti politik dan dalam parti politik kena ada ketua," kata beliau ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pengerang di sini, hari ini.




Salleh berkata banyak negara luar seperti Iran dan Iraq telahpun menemui kegagalan hari ini gara-gara ketidakstabilan dalam parti-parti politik mereka berikutan ketiadaan perjuangan yang jelas.




Tambahnya, dalam setiap parti politik, memang akan terdapat pihak yang tidak berpuas hati, malah mungkin juga mempunyai kelemahan namun semua itu harus dibendung dengan kesetiaan pada parti.




"Siapa kita tanpa parti? Kita tidak boleh menjadi wakil rakyat. Kita tidak boleh memberi khidmat kepada rakyat. Kita gunakan kuasa parti untuk menentukan amanah rakyat agar pembangunan berterusan, peluang pekerjaan disediakan dan bermacam-macam lagi," katanya.




Dalam pada itu, Salleh menyifatkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad adalah punca kepada segala kekalutan yang berlaku dalam UMNO.




Katanya, sejarah telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang menentang pandangan bekas perdana menteri dan bekas presiden UMNO itu akan dijatuhkan.




"Kalau kita lihat sejarah UMNO, apa yang lahir hari ini adalah berpunca daripada Tun M.




"Semangat 46 (Parti Melayu Semangat 46) kenapa diwujudkan?...kerana parti ketika itu tidak diuruskan dengan baik maka lahirlah Semangat 46.




"Kedua, kita lihat PKR. Ia juga diwujudkan kerana Tun M disebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjadi timbalan perdana menteri dipecat," katanya.




Turut hadir pada persidangan itu ialah Ketua UMNO Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said.




-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment